Wednesday, July 31, 2013

Lagu Raya Popular Sepanjang Zaman.



Lagu raya pastinya tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Menjelang Eidulfitri, lagu-lagu raya sering berkumandang di corong-corong radio dan ia juga disiarkan di mana-mana shopping complex. 

Paling menarik, bagi sesetengah orang, lagu raya juga mempunyai nostalgia tersendiri dalam hidupnya. Contohnya, bagi perantau, tentu sahaja lagu dendang perantau dendangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sentiasa berbekas di hati. 

Berikut adalah antara beberapa buah lagu raya yang boleh dianggap sebagai popular sepanjang zaman. Semuanya lagu-lagu lama. Terdapat juga lagu-lagu raya yang baru, tapi bagi saya ia kurang menyengat kecuali beberapa buah sahaja, antara yang boleh dianggap popular ialah Anugerah Aidilfitri dan Nazam Lebaran oleh Dato Siti Norhaliza dan Satu Hari Di Hari Raya dendangan M. Nasir. 

Lagu Raya Popular Sepanjang Zaman.

  1. P. Ramlee - Dendang Perantau 
  2. Aman Shah - Kepulangan Anakmu 
  3. Anuar dan Ellina - Suasana Hari Raya 
  4. Rafeah Buang-Bila Takbir Bergema
  5. Black Dog Bone - Cahaya Aidilfitri 
  6. D.J. Dave - Menjelang Hari Raya 
  7. 7. S Jibeng - Musafir di Aidilfitri
  8. Saloma - Selamat Hari Raya 
  9. Sanisah Huri - AidilFitri 
  10. Sanisah Huri - Bersabarlah Sayang  
  11. Dayang Ku Intan - Senandung Hari Raya

Tuesday, July 30, 2013

Nostalgia Kad Raya.

sumber google.
Dua hari lepas, saya menerima kad raya yang dikirim oleh seorang kenalan. Ia merupakan kad raya pertama yang saya terima untuk tahun ini. Seusai membacanya, saya termenung panjang. Bukan kerana catatan di dalam kad tersebut, tapi kerana nostalgia kad raya yang begitu melekat di hati. Sebenarnya masih ada beberapa keping kad raya dalam simpanan saya. Sengaja saya simpan untuk kenang-kenangan.

Dan, saya amat yakin, ramai juga antara kita yang mempunyai nostalgia kad raya. Tidak sekadar nostalgia menerima dan mengutus kad raya, tetapi lebih dari itu.

Suatu ketika dahulu, kad raya begitu popular. Beraneka warna dan pelbagai bentuk serta saiz. Terdapat kad raya yang bersifat umum dan terdapat juga yang dikhaskan untuk insan atau golongan tertentu, seperti khas untuk guru, suami, isteri,kekasih,tuning, ayah dan ibu serta macam-macam lagi. Malah, terdapat juga kad raya yang berirama(muzik),biasanya dari lagu-lagu raya yang popular. 

Fungsi kad raya sebenarnya tidak sekadar untuk dibaca, tapi turut dijadikan perhiasan rumah ketika menjelang raya. Ia digantung pada sudut-sudut tertentu seperti tepi jendela atau pada bunga hiasan di ruang tamu.

Ketika di alam persekolahan, menerima kad raya adalah satu kebanggaan. Lebih-lebih lagi dari kenalan yang jauh dari negeri berlainan. Malah, ada beberapa orang sahabat saya yang sanggup membeli dan mengirm(pos) kad raya kepada diri sendiri semata-mata ingin meraih kebanggaan ini. 

Tapi sayang, itu adalah cerita dahulu kala. Sekarang situasi sebegini hanyalah sebuah nostalgia. Ledakan teknologi maklumat telah mengubah semua itu hingga kad raya hampir pupus. Benar, kad raya masih ada dan budaya mengirim kad raya masih berlangsung tapi ia semakin tersisih. Mungkin satu ketika nanti ia akan pupus sebagaimana pupusnya Dinosaur . Ia tidak mustahil sebab sebelum ini telegram dan poskad telah dipinggirkan dan hanya tinggal di dalam catatan sejarah. Email mengantikan surat dan poskad, handphone mengantikan telegram dan laman sosial pula telah memainkan peranan yang amat besar dalam hidup dan kehidupan manusia.

Tentang kad raya pula, hari ini seseorang hanya perlu upload gambar(termasuklah gambar kad raya) di facebook dan tagging sahaja kepada mana-mana kenalan. Sejujurnya, kita tidak boleh menyalahkan perubahan-perubahan ini. Malah, dalam banyak-banyak keadaan, ternyata ia lebih baik untuk kita semua. Cuma, sesekali kita merindui kaedah dan pendekatan lama yang pernah akrab dengan kita seperti kad raya. 

Jadi, kepada sesiapa yang masih menyimpan kad-kad raya dan juga poskad. Simpanlah semua itu sebab suatu masa nanti mungkin ia hanya menjadi sejarah. Mana tahu, pada masa itu anak cucu kita tidak lagi mengenali semua itu.

Sunday, July 28, 2013

Jenis-jenis ubat yang tidak membatalkan puasa


Masalah kesihatan sememangnya menganggu ibadat-ibadat yang kita lakukan, termasuklah ibadat puasa. Mungkin ada yang mengambil jalan pintas dengan terus meninggalkan puasa atas alasan masalah kesihatan. Sebenarnya tidak semua penyakit yang memaksa kita meninggalkan puasa .

Entry ini sekadar memaparkan beberapa jenis ubat yang boleh diambil semasa berpuasa. Ini kerana pengambilannya tidak membatalkan puasa.


Jenis-jenis ubat yang tidak membatalkan puasa(kecuali melibatkan rongga terbuka)

  1. Ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga(dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga,mesti ludah jika terasa di tekak)
  2. Pil tablet Nitroglycerin(GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada.
  3. Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit,otot,sendi atau salur darah
  4. Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit 
  5. Ubat kumur
  6. Ubat semburan(spray) hidung tanpa disedut 
  7. Ubat bius setempat atau separuh(local) dengan semburan atau suntikan setempat. 


Jenis-jenis ubat yang membatalkan puasa. 

  1. Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah(athma) atau penyakit paru-paru kronik
  2. Pessari (ubat yang dimasukkan ke dalam faraj termasuk prosedur cucian)
  3. Ubat suppository dan enema
  4. Ubat biji dan ubat minum
  5. Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas.

Rujukan : Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM), cetakan 2009 sebagaimana tercatat dalam Takwim Ramadhan terbiatan Jabatan Farmasi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) 

Tajuk Sebelumnya: Bilakah Malam Lailatul Qadar

Saturday, July 27, 2013

Bilakah Malam Lailatul Qadar.




Lailatul Qadar atau malam Al-Qadar adalah malam yang berkat, mulia dan istimewa. Keberkatan, kemuliaan dan Keistimewaan Malam Lailatul Qadar memang terserlah di dalam Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Timbul persoalan bilakah berlakunya Malam Lailatul Qadar. 

Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih ada menjelaskan tentang detik-detik berlakunya Lailatul Qadar,iaitu: 

Bulan Ramadhan. 

Tidak syak lagi bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan. Ini berdasarkan penjelasan dari ayat-ayat Al-Quran bahawasanya Al-Quran diturunkan pada Lailatul Qadar, dan ia diturunkan pada bulan Ramadhan. Rujuk Surah Al-Qadar dan Surah Al-Baqarah, ayat 185. 

Sepuluh Terakhir Ramadhan.

Lebih dikhususkan ialah pada sepuluh malam terakhir. Ini berdasarkan banyak hadis,antaranya ialah hadis Muttafaq alaih yang bermaksud:

 “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. 

Tujuh Malam Terakhir.

Bagi mereka yang tidak mampu menghidupkan sepuluh malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadar, maka carilah ia pada tujuh malam yang terakhir. Sabda Nabi Muhammad S.A.W, yang maksudnya:

Carilah pada sepuluh malam terakhir, yakni Lailatul Qadar. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu maka janganlah dia tertewas pada baki tujuh malam yang terakhir” Hadis Riwayat Muslim 

Malam-Malam Ganjil. 

Iaitu pada 21,23,25,27, dan 29 Ramadhan. Malam-malam ini diharapkan adanya Lailatul Qadar, kerana warid bahawa Nabi S.A.W ada menyebut malam tersebut.

Malam 27 Ramadhan.

Boleh jadi malam yang sangat diharapkan itu ialah pada malam 27 Ramadhan. Ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubai bin Ka’ab r.a yang bermaksud.

 “Demi Allah sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia, itulah malam yang mana Rasulullah S.A.W telah menyuruh kami untuk beribadah,iaitu malam ke-27.” dan Ubai berkata lagi “ Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada harinya tiada sinarnya.”

Namun bukanlah sesuatu yang tepat sekiranya kita menganggap pada malam tersebut sahaja(27 Ramadhan) akan berlaku Lailatul Qadar. Malah, ramai ulama berpendapat malam Lailatul Qadar berpindah di antara malam-malam yang witir(ganjil) daripada sepuluh malam yang terakhir . 

Hikmah tidak ditentukan Malam Lailatul Qadar secara tepat.

Hikmah tidak ditentukan Malam Lailatul Qadar secara tepat ialah sebagai motivasi kepada umat islam agar sentiasa berusaha menghidupkan sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan dengan ibadah dan doa. Bak kata Dr Yusuf al-Qaradhawi kerahsiaanya merupakan pendorong untuk melakukan amal pada bulan itu keseluruhannya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah. 

Rujukan: Puasa Dan Ramadhan, Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan ( dengan sedikit info tambahan) 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Kelebihan dan Kemuliaan Lailatul Qadar

Kelebihan dan Kemuliaan Malam Lailatul Qadar.

Surah Al-Qadar



Sebenarnya perkataan Malam boleh sahaja digugurkan sebab Lail sudah bermaksud malam, dan boleh sahaja disebut sebagai Lailatul Qadar atau Malam Qadar sahaja. 

Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah S.W.T menghadiahkan kepada hamba-Nya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar. Keberkatan dan kelebihan malam tersebut dinyatakan oleh Allah S.W.T dala surah Al-Qadar(sebagaimana di atas). 

Di sini dinyatakan secara ringkas kelebihan-kelebihan yang terdapat pada Malam Lailatul Qadar, iaittu: 

  1. Allah menurunkan Al-Quran pada malam tersebut. Al-Quran merupakan panduan kepada umat manusia untuk kebahagian di dunia dan akhirat. Betapa mulia dan istimewanya Malam Lailatul Qadar, kerana dalam 365 hari di dalam setahun, hanya Malam Lailatul Qadar yang dipilih oleh Allah S.W.T untuk menurunkan kitab suci Al-Quran yang menjadi formula untuk berjaya dan bahagia di dunia dan akhirat.
  2. Malam Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Jika dihitung, seribu bulan bersamaan dengan kehidupan selama 83 tahun 4 bulan. Realiti hari ini, hanya beberapa orang sahaja yang mampu menjangkau usia melebihi 80 tahun. Jadi, manfaatkanlah kesempatan yang terhidang untuk meraih keberkatan Lailatul Qadar. 
  3. Para Malaikat akan turun ke langit dunia pada malamnya dengan membawa kebaikan,keberkatan dan rahmat.
  4. Malam Lailatul Qadar juga merupakan malam kesejahteraan sehingga terbitnya fajar,iaitu kesejahteraan daripada neraka dan azab Allah bagi hamba yang menghidupkannya dengan amal ibadah. 

Saya menyeru diri sendiri dan sahabat semua, agar tidak mempersiakan malam yang penuh keberkatan ini. Amat malang andainya malam yang sebegitu berkat kita pergunakan untuk mencari pakaian, membuat kuih dan lain-lain kelengkapan raya. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Panduan Pengambilan Ubat Semasa Berpuasa

Thursday, July 25, 2013

Kadar Zakat Fitrah di seluruh negara bagi tahun 1434 H /2013



Dari Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum ke atas hamba dan orang yang merdeka sama ada lelaki mahu pun wanita, anak kecil mahu pun dewasa dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidil Fitri). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1503 (Kitab al-Zakat, Bab kewajipan sedekah fitrah)]

Untuk pengetahuan kita semua ini adalah nilai pembayaran zakat bagi tahun 1434H/2013M mengikut negeri-negeri Malaysia.

 Sumber





Wednesday, July 24, 2013

Testimoni Pengguna Air Terapi Al-Khodafi



Jika sebelum ini air ECPI, kini giliran Air Terapi Al-Khodafi pula untuk menjadi air ajaib dan sakti di Malaysia. Air Terapi Al-Khodafi dikatakan dapat merawat dan menyembuh pelbagai penyakit rohani dan jasmani, antaranya ialah penyakit yang berpunca dari perbuatan sihir, santau dan macam-macam lagi penyakit. Mungkin para doktor dan jururawat terpaksa menganggur selepas ini, sebab khidmat mereka sudah tak diperlukan lagi. 

Dan, harap-harap selepas ini akan muncul pula mana-mana pihak yang dapat mencipta air ajaib lagi sakti yang dapat menyelamatkan seseorang dari azab kubur, apabila jenazahnya dimandikan dengan air sakti tersebut. 

Kembali kepada tajuk, Air Terapi Al-Khodafi ini mengandungi bahan-bahan yang amat unik dan sangat menarik. Hebat dan sangat hebat kandungannya, iaitu:
  • Cendawan ajaib 
  • Kulat susu harimau 
  • Kemenyan Makkah 
  • Sarang Anai-anai( yang telah memakan 22 juzuk ayat Al-Quran) 
  • Air Zam-Zam 
  • Air hujan malam jumaat 10 Muharram. 


 Berikut Adalah Testimoni dari para pengguna Air Terapi Al-Khodafi


.


Di sini saya paparkan kembali komen atau maklum balas dari tiga orang pengguna air terapi tersebut sebagaimana yang telah dipaparkan(print screen) di atas. 



Afiq Rosli : Sejak minum air tu dari bulan lepas, saya tak payah sahur & berbuka puasa 


Zammil Haron : Saya baru minum seteguk air Khodafi kejap tadi, bini saya ckp saya dah hensem mcm Aaron Aziz. 

Peakay EtFamilie : Semenjak minum air nih,bos sy menangis bila sy tengking dia.... dan motorsikal sy senang dihidupkan pada waktu pagi. 

Demikianlah Kesaktian dan Keajaiban Air Terapi Al-Khodafi.Mungkin semua ini terhasil berkat memakan anai-anai yang telah menghafal ayat-ayat Al-Quran. 






Tentang Air Terapi Al-Khodafi ini, ia turut disentuh oleh Mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin menerusi facebooknya, katanya : 

Agama selalu menjadi mangsa orang yang mencari harta dengan menjual nama Allah dan RasulNYA... Kejahilan orang awam membantu ‘kesalahan’ mereka. 

Sebenanrya kepercayaan terhadap air sakti dan ajaib ini merupakan ancaman terhadap umat islam termasuklah terhadap akidahnya. Di Agra India, air hujan yang turun dan embun yang menitis pada bumbung kubur seorang ahli sufi, Sheikh Salim Chistie dianggap sebagai sebagai Air Suci oleh segelintir umat islam di sana.


Hahaha. Sindiran tajam terhadap Al-Khodafi.
.

Monday, July 22, 2013

Panduan Pengambilan Ubat Semasa Puasa.




Sakit atau tidak sihat bukanlah penghalang untuk umat islam menunaikan ibadat puasa. Kecuali penghidap penyakit kronik, namun itupun setelah mendapatkan nasihat atau pandangan doktor.

Berikut adalah panduan pengambilan ubat semasa puasa. 

1.Bagi ubat yang perlu diambil sebanyak dua kali sehari selepas makan.
  •  Ubat tersebut boleh diambil sekali selepas berbuka dan sekali selepas bersahur
 2. Bagi ubat yang perlu diambil sebanyak tiga kali sehari selepas makan.
  • Ubat tersebut boleh diambil sekali selepas berbuka dan sekali selepas bersahur serta sekali lagi sebelum tidur. Namun,pastikan anda mengambil sedikit makanan sebelumnya.
3.Bagi ubat yang perlu diambil sebanyak dua kali sehari sebelum makan. 
  • Ubat tersebut boleh diambil sekali selepas berbuka puasa dengan segelas air.
  • Setengah jam kemudian(lebih kurang), barulah boleh berbuka dengan makanan seperti biasa (solat Maghrib terlebih dahulu)
  • Pengambilan ubat kedua pula haruslah setengah jam atau satu jam sebelum bersahur 

4. Bagi ubat yang perlu diambil sebanyak tiga kali sehari sebelum makan.
  • Ubat tersebut boleh diambil sekali selepas berbuka puasa dengan segelas air. 
  • Setengah jam kemudian(lebih kurang), barulah boleh berbuka dengan makanan seperti biasa (solat Maghrib terlebih dahulu)
  • Pengambilan ubat kedua ialah setengah jam atau satu jam sebelum tidur
  • Pengambilan ubat ketiga pula haruslah setengah jam atau satu jam sebelum bersahur

5. Bagi ubat yang perlu diambil sekali sehari sebelum/ selepas makan. 
  •  Pilih masa yang amat sesuai untuk anda sama ada pada waktu berbuka puasa atau bersahur. 
  • Amalkan masa yang sama semasa dalam bulan Ramadhan.
 6. Bagi ubat yang perlu diambil setiap lapan jam 
  •  Arahan 2 dan 4 boleh digunakan bergantung kepada sebelum atau selepas makan 

Sumber: Takwim Ramadhan 1434/2013, Jabatan Farmasi, HUSM 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa

Syarat dan Kelayakan Memohon Perumahan Rakyat 1Malaysia(PRIMA)



Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Berhad telah ditubuhkan selaras dengan Akta PR1MA 2012. PR1MA bertanggungjawab untuk merancang, membangun, membina dan menyenggara perumahan gaya hidup berpatutan untuk rakyat berpendapatan sederhana di kawasan bandar-bandar utama. 

Pendapatan sederhana didefinasikan sebagai pendapatan bulanan isi rumah (suami dan isteri) antara RM2,500 hingga RM7,500.00 

YAB Perdana Menteri Malaysia menyedari bebanan kewangan yang dihadapi oleh penduduk bandar yang berpendapatan sederhana akibat pembangunan yang pesat di Malaysia. Wawasan beliau adalah untuk mengimbang semula bantuan yang diberi kepada rakyat di luar bandar serta di kawasan bandar. 

PR1MA adalah salah satu daripada pelbagai usaha murni yang dilaksanakan untuk membantu rakyat menguruskan kos sara hidup di kawasan bandar. PR1MA akan menjadi perintis yang mensasarkan golongan berpendapatan sederhana dengan menawarkan rumah diantara RM100,000 hingga RM400,000 yang dibangunkan di pembangunan komuniti yang mampan. 

Syarat Permohonan
  • Pemohon mestilah Warganegara Malaysia. • 
  • Pemohon mestilah berumur sekurang- kurangnya 21 tahun semasa permohonan dibuat.
  • Permohonan terbuka kepada individu atau keluarga (suami dan isteri) dengan pendapatan purata bulanan isi rumah antara RM2,500 – RM 7,500. 
  • Pemohon dan pasangan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah. 
  • Syarat-syarat tambahan mengikut negeri-negeri. 

Nota: 
  • Perumahan PR1MA akan diperuntukkan melalui proses pengundian terbuka. 
  • Pemilihan unit rumah oleh pemilik yang terpilih akan mengikut turutan cabutan undian. 
  • Moratorium selama 10 tahun akan dikenakan dimana rumah PR1MA tidak boleh dijual atau dipindah milik tanpa kebenaran pihak PR1MA. 
  • Pemilik wajib mendiami rumah PR1MA tersebut. 

Sumber : laman web PRIMA

Sunday, July 21, 2013

Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa.


Perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sebelum memulakan bicara, ingin saya nyatakan entry ini adalah berpandukan atau dengan merujuk sebuah buku berjudul Puasa Dan Ramadhan yang diterbitkan Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan. 

Pertama sekali, amat penting untuk umat islam mengetahui perkara-perkara asas yang membatalkan puasa, sebagaiamana disepakati(ittifaq) oleh para ulama. Ia terdiri daripada empat perkara, iaitu:
  1. Makan
  2. Minum 
  3. Bersetubuh(Jima’) 
  4. Haid dan Nifas. 

Dalil tentang makan, minum dan jima’ ialah ialah firman Allah swt yang bermaksud:

 “…Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam…”. [Al-Baqarah:187]. 

Manakala dalil tentang haid dan nifas pula ialah, : “Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa…”. [Bukhari: 304, Muslim: 79]. 

Adapun tentang perkara-perkara lain yang membatalkan puasa, ia tidaklah disepakati oleh para ulama, jadi umat islam perlulah bertolak ansur dan berlapang dada. Cuma, janganlah sampai membebankan atau memberatkan hingga menyukarkan kita melakukan ibadat puasa. 

Antara Perkara Yang Membatalkan Puasa lagi( mengikut mazhab syafie),selain perkara yang disepakati ialah:
  1. Sampai atau masuk sesuatu ke dalam rongga(al-Jauf) melalui liang yang terbuka. Maksud Al-Jauf ialah otak ataupun apa yang berada di bawah halkum hingga ke perut. Maksud liang terbuka pula ialah mulut,telinga, qubul dan dubur, sama ada lelaki atau perempuan.  
  2. Muntah dengan sengaja 
  3. Mengeluarkan mani 
  4. Gila 
  5. Murtad. 

Berikut adalah fatwa semasa mengenai puasa. Ia merupakan Keputusan Persidangan Fiqh Antarabangsa (al-Majma’ al-Fiqhi al-islami). No. 93 (1/10) pada 23-28 Safar 1418H bersamaan 28 Jun- 3 Julai 1997. Keputusannya adalah seperti berikut. 

Perkara-Perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa.
  • Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga. Ubat titis hidung dan semburan hidung, dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
  • Ubat tablet/pil yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung. Tapi disyaratkan tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
  • Memasukkan ubat melalui faraj,memasukkan alat perubatan,membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin)
  • Memasukkan teropong ke dalam salur peranakan/ rahim atau alat ke dalamnya. Contohnya alat pencegah kehamilan –IUCD
  • Memasukkan teropong atau alat pengesan penyakit ke pundi kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray atau lainnya.  
  • Menampal, mencabut,mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
  • Membasuh mulut, berkumur, atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan yang masuk ke dalam perut dan tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
  • Suntikan melalui kulit, otot,, sendi atau pembuluh darah, kecuali memberi makan melalui pembuluh darah( seperti glukos) 
  • Oksigen dan ubat bius 
  • Bius menggunakan gas, bukan menggunakan cecair yang mengenyangkan 
  • Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly dan plaster berubat. 
  • Sesalur dan bahan perantara untuk artehografi( pemeriksaan x-ray khas untuk jantung) atau organ lain 
  • Teropong ke dalam perut(enddiskopi) untuk mencari punca penyakit. 
  • Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain untuk tujuan makmal 
  • Memasukkan ubat atau alat ke dalam otak 
  • Muntah secara tidak sengaja. 

Jika tidak memberikan mudarat, doctor muslim hendaklah menasihati pesakit untuk menagguhkan dahulu rawatan yang meragui sehingga selesai puasa.

Tambahan dari keputusan seminar Fiqh Perubatan ke -9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8- 11 Safar 1418/14-17 Jun 1997, Majoriti peserta menambah perkara berikut juga tidak membatalkan puasa, iaitu: 
  1.   Suntikan ke dubur,teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur

Tajuk Lain Yang Berkaitan:

Thursday, July 18, 2013

Lelaki Melayu Hina Islam di Facebook




Beberapa hari lepas, nama Alvin Tan dan Vivian Lee cukup terkenal gara-gara perbuatan biadapnya mempersenda Bulan Ramadhan sekali gus menghina agama islam. Kini pasangan tersebut terpaksa akur dengan kemarahan umat islam di Malaysia. 

Itu kisah pasangan berbangsa Cina, tapi ini pula tentang lelaki Melayu yang menghina dan memperlekehkan hadis-hadis Nabi , sekaligus mempersenda Nabi Muhammad S.A.W. dan menghina islam. Dosa lelaki Melayu ini lagi besar daripada dosa memakan babi di bulan Ramadhan. Ini kerana, hadis adalah sumber rujukan dan panduan kedua umat islam sesudah Al-Quran. Beriman kepada Nabi dan Rasul pula merupakan perkara kedua dalam Rukun Iman sesudah percaya Kepada Allah. 

Shaiful Bakhtiar Hashim dengan selamba memperlekehkan hadis Nabi dan menganggap ia sebagai buku olahan manusia. Mungkin bagi dia, kitab-kitab hadis seperti Sahih Bukari,Sahih Muslim, Sunan Abu Daud,Sunan Al-Tirmizi, dan lain-lain Kitab Sunan Sittah adalah setaraf dengan Majalah Hiburan dan Majalah Pornografi. Mungkin juga bagi mahkluk bergelar Shaiful Bakhtiar ini, para illmuan hadis seperti Imam Bukhari dan Imam Muslim adalah manusia hina yang suka memutarbelitkan ilmu.

Wednesday, July 17, 2013

Semakan Online Dan SMS Pelatih PLKN 2014



Seramai 150,000 pelatih akan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula Januari tahun depan, meningkat 10,000 orang berbanding tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri. Beliau berkata, pertambahan pelatih itu dibuat berikutan ramai remaja Malaysia yang memohon mengikuti latihan tiga bulan itu secara sukarela. 

“Pertambahan ini juga bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai remaja mengikuti PLKN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pemilihan PLKN Siri 11/2014 di Wisma Pertahanan di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata, 150,000 pelatih itu dipilih secara rawak daripada 526,280 remaja yang dilahirkan pada 1996 bagi menjalani latihan berkenaan. Jumlah itu merangkumi 55 peratus lelaki dan bakinya perempuan dengan komposisi kaum ditetapkan 60 peratus Bumiputera, Cina (28 peratus), India (10 peratus) dan dua peratus adalah lain-lain kaum. 

Abdul Rahim berkata, remaja yang lahir pada 1996 boleh menyemak sama ada mereka terpilih mengikuti PLKN bagi siri 11 itu mulai Ogos depan melalui laman web www.khidmatnegara.gov.my atau melalui khidmad pesanan ringkas di PLKN SEMAK nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888. – BERNAMA

Kredit Buat : mummynemo

Monday, July 15, 2013

KHASIAT DAN KELEBIHAN KURMA


Hasil kajian sains menunjukkan buah kurma cukup berkhasihat sebagai agen rawatan tubuh selain mengekalkan kesihatan badan berikutan kaya dengan zat galian seperti potassium, kalsium dan zat besi. Buah kurma juga kaya dengan vitamin A dan C serta kaya dengan serat dikatakan dapat mencegah daripada mendapat barah usus.

Memakan kurma juga membantu mencegah sembelit, lemah otot,sengal-sengal badan, lesu dan barah usus besar, merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan dan melawaskan pembuangan air kecil dan besar. Ia juga mampu menambahkan tenaga seksual, mencergaskan minda, melancarkan perjalanan darah, merawat buah pinggang dan mencuci hati selain mampu mencegah barah. 

Ada kajian melaporkan, amalan memakan kurma secara teratur boleh mengurangkan risiko diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis.

Bagi ibu yang mengandung , amalan memakan kurma mmapu mengurangkan pendarahan ketika kelahiran, mengurangkan kepanasan badan, merangsang kesihatan anak yang dikandung, memudahkan bersalin dan member tenaga tambahan.

Kanak-kanak digalakkan memakan lebih banyak kurma kerana ia dapat memberi khasiat dari segi proses tumbesaran sekali gus membentuk minda kanak-kanak yang sihat,penyabar, bersopan santun dan cerdas pemikiran. 

Individu digalakkan berbuka puasa dengan kurma sebelum menjamah makanan lain. Ini kerana kurma mengandungi vitamin E serta komposisi gula yang banyak yang dikenali sebagai glukosa yang menjadi sumber tenaga serta membantu seseorang bertahan dalam tempoh yang lama. 

Entry ini berasaskan tulisan dalam akhbar Harian Metro (Ahad, 14 Julai 2013,m/s33) dan Harian Metro ( Isnin 15.Julai. 2013, m/s 14) 

 Tajuk Lain Yang Berkaitan:

GAMBAR PERDANA MENTERI IMAMKAN SOLAT TARAWIH


Solat tarawih di Gaza. Semalam di kem pelarian Shati. Yang menjadi imam adalah Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh

10 spesies kurma paling popular.




Dipercayai terdapat 1,400 spesies kurma di seluruh dunia, ini termasuklah 600 spesies yang ditanam di Tanah Arab. Namun hanya beberapa jenis sahaja yang diimport ke Malaysia berdasarkan kualiti yang paling baik dan tahan lama.

10 spesies kurma popular, ialah:
  
  1. Kurma Ajwa(Kurma Nabi) Hanya tumbuh di tanah Madinah. Ia merupakan kurma kegemaran Nabi Muhammad S.A.W Warnanya hitam , bertekstur lembut, selain rasanya seakan-akan kismis tetapi tidak terlalu manis.  
  2. Kurma Sekki. Ia mempunyai dua warna berbeza. Bahagian atasnya berwarna kuning-kuningan dan bahagian bawahnya berwarna coklat. Bahagian berwarna kuning lebih keras berbanding bahagian berwarna coklat yang lebih empuk dan kenyal.Rasanya tidak terlalu manis dan tidak tawar.
  3. Kurma Barhi. Bertekstur lembut seperti durian dan berwarna coklat merah. Rasanya tidak terlalu manis selain seakan-akan rasa karamel
  4. Kurma Kholas. Berwarna coklat terang keemasan dan mirip seperti kurma Barhi. 
  5. Kurma Khidri. Berwarna Maroon( merah tua atau merah pulasan). Teksturnya lebih kering dan kenyal dan tidak terlalu manis.
  6. Kurma Mactoumi berwarna sedikit kemerahan. Permukaannya agak keriput dan kenyal tetapi rasanya manis 
  7. Kurma Sokari Berwarna kuning bercampur coklat. Tekstur kenyal lembut tetapi ada juga yang keras. Buah yang kelihatan sedikit kering dan manis ini paling disukai di Arab Saudi. 
  8. Kurma Siraj. Berwarna coklat kemerahan dan kebanyakannya bentuk lonjong. Tekstur lembut dan rasa agak manis.
  9. Kurma Majol Berwarna coklat. Rasanya sangat manis dan kenyal serta mudah merekah 
  10. Kurma Monief Berwarna coklat terang. Ukurannya tidak terlalu besar. Rasanya sederhana manis dan memiliki tekstur lembut.

Sumber; Harian Metro,14.Mei.2013

Saturday, July 13, 2013

UMRAH(Menuju Rumah Cinta-Mu)

Masjid Nabawi

Ini adalah sambungan dari Tajuk Lepas

Sebelum melanjutkan entry, marilah kita doakan agar setiap langkah yang diatur dan jejak yang disusun oleh para muslimin dan muslimat dalam perjalanan Menuju Rumah-Nya akan memberikan seribu erti dan sejuta makna. Erti keataatan dan makna kehambaan serta pengorbanan. Lantas menatijahkan redha dan rahmat Allah. Sekali gus seusai ibadat tersebut, mereka semua akan lebih akrab dengan-Nya dan lebih lama bersujud kepada-Nya.

Masjid Nabawi

Syukur kepada Allah, kerana pada 25.Mei.2013 hingga 5.Jun. 2013, saya telah dianugerahkan ruang dan peluang untuk menjadi tetamu Allah. Walaupun sekadar menunaikan umrah, namun bagi saya ia sangat bermakna. Selain untuk menunaikan ibadat umrah, kesempatan itu turut saya manfaatkan jua untuk menulusuri Sirah Rasulullah S.A.W dan para sahabat



Ibadat umrah ibarat haji kecil. Bagi yang berkemampuan dan nama dalam gilirannya untuk mengerjakan ibadat haji lambat lagi, eloklah menunaikan umrah terlebih dahulu. Amat malang, andainya kita mampu terbang ke lain-lain destinasi di dunia, tapi tidak pula sempat mendarat di bumi Makkah untuk menunaikan umrah.

Perkuburan Syuhadah Uhud


Setelah hampir 8 jam berada di dalam pesawat Saudi Arabian Airlines, saya dan jemaah umrah akhirnya mendarat di bumi Madinah Al-Munawwarah. Di Madinah, hotel penginapan kami berhampiran Masjid Nabawi. Maaf saya terlupa nama hotelnya.Usai sahaja urusan di hotel, saya dan rakan-rakan terus bergegas menuju ke Masjid Nabawi, untuk menunaikan solat Jamak Takhir Isyak dan Maghrib. Kesempatan yang terhidang ingin kami manfaatkan untuk meraih ganjaran yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, iaitu bersolat di Masjid Nabawi menjanjikan ganjaran seribu kali ganda berbanding masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram. Di Madinah, kita hendaklah berusaha sedaya yang boleh untuk solat berjemaah sebanyak 40 waktu  di Masjid Nabawi.

Bukit Rumut berhampiran Perkuburan Syuhadah Uhud

Masjid Nabawi merupakan masjid kedua yang dibina oleh Nabi Muhammad S.A.W sesudah Masjid Quba. Tidak sekadar sebagai tempat beribadat, ia juga berfungsi sebagai tempat untuk bertemu dan membincangkan masalah yang dihadapi oleh umat islam pada ketika itu. Malah, di Masjid ini jualah bersemadinya jasad insan-insan yang mulia, iaitu Rasulullah S.A.W, dan dua orang sahabatnya, iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab.

Makam tersebut asalnya ialah rumah yang didiami oleh Rasulullah S.A.W bersama isterinya Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar. Rumah tersebut dikenali sebagai Hujroh Syarifah, dan ia dibina sewaktu Masjid Nabawi didirikan. Nabi Muhammad S.A.W wafat di rumah tersebut lalu dikebumikan di dalamnya. Abu Bakar dan Umar juga turut dikebumikan di dalam rumah tersebut. Manakala Aisyah pula dikebumikan di perkuburan Baqi.


Jabal Rahmah: Ia merupakan lokasi Nabi Adam a.s
dan Siti hawa dipertemukan setelah diusir dari Syurga

Selain itu, Masjid tersebut juga menempatkan Raudhah yang merupakan sebahagian daripada taman-taman syurga, sebagaimana yang dinyatakan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W , “ Apa yang berada antara rumahku dan mimbarku adalah Raudah(sebuah taman) dari taman-taman syurga."

Raudhah adalah antara tempat yang mustajabah,iaitu tempat doa dimakbulkan. Syukur kepada Allah kerana, saya diberikan peluang dan ruang oleh Allah untuk berada di dalam Raudhah. Walaupun seketika, tapi sempat untuk bersolat dan berdoa

Jabal Rahmah.

Berhampiran Masjid Nabawi juga terletaknya Perkuburan Baqi’. Ia merupakan perkuburan utama bagi penduduk Madinah semenajak zaman Rasulullah S.A.W lagi. Ia memuatkan ribuan mayat penduduk Madinah dan juga orang-orang yang meninggal di Madinah termasuklah orang-orang yang menziarahi Kota Madinah. Diriwayatkan sekitar sepuluh ribu sahabat Rasulullah S.A.W yang dikebumikan di tanah perkuburan ini. Antaranya ialah para isteri Nabi Muhammad S.A.W( kecuali Khodijah dan Maimunah), puteri Nabi Muhammad S.A.W, iaitu Fatimah az-Zahra, putera baginda Ibrahim, cucu baginda Hassan bin Ali, Dzun Nuroin Uthman bin Affan dan lain-lain lagi. 

Saya sempat menziarahi perkuburan Baqi’ sesudah menunaikan solat subuh di Masjid Nabawi. Kubur yang menempatkan jasad-jasad para sahabat Nabi S.A.W telah dipagar oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Tentu sahaja ada tujuan tertentu di sebalik pemagaran tersebut, antaranya ialah untuk mengelakkan perbuatan khurafat dan syirik yang sering dilakukan oleh golongan kuburi. 

Manakala kawasan yang menempatkan jenazah-jenazah yang lain pula dibuka untuk diziarahi. Kuburnya sangat cetek berbanding kubur-kubur di mana-mana tanah perkuburan islam di Malaysia. Jenazah-jenazah akan disemadikan selama beberapa bulan(mungkin 8 bulan) sebelum liang lahad tersebut digunapakai untuk pengebumian yang lain. 

P/S: Terdapat juga Makam sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang ditempatkan di luar kawasan yang di pagar. Maaf, saya lupa nama sahabat-sahabat tersebut


Tempat-tempat lain patut dikunjungi oleh sesiapa sahaja menziarahi Madinah ialah lokasi-lokasi tinggalan sejarah seperti Jabal Uhud, Perkuburan Syuhadah Uhud, Perkuburan Baqi’(lokasinya berhampiran Masjid Nabawi),Masjid Quba, Masjid Qiblatain. Tempat-tempat ini dikunjungi untuk menjiwai perjuangan Nabi Muhammad S.A.W secara dekat. Meskipun masa atau zaman antara kita dengan Nabi Muhammad S.A.W begitu menjarak, namun perlu untuk kita jejak semula dan pijak kembali segala tempat yang pernah Rasulullah S.A.W pijak dan jejak suatu ketika dahulu. Benar, pijak dan jejak itu telah terhakis dan terkikis oleh perubahan waktu, cuaca dan tindakan manusia menerusi proses pengubahsuaian, namun percayalah ia amat penting untuk menebalkan perasaan rindu, kasih dan sayang kepada Rasulullah S.A.W. 

Maqam Ibrahim

Jabal Uhud atau Bukit Uhud sememangnya akan sentiasa dikenang oleh setiap umat islam, kerana di sinilah berlakunya perang Uhud antara kaum Muslimin dengan Kaum Musyrikin pada tahun ketiga Hijriah. Peperangan ini menyaksikan beberapa orang(dikatakan 70 puluh orang) sahabat Nabi Muhammad S.A.W termasuklah bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul Muttholib r.a gugur syahid. 

Jenazah mereka disemadikan di Perkuburan Syuhada Perang Uhud. Antara sahabat-sahabat lain yang turut gugur syahid ialah Abdullah bin Jahsi r.a dan Mus’ab bin Umair r.a. 

Tidak jauh dari Perkuburan Syuhada Perang Uhud, terdapat pula Bukit Rumat atau Bukit A’inain. Lokasinya ialah di sebelah barat daya Bukit Uhud. Ia adalah sebuah bukit kecil dan di atas bukit inilah Rasulullah S.A.W menempatkan pasukan pemanah ketika peristiwa Perang Uhud

Hajar Aswad: Ia adalah batu dari syurga. 
Warna lebih putih dari susu, 
tetapi menjadi hitam kerana dosa-dosa manusia

Masjid Quba’ juga merupakan sebuah masjid yang mulia dan bersejarah. Ia merupakan masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah S.A.W dan sahabat-sahabatnya setelah tiba di Madinah. Ia juga meruapakan masjid keempat termashur sesudah Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa. 

Betapa mulianya Masjid Quba’ hingga Allah S.W.T berfirman yang bermaksud “ Inilah masjid yang dibina atas dasar taqwa.”. 

Rasulullah S.A.W sering menziarahi Masjid Quba’ untuk bersolat dan baginda bersabda “ Barangsiapa yang bersuci di rumahnya kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu bersolat di sana, maka pahalanya baginya adalah pahala Umrah” Hadis Riwayat Ibn Majah. 

Masjid Qiblatain pula terkenal kerana di masjid inilah berlakunya pertukaran arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke Ka’abah. Ia dinyatakan oleh Allah S.W.T menerusi firmannya dalam surah Al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud “ Sesungguhnya kami sering melihatmu menengadah ke langit, maka kami akan memalingkan mukamu ke kiblat yang engkau sukai, maka hadapkanlah mukamu ke Masjidl Haram”. Dan bermula saat itu jualah kiblat umat islam ialah Kaabah di Masjidil Haram.


Hajar Aswad


27.Mei.2013, saya dan para jemaah terpaksa meninggalkann Kota Madinah untukke destinasi seterusnya ialah Makkah Al-Mukarramah. Sayu di hati untuk meninggalkan Masjid Nabi. Rasa sedih dan pilu bertandang tatkala melakukan Ziarah Wida. 

"Moga kunjungan ini bukanlah kunjungan terakhirku di Masjid Nabawi." 

Perjalanan ke Makkah mengambil masa yang agak lama, lebih kurang sembilan jam, sesudah kami berniat ihram di Bir Ali. Bagi sesiapa yang menziarahi Madinah terlebih dahulu sebelum ke Makkah, maka miqatnyaa ialah di Bir Ali, lebih kurang 420Km dari Makkah. 


Kaabah
Kami tiba di bumi Makkah lebih kurang pukul 11 malam. Untuk menghilangkan penat, kami berehat seketika di bilik hotel, tapi dengan hati-hati sebab kamidalam Ihram, ada pantang larangnya. Lebih kurang pukul 2 pagi, saya dan jemaah yang lain mula berangkat menuju Masjidil Haram. Sebaik sahaja terpandang Kaabah, hati menjadi sayu, kerana selama ini itulah arah yang hadap semasa menunaikan ibadat solat. 

Pintu Kaabah


Syukur kepada Allah, kerana proses Tawaf di Baitullah berjalan dengan lancar. Tawaf di Kaabah sebanyak tujuh pusingan dan dimulai dari Hajar Aswad dan diakhiri juga di hajar Aswad. Begitu juga dengan Saie dan Tahallul dapat dilaksanakan dengan mudah.

Saie ialah berjalan sebanyak tujuh kali dari Safa ke Marwah. Tahallul pula ialah mengunting atau membotakkan kepala(bagi lelaki) apabila selesai melakukan Saie. 



Syukur juga kepada Allah, kerana saya diberikan ruang dan peluang untuk mencium Hajar Aswad dan bersolat di Hijir Ismail. Hajar Aswad ialah batu yang didatangkan dari syurga. Menciumnya adalah sunat. 

Elok juga kita merenung nasihat daripada Syeikh Mohammad Abd Qadir Mandili ( Tuan Guru Masjidil Haram) : Mengucup Hajar Aswad adalah sunat dengan syarat tidak menyakiti orang lain dan diri sendiri. Jika menyakiti orang lain atau mendatangkan kecederaan kepada jemaah yang lemah, maka hukumnya haram. 

Hijir Ismail pula merupakan sebahagian daripada Kaabah. Ada sejarahnya yang tersendiri yang akan saya nyatakan dalam entry akan datang, Insha-Allah. Bersolat di dalam Hijir Ismail adalah umpama bersolat di dalam Kaabah dan ia adalah antara tempat yang mustajab untuk berdoa. 

Terima kasih Ya Allah kerana memberikan aku ruang dan peluang untuk menjadi tetamu-Mu. walaupun seketika, namun bagiku, ia cukup bermakna. 

Pembesaran kawasan Tawaf agak mencacatkan pemandangan di Baitullah ini.
Kaabah

Saei :Safa dan Marwah
Lautan umat islam membanjiri Masjidil Hatam menunaikan umrah.


Sedikit Info Tentang Kaabah dan Maqam Ibrahim

  • Pemegang kunci kaabah ketika Nabi Muhammad S.A.W membuka Kota Makkah ialah Usman bin Thalhah. Ia kemudiannya diambil alih oleh sepupunya, iaitu Syaibah setelah kematiannya, lantaran Usman bin Thalhah tidak mempunyai zuriat).Keturunan merekalah yang memegang kunci Kaabah sejak pembukaan Kota Makkah hingga kini dan Insha-Allah hingga ke hari kiamat dan mereka digelar sebagai Asy Syaibiyyiin.
  • Bersolat dalam Kaabah adalah disunatkan, tetapi sukar untuk mendapat ruang dan peluang. Malah,Imam Bukhari meriwayatkan dari Abdullah bin Umar R.A, beliau telah banyak kali mengerjakan haji tetapi tidak pernah masuk ke dalam Kaabah( rujuk Panduan & Nasihat Haji & Umrah oleh Syeikh Mohammad Abdul Qadir Mandili) Jika teringin bersolat di dalam Kaabah memadailah dengan bersolat di dalam Hijr Ismail. Ini kerana pada asalnya ia adalah sebahagian daripada Kaabah
  • Mengusap dan mengucup Maqam Ibrahim adalah perbuatan yang menyalahi sunnah. Ini kerana Nabi Muhammad S.A.W hanya mengusap dan mengucup Hajar Aswad. Keutamaan Maqam Ibrahim ialah sebagai tempat bersolat. Tapi ramai Jemaah yang telah menyalahi sunnah dengan bertindak mengucup dan mengusap Maqam Ibrahim . Abdullah Az-Zubair melihat sekumpulan manusia yang sedang mengusap Maqam Ibrahim dan beliau berkata, Wahai manusia kamu tak disuruh untuk menyentuhnya tetapi untuk bersolat di situ. Jadi.. awasi bid’ah dan khurafat. Laksanakan ibadat mengikut panduan yang diberi oleh Nabi S.A.W dan amalan para Salafus Soleh.

 Tajuk Lain Yang Berkaitan: Visa Umrah di hadkan kepada 14 hari sahaja

Monday, July 8, 2013

KALAU DAH JODOH

MAUT EMPAT JAM SEBELUM AKAD NIKAH
MAUT SETELAH LIMA JAM DIIJABKABUL
MAUT SELEPAS EMPAT HARI BERKAHWIN


“Nakkan seseorang tak semestinya kita dapat. Bila dah dapat, tak semestinya kita punya.Bila kita punya, tak semestinya akan bersama. Bila bersama tak semestinya kekal selamanya. Tapi segalanya tak akan mustahil, andainya jodoh itu milik kita.” 


P/S: Jangan jemu untuk berdoa agar dugaan sebegini tidak singgah dalam hidup kita dan tidak menimpa insan-insan yang kita sayang.