Monday, December 6, 2010

SALAM MAAL HIJRAH 1432.

(saya tertarik dengan papan tanda
yang saya ketemui
ketika pulang bercuti ke Kelantan
sempena eidul adha baru-baru ni)

Syukur kepada Allah kerana kita masih dilanjutkan usia untuk melayari tahun baru. Tahun baru Hijrah yang begitu bermakna hendaklah dipergunakan untuk memaknakan hidup demi kehidupan yang bermakna. Syukur sangat-sangat, kerana kita msih diberi ruang dan peluang. Ruang untuk membetulkan segala kesilapan dan peluang untuk memperbaiki segala kekurangan. Terutamanya kesilapan dan kesalahan terhadap-NYA. Dan ‘kekurangan’ mengatur langkah dalam menghampiri-NYA. Kesilapan dalam menanam noda dan menuai dosa. Dan kekurangan dalam meraih pahala. Cuba kita pejamkan mata dan cuba pula mencongak dalam fikiran. Berapa banyakkah dosa yang pernah kita lakukan? Masya-Allah sentiasa bertambah dan berganda sejajar dengan peningkatan usia. Cuba buat keluk atau graf. Namakan ia KELUK atau GRAF DOSA.

Mungkin pada tahun-tahun yang sudah, kita hidup dalam wilayah murka-NYA , jadi bermula 1 Muharam 1432 ini marilah kita sama-sama berhijrah ke wilayah redha-NYA. Dalam sebuah Hadis yang diketengahkan oleh Bukhari dan Muslim, ada diceritakan kisah seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Dia ingin menjumpai seorang abid untuk meminta fatwa supaya dia dapat bertaubat dari dosanya. Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan bahawa dia telah membunuh 99 orang dan bertanya sama ada dia masih ada peluang untuk bertaubat.






Abid itu dengan tegas mengatakan dia tidak boleh bertaubat kerana dosanya terlalu banyak. Lelaki itu mejadi marah dan terus membunuh abid itu, menjadikannya mangsa yang ke-100. Dia masih ingin untuk bertaubat dan terus mencari kalau-kalau ada ulama yang boleh membantunya. Akhirnya dia berjumpa dengan seorang ulama. Dia menceritakan bahawa dia telah membunuh 100 orang dan bertanya sama ada Allah masih menerima taubatnya.Lelaki itu bertanya : “Aku telah membunuh 100 orang yang terpelihara darahnya, maka masih adakah jalan taubat bagiku?”Ulama itu bertanya balik : “Lalu siapakah yang menghalang-halangi antara kamu dengan taubat dan siapakah yang mencegahmu dari melakukan taubat?

Seterusnya dia menyuruh lelaki itu pergi ke sebuah negeri di mana terdapatnya pemuda-pemuda soleh. Apabila sampai di sana nanti, ulama itu menyuruhnya tinggal di sana dan beribadat bersama mereka. Ulama itu melarangnya pulang ke negeri asalnya yang penuh dengan maksiat. Lelaki itu mengucapkan terima kasih lalu terus menghala ke negeri yang diterangkan oleh ulama tadi. Diringkas cerita, pemuda tersebut meninggal semasa di dalam perjalanan menuju ke tempat yang dimaksudkan. Situasi ini menimbulkan pertikaian antara malaikat rahmat dan malaikat azab lantaran pemuda tersebut belum sempat untuk beribadat cuma sempat bertaubat dan dalam perjalanan mencari redha-NYA. Jalan penyelesaian, terpaksalah diukur jarak antara lokasi pemuda tersebut meninggal dengan negeri baru yang ingin dituju dan negeri lama yang telah ditinggalkan. Kesudahannya, pemuda tersebut lebih menghampiri negeri baru yang ingin dituju dan langsung mendapat keampunan daripada Allah.

Mesej yang ingin disampaikan dalam hadis ini mudah sahaja, iaitu keampunan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi setiap langkah yang kita atur dan setiap jejak yang kita susun dalam proses menuju redha-NYA. Manakala kebaikan pula, meskipun sebesar zarah tetap menatijahkan pahala buat kita. Oleh itu, sama-samalah kita berhijrah menuju WILAYAH redha-NYA sebelum kita berhijrah menuju ke WILAYAH yang abadi selama-lamanya.

Ingin juga saya berbicara tentang sebuah hadis yang sering disalah tafsirkan oleh segelintir penceramah, iaitu hadis yang bermaksud “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari). Sekali pandang seolah-olah hadis ini telah menasakhkan ( memansuhkan ) hukum berhijrah. Tapi pengertian sebenar hadis ini bukanlah begitu. Ramai penceramah tidak teliti dalam soal ini dengan tidak mempedulikan Sabab al-Wurud( iaitu sebab sesebuah hadis didatangkan atau diucapkan oleh Nabi S.A.W). Dalam isu ini, baginda mengucapkan demikian kerana Mekah telah bertukar dari tanahair kufur kepada tanahair Islam. Maka tidak perlu lagi orang Mekah berhijrah ke Madinah seperti yang menjadi tuntutan sebelum itu. Jadi, ia bukan bermaksud tuntutan hijrah dibatalkan terus untuk setiap masa, ketika dan lokasi. Sebab itulah al-Imam al-Nawawi mengatakan, para ulama telah berkata “ Hijrah daripada Dar al-Harb kepada Dar al-Islam kekal sehingga hari kiamat.”

Jadi, bagi umat islam yang tertekan dan tidak mampu melaksanakan tuntutan islam seperti solat dan berpuasa lantaran larangan dan ancaman oleh pemimpin-pemimpin negara kuufar, maka menjadi kewajipan ke atasnya untuk berhijrah ke tempat lain yang membolehkan dia melaksanakan tuntutan agama.

Lebih dari itu, ia bukan setakat berhijrah negeri atau wilayah tapi turut merangkumi berhijrah kerjaya dan tempat kerja. Di sesetengah kilang tertentu, terdapat pekerja-pekerja islam yang menghadapi kesukaran untuk menunaikan solat lima waktu dan bersolat jumaat. Malah disesetengah restoran, pekerja yang beragama islam terpaksa menghidangkan arak dan makanan haram. Lagi malang, terdapat kes amah-amah yang beragama islam dari negara Seberang terpaksa memasak dan menghidangkan makanan yang haram untuk santapan majikannya yang bukan beragama islam. Sudah tiba masanya, kerajaan mengkaji balik dasar ini. Biarlah amah yang beragama islam bekerja dengan majikan yang beragama islam. Saya amat hairan, entah kenapa orang kita tidak sensiitf tentang isu ini. Meskipun mereka itu pendatang dari negara jiran tapi mereka tetap beragama islam, jadi mereka perlu dipertahankan untuk melangsungkan jatidiri islam yang mereka anuti. Kembali kepada cerita, jadi, wajar sekali untuk pekerja-pekerja yang beragama islam yang menghadapi situasi sebegini untuk berhijrah ke tempat kerja yang lain demi mempertahankan islam yang mereka anuti. Apatah lagi, jika penghijrahan tersebut hanya melibatkan kerugian sekitar seratus dua sahaja. Amat tak berbaloi jika ingin korbankan kesucian islam yang dianuti dengan wang riggit seratus dua itu.

Begitu juga dengan pasangan kekasih, terutamanya kaum wanita. Andainya teman lelaki anda asyik nak beringan-ringan jer, maka eloklah dipertimbangkan kembali. Eloklah berhijrah kepada lelaki lain yang lebih teguh pegangan agamanya (ditambah pula dengan mantap kerjayanya). Lelaki sebegini lebih mampu membahagiakan anda daripada kekasih anda yang kemaruk aksi terlarang( sekadar meminjam istilah yang digunakan oleh Suhaimi Meor Hassan dan Ana Rafali). Kekadang saya bingung dan hairan, kalau kat Facebook pun berani diuploadkan aksi berpeluk-pelukan, maka apatah lagi ketika dating di taman atau ketika keluar bersama pada waktu malam. Insaflah dan segeralah berhijrahlah sebelum anda( lebih tepat ialah istilah kita) dihijrahkan ke alam yang kekal buat selama- lamanya.
Akhir sekali, salam maal hijrah buat semua sahabat-sahabat blogger tecinta.
p/s= jutaan maaf saya pinta sebab entry ini ditulis tergesa-gesa kerana saya terpaksa menghadiri kenduri kahwin seorang kenalan sekitar Ipoh Perak.