Thursday, March 31, 2011

RAHSIA TARIKH LAHIR, RAMALAN YANG MEROSAKKAN AQIDAH



Seolah-olah satu kegilaan yang menggila,begitulah hebatnya virus syirik yang menyerang umat islam di Malaysia. Entah ke mana hilangnya kewarasan diri hinggakan mereka begitu mudah diperbodohkan oleh golongan tolol yang menjaja Rahsia Tarikh Lahir demi keuntungan peribadi. Di facebook, gejala tag mengetag Rahsia Tarikh Lahir , Rahsia Bulan Lahir, Rahsia Bulan Lahir Pasangan, Rahsia Bulan Islam dan macam-macam lagi Aplikasi Yang Sesat dan Menyesatkan begitu menjadi-jadi.

Ada yang benar-benar percaya, kononnya ia menepati ( atau hampir-hampir menepati )hidup dan kehidupannya. Ada yang sungguh-sungguh yakin, dengan beralasan itu adalah hasil kajian tokoh tertentu selama berpuluh-puluh tahun, apatah lagi tokoh itu adalah tokoh terkemuka . DAN ada juga yang beralasan, ia sekadar suka-suka sahaja. Walau apapun alasan, jawapannya tetap sama iaitu ia sesat dan menyesatkan serta boleh merosakkan akidah.

Sayang seribu kali sayang, tokoh-tokoh yang tolol ini berjaya memperbodohkan golongan yang bahlul.Si Tolol menjadi jutawan dan si bahlol menjadi tak keruan.

Sebelum memulakan bicara, ingin saya tegaskan. Bicara kali ini tidak sekelumitpun bertujuan untuk mempertikaikan kewibawaan pakar-pakar motivasi yang bakal disentuh nanti. Jauh sekali untuk menidakkan sumbangan mereka. Mereka adalah tokoh yang ternama, itu benar tanpa dapat dipertikaikan lagi oleh sesiapa. Namun , itu semua bukanlah alasan untuk kita bertaqlid buta dan bukannya penyebab untuk menjadi pendengar yang setia. Tidak harus kita berdiam seribu bahasa andainya, pendapat mereka ini tersasar dan terbabas dari landasan yang sepatutnya. Untaian hikmah yang pernah dilafazkan oleh Imam Malik perlu kita hayati:

"Siapapun dapat diterima atau ditolak pendapatnya kecuali yang ada di makam ini(sambil menunjuk ke makam Rasulullah SAW)".

Jika pesanan Imam yang mulia ini dihayati, maka pasti sahaja kita tidak lagi ‘pekak dan tuli’ dalam segala urusan.




(Apabila kesesatan diniagakan)

Siapakah anda untuk mempersoalkan pakar-pakar motivasi ini ? Saya amat yakin, pertanyaan yang sebegini akan diajukan kepada saya dan sesiapa sahaja yang berbicara tentang isu ini. Sekali lagi saya ulangi kata-kata Imam Malik “Siapapun dapat diterima atau ditolak pendapatnya kecuali yang ada di makam ini(sambil menunjuk ke makam Rasulullah SAW)”.

Atas dasar menghormati ketokohannya, maka saya tidak ingin berbicara perihal peribadi tokoh-tokoh yang terkenal sebagai pakar motivasi ini, meskipun ia telah tersebar dengan rancaknya. Saya sekadar ingin membantah pandangan atau ramalannya, dan bukan batang tubuhnya.

Jujur! Dalam memperkatakan persoalan ini, saya berhujah dengan bersandarkan pandangan beberapa ulama terkenal Tanah Air yang turut mengkritik, malah menghukumnya sebagai syirik. Saya akan linkkan kenyataan mereka di sini disamping memetik pandangan-pandangan yang mereka kemukakan. Harap para pembaca, akan ke link tersebut untuk memperolehi maklumat yang semaksimum mungkin, demi memaksimumkan kefahaman tentang hal ini, sekali gus mematangkan diri dalam beragama.

Ulama atau tokoh agama yang saya maksudkan ialah Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Dr Asri Zainul Abdidin, Dr Abdul Basit Abdul Rahman, Prof Madya Dr Shukeri Mohammad,Ustaz Azhar Idrus, di samping itu saya paparkan juga link daripada Kapten Hafiz Firdaus Abdullah (seorang penulis rencana dan buku agama,jua mengendalikan soal jawab agama dalam beberapa majalah) dan link seorang blogger yang mantap hujahnya tentang isu ini, iaitu El-ILMY.




Saya tak pasti, adakah ramalan di atas benar-benar dibuat oleh Dr Fadzilah Kamsah atau oleh manusia lain yang sememangnya tolol. Namun, seperti yang diketahui umum Dr Fadzilah kamsah, turut memperkatakan Rahsia Tarikh Lahir ( yang didakwa mengikut kajiannya selama 25 tahun). Cuba lihat baris terakhir ramalan itu. Bukankah ini boleh meretakkan rumahtangga seseorang. SUAMI AKAN MERAGUI ISTERI. ISTERI AKAN MENCURIGAI SUAMI. DAN AKHIRNYA PERKAHWINAN AKAN BUBAR. Untuk pengetahuan sahabat, KADAR PERCERAIAN pasangan islam di Malaysia hari ini amatlah membimbangkan,iaitu setiap 15 minit akan berlaku satu kes perceraian( statistik dari JAKIM).


Lagi satu, Ramalan yang kononnya hasil kajian di atas ternyata menyalahi tuntutan agama sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis sahih, iaitu:

“Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat “.Muttafaqun Alaihi).

Menurut Prof Madya Dr Shukeri Mohamad( pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri Kelantan, juga Presiden Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Kelantan) “…. untuk kepentingan keturunan/melahirkan keturunan yang baik, Allah SWT mensyariatkan kaedah-kaedah tertentu dalam perkahwinan seperti mengutamakan ciri-ciri keagamaan dalam memilih pasangan….” rujuk kertas kerjanya yang dimuatkan dalam buku berjudul Maqasid Syariah Dalam Pentadbiran Negara, Terbitan kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Perta(KIAS),m/s : 63.

Tapi, hari ini muncul pula, kriteria terbaru dalam memilih pasangan iaitu, pilihlah pasangan berdasarkan tarikh lahirnya. Ini kriteria yang menyalahi sunnah. Bayangkan, betapa resah dan gelisahnya pasangan yang sedang bertunang jika salah seorang daripada mereka dilahirkan pada tarikh tersebut ( 5 dan 17 Haribulan). Tidak mustahil pertunangan itu akan putus ditengah jalan jika pasangan tersebut taksub kepada tokoh motivasi tersebut. Ini ternyata membawa kepada syirik dan kufur.



(Nostradamus)


MUNGKIN ADA YANG BERALASAN, ini adalah hasil kajian terperinci pakar motivasi terkenal selama 25 tahun. Untuk menjawabnya, eloklah saya paparkan sebahagian daripada hujah Ustaz Zaharudin Abdul Rahman. Menurut Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang dan yang seumpama dengannya mestilah bersumberkan kepada tiga sumber sahaja. Iaitu :-

  • Al-Quran
  • Hadith Sohih dan Hasan
  • Fitrah kejadian alam (sunnatullah).

Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Naml ayat 65 :

"Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT"





Menurut Ustaz zaharuddin lagi, mempercayai sesuatu yang mempunyai ciri ghaib seperti meyakini esok akan berlaku hujan adalah berdasarkan sunnatullah iaitu dilihat dari satelit maka di dapati kumpulan awan tebal di atas Malaysia. Ia adalah bentuk ramalan yang didasari oleh sunnatullah atau fitrah alam yang diharuskan. Namun, Idea tilikan dan pengiraan tarikh lahir untuk mengetahui hal yang akan datang termasuk status kewangan, keharmonian rumah tangga dan sebagainya amat bercanggah dengan hukum Islam. Malah jika ingin digunakan hujah ‘sunnatullah' atau tajribah (percubaan dan analisa) pun ia tidak boleh sama sekali. Ini kerana analisa yang boleh diterima hanya analisa yang boleh dibuktikan melalui bukti-bukti saintifik dan fizikal, seperti ramalan cuaca melalui info lengkap dari kedudukan awan dan angin melalui alatan canggih moden dan visual dari satellite.

Sesungguhnya kombinasi tarikh lahir dan kiraan matematik yang didakwa boleh mengetahui kejadian yang akan datang, masalah yang bakal menimpa, jodoh, sakit dan sihat, akan jadi kaya atau terus miskin dan yang sempamanya BUKAN dari sesuatu bersifat fizikal, tidak juga bersamaan dengan contoh ramalan cuaca tadi. Hal seumpama ini tidak boleh sama sekali diramal menggunakan tarikh lahir. Lebih lanjut sila baca ulasan penuh daripada Ustaz Zaharuddin, lihat :.--> SINI.

Disarankan juga untuk membaca entry INI untuk penjelasan yang panjang lebar tentang isu ini.


Demi kematangan beragama dan demi kemantapan berakidah, saya merayu kepada para pembaca agar saksikanlah rakaman kuliah agama tentang syirik dan batilnya Rahsia Tarikh Lahir yang disampaikan oleh Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman , pensyarah KIAS yang berkelulusan B.A, M.A dan PhD dalam bidang Fiqh di Universiti Islam Madinah (lihat:.--> SINI).Rakaman kuliah ini akan menjawab alasan dangkal kononnya Rahsia Tarikh Lahir ini bukanlah Ramalan tapi kajian dari pakar motivasi terkenal negara selama 25 tahun.


(formula kiraan tarikh lahir bagi meramalkan nasib)


Saya petik pula sebahagian hujah Dr Asri Zainul Abidin,( Mantan Mufti Perlis yang juga merupakan pakar hadis dan pensyarah di Universiti Sains Malaysia). Menurutnya, Kepercayaan bahawa tarikh tertentu membentuk watak tertentu tidak berasaskan apa-apa bukti ilmiah sama sekali. Demikian juga, kepercayaan rupa paras tertentu membawa perangai baik dan buruk yang tertentu tidak berasaskan bukti melainkan pra-sangka terhadap ciptaan Allah semata.

Jika ada yang mendakwa bahawa tarikh lahir tertentu seperti angka 1 mempengaruhi nasib tertentu dengan disertakan bukti beberapa tokoh atau individu, itu bukanlah bukti yang ilmiah. Ia sebenarnya,merupakan sebahagian warisan ahli-ahli nujum kono yang ditentang oleh Islam, atau mungkin rekaan baru mereka untuk melariskan ‘bisnes motivasi’.

Para penilik atau ahli nujum nasib seperti itu menipu manusia dengan mainan kata-kata. Jika apa yang mereka ramalkan itu kelihatan tidak tepat, mereka akan berkata ‘itu disebabkan awak belum lakukan itu dan ini’ atau ‘disebabkan awak belum tahu potensi awak’ dan seumpamanya. Mereka mempengaruhi psikologi sebahagian masyarakat. Orang-orang yang memandulkan akal, akan mempercayai tipu helah yang seperti itu. Warna kulit dan rupa paras adalah ciptaan Allah. Ia bukan pilihan manusia. Tarikh lahir juga adalah luar dari penguasaan seseorang individu. Meramal manusia berdasarkan rupa atau tarikh lahir, menyanggahi prinsip Islam yang menilai manusia berdasarkan amalan yang telah dilakukan. Nabi s.a.w menyebut: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani). Lebih lanjut tentang penjelasan Dr Asri mengenai kesyirikan Ramalan Rahsia Tarikh Lahir, langsung sahaja ke:. -->SINI


MUNGKIN ADA yang berhujah, Ramalan Itu Benar-benar tepat atau 99 % menepati ciri-ciri potensi dirinya. Sebenarnya ia hanyalah kebetulan sahaja sebagaimana Ramalan Nostradamus juga yang bersifat kebetulan semata-mata.

Lagi satu, dalam Al-Quran ada diceritakan tentang perbuatan syaitan yang mencuri dengar berita di langit suatu ketika dahulu. Ia termasuklah rahsia masa depan yang disembunyikan daripada pengetahuan jin dan manusia. Boleh jadi, rahsia-rahsia yang dibuka kepada manusia daripada faktor-faktor ramalan itu adalah ilmu kuno / primitif yang diperkenal oleh para Syaitan yang pernah mendengarnya sebelum ini dengan ditokok-tambah bagi meyakinkan manusia kepada kebenarannya sedangkan tujuan asal mereka adalah untuk menyesatkan manusia. Namun Ketahuilah bahawa rahsia-rahsia hidup kita telah tertutup rapi, hanya diketahui oleh Allah S.WT. Kalau pun ada syaitan-syaitan yang dapat mendengarnya, ianya hanyalah pengetahuan primitif kerana selepas baginda Nabi Muhammad S.A.W diutus, mereka tidak dapat lagi mendengarnya ( kredit buat EL-ILMY )


Saya paparkan juga sedikit penjelasan daripada Kapten Hafiz Firdaus Abdullah tentang kesesatan Rahsia Tarikh Lahir. Menurutnya , Pada zaman Rasulullah, masyarakat meramalkan nasib yang baik atau buruk melalui arah penerbangan burung. Jika mereka dalam perjalanan atau melakukan sesuatu urusan lalu nampak burung terbang ke arah kanan, maka ia adalah ramalan nasib yang baik. Sebaliknya jika burung terbang ke arah kiri, maka ia adalah ramalan nasib yang buruk. Terhadap kepercayaan seperti ini, Rasulullah bersabda: Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali) [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3910] Ini kerana nasib baik atau buruk ditentu oleh taqdir Allah dan bukannya kepada arah penerbangan burung. Pengajaran hadis di atas tidak terhad kepada kepercayaan arah penerbangan burung tetapi meluas kepada apa jua petanda atau amalan yang diyakini dapat memberi pengaruh kepada nasib seseorang.

Di kalangan masyarakat Melayu umpamanya, wujud kepercayaan apabila dalam perjalanan ke satu tempat yang jauh, jangan berpatah balik ke rumah jika terlupakan sesuatu. Berpatah balik diyakini akan membawa nasib yang buruk.

Tidak ketinggalan ialah apa yang disebut-sebut masa kini sebagai “Rahsia Tarikh Lahir”, di mana diyakini tarikh sekian-sekian akan meramalkan nasib sekian-sekian. Semua ini tidak berbeza dengan kepercayaan kepada arah penerbangan burung pada zaman Rasulullah. Semua ini merupakan syirik kepada Allah kerana hanya Allah yang tahu apa yang bakal berlaku kepada kita, sama ada baik atau buruk.

Justeru hendaklah ditinggalkan, bahkan dijauhkan sejauh-jauhnya – apa-apa kepercayaan bahawa sekian-sekian petanda, amalan atau tarikh lahir dapat memberi pengaruh kepada nasib baik atau buruk seseorang. Lebih lanjut tentang penjelasan Kapten Hafiz Firdaus, lihat :.--> SINI


Tambahan Info Tentang Kesesatan Rahsia Tarikh Lahir

  • Klik SINI untuk menonton rakaman kuliah Dr Asri tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.
  • Klik SINI untuk menonton rakaman kuliah Ustaz Muhd Kazim tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.
  • Klik SINI untuk menonton rakaman kuliah Dr Abdul Basit tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.
  • Klik SINI untuk menonton rakaman kuliah Ustaz Zaharuddin tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.
  • Klik SINI untuk menonton rakaman kuliah dari Ustaz Azhar Idrus tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir


SAYA MERAYU tolonglah tonton rakaman kuliah ini, Dan marilah kita perangi golongan yang menaja Rahsia Tarik Lahir atas nama Motivasi mahupun atas nama Workshop Mengenali Potensi Diri




Dr Asri: Poco-poco harus, bukan haram

Bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berbeza pandangan dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang memutuskan bahawa tarian poco-poco haram . Beliau berhujah, semua urusan harian manusia, termasuk tarian, adalah harus diamalkan kecuali terdapat dalil yang jelas mengharamkannya. Bagaimanapun, tambahnya, jika terdapat unsur yang tidak baik, perkara itu hendaklah ditapis dengan membuang unsur yang buruk, bukan mengharamkan perkara itu secara menyeluruh. "Atas asas ini, pada pandangan saya, tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah," katanya yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM). Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini dilaporkan berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian berkenaan sebagai haram kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain dan pemujaan roh. Pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi. Dalam kenyataan pada Selasa malam, Dr Mohd Asri juga menegaskan, masyarakat Islam hendaklah tahu tentang keluasan Islam, apatah lagi dalam masyarakat yang serba rencam hari ini. "Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam," katanya. Menurut Dr Mohd Asri lagi, jika pengharaman dibuat berdasarkan asal-usulnya yang tidak islamik, ia akan mewujudkan kecenderungan pengharaman pelbagai lagi aktiviti seperti Tai Chi, Taekwondo dan senaman Qiqong. Beliau bagaimanapun menegaskan menghormati pandangan Harussani dan Jawatankuasa Fatwa Perak yang mengharamkan tarian tersebut dan cuma memberikan pandangan berbeza.

sumber : Malaysiakini


Pesanan Dari Saya : perbezaan pendapat dalam kalangan ulama adalah lumrah, jadi usahlah kita yang jahil ini cepat melatah.



Wednesday, March 30, 2011

Perak Haramkan Tarian Poco- Poco


IPOH – Tarian poco-poco yang popular sebagai aktiviti riadah dalam kalangan suri rumah dan penjawat awam ketika menghadiri kursus dan majlis keraian telah diputuskan sebagai haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh. Katanya, keputusan sebulat suara itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-186 yang bersidang dari 24 hingga 26 Januari lalu. “Kajian mendapati tarian yang sering diamalkan di Jamaica itu bercirikan agama Kristian. Oleh itu haram bagi orang Islam mengamalkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam


Sumber : Kosmo

Monday, March 28, 2011

Masjid Beijing di Rantau Panjang Kelantan



Rasanya ini adalah bicara kedua saya tentang Kelantan. Sebelum ini saya berbicara tentang WAT SIAM DI KELANTAN dan kali ini, saya ingin berbicara tentang masjid pula. Masjid yang unik lambang kesyumulan islam yang merentasi sempadan bangsa dan budaya. Jika ke kompleks bebas cukai Rantau Panjang, pasti sahaja anda akan terlihat sebuah masjid yang reka bentuk-bentuknya seolah-olah rumah ibadat penganut Budha. Itulah MASJID BEIJING , bukti islam adalah agama untuk semua kerana ciri-cirinya yang bersifat sejagat atau universal.






Sungguh mengagumkan dan Tahniah kepada Kerajaan Kelantan. Percayalah usaha yang sebegini amat berperanan untuk mengikis dan menghakis salah faham masyarakat bukan islam terhadap agama islam. Selama ini, rata-rata masyarakat bukan islam di Malaysia menganggap islam adalah agama untuk orang Melayu dan Arab sahaja








Di Malaysia, terdapat 6.5 juta penduduk berbangsa Cina. Tapi sayang, hanya satu peratus (1%) sahaja yang beragama islam. Iaitu, sekitar 60 ribu orang sahaja daripada 6.5 juta masyarakat Cina di Malaysia yang memeluk islam. Namun, yang anehnya agak ramai pula antara mereka yang memeluk agama Kristian. Mengapa ini terjadi, sedangkan islam dan Cina amat rapat dan akrab dari sudut sejarah. Di negara China yang merupakan tempat asal masyarakat cina di Malaysia, umat islam amat mudah untuk diketemui dan restoran makanan halal juga senang dijumpai. Malah jumlah UMAT ISLAM DI CHINA juga di anggarkan lebih kurang 200 juta dari pelbagai etnik seperti Uyghur, Tajik, Uzbek,Salar, Dongxiang, Khirgiz, Kazakh, Hui. Mengapakah jarak antara islam dan orang Cina di Malaysia begitu jauh. Ada beberapa faktor sebenarnya yang akan saya perincikan dalam entry yang akan datang.






Saya percaya pembinaan masjid bereka bentuk pagoda ini mampu ‘menjual’ islam dengan lebih luas dan global. Masjid berseni bina Cina ini juga dapat merungkaikan salah faham yang membelit masyarakat Cina di Malaysia selama ini. Apatah lagi ia turut melibatkan imam berbangsa Cina yang dibawa khas dari China terutamanya untuk mengimamkan solat Tarawih. Moga-moga dengan ini, jarak antara masyarakat Cina dengan islam dapat didekatkan. Sedikit sebanyak masjid ini, juga masjid Cina lain yang bakal didirikan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). akan menyerlahkan islam sebagai agama yang merentasi bangsa dan budaya. DAN inilah yang ingin kita laungkan ke seluruh dunia. Sesungguhnya Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua zaman, lebarnya mengatur segenap aspek hidup manusia dan dalamnya merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat.





Di sini saya paparkan maklumat ringkas tentang Masjid Beijing yang terletak di Rantau Panjang Kelantan ini. Masjid ini yang juga dikenali sebagai Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra ( tapi lebih dikenali sebagai Masjid Beijing) mula dibina pada 12 September, 2005 dan akan dirasmikan bulan Ogos 2009. Namun sejak 2007 lagi, ia sudah mula digunakan untuk bersolat tarawih dengan seorang imam yang didatangkan dari Republik Rakyat China. Kos keseluruhan pembinaan masjid ini dianggarkan sejumlah RM8.8 juta. Masjid ini mampu memuatkan seramai 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Senibina masjid ini amat unik kerana menggabungkan senibina Cina dan Islam dan menyerupai Masjid Niujie yang berusia lebih daripada 1,000 tahun di Beijing China. Lebih hebat, cerita tentang masjid ini turut diperkatakan di dalam Berita Indonesia. (Silalah ke laman yang saya maksudkan itu untuk maklumat lanjut ,tapi dalam bahasa Indonesia)




Moga-moga Pembinaan Masjid Berseni bina Cina ini dapat dipertingkatkan lagi terutamanya di kawasan yang mempunyai ramai penduduk berbangsa Cina seperti di Ipoh dan Kuala Lumpur. Sebenarnya, idea pembinaan masjid berseni bina Cina telah dikemukakan sejak tahun 1984 lagi , iaitu serentak dengan penubuhan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Tapi sayang ia terhalang kerana salah faham masyarakat. Ada yang berpendirian islam di Malaysia mestilah ‘berwajah’ Melayu. Ada juga yang berpendapat jika diwujudkan masjid Cina, perpecahan akan berlaku di kalangan umat islam. Ada juga yang mempersoalkan bahasa Mandarin (atau lain-lain dialek Cina) yang akan digunakan di masjid untuk kuliah dan khutbah Jumaat nanti. Fakta-fakta tentang bantahan ini saya perolehi dari rakaman kuliah agama (VCD) oleh Dr Asri Zainul Abidin. Dan Dr Ridhuan Tee Abdullah juga ada menyatakan tentang salah faham masyarakat terhadap pembinaan masjid berseni bina Cina ini dalam media cetak









p/s = ada pihak tertentu yang mendakwa pembinaan Masjid Beijing yang berseni bina Cina sekali gus menyalahi tradisi Melayu ini melambangkan kekacauan minda MB Kelantan (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat). Bagi mereka, islam mestilah berwajah Melayu dan bercirikan kemelayuan. Tapi, bagi saya, orang yang mempertikaikan pembinaannya merupakan orang yang mengalami kekacauan minda. Sebab Masjid berseni bina Cina ini dibina bagi membuktikan kepada semua sesungguhnya islam merentasi sempadan bangsa dan budaya. Bagi, saya orang Cina Islam seperti Ustaz Hussin Yee dan India Muslim seperti Ustaz Farid Ravi, jauh lebih berguna berbanding 3 orang anak Melayu yang suka menonton filem lucah secara berjamaah (maaf, ini bukanlah entry tentang politik)

Thursday, March 24, 2011

PERCERAIAN PASANGAN ISLAM SEMAKIN MEMBIMBANGKAN.



SETIAP 15 MINIT AKAN BERLAKU SATU PERCERAIAN DI KALANGAN PASANGAN ISLAM , inilah statistik dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) pada tahun 2009. Bagaimana dengan tahun-tahun berikutnya. Apa yang pasti, jumlah perceraian pasangan islam semakin meningkat dari tahun ke tahun. Kurangnya penghayatan agama termasuklah mengabaikan solat di kalangan suami isteri merupakan faktor utama yang menyumbang ke arah ini. Demikianlah yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim.

Disebabkan Dr Mashitah telah menyatakan, betapa penyingkiran agama dalam kehidupan merupakan faktor utama lebur dan berkuburnya sebuah ikatan perkahwinan. Jadi, bicara saya kali ini adalah sekitar faktor itu sahaja, meskipun pasti sahaja ada faktor-faktor lain di luar duga dan jangka.


P/S: Isu dan perihal tentang lerai dan berderai serta lebur dan berkuburnya sesebuah ikatan perkahwinan pernah saya utarakan di dalam dua buah cerpen saya sebelum ini. Iaitu, cerpen berjudul PUTERI( disiarkan dalam Majalah Mingguan Wanita pada 1-7 Januri 2010 (lihat--> SINI) dan cerpen berjudul MENCARI HABIL (disiarkan dalam Akhbar Berita Minggu/ NSTP pada 13 April 2008 ( lihat--> SINI )


Langsung kepada tajuk. Apabila kasih beralih. Apabila sayang berpindah. Diri bagaikan didesak dan diasak. Didesak dan diasak oleh naluri untuk mencari kekurangan milik pasangan yang terselit di celah-celah perkongsian kehidupan. Meskipun sekelumit, ia seakan-akan segugus. Sekelumit yang setitik itu kemudiannya dilautkan. Sekelumit yang seketul itu kemudiannya digunungkan. Natijahnya, terhakislah kesehaluan bicara. Terkikislah seia dan sekata. Tiadalah lagi kesatuan fikiran dan tindakan dalam melayari kehidupan bersama. Ikatan suci yang mulai malap dan pudar, akhirnya lerai dan berderai. Lebur dan berkuburlah sebuah kerajaan kecil yang bernama RUMAHTANGGA.


Wahai suami dan isteri! Ingat kembali tika kalimah “ Aku Terima Nikahnya.” bergema. Kalimah yang menyaksikan dirimu bersatu dan berpadu. Bersatu sebagai suami dan isteri. Berpadu dalam ikatan perkahwinan. Lantas, kalimah itu juga yang mentauliahkan kamu untuk bersama melakar hasrat dan mengukir impian di sepanjang hayat.




(Buku Di Jalan Dakwah Aku Menikah,
karya Ustaz Cahayadi Takariawan)


DI JALAN DAKWAH AKU MENIKAH.

Jika ini yang menjadi matlamat perkahwinan, pasti sahaja kadar perceraian dapat dikurangkan meskipun tidak mampu disifarkan. Sesiapa yang berkahwin di jalan dakwah, tentu sahaja tidak akan menyempitkan horizon perkahwinan. Mereka yang menikah di jalan dakwah tentunya mengerti hakikat sebuah perkahwinan, ia tidaklah semudah yang disangka dan tidaklah sesenang yang diduga. Ia tidak hanya untuk menghalalkan hubungan kelamin dan tidak sekadar untuk menyambung zuriat. Tapi lebih dari itu, ialah untuk mengapai redha Maha Pencipta, kerna sesungguhnya perkahwinan itu adalah satu ibadat. Ingatlah pesanan baginda junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik kepada keluarganya. Dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku”


Buku DI JALAN DAKWAH AKU MENIKAH, ditulis oleh Ustaz Cahayadi Takariawan, seorang tokoh agama dari parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia. PKS adalah sebuah parti berhaluan islam di Indonesia. Ketika berkunjung ke Medan Sumatera Utara Indonesia tahun lepas, saya sempat menyaksikan poster calon-calon PKS ditampal di sekitar bandar Medan. Tentang buku ini, telah lama saya menghajatinya, tapi hingga ke hari ini ia sekadar impian semata-mata. Sejujurnya buku ini amat bermakna untuk memahamkan kita erti perkahwinan dan makna rumahtangga serta kaitannya dengan islam dan dakwah.



( buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam
karya Dr Fathi Yakan)


Madza Ya'ni Intima'i Lil Islam ( APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM) ,sebuah buku yang ditulis oleh seorang pemikir islam terkenal dari Lubnan iaitu Almarhum Dr Fathi Yakan. Buku ini merupakan seolah-olah teks wajib bagi mereka yang ingin terlibat dalam gerakan islam, ia menjadi bahan usrah yang paling asas. Jujur dan ikhlas, seorang kenalan saya yang beragama Kristian di Sabah, mulai tertarik untuk mengenali islam sesudah membaca buku ini yang diberi pinjam oleh seorang sahabat saya yang lain. Beberapa tahun kemudian dia memeluk islam.

Jadi, Jika berpeluang, buka dan beleklah buku ini ( kena beli dulu jika tak ada), anda akan dapati tajuk berjudul “Saya Mestilah Muslim Di Sudut Keluarga” diletakkan pada kedudukan yang ke empat, iaitu sesudah tajuk Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah, Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadah dan Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak. Jelas sekali mesej yang ingin disampaikan oleh pemikir islam tersohor itu, iaitu Keluarga atau Rumahtangga Yang Bahagia hanya akan tercapai jika pasangan yang terlibat mempunyai AKIDAH YANG CEMERLANG, IBADAH YANG GEMILANG dan AKHLAK YANG TERBILANG.



“JADIKANLAH PENCINTA SOLAT SEBAGAI ISTERIMU
DAN JADIKANLAH PERINDU SOLAT SEBAGAI SUAMIMU ”

Wednesday, March 23, 2011

Seramai 9,239 calon SPM 2010 memperolehi A dalam semua mata pelajaran

Seramai 9,239 calon berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berbanding 7,987 calon pada 2009 iaitu peningkatan seramai 1,252 calon.

Keputusan itu adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud semasa mengumumkan analisis keputusan SPM di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata seramai 363 calon berjaya mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 214 calon pada 2009 dan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua pelajaran juga meningkat iaitu daripada 60,114 calon kepada 68,114.

"Bilangan calon yang memperoleh pencapaian semua A, meningkat bagi calon yang mengambil sembilan dan sepuluh mata pelajaran sementara pencapaian calon yang mendapat semua A bagi yang mengambil 11 dan 12 mata pelajaran adalah menurun," katanya.

Katanya bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G bagi semua mata pelajaran pula katanya, menunjukkan penurunan seramai 104 calon iaitu seramai 2,773 pada tahun lepas berbanding 2,877 pada 2009.

"Jadi calon yang mendapat gred Cemerlang Tertinggi adalah masih terlalu sedikit berbanding bilangan calon yang gagal semua mata pelajaran iaitu 2,773 calon," katanya.

Abd Ghafar berkata pencapaian calon sekolah swasta dan calon sekolah tajaan agensi selain kementerian, seramai 40 calon berjaya memperoleh gred cemerlang semua mata pelajaran berbanding 41 calon pada 2009.

Bagi calon yang berkeperluan khas pula, 319 calon berjaya mendapat sijil SPM dan daripada jumlah itu tujuh calon mendapat keputusan semua A bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Mengenai pencapaian mata pelajaran pula 55 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus untuk gred cemerlang, 39 lagi stabil dan sembilan menurun.

Bagi gred kepujian (B+,B,C+,C) sebanyak 18 mata pelajaran meningkat, 43 stabil manakala 42 menurun dan kategori lulus pula (D dan E) sebanyak lima mata pelajaran adalah stabil dan 31 lagi menurun melebihi tiga peratus.

Abd Ghafar berkata bagi kategori gagal (G) enam mata pelajaran menunjukkan penurunan, 93 stabil dan empat meningkat.

Mengenai pencapaian sekolah pula, sebahagian besar sekolah dirumuskan berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan, hanya sebilangan kecil iaitu 66 sekolah memperoleh pencapaian berpotensi.

Beliau berkata pencapaian calon mengikut lokasi turut meningkat dan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan sebanyak 0.18 Gred Purata Nasional (GPN).

"Pencapaian calon luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains adalah lebih baik daripada pencapaian di bandar sementara jurang prestasi dalam Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral masih perlu dipertingkatkan," katanya.

Sumber : Malaysiakini



--Bernama

Tuesday, March 22, 2011

AHAD YANG MENDEBARKAN.

(Gambar ,Sekadar hiasan dari google.
Tapi, lebih kurang macam inilah
salah sebuah kereta yang aku saksikan)

Perjalanan dari kampung di Bachok Kelantan ke Chemor Perak pada Ahad, 20. Mac 2011, mengundang resah yang tak kunjung padam di sepanjang perjalanan. Ada Tsunami kecil yang memukul pantai perasaan ini. Ada debar yang menyebabkan saya terpaku menyaksikan apa yang berlaku.




Oh! Tuhan, hujan bukan lagi mencurah tapi ‘menggila’ di sepanjang perjalanan. Ketika di Tanah Merah Kelantan, hujan kian melebat tapi hanya seketika. Tapi ia kembali mencurah tanpa simpati bermula dari Hentian Rehat Puncak Titiwangsa. Pemandangan amat kabur sekali dan kebanyakkan kenderaan hanya memandu dengan kadar kelajuan 40 km sejam.


Sepanjang Hentian Puncak Titiwangsa hingga ke Lenggong Perak, saya menyaksikan lima buah kenderaan yang ditimpa musibah. Ada yang kemalangan. Ada yang terbabas ke dalam longkang di tepi jalan. Ada juga yang terbalik hingga tayar ke atas dan bumbung ke bawah. Lagi teruk ada juga MPV yang terputus bumbungnya. Maaf, saya tiada upaya untuk merakam kerana saya sendiri perlu memastikan pemanduan saya sentiasa dalam keadaan selamat.


Sebenarnya, sudah kerap kali saya berhadapan dengan masalah hujan ‘menggila’ sepanjang perjalanan antara Perak dan Kelantan. Malah sejak 2007 lagi, saya selalu pulang ke kampung ketika musim tengkujuh( kerana menjadi pengawas SPM) yang pasti sahaja menyaksikan hujan lebat sepanjang perjalanan sebelum sampai ke Kelantan. Tapi, itu semua tidak seteruk peristiwa pada hari ahad lepas.


P/S : Penggunaan perkataan hujan menggila sekadar unsur personafikasi tentang lebatnya hujan dan tidak sedikitpun bertujuan untuk menghina mahkluk Tuhan yang bernama HUJAN.









Pilihan raya negeri: PBB mahu letak 12 muka baru






KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan melakukan perubahan besar-besaran apabila menggantikan sekurang-kurangnya 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-10 bagi membolehkan muka baru mempertahankan kerusi milik parti itu.


Ketua Menteri yang juga Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata suku daripada 35 calon PBB adalah muka baru yang diyakini mampu memastikan kemenangan BN.
"Parti komponen saya tidak tahu, tetapi kalau PBB saya tahulah. Ada suku muka baru," katanya ketika ditanya mengenai perubahan barisan calon parti itu selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak, di Hotel Pullman, di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

P/S :
a) Sarawak satu-satunya negeri yang tidak menjalarnya UMNO.
b) Tidak penting muka baru atau lama, yang penting dapat buat kerja.
c) Tapi bagus lagi kalau muka lama( calon yang tua-tua) sebab itu akan memajukan negeri. Lumrahnya YB yang tua akan meninggal lebih awal. Jadi Pilihnaraya Kecil akan diadakan. Lalu banyaklah projek mee segera akan dibawa.

DUN Sarawak dibubar





Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan hari ini untuk membolehkan pilihan raya DUN ke-10 diadakan.


Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng telah diterima pada pagi ini.


"Pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac iaitu hari ini mengikut perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak," katanya pada sidang media di bangunan DUN baru di Kuching hari ini.


Asfia berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada petang esok.

"Tempat dan masa pertemuan belum dapat ditentukan tapi ia akan diserahkan esok," katanya lagi.

Asfia berkata selepas penyerahan pengisytiharan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Pada Sabtu lalu, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan DUN Sarawak dibubar pada hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan.

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN selepas ADUN Engkilili Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lalu.

DAP menguasai enam kerusi manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

DUN Sarawak dengan 71 anggota sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006.

sumber : Malaysiakini

Ulasan saya:
Bertuahnya rakyat Sarawak, sebabnya pelbagai projek mee segera akan melimpah ruah kat sana. Kerajaan Pusat akan buat itu ini dan di situ di sini untuk meraih sokongan. Kalau PRK pun berpuluh juta RM diperuntukkan untuk segala projek mee segera, maka apatah lagi dengan Pilihanraya Raya Negeri yang jauh lebih penting .

Monday, March 21, 2011

LIBYA LUMPUH:112 peluru berpandu dilancar ke atas Libya




Kapal perang dan kapal selam Amerika dan British melancarkan fasa pertama serangan peluru berpandu ke atas pertahanan udara Libya dan pegawai pertahanan Amerika berkata, serangan itu dipercayai mengakibatkan kerosakan besar.


Dalam serangan tersebut, 112 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan ke atas lebih 20 sasaran di pantai untuk membuka laluan kepada pasukan udara bersekutu bertindak melumpuhkan pertahanan udara Libya, lapor AP.


Para pegawai pertahanan Amerika berkata adalah terlalu awal untuk menilai kesan serangan tersebut, tetapi berasaskan kepada ketepatan sasaran peluru yang dilancarkan, mereka merasakan ia mengakibatkan kerosakan teruk ke atas pertahanan udara Libya.


Pegawai berkenaan tidak mahu disebut namanya kerana misi serangan tersebut masih berterusan.


Ketika mengumumkan misi serangan tersebut ketika melawat Brazil, Presiden Barack Obama berkata beliau keberatan mengambil langkah ketenteraan tetapi yakin ianya perlu untuk menyelamatkan nyawa orang awam.

Obama mengulangi bahawa beliau tidak akan menghantar tentera Amerika memasuki Libya.

"Kami tidak boleh melihat sahaja apabila seorang pemimpin yang zalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak akan ada belas kasihan ke atas mereka," katanya di Brasilia.


Setakat ini, Amerika dilihat menghadkan peranannya dalam campurtangan di Libya, dengan fokus pertamanya untuk melumpuhkan pertahanan udara Libya, dan kemudian menyerahkan kepada negara-negara Eropah dan mungkin negara-negara Arab untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di atas ruang udara negara Afrika Utara.

Naib Panglima William E. Gortney memberitahu wartawan bahawa serangan peluru berpandu itu adalah permu
laan kempen yang dikenali sebagai 'Operation Odyssey Dawn'.


Katanya, matlamatnya ialah untuk menghalang tentera Muammar Gadhafi daripada melakukan lebih banyak keganasan ke atas orang awam - terutama di dalam dan di sekitar kubu pemberontak di Benghazi -- dan melumpuhkan keupayaan ketenteraan Libya untuk mencabar zon larangan terbang.

Sementara itu, Wartawan AFP pula melaporkan, bom digugurkan awal pagi ini berhampiran Bab al-Aziziyah, ibu pejabat Gaddafi di Tripoli, dan mencetuskan kemarahannya, yang berkata Mediterranean kini telah menjadi 'medan perang'.

Televisyen Libya sebelum itu melaporkan bahawa ratusan rakyat telah berkumpul untuk membentuk perisai manusia di Bab al-Aziziyah dan di lapangan terbang antarabangsa ibunegara itu.

Satu pegawai Libya memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam serangan tersebut, yang bermula pada 1645 GMT (12.45 pagi waktu Malaysia) oleh sebuah pesawat pejuang Perancis ke atas sebuah kenderaan tentera yang didakwa Perancis milik pasukan pro-Kadhafi.

Stesen televisyen Libya memetik tentera negara itu yang mengesahkan setakat ini 48 maut manakala 15 lagi cedera dalam serangan udara pertama tentera Bersekutu, awal pagi tadi.


Serangan itu membabitkan sepanjang pesisir pantai barat dan timur terutama di di bandar Zuwarah, Tripoli, Sirte dan Benghazi.

Media di Libya juga melaporkan pesawat pejuang barat mengebomkan sasaran awam di di Tripoli, menyebabkan kematian, manakala jurucakap tentera pula berkata serangan juga mengenai tangki yang membekalkan bahan bakar ke bandar Misrata yang dikuasai pemberontak, di timur Tripoli.


Gaddafi, dalam ucapan ringkas yang disiarkan di televisyen negara itu, mengecam serangan tersebut dan berikrar akan bertindak balas.


"Kini gudang senjata telah dibuka dan semua rakyat Libya telah dipersenjatai untuk menentang kuasa barat," katanya.


Sumber : Malaysiakini


P/S = Ramalanku Benar Belaka( memang ini yang AS tunggu selama ini).

AKAD NIKAH DI MASJID MENYIMPANG DARI AMALAN NABI.


Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh. Beliau berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.

Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini. Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah melakukan akad nikah dalam masjid.

Ini adalah satu-satunya kes akad nikah dalam masjid yang dilakukan baginda, kata pendakwah itu hari ini ketika diminta mengulas keghairahan umat Islam ketika ini menjadikan masjid sebagai tempat akad nikah kerana menganggap ia lebih berkat.

Ahmad berkata adalah lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin.

Sumber :
Malaysiakini

P/S : Tunggu respons dari tokoh-tokoh agama yang lain.

Thursday, March 10, 2011

TIPS MENGELAKKAN GANGGUAN MAKHLUK HALUS.

( Pocong a.k.a Hantu Bungkus,
Makhluk Halus Yang Ditakuti)


Bagi makhluk halus seperti Pocong ( dan yang seangkatan dengannya seperti Langsuir, Penanggal dan Toyol, sekadar menyebut tiga species) tentu sahaja mengingati dan mendekati Allah adalah senjata yang paling ampuh. Ayat kursi contohnya, amat popular sebagai pendinding dari gangguan makhluk-makhluk halus ini. Malah, iblis sendiri yang memberitahu sahabat Nabi S.A.W , betapa takutnya ia kepada ayat kursi. Jadi Al-Quran mesti hidup. Hidup dengan segar dan bugarnya di dalam diri. Ayat Al-quran juga hendaklah dihidupkan di dalam rumah sebagai benteng daripada gangguan mahkluk-mahluk halus. Tentang ini, jika inginkan maklumat lanjut, eloklah merujuk buku-buku yang ditulis oleh Dr Haron Din, Dr Amran Kasimin dan Ustaz Ismail Kamus .

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V


(Kaedah Lain Untuk Mengelakkan
Gangguan Makhluk Yang Halus)

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V

V



(Makhluk Yang Halus)

Bukankah nyamuk (termasuk lipas ) itu halus, jadi layak jugakah 'beliau' dilabel sebagai makhluk halus? Apa yang pasti 'beliau' adalah makhluk yang halus. Entry ringkas, sebab saya perlu berkemas, sebabnya seawal pukul 7 pagi esok saya perlu drive ke Langkawi. Kena berkursus selama 4 hari.



Artikel Sebelumnya: Bunga Tercantik

Tuesday, March 8, 2011

UMAT ISLAM DI CHINA

(Masjid Nan Dou Ya)

Setelah terbaca sebuah pendedahan daripada Dr Ridhuan Tee Abdullah dalam rencananya dalam Majalah al-Islam, dapatlah saya rumuskan betapa jauhnya jarak yang terbina antara bangsa Cina di Malaysia dengan agama islam. Mungkin sejauh timur dari barat dan mungkin juga sejauh langit dari bumi. Rencana tersebut memaparkan betapa kecilnya peratus bangsa Cina di Malaysia yang memeluk agama islam, iaitu kurang satu peratus (1 % ) atau sekitar 60 ribu orang sahaja daripada 6.5 juta masyarakat Cina di Malaysia.


Apatah lagi, fakta telah membuktikan betapa dekatnya jarak orang Cina dengan islam. Lihat sahaja pada ungkapan “Tuntulah Ilmu walaupun ke negara China” ( sengaja saya tidak menggunakan istilah hadis, kerana ramai ulama hadis mengatakan ia adalah hadis dhaif Jiddan, malah terdapat juga ulama hadis yang mengatakannya sebagai hadis Maudhu’ atau palsu). Di samping itu, sejarah juga telah menjilidkan tentang terdapatnya sebuah teori yang dikemukakan oleh Emanuel Gadinho Eredia , iaitu teori islam didatangkan dari China ke Asia Tenggara



(Masjid Nan Dou Ya. Masyarakat China Muslim
sesudah menunaikan solat)


Penghujung tahun lepas, saya berkesempatan ke Expo Cheng Ho 2010 yang dianjurkan oleh Kerajaan Kelantan. Exco ini banyak memaparkan perihal Laksamana Cheng Ho dan islam di China. Bermula dari sini saya mula berminat untuk mengetahui perihal islam di China dengan lebih dekat.

Sebelum ini, saya mengetahui serba sedikit tentang islam di China menerusi rencana-rencana yang ditulis oleh Ann Wan Seng. Tapi sayang seribu kali sayang, expo yang sarat dan padat dengan pengisian yang bermanfaat ini tidak mendapat liputan dari media arus perdana, malah pameran keranda dan hantu yang lebih diutamakan kerana ia dianggap pelaris untuk ‘membeli’ minat pembaca dan penonton.

(Peniaga muslim etnik Uighur yang berasal dari wilayah Xianjiang.
Yang tengah tu Pak cik Ali dari Kelantan)



Penghujung tahun 2010 juga, saya berkesempatan berkunjung ke China( Beijing dan Tianjin). Di sana, tidak sekadar berkunjung ke Great Wall (Tembok Besar China), Forbidden City (Kota Larangan), Tiananmen Square, dan Summer Palace, tapi sedaya yang boleh saya cuba mengintai ruang dan mencari peluang untuk menyelongkar sejarah Islam di bumi China, namun fokusnya hanya di Beijing dan Tianjin.




(Masjid Niujie yang bersejarah)


Bicara saya kali ini adalah khas untuk membicarakan perihal islam di China. Walaubagaimanapun ia hanya berfokuskan sekitar Beijing dan Tianjin sahaja. Ia berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sepanjang berada di sana, juga melalui pengetahuan yang saya perolehi melalui pembacaan.

Jumlah umat islam di China sebenarnya agak ramai. Maaf, saya tiada jumlah yang tepat, cuma saya difahamkan, jumlahnya dianggarkan hampir 200 juta orang, Malah di wilayah Xinjiang sahaja, terdapat 11 juta umat islam ( rujuk al-islam September 2009, ms 22). Etnik-etnik utama yang menganut agama islam seperti yang dinyatakan oleh Ann Wan Seng (rujuk majalah I, Jun 2006, ms 61) ialah Uighur, Tajik, Uzbek, Salar, Dongxiang, Khirgiz, Kazakh dan Hui.

( Aku sesudah solat kat Masjid Niuje)


Bandaraya Beijing, tidak susah sebenarnya untuk menemui umat islam di kota ini. Lihat sahaja pada kewujudan restoran-restoran halal milik warga tempatan ( Cina Islam) dan masjid-masjid, itu bukti yang kukuh betapa mudahnya mencari islam di Kota Beijing. Peniaga-peniaga islam juga ramai yang menjual makanan, terutamanya berhampiran masjid dan kaki lima. Pada gerai bergerak yang mereka gunakan (kebanyakannya menggunakan basikal), tertera kalimah-kalimah Berbahasa Arab yang melambangkan islam, antaranya kalimah Assalamualaikum, Dua Kalimah Syahadah, Bismillah ir-Rahman ir-Rahim dan Halal.

( sekitar Masjid Niuje)


Malah, saya sendiri pernah mencuba masakan Uighur ( etnik beragama islam dari Xinjiang) ketika meronda-ronda menikmati keindahan Beijing pada waktu malam. Jujur dan ikhlas, meskipun negara China ini beridealogi Komunis, namun amat mudah untuk mencari islam dan jatidiri islam di sini, jauh berbeza dengan Vietnam, yang agak sukar untuk menemui masjid dan restoran makanan halal(seeloknya layari internet terlebih dahulu untuk mengenalpasti restoran makanan halal dan lokasi masjid di Vietnam). Berdasarkan pengalaman saya di Ho Chi Minh Vietnam , makanan halal agak susah diketemui dan harganya juga sangat mahal. Untuk sepinggan nasi goreng biasa dengan segelas milo aispun harganya mencecah RM40.

(Masjid Niujie - China Muslim sesudah bersolat)


Islam di China, Beijing khasnya dapat dilihat menerusi kewujudan banyak masjid. Di Beijing sebenarnya terdapat beberapa buah masjid yang terkenal. Antaranya Masjid Nan Douya, Masjid Ma Dian dan Masjid Nuijie.

Saya berkesempatan bersolat di Masjid Nan Douya. Dari luar ia kelihatan teramat kecil , tapi bila memasukinya ternyata ia agak besar dan membanggakan. Ruang solatnya juga cukup mengujakan. Walaupun begitu, masjid ini tidaklah sehebat Masjid Niujie dari segi sejarah dan seni ukirnya


(Kukira ini ialah Imam Masjid Nuijie.
Maaf aku lupa namanya)


Masjid Niujie merupakan masjid tertua di Beijing, China. Ia dipercayai dibina pada tahun 996 Masihi dan dibina semula dan juga dibesarkan di bawah Maharaja Qing Kangxi (1622-1722). Niujie terletak dalam daerah Xuanwu dan ia merupakan kawasan terbesar diduduki oleh umat Islam di Beijing


Saya difahamkan, luas masjid itu kira-kira 6,000 ( ada juga sumber yang mencatatkan 10 ribu) meter persegi, dan ruang solatnya 600 meter persegi, boleh menampung seribu jemaah menunaikan solat. Gaya seni bina dan reka bentuknya menggabungkan seni bina istana China dengan bangunan Arab. Struktur kayu masjid itu mempunyai hiasan bercorak Arab.


(seni bina di dalam Masjid Nuijie)


Ketika saya ke masjid ini, aktiviti keagamaan(kursus haji) sedang dijalankan. Selain bersolat, sempat juga saya dan rakan-rakan beramah mesra dengan beberapa orang warga islam tempatan yang usai bersolat ( tak mesra mana sebenarnya kerana masalah bahasa).

Sebelum meninggalkan masjid ini, tangan kami hulur dan kami bersalam erat dengan seorang penduduk islam tempatan, tanda eratnya ukhwah antara anak Melayu Kelantan dengan warga China. Erat kerana kami seakidah meskipun tidak sebangsa. Dan, Cina Muslim ini ( saya kira beliau adalah Imam masjid ini- kerana beliau paling akhir meninggalkan masjid sesudah solat asar berjemaah) telah memberikan kami pamphlet yang menerangkan secara ringkas sejarah masjid Nuijie.

(Niujie Muslim Supermarket)


Melalui pembacaan, saya dapati Kerajaan China yang berideologi Komunis turut membiayai beberapa projek pemulihan masjid Nuijie sejak 1949. Pada tahun 2005 contohnya, kerajaan menyumbangkan 25 juta Yuan bagi melaksanakan kerja pembaikan dan pembesaran Masjid Niujie — projek terbesar seumpamanya setakat ini — termasuk membina semula Dewan Wanita.


(Muslim Super Market.
Simbol di atas adalah logo halal,
begitulah aku difahamkan)


Di Nujiie juga, terdapat Muslim Supermarket. Memandangkan Nuijie merupakan petempatan terbesar yang didiami oleh umat islam di ibu negara China ini, maka kewujudan supermarket ini adalah wajar sekali. Ia memudahkan warga islam tempatan sekitar Beijing mendapatkan bekalan makanan halal.


Sebenarnya tidaklah sukar untuk memperolehi bekalan makanan halal di mana-mana kawasan sekitar Beijing ( ini berdasarkan penjelasan seorang rakan blogger yang sedang melanjutkan pelajaran di Beijing, China) .




(Sekitar Muslim Super Market)



Pekerja-pekerja di supermarket ini juga ramah sekali. Setelah mengetahui saya ini saudara seagama dari Malaysia, maka dengan penuh hormat saya dipersilakan untuk merakam gambar di dalam supermarket itu.

Di Beijing juga terdapat hotel-hotel yang memahami kehendak dan keperluan umat islam. Mungkin ia berpunca daripada kebanjiran pelancong-pelancong islam ke sini. Terdapat beberapa buah hotel di sini (termasuklah hotel yang saya diami di Beijing dan Tianjin ) yang memaparkan arah kiblat untuk memudahkan penghuni islam bersolat. Ia merupakan dasar dan polisi yang perlu kita banggakan.


Ia juga satu petunjuk yang jelas, islam kian diterima oleh masyarakat China. Ini juga membuktikan penduduk China sedang beransur-ansur berarak menuju islam.. Ini semua wajar dibanggakan kerana berdasarkan pengalaman saya ketika menetap di Sabah(hamper enam tahun lamanya), terdapat beberapa buah hotel sekitar Kota Kinabalu yang tidak memaparkan arah kibat, terpingga-pingga saya ketika ingin bersolat.
(Tianjin :Peniaga Islam di Tianjin Cultural and Food Centre
sedang menjual kambing panggang)



Sama-samalah kita mendoakan agar islam terus subur dan mekar di bumi China. Bumi Komunis yang pada dasarnya anti mana-mana agama. Allah Maha Besar. Memuja-Nya Begitu Indah. Dan keindahan itu sedang dirasai di China.

Sunday, March 6, 2011

PERAK DARUL RIDZUAN


(Peta Perak Dari Google)


p/s : Sekadar bicara dariaku kepada yang lupa, kerna aku seorang pengingat yang setia)

Saya mula mengenali Ipoh pada 15 Januari 2007. Itulah hari pertama yang menjejak kaki ke Ipoh, lantaran diarahkan demi kelangsungan kerjaya. Namun ini bukanlah bererti saya terlalu asing dengan Perak, sebabnya ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia (kampus induk Minden), saya sering ke Perak Utara. Kawasan sekitar Parit Buntar, Bagan Serai dan Taiping. Mungkin setahun dua lagi saya akan berhijrah pula ke Hulu Perak ( Gerik atau Pengkalan Hulu) pula untuk mengurangkan jarak dengan negeri kelahiran saya.


Sebut sahaja negeri Perak, mungkin pelbagai cerita dapat kita dengari. Semuanya bergantung kepada si pencerita. Jika si pencerita itu berminat dengan bola sepak, tentu sahaja dia akan ghairah bercerita tentang kemaraan skuad "kejor yob kejor" dalam arena bolasepak tempatan. Bagi yang meminati senibina, tentu sahaja kellie's castle dan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar antara yang dikaguminya. Bagi yang meminati politik, pasti sahaja pergolakan politik yang berlaku pada tahun 2009, akan sentiasa dikenang sampai bila-bila. Biarlah, kecenderungan itu adalah milik mutlak anda dan tiada siapa yang mampu menghalang. Cuma, jangan pula ada yang mengenali dan mengingati Perak semata-mata kerana buah durian.

(masjid Ubudiah Kuala Kangsar)


Dari sudut sejarah, Perak telah lama didiami Malaysia. Ini terbukti melalui penemuaan rangka manusia yang tertua di Malaysia, iaitu Perak Man. Tulang rangka Perak Man ini dijumpai di Lenggong, Hulu Perak. Alang-alang berbicara tentang Sejarah, perlu juga dimaklumkan ibu negeri Perak sebelum 1937, bukanlah Ipoh tapi Taiping. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh. Klian bermaksud lombong. Pauh pula ialah sejenis buah mangga bersaiz kecil.

Masih lagi dari sudut sejarah, Perak adalah antara negeri pengeluar bijih timah yang terbesar di Tanah Melayu. Faktor inilah yang mendorong kemasukan buruh-buruh cina yang ke Perak. Tidak menghairankanlah jika di Perak ni ramai orang-orang cina terutamanya di bandar-bandar utamanya seperti Ipoh. Perak juga merupakan negeri pertama yang menerima Sistem Residen. Semua ini adalah lanjutan daripada perjanjian Pangkor pada tahun 1874, antara Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Andrew Clarke dengan Raja Muda Abdullah.Dari sudut sejarah juga, di Peraklah bermulanya episod darurat di Tanah Malayu. Darurat diistiharkan ekoran peristiwa pembunuhan tiga orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput.


Kelmarin saya menonton sebuah rencana menarik di Channel History (555), tajuknya The Malayan Emergency. Menontonnya menjadikan saya lebih matang tentang sejarah keganasan Komunis(PKM) di Tanah Melayu. Jauh lebih ilmiah berbanding sesetengah buku tentang darurat dan komunis yang saya baca sebelum ini. Semua tahu, Sungai Siput pernah menjadi kubu kuat Samy Vellu dan disitu jualah riwayat politiknya mula menemui nafas-nafas terakhir. Pengaruhnya merosot setelah tewas teruk di Sungai Siput dalam Pilihanraya Umum 2008. Selain persitwa keganasan Komunis, bumi Perak juga menjadi pentas perang Larut, antara dua buah kumpulan kongsi gelap cina, iaitu Gee hin dan Hai San

(Kota Ngah Ibrahim. Gambar ni saya Photoshopkn agar nampak klasik)

Dalam aspek pendidikan negeri Perak telah melakar sejarah yang amat gemilang. Lupakan seketika tentang Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh kerana ia masih baru, apatah lagi sebelum ini ia adalah kampus kejuruteraan USM sebelum berpindah ke Nibong Tebal(Transkrian).

Saya hanya ingin berbicara tentang dua buah institusi yang mencipta sejarah dalam negara kita. Pertamanya ialah Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada 2 Januari 1905. Asalnya ia merupakan sekolah elit untuk anak-anak kerabat DiRaja tapi kini merupakan sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) yang digeruni. Ramai bekas pelajarnya yang mewarnai landskap negara hari ini dalam pelbagai bidang. Terlalu banyak jika ingin saya senaraikan, Cuma saya ingin senaraikan anak didik MCKK yang mewarnai dunia siasah, antaranya Dato' Onn JaafarMenteri Besar Johor (pengasas UMNO), Dato Seri Hishammuddin Hussein (UMNO), Dr Hj Mohd Hatta Ramli ( Bendahari PAS Pusat) Dato' Seri Anwar Ibrahim(Penasihat PKR). Maafkan saya sebab terpaksa menyebut nama-nama tokoh politik, apakan daya sebab mereka ini lepasan MCKK.


Satu lagi institusi pendidikan yang wajar dikagumi ialah Madrasah Al-Ehya Asshariff di Gunung Semanggol. Di tubuhkan pada 15 April 1934 oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Di Madrasah inilah lahirnya beberapa orang tokoh ulama yang kemudiannya gigih memartabatkan islam di persada negara. Di sini jualah , bermulanya tunas gerakan islam di Malaysia dengan tertubuhnya Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh British. Pernah dahulu Dato’ Onn Jaafar menuduh Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan Madrasah Al-Ehya Asshariff sebagai ‘BAHAYA DARI GUNUNG’.


Jangan lupa juga dengan Aminuddin Baki yang digelar sebagai "Bapa Pendidikan Malaysia". Beliau adalah anak kelahiran Chemor Perak. Beliau bertanggungjawab mempertingkatkan mutu pelajaran di negara ini, termasuk menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Laporan Pendidikan Razak, pada tahun 1956, dan Laporan Abdul Rahman Talib pada tahun 1960. Banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya. Antaranya ialah SMK Aminuddin Baki( bagi saya, yang terletak kat Chemor Peraklah yang paling sesuai sempena tempat kelahirnnya) yang terdapat di bebrapa buah negeri, begitu juga dnegan institut Aminuddin Baki (popular sangat kepada yang nak jadi Pengetua)




(MCKK, gambar dari Google)

Dari aspek pelancongan, Perak sememangnya tidak pernah ketandusan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Sebenarnya saya juga dalam proses meneroka dan menyelongkari setiap sudut dan inci bumi Perak. Akan saya paparkan dalam entry akan datang. Insha Allah.



(Madrasah Ehya Assharif, gambar dari Google)

Dari sudut politik, jujur dan ikhlas, semua pihak kena akui sesungguhnya bumi Perak memainkan peranan besar dalam kewujudan parti-parti politik di Malaysia. Untuk UMNO, lelaki Perak yang dikenali sebagai Dato’ Panglima Bukit Gantang, atau nama sebenarnya Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz adalah Setiausaha Agung UMNO yang pertama. Tidak adil jika bicara tentang tokoh politik dari Perak terhenti setakat itu, sebab di Ipoh Peraklah tertubuhnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpim oleh Mokhtarudin Laso. Ahmad Boestamam yang merupakan aktivis Kesatuan Melayu Muda(KMM) dan PKMM juga adalah anak Perak yang dilahirkan di Tanjung Malim.



Juga jangan dilupa, Pengasas PAS , Ustaz Ahmad Fuad Hassan juga merupakan anak kelahiran Manong Kuala Kangsar Perak . Malah Yang Dipertua Agung PAS yang kedua ( gelaran yang digunapakai sebelum menggunakan gelaran Presiden) iaitu Dr Burhanuddin al-Helmi adalah anak kelahiran Gopeng Perak. Tidak cukup dengan itu,Dr Zulkifle Muhammad, bekas Timbalan Yang Dipertua PAS ( yang menemui ajal dalam kemalangan di Pahang) juga merupakan anak kelahiran Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar Perak.


Dan paling perlu diingati oleh semua ialah, ketika Pilihanraya Umum (PRU)Pertama pada tahun 1955, satu-satunya kerusi yang pembangkang menang ialah di Perak . Dalam PRU tersebut, Parti Perikatan(umno+mca+mic) memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Satu-satunya kerusi yang pembangkang menangi( lebih tepat lagi PAS) ialah di Kerian Perak. Diulangi, Kerian Perak dan bukannya Marang Terengganu atau Bachok Kelantan. Minta maaf banya-banyak, sebab saya terbicara persoalan politik pula. Jujur, saya hanya ingin berbicara tentang Perak, tapi apakan daya mereka ini adalah anak-anak Perak, jadi saya tidak boleh pinggirkan mereka dalam bicara saya.


Meskipun Ahmad Boestaman, Dr Burhanudin al-Helmi dan Dr Zulkifli Muhammad amat dibenci oleh musuh politiknya semasa hayatnya, namun setelah ketiadaanya nama mereka tetap diabadikan. SMK Ahmad Boestaman(Perak), SMK Dr Burhanuddin(Perak), Kamsis Dr Burhanuddin Helmi (UKM), SMK Zuklkifli Muhammad(Perak)


Demikianlah adanya sekelumit bicara dari saya tentang Perak. Jangan lagi, ada yang mengenali Perak kerana buah durian.