Thursday, November 28, 2013

PINJAMAN PERIBADI, ANTARA KEPERLUAN DAN KEHENDAK



Mengikut Jabatan Insolvensi Malaysia(Mdl), sebagaimana dilaporkan di dalam akhbar Kosmo bertarikh 1 November 2013, seramai 60 orang diisytiharkan muflis setiap hari di Malaysia. Pinjaman peribadi pula merupakan antara penyumbang utama peningkatan kes muflis, malah merupakan punca atau penyebab yang ketiga berlakunya kes muflis di negara kita, iaitu seramai  18,053 orang (15.50%). 

Sebelum berbicara dengan lebih lanjut perihal pinjaman peribadi, eloklah kita renung dan perhatikan perihal hutang. Dalam Al-Quran, ayat mengenai hutang merupakan ayat yang paling panjang, meskipun bukan berjela-jela. Ia merupakan ‘surat amaran’ dari Maha Pencipta untuk umat manusia. Ia dirakamkan menerusi surah Surah Al-Baqarah, ayat 282. Ayat-ayat ini sepatutnya menggetarkan hati dan jiwa. 

Hutang! Kalimah yang mengundang gementar pada hati yang mengerti dan pada jiwa yang cakna. Betapa seriusnya persoalan hutang, hinggakan Allah s.w.t menjelaskannya dengan panjang lebar dalam kitab-Nya.Tetapi,harus juga diakui betapa sukarnya untuk menghindari hutang pada zaman sekarang. Ia seolah-olah satu kemestian untuk hidup. Apa tidaknya, tanpa berhutang dengan PTPTN, sudah tentu ramai yang tidak mampu melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Tanpa PTPTN, banyaklah mimpi-mimpi yang hancur. Tanpa PTPTN, banyaklah impian -impian yang lebur. Tanpa PTPTN, banyak hasrat-hasrat yang akan berkubur. Jujur! Tanpa PTPTN, gagasan yang ingin diukir dan wawasan yang bakal dilakar akan kekal terapung di wilayah ambisi. 

Kembali kepada tajuk. Pinjaman peribadi juga sebahagian daripada hutang. Ia dilakukan oleh pihak yang berkelayakan,termasuklah kakitangan kerajaan dengan institusi tertentu terutamanya institusi kewangan.

Berhutang dengan bank adalah lebih cepat dan mudah serta lebih ‘bermaruah’ jika nak dibandingkan berhutang dengan sanak saudara mahupun sahabat handai. Asalkan berkelayakan dan berkemampuan sebagaimana yang ditetapkan oleh mana-mana institusi kewangan dan koperasi,segalanya akan berjalan dengan lancar. 

Kerana mudah dan cepat, maka ramailah yang menyerbu mana-mana bank untuk membuat pinjaman. Pinjaman peribadi sememangnya bukanlah satu kesalahan andainya matlamatnya tidak tersasar dan terpesong, iaitu untuk memenuhi keperluan. 

Namun, ia merupakn satu kesilapan ‘Yang Maha Besar’ andainya sekadar satu kehendak atau untuk melunaskan keinginan. Ini kerana kehendak dan keinginan tidak akan bernoktah selagimana hidup dan kehidupan belum berakhir.Adalah satu kesilapan andainya kita berhutang sekadar untuk menjenamakan hidup. 

Berhutang atau membuat pinjaman peribadi untuk memenuhi keperluan seperti perkahwinan dan membina atau membeli rumah, mungkin satu kemestian yang tak dapat dielakkan. Tapi, bagaimana pula dengan hutang-piutang yang lain? Hutang piutang yang disengajakan meskipun tidak ‘diwajibkan’ demi menjenamakan hidup. Jadi, kita perlu mewaraskan diri agar tidak lemas dan terkulai dalam pelukan hutang yang amat merimaskan. Risau dan bimbang andainya dalam situasi lemas dan terkulai itu kita tiada sandaran untuk berpaut, lantas menatijahkan muflis.

P/S: Pinjaman peribadi untuk membeli hartanah dan sebagai modal perniagaan juga adalah langkah yang bijak tetapi perlu dirancang dan diteliti dengan rapi.


Tajuk Lain Yang Berkaitan: Punca-Punca Muflis di Malaysia

5 Diet Paling Popular Malaysia



5 Diet paling popular sekarang? Disini saya akan menekankan beberapa diet popular yang dilakukan oleh rakyat Malaysia. Diri anda yang boleh memutuskan sama ada ia adalah pelan diet yang sesuai untuk anda ataupun tidak.

Mari kita lihat satu persatu 5 diet popular di Malaysia.

1. Diet Atkin Diet

Ini memang popular dan kini juga menjadi asas diet bagi produk suplemen Malaysia popular Alpha Lipid SDII. Secara am, konsep diet atkin adalah mengurangkan karbohidrat dalam diet tetapi lebihkan makanan yang tinggi dengan protein. Protein akan mengambil masa yang lama untuk dicernakan dan diproses sebagai sumber tenaga. Dengan ketiadaan karbohidrat untuk dibakar sebagai tenaha, badan terpaksa membakar lemak – proses ini dinamakan ketosis. 

Diet atkin membolehkan seseorang turun dengan cepat kerana karbohidrat telah dikeluarkan dalam senarai pemakanan dan mengurangkan pengambilan kalori dalam sehari, dan membawa kepada penurunan berat badan. 

Pada masa yang sama, pengurangan pengambilan karbohidrat akan memaksa badan untuk membuang air dengan banyak. … awal-awal, anda boleh kurangkan 3-4kg seminggu tapi itu bukan 100% lemak, sebenarnya ia lebih kepada pembuangan air hasil daripada pengurangan makanan berkarbohidrat… 

Hati-hati kerana kalau anda berhenti diet Aktins dan beralih kepada pemakanan karbohidrat yang lebih “biasa”, berat badan anda naik dengan cepat semula disebabkan water retention. Ini lebih kurang macam “carbo loading” yang diamalkan oleh atlit larian marathon. 

2. Diet Detox 

Diet serat yang tinggi membantu megurangkan berat air dan toksin dalam badan. Teorinya, jika badan bebas toksin, badan akan berfungsi lebih baik. Terdapat pelbagai corak diet detox iaitu pengambilan kalori yang rendah dan pengambilan produk seperti pil, herba, jenama dan lain-lain. Ianya juga diet yang membolehkan berat badan seseorang berkurangan dengan cepat.

Tetapi harus ditekankan disini, pengurangan berat bukan kerana kehilangan lemak semata-mata tapi lebih kepada kehilangan air jugak. Kenapa air? Keraan badan kita tidak boleh menghadamkan serat yang kering dan keras. Jadi untuk membuangnya semula, badan terpaksa gunakan air yang banyak untuk “push it through” usus badan. ianya adalah disebabkan kotoran di usus telah hilang. Oleh itu terdapat kesan sampingan apabila mengamalkan diet ini secara berterusan. 

3. Diet mengikut jenis darah

Diet berdasarkan golongan darah menunjukkan bahawa terdapat tindak balas kimia yang berlaku di antara darah dan makanan yang diambil. Setiap protein yang diserap tubuh, hanya sesuai dengan jenis darah tertentu sahaja. 

Berkesankah? Teori yang agak popular untuk mengurangkan berat badan ini terdapat pertikaian daripada pakar pemakanan. Justeru, tidak melihat kepada jenis darah, apa yang lebih utama adalah mengamalkan pemakanan yang sihat. Ini kerana jika dilihat terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang kepada pengurangan berat badan selain jenis darah iaitu metabolisma, gula dan insulin dalam badan. Contohnya, dua orang yang mempunyai jenis darah yang sama mungkin mempunyai perbezaan dari segi keperluan metabolisme dan karbohidrat. 

Pemakanan sihat tidak semestinya bergantung kepada jenis darah individu. Ia meliputi membuat keputusan yang bijak tentang apa jenis makanan yang harus dimakan dan bagaimana mengamalkan tabiat makan yang 
sihat


 4. Diet seimbang 

Panduan pemilihan diet terbaik? Diet seimbang atau “balanced diet” adalah diet yang disyorkan kepada kita sejak zaman persekolahan lagi. Diet yang membekalkan nutrien mencukupi kepada pengamalnya. Ia mengandungi semua nutrisi yang diperlukan daripada semua kumpulan makanan untuk fungsi sel-sel badan, organ dan tisu. 

Bagaimana pula dengan kalorinya? Diet ini juga dikenali sebagai piramid diet dimana karbohidrat:protein:lemak nisbah kalorinya sebanyak 55-30-15. Kunci utama keayaan diet seimbang ini ialah pengamalnya merancang keperluan kalorinya seharian dan dapat membezakan saiz hidangan yang diperlukan secara sederhana.

Berkesankah? Memakan diet yang seimbang boleh meringankan masalah kesihatan termasuk masalah jantung, artritis, tekanan darah tinggi dan kolesterol. Badan yang seimbang dari segi mental dan fizikal boleh mengakibatkan kecergasan dan kekuatan yang lebih, membolehkan anda menjalani kehidupan yang lebih panjang dan sihat. Orang yang lebih aktif dan bertenaga juga dapat menangani lebih baik stress, trauma, kebimbangan dan lan-lain 

…tapi hati-hati! Walaupun anda makan diet yang seimbang, pastikan anda kenalpasti keperluan kalori seharian anda. Kalau tidak, diet seimbang pun boleh menggemukkan…

5. No rice diet 

Diet ini adalah popular dilakukan oleh ramai orang di Malaysia yang menghentikan pengambilan nasi dalam pengambilan pemakanan seharian. Jika pengamalnya berjaya mengurangkan berat, ia adalah kerana telah melakukan kalori defisit dan bukan kerana menghentikan pengambilan nasi semata-mata. Sila rujuk article saya(Kevin Zahri) terdahulu tentang kalori no rice diet dihttp://kevinzahri.com/blog/health-fitness/weight-loss-the-no-rice-diet/


Nasi tidak bersalah tetapi saiz hidangan nasi yang diambil menjadi faktor utama dalam pengawalan kalori seseorang. Menghentikan sesuatu nutrisi dalam pemakanan kita bukanlah sesuatu yang bijak dan tidak berkesan untuk jangka masa yang lama kerana nasi adalah makanan ruji orang asia. 

Jadi diet mana yang terbaik? Bagi saya(Kevin Zahri), tiada masalah untuk mencuba mana-mana diet. Yang penting: faham asas-asas nutrisi mana-mana diet dan sesuaikan untuk kehidupan anda yang unik. Tapi ingat, tiada diet yang boleh membangkang fakta berikut: Naik-turun berat badan ditentukan oleh kadar pengambilan kalori berbanding keluar. Kalau pengambilan berlebihan, maka naik-lah berat badan. Jadilah pengguna dan pengamal diet pemakanan yang bijaksana.


Sumber :Kevin Zahri

Wednesday, November 27, 2013

Senaman Untuk Kecilkan Punggung



Ini senaman ringkas dan tak sepenat dan selelah senaman tabata. Senang sahaja, anda cuma perlu lihat dan lakukan sebagaimana yang ditunjukkan dalam youtube di bawah


Tuesday, November 26, 2013

APABILA JIN JADI PEROGOL


Sebagai umat islam, kita wajib percaya kewujudan Jin. Itu benar sebab ia telah dinyatakan di dalam kitab suci Al-Quran dan Hadis. Tapi,perihal Jin sebagaimana yang berlegar dalam sistem kepercayaan masyarakat termasuklah dalam kalangan orang-orang Melayu, masih banyak yang perlu dipertikaikan. Prof. Dr Zakaria Stapa dan Dr Amran Kasimin pernah menyentuh isu ini sedikit masa dahulu. 

Jin pantang melihat wanita seksi dan Isteri dihamilkan oleh Jin. Sebenarnya saya tidaklah membantah atau menolak secara total dakwaan tersebut, dan saya juga tidak menerima atau mempercayai dakwaan tersebut secara mutlak. 

Benarkah jin berminat dengan gadis seksi? Tapi hairan juga kenapa artis-aris barat yang seksi seperti Jennifer Lopez(JLo),Angelina Jolie,Selena Gomez dan Lady Gaga ataupun bintang Bollywood seperti Priyanka Chopra dan Bipasha Basu tak pula diminati oleh Jin. 

Jujur! Tak pernah saya dengar mereka ini dirogol atau dicabul oleh Jin. Sedangkan mereka ini teramat seksi dan tersangat menghairahkan.Atau mungkin para Jin hanya berminat dengan gadis-gadis Melayu sebab terpengaruh dengan lagu “ Siapa bilang gadis Melayu tak menawan..”(lagu Gadis Melayu- Othman Hamzah). Atau mungkin juga mereka pernah dirogol oleh Jin, tetapi tidak hamilkan zuriat Jin kerana Jin-jn di sana selalau memakai kondom setiap kali merogol. 

Mungkin ada yang mendakwa,Jin tidak akan menganggu orang-orang bukan islam. Ini hujah yang dangkal sebab dalam sistem kepercayaan masyarakat bukan islam terdapat juga kepercayaan terhadap Jin. Sebab itulah dalam filem-filem Barat, Korea dan Hindi,tema jin dan hantu seringkali diutarakan. Begitu juga dengan histeria yang seringkali juga merasuk orang-orang bukan islam. 

Telah menjadi satu fenomena di Malaysia hari ini, apa sahaja yang berlaku akan dikaitkan dengan Jin. Saya pernah terbaca dakwaan kononnya penyakit-penyakit berbahaya seperti darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan kencing manis disebabkan oleh jin. Ada juga yang mendakwa kegagalannya dalam peperiksaan juga berpunca dari gangguan jin. Malah, minggu lepas, negara dikecohkan dengan berita kehilangan budak lelaki di Villa Nabila. Kecoh kerana kehilangan dan dikecohkan lagi dengan dakwaan penglibatan jin. Akhirnya semuanya terbongkar dan terungkai, bukan jin yang salah tapi budak lelaki itu yang nakal.

Amat merisaukan andainya sedikit masa lagi apa sahaja masalah akan dikaitkan dengan jin. Kejatuhan nilai ringgit, kemerosotan ekonomi,kekalahan dalam pilihnaraya dan apa sahaja akan dikaitkan dengan jin. 

JIN OH JIN

Ingin saya tegaskan, saya bukannya tidak mempercayai kewujudan jin, tapi perihal Jin sebagaimana yang yang berdarah daging dalam sistem kepercayaan masyarakat termasuklah dalam kalangan orang-orang Melayu, masih banyak yang perlu dipertikaikan. Benar ia perlu dipertikaikan untuk memurnikan sistem kepercayaan orang-orang Melayu.

Monday, November 25, 2013

PERJALANAN HIDUP DAN BIODATA MOKHTAR DAHARI.



Allahyarham Datuk Muhammad Mokhtar Dahari! Namanya masih segar dan bugar dalam sejarah bola sepak tanahair. Tentu sahaja, kehebatan lagenda bola sepak yang terkenal dengan gelaran Supermokh itu tidak pernah terhakis dan terkikis dari ingatan para pencinta bola sepak negara.

Walaupun telah lebih 20 tahun beliau meninggal dunia, namun aksi-aksinya di padang pasti kekal terpahat sepanjang zaman. Apa tidaknya, sejarah kegemilangan bola sepak negara yang dicipta oleh beliau dan rakan-rakan seperjuangan merupakan detik-detik yang paling indah dalam bola sepak negara.

Bayangkan,sepanjang mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, Mokhtar Dahari telah mencipta 125 jaringan. Beliau telah mewakili Negara sebanyak 167 kali. Manakala jumlah jaringan gol olehnya dalam Piala Malaysia ialah sebanyak 177 jaringan. Rekod ini merupakan pencapaian terbaik pemain negara dan sehingga ke hari ini tiada lagi pemain yang dapat menyaingi rekodnya ini.

 MEWAKILI SELANGOR.

Mokhtar Dahari merupakan pemain yang amat setia dengan Selangor. Malah,isterinya pernah mendedahkan percubaan pasukan lain yang ingin mendapatkan khidmat beliau, namun Allahyarham tetap kekal bersama Selangor. 

Saya hidup dan mati untuk Selangor.” Kata-kata itu sudah cukup untuk membuktikan kesetiannya kepada pasukan Selangor. 

Mokhtar Dahari mula mewakili pasukan Selangor pada tahun 1971, ketika menentang Sarawak di Kuching dalam pertandingan Piala Burnley(sekarang Piala Razak), namun tidak bermain dalam perlawanan tersebut. Sebaliknya, perlawanan pertama beliau adalah ketika menentang Kedah dan kepercayaan ini dibalas Mokhtar dengan menjaringkan gol pertamanya. 

Pada Febuari 1972, buat pertama kalinya Mokhtar Dahari beraksi untuk kesebelasan utama pasukan bola sepak Selangor, iaitu ketika perlawanan persahabatan menentang kelab Hitachi dari Jepun. 

Pada April 1972, buat pertama kalinya juga Mokhtar bermain dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak. Namanya terukir gah apabila menjaringkan gol pada minit ke-29, hasil umpanan Rahim Abdullah. Keputusan penuh,Selangor membuahkan hasil buat Mokhtar dan Selangor apabila mengungguli Piala Malaysia dengan kemenangan 3-0. 

Sepanjang bersama Selangor, Mokhtar berjaya membantu pasukan tersebut menjulang Piala Malaysia sebanyak 10 kali. Malah pada usia 33 tahun,beliau berjaya muncul sebagai penjaring terbanyak dengan menyumbangkan 12 gol. Selain itu, beliau juga pernah mengetuai Pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai lagenda bola sepak dunia, Diego Maradona. 

MEWAKILI MALAYSIA. 

Sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak, Allahyarham telah mewakili Negara sebanyak 167 kali di peringkat antarabangsa. Tidak sekadar itu sahaja, malah Mokhtar telah berjaya meletakkan negara di kedudukan tertinggi pentas bola sepak Asia dan seterusnya membuka mata kuasa bola sepak dunia.

Mokhtar Dahari yang menyarung jersi no 10 ini sememangnya digeruni oleh pemain bola sepak rantau Asia setiap kali bertanding di dalam dan luar negara. Malah ketika berusia 23 tahun, sekitar tahun 1976, Mokhtar diiktiraf oleh Majalah World Star Soccer sebagai penyerang tebaik Asia. Dan, pada tahun yang sama juga beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976. 

Beliau mula menyarung jersi wakili negara sebanyak saan sejak 1972 dalam Piala Jakartaraya(Piala Kemerdekaan Jakarta). Nama beliau menjadi masyhur setelah menjaringkan dua gol ketika menewaskan gergasi kelab Inggeris, Arsenal dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 1975 di Stadium Merdeka. Keadaan menjadi semakin hangat apabila keesokan harinya tersebar khabar angin yang mengatakan Mokhtar telah bersetuju untuk menerima tawaran daripada pasukan Arsenal untuk bermain dengan mereka.

Pada tahun 1978, dalam satu perlawanan persahabatan menentang Skuad Englad B yang dibimbing oleh Bobby Robson, Mokhtar telah menyelamatkan maruah negara dengan menjaringkan gol penyamaan,1-1. Ketika menentang Kuwait dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka, beliau telah menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1. 

Pada tahun 1974, Mokhtar telah mencipta rekod peribadinya sebagai penjaring gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa ketika menentang Filipina di Sukan Asia di Tehran,Iran. 

Tahun 1985 merupakan tahun terakhir Mokhtar mewakili Negara. Perlawanan terakhir beliau ialah ketika menentang Korea Selatan pada Pra-kelayakan Piala Dunia di Seoul. Dalam perlawanan ini Malaysia tewas 0-2 dan Mokhtar mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa. 

Sepanjang mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, Mokhtar Dahari telah mencipta 125 jaringan. Beliau telah mewakili Negara sebanyak 167 kali. Manakala jumlah jaringan gol olehnya dalam Piala Malaysia ialah sebanyak 177 jaringan. Rekod ini merupakan pencapaian terbaik pemain negara dan sehingga ke hari ini tiada lagi pemain yang dapat menyaingi rekodnya ini. 

Setelah sekian lama menabur jasa dan mengharumkan nama negara dalam arena bola sepak, detik-detik derita akhirnya singgah dalam hidup Mokhtar Dahari. Beliau diserang oleh penyakit ganjil yang menyebabkan beliau tak bermaya dan hilang tenaga. Lebih 60 orang doktor dan pakar perubatan tradisional telah menawarkan diri untuk merawatnya, termasuklah Prof. John Walton dari Hospital Universiti Redcliff Oxford pada tahun 1989. Beliau kemduainnya disahkan menghidap penyakit Mascular Dystrophy dan berlepas ke London untuk rawatan lanjut, namun pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan dan akhirnya belaiu terpaksa berkerusi roda. 

Tokoh yang cemeralng, gemilang dan terbilang dalam arena bola sepak negara ini akhirnyamenghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 8.25 pagi, 11 julai 1991 di Pusat Perubatan Subang . 

Berikut adalah biodata ringkas Allahyarham Mokhtar Dahari sebagaimana yang dipaparkan di dalam Pancawarna Mingguan Malaysia, Ahad,03.11.2013.M/S: 2-3. 

BIODATA  ALLAHYARHAM MOKHTAR DAHARI.


  • Tarikh Lahir: 13 November 1953 
  • Tarikh Meninggal : 11 Julai 1991. 
  • Tempat Lahir : Setapak Kuala Lumpur. 
  • Bapa : Dahari Abeng
  • Ibu : Maimon Sadikin 
  • Pendidikan Awal : Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Sekolah Victoria Institution(1966-1970). 
  • Pernah bekerja sebagai kerani PKNS Isteri : Tengku Zarina Tengku Ibrahim 
  • Anak : 3 orang anak,iaitu Muhammad Redza, Nur Azera dan Nur Arina. 
  • Kariernya sebagai pemain bola sepak bermula pada tahun 1970 selepas dipilih mewakili Selangor untuk ke pertandingan bola sepak bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia(MSSM). Turut bermain bersama ialah Santokh Singh dan Redzuan Abdullah. 
  • Mula Mewakili Pasukan Selangor pada tahun 1971 untuk Piala Burnley. 
  • Beliau juga pernah mewakili beberapa kelab bola sepak seperti Kelab Sultan Sultan Sulaiman,Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS),Talasco dan Kwong Yik Bank(sekarang Bank RHB) 


Rujukan: Mingguan Malaysia, Ahad,03.11.2013.M/S: 2-3.

Monday, November 18, 2013

PUNCA-PUNCA MUFLIS DI MALAYSIA.

Mengikut Jabatan Insolvensi Malaysia(Mdl), sebagaimana dilaporkan di dalam akhbar Kosmo bertarikh 1 November 2013, seramai 60 orang diisytiharkan muflis setiap hari di Malaysia dan golongan berumur 33 hingga 44 tahun mencatatkan angka tertimggi, iaitu sebanyak 34.31 peratus.

Mengikut Jabatan Insolvensi Malaysia(Mdl), terdapat beberapa faktor yang menyebabkan rakyat Malaysia muflis, iaitu: 

LIMA SEBAB UTAMA RAKYAT MALAYSIA MENJADI MUFLIS. 
  1. Sewa beli kenderaan seramai 30,451 orang (26.41%)  
  2. Pinjaman Perumahan seramai 20,529 orang (17.6%) 
  3. Pinjaman peribadi seramai 18,053 orang (15.50%) 
  4. Pinjaman perniagaan seramai 14,431 orang (12.39%) 
  5. Hutang Kad kredit seramai 4,875 orang (4.18%) 

BILANGAN MUFLIS MENGIKUT KAUM. 
  1. Melayu seramai 52,535 orang (45.10%)  
  2. Cina seramai 38,407 orang (32.97%)  
  3. India seramai 14,710 orang (12.63%)  
  4. Lain-lain seramai 10,836 orng (9.30%) 
Saya yakin ramai yang terkejut apabila bayaran pnjaman kenderaan menjadi punca utama kes muflis di Malaysia. 

Saya pernah terbaca kisah CEO dan Pengasas Model Pelabur Hartanah Strategik, Ahyat Ishak yang disiarkan di dalam ahkbar Berita Harian, bertarikh 19 Oktober 2013. Katanya ketika memberikan ceramah di Singapura, orang Singapura tergelak kerana tidak percaya factor utama yang menyebabkan rakyat Malaysia muflis ialah kerana pinjaman kenderaan. Kata mereka, harga kereta di Malaysia masih lagi murah dan tidak patut sampai muflis.

Itu kisah menerusi pembacaan, dan sejujurnya saya seringkali juga berhadapan dengan golongan sebegini, termasuklah dalam kalangan rakan-rakan saya sendiri, iaitu menjadikan kereta sebagai lambang kehebatan dan tidak lagi sekadar keperluan. 

Dari segi keperluan, fungsi kereta ialah untuk membolehkan seseorang tiba ke destinasi dengan selamat, termasuklah perlindungan dari hujan dan panas serta memberikan keselesaan berbanding bermotorsikal atau menggunakan kenderaan awam. 

Tapi kerana bermotifkan kehebatan, kereta dijadikan lambang kemewahan. Pemiliknya dipandang hebat dan bergaya serta gah di jalan raya, walaupun sebahagian besar pendapatan bulanannya menghala ke arah kereta tersebut. 

Formula orang-orang tua amat releven dalam isu ini. Formula yang sentiasa releven untuk dahulu, kini dan selamanya. Formula yang berbunyi ukurlah baju di badan sendiri. Ukurlah ketebalan dompet dan jumlah wang dalam akaun bank. Ukurlah gaji bulanan dan perbelanjaan yang perlu dilunaskan.

Thursday, November 14, 2013

MASJID UBUDIAH KUALA KANGSAR.



Masjid Ubudiah terletak di Bukit Chandan,Kuala Kangsar,Perak. Ia merupakan antara masjid tercantik di Malaysia dan senibinanya amat mengkagumkan. Ia antara mercu tanda Kuala Kangsar, bandar diraja Perak.



Sepanjang lima tahun enam bulan mendiami bumi Perak atau lebih tepat lagi di Chemor, saya seringkali ke Kuala Kangsar dan setiap kali ke Kuala Kangsar saya akan meluangkan masa untuk ke Masjid Ubudiah, baik untuk bersolat mahupun sekadar untuk merakam gambar buat kenang-kenangan.Sebahagian daripada gambar-gambar itu, saya kongsikan di sini.

Walaubagaimanapun untuk info dalam entry ini, saya cuba paparkan maklumat yang saya kutip menerusi pembacaan.Sebahagian besarnya dari buku berjudul Kenali Negeri Kita, Perak Darul Ridzuan(maaf saya terlupa penulis dan penerbitannya) dan sedikit info buku berjudul Travelog Seychelles, Syurga yang Hilang bagi Sultan Abdullah dan Tengku Ngah Ibrahim, oleh Talib Samad. 

 

Keindahan seni bina masjid ini dapat dilihat pada kubah emas dan menara masjid ini. Ia telah dirasmikan oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917. Masjid ini dikatakan telah dibina sejak zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah 1 lagi, iaitu pada tahun 1910. Namun, pembinaannya tertangguh apabila dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris Shah dan Raja Chulan bergaduh dan menyebabkan semua jubin marmaryang diimport dari Itali itu pecah.




Berhampiran Masjid Ubudiah terdapat pula makam diraja Perak. Di sinilah jualah bersemadinya jasad Sultan Abddulah yang pernah dibuang negeri ke Pulau Seychelles pada tahun 1877. Bersebelahan pusaranya pula ialah pusara Laksamana Wan Muhammad Amin(bapa mentua Ngah Ibrahim) yang turut dibuang negeri ke Pulau Seychelles. Sebelum itu, jenazah Laksamana Wan Muhammad Amin dikebumikan di Tanah Perkuburan Chua Chu Kang, Singapura pada tahun 1908 dan ia dipindahkan ke perkuburan diraja Perak pada 9 September 2006
Abaikan amoi tu, tapi fokuskan kepada Masjid Ubudiah
Perkuburan diraja Perak
 

Tajuk Lain Yang Berkaitan:

Wednesday, November 13, 2013

Tujuh Keajaiban Dunia



Monumen-monumen yang kebanyakkannya berusia ratusan, malah terdapat juga yang mencecah ribuan tahun dan ia juga menjadi bukti peradaban manusia zaman silam. Musim berubah dan tahun bersilih ganti, namun monumen- monumen ini masih kekal bertahan hingga ke hari ini. Dan, ia masih mengasak benak para pengkaji dan berkekalan sebagai sebuah misteri.

Tujuh Keajaiban Dunia merupakan tujuh daripada 92 monumen atau binaan yang dihasilkan oleh manusia zaman silam. Ia amat berharga dan perlu dikekalkan serta dijaga. Tujuh Keajaiban D unia ini sebenarnya diputuskan secara undian dan penilaian panel pengkaji yang menilai kestimewaan tapak bersejarah tersebut. 

Berdasarkan rekod, terdapat empat kategori tujuh keajaiban dunia, iaitu tujuh keajaiban dunia( ),tujuh keajaiban alam, tujuh keajaiban bandar dan tujuh keajaiban dunia moden. 

TUJUH KEAJAIBAN DUNIA.

1:TEMBOK BESAR CHINA(Great Wall) 

Ia merupakan monumen terbesar yang dibina oleh manusia dan ia boleh dilihat dengan jelas dari angkasa. Tembok Besar China dikatakan dibina sekitar tahun 220 hingga 206 Sebelum Masihi oleh Maharaja China pertama Qin Shi Huang bagi menghalang pencerobohan puak Monggol. 

2:MACHU PICCHU

Machu Picchu terletak di Peru dan dibina dalam hutan Amazon pada abad ke-15 oleh Maharaja Inca Pachacutec di atas dataran Gunung Andes. Kota ini dipercayai ditinggalkan oleh puak Inca setelah tewas kepada tentera Sepanyol,selain akibat serangan virus. Menariknya kota ini hilang selama tiga abad sebelum ditemui oleh penjelajah Hiram Bingham pada tahun 1911. Selain itu, kota ini terletak pada kedudukan 2,430 meter dari paras laut. 

3: KOTA PETRA 

Kota ini turut dikenali sebagai Rose City berdasarkan warna pada ukiran batu. Dipercayai dibina sekitar 9 hingga 40 tahun Sebelum Masihi oleh Empayar Nabatean. Kota ini dibina dalam batu menerusi teknik tebukan. Ia antara kota paling maju pernah ditemui kerana dilengkapi dengan teknologi pembekalan air yang berserta tangki simpanan. Dalam kota ini juga terdapat ruang teater yang mampu memuatkan hingga 4,000 penonton. 

4: PIRAMID CHICHEN ITZA.

Terletak di Mexico, Kota Piramid ini dipercayai pusat politik dan ekonomi masyarakat Mayan. Dipercayai dibina sekitar 600 hingga 900 tahun Masihi, kota ini antara binaan paling agung masyarakat Mayan yang meliputi Piramid Kukulkan, Kuil Chac Mool,dewan dikenali The Halls Of Thousand Pillars dan ruang menempatkan penjenayah. Kota ini diiktiraf sebagai bukti berperingkat Tamadun Mayan yang dipercayai didami sehingga 1200 Masihi namun ditinggalkan tanpa sebarang jawapan. 

5: ROMAN COLOSSEUM 

Terletak di Itali dan ia merupakan Ampiteater terbesar di dunia. Ia dibina oleh Empayar Rom sekitar 70 Masihi ketika pemerintahan Maharaja Vespasian dan siap ketika pemerintahan Titus pada tahun 80 Masihi. Ia mampu memuatkan antara 50,000 hingga 80,000 penontondan menjadi lokasi pertarungan berdarah epik lagenda ‘gladiator’ Rom seperti pertarungan sesame manusia,haiwan dan kawasan hukuman. 

6: TAJ MAHAL. 

Terletak di Agra India, ia dibina oleh Maharaja Mongol, Shah Jahan sebagai bukti cinta terhadap isterinya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia. Istana ini merupakan contoh terbaik seni binaan Muslim di India yang menggabungkan seni bina Parsi dan India. Ia dibina sekitar tahun 1632 dan siap pada tahun 1653 dengan menggunakan ribuan buruh dan arkitek. 

Ia merupakan binaan paling rumit pada waktu itu dan dipercayai semua yang terbabit dalam pembinaan istana ini dibunuh setelah ia disiapkan. Namun dakwaan ini tidak disertakan dengan bukti yang kukuh dan faktanya boleh dipertikaikan. Lebih lanjut tentang perkara ini, langsung sahaja ke-->SINI 

6: CHRIST REDEEMER 

Monumen Jesus yang dibina di atas puncak Gunung Corcovado di Rio de Janeiro pada tahun 1931. Monumen ini memiliki ketinggian 30 meter dan merupakan antara patung paling besar dibina oleh manusia. 

Sumber: Metro Ahad, 10 November 2013, m/s: 32-33(dengan sedikit ubahsuai)

Tajuk Lain Yang Berkaitan:  

Tuesday, November 12, 2013

NUTP MENGGESA KPM MEMANSUHKAN PBS.


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia(KPPK) atau NUTP menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) yang didapati amat membebankan 400 ribu orang guru di negara ini. 

PBS mula diperkenalkan pada tahun 2011 untuk sekolah rendah dan 2012 untuk sekolah menengah. 

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, guru yang selama ini dibebani oleh tugasan yang banyak, kini terpaksa berdepan dengan PBS, sekali gus mejadikan bebanan golongan itu terus meningkat. Beliau menyifatkan PBS sebagai sebuah ‘kereta baharu’ yang kelihatan cantik namun pemandunya tidak boleh menggerakkan kenderaan itu kerana ketiadaan tayar. 

Sumber: Sinar Harian,10 November 2013, m/s: 13.

P/S : Guru yang paling terbeban dengan PBS ialah guru-guru yang tinggal di kawasan pedalaman dan kampung serta pinggir Bandar yang tidak mempunyai perkhidmatan internet atau capaian internet yang terlalu lemah. Inilah masalah yang paling ketara memandangkan server PBS terlalu lemah. Jika guru-guru yang tinggal di kawasan bandar mungkin mereka boleh mengemas kini markah pelajar pada pukul 3 atau 4 pagi di rumah masing-masing, tapi bagi guru-guru tidak mempunyai kemudahan internet mereka terpaksa ‘melepak’ di kedai mamak dari pukul 12 tengah malam sampai pukul 6 pagi untuk mengemaskini markah pelajar dalam sistem pbs.

Thursday, November 7, 2013

RASUAH SEKS TAKTIK TERBARU MEMBERI SUAPAN.


Mungkin ada yang beranggapan rasuah hanya melibatkan pemberian wang dan hadiah semata-mata. Kini penjenayah semakin bijak, dan mereka menjadikan habuan seks dan pembiayaan pelancongan sebagai rasuah bentuk baru. 

Jika dahulu, penerima rasuah seringkali kantoi apabila menggunakan wang habuan untuk membeli aset hartanah seperti rumah dan tanah, juga memiliki beberapa kenderaan mewah. Mereka disyaki lantas disiasat kerana memiliki harta dan kekayaan yang tidak munasabah, iaitu kekayaan yang jauh mengatasi jumlah pendapatan atau gaji. 

Tapi, rasuah dalam bentuk seks amat sukar untuk dikesan. Rasuah seks dan pembiayaan pelancongan biasanya ‘dihadiahkan’ secara serentak. Bayangkanlah, siapalah yang akan menganggu segala aksi maksiat yang dilakukan dihotel terkemuka di luar negara. Negara yang dipilih tentu sekali bukan Arab Saudi dan negara-negara umat islam, malah tentu sahaja negara-negara yang tidak ambil peduli tentang maksiat dan persundalan.

Pak Guard Azman( yang pernah dimaki oleh isteri Mat Yo) jadi pelakon


PENGAWAL keselamatan, Azman Md Nayan sekali lagi menjadi bualan ramai di alam maya apabila fotonya bersama aktres jelita, Izara Aishah dan pelakon meningkat naik, Dazrin Kamarudin di kawasan parkir di sebuah lapangan terbang tersebar luas. Difahamkan, mereka sedang menjalani penggambaran untuk drama TV9, Cinta Pandang Ke-2 arahan pengarah berbakat besar M Nazir Juhan atau Jet Lee. 

Penampilan pengawal keselamatan itu yang sebelum ini terlibat kontroversi kerana insiden maki hamun oleh isteri kepada pemain bola sepak terkenal negara ternyata mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai. Selain ada yang memuji, ada juga menyifatkan bahawa produksi drama tersebut sengaja mencari publisiti di atas kontroversi yang melanda pengawal keselamatan itu. 

Bagaimanapun, pengarah drama berkenaan, Jet Lee memberitahu, penglibatan Azman dalam drama arahannya itu hanya satu kebetulan. "Ketika itu, kami sedang buat penggambaran di kawasan parkir, sebuah lapangan terbang. "Oleh kerana melibatkan tempat parkir, kami memerlukan seseorang yang beruniform, jadi pengurus produksi panggil Azman untuk menjadi pelakon tambahan sebagai pengawal keselamatan yang juga memang tugasnya. "Kebetulan pula, waktu itu dia sedang berehat makan tengah hari," katanya pada Zass.

Mengulas mengenai babak berkenaan yang dikatakan sama seperti pernah dialami oleh pengawal keselamatan itu, kata Jet Lee, dia tidak berniat untuk menyindir apatah lagi menyinggung perasaan orang lain dengan watak yang diberikan kepada Azman itu. "Dia bawa watak sebenar, jadi saya hanya suruh dia berkelakuan seperti dia sedang bekerja. "Jadi, sebagai seorang pengawal keselamatan di kawasan parkir dia berhak untuk menegur apa yang betul atau tidak," katanya sambil memberitahu babak lakonan Azman hanya mengambil masa selama dua minit. Drama adaptasi novel Karangkraf Bercerita lebih lanjut mengenai drama rantaian terbarunya, Cinta Pandang Ke-2, Jet Lee berkata ia adalah drama adaptasi novel berjudul sama karya Laila Kamilia yang diterbitkan oleh Kumpulan Media Karangkraf.

Drama 13 episod ini diterbitkan oleh ZK Creative Production Sdn. Bhd dan akan ditayangkan di slot Aurora di TV9 dan bakal menemui penonton Disember nanti. "Selain Izara dan Dazrin, drama bersiri ini turut dibintangi Maria Farida, Ridzuan Hashim, Norman Hakim, Erynne Erynna, Along Eyzendy, Amira Rosli, Abby Nour dan ramai lagi," katanya. Ketika ditanya mengenai cabarannya, Jet Lee menjelaskan dugaan utamanya adalah faktor cuaca yang kini tidak menentu menyebabkan terdapat sedikit gangguan perubahan jadual. 

Drama bersiri Cinta Pandang Ke-2 berkisar mengenai seorang rakan lama Zairul lakonan Dazrin dan Ainnur Azleen (Izara) yang tidak pernah sebulu walaupun mereka berdua sekelas. Tindakan Zairul yang sering menyakitkan hati Ainnur menyebabkan wanita itu berasa hati lalu bertukar sekolah. Mereka terpisah bertahun lamanya sehingga dipertemukan semula di tempat kerja sehingga membuatkan Zairul jatuh cinta dengannya.

Wednesday, November 6, 2013

SELUAR DALAM KHAS UNTUK MENGHILANGKAN BAU KENTUT




Seluar dalam ini mampu menyerap bau apabila pemakainya berkentut. Ini kerana fabriknya diperbuat daripada bahan yang mempunyai porositi(liang)yang dikenali sebagai zorflex. 

Zorflex adalah sejenis material nipis karbon fleksibel. Bahan zorflex inilah yang menyerap bau dan meneutralkan bau busuk daripada kentut sehingga 200 kali ganda. Seluar dalam hebat ini akan dijual pada harga $40 untuk seluar dalam lelaki, manakala seluar dalam wanita pula dengan harga $30 

Walaubagaimanapun, seluar dalam ini hanya mampu meneutralkan bau kentut tetapi tidak untuk bunyi kentut. 

Sumber: Mingguan Malaysia, 3.11.2013, M/S: 19.

Info Tambahan

Tuhan tidak menjadikan sesuatu secara sia-sia, pasti ada hikmah tersirat begitu jugalah dengan kentut. Ketika berkunjung ke Medan, Indonesia sekitar tahun 2010, saya terbaca sebuah buku tentang kentut. Buku tersebut padat dan sarat dengan fakta-fakta ilmiah. Rasa rugi pula kerana tidak membelinya.

Monday, November 4, 2013

KHASIAT BUAH KIWI



Buah kiwi selalunya dikaitkan dengan New Zealand. Walaupun New Zealand merupakan pengeluar dan pengeksport kiwi utama dunia(sila betulkan jika fakta ini salah), namun buah kiwi bukanlah berasal dari negara tersebut, tetapi ia berasal dari China. Kini buah kiwi merupakan antara buah-buahan yang digemari di serata dunia. Rasanya yang enak dan khasiatnya yang tinggi menyebabkan ia semakin digemari. 

Kajian dari Universiti Rutgers , Amerika Syarikat menunjukkan buah kiwi memiliki kandungan nutrien paling padat berbanding 27 buah-buahan kegemaran ramai yang lain.

Malah, kajian oleh American Heart Association mendapati, pengambilan tiga biji buah kiwi setiap hari mampu mencegah daripada terkena serangan jantung. Ia juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi atau hipertensi .

Buah kiwi sebenarnya amat kaya dengan vitamin c ,malah tiga kali ganda berbanding dengan kandungan vitamin c dalam buah oren.

Buah kiwi juga membantu mengelakkan sembelit. Ini memandangkan ia mengandungi dua gram serat larut yang berperanan melancarkan pergerakan usus. Serat larut juga membantu dalam penyerapan air dan menyebabkan pembuangan najis menjadi lebih lancar. Selain itu, serat larut yang didapati dalam buah kiwi juga turut membantu mengawal kandungan gula, mengurangkan kolestrol dan menyihatkan usus gastrousus. 

Buah kiwi juga kaya dengan enzim semulajadi yang membantu proses penghadaman protein makanan daging, tenusu dan kekacang. Ia juga dikatakan mampu mengurangkan masalah kembung perut . 

Jom! marilah kita menjadi pengemar buah kiwi. 

Sumber: 
  • Harian Metro Ahad.
  • Majalah Mingguan Wanita, Januari 2013. 

Saturday, November 2, 2013

TAKWIM PERSEKOLAHAN UNTUK SESI 2014



Sesi persekolahan untuk tahun 2013 bakal melabuhkan tirainya. Sekolah mula bercuti(Cuti Akhir Tahun) sedikit masa lagi. pada 15.11.2013 bagi sekolah-sekolah dalam kumpulan A (Kelantan, Terengganu dan Kedah) dan pada 16.11.2013 untuk KUMPULAN B (Perlis,Pulau Pinang,Perak,Selangor,W.Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka,Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak 



Memandangkan sesi persekolahan untuk sesi 2014 akan bermula sebaik sahaja berakhirnya cuti akhir tahun 2013, jadi semua pihak terutamanya para guru dan ibu-bapa perlulah mengetahui takwim atau kalendar persekolahan untuk tahun hadapan, atau sesi 2014. 

Takwim Persekolahan ini amat penting. Kepada guru ia amat diperlukan untuk merancang Pembelajaran dan Pengajaran(PdP), sekali gus dapat menghabiskan sukatan pelajaran dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan. Kepada ibu-bapa pula takwim ini amat penting untuk merancang sebarang aktiviti seperti percutian keluarga agar tidak menganggu gugat sesi PdP sekali gus tidak menjejaskan pembelajaran anak-anak.