Monday, November 29, 2010

KEKEJAMAN TERHADAP WANITA.

(manusia yang hilang kemanusiaan sahaja
sanggup bertindak sebegini kejam)


Dalam Berita Minggu bertarikh 28.11.2010, Menteri Pembangunan Wanita, Kelaurga dan Masyarakat , Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendedahakn secara purata 10 orang wanita di Malaysia menjadi mangsa keganasan setiap hari, ia merangkumi keganasan seksual,fizikal dan emosi. Jumlah sebenar dipercayai lebih dari itu, ini kerana angka yang diberikan(10 orang sehari) hanya membabitkan kes yang dilaporkan.

Dalam Harian Metro bertarikh 29.11.2010 pula terpapar di muka depan tentang ‘kebinatangan’ seekor suami yang menerajang dan mengetuk isterinya dengan tukul setelah isterinya itu mengadu kepada ketua kampung tentang kegiatan maksiat suaminya. Jantan tak guna itu dikatakan selalu membawa pulang wanita lain ke rumah untuk berbuat maksiat. Hanya isteri ‘mitahli’ sahaja yang sanggup menjadi penonton setia kepada aksi maksiat suaminya dengan wanita lain. Kesudahannya wanita itu dicerai talak tiga.

(Hanya Allah Yang Tahu
betapa deritanya gadis ini)


Dalam Harian Metro bertarikh yang sama pada halaman 13, seorang ibu muda berusia 34 tahun dirogol di depan anaknya yang berusia 12 tahun. Tak cukup dengan itu, si perogol turut merakam aksi rogol tersebut. Kemungkinan aksi keji itu akan disebar menerusi internet dan telefon. Lagi menyayat hati, si perogol laknatullah itu memberi pilihan kepada si ibu muda tersebut. Pilihan sama ada dia atau anak gadisnya yang berusia 12 tahun yang akan dirogol. Si ibu tiada pilihan lalu membiarkan dirinya dirogol demi kesucian anaknya. Bayangkan betapa kejinya perbuatan ini. Bayangkan juga betapa aibnya si ibu. Dan bayangkan juga betapa traumanya si anak gadis yang berusia 12 tahun. Dan cuba juga bayangkan betapa malangnya nasib mereka jika peristiwa rogol itu tersebar menerusi internet dan telefon.

Tentang keganasan rogol, ingin saya paparkan statistik rogol di Malaysia. Setiap enam jam akan terdapat seorang mangsa rogol, atau dengan kata lain empat orang akan menjadi mangsa rogol setiap hari. Perangkaan polis menunjukkan 1,210 orang dirogol pada tahun 2000, dan jumlah ini meningkat kepada 1,354 pada tahun 2001 dan ia terus meningkat kepada 1,418 pada tahun 2002. Maaf saya takde data untuk tahun-tahun yang berikutnya

Sebulan yang lepas, seorang gadis berusia 21 tahun, cedera parah akibat disimbah asid/cuka getah oleh seorang lelaki lantaran menolak cinta lelaki tersebut. Kisah menyayat hati yang berlaku di Nibong Tebal itu disiarkan dalam akhbar Metro bertarikh 28 oktober dan 29 oktober 2010. Lelaki yang berusia 26 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah termasuk kes dadah dan bekerja sebagai kelindan lori mula bertindak ganas apabila mangsa, seorang operator kilang menolak cintanya. Bodoh punya jantan, orang tak nak sudahlah. Beruk bukan seekor, nyor pula bukan sepohon.
Lagi meyakitkan hati, lelaki itu hanya dikenakan hukuman penjara selama 5 tahun dan 2 sebatan. Hukuman ini amat tidak berbaloi berbanding ‘kemusnahan’ yang dialami oleh si mangsa. Maafkan saya wahai para peguam dan hakim, saya tidak berniat untuk menghina mahkamah, tapi hukuman ini memang tidak berbaloi. Cubalah Tuan Hakim Yang Arif Lagi Bijaksana bayangkan, apa perasaan Tuan Hakim, andainya anak gadis Tuan Hakim diperlakukan sebegini? Bayangkan ‘kemusnahan’ yang dialami yang akan menyebabkan hidup anak Tuan Hakim merana dalam jangka masa yang panjang dan mungkin juga sepanjang hayat.

Mungkin perlu lahirnya wanita seperti Lorena Bobbitt untuk membela hak wanita daripada tertindas. Lorena Bobbitt terkenal kerana telah memotong alat sulit suaminya yang didakwanya seringkali merogolnya. Dalam hal ini, istilah suami rogol isteri amat bercanggah dengan dengan islam. Dalam islam, tiada istilah suami rogol isteri. Maaf Tapi, andainya mangsa rogol bertindak memotong alat sulit perogol tu, itu saya sokong. Jujur, saya sokong…

Sebenanrya penghinaan dan keganasan terhadap wanita telah lama berlaku. Lebih tepat lagi, sejak zaman berzaman Dalam buku Hak Keistimewaan Wanita yang ditulis bersama oleh Ustaz Nik Razi Nik Mat(adik MB Kelantan, yang juga merupakan seorang ilmuan hadis berkelulusan Darul Ulum Deoband India dan Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Syariah, juga anak murid ulama tersohor Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Bazz, bekas Mufti Arab Saudi) dan Dr. Rosnani bt Hassan(pensyarah UITM ),ada dinyatakan tentang penghinaan terhadap wanita dalam tamadun awal manusia. Secara ringkas, saya paparkan di sini.

Dalam Tamadun Sparta, apabila seseorang wanita melahirkan anak lelaki yang sempurna, kerajaan akan memisahkan wanita itu buat semantara waktu dari suaminya. Dan wanita itu akan dipinjamkan kepada lelaki lain untuk penyemaian baka dengan tujuan untuk melahirkan generasi baru yang terdiri daripada pahlawan untuk mempertahankan negara.( kalau kat kampung saya, lembu jer orang buat macam ni).

Di Rom, terdapat isteri dianggap umpama barangan jualan yang boleh dibeli dengan kadar tertentu. Di Parsi, wanita dianggap sebagai salah satu punca kejahatan selain tanah dan emas. Di India pula, terdapat tradisi membakar balu bersama mayat suaminya.

ISLAM amat memuliakan wanita. Itu jelas termaktub dalam Al-Quran dan Hadis. Bahkan, turut diakui oleh sesetengah bijak pandai bukan islam. Bekas Ketua Hakim Mahkamah Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut “Dari segi sejarahnya, islam telah lama begitu terbuka dan progresif dalam memberikan hak pemilikan harta untuk kaum wanita…..”

Tapi, sayang dalam sesetengah kes, terdapat segelintir umat islam yang jahil telah bertindak menganiaya wanita. Sekali gus, ia mencalit arang ke wajah islam yang suci dan sempurna. Antaranya seperti satu kes yang berlaku di Pakistan, Ini kisah di sebuah penempatan di Pakistan. Jun 2002, beberapa ekor manusia gila yang menganggotai Jawatankuasa Kampung di Meerwala Pakistan, telah mengarahkan agar si gadis yang bernama Mukhtar Mai dirogol beramai-ramai dan bergilir-gilir di hadapan ratusan penduduk kampung. Gadis malang itu dijatuhkan hukuman yang sebegitu malang kerana kesalahan yang dilakukan oleh adiknya. Adiknya didapati bersalah kerana telah menjalin hubungan cinta dengan seorang perempuan dari kasta yang lebih tinggi.

Satu lagi, saya tertarik dengan ‘teguran’ mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin terhadap seorang penceramah agama yang dilabelnya sebagai ‘USTAZAH TV’. Ustazah tersebut sering kali membawa cerita palsu yang tidak berasas tentang wanita yang terbaik pada zaman Nabi S.A.W. Kononnya, wanita terbaik pada zaman Nabi S.A.W ialah seorang wanita yang setiap hari menunggu suaminya pulang kerja dengan menyediakan makanan dan rotan. Jika suaminya mahu, suaminya boleh merotannya walaupun tanpa sebab. Cerita yang tak berasas ini boleh mencemarkan wajah islam yang sentiasa merahmati wanita. Seolah-olah wanita yang paling bagus ialah wnaita yang selalu kena rotan dan suami yang baik pula ialah suami yang hobinya merotan isteri.

p/s: saya mohon jutaan maaf, jika terdapat perkataan kesat dan bernada cacian dalam entry kali ini. Jujur, saya geram dan marah bila membaca kisah penderaan terutamanya kes rogol terhadap wanita. Bukan apa, sebab dalam keluarga saya juga ramai perempuan.










Saturday, November 27, 2010

wajarkah menggunakan gelaran Haji dan Hajah



Sebelum melanjutkan bicara, ingin saya berpesan, dalam apa-apa permasalahan, jangalah kita menerima secara membabi buta dan jangan pula kita menolak secara membuta tuli. Sukat dan timbanglah permasalahan itu atas neraca waras dan wajar yang bersendikan agama- shameel Iskandar

Soalan

APAKAH dibolehkan seseorang itu ‘menuntut’ dan menggunakan gelaran ‘Haji’ atau ‘Hajah’ sesudah pulang daripada menunaikan ibadat itu?
dakah ia satu kesalahan di dalam Islam kerana tidak pernah digunakan oleh Nabi dan sahabat? Jika dibenarkan, apakah pula ulasannya?



Jawapan (Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman)

Sebelum ini juga ramai bertanya sama ada gelaran ‘Haji’ boleh digunakan kepada mereka yang selesai menunaikan haji.

Saya teringat sekitar 10 tahun lalu, seorang kenalan saya memarahi rakannya kerana tidak memanggilnya dengan gelaran itu.


Bila saya tanya kenapa sampai begitu sekali, dijawabnya: “Ye la, kita dah bertungkus-lumus melaksanakan haji, berbelas-belas ribu ringgit habis, jadi hormatlah sikit kita dengan pengiktirafan.” Demikian tegasnya secara emosi.


Saya yakin, pembaca mempunyai pelbagai reaksi membaca jawapannya. Majoriti mungkin merasa tidak bersetuju dengan hujah yang disebut sahabat itu tadi.

Namun, itulah hakikat bagi sebahagian besar umat Islam, khususnya di Malaysia. Mereka ingin serta berasa selesa dan bangga dengan gelaran ‘Haji’ sesudah pulang daripada mengerjakan ibadat agung itu.


Jadi persoalan kita ketika ini, adakah ia dibolehkan di sisi Islam?

Pada pendapat saya, gelaran sebegini bukan persoalan ibadat khusus yang memerlukan kepada dalil khusus daripada amalan Rasulullah SAW atau sahabatnya.

Isu gelaran adalah sebuah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil khusus. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas, sama ada untuk mengarah atau melarang.

Dalam hal gelaran, dalil yang menjelaskan prinsip atau disiplin dalam gelar- menggelar boleh diambil daripada firman Allah SWT seperti tercatat di dalam ayat surah al-Hujurat yang bermaksud: “Janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah segala jenis nama panggilan yang berciri fasik selepas kamu beriman.”

Jelas daripada ayat di atas, prinsipnya adalah Allah SWT melarang umat Islam menggelar saudara seagama dengan apa juga gelaran buruk dan menyakitkan hatinya, tidak kira sama ada ia benar atau tidak, selagi mana ia dilakukan dengan niat menghina dan menjatuhkan, ia adalah dilarang.

Imam Abu Ja’far At-Tabari mengatakan: “Memanggil dengan gelaran adalah seperti seseorang memanggil saudaranya dengan cara yang dibencinya sama ada (menggunakan) nama tertentu atau sifat. Dan larangan Allah SWT itu umum tanpa sebarang pengkhususan kepada satu jenis gelaran tanpa yang lain, maka oleh itu, tidak harus (haram) bagi seorang Muslim untuk memanggil saudaranya sama ada dengan nama atau sifat yang dibencinya.” (Jami al-Bayan, 22/29)

Justeru dalam Islam, budaya gelar menggelar dengan gelaran buruk bukan tindakan benar, malah paling keji dan hanya mainan individu yang dipimpin emosi.

Jangan sesekali mudah memulakan gelaran seperti ‘ulama Mi egera’, ‘Si bodoh’, ‘Munafik’ dan lain-lain.

Walau apapun sebab dan latar belakang kemarahannya, menggelar seseorang dengan gelaran buruk bukan caranya. Ada banyak cara bahasa lain yang lebih sesuai untuk menegur seseorang.


Ia hanya akan memburukkan keadaan dan seterusnya menjatuhkan maruah anda sendiri, bukan mereka yang digelar.


Tiada kebaikan yang boleh tersebar daripadanya kecuali kepuasan peribadi pihak menggelar kononnya untuk menegakkan yang hak tetapi sebenarnya hanya memuaskan nafsu amarah masing-masing.

Islam melarang menggelarkan seseorang dengan sebarang gelaran buruk, dilarang juga mengkafirkan seseorang tanpa kejelasan yang putus atau kelak kekafiran dan gelaran itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Seluruh gelaran buruk yang dicipta juga akan kembali kepada individu yang memberikan gelaran buruk itu.

Namun demikian, ada pengecualian jika sesuatu gelaran dibuat bagi keadaan tertentu seperti untuk membezakan antara individu, maka mereka digelar dengan sifat atau nama yang sesuai bagi fizikal mereka. Walaupun gelaran itu buruk, panggilan itu dibuat bukan untuk menghina dan merendah, ia hanya diniat untuk memberi pengenalan kepada mereka yang bertanya. Tatkala itu, ia dibenarkan.

Demikian juga jika ada maslahat lebih besar untuk dijaga, seperti ulama menggelar beberapa ‘perawi’ sebagai ‘kazzab’ yang ertinya ‘banyak berbohong’ bagi menjaga ketulenan sesebuah hadis. Namun, ia bukan diguna secara meluas hingga ke peringkat masyarakat awam kerana hal sedemikian hanya diketahui golongan ulama daripada kalangan pengkaji hadis dan perawinya.

Hadis Riwayat Abu Daud menyatakan, terjadi perbualan antara orang ramai dan Rasulullah apabila mereka memanggil baginda: “Wahai Rasulullah, wahai yang terpilih dan anak yang terpilih, tuan kami dan anak kepada tuan.”

Namun, Rasulullah SAW lantas menjawab: “Wahai manusia, kamu berkata dengan perkataan kamu, namun jangan sampai kamu diselewengkan oleh syaitan, aku adalah Muhammad, Hamba Allah dan Rasul-Nya, tiadalah aku suka kamu mengangkat darjatku melebihi darjat yang diberikan Allah kepadaku.”


Kita perlu tahu bahawa gelaran perlu digunakan secara berhati-hati supaya tidak melampau sehingga terjebak dalam kes pengikut Kristian yang menganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan akibat berlebihan dalam mengagungkan dirinya.

Tentunya tiada halangan di dalam Islam untuk gelaran biasa yang kurang kontroversi seperti Tuan Haji, Ustaz, Dr, Datuk, Syeikh, Profesor, Tok Guru, Imam, Hujjatul Islam, Syeikhul Islam dan apa juga gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa dan pengiktirafan.

Isu sama ada gelaran itu akan mendatangkan rasa riak, takbur dan ‘ujub’ adalah persoalan kedua. Hal ini mempunyai sedikit persamaan dengan isu memuji seseorang di depannya.

Kesimpulannya, jika diketahui pujian itu akan memusnahkannya, jangan dilakukan. Maka larangan adalah disebabkan hal luaran yang mendatang dan bukan pada pujian itu sendiri. Demikian juga gelaran Tuan Haji, Say- yid dan sepertinya.

Oleh itu, jika kita memanggil seseorang dengan gelaran Tuan Haji dan ia disukai olehnya, sudah tentu ia tidak dilarang, sebaliknya lebih digalakkan lagi.

Ini kerana, mungkin gelaran itu boleh mengingatkannya kepada Allah SWT serta boleh mengekalkannya dirinya supaya sentiasa insaf kepada Allah SWT.

Apatah lagi apabila menjadi adat di sesebuah kawasan untuk menggunakan nama panggilan yang baik itu.

Adakalanya, gelaran ‘Haji’ juga diguna semata-mata kerana tiada gelaran lain yang sesuai untuk seseorang bagi menunjukkan hormat kita.

Saya pernah mempunyai beberapa kenalan jutawan veteran yang sangat rapat dengan saya, walaupun mereka jutawan, hartawan, pengasas dan ketua syarikat masing-masing, mereka belum menerima anugerah Datuk dan juga bukan pemegang taraf Doktor Falsafah.

Justeru, gelaran apa paling sesuai untuk memanggil mereka di samping menunjukkan penghormatan kita kepada umur peringkat itu?

Tatkala itu saya hilang idea, hanya gelaran ‘Tuan Haji’ saya kira paling sesuai setiap kali berhubung dengan mereka. Gelaran pakcik atau gelaran syeikh pasti kurang sesuai dengan orang yang berperwatakan sepertinya.

Kita sedar, kesan buruk juga boleh berganda apabila seorang bergelar ‘tuan haji’ dan ‘puan hajah’ melakukan maksiat dan dosa terang-terangan. Lebih mendukacitakan apabila kesnya membabitkan tangkapan khalwat, zina, pecah amanah dan lain-lain yang biasanya tersiar di dada akhbar.

Namun demikian, hal itu tidak menjadikan penggunaan gelaran ‘Haji’ dan Hajah’ sebagai haram.

Bagaimanapun perlu diingatkan, walaupun seseorang itu ‘harus’ mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji’, yang perlu disedari adalah pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukan kerana gelaran yang diberi manusia, sebaliknya pandangan serta pengiktirafan Allah SWT sendiri.

Sumber: (http://www.hmetro.com.my/articles/PenggunaanHaji_Hajah/Article)








Monday, November 15, 2010

HUKUM MELAKUKAN IBADAT KORBAN DI LUAR NEGARA DAN MEMINDAHKAN DAGING KORBAN




MEMBAZIR amat keji dan hina dalam islam. Hina dan keji hingga dianggap oleh Allah sebagai sebagai saudara syaitan. Lagi malang apabila perbuatan membazir itu, dibuat atas nama ibadat. Segenggam pahala yang ingin dicari tapi secupak dosa yang diraih. Berpuluh tahun dahulu, pada musim haji. Di Makah atau lebih tepat lagi di Mina, berpuluh-puluh ribu ekor haiwan ternakan disembelih untuk korban dan akikah dibazirkan sahaja hingga menjadi santapan binatang dan burung-burung. Bayangkan betapa membazirnya, hinggakan puluhan ribu ekor disembelih secara sia-sia. Ingin pahala korban tapi menjadi ‘syaitan’. Itu dahulu, tapi episod pembaziran daging korban masih berlaku di mana-mana termasuklah tempat kita, meskipun kurang ketara. Saya saksikan sendiri, pernah beberapa ketika daging korban yang telah dimasak terpaksa ‘dikebumikan’ lantaran sudah tiada sesiapa yang mahu menikmatinya. Entah kenapa,di sesetengah tempat( bukan semua tempat) menjadi tabiat orang kita, terlalu ghairah ingin berkorban pada 10 Zulhijjah, padahal ia boleh dilakukan sampai 13 Zulhijjah. Kerana masing-masing ghairahkan 10 Zulhijjah, lalu berlakulah lambakan daging korban, hinggakan tak tahu lagi ke mana ingin diagihkan. Lagi parah, terdapat pula yang terlalu berpegang dengan fatwa haram diberi daging korban dan akikah kepada bukan islam.



(sebuah kediaman di sana)

Kita lupa, saudara kita di tempat lain yang hanya sesekali sahaja dalam setahun berpeluang menimati daging. Hari-hari yang lain hanya berlaukkan ikan air tawar. Di Kemboja, umat islamnya amat daif. Kemiskinan menghalang mereka hidup sempurna hinggakan disesetengah kawasan hanya setahun sekali sahaja yang dapat menyentuh daging. Menurut seorang sahabat saya yang pernah menyertai acara korban di sana, kemiskinan umat islam di sana benar-benar diluar duga, mereka menggunakan kepala ikan sebagai bahan menyalakan pelita tika malam hari. Macam mana proses untuk menghasilkan minyak daripada kepala ikan, tidak pula saya bertanya secara panjang lebar. Mufti Kemboja, Okhna Haji Kamaruddin Yusof sering kali menyatakan tentang keperitan umat islam di sana. Kita di sini, boleh dikatakan hari-hari makan daging hinggakan terlebih dalam pengambilan daging, dan ibadat korban yang bernilai ibadat seolah-olah hanya adat, lantaran kita lakukan sekadar untuk memenuhi syarat hinggakan terabai falsafah di sebalik ibadat suci ini. Sejujurnya, saya sedang mencari ruang dan peluang untuk menunaikan ibafat korban di kemboja, Insha-Allah tahun hadapan, kalau diizinkan Allah.

TANPA membuang masa, saya paparkan fatwa dari Mufti Kerajaan Brunei tentang hukum MEMINDAHKAN DAGING KORBAN .

(gambar surau yang daif di Kemboja)


HUKUM MELAKUKAN IBADAT KORBAN
DI LUAR NEGERI DAN MEMINDAH DAGING KORBAN

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Ibadat korban sangat-sangat dituntut untuk dilaksanakan bagi orang yang
mempunyai kemampuan. Ia merupakan bukti keikhlasan dan ketaqwaan
seseorang kerana dalam ibadat korban itu antara hikmah pensyariatannya
ialah mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, melahirkan
kesyukuran dengan nikmat yang diberikan, menggembirakan orang miskin
dengan pemberian daging korban, di samping menambah amal kebajikan.


Dalam melaksanakan ibadat korban, di mana sahaja ianya dilakukan, pasti
akan melibatkan perbelanjaaan wang dan harta benda. Ibadat korban yang
dilakukan oleh seseorang di negeri lain bukan di negeri tempat dia berada,
dalam hukum fiqh melibatkan hukum tertentu, iaitu memindah wang ke
negeri lain. Melakukan korban di luar negeri terjadi kerana beberapa faktor,
antaranya faktor harga binatang korban yang lebih murah di sesuatu tempat,
faktor terdapat ramai bilangan fakir miskin di tempat berkenaan dan
sebagainya.


Kadang-kala setelah berkorban di suatu negeri, sesetengah individu
kemudian berhasrat untuk membawa atau memindah daging binatang korban
itu kembali semula ke negeri di mana orang yang berkorban itu berada.


Dalam perbincangan fiqh, perkara ini melibatkan hukum memindah daging
korban ke negeri lain.
Dalam kedua-dua perkara ini, terdapat penjelasan hukum syara‘
mengenainya seperti berikut.


1. Memindah Wang Ke Negeri Lain.

Menurut ulama hukum memindah wang adalah harus. Apa yang
dimaksudkan dengan memindah wang di sini ialah memindahkan wang
daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban.
Gambarannya ialah seseorang orang tempatan yang mahu melakukan ibadat
korban di negeri Makkah umpamanya, dengan erti kata dia mahu membeli
binatang korban dan seterusnya menyembelihnya di sana. Menurut
pandangan ulama perkara ini adalah diharuskan.
Cara pembelian binatang korban pula, sama ada:
1. Orang yang hendak berkorban itu sendiri pergi ke luar negeri dan
melaksanakan sendiri segala urusan korban dari awal pembelian
binatang korban sehinggalah penyembelihannya.


2. Ataupun dia melantik wakil dan menyerahkan wang kepada wakil
tadi untuk melaksanakan urusan yang dimaksudkan. Ini kerana
menurut syara‘, hukum wakalah (perwakilan) atau melantik wakil
dalam ibadat korban adalah harus.


Dapat difahami daripada penjelasan ringkas di atas, adalah harus bagi
seseorang yang hendak berkorban untuk melantik wakil pada membeli
binatang korban dan juga harus melantik wakil pada menyembelih binatang
korban, sekalipun bukan di negeri orang yang berwakil, iaitu orang yang
hendak berkorban tadi. Bagaimanapun, dalam perkara berwakil hendaklah
diberi perhatian dalam menjaga syarat-syarat ‘wakalah’ (perwakilan) agar
ibadat yang dikerjakan sah dan sempurna menurut syara‘.


2. Memindah Daging Korban Ke Negeri Lain.
Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah
memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke
negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan atau diagihagihkan
kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan.
Dalam perkara memindah daging korban, hukum mengenai keharusan
perkara ini tergantung kepada jenis korban yang dilakukan. Perlu diketahui
bahawa korban terbahagi kepada dua; korban wajib dan korban sunat.
Korban menjadi wajib umpamanya dengan sebab dinazarkan atau korban
yang dilaksanakan kerana menyempurnakan wasiat seseorang.


Secara ringkas, hukum memindah daging korban dari negeri tempat
penyembelihannya ke negeri lain adalah seperti berikut:

(i) Korban wajib

Dalam korban wajib, kesemua daging daripada binatang yang
disembelih itu wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan
mentah. Oleh itu, haram hukumnya memindahkan daging korban
berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama
Syafi‘eyah.

Dapat difahami daripada penjelasan di atas bahawa daging daripada
binatang korban wajib itu wajib diagihkan kesemuanya kepada golongan
fakir dan miskin di negeri (tempat) di mana binatang korban itu
disembelih.

(ii) Korban sunat

Dalam korban sunat pula, terdapat bahagian daripada daging korban itu
yang sunat dimakan oleh orang yang berkorban atau dihadiahkan, dan
terdapat bahagian yang wajib disedekahkan.
Hanya bahagian atau hak orang yang berkorban itu sahaja yang harus
dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib
disedekahkan kepada fakir miskin wajib disedekahkan di tempat
berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain.
Gambaran bagi masalah ini, seorang yang menyembelih korban sunat
untuk dirinya di suatu negeri, maka adalah disunatkan baginya
membahagi daging binatang korban tersebut kepada tiga bahagian
seperti berikut:

a. Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir miskin
Diwajibkan bagi orang yang berkorban untuk menyedekahkan
sebahagian daripada daging korban sunat dalam keadaan mentah, iaitu
tidak dimasak, kepada fakir dan miskin untuk dimiliki oleh golongan
ini.
Bahagian ini wajib disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin
di negeri (tempat) binatang korban disembelih dan haram
dipindahkan ke negeri lain.

b. Sepertiga (1/3) untuk dirinya sendiri
Disunatkan bagi orang yang berkorban memakan sebahagian
daripada sepertiga sembelihan korban sunatnya sebagai mengambil
berkat. Malahan afdhal baginya memakan hati binatang tersebut
kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

c. Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya
Disunatkan bagi orang yang berkorban menghadiahkan sebahagian
daging korban sunatnya kepada orang kaya seperti ahli keluarga,
saudara-mara, sahabat-handai dan seumpamanya dari kalangan orang
Islam.
Maka bahagian (b) dan (c) ini adalah harus hukumnya jika daging
korban itu dipindahkan ke negeri (tempat) lain.

Niat Korban
Seperti yang diketahui, niat merupakan syarat sah korban. Niat korban sah
dilakukan setelah masuk waktunya, iaitu dari terbit matahari dan kadar
berlalu sembahyang sunat Hari Raya Adhha dan dua khutbahnya yang
ringkas.

Sekiranya seseorang itu menyembelih sendiri binatang korbannya, maka niat
korban itu dilakukan ketika atau seiringan dengan penyembelihan binatang
korban. Bagaimanapun harus juga mendahulukan niat itu sebelum
menyembelih mengikut pendapat yang ashah.
Bagaimana pula jika sekiranya korban itu disembelih oleh wakil orang yang
berkorban?

Sekiranya seseorang itu mewakilkan kepada individu lain untuk
menyembelih binatang korbannya, maka memadai orang yang berkorban itu
sahaja yang berniat, sekalipun wakilnya itu tidak berniat ketika
menyembelih binatang korban.

Namun jika sekiranya orang yang berwakil (orang yang hendak berkorban)
sudah menyerahkan perkara niat korban kepada wakilnya, maka memadailah
niat wakil tadi ketika menyembelih binatang korban, sekalipun
penyembelihan korban dilaksanakan di luar negeri.


Menyentuh mengenai perkara berwakil korban di luar negeri, terdapat
pendapat ulama yang mengatakan, hendaklah yang berwakil (orang yang
berkorban) menyerahkan niat korban kepada wakil. Dan memadai juga jika
niat itu dilakukan lebih awal; tidak seiringan dengan penyembelihan, iaitu
ketika orang yang berwakil (orang yang berkorban) menyerahkan wakalah
(perwakilan) kepada wakil.


Sebagai kesimpulan, menurut syara‘ seseorang yang ingin melakukan ibadat
korban di suatu negeri bukan di negeri tempat dia berada hukumnya adalah
diharuskan. Caranya ialah dengan membeli binatang korban di suatu negeri
dan seterusnya menyembelihnya di tempat tersebut. Cara pembelian itu pula
sama ada dilakukan sendiri oleh orang yang hendak berkorban itu atau
dengan menggunakan perantaraan seperti melantik seorang wakil dan
menyerahkan wang kepadanya untuk menguruskan pembelian dan
seterusnya pelaksanaan penyembelihan binatang korban di luar negeri.


Selain itu, jika seseorang itu berhasrat untuk memindahkan daging binatang
korban dari tempat binatang itu disembelih ke negeri lain, maka ada
bahagian yang haram dipindahkan ke negeri lain, iaitu bahagian yang wajib
disedekahkan kepada golongan fakir miskin. Menurut syara‘, bahagian ini
wajib diagihkan kepada golongan yang berhak di negeri (tempat) di mana
binatang korban itu disembelih.


Manakala bahagian yang selebihnya, umpamanya bahagian yang sunat
dimakan oleh orang yang berkorban itu sendiri dan bahagian yang sunat
dihadiahkan kepada golongan kaya, seperti ahli keluarga dan sahabat handai
dari kalangan orang Islam, hanya bahagian ini sahaja yang diharuskan untuk
dipindahkan ke negeri (tempat) lain

Gambar-gambar sekitar acara korban di kemboja


Wednesday, November 10, 2010

Seketika di HO CHI MINH CITY, VIETNAM.

( Tukul dan sabit, simbol komunis & Sosialis.
yang melambangkan golongan pekerja industri dan petani )

Ini adalah sambungan daripada entry lepas :-- > sila lihat SINI


Minggu lepas( 3-7.11.2010), sempena cuti Deepavali saya ambil kesempatan ke Ho Chi Minh a.k.a Saigon. Sepanjang empat hari kat sana, sempat jugalah saya jalan-jalan sekitar beberapa tempat menarik sekitar Ho Chi Minh City (HCMC) dan sempat juga menyusuri Sungai Mekong. Paling menarik bagi saya ialah kesempatan berkunjung ke Cu Chi Tunnels.



( kat pintu masuk Cu Chi Tunnel )


Di Ho Chi Minh City dan Hanoi matawang yang digunakan untuk segala urusan ialah US Dollar (kadar sekarang rasanya: RM3.20= 1 USD) dan Vietnam Dong (RM1= 6000 VND), tapi RM pun adakalanya boleh digunakan, terutamanya kat restoran.




(antara bom dan peluru yang US Army gugurkan di Cu Chi)


Dari segi sejarah, Dahulunya Vietnam terbahagi kepada dua, iaitu Vietnam Utara yang pro-komunis dan berpusat di Hanoi. Vietnam Selatan pula anti-komunis dan berpusat di Saigon( kini dikenali sebagai Ho Chi Minh). Namun, kedua negara ini telah bersatu secara rasminya pada 2 Julai 1976 dan menjadi sebuah negara yang dikenali sebagai Vietnam

( Cu Chi Tunnel )


Tentang HCMC, ia adalah kota terbesar di Vietnam dan terletak berhampiran ( sebenarnya berdasarkan perjalanan saya tempoh hari, saya rasa agak jauh juga. Lebih kurang 100km ) delta Sungai Mekong. Asalnya, ia merupakan merupakan pelabuhan utama Kemboja, yang kemudian ditakluki oleh bangsa Vietnam pada abad ke-16. Meskipun nama Ho Chi Minh yang digunakan namun rata-riti masyarakat kat sini lebih mesra menggunakan istilah SAIGON( ini berdasarkan perbualan saya dengan beberapa rakyat Vietnam sepanjang berada di sini).


(Bersama rakan kat Cu Chi Tunnel- ada gaya tentera Vietcong tak)

Chu Chi Tunnels terletak di daerah Cu Chi. Ia merupakan rangkaian terowong bawah tanah sejauh 200 km. Cu Chi Tunnel yang terletak di bawah tanah tapi lengkap dengan segala kemudahan seperti bilik rehat, bilik mesyuarat, bilik memasak, hospital dan stor.

Hebatkan, sebab semua itu dapat dibina di bawah tanah. Menerusi Cu Chi Tunnellah tentera Vet Cong menembak tentera Amerika. Lagi hebat, walaupun Cu Chi, diserang dengan pelbagai bom dan peluru dari US army, namun tentera Viet Cong tetap selamat kerana Cu Chi Tunnel sangat kuat


(Bersama rakan kat Cu Chi Tunnel)

(Bersama rakan kat Cu Chi Tunnel)

(War Remnants Museum - Segala bukti tentang kekejaman tentera Amerika dipaparkan di sini)


Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di My Lai pada 16 Mac 1968, memang sentiasa dikenang oleh warga Vietnam. Leftenan William Calley yang memimpin 1 Platun US army ketika itu telah melakukan pembunuhan kejam terhadap penduduk kampung My Lai. Calley memerintahkan pembunuhan beratus-ratus orang penduduk awam, terdiri dari orang tua-tua, wanita dan kanak-kanak termasuk bayi kecil.


(gambar mangsa kekejaman tentera Amerika
sepanjang perang Vietnam)


Sebilangan daripada mereka diseksa dan diperkosa. Ramai yang diheret masuk ke dalam longkang dan ditembak dengan raifel automatik. Calley mengancam hendak meletupkan genad di dalam sebuah liang besar yang disumbat dengan penduduk kampung. Bilangan sebenar mereka yang terbunuh berbeza-beza mengikut sumber mana yang digunakan, tetapi angka kematian yang selalu digunakan adalah di antara 347 dan 504 orang.


(gambar mangsa kekejaman tentera Amerika
sepanjang perang Vietnam)


Satu tugu peringatan dibina di tapak pembunuhan menyenaraikan nama 504 orang mangsa pembunuhan. Lebih kejam, segelintir tentera Amerika telah bertindak memotong telinga mangsa-mangsa yang telah dibunuh dan telinga itu diikat pada tali sebagai lambang kemegahan. Tapi, kejahatan tentera Amerika ini disembunyikan dengan propaganda ‘Maha Hebat’ dengan hero-heronya yang baik hati seperti digambarkan dalam filem Missing In Action (lakonan Chuck Norris) dan Rambo (lakonan Sylvester Stallone)

(sebuah restoran tidak jauh dari Delta Mekong)



(Menyusuri Sungai Mekong.
Sungai ke-10 terpanjang di dunia )


Sungai Mekong merupakan Sungai terpenting di Vietnam. Ia merupakan sungai ke-10 terpanjang di dunia. Saya difahamkan(menerusi pembacaan) panjangnya ialah sekitar 4880 km dan lembangan Sungai Mekong seluas 812,000 km persegi. Ia Mengalir dari Dataran Tibet di utara mengalir melalui Yunnan di China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam. Lebih 90 juta penduduk bergantung hidup pada Sungai Mekong terutama sekali pesawah padi. Lebih 140,000 km persegi sawah ditanam di lembangan Sungai Mekong

( Menyusuri Sungai Mekong )


Kat HCMC ni, makanan halalnya agak susah diketemui. Mungkin disebabkan pertama kali ke sana dan pergi pula dalam tempoh yang singkat, jadi inilah kesimpulan yang dapat saya buat. Yang pasti, amat mahal harganya, mugnkin disebabkan kurangnya umat islam kat sini. Sekali makan harganya RM40 seorang.


( lunch kat restoran Halal Saigon)


Pada hari terakhir kat HCMC ( setelah merayau dalam hujan sambil menikmati keindahan malam kat HCMC) barulah saya jumpa sebuah restoran milik orang Pakistan. Dapatlah makan nasi goreng ayam yang berharga RM20 sepinggan. Kira murahlah tu.

Jadi saya sarankan kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke HCMC dan lain-lain lokasi di Vietnam agar melayari internet terlebih dahulu untuk mengenalpasti lokasi-lokasi restoran yang menyajikan makanan halal.

Langsung ke SINI untuk maklumat tentang masjid dan restoran halal di Ho Chi Minh dan lain-lain Bandar di Vietnam




(Ni antara pekerja hotel tempatku menginap. Terima kasih buat adik manis ni sebab ramah melayanku berborak.)


Tentang warga HCMC, saya dapati kat sini tidak ada langsung gerai-gerai atau warung. Mereka berjual beli di tepi jalan. Seronak tengok mereka makan- minum menggunakan kerusi kecil kat tepi-tepi jalan. Jujur, ia amat menarik perhatian saya.


(Ben Thant Market)

Ben Thant Market pula merupakan pasar yang menjadi lokasi aktiviti perniagaan kat HCMC. Fungsi dan situasinya macam Pasar Ikan di Medan Sumatera Utara Indonesia. Kalau di Malaysia, ia ni macam Pasar Siti khatijah di Kota Bharu atau Pekan Rabu di Alor Atar. Tapi, berdasarkan pengalaman saya, aktiviti urus niaga kat Ben Thant ni lebih meriah. Harga dijual amat mahal dan kita perlu tawarkan sehabis-habisnya. Jika bijak tawar menawar, kita akan memperolehi barangan yang pada harga asalnya RM100 tapi pada harga RM30.



(Tugu Ho Chi Minh)

(suasana di HCMC)



( Aku berhampiran Saigon Central Post Office )

(Tugu Ho Chi Minh)

Sunday, November 7, 2010

HUKUM MEMBERIKAN DAGING KORBAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM.



Umat Islam pada dasarnya hanya ada dua perayaan iaitu, Eidul Fitri( Hari Raya Puasa) dan Eidul Adha( Hari Raya Korban atau Haji). Hari-hari yang lain termasuklah Maulidur Rasul tidaklah ditekankan pada zaman awal islam. Umum mengetahui korban merupakan ibadat sunnah. Dalam Mazhab as- Syafie, ia merupakan Sunnah al-Muakkad. Namun hukumnya menjadi wajib andainya seseorang itu bernazar, malah haram ke atas si penazar dari memakan daging korban tersebut.

Kembali kepada tajuk, umumnya sedia maklum, ramai antara masyarakat islam di Malaysia beranggapan haram memberikan daging korban kepada orang bukan islam. Saya akui ini adalah pegangan majoriti umat islam di Malaysia.

Bukan setakat orang-orang awam malah ramai juga ulama-ulama di Malaysia yang berpendapat sebegitu. Sebenarnya tiada dalil yang qat’ie tentang perkara ini. Ia hanyalah masalah ijtihad jadi kita kena berlapang dada dengan pendapat yang pelbagai meskipun bertentangan dengan pendapat atau pendirian kita.

Sejujurnya, sepanjang menyambut eidul adha di Sabah(sepanjang tahun 2002-2005), saya sentiasa memberi makan daging tersebut kepada orang-orang bukan islam. Sekitar tahun 2002- 2005,eidul adha disambut di luar musim cuti semester, jadi pelajar-pelajar yang datangnya dari jauh seperti Pantai Barat Sabah,tidak akan pulang bercuti. Lagipun cuti untuk eidul adha hanya sehari sahaja( 2 atau 3 hari bila ditambah cuti berganti). Jadi ramailah pelajar-pelajar kadazan/dusun yang beragama Kristian akan bersama-sama kami meraikan ediul adha. Dan, mereka juga turut menikmati hidangan daging korban tersebut.

Sebelum berbicara panjang, saya paparkan dahulu petikan dari website e-fatwa.

Hukum Daging Korban Berkaitan Dengan Orang Bukan Islam

Keputusan:
Daging korban tatawwu" (sunat) adalah sunat dimakan oleh orang yang berkorban, diberi hadiah dan disedekahkan kepada fakir miskin. Adapun untuk orang kafir di Malaysia maka hukumnya adalah harus akan tetapi keutamaan adalah kepada golongan miskin di kalangan orang Islam

Status Penwartaan: Tidak Diwartakan

Sumber:e-fatwa.gov.my(
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/hukum-daging-korban-berkaitan-dengan-orang-bukan-islam)


(soal jawab agama bersama Dato Dr Haron Din dalam akhbar Harakah.
Sila klik untuk membesarkan imej dan memudahkan pembacaan)



Syukur kepada Allah, kerana dalam akhbar Harakah, edisi 8-11 November( 1-4 Zulhijah 1431) ruangan agama bersama Dato Dr Haron Din( m/s= F8), ada membicarakan persoalan ini. Secara mudahnya, Dr Haron Din, mengatakan harus memberikan daging korban kepada orang bukan islam sama ada yang masih mentah atau yang sudah dimasak. Menurut Dr Haron Din lagi, Al-Quran secara umumnya tidak mengkhususkan kepada orang islam sahaja untuk diberikan daging korban. TAPI, yang diHARUSKAN ini ialah daging korban dan akikah yang bertaraf sunat sahaja, manakala yang bertaraf wajib ( kerana nazar) maka hukumnya haram.

Saya kira penjelasan Dr Haron Din, yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS seddikit sebanyak mampu merungkai permasalahan ini kerana umum mengetahui kepakarannya dalam persoalan agama. Kenapa saya berkata sebegini? Sebab beberapa tahun yang lepas, ada beberapa orang ustaz ‘memfatwakan’ segala korban yang saya lakukan adalah sia-sia kerana diberi kepada bukan islam. Malah ada orang tertentu yang marahkan saya lantaran perbuatan saya itu.

Sebenarnya, sebelum ini telah ada beberapa tokoh agama di Malaysia yang mengharuskan pemberian daging korban dan akikah kepada bukan islam. Antaranya ialah Dr Abdul Rahman Haqqi, seorang pensyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam( rujuk soal jawab agama Berita Harian, m/s=15 bertarikh 28 Mei 2006). Kata Dr Abd Rahman Haqqi, tiada dalil yang mengharamkan daging akikah( juga korban) daripada dimakan oleh bukan islam. Menurut beliau, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, seperti yang dipetik oleh al-Khatib al-Shirbini dalam kitabnya al-Iqna’, jilid II, m/s 244 mengharuskan pemberian daging korban sunat kepada orang-orang fakir ahli zimmah.

Badan Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini telah menjawab : Boleh diberikan daging korban kepada bukan islam yang tidak memerangi islam ( kafir zimmi) atau tawanan perang(bukan islam). Boleh kita berikan kepadanya disebabkan kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau untuk dijinakkan hatinya:

Saya teringat cerita tentang Drs Khalil Idham Lim yang terbuka hati/jinak hati untuk memeluk islam setelah diberi ruang dan peluang untuk menikmati daging korban.

Akhir sekali, persoalan ini adalah masalah khilafiah. Terserahlah kepada kita untuk mengambil pendekatan yang mana satu. Samaada ingin memberi atau tidak daging korban kepada bukan islam. Jika berjiran atau dikunjungi tetamu bukan islam, dan masih juga ingin berpegang kepada pendapat tidak boleh diberi daging korban kepada bukan islam, maka masih ada alternatifnya. Belilah beberapa kilo daging untuk dikhaskan kepada jiran atau tetamu bukan islam. TAPI, saya sejujurnya berpegang kepada pendapat yang mengharuskan pemberian daging korban kepada bukan islam. Mana tau dengan cara ini, kita dapat mendekatkan mereka dengan islam. Dekat tak semestinya memeluk islam, tetapi mereka memahami betapa murni dan indahnya ajaran islam. Itupun sudah cukup memadai.

APAPUN, adalah wajar diutamakan fakir miskin islam terlebih dahulu sebelum daging korban itu beralih kepada bukan islam. Jangan pula, jiran seagama kelaparan sebab tak diundang tetapi tetamu-temau bukan islam pula memenuhi rumah. Bijaksanalah dalam mengadakan majlis dan mengagihkan daging korban tersebut.