Friday, October 29, 2010

BILA CINTA TAK BERBALAS.

(gambar gadis yang disimbah asid)


CINTA tak berbalas atau bertepuk sebelah tangan, itu lumrah dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja. Biasalah, adakalanya kita sukakan orang tapi orang tak sukakan kita. Dan, adakalanya orang sukakan kita tapi kita tak menyukai atau meminati orang tersebut. Itu lumrah, itu kelaziman dan itu kebiasaan.

Semalam(28 oktober 2010) dan hari ini(29 oktober 2010), cerita cinta tak berbalas menjadi topik perbualan. Kisah seorang gadis berusia 21 tahun yang cedera parah akibat disimbah asid/cuka getah oleh seorang lelaki(selayaknya dilabel sebgai jantan) lantaran menolak cinta lelaki tersebut. Kisah melankolik yang berlaku di Nibong Tebal itu disiarkan dalam akhbar Metro. Lelaki yang berusia 26 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah termasuk kes dadah dan bekerja sebagai kelindan lori mula bertindak ganas apabila mangsa, seorang operator kilang menolak cintanya.

Lelaki itu hanya dikenakan hukuman penjara selama 5 tahun dan 2 sebatan. Bagi saya hukuman ini amat tidak berbaloi berbanding ‘kemusnahan’ yang dialami oleh si mangsa. Si mangsa seorang gadis yang berusia 21 tahun dan bakal bertunang tak lama lagi. Bayangkan ‘kemusnahan’ yang dialaminya itu akan menyebabkan hidupnya merana dalam jangka masa yang panjang. Belum ada jaminan wajahnya dapat dipulihkan seperti sediakala. Dan, jika itu terjadi bagaimana dengan masa depannya. Yang menyakitkan hati saya, lelaki itu seolah-olah tidak menyesali malah seakan-akan berbangga dengan perbuatan terkutuknya. Bayangkan dia hanya senyum seakan-akan berbangga dengan tindakannya itu setelah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.


P/S= di samping bersimpati dengan mangsa, ada mesej yang harus kita renungi bersama. Kepada mana-mana( terutama perempuan) yang memiliki wajah yang cantik, ayu, menawan dan yang seerti dengannya. Janganlah terlalu berbangga dengan anugerah yang dipinjamkan ALLAH itu. Bila-bila masa sahaja dan cuma memerlukan sekelip mata, kecantikkan itu akan hilang dengan pelbagai punca yang tak mampu diduga dan disangka.

TIPS BILA CINTA TAK BERBALAS.

Kita bertanya
: Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan?

ALLAH menjawab, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah: 216)
Itu jawapan paling tepat jika berhadapan dengan situasi sebegini. Kita hanya perlu melunaskan kerja kita( meluahkan hasrat hati) dan urusan seterusnya(diterima atau tidak, ada jodoh atau tidak) adalah kerja TUHAN. Kerja TUHAN terlalu indah dan terbaik untuk kita.

Andainya, cinta tak diterima. Hanya dua kesimpulan yang dapat diputuskan.

PERTAMA, Orang yang kita idamkan itu bukan tercipta untuk kita. Bukan ditakdirkan untuk menjadi pasangan kita. Jadi, waraskan diri dan wajarkan situasi. Itu kerja TUHAN dan kita perlu redha dan pasrah. Mungkin dia bukan yang terbaik untuk kita meskipun pada pandangan zahir, dia terlalu indah dan sempurna. ALLAH bersifat al-Alim (Maha Mengetahui / Memiliki Ilmu) dan al-Khabir (Maha Mengetahui Rahsia) sedangkan pengetahuan kita hanya sekelumit cuma,

KEDUA. Hatinya belum terbuka untuk kita. Dan, soal hati adalah dibawah kekuasaan ALLAH. Percayalah, jika dikehendaki oleh ALLAH, hati manusia boleh berubah sekelip mata sahaja. Tiada yang tidak mungkin dengan izin ALLAH dan tiada yang mustahil dengan kehendak ALLAH. Segalanya mungkin dengan kehendak dan keizinan-NYA. Dalam akhabr Metro bertarikh 5 oktober 2010, ada sebuah kisah yang boleh dijadikan sekelumit contoh. Kisah perkahwinan pasangan kekasih yang telah putus cinta sejak 53 tahun yang lalu. Perpisahan selama 53 tahun namun kalau dah jodoh akan bersatu dan berpadu jua. Bersatu di alam perkahwinan dan berpadu sebagai suami dan isteri. Itulah kuasa ALLAH. Ya, kalau dah jodoh tak ke mana.






Wednesday, October 27, 2010

FACEBOOK




Tentang Facebook(FB), laman sosial yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg, seorang yang berketurunan Yahudi-Amerika. Sebelum berbicara lebih panjang tentang FB, ada baiknya saya petik dahulu kata-kata Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi( kata-kata ini saya jumpa dalam sebuah majalah lama, tahun terbitan 1995)” Media umpama pedang yang tajam. Andainya digunakan untuk berjihad, jadilah ia alat berjihad. Tapi, andainya digunakan untuk merompak, maka jadilah ia alat untuk merompak.” Jadi di sini, saya ingin berbicara tentang FB sebagai ALAT yang boleh dimanfaatkan sekali gus mendapat redha-NYA. Atau ALAT yang memudaratkan yang boleh mengundang murka-NYA.

Saya sejujurnya, amat tidak bersetuju dengan segelintir orang kita yang bertindak mengharamkan FB atas alasan ia diasaskan oleh Yahudi. Sepatutnya dalam soal ini kita tak boleh terlalu melatah, tetapi perlu ambil tahu tentang manfaat dan mudarat terlebih dahulu.

Kalau kita lihat, ramai para ulama mula menggunakan FB sebagai medium dakwah. Sejujurnya dakwah menerusi FB, amat berkesan kerana ia melangkaui sempadan geografi dan masa. Dalam konteks Malaysia, antara ulama atau tokoh agama yang menjadikan FB sebagai wasilah dakwah ialah Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz Zahazan Mohamed(sekadar menyebut beberapa nama). Harus juga diingat tugas menyebarluaskan seruan ke jalan Allah atau menyeru yang makruf dan mencegah yang mungkar tidak terhad kepada para alim ulama sahaja. Ia merupakan tanggungjawab setiap invidu islam berdasarkan kemampuannya sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad S.A.W ”Sampaikan dariku walaupun satu ayat.” Paling senang untuk menyampaikan mesej ini ialah dengan menyampaikan mesej-mesej keagamaan di status FB. Harus diingat, tidak semestinya ayat Al-Quran dan Hadis sahaja yang dipaparkan untuk menyampaikan mesej agama sebab apa sahaja yang baik sudah pasti direstui oleh Allah dan Rasul. Antaranya, buat masa sekarang menyeru penyokong bola sepak yang fanatik agar jangan bergaduh dan merusuh ketika final nanti. Bukankah perpaduan dan persaudaraan itu menepati kehendak islam.

Sejujurnya, menerusi FB, saya dapat menghubungi kembali sahabat-sahabt lama yang sekian lama hilang tanpa khabar berita. Antaranya termasuklah rakan-rakan sewaktu sekolah rendah dan menengah, juga rakan-rakan sekampus. Bekas guru-guru, dan bekas pelajar-pelajar saya ketika di Sabah.

Di ruangan yang terhad dan terbatas ini juga, saya ingin menegur pengguna FB yang melampau. Sungguh dikesali, kenapalah segala aksi tak senonoh seperti berpelukan dengan couple diuploadkan ke dalam FB. Lagi gila ada sesetengah tu, gambar berdua-duan sambil berpelukan dalam bilik hotel pun turut diuploadkan. Kononnya nak paparkan yang dirinya itu pasangan bahagia. Ini saya lihat dari FB seorg gadis yang sedang belajar di sebuah IPTA di Utara Tanah Air dan bercuti ke Kuala Lumpur dengan kekasihnya. Pastu bermalam di sebuah hotel kat KL. Kita cuba berprasangka baik, yang mereka tu bermalam di bilik yang berlainan. Tapi perbuatan bergambar berdua-duan sambil berpelukan (walaupun sekadar bergambar sahaja) dalam bilik hotel yang sama, sudah tentu mengundang fitnah. Lagi banggang dan bahlul, ibu si perempuan itu( juga pengguna FB) seolah-olah merestui perbuatan si anak gadisnya menerusi komen yang amat gila dan menggilakan kat gambar yg diuploadkan itu “Hai, bakal menantu. Janji yer, xkn curang ngan anak saye yer.” Pastu likes pula kat gambar tersebut. Apa jenis ibu banggang sangat ni, lebih teruk dari ibu ayam.

Satu lagi, semasa tag gambar tu. Cubalah baca situasi semasa dan timbanglah kewajaran atas neraca wahyu. Situasi semasa, Mungkin kita nak tag gambar seorang rakan ketika era jahiliahnya(mendedahkan aurat) sedangkan itu sejarah silamnya dan dia dah berubah dari Makhluk Tuhan Paling Seksi kepada Hamba Tuhan Yang Taat. Perbuatan kita itu, akan melukakan kembali parut lamanya. Sesuatu yang dia rahsiakan, tapi kita pula telah dedahkan. Itu satu dosa. Mungkin orang tertentu akan jadikan gambar yang kita tag itu sebagai modal untuk menjahanamkannya.

Jadi kepada pengguna FB, tidak salah kita menggunakan FB atau mana-mana laman sosial. Tapi ingatlah dosa dan pahala. Ingatlah syurga dan neraka. Jangan dedahkan dosa dan noda kita dengan uploadkan gambar-gambar yang tak sepatutnya. Jadikan firman Tuhan dan sabda Nabi sebagai neraca sebelum bertindak. Alangkah indahnya jika laman sosial seperti FB ini, kita gunakan untuk melebarkan empayar persahabatan dan meluaskan wilayah persaudaraan. Bersahabat dan bersaudara sesama insan tapi kerana Tuhan.

























































Sunday, October 17, 2010

menyeru manusia ke JALAN TUHAN.

(Sunset kat Chemor Perak)


Menyeru Manusia Ke Jalan Tuhan.
Adakalanya.
Kita Perlu Menyanggahi Kelaziman.

Menyeru Manusia Ke Jalan Tuhan.
Adakalanya.
Kita Perlu Menyalahi Kebiasaan.

Bisa sahaja Menyalahi dan Menyanggahi.
Asal Tidak Terbabas Dari Hukum Ilahi.

Perlu Sahaja Menyalahi dan Menyanggahi.
Agar Mampu Mendekati.
Agar Dapat Dijinakkan Hati.
Untuk Bersujud Kepada Ilahi.


Sesungguhnya dalam menyeru manusia ke jalan Tuhan kita perlu melebarkan dahulu horizon pemikiran. Kita perlu terbuka tapi jangan sampai terlampau terbuka( jangan jadi islam liberal) dan jangan terlampau tertutup( ultra konservatif). Para pendakwah mesti bijak ‘membaca’ situasi kerana untuk mencairkan antartika kejahilan perlunya mendekati dan didekati. Macam mana nak mendekati andainya pendekatan yang digunakan itu menyebabkan orang mejauh. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat. Kesannya kita tak kesampain menyeru manusia ke Jalan Tuhan. Kehebatan bekas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Banna sebagai dai’e yang berjaya mewujudkan kesatuan fikiran dan kesatuan tindakan dalam kalangan masyarakat , sebagaimana yang diungkapkan oleh As-Syahid Sayyid Qutb haruslah direnungi. Kata As-Syahid Sayyid Qutb “ Dalam masa 25 tahun sahaja dengan kepintarannya dia (Hassan al-Banna) mampu menghimpun masyarakat yang berbeza-beza dari sudut kejiwaan, akal, emosi dan peringkat umur sebagaimana berhimpunannya irama yang berbeza di dalam satu lagu.”


Thursday, October 14, 2010

Insiden pergaduhan penyokong Kelantan dan Selangor.

(pengakuan daripada Irwan ini boleh mengundang petaka.
Sila klik utk tumbesaran yg sihat dan kuat)

Saya berbicara tanpa bias kepada mana-mana. Tapi pengakuan( sama ada benar atau gurauan) daripada seorang penyokong Selangor yg bernama Irwan Carjunk amat membahaya. Sebenarnya bukanlah salah pasukan Kelantan or Selangor tapi yg salah ialah penyokong fanatik kedua-dua pasukan. Ke mana hilangnya kewarasan hingga sanggup bergaduh sesama saudara seakidah kerana sebiji bola.

Kepada penyokong RED WARRIORS ( yg fanatik sahaja), kehebatan anak jantan dari Kelantan bukanlah terletak kpd penumbuk dan penendang tapi terletak kpd keupayaannya menyeru manusia ke jalan TUHAN.

Jangan calarkan imej Kelantan sebagai negeri Serambi Makkah dan Tadahan Wahyu dengan tindakan yang tak bermaruah dan melulu.

Di bumi Kelantan, lahirnya ribuan ulama a.k.a pewaris Nabi dan janganlah diaibkan mereka dgn sikap berani kita yang membuta tuli.

"KAWE ANAK KELATE."

Friday, October 8, 2010

MATI



MATI...
Kau Pasti Menghampiri..
Walau Aku Menjauhi…

MATI…
Kau Pasti Menemui..
Meski Aku Bersembunyi.

MATI..
Tiba Saatnya Nanti.
Aku Terpaksa Menyerah Diri.

TUHAN.
Sebelum Jasadku Kaku.
Sebelum Diriku Beku.
Ku Ingin Lebih Lama Bersujud Kepada-MU.




Saturday, October 2, 2010

aku ingin dekat dengan-MU.

(Pantai Bisikan Bayu Pasir Putih Kelantan)


TUHAN...
Maafkan Aku.
Kerna Mengingati-MU
Saat Derita Menyapa.

TUHAN...
Maafkan AKU
Kerna Mencari-MU
Saat Sengsara Menerpa.

TUHAN...
Kau Tak Pernah Menjauh
Cuma Aku Yang Gagal Mendekati-Mu.

TUHAN...
Maafkan Aku.
Aku Ingin Lebih Lama Bersujud Kepada-MU.



Friday, October 1, 2010

SAYA BUDAK BARU BELAJAR

(Apabila hujan membasahi.
Cian motor pekerja sekolahku
sbb terpaksa jadi mangsa)


Jangan gelakkn saya yer. Saya budak baru belajar. Berbekalkan dslr nikon D90, saya mulakan hobi baru. Tapi hobi lama( menulis cerpen dan kini cuba bertatih ke gennre novel) tetap saya teruskan. Menulis adalah wadah terbaik untuk saya merakyatkan pemikiran saya. Ia medan terbaik untuk saya meluahkan apa yang terpendam di hati saya.

Kembali kepada tajuk, Shutter Speed merupakan jangkamasa shutter kamera dbuka untuk membenarkan cahaya sampai ke sensor untuk sensor mengumpul cahaya. Semakin tingi shutter speed (semakin singkat masa dedahan), semakin sedikit cahaya dapat dikumpul. Semakin rendah shutter speed (semakin lama masa dedahan), semakin banyak cahaya dapat dikumpul. Shutter speed yang tinggi boleh digunakan untuk membekukan (freeze) pergerakan, contohnya orang yang berjalan akan kelihatan terhenti dan sebagainya. Shutter speed yang rendah akan menyebabkan kesan blur apabila terdapat sebarang pergerakan sama ada pergerakan subjek atau shaking pada tangan semasa mengambil gambar. Gambar hujan yang saya paparkan adalah dengan menggunakan shutter speed yang tinggi untuk membekukan ‘pergerakan’ titisan-titisan hujan. Kepada rakan2, harap dapat berikan tunjuk ajar kepada saya yer. Kredit buat http://zahir-turion.blogspot.com/


(Apabila hujan membasahi)