Wednesday, May 23, 2012

Hukum Mengahwini Wanita Ahli Kitab

Tafsir Surah Al-Maidah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
Harakah bertarikh 1-15 Julai 2002



Sebelum melanjutkan bicara,saya mohon agar entry ini dibaca dengan cermat dan teliti, dan kalau perlu ia perlu dibaca berulang kali, agar benar-benar dapat memahami permasalahan ini.
Ahli Kitab merujuk kepada penganut agama Yahudi dan Kristian. Persoalannya adakah masih wujud ahli kitab pada zaman ini, atau telah pupuskah mereka setelah pupusnya keaslian kitab Taurat dan Injil. Adakah penganut kedua-dua agama ini masih boleh ditakrifkan sebagai ahli kitab,sedangkan kitab pegangan mereka,iaitu Taurat dan Injil telah banyak diubahsuai. Dengan kata lain, pegangan mereka telah jauh tersasar dari ajaran Nabi Musa A.S dan Isa A.S.

Ini menjadi perbahasan dalam kalangan ulama, namun Jumhur(Majoriti) Ulama mengatakan, ahli kitab masih lagi wujud,meskipun mereka tidak lagi berpegang kepada kitab yang asal. Sila lihat kenyataan Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid,pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya yang saya paparkan dibawah.




Memang ada yang berpendapat, ahli kitab pada zaman Nabi yang SAW merupakan golongan yang berpegang dengan kitab asal yang diturunkan kepada Nabi Musa A.S dan Isa A.S. Namun jika kita perhatikan di dalam kitab suci Al-Quran, ternyata mereka telah merubah kitab Taurat dan Injil dan menyekutukan Allah sejak sekian lama.

Mungkin juga, ada yang berpendapat,ketika hayat Rasulullah SAW masih terdapat dalam kalangan mereka yang masih berpegang dengan ketulenan ajaran Nabi Musa A.S dan Isa A.S. Namun, perlu kita fahami, ajaran-ajaran tersebut(meskipun masih lagi tulen dan tidak diubah suai), namun ia telah dimansukhkan dengan kehadiran agama islam. Atau dengan kata lain, segala ajaran yang dibawa oleh para nabi terdahulu akan terbatal setelah kerasulan Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya :



“Demi Allah yang jiwa Muhammad di tangannya, tidak seorang pun Yahudi dan Nasrani yang mendengar tentang diriku, lalu mati tanpa beriman dengan risalah yang dengannya aku diutus( iaitu Tauhid),maka dia termasuk penghuni neraka.


Kesimpulannya, Ahli Kitab( Yahudi dan Kristian) pada zaman Nabi Muhammad SAW telahpun dikategorikan sebagai kafir. Kafir kerana beriman dengan kitab yang diselewengkan, Atau kafir kerana kerana segala ajaran dan pegangan mereka(jika masih terdapat saki baki yang berpegang dengan kitab asal yang tidak diselewengkan) terbatal setelah kerasulan Nabi Muhammad SAW. Walaupun begitu, sejarah menjilidkan terdapat dalam kalangan para sahabat yang mengahwini wanita-wanita Ahli Kitab. Antaranya ialah Uthman ibn Affan. Beliau mengahwini Nailah bt al-Farafisah seorang wanita penganut agama Kristian yang kemudian memeluk Islam. Juga Jabir ibn Abdullah yang mengahwini wanita beragama Yahudi atau Nasrani pada masa pembukaan Kufah ketika pemerintahan Saad ibn Abu Waqqas.



Tafsir Surah Al-Maidah ayat 5.
Harakah 1-15 Julai 2002.

Walaupun Jumhur Ulama menganggap penganut-penganut agama Yahudi dan Kristian sebagai ahli kitab, meskipun mereka tidak lagi beriman dengan kitab yang asal serta melakukan penyekutuan terhadap Allah, namun adakah semua penganut agama tersebut layak ditakrifkan sebagai ahli kitab? Dalam persoalan ini timbul pula perbahasan yang panjang lebar tentang keturunan perempuan Yahudi dan Krisitian tersebut. Akan diperkatakan di dalam Info Tambahan



Fatwa Jabatan Mufti Pulau Pinang.


Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang memfatwakan:

Halal dan sah seseorang lelaki islam berkahwin dengan perempuan kitabiyah(Yahudi dan Nasrani) tetapi disyaratkan pada Yahudiyah bahawa keturunan mereka masuk ke dalam ugama itu sebelum dibangkit Nabi Isa, dan pada Nasraniyah bahawa hendaklah diketahui dengan yakin keturunan mereka masuk ke dalamnya sebelum dibangkit Nabi Muhammad(s.a.w).

Kesimpulan daripada Fatwa Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, ialah:

  • Wanita Yahudi yang halal dikahwini,disyaratkan keturunannya(nenek moyangnya) beragama Yahudi sebelum Nabi Isa AS diutuskan
  • Wanita Kristian yang dihalalkan untuk dikahwini pula, disyaratkan keturunannya (nenek moyangnya)memeluk agama tersebut sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan.
  • Perkahwinan seseorang lelaki islam dengan perempuan berbangsa Cina(termasuk juga india, Kadazan, Iban dan sebagainya) yang beragama Krisitian, adalah tidak dibenarkan oleh syarak. Ini memandangkan, ia(agama Krisitan tersebut) bukanlah agama asal keturunanya. Dengan istilah yang lebih mudah, nenek moyang perempuan Cina tersebut memeluk agama Kristian sesudah lahirnya Nabi Muhammad S.A.W. Dan seperti yang kita maklum, orang-orang Cina ,suatu ketika dahulu, atau setidak-tidaknya nenek moyang mereka merupakan penganut agama Budha atau apa-apa kepercayaan sebelum mereka bertukat kepada agama Krisitian.. Jadi Krisitian bukanlah agama mereka sejak turun temurun.


Fatwa Majis Fatwa Kebangsaan.


Kesimpulan daripada Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan:

  • Seseorang wanita yang bukan beragama islam(Budha, Hindu atau apa sahaja) dan kemudiannya memeluk agama Kristian, lalu berkahwin dengan seorang lelaki islam. Maka perkahwinan tersebut adalah tidak sah.
  • Seseorang wanita itu dianggap sebagai Kafir Kitabi, jika mereka beragama Yahudi atau Kristian dari keturunan Nabi Yaakob A.S, dan dari keturunan lain, namun dengan syarat mestilah kaumnya(keturunannya)memeluk agama tersebut sebelum ia dinasakhkan(dimansuh atau dibatalkan : iaitu kalau Yahudi di nasakhkan oleh Kristian dan kalau Krisitian dinasakhkan oleh agama islam). Hukumnya adalah halal untuk lelaki islam mengahwini wanita Yahudi dan Kristian yang sebegini, dan tidak halal untuk mengahwini wanita Yahudi dan Kristian yang selainnya.

Tentang fatwa-fatwa ini, anda boleh merujuk buku berjudul Fatwa dalam Perundangan Islam yang ditulis oleh Prof Madya Dr Othman Haji Ishak, Ketua Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, terbitan Fajar Bakti.

Tafsir Surah Al-Maidah ayat 5.Harakah 1-15 Julai 2002.
Sesunggunya mengutamakan wanita islam yang beriman
adalah lebih baik daripada orang kafir ahli kitab.


Walaupun perkahwinan dengan wanita ahli kitab itu diharuskan, namun sesetengah ulama menghukumnya sebagai makruh.




INFO TAMBAHAN:

Demikianlah takrif ahli kitab yang diterima pakai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, namun harus diketahui, terdapat juga pendapat yang berbeza daripada takrif ini. Meskipun berbeza, namun pandangan dan pendapat mereka tetap sama, iaitu ahli kitab tetap wujud meskipun mereka tidak lagi berpegang dengan kitab asal yang diturunkan kepada Nabi Musa AS dan Isa AS.

Pendapat tersebut ialah :

  • Terdapat juga ulama yang mensyaratkan hanya penganut Yahudi dan Kristian dari keturunan Nabi Yaakob AS sahaja yang boleh dianggap sebagai ahli kitab. Dan keturunan(nenek moyang) mereka pula telah menganut agama tersebut, sebelum ia dibatalkan oleh agama yang kemudiannya(yahudi dibatalkan oleh Kristian dan Krtistian dibatalkan oleh islam). Apa yang pasti, pendapat ini tentu sekali agak ketat dan sukar sekali untuk mencari ahli kitab yang menepati ciri-ciri sebegini pada masa sekarang.
  • Terdapat juga ulama yang berpendapat, sesiapa sahaja yang beragama ahli kitab(Yahudi dan Kristian)maka mereka adalah ahli kitab,walaupun bapa dan datuknya tidak beragama yahudi atau krsitian. Meskipun keturunanya memeluk agama tersebut sesudah agama tersebut dibatalkan. Apa yang pasti, pendapat ini agak longgat dan jika mengikut pandangan ini, semua penganut Yahudi dan Kristian dari pelbagai bangsa adalah ahli kitab dan wanitanya halal dikahwini.

Namun, secara peribadi saya cenderung kepada pendapat yang difatwakn oleh Jabatan Mufi Pulau Pinang dan Majlis Fatwa Kebangsaan, iaitu:

Halal dan sah seseorang lelaki islam berkahwin dengan perempuan kitabiyah,iaitu Yahudi dan Nasrani. Tapi syaratnya, jika Yahudi, maka keturunan mereka(sama ada dari keturunan Nabi Yaakob A.S, atau dari keturunan lain) memeluk agama tersebut sebelum dibangkit Nabi Isa, dan jika Kristian pula hendaklah diketahui dengan yakin keturunan mereka(dari keturunan Nabi Yaakob A.S, atau dari keturunan lain) masuk ke dalamnya sebelum dibangkit Nabi Muhammad(s.a.w).


MENGAPA HANYA LELAKI ISLAM YANG DIBENARKAN.

Pertama sekali, kerana ia adalah ketetapan dari Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman-Nya:

"Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya sebagai perempuan simpanan.." ( Al-Maidah : 5 )

Sheikh Mahmud Shaltut, Mantan Sheikh Al-Azhar dalam mengemukakan hujahnya, mengatakan dalam hal perkahwinan, lelaki adalah lebih berkuasa ke atas perempuan, iaitu berkuasa untuk membimbing keluarga,anak-anak, dan cara kehidupan seluuruhnya mengikut ajaran islam. Namun, jika lelaki islam itu tidak berkuasa dalam hal ehwal perkahwinan seperti hal ehwal keluarga, anak-anak dan cara kehidupan lebih dikuasai dan dipengaruhi oleh isteri yang beragama kristian atau yahudi, maka islam mengharamkan perkahwinan tersebut dan ia terkeluar dari tujuan asal yang diharuskan oleh islam.(Fatwa Dalam Perundangan Islam,M/S 31)


Antara Syarat-Syarat Untuk mengahwini Wanita Ahli Kitab

  • Anak-anak yang lahir dari hasil perkahwinan tersebut hendaklah beragama Islam.
  • Wanita kristian atau yahudi tersebut mestilah wanita yang suci dan bukan wanita jalanan atau penzina.
  • Prof Dr Hamka pula mensyaratkan lelaki mestilah beriman dan mempunyai kefahaman agama yang tinggi. Ini kerana dia bakal berhadapan dgn mentua dan ipar-ipar yang beragama Kristian atau Yahudi. Pandangan daripada Buya Hamka ini, selari dengan pandangan Sheikh Mahmud Shaltut, Mantan Sheikh Al-Azhar.
  • Dalam keadaan tertentu pihak berkuasa boleh menegah perkahwinan atas dasar kepentingan agama dan negara. Antaranya untuk tidak menimbulkan fitnah ke atas wanita islam seperti menjadi andartu.
  • Wanita ahli kitab yang tinggal dan menjadi warganegara kepada sebuah negara Islam. Ulama berpendapat lelaki beragama Islam harus kahwin dengan wanita ini.
  • Wanita ahli kitab yang tinggal dan menjadi warganegara kepada negara bukan Islam. Ulama sepakat berpendapat lelaki beragama Islam tidak harus berkahwin dengan wanitanya kerana kedudukannya lebih kuat, mungkin pengaruhnya juga lebih besar.

Untuk Lebih Memahami Persoalan Ahli Kitab, Link Dibawah Perlu dikunjungi.



Saturday, May 19, 2012

Kelantan Juara Piala FA 2012




Akhirnya penyokong Kelantan dapat menarik nafas lega apabila Kelantan berjaya menjuarai Piala FA 2012.

Syukurlah sejarah hitam 2009 dan 2011 tidak berulang,
di mana ketika itu Kelantan hanya mampu menjadi Naib Juara Piala FA .

Keadaan penuh debar hinggalah Kelantan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-57 dan Muhammad Ghaddar yang mengambil sepakan tersebut berjaya menjaringkan gol. Tahniah kepada Kelantan dan syabas kepada Sime Darby kerana telah bermain habis-habisan.


Wednesday, May 16, 2012

Final Piala FA 2012 : Mengapa Anda Perlu Menyokong Kelantan



Lihatlah, semua Pemimpin, baik dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kelantan.

Jika anda sebahagian dari mereka( menyokong BN mahupun PR),anda perlu memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Kelantan yang akan berhadapan dengan pasukan Sime Darby pada 19. Mei. 2012.

Tuesday, May 15, 2012

Terima Kasih Wahai Guru

mereka adalah antara guru-guru yang
pernah mendidikku ketika di SMK Bachok Kelantan



Dahulu,ketika di alam persekolahan, pernah saya beranggapan kerjaya sebagai guru tidak memenatkan akal dan tidak melelahkan fizikal. Tapi tanggapan itu mulai lerai dan berderai apabila saya ditakdirkan menjadi seorang guru. Ternyata, ia tidak semudah yang disangka dan tidak sesenang yang diduga. Ternyata ia memerlukan kekentalan yang bukan sedikit untuk merenangi lautan duga.

Ternyata juga, ia tidak sekadar memperkenalkan huruf dan angka, tapi peranan guru lebih dari itu. Paling penting,memandu pelajar untuk memaknakan hidup demi kehidupan yang lebih bermakna. Bermakna kepada agama,bangsa dan negara. Paling penting, bermakna di dunia dan di juga di sana.

Jutaan terima kasih, saya ucapkan kepada guru-guru yang pernah mendidik saya, baik ketika di sekolah rendah, mahupun di sekolah menengah. Terima kasih kerana mengajar saya menjadi manusia.

:Guru Terbaik:
Kepada rakan-rakan guru, selamat hari guru saya ucapkan. Dan, sebelum itu, saya ingin kongsi untaian hikmah yang pernah dilafazkan oleh Jean Jacques Rousseau. Beliau merupakan ‘arkitek’ Revolusi Perancis. Revolusi yang mengakhiri pemerintahan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette.

Jean Jacques Rousseau berkata “Kita belajar bersama hidup.Pelajaran pula bermula dengan permulaan nafas dan kekurangan yang dirasai adalah guru yang terbaik.”

Kekurangan yang dirasai dan kelemahan yang disedari. Itulah ‘guru’ yang terbaik berdasarkan pandangan arkitek revolusi Perancis ini. Sudahkah kita menemui ‘guru’ ini. Untuk menemuinya kita perlu gigih mencari. Mencari dalam diri dengan merenung jauh ke dasar hati.

Tema Hari Guru 2012 : Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

Artikel Berkaitan : Puisi Buat Guru

Monday, May 14, 2012

Hukum Wanita Bersanggul Tinggi.



Saya tak nak ulas apa-apa dan saya juga sedang mencari-cari jawapannya.Cuma di sini saya paparkan sahaja 'fatwa' Dr Mashitah yang ayu dan jelita. Jika sahabat ada info tentang isu ini sila maklumkan kepada saya.

Friday, May 11, 2012

12 MEI HARI JURURAWAT: HARGAILAH SUMBANGAN DAN PENGORBANAN JURURAWAT

Gambar dari google


Saya hanya mengetahui kewujudan Hari Jururawat setelah ayah saya dimasukkan ke wad Hospital Universiti Sains Malaysia(HUSM)Kubang Kerian Kelantan. Atau lebih tepat lagi, Ketika ayah saya dipindahkan dari wad 8 Selatan ke Unit Rawatan Rapi(ICU) pada 25 Januari 2012. Ketika menziarahi ayah, saya terpandang keratan akhbar yang di tampal di wad ICU tersebut. Keratan akhbar itu mengenai luahan perasaan seorang jururawat dan di situ juga terpapar tarikh Hari Jururawat. Berulang kali saya membacanya ketika saya menemani ayah.

13 Disember 2011, ayah saya meninggalkan rumah untuk ke hospital, dan pada 25 Mac 2012, ayah saya meninggalkan hospital untuk pulang ke rumah(tapi sebagai jenazah).





Ayah saya gagal diselamatkan, namun saya sedar, itu adalah ketetapan dan ketentuan. Kematian adalah sebuah temujanji dan ia akan menghampiri walaupun kita menjauhi. Ia juga akan datang menemui walaupun kita bersembunyi. Al-Fatihah Untuk Ayah .
.
Saya juga faham, Jururawat bukanlah jurusembuh, jadi tugas mereka ialah merawat dan bukannya menyembuhkan. Menyembuh itu Kerja Tuhan, dan Kerja Tuhan Tak Siapa Yang Tahu. Saya juga amat yakin mereka (jururawat dan doktor) telah mencuba sekudrat yang mampu dan sedaya yang boleh untuk menyembuhkan ayah saya.


(Berita Harian 7 Mei 2012)

Cukuplah dahulu mengulit kenangan dan kembali kepada tajuk dan matlamat entry ini. Mari kita kenali jururawat dan sekali gus menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka. Meminjam istilah atau takrif yang digunakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai : Jururawat ialah anggota dalam perkhidmatan rawatan kesihatan di belakang tabir. Mereka bertugas di dewan pembedahan,bilik rawatan,wad dan di sisi katil pesakit. Merekalah yang membantu doktor dan mereka jugalah yang menjaga dan memenuhi keperluan pesakit serta menangani sebarang masalah yang dihadapi.

Sebuah Novel yang hebat
yang memaparkan sumbangan
dan pengorbanan jururawat



Sepanjang menemani ayah ketika ayah ‘mendiami’ wad 8 selatan HUSM, saya mengutip seribu erti dan sejuta makna. Erti sumbangan dan makna pengorbanan yang telah jururawat curahkan. Di wad tersebut saya menyaksikan pelbagai ragam dan karenah pesakit, yang pasti sahaja menuntut kebijaksanaan dan kesabaran jururawat yang bertugas. Jauh di sudut hati saya merumuskan, tentu sahaja kerjaya sebagai jururawat ini amat melelahkan akal dan sangat memenatkan fizikal. Jauh lebih lelah dan penat berbanding saya, seorang guru.

Bukan itu sahaja, wad tersebut juga menjadi rumah kedua para jururawat yang bertugas. Bukan setakat makan dan minum, malah mereka turut bermalam di situ. Bermalam bukan bermakna lena melayari malam tapi berjaga melayani pesakit yang pelbagai ragam. Begitu juga ketika orang lain bercuti pada hujung minggu dan ketika cuti-cuti umum, namun mereka tetap setia untuk merawat pesakit.

Mudah-mudahan ,tarikh 12 Mei ini akan memberikan kita seribu erti dan sejuta makna. Erti menghormati dan makna menghargai segala sumbangan dan pengorbanan para jururawat.

Wednesday, May 9, 2012

Surat Terbuka Kepada Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin

Dr Abdul Shukor Hussin,Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.


Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang saya hormati,

Saya mulakan warkah ini dengan memetik kata-kata George Bernard Shaw: “ Jikalau manusia membunuh harimau ia dinamakan olahraga tetapi jika harimau membunuh manusia ia dinamakan keganasan.”

Jujur dan ikhlas, warkah ini bukanlah bermatlamat memperlekehkan Majlis Fatwa Kebangsaan. Jauh sekali untuk menidakkan sumbangan dan peranan Majlis Fatwa. Apatah lagi untuk menderhaka kepada keputusan Majlis Fatwa. Saya amat yakin, Prof dan ahl-ahlii Majlis Fatwa terdiri daripada golongan yang amat memahami persoalan agama dan keagamaan. Jujur-sejujurnya, saya hormati Majlis Fatwa Kebangsaan dengan setinggi-tinggi penghormatan. Dan, saya sanjung Majlis Fatwa dengan semurni-murni sanjungan.

Tapi,penghormatan dan sanjungan itu bukanlah penghalang untuk saya menegur Prof dan Majlis Fatwa. Tentu Prof masih ingat untaian hikmah yang pernah dilafazkan oleh Imam Malik. Tidak mengapa, biar saya ingatkan, kerana saya ini manusia pengingat:

"Siapapun dapat diterima atau ditolak pendapatnya kecuali yang ada di makam ini(sambil menunjuk ke makam Rasulullah SAW)".

Lagipun fatwa hanyalah ciptaan manusia, jadi ia tidak maksum dan ia mungkin betul dan mungkin juga salah. Bak kata Dr Asri Zainul Abidin, andainya fatwa tidak boleh dicabar, ia bukan sahaja "tidak demokratik", malah "mematikan intelektualisme" kerana menyamakan fatwa seperti nas dalam al-Quran dan Sunnah yang tidak boleh dipertikai.



Demontrasi memijak kepala lembu dengan matlamat mencetuskan rusuhan kaum.
Ditaja oleh NGO yang Pro UMNO dan turut melibatkan aktivis UMNO.
Mengapa Majlis Fatwa tidak memfatwakan ia sebagai haram.



Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang saya hormati,

Jutaan terima kasih saya ucapkan kerana ketegasan Prof, selaku Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, kerana telah memutuskan Perhimpunan Bersih sebagai haram,sebagai pencinta keamanan saya hargai fatwa tersebut. Saya hormati prinsip dan pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu ini, iaitu haram untuk umat islam menyertai perhimpunan atau demontrasi yang bertujuan tidak baik,melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara.

Namun ada beberapa persoalan yang benar-benar membelit akal, lantas melemaskan saya dalam lautan teka-teki. Berdasarkan penelitian, saya dapati Majlis Fatwa Kebangsaan tidak tegas dalam berprinsip dan tidak teguh dalam berpendirian. Tidak tegas dan tidak teguh hingga menyebabkan wibawa Majlis Fatwa Kebangsaan mula terkikis dan terhakis.

Mohamed Ghani Abdul Jiman dalam proses
menghadiahkan seluar dan baju dalam wanita kepada Lim Guen Eng.
Jika benda yang sama dihadiahkan kepada Najib,
apa agaknya reaksi Majlis Fatwa



Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang saya hormati,

Andainya tidak membutakan mata dan tidak memekakkan telinga, pasti sahaja Prof menyedari betapa hebatnya propaganda jahat dan provokasi keji dengan matlamat ingin mewujudkan perbalahan kaum di Malaysia.

Masihkah Prof ingat, perarakan Maha Racis yang ditaja oleh Penganas Melayu yang bersongkok tinggi. Pengganas-pengganas ini memakai songkok macam Prof dan majoriti ahli Majlis Fatwa yang lain, cuma songkok mereka lebih tinggi. Mereka membawa dan memijak kepala lembu kerana membantah pemindahan sebuah kuil hindu di Shah Alam. Semua tahu dalangnya adalah NGO yang Pro-UMNO dan beberapa orang aktivis UMNO Selangor.

Percayalah Prof, demontrasi sebegini berupaya mengundang perbalahan antara penganut islam dan hindu. Tidakkah Majlis Fatwa Kebangsaan sedar, betapa sejarah telah merakamkan kroniknya masalah perpaduan di India kerana perbalahan antara penganut Hindu dan Islam.


Tahukah Prof dan Majlis Fatwa Kebangsaan, betapa ribuan nyawa telah terkorban sejak berlakunya perbalahan antara penganut Hindu dan Islam di India, termasuklah insiden meruntuhkan Masjid Babri di Ayodhya.

Atau
mungkinkah Prof beranggapan perbalahan kaum tidak akan sesekali berlaku di Malaysia. Mungkin juga Prof beranggapan rusuhan atau perang antara agama ini disebabkan oleh faktor geografi sebagaimana letupan gunung berapi dan gempa bumi. Prof, percayalah, betapa bodohnya orang yang beranggapan sebegitu,sebab rusuhan kaum dan ketegangan agama tidak pernah bersangkut paut dengan faktor geografi.

Percayalah Prof sesungguhnya perarakan dan demontrasi yang ingin mencetuskan perbalahan kaum itu bisa menimbulkan huru hara dan kekacauan dalam negara. Tapi sayang, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjadi pemerhati yang setia dan tidak mengeluarkan fatwa mengharamkan perbuatan tersebut.



Mohamed Ghani Abdul Jiman dalam
proses menghadiahkan kek berbentuk tahi kepada Lim Guen Eng.
Jika kek yang sama dihadiahkan kepada Najib,
apa agaknya reaksi Majlis Fatwa



Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang saya hormati,

Tertutupkah mata Prof dan keseluruhan ahli Majlis Fatwa Kebangsaan ketika Ibrahim Ali, pemimpin PERKASA mengistiharkan Perang Salib terhadap penganut Krisitan. Dengan penuh kurang ajar, lelaki yang tolol lagi bahlul itu telah membuat kenyataan terbuka dengan mencabar orang-orang Kristian berperang. Mengapa Majlis Fatwa berdiam seribu bahasa dalam isu ini. Tahukah Prof, betapa berbahayanya PERKASA sebagaimana berbahayanya Ku Klux Klan. Saya cuba berprasangka baik, mugkin Majlis Fatwa tidak pernah tahu episod-episod rusuhan berdarah yang melibatkan penganut Kristian dan Islam.

Prof masih ingatkah persitiwa berdarah yang melanda Bosnia Herzegovina. Peristiwa peperangan antara orang-orang Serbia yang beraliran Ortodoks Kristian dengan penduduk etnik Bosnia yang beragama islam. Untuk pengetahun Prof dan Majlis Fatwa Kebangsaan, Suada Dilberovic, gadis muslim yang berusia 24 tahun merupakan mangsa pertama kegansan Serbia ketika tercetusnya perang Bosnia pada 6 April 1992. Tahukah Prof, betapa 200 ribu orang telah terkorban dalam peperangan tersebut dan dan 65 % daripadanya adalah penganut islam Bosnia. Lupakah Prof terhadap perbalahan antara umat islam dan Kristian di Ambon Indonesia. Atau mungkinkah Prof masih lagi beranggapan, rusuhan kaum dan perang agama ini disebabkan oleh faktor-faktor geografi sebagaimana letupan gunung berapi dan gempa bumi, lantas ia tidak akan sekali-kali berlaku di Malaysia.

Jika inilah pandangan Prof, maka Prof perlu mengimbas kembali Tragedi 13 Mei pada tahun 1969. Terbukti dan tidak dapat dinafikan lagi, persitiwa rusuhan tidak pernah dipengaruhi oleh faktor-faktor geografi.

Percayalah Prof sesungguhnya PERKASA telah banyak menimbulkan huru hara dan kekacauan dalam negara. Tapi mengapa Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjadi pemerhati yang setia dan tidak mengeluarkan fatwa mengharamkan umat islam dari menyertai pertubuhan tersebut.



Peserta demontrasi menyerang komtar,
Lim Guen Eng terpaksa menyelamatkan diri mengikut pintu belakang.
Mengapa Majlis Fatwa tidak memfatwakan demontrasi tersebut sebagai haram




Peserta demontrasi anti kerajaan Pulau Pinang memenuhi jalan raya
dan ia turut menghuru harakan negara.
Mengapa Majlis Fatwa tidak fatwakan ia sebagai haram



Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang saya hormati,

Saya tertarik sekali apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan, haram ke atas umat islam menyertai perhimpunan atau demontrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang, serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam Negara. Tapi saya tak faham apa maksud undang-undang dan maksud kekacauan.

Masihkah Prof ingat wajah Ketua Penganas yang berkulit hitam manis, namanya Mohamed Ghani Abdul Jiman. Tahukah Prof betapa tolol dan bahlulnya si hitam manis ini. Bayangkanlah Prof, si hitam manis ini telah mengadakan beberapa siri demontrasi di Pulau Pinang. Dalam demontrasi tersebut, Mohamed Ghani Abdul Jiman telah menghadiahkan seluar dalam dan baju dalam wanita kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Tidak cukup dengan itu, Ketua Penganas ini menghadiahkan pula kek berbentuk tahi kepada Lim Guan Eng, ketika hari ulang tahun Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Seingat saya hanya bekas Presiden ABIM, Dr Muhamad Razak Idris sahaja yang mengutuk perbuatan tersebut. Mana pergi semua mufti yang menganggotai Majlis Fatwa, hingga diam macam syaitan bisu. Atau,mungkinkah Majlis Fatwa kebangsaan beranggapan perbuatan tersebut tidak salah di sisi agama. Jika itu pandangan Majlis Fatwa, jangan terkejut, jika ada individu tertentu yang menghadiahkan bikini kepada Prof dan Ahli Majlis Fatwa yang lain.




Peserta demontrasi anti kerajaan Pulau Pinang memenuhi jalan raya
dan ia turut menghuru harakan negara.
Mengapa Majlis Fatwa tidak fatwakan ia sebagai haram



Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang saya hormati,


Jujur dan ikhlas saya amat mengharapakan sebuah jawapan dari Majlis Fatwa Kebangsaan untuk merungkai segala teka-teki yang mengasak benak saya ini.

Mengapa Demontrasi dan perhimpunan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak difatwakan sebagai haram,walaupun penaja dan peserta demontrasi tersebut betindak ganas dan meniup api perkauman, tetapi mengapa pula demontrasi dan perhimpunan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan pimpinan Barisan Nasional difatwakan sebagai haram dan mencetuskan huru hara.

Jujur, sikap dan pendekatan Majlis Fatwa Kebangsaan sebegini rupa telah mengingatkan saya akan kata-kata George Bernard Shaw:

“ Jikalau manusia membunuh harimau ia dinamakan olahraga tetapi jika harimau membunuh manusia ia dinamakan keganasan.”

Tuesday, May 8, 2012

Umur belia dihadkan kepada 30 tahun





PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang untuk menetapkan had umur baharu bagi golongan belia di negara ini iaitu bermula dari 15 hingga 30 tahun berbanding 15 hingga 40 tahun sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, had umur baharu tersebut dicadangkan supaya selaras dengan had umur belia di negara-negara Komanwel dan negara-negara jiran Malaysia.

Menurut beliau, had umur 40 tahun untuk golongan belia yang diaplikasi di Malaysia ketika ini sudah tidak sesuai kerana mereka yang berumur 30 tahun ke atas sudah terlalu berusia untuk menerajui mana-mana persatuan belia.

"Selain itu, tujuan kita awalkan had umur ini kepada 30 tahun adalah bagi membolehkan proses kematangan rakyat di negara ini akan menjadi lebih awal.

"Kalau di negara lain, mereka yang berumur 40 tahun sudah menjadi pemimpin negara tetapi di negara kita, golongan itu baru hendak menjadi ketua persatuan belia," katanya.


Sumber Kosmo


LihatSINI untuk mengetahui Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 .


Sunday, May 6, 2012

Orang Mati Dapat Mendengar




Saya sekadar memaparkan jawapan dari Ustaz Mohd Zawawi Yusoh, yang pernah disiarkan dalam akhbar Bacaria Edisi Rabu,bertarikh 16 Jun 2004.

Beliau merupakan seorang tokoh agama yang tidak asing lagi di Malaysia,juga seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).




Mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran dengan berpandukan zahir teksnya, tanpa merujuk kepada tafsir-tafsir yang muktabar akan menyebabkan tersasarnya maksud dan terselewengnya makna.

jika dirujuk Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, istilah mati dalam ayat tersebut merujuk kepada matinya hati disebabkan kekufuran. jelas, ia bukannya mati fizikal tapi mati hati.



Yang dimaksudkan di dalam kubur itu hanyalah satu permisalan(perumpamaan) kepada orang -orang yang sudah mati hatinya.







Telah disebut dalam hadith Ibnu Abbas RA, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seseorang itu melalui kubur saudaranya yang Mukmin yang pernah dikenalinya di dunia, kemudian dia memberi salam kepadanya, melainkan saudaranya itu (yang telah mati) mengenalinya dan menjawab salamnya.” Ibnu Mubarak berkata: Hadith ini telah thabit daripada Nabi SAW dan telah disohihkan oleh Abdul Haq, pengarang Kitab al-Ahkam. (Majmu` Fatawa Ibnu Taimiyyah, 24:331)

Sekalipun mayat boleh mendengar pertuturan orang yang hidup dan memahami maknanya, tetapi mereka tidak boleh menjawab seruan orang yang menyeru dan tidak boleh melaksanakan perkara yang disuruh dan yang dilarang.

Info lanjut, langsung sahaja ke Yayasan Sofa.

Friday, May 4, 2012

Malapetaka Apakah Ini

(remaja lelaki berusia 17 tahun membunuh bayi hasil hubungan haramnya)


Bila Tuhan Tiada Di Hati

Wahyu Ilahi diketepi
Sabda Nabi tak dipeduli
Manusia sesat serba serbi

pelajar memuntahkan fantasi seksnya di atas kertas peperiksaan


Bila Tuhan Tiada Di Hati

Punah ranah muda- mudi
Londeh sana dan buka sini
Raba sana dan raba sini
Buat itu dan buat ini
Zina mula jadi hobi
Anak ‘Haram’ rata riti
Dibuang dalam tandas dan tepi perigi

NUTP Tidak Bersetuju Dengan Cadangan Untuk Melatih Guru Bahasa Inggeris di Luar Negara



Amat menghairankan apabila Timbalan Perdana Menteri ,yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin bersetuju dengan cadangan Tan Sri Dr Yahya Ibrahim supaya menghantar semula guru pelatih Bahasa Inggeris ke Maktab Kirkby England. Cadangan dan juga persetujuan tersebut seolah-olah mengambarkan negara baru sahaja mencapai kemerdekaan, seakan-akan negara ketandusan rakyat yang dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Selain itu, andainya cadangan ini dilaksanakan, ia pastinya memerlukan biaya yang besar hingga mencecah jutaan ringgit.

Gambar dari member FB.
Bukti jelas pelajar melayu terlalu menguasai Bahasa Inggeris


Syabas saya ucapkan kepada Presiden NUTP,Hashim Adnan kerana bersikap sebagai anak jantan dalam isu ini dengan membantah cadangan yang sangat tidak wajar itu. Antara pandangan dan cadangan NUTP untuk memperkasakan Bahasa Inggeris ialah.

  • Negara sudah mempunyai ramai tenaga pengajar di Pusat Bahasa. jadi mereka amat mampu dan sangat berupaya untuk melatih guru-guru Bahasa Inggeris dengan berkesan.
  • Jika masih ingin tenaga pengajar dari luar negara, pendekatan terbaik ialah dengan mengambil mereka secara kontrak.

Thursday, May 3, 2012

Bob Kuman Meninggal Dunia

Jenazah Allahyarham Bob Kuman sedang disempurnakan

SHAH ALAM - Pelakon dan pelawak, Bob Kuman telah meninggal dunia pada jam 4.38 petang di rumahnya di Kota Damansara.

Berita kematian disahkan sendiri oleh Pemangku Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi sebentar tadi.

Allahyarham meninggal dunia di sisi isterinya di rumah mereka di Kota Damansara.

Beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira dua minggu selepas tersebar angin kononnya telah meninggal dunia.

Kesihatan Bob Kuman mula terganggu selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama Jangan Pandang Belakang Congkak akhir 2010, yang menyebabkan dia mengalami masalah sesak nafas.

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, May 2, 2012

Doktor Cuai Pesakit Merana




Piala FA: Kelantan Dan Sime Darby Layak Ke final




SHAH ALAM - Kelantan dan Sime Darby melayakkan diri ke final persaingan Piala FA selepas kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan pusingan kedua malam ini dengan keputusan seri.

Di Alor Setar, Kelantan dan Kedah masing-masing menjaringkan dua gol tetapi Kelantan melangkah ke final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan - gol yang diperoleh pada perlawanan pusingan pertama.

Pada pusingan pertama, Kedah dan Kelantan juga seri dengan satu gol.

Di Stadium Selayang, Terengganu dan Sime Darby juga terikat, tetapi tidak menjaringkan sebarang gol malam ini.

Sime Darby layak ke pusingan akhir dengan agregat 2-1 kerana berjaya mengatasi Terengganu dalam pusingan pertama.