Saturday, June 29, 2013

Amalan Bid’ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban dan Ramadhan


Buku ini ditulis oleh Allahyarham Drs. Abdul Ghani bin Haji Idris,seorang ulama kelahiran Kelantan . Beliau dilahirkan pada 30 Januari 1933 dan meninggal dunia pada 4 April 1998. Allahyarham adalah seorang ilmuan hadith yang mewakafkan hidup dan kehidupannya untuk mempelajari dan mengkaji hadith hinggalah ke hembusan nafas terakhirnya. Buku ini adalah sebahagian daripada beberapa buah buku yang dihasilkan oleh Allahyarham.

Lebih lanjut tentang latar belakang dan sumbangannya, sahabat disyorkan merujuk buku berjudul Tokoh-Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu(2) yang diselenggarakan oleh Ismail Che Daud dan diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan. Ia dimuatkan pada halaman 443 hingga 451 buku tersebut.



Memandangkan Sya’ban masih berbaki dan Ramadhan pula bakal menjelma, maka elok sekali buku yang ditulis oleh ilmuan dan pengkaji hadith ini dibaca,di hayati dan dirujuk. Mudahan-mudahan segala amal ibadat yang kita laksanakan pada bulan-bulan tersebut benar-benar menepati tuntutan agama dan betul-betul murni serta tidak tergelincir dari landasan tersebut. Buku setebal 264 halaman ini diterbitkan oleh Al-Hidayah Publisher. Cetakan pertamanya ialah pada tahun 1995, iaitu tiga tahun sebelum kematiannya.

Dalam buku ini, Drs. Abdul Ghani bin Haji Idris, selaku pengkaji hadith telah menyatakan status hadith-hadith tentang kelebihan bulan Muharram,Rejab,Sya’ban dan Ramadhan. Lantas, mengajak umat islam agar beramal berpandukan Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih agar ibadat benar-benar murni dan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Maha Pencipta. 

Beliau memang terkenal kerana ketegasannya dalam menentang amalan-amalan khurafat dan bid’ah dalam masyarakat umat Islam. Beliau pernah menyatakan kekesalannya tentang banyaknya penggunaan hadith-hadith dhaif dan malahan maudhu’ dalam kehidupan keagamaan umat Islam, yang akibatnya tidak lain ialah: berlakunya penyimpangan amalan dari ajaran atau sunnah Rasulullah S.A.W.

Antara isu yang disentuh oleh beliau ialah amalan Puasa sunat Nisfu Sya’ban, Amalan membaca Yassin dengan Kafiat yang khusus dan doa yang tertentu serta perihal fadilat atau kelebihan solat terawih mengikut malam-malam tertentu.

Memang banyak amalan atau amal ibadat yang dilakukan oleh umat islam termasuklah di Malaysia selama ini yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Masyarakat menerima amalan tersebut sejak turun temurun tanpa sedikitpun rasa sangsi. Apatah lagi, amalan-amalan tersebut diketuai oleh golongan berlabel agama yang memakai uniform alim, warak dan taqwa. Sedangkan amalan-amalan tersebut menyimpang dari amalan dan ajaran Nabi Muhammad S.A.W dan tidak pernah diamalkan para sahabatnya dan tidak pula dikerjakan oleh para Salafus-Soleh. 

Sekali lagi saya tegaskan, buku ini amat wajar untuk dimiliki oleh setiap umat islam, untuk dibaca,dirujuk dan dihayati serta diamalkan. Moga-moga amal ibadat yang kita laksanakan benar-benar berpaksikan agama dan bukannya hasil reka cipta manusia.



(Drs . Abdul Ghani Azmi Hj Idris)



Maklumat Tambahan: 

Buku ini dicetak buat kali pertamanya pada tahun 1995. Di dalam buku tersebut, Drs. Abdul Ghani bin Haji Idris membongkar kepalsuan hadith tentang kelebihan atau fadilat solat tarawikh yang bermula sejak malam pertama hingga malam terakhir bulan Ramadhan. Sebelum ini amat ramai umat islam di Malaysia terutamanya yang amat mempercayai Fadilat ini. Selain, dicetak pada risalah-risalah agama dan disebarkan di masjid dan surau, fadilat solat terawikh juga seringkali disiarkan di dalam TV dan Radio. 

Jadi,berdasarkan tahun cetakan buku ini, tidak keterlaluan jika saya katakan, Drs Abdul Ghani adalah antara orang terawal yang membongkar kepalsuan hadith mengenai Fadilat Solat Terawikh. Ini kerana sehingga tahun 2000, Fadilat Solat Terawikh masih lagi disebut-sebut di kebanyakkan masjid dan surau. Malah ia giat dipromosikan menerusi risalah-risalah baik di sekolah mahupun Universiti. Tahun-tahun sesudahnya, orang ramai mulai menyedari kepalsuan fadilat tersebut hasil kegigihan para ulama hadith termasuklah Drs. Abdul Ghani. 

Ramai peminat-peminat ilmu hadith yang amat mengagumi Almarhum Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Memang beliau berhak untuk dikagumi kerana ilmu dan jasanya dalam bidang hadith. Namun, saya tidak menyetujui dengan sesetengah pihak yang terlalu taksub dengannya. Jika Albani telah memperuntukan sebahagian besar masanya di perpustakaan untuk mengkaji dan menyemak hadith, keadaan yang hampir sama turut dilakukan oleh Drs Abdul Ghani bin Haji Azmi. Selepas bersara dari menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kota Bharu dan mengundur diri dari mengetuai ABIM Negeri Kelantan pada Disember 1988, Drs Abdul Ghani telah ‘memenjarakan’ diri di kamarnya. Setiap saat dan waktu dimanfaatkan untuk membaca, menulis, menyalin, menyemak dan menterjemah. Selama tempoh ini dia tidak kemana-mana. Beliau hanya keluar rumah sekali-sekala, itu pun lebih banyak atas urusan keluarga. 

Menurut isterinya, masa kerja beliau cukup padat, iaitu mulai jam 7.30 pagi hingga 12.00 malam. Tidak ada masa rehat, kecuali untuk makan, mandi dan solat. Jadual ini berlangsung tetap untuk selama lima tahun pertama, ertinya sehingga 1993. Mulai 1994 jadual ini berkurang sedikit, tetapi tetap tidak ada hari yang sunyi dari bunyi ketikan mesin taip di rumahnya (beliau masih menggunakan cara lama dalam menulis). Malah, sehinnga pada waktu beliau ditimpa sakit pada 1996 pun, beliau masih lagi aktif menulis dan menyemak pruf untuk buku-bukunya. 

Allahyarham memang gigih memartabatkan ilmu agama dan tegas memerangi khurafat dan bid’ah. Allahyarham amat meminati dan mencintai ilmu hadith. Allahyarham juga telah mewakafkan hidup dan kehidupannya demi agama. Pemergian beliau amatlah dirasai oleh para pencinta agama. Moga damai engkau di sana wahai Sang Murabbi 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Fadilat Solat Terawikh Adalah Palsu

Thursday, June 27, 2013

Pilihan raya Kecil DUN Kuala Besut selewat-lewatnya 27 Ogos.



Yang Dipertua DUN Terengganu hari ini menyerahkan surat pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu. Yang Dipertua DUN Mohd Zubir Embong menyerahkan surat itu kepada Pengarah SPR negeri Fakhrul Razi Ab Wahab di pejabat beliau di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada 10 pagi ini. Kerusi DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Dr A Rahman Mokhtar, 55, pagi semalam akibat kanser paru-paru. 

Fakhrul Razi berkata beliau akan menyerahkan surat itu kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini. "Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut boleh diadakan selewat-lewatnya pada 27 Ogos depan," katanya. Peraturan pilihan raya menetapkan pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman rasmi kekosongan kerusi. A Rahman ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri. 

Pada pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu bagi Barisan Nasional (BN) setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu apabila memenangi 17 kerusi, PAS menguasai 14 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu kerusi.
Sumber : Malaysiakini

Tuesday, June 25, 2013

Tahap kesihatan Nelson Mandela semakin merosot.



Keadaan kesihatan bekas Presiden Afrika Selatan , Nelson Mandela semakin kritikal.Presiden Jacob Zuma berkata, tahap kesihatan bekas Presiden itu semakin merosot sejak tempoh 24 jam lalu, selepas beliau melawat Mandela di Hospital Jantung Medi-Clinic,Pretoria kelmarin. Mandela dimasukkan ke Hospital sejak dua minggu lepas untuk menerima rawatan jangkitan paru-paru. Petikan dari Sinar Harian,Selasa 25 Jun 2013, M/S 43. 

INFO TAMBAHAN:

Secara peribadi, Nelson Mandela adalah antara tokoh yang saya kagumi. Beliau adalah pejuang tulen yang rela menderita dan terseksa demi kebahagiaan bangsanya, etnik kulit hitam yang tertindas oleh dasar Apartheid yang diamalkan oleh pemerintah Afrika Selatan. Setakat ini, hanya tiga orang tokoh kulit hitam yang saya kagumi, iaitu Nelson Mandela, Malcom X dan Martin Luther King JR

Monday, June 24, 2013

HUKUM BERPUASA SELEPAS PERTENGAHAN SYA’BAN.



Ini adalah sambungan daripada tajuk lepas 

Sudah lama saya mendengar isu ini daripada beberapa orang ustaz dan sahabat, namun selama ini saya tercari-cari dalil. Syukur kepada Allah kerana saya terjumpa sebuah perjernihan terhadap isu ini, dan di sini saya ambil kesempatan untuk berkongsi bersama. Moga Allah merahmati dan meredhai penulis asal entry ini, iaitu WADI 

Dalam bab ini terdapat beberapa pendapat berkenaan hukum berpuasa selepas 15 Sya'ban, antaranya: 

1- HARAM: 

Mazhab az-Zahiri mengharamkan berpuasa selepas 15 Sya'ban dalil mereka adalah hadis yang kita bincangkan diatas iaitu " Apabila tiba setengah Syaaban [15 sya'ban], maka janganlah berpuasa", dan dinukilkan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah, bahawa disebutkan Ibn Hazm dalam al-Muhalla' maksud haram itu bukanlah beerti haram berpuasa setiap hari selepas 15 Sya'ban secara keseluruhan, akan tetapi hanya pada 16 Sya'ban, kata Ibn Hazm dalam al-Muhalla': "larangan untuk berpuasa hanyalah untuk tanggal 16 sahaja. Itulah hari seseorang tidak boleh berpuasa" [rujuk al-Muhalla' Ibn Hazm, juz 7, hal 25-26, dinukil dari al-Mufassal Dr. Abdul Karim Zaidan] 

Ini kerana adanya hadis riwayat Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" [Sahih Bukhari (hadis no:1914), Sahih Muslim (hadis no:2514)] . Hal yang sama juga disebutkan oleh Syaikh al-Muhaddith Dr. Mahir Yasin al-Fahl [rujuk al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah, Dr Abdul Karim Zaidan, bab larangan berpuasa selepas nisfu Sya'ban dan Athar Ilal Hadis Fi Ikhtilaf Fuqaha', Dr. Mahir Yasin al-Fahl, subtopik: hukum berpuasa selepas nisfu Sya'ban sehingga Ramadhan] 

2- MAKRUH: 

Sebahagian fuqaha' menyatakan bahawa Makruh berpuasa selepas 15 Syaban jika seseorang itu tiada kelaziman berpuasa secara adat [kerap] pada bulan Syaban. Antara yang mendokong pendapat ini adalah jumhur Mazhab as-Syafie. 

Dalil mereka adalah hadis yang kita bincangkan diatas iaitu hadis "Apabila tiba setengah Syaaban [15 Sya'ban], maka janganlah berpuasa", dan digabungkan dengan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" -Sahih Bukhari (hadis no:1914), Sahih Muslim (hadis no:2514). [rujuk kitab al-Maudhuat dan penjelasan at-Tirzmizi dalam Sunannya selepas meriwayatkan hadis yg kita dibincangkan diatas, serta Athar Ilal Hadis, Dr. Mahir Yasin al-Fahl] 

 3- DIBOLEHKAN DAN TIDAK MAKRUH:

Mazhab jumhur fuqaha' lainnya membolehkan berpuasa dan tidak makruh berpuasa selepas 15 Sya'ban, kerana hadis yang melarangnya adalah Dhaif [iaitu hadis yang kita bincangkan diatas]. 

Kesimpulannya, pendapat yang kuat adalah pendapat yang ketiga. Iaitu boleh berpuasa selapas nisfu Sya'ban, ini sebagaimana kata Imam as-Syaukani ketika membincangkan masalah ini dalam Nailul Authar: ''jumhur ulama membolehkan dan tidak melarang puasa selepas nisfu Sya'ban [selapas 15 Sya'ban] kerana hadis yg melarangnya adalah DHAIF" [rujuk Nailul Authar,as-Syaukani]. 

Begitu juga kata syaikh al-Muhaddith Dr. Mahir Yasin al-Fahl dalam masalah ini: "Mazhab jumhur inilah yang paling kuat [rajih], tiadanya makruh serta dibolehkan berpuasa pada bahagian kedua Syaban [selepas 15 Sya'ban] kerana Dhaifnya hadis al-A'laa…" [rujuk Athar Ilal hadis fi ikhtilaf fuqaha;, Dr. Mahir Yasin al-Fahl] 

Akan tetapi perlu diingat bahawa jika seseorang itu mendahului sehari atau dua hari sebelum Ramadhan dengan berpuasa sedangkan ia bukanlah puasanya yang biasa dia lazimi kebiasaaannya, iaitu dia hanya berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan misalnya dengan niat khusus untuk menyambut Ramadhan dan seumpamanya,perbuatan ini adalah terlarang, dalilnya adalah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" [Sahih Bukhari (hadis no:1914), Sahih Muslim (hadis no:2514)]. 

Antara hikmah larangan ini disebut oleh Dr. Abdul Karim Zaidan iaitu adalah "agar tidak tercampur antara puasa sunnah dan puasa fardhu, iaitu puasa Ramadhan. Larangan ini sebetulnya tidak berlaku bagi mereka yang kebiasaaanya [adat] berpuasa sunnah bertepatan dengan hari tersebut. Ada juga yang mengatakan hikmah larangan untuk melakukan puasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kerana puasa Ramadhan kewajipannya bergantung pada Ru'yat Hilal, barangsiapa yang [sengaja dan bukan puasa adat] mendahului bulan Ramadhan dengan sehari atau dua hari puasa seolah-olah dia berusaha memutuskan hukum tersebut,iaitu hukum kewajipan berpuasa Ramadhan mengikut Ru'yat Hilal, demikian penakwilan [fuqaha'] mengenai hikmah larangan ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarah Jami' Tirmizi [rujuk al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, bab mendahului Ramadhan denga sehari atau dua hari puasa]

Oleh: Dr. Muhammad Fathi Ali Al-Sakandari 
Disemak Oleh: Ustaz Anwaruddin Disunting Oleh: WADi.

Thursday, June 20, 2013

75 peratus rakyat Malaysia tidak bersenam



75 % daripada 27 juta rakyat Malaysia didapati tidak atau kurang bersenam. Ini menyebabkan mereka berisiko tinggi untuk terdedah kepada penyakit berbahaya seperti diabetes(kencing manis) dan hipertensi(tekanan darah tinggi). 

Di Malaysia, kira-kira 2.6 juta penduduk dewasa menghidap penyakit diabetes, 5.8 juta orang pula menghidap hipertensi dan 6.2 juta mempunyai kolestrol tinggi

Sunday, June 16, 2013

Dal Lake, Srinagar, Kashmir: Mencicip Damai dan Menjamah Tenang.

Lapangan Terbang Srinagar Kashmir.
Info tentang Dal Lake dan houseboat dapat diperolehi di sini

Ini adalah sambungan daripada Tajuk Lepas 

Dal Lake terletak di Srinagar,ibu negeri Jammu & Kashmir. Ia adalah tasik yang terbesar di bandar tersebut dan merupakan salah satu kawasan tumpuan di Srinagar. Tasik ini sebenarnya terbahagi kepada empat bahagian iaitu, Dal Lake, Gagribal, Lokut Dal dan Nagin. Melancong ke Kashmir bagaikan tidak lengkap andainya tidak berkunjung ke tasik ini.

Dal Lake di awal pagi.

Indah,tenang dan mendamaikan, itulah yang mampu saya luahkan sepanjang tiga hari bermalam di situ. Meskipun terdapat banyak hotel untuk penginapan, namun ramai pelancong lebih berminat untuk menginap di houseboat yang terdapat di sepanjang tasik ini.

Saya difahamkan, tasik ini adalah kawasan larangan untuk bot-bot berenjin. Oleh sebab itulah airnya sangat jernih.

Dal Lake

Amat mendamaikan apabila berkesempatan menimati keindahan tasik dari beranda houseboat, tika senja menjengah dan tatkala dinihari menjelma. Sangat menenangkan apabila berkesempatan mengelilingi Tasik Dal dengan menaiki Shikara (bot kecil yang dihiasi dengan pelbagai warna). Saya dan rakan-rakan dibawa menyusuri houseboat yang beroperasi sebagai premis perniagaan. Pelbagai barangan yang dijual termasuklah cenderahati dan baragan berasaskan tekstil.




Dal Lake


Sepanjang perjalanan mengelilingi Tasik Dal, seringkali penjual atau peniaga merapati Shikara yang saya dan rakan-rakan naiki untuk menjual barangan mereka terutamnya cenderahati dan pakaian serta Zafron. Untuk pengetahuan sahabat, Kashmir adalah antara pengeluar Zafron terbesar dunia. Saya difahamkan, pada pertengahan atau akhir bulan Januari, Tasik ini akan membeku dan Srinagar pada waktu itu akan dibungkus salji yang memutih. Untuk pengetahuan sahabat juga, Kashmir suatu ketika dahulu adalah lokasi pengambaran filem Hindi. Antaranya ialah filem Hindi yang terkenal Bobby lakonan Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia pada awal tahun 1970-an. 

Untuk selanjutnya, biarlah gambar-gambar yang berbicara.

Tajuk Lain Yang Berkaitan.: Kashmir 'Paradise On The Earth'.

Dal Lake
Dal Lake: Menyusuri Tasik dengan Shikara
Dal Lake
Menyusuri Tasik Dal
Menyusuri Tasik Dal
 
Dal Lake
Dal Lake: Shikara (bot kecil yang dihiasi pelbagai warna),di tebing Dal Lake
Dal Lake: Shikara di Tebing Dal Lake
Bersama pemilik HouseBoat dan pelancong dari Malaysia. Aku: tiga dari kiri

Wednesday, June 12, 2013

Warga Asing Membanjiri Lahad Datu.



Masalah kebanjiran warga asing di sekitar kawasan Lahad Datu bukan sesuatu perkara yang baru. Bagi penduduk di daerah itu, kisah warga asing yang menjadi ‘raja’ tepi jalan dan kaki lima adalah fenomena biasa yang dapat dilihat sejak sekian lama. Tinjauan di sekitar kawasan Pekan Lahad Datu semalam mendapati tidak kurang 200 penjaja tanpa lesen mendominasi kawasan kaki lima sekitar Pasar Rakyat Lahad Datu. Kebanyakan mereka menjual sayur-sayuran, barangan kering malah ada juga yang menjual rokok dan barangan keperluan harian yang lain. 

Selanjutnya, langsung sahaja ke -->Sinar Harian 

Info Tambahan.

Saya pernah mendiami Lahad Datu selama enam tahun, kerana berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu. Warga asing atau lebih tepat lagi Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) sememangnya membanjiri Lahad Datu. Tidak keterlaluan andainya saya katakan, Lahad Datu(sebenarnya di kebanyakan tempat di negeri Sabah) adalah ‘daerah tiga negara’. Ini kerana di Lahad Datu sangat ramai warga asing dari Indonesia, Filipina dan Timur Laste.

Harap-harap permasalahan ini dapat ditangani sesegera mungkin dan sebijaksana yang mampu.

Tuesday, June 11, 2013

TEMPOH VISA UMRAH DIHADKAN KEPADA 14 HARI SAHAJA.


Ini adalah sambungan dari Tajuk Lepas 

Berkuatkuasa pada 10 Jun 2013, tempoh visa untuk mengerjakan umrah dihadkan kepada 14 hari sahaja. Langkah ini dibuat untuk mengurangkan kesesakan ketika tawaf, ini memandangkan kerja-kerja pembesaran kawasan tawaf sedang dijalankan di Masjidil Haram.

Peraturan baru ini("Program 14.14.14”) turut menetapkan para jemaah mengesahkan visa mereka dalam masa 14 hari selepas dikeluarkan. Jemaah juga perlu berlepas ke Makkah dalam masa 14 hari dan pulang selepas 14 hari. 

Kementerian Haji Saudi membuat keputusan tersebut bagi mengurangkan kesesakan teruk di semua tempat penginapan,termasuk di hotel bertaraf lima bintang selepas proses pembesaran kawasan tawaf di Masjidil Haram. 

Pasti ramai yang agak terkilan, sebab ramai yang merancang untuk mendiami Makkah dalam tempoh yang agak lama sepanjang Ramadhan nanti. Tapi, semua pihak terpaksa akur dan pasrah.
Aku punya Visa Umrah
Kebetulan saya juga  baru pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci. Hampir dua minggu saya di sana, dua hari di Madinah dan bakinya di Makkah. Memang diakui kesesakan amat ketara di Makkah. Hotel-hotel berdekatan Masjidil Haram semuanya penuh, malah saya terpaksa menginap di hotel yang agak jauh dari Masjidil Haram. Saya memerlukan kira-kira 20 minit perjalanan( berjalan kaki) dari hotel ke Masjidil Haram.

Monday, June 10, 2013

Nasihat Mufti Kelantan :Jangan sebar ayat al-Quran di laman sosial jika tak tahu makna.


Mufti Kelantan menasihatkan masyarakat agar tidak menyebarkan hadis dan ayat al-Quran secara bebas di laman sosial jika tidak tahu maksud asal ayat tersebut kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya. 

PANDANGAN PERIBADI SAYA TERHADAP NASIHAT MUFTI KELANTAN.

  • Nasihat merangkap teguran itu perlu diambil perhatian oleh seluruh pengguna laman sosial yang beragama islam.
  • Teguran ini amat bagus, tapi jangan hanya di media sosial sebab di masjid dan surau serta majlis-majlis ilmu ramai juga para penceramah agama yang tidak cermat dalam memetik ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Banyak kisah Israiliyat dijadikan bahan ceramah. Banyak hadis palsu dijadikan hujah. Kadang-kadang penggunaan teks tidak menepati konteks gara-gara tidak memahami Asbabul Nuzul dan Asbabul Wurud.
  • Masih ada penceramah agama yang berkuliah di surau dan masjid dengan membawa kisah yang tidak benar tentang sahabat Nabi Muhammad S.A.W, iaitu Tsalabah. Beliau sering dikaitkan sebagai manusia yang enggan membayar zakat setelah dianugerahkan kekayaan dan kejayaan oleh Allah. Hakikat sebenar Tsalabah adalah seorang sahabat yang banyak berjasa kepada islam dan merupakan salah seorang ahli badar.
  • Mufti tertentu amat gemar menjaja Hadis berbunyi “ Raja itu bayangan Allah di bumi.....” ketika Hassan Ali menubuhkan JATI yang memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja(IMR). Hadis ini adalah hadis palsu di sisi majoriti ulama Hadis. Tapi, Mufti tersebut telah mempolitikkan hadis tersebut gara-gara ia menjadi visi dan misi NGO yang sedang dirasmikan olehnya pada ketika itu, lebih lanjut tentang ini, lihat --> SINI . Dan,baru-baru ini, terdapat seorang Ustaz TV yang menjadikan hadis ini sebagai hujah dalam sebuah program forum agama. 
  • Antara hadis yang sering disalah tafsirkan oleh segelintir penceramah, iaitu hadis yang bermaksud “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari). Teksnya adalah benar dan ia diriwayatkan oleh seorang ‘jaguh’ dalam ilmu hadis iaitu Imam Bukhari, tapi ia perlu digunakan dalam konteks yang tepat agar tidak terseleweng makna dan tersasar maksud. Sekali pandang seolah-olah hadis ini telah menasakhkan ( memansuhkan ) hukum berhijrah. Tapi pengertian sebenar hadis ini bukanlah begitu. Ramai penceramah tidak teliti dalam soal ini dengan tidak mempedulikan Sabab al-Wurud( iaitu sebab sesebuah hadis didatangkan atau diucapkan oleh Nabi S.A.W). Dalam isu ini, baginda mengucapkan demikian kerana Mekah telah bertukar dari tanahair kufur kepada tanahair Islam. Maka tidak perlu lagi orang Mekah berhijrah ke Madinah seperti yang menjadi tuntutan sebelum itu. Jadi, ia bukan bermaksud tuntutan hijrah dibatalkan terus untuk setiap masa, ketika dan lokasi. Sebab itulah al-Imam al-Nawawi mengatakan, para ulama telah berkata “ Hijrah daripada Dar al-Harb kepada Dar al-Islam kekal sehingga hari kiamat.” 

Demikian pandangan peribadi dan contoh yang dapat saya paparkan dalam ruangan yang terhad dan terbatas ini. Sekali lagi saya tegaskan, saya menyokong penuh teguran dan nasihat dari Mufti Kelantan, Cuma saya fikir ‘larangan’ tersebut perlu diperluas dan diperlebarkan lagi. Iaitu, tidak hanya di media social, tapi di mana-mana sahaja termasuklah di dalam surau dan masjid, ceramah motivasi dan majlis-majlis ilmu.