Monday, August 26, 2013

Kisah pengislaman Hana Tajima



Sejak kebelakangan ini, nama Hana Tajima Simpson mula menjadi topik perbincangan di kalangan blogger Muslimah. Nama gadis kacukan Jepun dan Inggeris ini dikenali kerana gaya berhijabnya yang unik dan lebih kasual. Wajah manis ini juga telah mula menghiasi sejumlah media di UK dan Brazil. Hana yang lebih dikenali sebagai seorang pereka fesyen membuat kejutan melalui produk dengan jenama Maysaa. Produk yang telah dilempar ke pasaran dunia itu berupa hijab bergaya 'layers'. 

Melalui jenama tersebut, Hana mencuba untuk memperkenalkan gaya berbusana yang trendi, namun tetap sesuai dengan syariat Islam di kalangan Muslimah. Mula memeluk Islam seawal usia 17 tahun, Hana datang daripada latar belakang keluarga Kristian yang tidak terlalu mementingkan agama dalam kehidupan mereka. Ayahnya berasal dari Jepun manakala ibunya merupakan seorang wanita Inggeris. 

Minatnya kepada Islam bermula semasa belajar di sekolah tinggi. Hana bertemu dan bersahabat dengan beberapa pelajar Muslim. Pada pandangan Hana, sahabat-sahabatnya yang beragama Islam kelihatan berbeza dengan yang lain. "Mereka kelihatan menjaga jarak dengan beberapa pelajar tertentu. Mereka juga menolak ketika diajak untuk pergi berhibur di sebuah kelab malam." katanya. Bagi Hana, perkara itu sangat menarik. Selain itu, sahabat-sahabatnya yang Muslim dianggap sangat menyenangkan apabila diajak berbincang berkaitan hal kuliah.

Menurutnya, pelajar Muslim lebih banyak menghabiskan masa mereka membaca di perpustakaan ataupun berbincang. Dari sahabat-sahabat Muslim itulah, secara perlahan-lahan Hana mulai tertarik dengan ilmu falsafah terutamanya falsafah Islam. Sejak saat itu, Hana mula mempelajari falsafah Islam langsung dari sumbernya iaitu Al-Quran. Kenyataan bahawa Al-Quran tetap sama seperti sebelumnya memberi maksud bahawa sentiasa ada titik rujukan untuk semua perkara. 

"Di dalam Al-Quran, saya menemukan banyak rujukan berkisar tentang isu-isu mengenai hak wanita. Semakin banyak saya membaca, semakin diri saya bersetuju dengan idea-idea disebalik Al-Quran dan saya boleh melihat bagaimana Islam boleh mewarnai kehidupan sahabat-sahabat Muslim saya. Namun saat itu, keinginan untuk memeluk agama ini masih belum tiba. Sehinggalah tiba pada satu titik yang mana saya tidak dapat mengatakan tidak pada diri saya mengenai kebenaran agama ini, maka saya memutuskan untuk menjadi seorang Islam" katanya. 

Rasa kagumnya terhadap ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran akhirnya membuatkan Hana memutuskan untuk memeluk Islam. Tanpa menemui sebarang paksaan dan halangan, dengan hanya disaksikan oleh teman-teman Muslimahnya, Hana pun mengucapkan dua kalimah syahadah. "Menyatakan perkara tersebut kepada keluarga adalah sesuatu yang mudah. Saya tahu mereka akan gembira selagi mana saya juga gembira, dan mereka boleh melihat ianya adalah sesuatu yang baik," tuturnya. 

Seperti halnya semasa Hana memutuskan untuk memeluk Islam, begitu juga keputusan untuk mengenakan hijab datang tanpa paksaan. Hana mula mengenakan hijab di hari sama dia mengucap dua kalimah syahadah. "Ini merupakan cara terbaik bagi membezakan kehidupan saya di masa lalu dengan kehidupan saya pada masa hadapan," ujarnya. Keputusan untuk mengenakan hijab pada masa yang sama menerima pelbagai reaksi dari orang-orang di sekelilingnya, terutamanya kawan rapatnya. Sebelum mengenakan hijab, Hana sudah memahami fahaman negatif terhadap orang-orang yang berhijab. "Saya tahu apa yang mereka fikirkan mengenai hijab, tetapi saya akan bersikap berpura-pura tidak mengetahuinya. Namun seiring dengan masa, orang-orang di sekitar saya kini sudah boleh menerima penampilan saya dengan balutan hijab." katanya lagi. 

Dalam blog peribadinya, Hana mengakui bahawa menjadi seorang Muslimah di sebuah negara barat adalah sedikit menakutkan, terutamanya ketika semua mata di sekitarnya memandangnya dengan pandangan yang aneh. Maklum sajalah, sebahagian penduduk de negara-negara barat telah dijangkita dengan wabak Islamofobia. "Oleh sebab itu, saya ingin menciptakan sesuatu yang akan membantu para muslimah di mana jua untuk terus berusaha mengatasi perasaan takut itu." ujarnya. 

Kini, dengan busana Muslimah yang dirancangkannya, kaum Muslimah di negara-negara barat mampu tampil dengan busana yang boleh diterima oleh masyarakat di sana tanpa meninggalkan peraturan yang ditetapkan Islam. Kini fesyen busana Muslimah yang diperkenalkannya bukan saja mendapat sambutan yang hangat daripada muslimah di seluruh dunia, malah penerimaan daripada yang bukan Islam juga sangat menggalakkan.  

Wednesday, August 21, 2013

Senarai Ahli-Ahli Politik Malaysia yang perlu dibunuh.



Sekarang ini, tembak-menembak seakan-akan telah menjadi hobi dan bunuh- membunuh seolah-olah telah menjadi aktiviti masa lapang para penjenayah di Malaysia. Tapi penjenayah tersebut tidaklah setolol makhluk yang menggelarkan dirinya sebagai True Justice. 

True Justice, itulah nama yang digunakan oleh seorang pemilik akaun facebook. Bukan setakat tolol tapi dia adalah seorang manusia yang amat keji, kerana sanggup melacurkan agama secara percuma dengan menyalahguna dan menyalahtafsirkan ayat-ayat suci al-Quran. Ayat-ayat Allah ditafsir sesuka hati mengikut nafsu buasnya. 

Berdasarkan fatwa sesat yang dikeluarkan oleh True Justice, terdapat beberapa orang tokoh politik yang dilabel sebagai musuh islam dan difatwakan wajib dibunuh. Antaranya ialah Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad, Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin, Nazri Aziz, Zahid Hamidi, Rafidah Aziz, Shahrizat Jalil,DS Anwar Ibrahim dan beberapa orang lagi termasuklah Prof Diraja Yngku Aziz dan anaknya Zetti Akhtar. Untuk menghalalkan fatwa sesatnya, True Justice telah melacurkan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Anfal dan An-Nisa. 

Selain fatwa bunuh ke atas beberapa orang tokoh politik, True Justice juga telah mengeluarkan beberapa fatwa sesat yang lain. Istimewanya, pada setiap fatwa itu, dia akan sandarkan ayat-ayat suci Al-Quran yang telah ditafsir mengikut nafsu buasnya. 

Antara fatwa sesat True Justice yang lain ialah:

  1. UMNO, PAS, PKR dan semua parti politik adalah kafir kerana mengikut demokrasi. Maknanya, DS Najib Tun Razak, DS Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Nik Aziz, Dr Haron Din adalah manusia yang kafir kerana telah mengikut sistem demokrasi dengan menyertai pilihanraya. 
  2. Sultan-Sultan Melayu adalah kafir. Semua umat islam wajib berjihad menentang Sultan-Sultan Melayu dan kaum kerabat mereka. 
  3. Semua Ahli Parlimen adalah kafir. Mereka wajib bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Maknanya semua ahli parlimen yang beragama islam telah menjadi kafir secara automatik sebaik sahaja mereka menjadi ahli parlimen. Ini termasuklah DS Najib Tun Razak, DS Muhyiddin Yassin, Tuan Guru Haji Hadi Awang, DS Anwar Ibrahim dan lain-lain lagi. 

Berdasarkan fatwa-fatwa sesatnya ini dan keberaniannya melacurkan ayat-ayat suci Al-Quran mengikut nafsu buasnya, ternyata True Justice lebih berbahaya dari mana-mana pembunuh upahan dan penjenayah kejam yang menganas sejak akhir-akhir ini. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar manusia sebegini diberikan hidayah oleh-Nya atau dinyahkan dari dunia ini. 

Sila sebarkan/share semua ini demi manfaat bersama.

Thursday, August 15, 2013

Panduan Makan Secara Sihat Pada Hari Raya.



Memandangkan kita masih lagi berada di dalam bulan syawal. Sepanjang bulan yang mulia ini tentu sahaja kita akan ziarah menziarahi sanak saudara dan rakan taulan serta menghadiri rumah-rumah terbuka yang diadakan. Lazimnya masyarakat kita akan beraya selama sebulan, ini bermakna sepanjang syawal kita tidak akan pernah sunyi daripada menjamah hidangan-hidangan yang disediakan. 

Masalahnya, seringkali kita jadikan hari raya sebagai hari untuk melunaskan dendam setelah sebulan menahan lapar dan dahaga, dengan makan secara berlebihan. Tabiat makan sebegini tentu sahaja mengundang keburukan, terutamanya terhadap kesihatan. Sebagai langkah berjaga-jaga Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan tujuh panduan makan secara sihat pada hari raya. 

Tujuh Panduan Tersebut Ialah:
  1. Makan dalam saiz atau kuantiti yang kecil 
  2. Pilih makanan yang rendah kandungan kalori seperti buah-buahan serta makanan yang kurang minyak ,lemak dan santan. (Sila rujuk jadual di atas untuk info mengenai kandungan kalori dalam juadah hari raya.) 
  3. Pilih makanan yang tinggi serat untuk mengelakkan sembelit  
  4. Hadkan pengambilan makanan yang manis dan berlemak seperti dodol  
  5. Pilih buah-buahan segar sebagai pencuci mulut.  
  6. Hadkan pengambilan makanan yang tinnggi kandungan garam seperti kerepek.  
  7. Minum air kosong berbanding minuman berperisa berkarbonat atau minuman yang manis. 

Rujukan:Kosmo,Sabtu, 10 Ogos 2013,M/S 16. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan.  

Wednesday, August 7, 2013

Nostalgia Ramadhan di Chemor, Perak


Majlis berbuka puasa tahun 2008: 
Bersama rakan-rakan guru SMKDHMT.
 Aku:  paling kiri

Ini adalah sebahagian daripada entry mengulit kenangan. Kenangan yang amat manis untuk dikenang walaupun ia bukannya kenangan terindah. Saya mendiami negeri Perak, atau lebih tepat lagi Chemor bermula 15 Januari 2007 hinggalah 5 Jun 2012. Lebih lima tahun saya bermukim di sana tentu sahaja menghidangkan nostalgia yang pelbagai yang tentu sahaja mewarnai kehidupan saya. Namun di sini, saya sekadar ingin merakyatkan nostalgia ramadhan yang pernah saya lalui sepanjang bermukim di sana. 

Sebenarnya Perak merupakan negeri kedua yang menjadi pilihan saya untuk menabur bakti sebagai seorang pendidik. Ketika tahun akhir di Universiti Sains Malaysia(USM), saya telah memilih Kedah sebagai pilihan pertama untuk berkhidmat. Diikuti Perak, Melaka dan Johor. 

Mungin ada yang bertanya, kenapa saya tidak memilih Kelantan sebagai lokasi dan untuk memulakan kerjaya sebagai seorang guru?. Sebenarnya saya tidak ingin bermimpi di siang hari, ini memandangkan terlalu sukar untuk terus berkhidmat di Kelantan, lalu saya tidak ingin mempersia-siakan empat pilihan yan diberi dengan membuat permohonan yang sia-sia. 
 
Mungkin juga ada yang bertanya mengapa pula Kedah menjadi pilihan yang pertama? Sebenarnya sebelum itu, saya baru sahaja tamat menjalani latihan mengajar di sebuah sekolah Menengah di Kuala Ketil Kedah. Saya juga sering ke Baling dan lepak-lepak di bandar Sungai Petani. Bagi saya, Kedah dan Kelantan ada banyak persamaan, lalu saya memilih Kedah sebagai pilihan pertama. Takdir Tuhan, keempat-empat negeri yang saya pohon bukanlah ditakdirkan untuk saya. Sebaliknya, saya terpilih untuk berkhidmat di sebuah sekolah berasrama penuh di negeri di bawah bayu, iaitu Sekolah Menengah Sains Lahad Datu, Sabah. Kembali kepada tajuk, bercerita tentang puasa dan Ramadhan tentu sahaja beberapa perkara yang menjengah di minda. Antaranya Bazaar Ramadhan, juadah berbuka dan Solat Terawikh. 
Ramadhan dan Bazar Ramadhan sememangnya tidak boleh dipisahkan. Kewujudannya tidaklah bermakna menodai Ramadhan sebagai bulan ibadat atau menjadikan Ramadhan sebagai pesta makanan. Kewujudannya perlu dilihat dalam pelbagai aspek termasuklah memudahkan masyarakat terutamanya orang-orang yang berpuasa untuk mencari juadah berbuka dan bersahur. Ia juga amat membantu meningkatkan pendapatan dan menjadi sumber ekonomi kepada para peniaga yang rata-ritinya terdiri daripada umat islam. Sepanjang menjalani ibadat puasa di Chemor, dari tahun 2007 hinggalah 2011, beberapa buah Bazar Ramadhan yang menjadi pilihan saya. 
Di Pekan Chemor sendiripun memang disediakan Bazar Ramadhan, cuma juadahnya agak terhad dan peniaganya pula tidak ramai. Ini bersesuaian dengan keluasan tapak bazaar tersebut yang tak seberapa. Namun, ia sudah memadai untuk mencari juadah berbuka dan bekalan bersahur.
Seringkali juga saya ke Bazar Ramadhan yang terletak Tanjung Rambutan. Sepanjang tempoh saya menetap di sana, saya sempat menyaksian tiga kali perubahan tapak bazaar tersebut. Pada tahun 2007, tapak bazaar ramadhan adalah di bahagian hadapapan pekan tersebut. Manakala bermula 2008 pula, tapak bazaar dialihkan ke bahagian belakang pekan tersebut. Dan, bermula tahun 2010, ia beralih lagi ke Taman Perpaduan yang terletak beberapa kilometer dari Pekan Tanjung Rambutan. Begitu juga dengan bazaar Ramadhan yang terletak di Taman Jati,  ia juga menarik untuk kunjungi.
Sekali sekala terutamnya pada hujung minggu, saya lebih gemar ke Bazaar Ramadhan yang terletak di persekitaran Stadium Indera Mulia, Ipoh. 
Ramadhan tahun 2010. Aku terbabas kat Lenggong tika dalam
 perjalanan balik kampung

Malam-malam di bulan Ramadhan tentu sahaja tidak sunyi dari bersolat tarawikh. Dan, sepanjang berpuasa di Chemor, saya selalunya bersolat terawikh di Masjid Jami’ Chemor. Di masjid ini, solat terawikhnya sebanyak 8 rakaat. Tidak jauh dari masjid ini, terdapat pula Masjid Tanah Hitam, solat terawikhnya sebanyak 20 rakaat. Di samping itu terdapat juga Madrasah Pakistan, namun sepanjang bermukim di Chemor, tidak pernah saya bersolat di madrasah tersebut

Ramadhan 2010. Aku terbabas kat Lenggong tika 
dalam perjalanan balik kampung

Satu lagi Nostalgia Ramadhan yang pasti sahaja kekal melekat dalam ingatan saya, selagi hayat dipinjamkan Tuhan, ialah nostalgia terbabas sewaktu memandu ketika pulang untuk berhari raya di kampung halaman. 

Peristiwa ini berlaku pada tahun 2010, dan ia berlaku beberapa hari sahaja menjelang Aidilfitri. Disebabkan terlalu mengantuk, saya tidak dapat memandu dengan baik, dan natijahnya kereta yang saya pandu terbabas ke dalam longkang di Lenggong Perak.

Setelah membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di klinik Lenggong, saya akhirnya meminta bantuan seorang rakan untuk ke Pekan Gerik. Dari sana, saya menaiki teksi untuk balik ke kampung di Bachok Kelantan. Cerita lanjut tentang peristiwa ini pernah saya perincikan dalam entry lepas, lihat SINI

Chemor kini telah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup saya, sebagaimana Pulau Pinang, Kuala Ketil dan Baling di Kedah dan Lahad Datu di Sabah. Saya himpun segala pengalaman semasa di perantauan , tidak sekadar untuk dikenang tapi sebagai panduan untuk mengatur langkah dan menyusun jejak.   

Tajuk Lain Yang Berkaitan: 

Thursday, August 1, 2013

Persoalan Mengenai Perkara Yang Membatalkan Puasa



Artikel asal bertajuk Ramadhan : Batalkah Puasa Kita Jika... Artikel yang ditulis oleh Dr Ustaz Zaharuddin Abd Rahman( Uzar). Artikel ini amat menarik untuk dikongsi untuk menggelakkan salah faham terhadap puasa dan seterusnya memantapkan kefahaman kita terhadap ibadat puasa.

P/S :Perkataan saya dalam entry ini adalah merujuk kepada Dr Zaharudin Abd Rahman.

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam. 

Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

 Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-

1) Raih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

 2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat. 

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya. 

 4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': 

Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan. Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. 

Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak. Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa. Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

 1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain. Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). 

Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247) 

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala. Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

 3) Pil elak haid untuk puasa penuh : Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.

 4) Penyembur gas untuk pesakit lelah : Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak. Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa.

Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut. Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat.

Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226) Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.

Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh " Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya. Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. 

Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.

 5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal: Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan. Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : 

Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ). Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

 6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu. Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik. Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

 7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

 8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama. Ia berdasarkan beberapa dalil antara: Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : - Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :- "aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif) Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 ) Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

 9) Wanita tamat haid Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar. Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201) Dalilnya adalah :- Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.? Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa. Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama. Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159) Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal. Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan. Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur dan kahak Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

13 ) Mandi Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?. Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu. Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal. Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

15) Mengosok gigi ketika berpuasa Persoalan ini telah saya ulas di entry yang berbeza, sila ke tajuk link 'Gosok Gigi Ketika Puasa'

Sumber: Zaharuddin.Net