Sunday, July 25, 2010

QADA PUASA DAN BAYAR FIDYAH.

(gambar dari google,ia tiada kaitan dgn tajuk)


SEDIKIT MASA lagi Syaaban akan melabuhkan tirainya. Maksudnya tak lama lagi bulan suci yang penuh keberkatan akan menjelma. Sebelum RAMADHAN KAREEM diucapkan, mari kita lihat hutang-hutang terdahulu. Hutang puasa yang saya maksudkan, iaitu jumlah hari-hari puasa yang pernah kita tinggalkan pada musim Ramadhan lepas. Tak kiralah secara sengaja atau tidak, sepatutnya diqadakan secepat mungkin, namun Allah Yang Maha Penyanyang memberikan kita kelapangan untuk melaksanakan qada pada bila-bila masa sahaja(kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa) sebelum tiba Ramadhan yang berikutnya. Jadi, pada bulan Syaaban segala puasa yang telah ditinggalkan hendaklah diqada sepenuhnya tanpa berbaki lagi.

Andainya seseorang gagal melunaskan hutang puasanya ini hingga menjelma Ramadhan yang berikutnya, maka dia wajib menqada puasa yang ditinggalkan berserta fidyahnya sekali. Sebenarnya ada beberapa golongan yang wajib qada dan membayar fidyah, namun disini saya hanya ingin fokuskan kepada golongan yang melewatkan qada puasa sehingga melewati Ramadhan yang berikutnya.





Kadar fidyah ialah secupak beras atau gandum kepada fakir miskin bagi setiap hari puasa yang diitnggalkan. Ini adalah pandangan Imam Syafi’i dan jumhur ulama’. Sandaran imam syafi’i dalam penetapan ini ialah sebuah hadis yang riwayat Darulqutni daripada Abu Hurairah mengenai lelaki yang sakit kemudian sihat tetapi tidak juga menqadakan puasanya hingga tiba ramadhan berikutnya,. Baginda bersabda “ Hendaklah ia qadakan puasa yang ditinggalnya, kemudian mengeluarkan secupak makanan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalnya.

Kadar fidyah akan bertambah sejajar dengan pertambahan tahun yang diabaikan qada puasa. Sebagai contoh, andainya seseorang meninggalkan puasa selama lima hari pada tahun pertama dan tidak menqada puasanya hingga masuk bulan Ramadhan tahun yang kedua, maka dia diwajibkan qada puasa selama lima hari dan membayar fidyah sebanyak 5 cupak beras. Seandainya gagal dilunaskan puasa itu hingga masuk ramadhan pada tahun berikutnya pula( tahun ketiga), maka dia wajib qada sebanyak lima hari dan membayar fidyah sebanyak 10 cupak.

Berbalik kepada persoalan fidyah, pada hari ini secupak beras itu lebih sesuai dinilai dari segi wang ringgit. Kadar sekarang ialah secupak beras bersamaan dengan RM1.20 dan ia boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang secara zahirnya adalah faqir miskin,termasuklah kepada saudara mara sendiri.


1) Lebih lanjut :

a) Pondok Pasir Tumboh Kelatan.
http://www.al-bakriah.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=25:bayar-fidyah-tinggal-puasa&catid=9:soal-jawab-agama&Itemid=25





Banyak Kopitiam diragui

KUALA LUMPUR 24 Julai – Penyediaan makanan berasaskan daging di hampir semua kopitiam di negara ini diragui status halal setelah pengusahanya didapati mendapatkan sijil halal hanya dengan menelefon syarikat yang mengeluarkannya.
Perkara itu didedahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hasil serbuan dan siasatan berikutan aduan orang ramai.
Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar berkata, siasatan pihaknya mendapati syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal itu tidak melakukan pemeriksaan di premis kopitiam terbabit apatah lagi di pusat penyembelihan dan status bekalan daging.
Jelas beliau, sebaliknya syarikat terbabit mengeluarkan sijil halal itu dengan hanya menemu bual pengusaha tersebut melalui telefon sahaja.
Menurutnya, justeru, semua makanan berasaskan daging yang disediakan oleh kopitiam di negara ini diragui status halal.
“Permohonan dibuat melalui telefon... pihak syarikat (halal) itu akan menyoal sama ada mereka menyediakan alkohol atau menyediakan daging babi dan beberapa soalan lain.
“Jika tiada, ia bermakna premis itu layak menerima sijil halal,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar hari ini mendedahkan sebuah kopitiam di Kepong yang diserbu penguat kuasa Jakim selepas dipercayai mendapatkan bekalan ayam daripada sebuah pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf.
Saimah berkata, hampir keseluruhan kopitiam di negara ini menggunakan sijil halal dikeluarkan oleh syarikat swasta kerana lebih mudah dan cepat diperolehi.
Beliau memberitahu, sebaliknya jika dipohon daripada Jakim, ia memerlukan pemeriksaan yang menyeluruh daripada restoran sehingga ke pusat penyembelihan.
Sumber= Utusan Malaysia.

Friday, July 23, 2010

IMAM MUDA MINGGU KESEMBILAN, TAHNIAH BUAT ASYRAF DAN HIZBUR.


Minggu kesembilan menyaksikan dua orang lagi tokoh imam muda yang terpaksa meninggalkan ‘akademi’ imam muda. Aran dan Taufek terpaksa akur dengan ‘kewibawaan’ Asyraf dan Hizbur yang kini telah melakarkan sejarah mendaki Kemuncak Imam Muda musim pertama. Sama-samalah kita saksikan nanti.

Tahniah kepada Asyraf dan Hizbur, teruskan mengatur langkah menuju ke puncak. Kepada Aran dan Taufek, teruskan menyusun jejak yang telah kalian susun sepanjang bersama program Imam Muda. Kalian aset penting bagi memartabatkan imej imam dan seterusnya agama.

Disini saya paparkan sedikit latar belakang kedua-dia peserta imam muda yang akan menuju ke kemuncak sedikit masa lagi. Kenali mereka, sebagaimana kalian mengenali jaguh Akademi Fantasia dan Malaysian Idol juga Raja Lawak.



(Asyraf)

NAMA PENUH: MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD RIDZUAN
ASAL: Pulau Pinang
UMUR: 26 Tahun
TARIKH LAHIR: 12 Februari 1984
STATUS: Berkahwin
PEKERJAAN: Imam
PENDIDIKAN TERTINGGI: Ijazah Sarjana Muda Usuluddin & Fiqh, Universiti Malaya


(Hizbur)

NAMA PENUH: HIZBUR RAHMAN BIN OMAR ZUHDI
ASAL: Baling, Kedah
UMUR: 27 Tahun
TARIKH LAHIR: 01 April 1983
STATUS: Berkahwin
PEKERJAAN: Guru Tahfiz
PENDIDIKAN TERTINGGI: Sarjana Muda Syariah (Tahun Akhir),Universiti Al-Azhar Mesir

Sedikit masa lagi(30 julai 2010), imam muda akan melabuhkan tirainya. Akan berakhirlah sebuah program yang amat bererti dan bermakna ini. Bererti untuk memanusiakan manusia dan bermakna untuk menginsankan insan. Moga para peserta imam muda dapat menjadi vaksin yang dapat membunuh virus kebinatangan yang sedang menular dalam jasad manusia.










Thursday, July 22, 2010

KELLIE'S CASTLE, PERAK

(Inilah Kellie's Castle.
Gambar ini saya rakamkan pada tahun 2009)

Kepada yang pernah menonton filem Anna And The King, yang dilakonkan oleh Chow Yuen Faat tentu tahu salah satu lokasi pengambaran filem tersebut ialah Kellie’s Castle ( Istana Kellie) yang terletak di Batu Gajah Perak. Binaan yang mengikut reka bentuk istana Moghul di Agra India ini dibina oleh 70 orang pekerja binaan dari Madras India. Di sini saya bercerita berdasarkan kunjungan saya ke sana dan juga berasaskan pembacaan saya mengenai Kellie’s Castle.




Ia mula dibina pada tahun 1909, sebagai tanda cinta William Kellie Smith terhadap isterinya Agnes. William merupakan pedagang getah terkemuka British dan berasal dari Kellas Scotland. Pada tahun 15 September 1911, akhbar London Financer melaporkan Kellie’s Castle sebagai binaan paling unik sekitar timur jauh. Lagi hebat, lif yang dibina di dalam istana ini( namun tidak dapat disiapkan) merupakan lif yang pertama di Tanah Melayu . Di sini juga terdapat terowong rahsia yang mempunyai laluan bawah tanah kira-kira 500 meter hingga ke kuil hindu.






Istana ini tidak dapat disiapkan kerana William meninggal dunia di Lisbon Portugal pada bulan Disember 1926. Namun tersebar berita kononnya istana yang terbengkalai ini diselubungi misteri. Kononnya roh William sering kelihatan berlegar-legar di istana ini dan peristiwa ini dikatakan pernah disaksikan oleh sesetengah orang. Bagi umat islam, usah percaya dengan khurafat. Andainya benar seperti yang didakwa maka itu adalah syaitan dan bukannya roh. Tapi, saya yakin dakwaan misteri itu hanyalah metos semata-mata.

Dari segi lokasi, istana kellie terletak lebih kurang 15km dari Bandar raya Ipoh. Bagi pengunjung yang datang dari arah Kuala Lumpur melalui lebuh raya Utara-Selatan, boleh keluar di plaza tol Simpang Pulai dan menuju ke Batu Gajah atau Universiti Teknologi Petronas (UTP) Tronoh. Jom kenali istana Kellie, kenali Batu Gajah, kenali Perak dan kenali Malaysia.





(pokok ini menyerupai seekor beruang.
Ia sekadar kebetulan sahaja dengan izin Allah.
Jadi, tiada apa yg nak dihairankan)


( Ini gambar cicit William Kellie Smith)






Tuesday, July 20, 2010

MAJALAH SOLUSI




Di negara kita hanya 93.2% sahaja yang celik huruf. Ternyata ‘roh Iqra’ yang ditekankan di dalam wahyu pertama tidak dipedulikan. Daripada 93.2 % itu pula, entah berapa peratus yang celik pengetahuan yang berguna termasuklah pengetahuan agama. Rasanya terlalu kerdil jumlah ini( terutamanya yang celik agama) jika nak dibandingkan dengan celik seks dan tahyul.
Di pasaran terlalu banyak lambakan Majalah. Ada yang bermanfaat dan ada yang memudaratkan. Namun, majalah yang memudaratkan jauh lebih banyak dan mengatasi majalah yang membawa manfaat. Cerita tentang artis dan kisah tentang hantu dan puaka begitu laris di pasaran. Inilah mentaliti orang-orang kita, jadi tak menghairankan jika majalah yang amat ilmiah seperti Majalah Massa telah berkubur kerana isi kandungannya tidak memuatkan cerita tentang artis perempuan yang berkelahi berebut suami orang.

Mungkin juga majalah Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya akan mengalami nasib yang sama, jika tidak dimuatkan kisah anak toyol yang merayau-rayau. Sejujurnya, Saya pernah mengajukan soalan kepada seorang pelajar perempuan tingkatan lima. Soalan yang amat mudah, iaitu siapakah nama bapa kepada Nabi Muhammad s.a.w ? Sungguh memeranjatkan kerana pelajar tersebut tidak tahu jawapannya. Tapi dalam masa yang sama, pelajar tersebut memiliki satu nota kecil yang mengandungi maklumat/biodata tentang artis-artis kesayangannya.


(Manusia yang dijangkiti virus kebinatangan
akan hilang kemanusiaan dan keinsanan.
Hanya agama yang dapat dijadikan vaksin untuk membunuh virus ini)


Kembali kepada tajuk, Majalah Solusi merupakan majalah terbitan Telaga Biru. Setakat ini, keluaran terbarunya ialah isu no. 21, iaitu Melebur Takbur. Secara peribadi, majalah ini sangat bagus dan amat sesuai untuk mencairkan antartika kejahilan dan seterusnya memperluaskan ufuk pemikiran. Anggaplah ia sebagai IKS( ilmu kecil sederhana) untuk mematangkan kita dalam beragama. Ilmu agama dan seterusnya kefahaman dalam beragama amatlah penting sebagaimana dinyatakan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim “ Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama.”

Ketua Editor Majalah ini ialah Pahrol Mohammad Juoi, seorang ‘ustaz cinta’ yang tidak asing lagi. Bukunya berjudul Nota Hati Seorang Lelaki, amat wajar dibaca oleh setiap lelaki untuk mengembalikan kelelakiannya. Bukan kelelakian yang biasa tapi kelelakian yang sungguh luar biasa. Kelelakian yang biasa, umumnya telah mengetahui seperti mana yang sering diulas oleh Dr. Ismail Thamby. Kelelakian yang luar biasa ialah mengerti tentang firman dan mengetahui tentang sabda dengan menjadikan Muhammad S.A.W sebagai qudwah atau contoh lelaki sejati dalam pelbagai aspek. Editornya pula ialah Ustaz Ahmad Baei Jaafar, yang dahulunya editor Majalah Dewan Agama dan Falsafah( terbitan kumpulan Karangkraf). Para kolumnisnya juga hebat-hebat belaka. Antaranya, Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman, Dato Ismail Kamus, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil(yg terkenal dgn AKU TERIMA NIKAHNYA), Ustaz Muhammad Gunawan, Dr. Abd Basit Abd Rahman( sekadar menyebut beberapa nama).

Sebenarnya terdapat beberapa Majalah berbentuk keagamaan yang boleh dibaca demi kematangan dalam beragama. Antaranya, majalah Anis yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu, Majalah I yang diterbitkan oleh karangktaf dan Majalah Al-Islam terbitan Kumpulan Utusan. Namun secara peribadi, saya pernah memboikot Majalah Al-Islam kerana ia dijadikan wasilah untuk menyebarkan ajaran islam liberal oleh editornya yang bernama Astora Jabat.

Jadi, marilah kita jadikan Majalah-majalah keagamaan ini sebagai bahan bacaan wajib kita selain daripada bahan-bahan bacaan yang rutin.



















Saturday, July 17, 2010

GUA TEMPURUNG PERAK



Gua Tempurung, yang merentasi 1.3 km dipercayai telah dihuni oleh manusia seawal 8000SM. Gua ini juga pernah menjadi tempat persembunyian komunis sekitar tahun 1950-1960. Gua ini terletak di kawasan Gopeng, 24 km ke selatan Ipoh. Saya ke Gua Tempurung pada tahun lepas, 10.11.2009.
Dahulu, saya hampir-hampir ke Gua Niah( Gua yang terbesar di Malaysia dan di dunia), tapi terpaksa membatalkan niat sebab kawan-kawan kepenatan setelah seharian di Brunei Darussalam dan bandar Miri Sarawak. ketika di Sabah dulu,walaupun hampir enam tahun, saya tidak sempat menjejak kaki ke Gua Madai di Lahad Datu dan Gua Gomantong, Kinabatangan Sandakan (kedua-dua Gua ini terkenal kerana aktiviti memugut sarang burung). Cuma pernah ke Gua Batu Tulug, sebuah Gua yang menempatkan keranda-keranda lama di Kinabatangan.Lihat sini http://bicaradariaku.blogspot.com/2010/04/kerandacoffin.html




Gua ini dikatakan mempunyai gua batu kapur semulajadi terbesar di Semenanjung Malaysia( ada juga pihak yang mendakwa ia adalah gua kedua yang terbesar di Malaysia). Ia terletak di kawasan Gopeng, 24 km ke selatan Ipoh.





Gua ini membentuk lima bucu (dome) yang siling atasnya berbentuk tempurung kelapa, dengan setiap bucu mempunyai pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit. Bucu ini juga berbeza antara satu yang lain tergantung kepada suhu, paras air dan kandungan batu kapur dan marmar.





Seterusnya biarlah gambar-gambar yang saya
rakamkan ini menceritakan segala-galanya.












Wednesday, July 14, 2010

ESQ teruskan program latihan kecuali di Wilayah Persekutuan

(Dr Ary Ginanjar Agustian, pengasas ESQ )



KUALA LUMPUR: ESQ Leadership Training Center Sdn Bhd (ESQ) akan meneruskan program latihan yang ditawarkan syarikat itu ke seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan susulan pengumuman Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang membenarkan ia dijalankan.

Pengerusi Panel Syariah dan Akidah ESQ, Datuk Mustafa Abdulrahman, berkata modul dalam sistem latihannya akan diteliti bagi memastikan ia selaras dengan syariah dan buku yang digunakan akan diterbitkan dalam Bahasa Melayu.

Di Putrajaya hari ini, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ. (sumber berita harian)

Status ESQ mula hangat diperkatakan sejak jumaat(9 julai 2010), apabila Mufti Wilayah Persekutuan , Datuk Wan Zahidi Wan Teh telah bertindak mengharamkan ESQ atas alasan ia mendukung ajaran liberalisme dan pluralisme. Sebenarnya beliau bukanlah Mufti Pertama yang mengharamkan ESQ, sebab sebelum ini, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya(saya kurang pasti, adakah beliau telah dilantik menjadi mufti atau tidak ketika itu, tetapi sekurang-kurangnya beliau adalah Timbalan Mufti negeri Sarawak sebelum ini) turut ‘mengharamkan’ secara tak langsung ESQ melalui tulisannya yang mempertikaikan program tersebut termasuklah konsep suara hati dalam mencari kebenaran.

Bagaimanapun Ketua Panel Syariah ESQ, Datuk Mustafa Abdul Rahman yang juga bekas pengarah Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menafikan terdapatnya penyelewengan dan kesesatan dalam program ESQ. Malah terdapat beberapa orang bekas mufti yang turut menjadi ahli panel syariah ESQ, termasuklah bekas mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kader Talip, bekas mufti Kedah, bekas Mufti Johor dan lain-lain tokoh agamawan islam. Lebih dari itu, setakat ini seramai lapan orang mufti di Malaysia yang pernah menghadiri latihan ESQ termasuklah mufti Pulau Pinang.

Sejujurnya, saya mengikuti perkembagan ESQ sejak beberapa tahun yang lalu meskipun saya tidak pernah menyertai latihannya. Saya adalah pelanggan tetap Majalah I, terbitan kumpulan Karangkraf. Majalah ini pula menyediakan satu ruangan khas untuk memaparkan perihal ESQ termasuklah pengalaman pesertanya. Saya tertarik dengan Majalah I bilangan 78, April 2009( dari muka surat 18-42, membincangkan perihal ESQ, ). Paling saya tertarik dengan sesi temubual dengan Pengasas ESQ, Dr. Ary Ginanjar Agustian. Kata Dr Ary Ginanjar, beliau tidak membahaskan tentang ilmu-ilmu yang mendalam seperti tajwid, hal-hal khilafiah atau perbezaan mazhab dalam fiqh, tetapi mengambil satu modul yang sederhana tentang rukun islam yag lima, rukun iman yang enam dan prinsip ihsan ( sebab itu ia dikenali sebagai The ESQ Way 165).

Dr Ari Ginanjar Agustian mendakwa lagi setiap buku dan modul training yang dihasilkannya akan disemak terlebih dahulu oleh gurunya, Kiyai Haji Habib Adnan , seorang hafiz Al-Quran dan bekas Ketua Majlis Ulama di Bali. Di samping itu, turut terlibat dalam proses menyemak ialah Profesor Dr Kiyai Ali Yafi, Ketua Majlis Ulama Indonesia, sejumlah ulama Nahdatul Ulama dan Muhammadiah, ICMI dan lain-lain lagi. Setelah diluluskan oleh ulama-ulama ini barulah ia dicetak. ( utk maklumat lanjut sila rujuk m/s 29, pada majalah tersebut)

Tentang teori God Spot ( saraf pendorong manusia mencari Tuhan) telah ditemui oleh sekumpulan saintis pakar saraf dari Universiti California di San Diego yang diketuai oleh Dr. Vilayanur Ramachandaran( huraian lajut, sila lihat m/s 40-42 majalah yang sama). Walaubagaimanapun Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR) lebih cenderung agar istilah God Spot ditukar kepada istilah fitrah. Sila ke sini untuk maklumat lanjut http://www.zaharuddin.net/content/view/828/95/.


Pandangan peribadi saya, andainya Jumhur ulama Malaysia( merujuk kepada mufti-mufti dan ulama-ulama yang menganggotai Majlis Fatwa Kebangsaan) meluluskan ESQ, maka wajar dan waras untuk kita akur dengan fatwa tersebut selaras dengan firman Allah, "“Wahai orang beriman taatilah Allah, taatilah rasul dan orang yang memerintah urusan kamu (ulil amri).” (Surah an-Nisa’, ayat 59). Ibnu Abbas dan Imam Ibnu Qayyim berpendapat maksud (ulil amri) pada ayat ini ialah ahli fikah dan ahli agama (ulama).

Adapun pendapat Mufti Wilayah Persekutuan adalah terpencil dan itu ijtihad peribadi beliau. Dalam islam perkara begini adalah lumrah. Bukan dalam perkara ini sahaja malah dalam banyak perkara. Malah dalam hal keharaman babi pun masih berlaku khilaf dalam kalangan ulama. Tiada khilaf sebab telah qat’ie tentang haramnya memakan daging babi tetapi khilaf tentang hukum menyamak setelah menyentuh babi. Namun bagi kita yang bermazhab Syafie, menyentuh babi wajib disamak walaupun Imam Nawawi( seorang tokoh terkenal dalam mazhab SYafie bercanggah pendirian tentang hal ini). Maaf saya bukan ingin berbicara tentang perkara khilaf. Bukan itu matlamat penulisan saya di blog ini. Lagipun membicarakan persoalan khilaf secara terbuka akan memberikan ruang kepada si jahil untuk mencampuri urusan agama secara membabi buta. Lagi malang ia akan menjauhkan si jahil dari landasan agama. Apa yang ingin saya nyatakan ialah, lumrah dan kebiasaan apabila terdapat segelintir ulama yang tidak menyetujui pendapat ulama lain. Namun pandangan jumhur adalah lebih menepati kebenaran dan kita sewajar dan sewarasnya akur.




Monday, July 12, 2010

MALANG TIDAK BERBAU

(kemalangan ngeri melibatkan sebuah bas ekspress di Perak)


KALAU kita belek helaian sejarah, Bridget Driscoll merupakan manusia pertama yang menemui ajal kerana dilanggar kenderaan bermotor pada 17. Ogos 1896.(rujuk Dewan Masyarakat oktober 2005, m/s: 9). Bilah-bilah hari sesudah itu tidak pernah sunyi dari menyaksikan episod demi episod kemalangan jalan raya. Kerajaan dan NGO juga tidak pernah sunyi daripada memikirkan strategi-strategi untuk mensifarkan kemalangan jalan raya, namun hingga sekarang, kes kemalangan jalan raya tidak pernah surut dan susut. Sehingga 2005, seramai 25 juta orang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya di seluruh dunia, jumlah tu hampir menyamai jumlah penduduk Malaysia hari ini. Majalah yang sama juga mengatakan, 2 nyawa melayang setiap minit di jalan raya. Kajian Universiti Harvard dan World Road Organisation(WRO), mendapati kemalangan jalan raya menjadi pembunuh ketiga tertinggi di dunia bagi manusia.

(adakalanya nyawa manusia lebih murah drp harga seekor arnab)


Di Malaysia pula, Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia(MIROS) mengatakan, secara purata terdapat 15 kes kematian sehari akibat kemalangan jalan raya di Malaysia. Begitulah kisah ngeri dan sedih di jalan raya. Kematian di jalan raya tak mengenal siapa, pengemis, petani, buruh kasar, pelajar universiti, artis, ahli politik dan sesiapa sahaja.

Yang paling dikesali( bukan menyesali takdir) ialah orang Melayulah yang paling ramai terkorban di jalan raya. Lihat sahaja ketika Ops Sikap ketika musim perayaan, pastinya bangsa kita adalah juaranya. Tak kira raya apa, Melayu tetap mendahului. Itu belum lagi dikira dengan jumlah Mat Rempit Melayu yang menemui ajal di jalan raya.

Sebenarnya tiada sesiapapun yang ingin menemui ajal di jalan raya. Tidak ada orang yang ingin mati dalam keadaan ngeri, berkecai tulang dan bersepah daging serta terburai tali perut. Malah Mat Rempit pun tak ingin mati dalam keadaan ngeri macam tu.

Adakala kita telah berhati-hati dan menjadi pemandu yang berhemah tapi kemalangan tetap berlaku disebabkan kecuaian pihak lain. Saya sendiri pun pernah mengalami keadaan seperti ini. Tiga tahun lepas di sungai siput perak, ketika hujan lebat dan lampu isyarat berwarna merah tiba-tiba sebuah kereta melanggar kereta saya dari arah belakang. Bila saya bertanya mengapa? Jawabnya sambil meminta maaf, sorry dik, kalau hujan lebat pak cik tak boleh bezakan warna hijau dan merah. Terlonggo mulut saya mendengar jawapan yang Maha Gila itu. Suatu ketika yang lain di lebuh raya utara-selatan, lebih tepat lagi dekat Bukit Gantang, ketika saya dalam perjalanan ke Parit Buntar, sebuah lori ( yang perlahan macam kura-kura) yang berada di lorong paling kiri tiba-tiba menukar lorong. Saya yang memandu dalam kelajuan sederhana, lebih kurang 130km sejam di lorong kanan hampir-hampir menjadi mangsa nahas.


Apa yang pasti, disamping berhati-hati ( termasuk memastikan kenderaan dalam keadaan yang selamat), kita tiada pilihan lain kecuali berserah kepada Allah.

Friday, July 9, 2010

ISRAK DAN MIKRAJ

(Indah bumi Tuhan, sesudah subuh
di pantai irama Bachok Kelantan)




27 Rejab merupakan satu tarikh penting dalam islam. Terlalu penting kerana ia adalah tarikh Nabi Muhammad S.A.W diberikan satu 'projek mega’ oleh Allah.( saya pinjam istilah yang dipakai oleh khatib dalam khutbah jumaat tadi). Hanya Nabi S.A.W seorang sahaja yang dibenarkan ke Siratul Muntaha, manakala malaikat yang mengiringinya tidak diizinkan oleh Allah dan hanya menunggu di langit yang ke tujuh. Di Siratul Muntaha inilah junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W telah berjumpa dengan Allah secara langsung dan di situlah baginda dinugerahkan ‘projek mega’ tersebut.

Peristiwa israk , iaitu perjalanan Nabi S.A.W dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa telah dinyatakan di dalam Surah Al-Israa’ ayat pertama. Manakala peristiwa Mikraj, iaitu perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Siratul Muntaha, dinyatakan oleh Allah dalam surah An-Najm. Kedua-dua perjalanan ini melibatkan roh dan jasad Nabi Muhammad S.A.W, dan ia bukannya mimpi.

Kembali kepada ‘projek mega’ yang saya maksudkan. Ia adalah ibadat yang paling penting dan yang pertama ditanya di akhirat kelak. Ibadat ini amat bermakna dan berharga kerana ia diberi secara langsung oleh Allah melalui pertemuan secara rahsia (tidak dihadiri oleh malaikat) di Siratul Muntaha. Sungguh mulia amalan solat sebab ia dianugerahkan secara langsung oleh Maha Pencipta. Manakala ibadat-ibadat lain pula adalah menerusi perantaraan malaikat-Nya. Jelas sekali, solat adalah ibadat yang Hebat dari Tuhan Yang Maha Hebat. Solat yang pada mulanya diperuntukkan sebanyak 50 waktu, namun akhirnya dikurangkan kepada 5 waktu, lantaran keyakinan Nabi Muhammad akan ketidakupayaan untuk dilunaskan oleh umatnya. Hebatnya ibadat solat hingga ia dianggap sebagai tiang agama dan juga sebagai pembeza antara orang islam dengan orang-orang kafir. Lantaran itu, terdapat ulama yang mengkafirkan orang-orang yang tidak bersolat. Tapi, sayang! Hari ini ramai yang anggap projek mega ini sebagai sesuatu yang remeh temeh. Di buat sambil lewa, malah ada yang langsung tak buat. Ramai juga yang malas dan culas terhadap ibadat yang dinobatkan sebagai tiang agama ini.

Disamping itu, sepanjang perjalanan di langit, Nabi S.A.W telah dipamerkan segala kejadian yang bakal berlaku kepada umatnya. Begitu juga dengan keadaan pelaku dosa-dosa besar seperti penzina, pengamal riba, mengumpat, pecah amanah dan lain- lain telah ditayangkan kepada Nabi S.A.W dalam bentuk yang amat ngeri. Ini semua wajar sekali untuk dihayati demi memberlinkan tembok kedegilan diri.

Israk dan Mikraj berlaku saban tahun, tapi sayang ramai antara kita yang membiarkan ia berlalu tanpa sebarang penghayatan.Saya tertarik dengan pandangan yang dikemukakan oleh Dr. Abdul Halim Mahmud, bekas Rektor Universiti Al-Azhar tentang panduan hidup yang boleh diilhamkan daripada peristiwa Israk dan Mikraj. Pertama, kata beliau, peristiwa Israk bermula dengan dada Nabi S.A.W dibedah dan dibersihkan dengan air zam-zam. Selepas itu barulah perjalanan Israk bermula. Pengajaran di sini kata Dr Abdul Halim, ialah kehidupan rohani harus bermula dengan taubat. Taubat akan membersihkan diri dari segala dosa. Jadi kembara rohani ‘mencari’ Ilahi hanya akan bermula dengan perbuatan bertaubat di atas segala kesalahan yang lalu. Tanpa taubat, kembara rohani tidak memberi apa-apa erti. Malah , ia sekadar mainan di bibir tanpa keikhlasan di hati.

Isu kedua yang penting sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr Abdul Halim Mahmud ialah isu Palestin dan Masjidil Aqsa. Kejadian Israk yang berakhir di Masjidil Aqsa, menunjukkan betapa isu Palestin bukanlah isu orang Arab dan Israel( lebih tepat jika menggunakan istilah rejim Yahudi) semata-mata. Tetapi ia adalah isu umat islam sejagat dan harus diberi perhatian dan kerjasama sepenuhnya demi mengembalikan hak umat islam yang dirampas itu. Hari ini tempias Yahudi terkena di mana-mana. Paling terharu terdapat individu islam yang bukan setakat terkena tempias yang dinatijahkan oleh gerimis dari Yahudi. Tapi dibanjiri oleh hujan yang melebat hingga terlebih ‘Yahudi’ daripada Yahudi. Antaranya ialah Habib Bourgiba, bekas Presiden Tunisia(meninggal dunia pada 6 april tahun 2000). Pemimpin Yahudi tidak pernah menghalang umat islam daripada berpuasa tapi dia yang telah diyahudikan pemikiran telah mengharamkan ibadat puasa malah telah makan tengah hari di bulan puasa bersama pimimpin-pemimpin Tunisia yang lain secara terangan-terangan dengan disiarkan menerusi siaran langsung di kaca TV. Pemimpin Yahudi juga tidak pernah mengharamkan pemakaian tudung tapi Habib Bourgiba bukan setakat mengharamkan tudung malah telah merampas semua patung-patung mainan yang bertudung. Cukuplah mnegutuk orang yang telah mati. Mudah-mudahan kesudahan hidupnya atas landasan iman.

Saya hampir terlupa satu perkara penting. Ingin saya memetik kata-kata seoarang pakar Hadis di Malaysia, Prof Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor dalam Mingguan Malaysia yang bertarikh 22. Oktober tahun 2000. Katanya, Adapun cerita tentang lapisan langit yang diperbuat daripada emas, perak, besi dan tembaga adalah meragukan dan tidak dapat dibuktikan kesahihannya menerusi jalan sanad yang biasa dipegang oleh ahli hadis.

Semoga Israk Mikraj kali ini, 27 Rejab 1431 Hijrah, akan mematangkan kita dalam beragama dan memberikan kita kekuatan untuk meraih redha-Nya.

Thursday, July 8, 2010

SEJARAH NEGERI MELAKA: PENILAIAN SEMULA DAN PEMURNIAN FAKTA.

(peta negeri Melaka)

SEJARAH, ketepatannya tak setepat matematik . Formulanya tak setepat dan setetap 1+2=3, tapi bergantung juga kepada sudut pandangan penulis atau pengkajinya. Sudut pandangan ini pula adakalanya bias dan dipengaruhi oleh unsur-unsur tertentu seperti agama,bangsa, budaya dan kefahaman si penulis.

Sebelum ini, Melaka dikatakan telah diasaskan pada tahun 1400 atau 1402 masehi . Inilah yang dicatatkan oleh Tome Pires, penulis berbangsa portugis dalam bukunya Suma Oriental. Malah, mengikut Tome Pireslah, Melaka dikatakan diasaskan oleh Parameswara. Baru-baru ini, fakta yang dikemukakan oleh Tome Pires telah dipertikaikan. Buku Suma Oriental yang ditulis olehnya pada tahun 1512 hingga 1515( tahun kejatuhan Melaka) dianggap tidak tepat kerana didakwa hanya menggunakan kaedah dengar dan catat.

Dalam hal ini, buku Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) versi Raja bongsu dikatakan lebih tepat dan sahih tentang sejarah kewujudan Melaka. Mengikut Sejarah Melayu versi Raja Bongsu, Melaka dikatakan diwujudkan pada tahun 1262 Masehi dan bukannya 1400 masehi seperti di dalam catatan Tome Pires. Mengikut Sejarah Melayu versi Raja Bongsu, Melaka dikatakan telah ditubuhkan pada tahun 660 hijrah bersamaa 1262 masehi.

Fakta mana yang lebih tepat. Susah untuk diputuskan. Tidak memadai, jika sekadar Ketua Menteri Melaka untuk mengesahkan ketepatan Sejarah Melayu versi Raja Bongsu. Ini soal ilmu dan keilmuan, jadi ia mesti diadili dengan fakta. Jadi biarlah pakar-pakar sejarah seperti Professor Emeritus Tan Sri Dato` Dr. Khoo Kay Kim dan lain-lain, juga Persatuan Sejarah Malaysia yang memutuskan setelah menjalankan kajian yang lebih terperinci.

Cuma, seandainya Suma Oriental dinafikan, maka tidak boleh lagi kita mendakwa Parameswara yang mengasaskan Melaka. Sebab, itu adalah berdasarkan catatan Tome Pires. Mengikut catatan dalam Sejarah Melayu, saya rujuk kepada versi paling popular(sebab Sejarah Melayu sebenarnya ada banyak versi), iaitu Sejarah Melayu Versi W.G. Shellabear(m/s. 53) pengasas Melaka ialah Raja Iskandar Syah. Tapi, harus diingat, amat sukar untuk diterima akal akan fakta-fakta dalam Sejarah Melayu, sebab banyak sangat karut marutnya. Antara karut marutnya ialah padi di sawah bertukar tiba-tiba, buahnya emas, daunnya menjadi perak dan batangnya menjadi tembaga sebagai tanda keberkatan setelah ketibaan tiga orang putera raja yang berketurunan Iskandar Zukarnain dan Nabi Sulaiman. Tak cukup dengan itu, ditambah pula dengan karut marut yang lain, iaitu lembu yang dinaiki oleh tiga orang putera raja tadi telah melahirkan manusia menerusi muntahnya. Sejarah Melayu juga mempunyai dosa-dosa tertentu. Dosa yang amat besar hingga layak dilabelkan sebagai permit untuk ke neraka. Insha –Allah, saya akan berbicara tentang ini dalam entry yang akan datang.

Hendaklah pengkaji sejarah islam itu hidup dengan akal,ruh dan perasaanya dalam suasana islam sebagai akidah, pemikiran dan sistem.” Syed Qutb, Fi al-Tarikh Fikrah wa Minhaj. m/s/45)

Monday, July 5, 2010

IMAM MUDA



P/S= entry ini bukanlah kerana ketiadaan isu / idea untuk menulis tapi kerana saya merasakan amat penting untuk dibicarakan meskipun ia agak basi. Kerana label Imam sentiasa relevan sebagaimana relevannya iman (islam, iman dan ihsan).
Sebut sahaja Imam Muda, pasti ramai yang mengetahui akan kewujudannya di Astro Oasis. Walaupun tidak sehebat Akademi Fantasia, Mentor, Malaysian Idol, Raja Lawak dan yang seumpama dengannya, namun kewujudannya tetap diterima, meski segelintir cuma.

Tak popular! Tak mengapalah, sekurang-kurangnya ada juga program realiti tv yang bercorak keagamaan ( selain Akademi Al-Quran). Kurang sambutan! Biarlah, setidak-tidaknya terhidang juga santapan rohani buat mereka yang memerlukan






Program ini memberi landasan untuk memartabatkan status imam dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tanggungjawab sebenar seorang imam. Walaupun sekadar pemimpin kerohanian yang ‘kerdil’, namun peranan imam tidak hanya mengetuai solat berjemaah. Tidak terbatas dalam ruang lingkup masjid sahaja. Tidak terhad dengan membilang butir-butir tasbih. Namun lebih dari itu. Paling utama, sebagai seorang da’ie yang berperanan untuk memperluaskan horizon dakwah dan seterusnya mencairkan antartika kejahilan.

Imam Muda, satu program yang benar-benar hebat. Hebat serba- serbi walaupun tak diperkatakan di sana- sini. Kehebatan pertama ialah pesertanya. Majoriti pesertanya memiliki kelulusan yang membanggakan dalam bidang keagamaan. Antaranya, Ahmad Hazran bin Ahmad Kamal ( Aran) yang berkelulusan , Sarjana Muda Al-Quran Wa Qiraat, dari Universiti Al-Azhar Mesir. Nik Muhammad Adib bin Md Amin ( Adib), yang berkelulusan Sarjana Muda Usuluddin, dari Universiti Muta'ah. Kalau diambil kira dari sudut kelulusan akademik yang dimiliki, mereka juga ulama sebagaimana 40 orang Ulama Muda yang menyertai parti PERKEMBAR baru-baru ini. Namun, saya secara peribadi tidak bersetuju jika gelaran ulama disandarkan kepada golongan yang memiliki kelulusan/ ilmu agama yang tinggi semata-mata ( cuma ia syarat untuk dilabelkan sebagai ulama) sebab factor-faktor lain seperti ketaqwaan perlu diambil kira. Andainya disyaratkan memiliki Master atau Phd dalam bidang keagamaan sebagai syarat untuk dilabel sebagai ulama maka orang bukan islam seperti Dr. Patricia Martinez teramat layak digelar ulama sebab dia adalah orang bukan islam yang pertama di Malaysia yang memiliki Phd dalam pendidikan islam. Kelulusannya lebih tinggi berbanding Ustaz Fathul Bari( salah seorang ulama muda). Cukuplah dahulu cerita tentang ulama muda sebab blog saya bukanlah blog poltik dan saya tidak ingin membicarakan perihal politik di blog saya.

Pengetua Imam Muda juga bukan sembarangan orang. Walaupun tak sepopular pengetua AF, namun beliau ada kehebatan yang tersendiri. Ustaz Hasan Mahmud Al Hafiz, siapa yang tak mengenailinya. Bekas Imam Besar Masjid Negara dan pendakwah bebas yang disegani ramai.

Hadiahnya juga hebat dan lumayan. Iaitu, sebuah kereta bernilai lebih RM150,000, pakej menunaikan haji, wang tunai RM20,000 serta komputer riba Apple Macpro dan berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi. Selain itu khidmatnya juga diperlukan untuk memegang jawatan imam di masjid utama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

INI YANG PALING HEBAT, iaitu peranannya sebagai seorang da’ie yang berperanan untuk memperluaskan horizon dakwah dan seterusnya mencairkan antartika kejahilan. Ini tugas yang amat mencabar. Sarat dan padat dengan mehnah dan tribulasi. Perlu kekuatan untuk meredah lautan duga yang amat ganas gelombangnya. Secara peribadi saya amat berharap agar mereka ini tidak sekadar penghafal tetapi berperanan juga sebagai pemikir . Sebagaimana mereka menghafal ayat-ayat suci tanpa jemu, mereka juga perlu memikirkan masalah ummah tanpa lesu. Memikirkan pendekatan yang dapat menjinakkan hati-hati manusia yang pelbagai rencam agar tertarik ke jalan Allah. Kehebatan bekas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Banna sebagai dai’e yang berjaya mewujudkan kesatuan fikiran dan kesatuan tindakan dalam kalangan masyarakat , sebagaimana yang diungkapkan oleh As-Syahid Sayyid Qutb haruslah direnungi. Kata As-Syahid Sayyid Qutb “ Dalam masa 25 tahun sahaja dengan kepintarannya dia (Hassan al-Banna) mampu menghimpun masyarakat yang berbeza-beza dari sudut kejiwaan, akal, emosi dan peringkat umur sebagaimana berhimpunannya irama yang berbeza di dalam satu lagu.”

KEHEBATAN seterusnya ialah peringatan Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis ( rujuk buku ikhlas dalam ibadat dan perjuangan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi diterjemahkan oleh Persatuan Ulama Malaysia, m/s . 72-73). Hadis yang panjang tentang golongan yang dihisab oleh Allah pada hari kiamat. Dalam hadis itu ada diceritakan tentang orang alim (pandai membaca Al-Quran) yang ditanya oleh Allah tentang apakah yang dilakukan dengan nikmat yang diperolehi( nikmat ilmu). Maka dijawabnya, dia telah belajar banyak ilmu dan telah mengajar ilmu tersebut. Dia juga mendakwa dirinya membaca Al-Quran demi Allah. Lalu Allah berfirman: Sesungguhnya engkau berdusta, engkau belajar untuk dipanggil terpelajar dan alim. Engkau membaca Al-Quran untuk digelar qari dan engkau sudahpun digelar sedemikian. Kemudian Allah perintahkan agar orang alim itu dicampakkan ke dalam neraka. Apa yang dipaparkan dalam hadis ini hendaklah dihayati dan direnungi oleh para da’ie termasuklah peserta Imam Muda, juga oleh kita.


Saturday, July 3, 2010

JANGAN MEMAKSA TUHAN.




Tuhan bukan untuk dipaksa, apatah lagi diderhakai atau dicurigai. Tuhan adalah untuk ditaati dan disembah sepenuh hati. Ada antara kita yang terlalu gelojoh, mengharapkan kesemua doa akan dimakbulkan dan kesemua mimpi akan menjadi realiti. Sesetengah orang kecintaannya terhadap Tuhan mulai susut dan surut apabila mimpinya lebur dan hasratnya terkubur, Na’uzubillah

Memang Tuhan ( selepas ini saya akan gantikan dengan kalimah Allah) ada berfirman“Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu” (Surah Al Mu’min ayat 60)

Tentang berdoa, ia sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT. Terserahlah kepada Allah dan sebagai hamba, kita pohonlah apa sahaja(perkara yang baik) dengan penuh keyakinan dan keilkhlasan kepada Allah. Mungkin Allah akan makbulkan doa itu, cuma cepat atau lambat. Dan, mungkin juga kita dianugerahkan dalam bentuk yang lebih baik daripada apa yang kita pinta.

Harus diingat, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak. Tapi yakinlah Allah bersifat al-Alim (Maha Mengetahui / Memiliki Ilmu) dan al-Khabir (Maha Mengetahui Rahsia). Lihat sahaja kata-kata malaikat “ Maha Suci Engkau ( Ya Allah) kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang kau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, Lagi Maha Bijaksana.” (SURAH AL-BAQARAH , ayat 32) dan renungi juga firman Alah dalam surah al-baqarah, ayat 216 “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu.Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Saya pernah terbaca, tapi maaf sebab saya terlupa sama ada di akhbar atau majalah. Ceritanya begini, tentang seorang perempuan yang kecewa kerana tunangnya meminta agar dileraikan ikatan petunangan. Tunangnya( si lelaki itu) telah beralih cinta dan berpindah kasih kepada perempuan lain. Dia menangis dan bersedih berbulan-bulan lamanya dan dia merasakan dunia ini bagaikan tiada lagi ertinya. Tapi, setelah tiga tahun berlalu, perempuan itu menangis lagi. Bukan kerana kesedihan tapi kerana kesyukuran. Allah telah menyelamatkannya dengan mengagalkan perkahwinannya dengan lelaki yang pernah menjadi tunangnya dahulu. Rupa-rupanya lelaki itu seorang yang menzalimi isteri (gemar memukul isteri) dan gemar melakukan hubungan seks luar tabie ( liwat dan merakamkan hubungan kelamin sebagai koleksi peribadi) disamping terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Ternyata hasratnya yang telah terkubur dan harapannya yang tidak makbul untuk hidup bersama dengan tunangnya dahulu, rupa-rupanya satu rahmat dari Allah. Kegagalan lepas rupa-rupanya satu bentuk penyelamatan dari Allah.

Itu yang pernah saya baca, sekarang saya ingin berkongsi cerita tentang seorang kenalan saya ( bukan kenalan rapat sebenarnya). Ini kisah lama, tentang seorang guru yang aktif dalam MLM tertentu. Setelah berjaya mendapat habuan RM500 sebulan, dia mula terkejar-kejar ke sana –ke sini. Kesibukan itu telah merenggangkan hubungannya dengan Pencipta. Adakalanya, dia sering tertinggal solat-solat fardhu yang tertentu kerana kesibukan. Saya dengar cerita, dia kemudiannya kegagalan dalam MLMnya itu. Bagi saya, kegagalan itu juga adalah salah satu bentuk penyelamatan daripada Allah. Maklumlah, baru dapat habuan RM500 sebulan dah mula meminggirkan Tuhan. Kalau dapat RM50,000 ( 50 ribu) sebulan mungkin lagi teruk jadinya.

Jadi, fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah.