Friday, January 28, 2011

KABUS (Telemovie yang HEBAT.)

(Eman Manan dan Alex Komang,
Pelakon Utama Telefilem KABUS)

Mungkin saya terlampau terlewat memperkatakan tentang telemovie ini. Dan, syukur kepada Allah, disebalik menyampah dengan astro yang sering mengulang tayang berkali-kali setiap filem mahupun drama yang disiarkan menerusi salurannya akhirnya saya menemui sebuah telemovie yang sangat berkuaiti. Saya tak pasti, KABUS yang saya tonton itu sudah berapa kali diulang tayang., tapi takpelah yang penting saya masih berkesempatan walaupun tak disengajakan. Semuanya bermula apabila saya tertekan channel oasis( sblm tu saya nonton channel History ,555), lalu mata saya terus terpana melihat lakonan Eman Manan dan Alex Komang.

Bagi saya, KABUS merupakan sebuah telefilem yang hebat. Ia memerihalkan persoalan insan dan keinsanan, juga persoalan TUHAN dan KETUHANAN. Ia menyanggahi kelaziman dan menyalahi kebiasaan. Selama ini bila memperkatakan tentang KETUHANAN, ia sering sahaja merujuk kepada watak utamanya ialah seorang orang agama, atau setidak-tidaknya akan ada watak seorang orang agama, contohnya drama Ustaz Amirul. Tapi dalam telefilem KABUS, watak utamanya bukanlah orang agama(ustaz) tapi seorang yang beragama(pemburu yang taat dan patuh kepada-NYA). Malah, dalam telefilem ini, tiada satupun watak orang agama.

Jangan salah faham, tidak sesekalipun saya menidakkan watak orang agama sebagai watak utama dalam sesebuah filem berkonsepkan KETUHANAN, Cuma ia sekadar biasa-biasa sahaja dan adakalanya kita ingin dihidangkan dengan sentuhan luar biasa. Apatah lagi, luar biasa yang berbisa. Sekali gus, ia memahamkan semua, betapa setiap muslim adalah duta kepada agama islam. Ini sejajar dengan sabda Junjungan Mulia S.A.W “ Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” Setidak-tidaknya khalayak penonton akan mengerti, tugas menyeru manusia ke jalan TUHAN, bukanlah tugas para ulama sahaja, tapi tugas setiap individu yang beragama islam berdasarkan kemampuannya. Necmettin Erbakan, Muhammad Iqbal dan Dr Ali Shariati adalah contoh yang jelas dalam hal ini. Dalam telefilem in pula , seorang pemburu yang menjadi watak penting yang ditugaskan untuk menyeru manusia ke jalan Tuhan.

Kembali kapada telefilem KABUS, ia mengisahkan Alim(Eman Manan) seorang pemburu yang tersesat di hutan( kalau tak silkap saya hutan Kalimantan, walaupun lokasi pergambaran hanyalah di sekitar Larut, Matang dan Selama Perak. Hutan yang tebal inilah yang menemukannya dengan Wahid(lakonan Alex Komang), seorang penjenayah yang sedang melarikan diri daripada buruan bekas rakan-rakan sejawatnya(geng-geng penjenayah). Malah, hutan tebal inilah yang ‘menemukan’ Wahid dengan TUHAN. Sekali lagi ia menyalahi kebiasaan. Biasanya lokasi untuk ‘mencari’ dan sekaligus ‘menemui’ TUHAN adalah di masjid, malah dalam drama tertentu lokasinya di Tanah Suci Makkah. Tapi, tidak untuk telefilem KABUS, di mana hutan belantara menjadi medan lebur dan berkuburnya kejahilan Wahid. Sesuatu yang perlu kita akui, hari ini masih ramai yang beranggapan , jika ingin berbicara persoalan agama, maka lokasinya adalah masjid atau surau. Agama seolah-olah satu penyakit yang membahaya hinggakan terpaksa dikuarantinkan di surau dan masjid. TUHAN juga ‘ditinggalkan’ bersama lipatan sejadah dan untaian tasbih di masjid dan surau, seolah-olah di luar masjid atau surau, TUHAN sudah tidak ada. Sebab itulah berlakunya penipuan dalam perniagaan, pecah amanah oleh kakitangan awam dan macam-macam lagi kegilaan yang menggila.

Akhir sekali, saya amat tertarik dengan beberapa dialog yang diucapkan oleh Alim(Eman Manan). Antaranya, dialog yang diungkapan ketika dia mula menyapa Wahid( Alex Komang)” kenapa kita dipertemukan di hutan yang tebal ni, , kerana Allah ingin aku membantumu”. Teringat saya akan sebuah kisah dalam sebuah hadis Nabi, tentang pertemuan yang tak dirancang antara pelacur dengan anjing yang dahaga. Dan, pelacur itu membantu anjing yang dahaga dengan menghilangkan dahaga anjing tersebut. Ganjarannya pelacur itu dimaafkan dan dimasukkan ke dalam syurga. Hebatkan mesej yang ingin disampaikan dalam telefilem ini.


Satu lagi dialog yang menarik bagi saya ialah kata-kata nasihat dari Alim kepada wahid “Selagi ada langit dan bumi. Selagi ada siang dan malam. Selagi itulah Allah menerima taubat hamba-Nya.” Ya, bagi yang tercari-cari jalan pulang, percayalah jalan itu sentiasa luas terbentang. Ia mengingatkan saya akan persitiwa seoarng pemuda bani Israel yang telah membunuh 100 orang. Dan, dalam perjalanan mencari jalan pulang, dia menemui ajal dan dia diampunkan segala dosa meskipun belum pernah beribadat. Semuanya gara-gara keihlasan hati untuk mencari jalan pulang.

Sekian untuk kali ini, maaf jika ada kesilapan kata dan kekasaran bicara. Sebenanrya entri ini saya tulis sesudah mengemaskan rumah. Pagi esok ,saya akan pulang ke kampung di Kelantan sempena cuti tahun baru cina.


Monday, January 24, 2011

JALAN-JALAN KE CHINA (BEIJING & TIANJIN)

( Berhampiran Tiananmen Square)

Ini adalah sambungan daripada entry lepas, lihat -->: SINI

18 hingga 22 Disember 2010, saya mengambil kesempatan bercuti a.k.a jalan-jalan ke Beijing dan Tianjin China. Ia merupakan perjalanan kedua saya ke negara komunis selepas berkunjung ke Ho Chi Minh a.k.a Saigon Vietnam pada bulan November tahun lepas (sebenarnya sudah tak banyak negara komunis yang berbaki setelah runtuhnya Soviet Union, antaranya Korea Utara dan Cuba).

Kunjungan pada bulan Disember, cukup menyejukkan sebab disember adalah musim sejuk atau Winter kat China. Sungai dan tasik di kebanyakkan tempat di Beijing dan Tianjin telah membeku , meskipun salji belum lagi turun pada tarikh kunjungan saya itu.


(Summer Palace - Kunming Lake)
Tempoh 5 hari 4 malam, hanya beberapa tempat sahaja yang sempat saya kunjungi.Tak banyak tapi sudah memadai. Antaranya Great Wall a.k.a Tembok Besar China, Forbidden City( istana Larangan), Tiannamen Square. Summer Palace, Masjid Niujie, Muslim Super Market, Bird’s Nest Stadium(Stadium Sarang Burung, tempat berlangsungnya sukan Olimpik tahun 2008).




( Summer Palace, Kunming Lake yang membeku)


Bagi saya, pengalaman di Tiananmen Square amat bererti dan bermakna. Apa tidaknya, ketika sedang leka bergambar, saya dan rakan-rakan didatangi polis China. Kemudiaannya polis-polis ini memarahi kami lantaran mempamerkan kain rentang ketika bergambar. Kain rentang yang merujuk kepada group travel kami itu telah menimbulkan salah dalam faham dalam kalangan anggota polis China tersebut. Rupa-rupanya di situ dilarang sama sekali mempamerkan kain rentang, sebab ada sejarah hitam di Dataran Tiannamen itu.



(Summer Palace)


Sejarah telah menjilidkan, di dataran tersebut pernah berlaku peristiwa berdarah. Pada tahun 1989, para Mahasiswa pro-demokrasi telah mengadakan satu demontrasi terhadap Kerajaan. Dikatakan lebih 3 ribu orang telah meninggal (malah ada yang mendakwa jumlah korban melebihi 7 ribu orang)apabila kerajaan China menggunakan tentera untuk menamatkan demontrasi tersebut. Agak lama juga salah faham antara kami dengan pois China ni, hinggalah pemandu pelancong kami menjelaskan maksud sebenar kami. Sebenarnya dah puas kami terangkan tapi polis China tu memang tak faham –faham. Memang mereka tak bahasa Inggeris( apatah lagi bahasa inggeris yang saya gunakan itu ‘berversi’ Kelantan. Hahaha). Akhir sekali kami dibenarkan bergambar tapi tidak boleh mempamerkan kain rentang tersebut.




Great Wall (Tembok Besar China) merupakan destinasi wajib kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke Beijing. Saya difahamkan panjang Great Wall, dengan mengambil kira cabang-cabangnya ialah 8,851.8 KM( ini dikatakan hasil kajian terbaru yang menggunakan teknologi termaju). Sebelum ini panjangnya dianggarkan kira-kira kira-kira 6,400 km. Tak kisahlah berapa KM, yang penting saya naik sekejap jer pastu pergi minum kopi kat Great Wall Store, bergambar kejap dan turun.


(Summer Palace)


Masjid Niujie pula ialah masjid tertua di Beijing,China. Saya difahamkan, ia mula dibina pada tahun 996M dan dibina semula dan juga dibesarkan di bawah Maharaja Qing Kangxi (1622-1722). Niujie merupakan kawasan terbesar diduduki oleh umat Islam di Beijing.

Tentang yang lain-lain tu biarlah gambar yang bercerita. Apa yang pasti, tentu sahaja ada pengajaran berselirat seribu disebalik lokasi-lokasi ini.


(Summer Palace- Pukul 4 petang)




(Geat Wall -Tembok Besar China)


(Geat Wall -Tembok Besar China)




(Geat Wall -Tembok Besar China)



( Bird's Nest Stadium- Olimpik 2008)



(Tiananmen Square)


(Tiananmen Square)



(Tiananmen Square)



(Tiananmen Square)




(Masjid Niujie yang Bersejarah)



(Aku kat Masjid Niujie)


(Masjid Niujie)




(Masjid Niujie)



(Tianjin)



(Beijing- xtvt masa lapang lelaki dewasa kt China)



(Aku kat Food & Cultural Street,Tianjin



(Food & Cultural Street , Tianjin.
Aku dok snap gambar Amoi kot)




Artikel yang berkaitan: Umat Islam di China



Friday, January 21, 2011

JESSICA

Cerpen Saya Ini Telah Disiarkan Dalam MAJALAH WANITA(Utusan Karya Sdn. Bhd)
Edisi Januari 2011

(Ku tulis Cerpen Ini Tanda Kerinduanku Terhadap Sabah )


TAJUK = JESSICA
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL. (shameel Iskandar)


Masih lagi aku menatapi pokok-pokok itu. Pokok-pokok tua yang menjadi sebahagian daripada landskap taman tasik yang sedang aku kunjungi. Tidak sekadar terpegun dengan akarnya yang menikam ke bumi. Tidak hanya terpesona dengan rimbunnya yang menahan simbahan sinar matahari. Tapi, ada perkara lain yang membuatku tertarik dengan pokok-pokok itu.

Dahulu, pernah aku diingatkan. Peringatan yang tidak mungkin aku lupakan selagi hayat dipinjamkan Tuhan. Kalau memandang pokok yang menghijau janganlah sekadar untuk menyegarkan pandangan. Tapi, ada makna lain yang harus direnungkan, begitulah peringatan yang diberi. Bila aku bertanya tentang apa yang perlu direnungi. Jawabnya, renunglah ke dasar hati, agar kita tidak pernah sunyi dari memikirkan, suatu masa nanti segala-galanya akan kita tinggalkan.

Aku memandang ke arahnya dengan penuh tanda tanya. Betul-betul tidak mengerti dengan apa yang diungkapkannya itu. Seakan- akan dapat membaca apa yang bermain dibenakku, lalu, si pengingat itu meneruskan bicaranya. Katanya, “Seperti pokok-pokok yang sedang kita saksikan. Satu masa nanti, pasti akan patah rantingnya. Akan terkopak dahannya dan akan lemah akarnya. Lalu, tersungkurlah ia menyembah ke bumi. Begitulah dengan kehidupan kita ini. Satu ketika nanti, pasti akan menemui noktahnya.” Suasana khali dan bicara terhenti. Persoalan mati yang diungkapkannya itu menyebabkan kami bungkam seketika.

“Tapi, selagi hidup, selagi itu jualah pokok-pokok akan berbudi. Berbudi dengan rimbunnya untuk kita bersandar dan berteduh. Dengan dahan dan rantingnya untuk burung-burung hinggap dan bersarang. Kita juga sepatutnya begitu.” Si pengingat itu kembali bersuara setelah jeda seketika. Aku diam mengunci bicara sambil memikirkan kata-katanya itu.


PERTEMUAN

Lembah Danum, di situlah permulaannya. Aku mengunjungi hutan dara yang terletak di Lahad Datu itu, untuk mencari damai di sebalik kehijauan yang terbentang.

“Itu pokok belian. Pokoknya sangat keras dan tahan lama.” Jelas seseorang tanpa dipinta setelah melihatku yang begitu teruja dengan pokok itu.

“Pernah ke Muzium Batu Tulug?” Soalnya lagi.

“Belum” Jawabku ringkas sambil mencuri pandang ke arahnya. Ayu! Dia sungguh ayu, dengan sepasang mata yang galak dan rambut separas bahu.

Dia tersenyum dan kemudiannya memperkenalkan diri. Jessica, itulah namanya. Gadis berketurunan Kadazan dan berasal dari Penampang. Kunjungannya ke Lembah Danum pula sekadar untuk menghabiskan masa senggang. Melalui Jessica, aku dapat mengetahui serba sedikit tentang gua yang menjadi lokasi penempatan keranda-keranda lama di Kinabatangan itu.

“Sesiapa sahaja pasti teruja dengan keunikkan reka bentuk keranda masyarakat pra-sejarah itu. Hasil kajian pentarikhan karbon mengesahkan keranda-keranda itu hampir seribu tahun usianya. Ia dapat bertahan hingga ke hari ini kerana kebanyakannya diperbuat daripada kayu belian.” Begitulah penjelasan lanjut dari Jessica dan aku pula sekadar menelinga sekali gus menjadi pendengar yang setia.

“Di sini flora dan fauna sentiasa bersatu.” Katanya pada keesokan hari sewaktu kami menikmati sarapan yang disediakan oleh Danum Valley Field Centre (DVFC). Aku yang ketika itu sedang mencicip kopi panas memandang tepat ke wajahnya. Mencari jawapan di sebalik kata-katanya itu.

“Bersatu mewarnai lanskap Lembah Danum. Di sini ada ratusan, mungkin juga ribuan spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ia saling melengkapi dan memberi makna kepada hutan dara ini. Makna nyaman, tenang dan damai.” Jelasnya bersahaja sambil mengukir senyum di bibir.


AKRAB

Walaupun pertemuan di Lembah Danum hanyalah seketika, namun hubungan yang terbina di antara kami tidaklah berakhir di situ. Ia telah merintis kepada pertemuan-pertemuan yang lain. Pertemuan yang akhirnya menjadikan kami rapat dan akrab. Keakraban yang terjalin membolehkan aku mengetahui sedikit sebanyak perihal dirinya. Dia yang aku kenali amat meminati perbandingan agama. Minat yang mendalam jualah yang mendorong gadis Katolik itu untuk menyelongkari agama-agama utama yang dianuti di dunia, termasuklah agama islam.

Apakah motifnya? Persoalan itu seringkali melingkari jiwa. Namun, tidak pula aku meluahkan kesangsianku terhadapnya.

Katanya lagi, agama umpama akar dan manusia pula umpama pokok. Kalau kuat akarnya, maka pokok itu akan berdiri teguh. Datanglah angin kencang, ia tidak akan goyang lantaran akarnya yang kuat mencengkam ke bumi. Tidak sekadar berdiri teguh, ia juga boleh dijadikan tempat untuk berpaut, bersandar dan berteduh. Tapi, kalau akarnya lemah atau reput, pasti sahaja pokok itu akan mudah rebah ke bumi. Tentu sahaja tiada siapa yang sudi bernaung di bawah rimbunannya. Apatah lagi hendak berpaut di dahannya yang rapuh. Jujur! Aku benar-benar tertarik dengan analoginya itu.

Pandangannya tentang hidup dan kehidupan juga amat menarik bagiku. Katanya, pada pokok dan tumbuh-tumbuhan ada frasa-frasa maknawi tentang hidup dan kehidupan. Ia tersembunyi pada setiap juzuk, bermula dari akar hinggalah ke pucuk. Jadi, ia harus direnung dan diteliti dengan cermat dan hati-hati. Ikhlas! Aku sungguh tertarik dengan pandangannya itu.


RAHSIA TERPENDAM

Pagi itu di Tanjung Simpang Mengayau, lokasi pelancongan yang terletak di Kudat, juga pusat pertembungan antara dua lautan, laut Sulu dan laut China Selatan. Tika itu bayu laut berhembus lembut. Sungguh segar dan nyaman tika ia menyapa tubuh. Jessica pula sedang ralit memandang wajah laut yang membiru. Dia begitu teruja dengan keindahan yang terhidang di lokasi yang digelar The Tip Of Borneo itu.

Sesudah setengah jam berlalu, akhirnya aku nekad untuk membongkarkan sebuah rahsia yang selama ini aku sembunyikan daripada pengetahuannya. Kepadanya kukhabarkan, tentang diriku yang menghidap penyakit buah pinggang. Dia tersentak lalu menoleh ke arahku. Direnungnya aku sungguh-sungguh. Ditatapnya aku lama-lama. Kemudian, berkali-kali dia menuduhku berdusta. Namun, akhirnya dia tunduk membisu setelah menyakini aku tidak membohonginya.

“Cekalkan hati dan kuatkan semangat. Bila kita diuji oleh Tuhan, itu maknanya Tuhan menyayangi kita.” Lirih suaranya kudengari setelah seketika ditakluk sunyi. Aku sekadar membatu dan membisu. Kemudiannya mengangguk lemah. Tanda akur dan pasrah.

Bermula dari detik itu, dia semakin kerap menghabiskan masa senggangnya bersamaku. Kepadaku berkali-kali dititipkan nasihat. Berkali-kali juga dipasakkan keyakinan. Katanya, hidup harus diharungi dengan hati yang tabah dan jiwa yang kental. Aku benar-benar terharu dengan simpatinya itu. Terharu kerana kami tidak seagama, namun walang hidupku ingin dikongsi bersama.

“Janganlah bersedih kerana ketiadaan sepatu sebelum melihat mereka yang tidak mempunyai kaki.” Katanya pada suatu petang pada ketika yang lain.

“Maksud awak” Aku kebingungan dengan kata-katanya itu.

“Awak masih bernasib baik kerana masih berpeluang untuk hidup bila ada penderma ginjal nanti. Tapi, bagaimana pula dengan penghidap penyakit yang tidak boleh diubati. Mereka hanya menunggu hari mati. Mereka terus menderita menghabiskan hayat yang berbaki.”

Perderma ginjal! Aku mengelengkan kepala apabila mendengar kalimah itu. Nihil.

“Jangan pernah jemu untuk berdoa.” Aku ingat lagi untaian nasihat daripada Dr. Azmi beberapa bulan yang lalu. Melalui doktor muda itu jualah, aku menyedari betapa negara kekurangan penderma organ termasuklah penderma ginjal.

“Pusat Sumber Transplan Nasional merekodkan hanya 14 orang sahaja yang benar-benar mendermakan organnya sehingga Mei 2009.” Jelas Dr. Azmi kepadaku tempoh hari. Ada nada kekecewaan pada bicaranya itu.

“Saya yakin, pasti ada orang yang sudi mendermakan ginjalnya kepada awak nanti. Percayalah.” Jessica kembali bersuara setelah agak lama mengunci bicara. Persis Nostrodamus dia cuba meramalkan apa yang bakal berlaku. Aku sekadar tersenyum tawar. Jujur, aku tidak mahu berharap kerana aku tidak tahu ke mana lagi harusku melabuhkan harapan.


TERTANYA -TANYA

Pagi itu, aku dihubungi oleh pihak hospital. Katanya, pembedahan perlu disegerakan kerana aku sudah ada penderma ginjal. Aku benar-benar terkejut dengan khabar gembira yang disampaikan itu.

“Di hospital nanti saya akan jelaskan.” Kata doktor tatkala aku bertanyakan perihal penderma ginjal itu.

Jessica! Ingin kukongsi kegembiraanku bersamanya. Aku ingin dia tahu, ramalannya tempoh hari telah benar-benar menjadi kenyataan. Tapi, aku tidak tahu macam mana untuk menghubunginya. Pernah dia memberitahuku, dia ada urusan yang harus diselesaikan. Pasti sahaja urusan itu berkait rapat dengan kajiannya dalam perbandingan agama, fikirku. Dari saat itu, dia tidak lagi menjengahku. Pernah beberapa kali aku cuba menghubunginya. Tapi, hampa dan kecewa. Jujur, tanpanya, bilah-bilah hari yang kulalui adalah detik-detik sepi yang tidak mampu kujumlahkan.

Di hospital aku dimaklumkan, insan yang mendermakan ginjalnya kepadaku adalah seorang penghidap barah otak peringkat ketiga. Namanya Zulaikha. Aku diburu kehairanan lantaran tidak pernah mengenalinya apatah lagi mempunyai pertalian dengannya.

Siapakah Zulaikha?
Mengapa dia begitu baik terhadapku?


MERUNTUN HATI

Setelah benar-benar sembuh, aku sekali lagi diminta ke hospital. Ada perkara penting yang ingin dimaklumkan, itu kata Dr. Azmi, doktor yang merawatku sepanjang aku berada di wad.

Di hospital, Dr. Azmi menyerahkan sepucuk surat kepadaku. Katanya, surat daripada Zulaikha sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Aku menyambut huluran surat itu dengan rasa haru yang sendat di kalbu. Lalu surat bertulisan tangan itu kubaca dengan teliti.

Ya Allah! Lidahku kelu dan jantungku berdegup laju. Bicara bisu itu benar-benar meluluhkan hatiku. Ketika itu, kata-kata Jessica tempoh hari kembali terngiang di telingaku. “Janganlah bersedih hanya kerana ketiadaan sepatu sebelum melihat mereka yang tidak mempunyai kaki.”

Sungguh tidak kusangka, ada makna berselirat seribu disebalik kata-katanya itu. Dan, sungguh tidak kuduga, dialah insan yang ‘tidak mempunyai kaki’ itu.

Dalam sedu-sedan yang bersisa, warkah itu sekali lagi kubaca. Sambil menyeka air mata, bait-bait terakhirnya kutatap lama-lama.

Kuberikan ginjalku kepadamu kerana kuingin terus berbudi walaupun setelah denyut nadi dan degup jantungku terhenti. Mungkin inilah sebaik-baik derma yang mampu aku hulurkan:

- Bandingan(derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji –Al-Baqarah, 261.- Zulaikha Abdullah ( Jessica Andrew)

“Innalillahiwainna-ilaihirajiun.” Sungguh tidak kusangka, Zulaikha adalah Jessica yang telah dikirimkan hidayah oleh Tuhan. Jessica yang telah sirna setelah memberi sinar kepada hidupku.

Monday, January 17, 2011

SALAH FAHAM TERHADAP SURAH YASIN.



Syukur kepada Allah kerana telah menemukan saya dengan sebuah buku yang amat berharga. Walaupun dari segi harga ia lebih kurang sahaja dengan harga majalah picisan yang berlambak di pasaran, tapi nilai ilmu yang terdapat padanya amat berharga. 

Berharga untuk mematangkan diri dalam beragama. Berharga untuk mengajar diri agar dapat membezakan tuntutan agama dengan warisan budaya. Ia saya ketemui ketika sedang leka menyelak buku-buku yang tersusun di rak buku ketika pulang ke kampung saya di Kelantan Darul Naim. Maaf saya lupa akan judul buku tersebut , sebab ia saya tinggalakn kat kampung. Cuma, yang pasti ia ditulis bersama oleh Dr Asri Zainul Abidin( mantan mufti Perlis dan pensyarah bahagian pengajian islam USM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman (Pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Juga Naib Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia), Prof Madya Dr Abdul Kamil Majid (pensyarah di jabatan akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.) dan beberapa orang lagi yang saya lupa namanya. 

Walau apapun, saya tidaklah berminat untuk mengulas tentang buku tersebut di ruangan yang terhad dan terbatas ini. Cuma, di sini saya ingin menyentuh tentang salah faham terhadap surah yasin yang ‘diimani’ sejak zaman berzaman.



SALAH FAHAM PERTAMA

Ia berlaku beberapa tahun yang lalu di Pantai Merdeka Sungai Petani Kedah. Tika itu, saya bergelar guru praktikum di sebuah sekolah menengah di Kuala Ketil Kedah. Hari jumaat malam sabtu, Sekolah mengadakan perkhemahan unit uniform di pantai merdeka, lalu seorang ustaz mencadangkan agar diadakan bacaan Yassin semenntara menunggu masuknya waktu isyak. Tiba- tiba ada satu suara menyanggah dalam diam( tapi dapat didengari). Tak pasti, sama ada suara itu milik guru atau pelajar. Dengan nada mempertikaikan tapi perlahan suara itu tetap kedengaran “ malam ni bukan malam jumaat.”. 

Inilah salah faham pertama yang saya maksudkan, iaitu menganggap surah Yasin sebagai surah malam jumaat sesudah menunaikan solat maghrib. Kepercayaan atau fahaman sebegini bermula tanpa diketahui tarikhnya. Tapi, yang pasti ia telah sebati dalam masyarakat kita dan kekal menjadi tradisi zaman berzaman. Sebenarnya, tiada masa yang khas untuk membaca surah Yasin. Tidak semestinya sesudah maghrib pada malam jumaat( hari khamis malam jumaat), malah boleh dibaca bila-bila masa sahaja kecuali pada situasi dan dilokasi tertentu yang terlarang . 

DAN pada malam jumaat sesudah maghrib pula, boleh sahaja dibaca surah-surah yang lain dan tidak terhad kepada surah yasin semata-mata. Di sini, ingin saya tegaskan, tidak salah untuk membaca surah yasin ketika sesudah solat maghrib pada malam jumaat, cuma ingin juga saya tegaskan sesungguhnya tidak juga menjadi kesalahan andainya surah yasin dibaca sesudah waktu solat yang lain dan pada malam-malam yang lain( sebenarnya tidak terhad kepada waktu malam). 

DAN tidak juga menjadi kesalahan, andainya surah-surah yang lain dibaca sesudah solat maghrib pada malam jumaat, cuma ia agak menyalahi kelaziman dan saya kira pasti sahaja, ia akan mengundang perseteruan meskipun tak dizahirkan. Jadi dalam soal ini, para imam dan ustaz-ustaz perlulah menegaskan, betapa bukanlah satu kewajipan atau kemestian untk membaca surah yasin sesudah solat maghrib pada malam jumaat. Biar makmum faham dan mengerti. Biar tidak jadi iktikad atau kepercayaan, lepas maghrib malam jumaat mesti baca surah yasin.

Namun saya juga tidak bersetuju dengan sesetengah pihak yang melabelkan amalan membaca surah yasin pada malam jumaat sesudah maghrib ini sebagai bid’ah dhalalah, iaitu bid’ah yang sesat lagi menyesatkan yang menatijahkan neraka kepada pengamalnya. Perlu difahami, surah yasin adalah sebahagian daripada ayat-ayat al-quran dan membaca al-quran pula merupakan satu ibadat yang amat dituntut dan dijanjikan ganjaran pahala yang besar. Cuma, yang perlu dilakukan dan dijelaskan ialah, memahamkan orang ramai agar mereka tahu ,sesungguhnya waktu sesudah maghrib pada malam jumaat bukanlah waktu mutlak untuk bacaan yasin dan surah yasin juga boleh dibaca pada bila-bila masa dan mana-mana lokasi kecuali masa dan lokasi yang terlarang sahaja.

TENTANG hal ini, ingin saya tegaskan, disebabkan membaca surah yasin sesudah maghrib pada malam jumaat adalah ibadat maka elok dan wajar sekali ia diteruskan. Jangan ditentang dan jangan dihalang, nanti mencetuskan perseteruan yang sia-sia. JUJUR DAN IKHLAS, mereka yang menyertai majlis membaca yasin ini jauh lebih mulia daripada golongan yang berkaraoke dan berpesta di kelab-kelab malam atau melakukan aksi terlarang baik pada malam jumaat mahupun pada malam-malam yang lain. Daripada menyibukkan diri menentang orang-orang yang membaca yasin pada malam jumaat, lebih baik anda mendatangi golongan yang parah akhlak dan serulah mereka ke jalan TUHAN.

SALAH FAHAM KEDUA

Ia berlaku pada tahun 2006, ketika dalam perjalan untuk makan malam di Lahad Datu Sabah. Entah mengapa, tiba-tiba radio mengalunkan bacaan surah yasin. Sahabat saya yang memandu kereta dengan penuh berhemah tiba-tiba bersuara. “Ada menteri atau raja-raja yang meninggal ke.” Ini juga salah satu bentuk salah faham yang telah sebati dan telah lama berakar umbi. Surah yasin dianggap sebagai surah kematian. Bila dibaca surah yasin bererti ada peristiwa kematian. Memang diakui ulama-ulama terbilang seperti Imam Ibn Kathir ada menyebut dalam tafsirnya, antaranya membaca yasin ketika seseoarng sedang nazak, nescaya akan memudahkan proses mencabut rohnya. Tapi ini bukanlah bererti ia surah kematian, maksud saya bila berlaku kematian atau hampir-hampir mati barulah dikumandangkan. 

Renungilah firman ALLAH “…. dan kami turunkan sesuatu dari al-quran sebagai penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman…Surah Al-Isra’ ayat 182

Apa itu PENAWAR dan RAHMAT. Menurut ulama terkenal , Dr Wahbah al- Zuhaily dalam tafsir Al-Munir( kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Persatuan Ulama Malaysia):Kedudukan al-Quran sebagai PENAWAR mempunyai dua makna. 

Pertama, penawar yang mengubati penyakit hati yang gagal melihat tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua, penawar kepada beberapa penyakit fizikal, iaitu dengan membaca dan menjampi pesakit dengan ayat-ayatnya. TENTANG penyakit hati , setidak-tidaknya dengan membaca surah yasin ( termasuk surah-surah yang lain) hati menjadi tenang dan tenteram. Kepada yang dilanda kekecewaan rawatlah emosi dan pulihkan kekuatan diri dengan alunan ayat-ayat suci al-quran( jangan pula beli yang cetak rompak) dan rasailah kedamaiannya. Surah Ar-Rahmaan, contohnya dan pada ayat yang sering diulang pada surah tersebut terutamanya, iaitu Fabi ayyi alai rabbikuma tukazziban (jutaan maaf, huruf arab pada lat top saya bermasalah, lalu terpaksa saya gunakan tulisan rumi walaupun ia tidak elok sebenarnya) yang bererti "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan? (Ar-Rahman). 

Cuba renungkan nikmat yang Tuhan bagi. Ya, terlalu banyak hinggakan tak terhitung dan tak terjumlah. Jadi wajarlah kita bersyukur. Janganlah hanya kerana secebis dugaan yang dihadapi, kita menafikan selaut nikmat yang dikurniakan. Kalaulah ayat ini difahami dan dihayati maka tak akan ada orang yang membunuh diri disebabkan putus cinta or cinta tak kesampaian.

SALAH FAHAM KETIGA

Ia berlaku pada tahun 2004 di Lawas Sarawak. Tiba-tiba ada sekatan polis, lalu seorang sahabat saya berkata, dia ada ilmu pukau (ayat tertentu dari surah yasin) yang dapat mengelakkan diri dari ditahan polis( saya tak pasti mengapa dia berkata begitu, tapi saya yakin dia sekadar berseloroh). 

Namun, terdapat segelintir umat islam yang percaya, dalam surah yasin ada ayat tertentu yang boleh digunakan untuk memukau. Lagi malang memukau untuk tujuan jahat seperti mengelakkan sekatan polis. 

Memang ada diriwayatkan ketika menyelamatkan diri dari kepungan pemuda-pemuda kafir quraisy yang ingin membunuh baginda, baginda ada membaca ayat tertentu dari surah yasin sambil mengengam pasir dan ditabur pasir tersebut hinggakan pemuda-pemuda quraisy yang ingin membunuh baginda ‘terpukau’. Tapi, kalau diperhatikan dengan neraca ilmiah, kita dapati perlakuan tersebut tidak berlaku berulang kali. Malah dalam peperangan juga tidak pernah diriwayatkan Nabi S.A.W memukau musuh-musuh. Lagi malang, tentera islam pimpinan Rasulullah turut tewas dalam perang Uhud. Kenapa baginda tak pukau sahaja tentera musuh dengan menggunakan ayat dari surah yasin.Begitu juga dengan para sahabat, tidak pernah pula diriwayatkan melakukan aktiviti memukau sewaktu proses perluasan wilayah dan penyebaran islam. Kalau tak, sudah tentu Constantinople telah lama ditakluki oleh para sahabat dengan memukau tentera Rom, tapi sejarah telah membuktikan, pembukaan Constatinople berlaku setelah sekian lama baginda S.A.W wafat, iaitu pada zaman Muhammad al-Fatih menjadi pemimpin Turki Uthmaniyah. Kalaulah ada ayat pukau dalam surah yasin dan surah-surah yang lain, sudah tentu sahabat-sahabat baginda seperti Abu Bakar, umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abu Talib dan lain-lain lebih mengetahui daripada orang- orang yang kemudiannya.

Alang-alang berbicara tentang surah yasin, eloklah kita renung secebis ayat yang memberi seribu erti dan sejuta makna dalam surah tersebut. Ayat 65 yang berbunyi
,
"Alyauma nakhtimu 'alaa afwahihim, wa tukallimuna aidhihim, wa tasyhadu arjuluhum bimaa kaanu yaksibuun"

( "Pada hari ini Kami akan tutup mulut mereka, dan tangan mereka akan berkata kepada Kami, dan kaki mereka akan bersaksi tentang apa yang telah mereka lakukan.")

Tangan kita akan berbicara
Tentang apa yang dilakukannya
kaki kita pula akan berkata-kata
Tentang arah mana ia melangkah.

Saturday, January 15, 2011

Cucu Durjana Ragut Nyawa Datuk

(Muka Hadapan Utusan Malaysia, 15.Jan.2011)

INI cerita gila dan duka yang berlaku di Felda Palong Dua, Jempol Negeri Sembilan. Entah mengapa boleh ada cucu sekeji dan sehina ini. Entah mengapa juga, boleh wujud remaja yang sebegini kejam. Tergamak seorang cucu yang berusia 17 tahun bekerjasama ( namakan sahaja sebagai kerjasama iblis) dengan rakan-rakanya yang berusia dalam lingkungan 15-18 tahun melakukan rompakan ke rumah datuknya sendiri. Tidak setakat merompak wang tunai dan barang kemas bernilai RM10.000 malah, datuknya dibunuh dengan ditikam bertubi-tubi oleh cucunya yang laknat itu. Masya-Allah! Kenapa sebegini kejam sekali cucu tersebut dan kenapa sebegitu zalim remaja-remaja itu .

(Harian Metro, 15. Jan. 2011)
Lumrahnya, Kasih sayang datuk dan nenek terhadap cucunya agak melimpah ruah. Lazimnya, setiap manusia yang bergelar datuk dan nenek memiliki kekayaan kasih dan kemewahan sayang terhadap cucu-cucunya. Jarang-jarang sahaja kedapatan datuk dan nenek yang membenci cucu-cucunya. Memang ada tapi segelintir sahaja, angka yang terlalu kerdil dan tidak boleh dijadikan kayu ukur. Sebab itulah terdapat datuk dan nenek yang menawarkan diri untuk menjadi pengasuh kepada cucu kesayangannya( yang masih baby) sebab bimbang cucunya itu tidak diberi perhatian oleh pengasuh.

CUCU menjadi hantu, itulah istilah yang paling tepat untuk cucu-cucu yang hina seperti dalam kes ini. Ke mana perginya kasih sayang. Ke mana hilangnya kewarasan hingga sanggup merompak dan membunuh datuk sendiri.
Lebih keji daripada binatang .. Keji sekeji kejinya.


http://www.hmetro.com.my/articles/Cucubawagengbunuhdatuk/Article


Friday, January 14, 2011

MENDOAKAN KEBURUKKAN SESAMA MUSLIM, BOLEH KE?

(Kejam Sungguh Teks Doa ni)




P/S= Sejak kabel TM dicuri, streamyx saya asyik terganggu. Dalam sehari lebih kurang 3 jam jer saya dapat gunakan internet. Semalam(13.1.20111, saya langsung tak boleh online) . Paling saya benggang, ia kejap ada dan kejap tak ada. Ingat nak hentikan jer streamyx ni kalau tak selesai-selsesai masalah dalam tempoh sebulan ni.

ISLAM adalah agama yang mementingkan persaudaraan. “ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara” (Al-Hujurat: 10). Bersaudara ertinya saling mengambil berat, lindung-melindungi, dan kasih- mengasihi. Juga saling pesan berpesan dan ingat memperingatkan antara satu sama lain. Termasuklah juga saling doa mendoakan antara satu sama lain. Tentang doa, setiap perkara baik yang kita doakan untuk seseorang, kebaikan itu akan sampai kepada kita dahulu sebelum sampai kepada orang yang kita doakan. Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud “ Doa seorang saudara terhadap saudaranya di luar pengetahuan(saudara tersebut) adalah doa yang diperkenankan. Di sisinya seorang malaikat yang diwakilkan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat yang diwakilkan itu akan berkata " Amin dan bagimu juga seperti itu”( Hadis Riwayat Muslim dari Abu Darda). Begitulah hebatnya kuasa doa seorang muslim terhadap saudara muslimnya yang lain.

Tapi bagaimana pula bila seseorang muslim mendoakan keburukan atau kehancuran atau lebih tepat lagi malapetaka ke atas saudara muslimnya. Isu ini hangat diperkatakan pada penghujung tahun 2009, gara-gara tindakan MB Kelantan, TGNA yang mendoakan keburukan ke atas PM berkaitan isu royalti Petroleum. Agak ramai juga yang menghentam MB Kelantan lantaran perkara ini. Antaranya Aznil Haji Nawawi yang mengatakan tindakan MB Kelantan mendoakan kecelakaan sesama islam adalah bertentangan dengan islam. Itu pandangan Aznil, pandangan pengacara popular yang diminati ramai ini wajar dihormati dan semua pihak perlu berlapang dada.

Sebelum berbicara jauh, ingin saya tegaskan. Ini bukanlah entry politik dan saya tidak menulis tentang politik di blog ini. Blog saya adalah blog persaudaraan dan persahabatan tanpa mengira idealogi politik, mazhab, bangsa dan agama. Saya ingin bersahabat dan bersaudara sesama insan kerana TUHAN.

Kembali kepada tajuk, disebabkan persoalan doa merupakan isu agama, maka ia mestilah diadili berdasarkan dalil-dalil syarak. Fakta dan hujah yang bersendikan agama mestilah dikemukakan. Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan hujah yang dikemukan oleh Mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin. Sejujurnya, dalam banyak-banyak hal saya lebih berminat untuk mendengar hujah daripada pihak ketiga yang berada diluar lingkungan parti. Dr Asri yang saya kenali, bukanlah seoarng ahli PAS dan tidak juga ahli UMNO. Dan saya amat berharap agar beliau terus berada diluar lingkungan agar berupaya untuk ‘menembak’ sesiapa sahaja termasuklah Raja-raja Melayu.

Sebagaimana dikatakan oleh Dr Asri, dakwaan tidak boleh sama sekali mendoakan bala atau keburukan kepada muslim sekalipun zalim adalah kurang teliti dan menafikan nas-nas yang mengizinkan hal ini. Sejujurnya kita terpaksa akui memang banyak kes jenayah yang dilakukan oleh orang yang beragama islam. Kepada sahabat-sahabat perempuan, andainya anda dirogol dan diliwat ( mintak dijauhkan dan ini sekadar untuk memperluaskan horizon pemikiran dengan meletakkan sahabat di situasi tersebut supaya sahabat dapat merasai terseksanya mnagsa-mangsa kekejaman itu) oleh perogol dan peliwat yang beragama islam. Soalan saya satu sahaja, dan tolong jawab dengan jujur, adakah anda mendoakan “ Ya Allah Ya Tuhanku, murahkan rezeki perogolku dan panjangkan umurnya.” Atau anda akan berdoa begini “ Ya Allah laknatilah mereka……”


Begitu juga dengan sesiapa yang mempunyai ahli keluarga yang diculik atau dipenggal kepala oleh kumpulan Abu Sayyaf. Tidak bolehkah didoakan kehancuran Abu Sayyaf, gara-gara kumpulan Abu Sayyaf beragama islam. Begitu juga dengan saudara mara mangsa penculikan lanun Somalia. Tidak bolehkah didoakan kehancuran lanun-lanun Somalia itu lantaran mereka beragama islam. Atau perlukah didoakan, “ Ya Allah Ya Tuhanku, murahkan rezeki kumpulan Abu Sayyaf yang telah memenggal leher suamiku. Panjangkan umur mereka dan rahamatilah mereka selalu”

ITU hujah bersandarkan logik akal, bagaimana pula hujah yang bersandarkan Al-Quran dan Sunnah. Dalam sebauh hadis Nabi s.a.w menyebut:“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat al-Imam Muslim seorang sahabat besar Nabi s.a.w iaitu Sa’id bin Zaid telah berdoa agar Allah mengambil tindakan kepada Arwa binti Aus yang memfitnah beliau mengambil tanahnya dan mengangkat kes itu kepada Gabenor Marwan bin al-Hakam. Sa’id bin Zaid berdoa dengan menyebut: “Ya Allah! Jika dia seorang pendusta maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia dalam tanahnya”. Maka Arwa pada akhir hayatnya buta mata dan ketika sedang berjalan terjatuh dalam sebuah lubang dalam tanahnya dan meninggal.

Dalam riwayat al-Bukhari pula menceritakan bahawa ada penduduk Kufah yang mempertikai kepimpinan gabenor mereka Sa’d bin Abi Waqqas sedangkan beliau sahabat Nabi s.a.w yang besar dan pemimpin yang soleh. Khalifah ‘Umar mengambil tindakan menggantikan Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Ammar bin Yasir. Ketika siasatan sedang dijalankan didapati rakyat memuji kepimpinan Sa’d, kecuali di Masjid Bani ‘Abs seorang yang bernama Usamah bin Qatadah bangun membuat dakwaan seperti berikut: “Sesungguhnya Sa’d tidak menyertai peperangan, tidak membahagi secara saksama dan tidak adil dalam hukuman”. Sa’d menjawab: “Demi Allah aku akan berdoa dengan tiga perkara: “Ya Allah! Jika hambaMu ini (penuduh) seorang pendusta, tampil untuk menunjuk-nunjuk maka panjangkan umurnya, panjangnya kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah”. Maka lelaki tersebut hidup sehingga umur terlalu lanjut tapi masih mengganggu gadis-gadis di jalanan dan cuba meraba mereka.

Kepada sahabat-sahabat semua, sebagai orang islam kita hendaklah menyakini sesungguhnya ALLAH itu MAHA BIJAKSANA dan pasti sahaja BIJAKSANA dalam memilih mana-mana doa untuk dimakbulkan. Kita juga hendaklah menyakini ALLAH itu MAHA ADIL dan tentu sahaja akan bersifat ADIL dalam memakbulkan mana-mana doa yang dipohon oleh hamba-Nya. Jadi usahlah takut jika kita berada dipihak yang benar. Cuma, kepada penzalim, maka anda hendaklah berhati-hati kerana kemungkinan untuk doa itu dimakbulkan adalah tinggi.


Tentang isu royalti Petroleum terhadap Kelantan. Ini sahaja pandangan saya, andainya Kelantan layak maka berilah kepada Kelantan tanpa mengira mana- mana Parti yang memerintah negeri Kelantan. Sebab ia adalah hak Kelantan dan bukannya hak mana-mana parti. Maaf, saya tak berminat nak huraikan kat sini dengan panjang lebar sebab saya tidak berminat untuk membicarakan perihal politik di blog saya ni. Cuma, soal layak atau tak layak , amat susah nak diperkatakan. Bekas pengarah Petronas, Tengku Razaliegh Hamzah dan bekas ketua hakim Negara Tuan Salleh Abbas mengatakan Kelantan layak. Tapi, Kerajaan Persekutuan dan orang-orang kuat Petronas hari ini pula kata Kerajaan Kelantan tak layak. Jadi, saya simpulkan kerajaan Kelantan tak layak menerima royalti tetapi hanya layak menerima wang ehsan. TAPI, entah dari mana datangnya ‘wahyu’ ketika pilihanraya kecul DUN Galas, ada janji dibuat oleh orang-orang dari Putrajaya( saya namakan sebagai wahyu dari Putrajaya yang berbunyi “ kalau Kelantan kembali ke pangkuan BN , Kelantan akan dapat royalti Petroleum.” Saya jadi binggung dan sangat-sangat binggung. Sampai hari ini saya semakin binggung.


Sebelum mengakhiri entry ini , ingin saya tegaskan di sini. Ini bukanlah entry politik. Dan saya bukanlah blogger politik dan blog saya bukanlah blog politik. Blog saya adalah blog persahabatan dan persaudaraan.

Monday, January 10, 2011

NOSTALGIA DISEMBER KELABU

( 2.1.2011, ketika gambar ni dirakam, suasana masih ok)


DISEMBER KELABU, mungkin itu istilah yang layak dinobatkan untuk bulan penghujung tahun masehi untuk warga Pantai Timur terutamanya Kelantan( Pahang dan Terengganu pun apa kurangnya). Kebiasaanya pada bulan disemberlah banjir akan menjadi lanskap utama negeri-negeri tersebut. Tapi, kadang-kadang banjir singgah tak tentu kala. Tak semestinya bulan disember, malah awal januari juga boleh dianggap sebagai musim banjir. Kampung saya di Bachok Kelantan, juga tidak terkecuali menerima tempias banjir meskipun tidaklah sehebat kawasan-kawasan yang lain seperti sekitar rantau panjang dan pasir mas . Apapun banjir tidak lagi menjadi tradisi pantai timur sebab ia turut menjadi igauan ngeri kepada negeri-negeri utara seperti Kedah dan Perlis. Malah negeri paling selatan, Johor turut diasak banjir besar pada penghujung tahun 2004.


Masih saya ingat, ketika di alam persekolahan( beberapa minggu sebelum SPM bermula), seoarng rakan saya kehilangan ayahnya buat selama-lamanya kerana ditelan ombak ganas di laut China Selatan. Sungguh memilukan, kerana SPM hanya tinggal beberapa minggu lagi, tiba-tiba dia kehilangan tempat bersandar dan berpaut. Begitulah nasib nelayan. Kekadang sotong bersembunyi. Kekadang kembung menghilangkan diri. Dan kekadang lautan ganas menelan diri. Disember benar-benar kelabu buat dirinya pada ketika itu. Dia seoarng pelajar yang cemerlang sepanjang ujian dan peperiksaan termasuklah dalam percubaan SPM, tapi kerana peristiwa malang yang tak disangka itu, dia gagal memberi tumpuan kepada pelajaran. Natijahnya, keputusan SPMnya amat teruk dan nasib dia seterusnya tidaklah saya ketahui sampai ke hari ini. Begitulah disember kelabu menyerang kami sejak zaman berzaman.



(seorag sahabat sekampung tag gambar ini semalam kt Fb saya)


Meskipun banjir membawa kemusnahan dan kehilangan nyawa, namun bagi saya banjir juga ada nostalgia tersendiri yang sentiasa mekar di taman ingatan( macam ayat nak tulis cerpen plak). Zaman kanak-kanak dahulu, musim banjir a.k.a bah dianggap sebagai pesta air oleh saya dan rakan-rakan. Tanpa segan silu ingin saya nyatakan, pada musim banjir jualah ( bulan 12) saya melangkah ke alam remaja( maksudnya bersunat a.k.a berkhatan) Malah ketika remaja, Kota Bharu menjadi medan untuk kami bersukaria bermain air.

2004, antara tahun yang menyaksikan Kelantan dilanda banjir besar. Sebahagian besar Bandar Kota Bharu ditengelami air. Pelancong-pelancong dari dalam dan luar Negara ramai yang terperangkap di hotel lantaran air yang melimpah melebihi paras dada di sesetengah tempat di Kota Bharu. Tika tu, saya bercuti setelah 11 bulan berada di Sabah(cuti sekolah bulan 12). Meneruskan tradisi zaman berzaman, saya dan rakan-rakan bersiap siaga untuk berpesta air di Kota Bharu. Tak sempat memasuki pusat bandar, ketika sampai di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, berapa orang tentera memarahi kami. Teruk juga kami kena marah. Katanya, mereka( pasukan keselamatan) bertungkus lumus nak menyelamatkan mangsa banjir, kamu pula( geng2 saya) sibuk nak berpesta air. Huhuhu, yang kena marah bukannya budak-budak tapi kami yang berusia lingkungan 22- 26 tahun. Huhuhu, yang kena tengking bukannya budak sekolah tapi beberapa orang guru( termasuklah sayalah ) dan rakan-rakan lain yang terdiri daripada seorang doktor, seoarng pensyarah kolej matrikulasi, seorang yang sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana(master) pengajian islam di sebuah IPTA tempatan dan seorang lulusan undang-undang yang masih menganggur. Kira geng2 profesionalah yang kena marah dan tengking ni.

Apapun, disember kelabu tetap menjelma selagi ada bulan dan matahari. Langit akan sentiasa menagis dan mentari akan menyepi seketika tika disember kelabu menyapa buana.







Sunday, January 9, 2011

KEMBALI TERJALIN.


Agak lama saya menyepi, seolah-olah BICARA saya terhenti atau BICARADARIAKU telah bernoktah. Benar! agak lama saya beruzlah dalam dunia blog. Kali terkahir update blog pada 6 Disember 2010, sempena Maal Hijrah. Lepas terus menyepi, termasuklah tidak menziarahi blog rakan-rakan.

Sebenarnya tiada noktah dalam berbicara dan saya akan terus berbicara selagi terdaya. Sekudrat yang mampu saya akan terus berbicara tentang hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan, insan dan keinsanan dan paling penting tentang TUHAN dan KETUHANAN. Sedaya yang boleh saya akan pastikan BICARADARIAKU terus bernadi dan bernyawa hingga ke akhir hayat dan ke hujung nyawa.

Hampir sebulan sebenarnya kabel telefon kawsan perumahan yang saya diami dicuri. Sebaik sahaja ia diganti, streamyx saya pula dipanah petir( kebetulan waktu tu saya bercuti a.k.a melancong untuk merehatkan diri dari lelah akal dan penat fizikal ).

DAN belum terlewat rasanya untuk saya ucapkan selamat tahun baru kepada semua. Moga tahun baru 2011 menjadikan kita lebih matang dalam segala-galanya terutamanya dalam beragama. Moga tahun 2011 ini, kita lebih dekat dengan-NYA dan lebih lama bersujud kepada-NYA. Akhir sekali, salam maaf dan selamat menjalin kembali ukhwah antara kita. TEMA saya dalam berblog masih sama, iaitu untuk melebarkan empayar persahabatan dan meluaskan wilayah persaudaraan. Bersahabat dan bersaudara sesama insan tapi kerana Tuhan.
………………..... KEMBALI TERJALIN (9.Jan.2011) ………………………………………