Thursday, December 25, 2014

PELABURAN EMAS: FAKTA DAN AUTA.


Semakin ramai yang celik emas, sebab itulah logam berharga itu tidak lagi sekadar barangan kemas/perhiasan. Malah, ramai yang mula berminat untuk menjadikan emas sebagai simpanan dan pelaburan. Terdapat beberapa sebab mengapa simpanan dan pelaburan emas semakin diminati, antaranya ialah kerana kejatuhan nilai wang dan kestabilan harga emas. 

Pelaburan emas, fakta dan auta. 

Fakta yang saya maksudkan merujuk kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pelaburan emas itu berdaftar dan menjalankan pelaburan yang diiktiraf oleh Kerajaan, serta sah di sisi undang-undang . Auta yang saya maksudkan pula adalah sebaliknya, malah penuh dengan penipuan. 

Kini penganjur/penipu memanfaatkan laman sosial semaksimum mungkin untuk memperdaya mangsa. Keuntungan dan pulangan yang berlipat kali ganda yang dijanjikan kerap kali ‘membutakan’ mata, hati dan kewarasan seseorang hingga mereka akhirnya terjebak dalam lembah kerugian. Disebabkan ramai yang melabur tanpa ilmu, akibatnya mereka menjadi mangsa penipuan penganjur pelaburan tersebut. 



Jadi sebelum melibatkan diri dalam pelaburan emas seseorang itu perlulah benar-benar celik ilmu emas. Untuk celik ilmu emas, perlulah membaca buku-buku tentang ilmu emas dan hadir ke mana-mana seminar tentang emas untuk belajar terus daripada yang pakar. 

Dalam sinar harian bertarikh 22 Disember 2014, ada dipaparkan kisah tujuh individu yang ditipu oleh penganjur pelaburan emas. Mereka kerugian wang dalam jumlah yang agak besar. Mereka mula terpikat dan tertarik untuk membuat pelaburan emas setelah dijanjikan dengan janji-janji berupa pulangan yang hebat di facebook. Sebenarnya masih ramai lagi yang menjadi mangsa pelaburan sebegitu. 

Oleh itu,jadikan ia sebagai iktibar dan tauladan, agar kita lebih hati-hati dan berwaspada sebelum melibatkan diri dalam pelaburan emas. Melaburlah dengan ilmu dan melaburlah di syarikat-syarikat yang sah dan diiktiraf oleh kerajaan.

 Luaskan persahabatan, jom like page saya --> Bicara Tanpa Sempadan

Sunday, December 14, 2014

LIMA NEGARA PALING KAYA DI DUNIA.



Setelah mengenali negara-negara paling besar, negara-negara paling kecil dan negara paling ramai ramai umat islam, kini eloklah kita kenali pula negara paling kaya di dunia. 

Ia diukur berdasarkan pendapatan per kapita rakyta negara tersebut. 

5 buah negara paling kaya di dunia ialah. 
  1. Qatar  
  2.  Luxembourg  
  3.  Emiriah Arab Bersatu  
  4.  Norway  
  5. Singapura. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan :

Friday, December 12, 2014

Jadual Pembayaran Gaji Kakitangan Awam Tahun 2015.


Kepada para kakitangan awam, di sini saya sertakan jadual pembayaran gaji untuk tahun 2015. Mudah-mudahan gaji kita diberkati dan direhai-Nya.

Diberkati semasa menerima dan diberkati juga semasa membelanjakannya. 

Luaskan persahabatan dan lebarkan persaudaraan. 
Jom ke page saya --> Bicara Tanpa Sempadan

Saturday, December 6, 2014

Rakyat Malaysia jadi hamba telefon pintar.

Inilah realiti yang terpaksa kita akui dan inilah realiti yang perlu kita hadapi. Andainya kita perhati dan teliti, nescaya kita akan akur dengan hakikat ini. Ketagihan terhadap telefon pintar (smartphone) kini menjadi kegilaan ramai rakyat Malaysia, malah Tokoh Wartawan Negara 2011, Datuk A. Kadir Jasin di dalam kosmo bertarikh Disember 2014, menyifatkan sesetengah rakyat Malaysia sebagai hamba kepada smartphone. Sebenarnya tidak hanya Malaysia, malah seantero dunia kini ditakluki oleh smartphone. 

Jurutera Kanan Perisian, Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Muhammad Fizmie Zakaria di dalam akhbar tabloid yang sama, mengatakan sesetengah individu yang ketagihan smartphone akan memperuntukan 14 jam sehari untuk menggunakan gajet tersebut. Kebanyakkan masa tersebut digunakan untuk mengakses aplikasi khususnya laman sosial seperti Facebook dan Whatsapp. 

Smartphone sememangnya mempunyai kebaikan atau manfaat tersendiri. Begitu juga dengan laman sosial seperti facebook dan Whatsapp. Namun, penyalahgunaannya menyebabkan kebaikan atau manfaat itu terhakis. 

Apa tidaknya, smartphone menyebabkan kita hidup dalam dunia kita sendiri dan tidak lagi ambil peduli dengan keadaan sekeliling. 

Sebagai contoh ketika menziarahi saudara-mara ketika hari raya, masing-masing melayan smartphone sambil menjamah hidangan. Sedangkan, waktu tersebut sepatutnya dimanfaatkan untuk mengeratkan ukhwah sesama kita. Bayangkan betapa sedihnya hati seorang nenek atau datuk apabila melihat anak dan cucunya yang hanyut dalam dunia masing-masing. 

Begitu juga ketika berjumpa dan minum-minum dengan rakan-rakan, baik di warung mahupun mana-mana kedai makan. Tiada lagi kemesraan dan pupus sudah amalan bual dan sembang, apa tidaknya sebab masing-masing melayan smatphone.

 Luaskan persahabatan dan lebarkan persaudaraan. 
Jom ke page saya -->Bicara Tanpa Sempadan

Sunday, November 30, 2014

Hukum wanita bersolat dengan memakai Telekung Lycra


Sebelum membicarakan hukum memakai telekung lycra, eloklah kita ketahui hukum memakai telekung. 

Umum mengetahui, telekung amat sinonim dengan wanita-wanita islam di Nusantara. Ia menjadi lumrah dan kebiasaan para muslimah di rantau ini. 

Namun, sebenarnya ia hanyalah budaya tempatan dan telekung bukanlah uniform untuk bersolat. Malah tiada uniform khas untuk bersolat, sebab syarat pakaian yang ingin digunakan untuk bersolat ialah bersih daripada najis dan menutupi aurat. 

Jadi apa sahaja pakaian dan apa sahaja warnanya, baik baju kurung, seluar,jubah atau apa sahaja, yang penting menutup aurat dan bersih daripada najis. Mudah dan senang, itulah ajaran islam. Lebih lanjut, lihat sahaja di --> SINI 

Tudung Lycra dan apakah hukum memakainya ketika bersolat? 

Tudung Lycra adalah tudung yang agak sendat dan melekat pada tubuh, begitulah saya difahamkan. Melalui pembacaan, saya difahamkan, ia akan menyebabkan si pemakainya kelihatan agak seksi. 

Jadi, adakah sah bersolat dengan memakai tudung Lycra.? 

Hukumnya sah solat seseorang wanita yang memakai tudung Lycra. Begitu juga dengan memakai pakaian yang ketat dan sendat, hukumnya adalah sah selagi aurat ditutup.

Mengenai solat, sesuatu pakaian yang tidak menampakkan warna kulit sudah dianggap menutup aurat dan boleh digunakan untuk bersolat. 

Syeikh Daud Fatani( maaf saya lupa nama kitabnya)mensyaratkan seseorang yang tidak mempunyai pakaian agar melumurkan lumpur ke badan untuk menutup warna kulitnya bagi membolehkannya bersolat. 

Hukum wanita memakai pakaian yang sendat dan ketat adalah haram jika dihadapan lelaki yang bukan mahram,namun ia tetap sah untuk bersolat. Walaubagaimanapun, cubalah untuk mengelak daripada memakainya dan tutuplah aurat dengan sempurna (tidak ketat dan tidak nipis) baik semasa bersolat mahupun di luar waktu solat. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan : Hukum Wanita Bersolat Tanpa Memakai Telekung

Monday, November 24, 2014

Gempa Bumi di Malaysia.



Mungkin ramai yang beranggapan Malaysia terselamat dan bebas daripada ancaman gempa bumi. 

Tepat dan benarkah anggapan tersebut ? 

Menurut Pakar Geologis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan sebagaimana dilaporkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 2 November 2014, negara mungkin tidak terlepas daripada ancaman gempa bumi berikutssn kewujudan beberapa sesar aktif di dalam kerak bumi. Kewujudan beberapa sesar aktif di beberapa lokasi di negara ini menunjukkan ada kebarangkalian Malaysia akan mengalami gempa bumi berskala sederhana pada masa hadapan walaupun terketak di luar kawaan Lingkaran Api Pasifik.

Menurutnya lagi, Sabah adalah negeri yang berisiko menerima gempa bumi kerana kewujudan sesar aktif dengan trend Barat Laut-Tenggara mengunjur dari Kundasang-Ranau-Pitas ke LahadDatu- Kunak-Tawau. Walaupun begitu ,Sabah tidak mungkin mengalami gempa bumi besar kerana terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. 

Pakar Geologis itu juga berpendapat, kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan menghampiri Malaysia. Ini kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan 

 Kategori Gempa Bumi( Ukuran Skala Richter)
  •  Lemah : Kurang daripada 5.0 
  •  Sederhana : 5 – 5.9
  •  Kuat : Lebih dari 6.0 

Berikut merupakan kejadian gempa yang bumi yang pernah berlaku di Malaysia. 

1. Lahad Datu, Sabah ( tahun 1976) : 6.2 Skala Ritcher 

Ia merupakan gempa bumi paling kuat yang pernah direkodkan di Malaysia. Dengan  kekuatan 6.2 skala Ritcher, gempa bumi tersebut telah mengakibatkan kerosakan harta benda dan  meretakkan bangunan. 

2. Ranau, Sabah ( tahun 1991) :  5.1 Skala Ritcher 

3.Jerantut, Pahang (27. Mac. 1999) : 3.2 Skala Ritcher

4. Manjung, Perak (29. April. 1999) :  2.8 Skala Ritcher 

5. Ranau, Sabah (1. Febuari 2014) : 4.8 Skala Ritcher 

6. Pulau Banggi, Kudat (29 Oktober 2014) : 4.4 Skala Ritcher 

Sumber : Dipetik dan diubahsuai dari Berita Harian 2 November 2014, m/s :9 

Tajuk lain yang berkaitan: 6 Gempa Bumi Terburuk di Dunia

Wednesday, November 19, 2014

Caj Arak dalam tiket penerbangan, MAS menghina islam.


Pendedahan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi benar-benar menghiris hati umat islam di Malaysia. Pendedahan tersebut tidak hanya mendedahkan betapa MAS tidak mesra syariah, malah ia membongkar kekejaman dan kezaliman syarikat penerbangan tersebut terhadap pengguna islam. 

Pendedahan tersebut mendedahkan bahawasanya setiap tiket yang dibeli oleh penumpang MAS turut merangkumi kos atau bayaran untuk menghidangkan/menyediakan arak di dalam pesawat tersebut. Atau dengan istilah mudahnya, setiap penumpang MAS telah dipaksa membayar harga arak. 

Tindakan ini merupakan satu penghinaan terhadap pengguna/penumpang yang beragama islam, kerana MAS telah memaksa mereka bersubahat dengan indsutri arak. Ini kerana para pengguna/penumpang islam telah mensubsidi arak untuk penumpang lain.

Apakah motif MAS menghidangkan arak di pesawat? 

Jika bermotifkan keuntungan, itu alasan yang amat tolol. Sebab MAS sejak akhir-akhir sentiasa rugi, apatah lagi dengan tragedi MH370 dan MH17. 

Saya tertarik dengan pandangan Pakar Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia(UUM),Prof Datuk Dr AmirHusin Baharuddin sebagaimana yang dilaporkan di dalam Sinar Harian( 19.November. 2014). 

Menurutnya, MAS perlu mengikut jejak langkah Emirates Airlines dan Brunei Airlines yang masih menjadi pilihan penumpang serata dunia, walaupun tidak menghidangkan arak. 

Paling dibimbangi MAS akan terus ‘diajar’ oleh Allah kerana sikap kurang ajarnya itu. Cukuplah dengan tragedi MH370 dan MH17. Jadikanlah kedua-dua tragedi tersebut sebagai iktibar untuk berubah dan seterusnya mesra syariah. 

Sebagai umat islam, kita tidak boleh sama sekali meredhai kemungkaran ini. Kita perlu menentangnya sedaya yang mampu dan sekudrat yang boleh. Langkah terbaik untuk mengajar MAS yang kurang ajar ini ialah dengan memboikot MAS. Jadi jangan guna MAS, seandainya terdapat syarikat penerbangan yang lain.

Sunday, November 16, 2014

TAKWIM PERSEKOLAHAN TAHUN 2015

Takwim persekolahan amat penting bagi membolehkan guru, ibu-bapa dan pelajar membuat perancangan, terutamanya melibatkan urusan cuti, melancong ,kenduri kendara dan lain-lan lagi. 

Takwim persekolahan 2015 di atas adalah untuk negeri Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak , dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Wednesday, November 12, 2014

EMPAT TAPAK WARISAN DUNIA DI MALAYSIA

gambar dari google


Sebut sahaja Tapak Warisan Dunia, pasti ramai yang terbayangkan Angkor Wat, Vatican City, Candi Borobodur dan Tembok Besar China. 

Sebenarnya sebanyak 981 kawasaan yang telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ia membabitkan 759 tapak bagi kebudayaan, 162 tapak bagi kawasan semula jadi dan 29 tapak bagi ciri-ciri yang bercampur. 

Sebagai warga Malaysia, kita sepatutnya berbangga kerana terdapat empat kawasan yang turut disenaraikan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

Empat kawasan tersebut ialah, Tapak Arkeologi Lembah Lenggong Perak,Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak, Taman Kinabalu, Sabah, serta Bandar Bersejarah Melaka dan Georgetown






Tapak Arkeologi Lembah Lenggong, Perak. 

Lenggong terletak 100 kilometer dari utara Ipoh. Bandar ini juga berhampiran dengan Gerik, Empangan Temenggor, Lawin, Kota Tampan dan Banding. 

Tapak arkelogi ini menjadi bukti wujudnya manusia sejak zaman Paleolitik (kira-kira 50 ribu hingga 100 ribu tahun dahulu ). Tapak berkenaan termasuklah Kota Tampan, Bukit Jawa di Kampung Gelok dan Kampung Temelong. 

Penemuan arkeologi yang paling terkenal di Lenggong ialah Perak Man, iaitu rangka manusia yang berusia 11 ribu tahun yang ditemui pada tahun 1990. Turut ditemui ialah peralatan batu berusia 100 ribu tahun. 

Penemuan kapak genggam pada tahun 2009 membuktikan kawasan itu merupakan satu-satunya tapak manusia Paleolitik yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu. 

Di samping itu, terdapat beberapa bukti lain yang turut dijumpai di sekitar Kota Tampan dan Gua Teluk Kelawar seperti tembikar, peralatan gangsa dan sebagainya.




gambar dari google



 Taman Kinabalu, Sabah. 

Ia merupakan kawasan pintu masuk ke Gunung Kinabalu yang berada pada ketinggian 1,585 meter di atas permukaan laut dan titik awal jalur puncak menuju puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter.

Taman ini meliputi kawasan keluasan 745 kilometer persegi membabitkan Gunung Kinabalu , Gunung Tambayukon dan kaki bukit. Ia memiliki sejarah geologi yang menarik dan dipercayai terbentuk sejak satu juta tahun lalu. 


Kepelbagaian bio di taman ini menyebabkan ia diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1964.

Dianggarkan Taman Kinabalu mempunyai antara 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan berbunga, 621 spesies paku-pakis dan lebih 1,000 spesies orkid sekali gus menjadikan ia terkenal dalam kalangan penyelidik dari seluruh dunia. 

Keunikan dan kepelbagaian yang ditawarkan menyebabkan ia turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember tahun 2000.





gambar dari google



Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak. 

Ia terletak di hulu Sungai Tutuh dengan keluasan kira-kira 544 kilometer persegi. Lokasi ini diwartakan sebagai Taman Negara pada 3 Oktober 1974 dan kemudiannya diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada November 2000. 

Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu (2,376 meter), Gunung Api (1,750 meter) dan Gunung Benarat (1,585 meter), Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan. Kawasan hutannya terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna. 

Taman Negara Gunung Mulu mempunyai rangkaian gua terpanjang dengan jarak 300 km. Uniknya ialah, kawasan ini memiliki ruang bawah tanah terbesar di dunia dikenali sebagai ‘Sarawak Chamber’ yang mampu menampung 40 buah kapal terbang jenis Boeing 747 

Selain itu, pengunjung juga boleh melawat Gua Rusa yang mempunyai terowong terbesar di dunia. 

Di sini juga terdapat tiga buah gunung yang boleh diterokai oleh peminat aktiviti lasak. Gua Mulu juga merupakan contoh terbaik proses luluhawa batu kapur tropika dihiasi rabung kapur serta ngarai yang dikenali sebagai ‘The Pinanacles’


gambar dari google
 
Bandar Bersejarah Melaka dan George Town 

Terletak di perairan Selat Melaka, bandar raya Melaka dan George Town merupakan contoh bandar kolonial bersejarah yang cukup menarik untuk dilawati di negara ini. 

Menjadi laluan perdagangan terpenting di rantau ini satu ketika dahulu, kedua-dua bandar raya itu memaparkan warisan kepelbagaian budaya serta tradisi Asia dan Barat yang masih terpelihara, tempat pertembungan pelbagai agama dan budaya. Kehadiran pelbagai elemen melalui aktiviti perdagangan itu diterjemahkan melalui keunikan seni bina bangunan, masyarakat, bahasa, perayaan, tarian, busana, seni dan muzik, makanan serta cara hidup seharian.

Di Melaka misalnya, pengunjung berpeluang meneroka keunikan dan tradisi masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Chingay yang masih diamalkan sehingga kini. Di samping itu, bandar raya itu juga terkenal dengan warisan peninggalan penjajah daripada era kolonial Portugis, Belanda dan Inggeris. Antara bangunan yang terkenal di situ ialah A Famosa, kota yang dibina Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. 

Menjadi bandar raya kedua terbesar di Malaysia dengan bilangan penduduk melebihi 700,000 orang, George Town banyak dipengaruhi penjajahan Inggeris bermula pada tahun 1786. Dianggarkan terdapat lebih 4,000 bangunan bersejarah di bandar raya itu yang berunsurkan era kolonial, Islam, Cina, Anglo India dan sebagainya. 

Antara bangunan warisan yang menjadi tumpuan pelancong ialah Rumah Syed Al-Atas, Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Tokong Yap. Pada Julai 2008, Melaka dan George Town telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO bagi kategori tapak budaya. 

 Sumber :
  •  1. Dipetik dan diubahsuai daripada Metro Ahad, 29 September 2013. M/S 32 dan 33. 
  • 2. Dipetik dan diubahsuai daripada Kosmo

Saturday, November 8, 2014

6 GEMPA BUMI TERBURUK DI DUNIA


GEMPA bumi ialah gegaran bumi yang disebabkan oleh rekahan dan penganjakan sebahagian besar lapisan luar batuan bumi secara tiba-tiba.

Gempa bumi yang kuat mampu untuk membebaskan tenaga 10,000 kali ganda lebih banyak daripada tenaga yang dibebaskan oleh ledakan bom atom yang menghancurkan Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan Nagasaki pada 9 Ogos 1945 di Jepun.

Gempa bumi boleh mencetuskan tanah runtuh, menyebabkan kerosakan serta kehilangan nyawa dan sekiranya ia terjadi di dasar lautan ia boleh mencipta siri ombak besar pemusnah yang dikenali sebagai tsunami atau ombak laut seismos seperti yang melanda Acheh pada 26 Disember 2004. 

Kebanyakan gempa bumi terjadi di sepanjang sesar iaitu rekahan di dalam lapisan luar batuan bumi di mana bahagian batuan menggelongsor berulang kali melepasi antara satu sama lain. Sesar berlaku di kawasan batuan bumi yang lemah. Tekanan di dalam bumi menyebabkan bongkah batuan yang besar di sepanjang sesar menjadi terikan.Apabila terikan menjadi terlalu kuat, batuan akan merekah dan pecah hingga membentuk kedudukan baru yang menyebabkan berlaku nya gegaran gempa bumi. 

Kategori Gempa Bumi( Ukuran Skala Richter) 
  • Lemah : Kurang daripada 5.0 
  • Sederhana : 5 – 5.9  
  • Kuat : Lebih dari 6.0 

Berikut antara kejadian gempa yang bumi terburuk di dunia. 

1. Ningxia, China (1920) 

Kira-kira 200 ribu orang terbunuh dalam gempa ini. Gempa yang berukuran 7.8 magnitud ini mencapai penarafan kemusnahan tertinggi (XII) pada Skala Mercalli. Gempa bumi ini juga telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh yang telah memusnahkan kampung Sujiahe dalam Wilayah Xiji dan kerosakan di Bandar-bnadar Longde,Huining, Lanzhou,Taiyuan,Xian, Xining dan . Yinchuan 

 2. Kanto, Jepun (1923) 

Dipanggil sebagai “Gempa Bumi Besar Kanto” yang berlangsung selama 4 minit. Ia berpusat di Teluk Sagami dan gempa ini telah menyebabkan kerosakan besar-besaran di Tokyo dan Yokohama. Gempa bumi ini juga telah menyebabkan berlakunya kebakaran terbesar di Jepun yang mengorbankan seramai 142 ribu nyawa 

3. Tangshan, China (1976) 

Gegaran berukuran 7.5 magnitud ini menyebabkan kematian hampir 250 ribu orang, manakala 800 ribu orang lagi cedera.

 4. Indonesia (2004)

Gempa bumi yang disertai Tsunami yang melanda Asia Selatan dan Timur selepas gempa bumi dengan magnitud mencecah 9.1 skala Richer. Kerosakkan paling teruk berlaku di Sumatera, manakala angka kematian mencapai 230,210 orang dan beribu orang hilang serta cedera.

 5. Szechuan, China (2008)

Dianggarkan kira-kira lima juta bangunan musnah dan 21 juta lagi rosak di wilayah Szechuan dan beberapa bahagian di Chongqing, Gansu, Hubei, Shaanxi dan Yunnan. Kos ekonomi gempa berukuran 7.9 magnitud itu dianggarkan berjumlah AS$86 billion (RM271.2 billion), manakala angka kematian pula dicatatkan seramai 90 ribu orang. 

6. Haiti (2010) 

Gempa bumi berukuran 7.0 skala Rither ini berlaku pada bulan Januari 2010. Ia merupakan gempa bumi terburuk dalam sejarah moden dengan lebih 300 ribu kematian dan 300 ribu lagi cedera. 

Sumber :
  1. Dipetik dan diubahsuai dari Berita Harian 2 November 2014, m/s :9  
  2. Dewan Bahasa dan Pustaka 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: 6 Letusan Gunung Berapi Terbesar di Dunia

Sunday, November 2, 2014

5 NEGARA TERKECIL DI DUNIA.


Sebut sahaja negara terkecil pasti ramai yang terbayangkan Brunei dan Singapura. Benar! Brunei dan Singapura termasuk dalam kategori negara kecil, kecil dari segi saiz atau keluasan dan juga dari segi jumlah penduduknya. Walaubagaimanapun Brunei dan Singapura tidak tersenarai dalam kategori negara terkecil di dunia. 



Berikut merupakan lima buah negara terkecil di dunia sebagaimana yang dipaparkan dalam akhbar berita harian bertarikh 2 November 2014. Lima buah negara tersebut ialah:


1. Vatican. 

  • Terletak di Benua Eropah.  
  • Keluasan negara tersebut ialah 0.44 kilometer persegi (KM²)). 
  • Jumlah penduduknya hanyalah seramai 839 orang. 

 2. Monaco.

  • Terletak di Benua Eropah.  
  • Keluasannya ialah 2 KM²   
  • Jumlah penduduknya pula seramai 30,500 juta orang. 

 3.Nauru
  • Negara ini terletak di Benua Oceania 
  • Keluasaan negara ini ialah 21 KM² 
  • Jumlah penduduk Nauru pula adalah seramai 9,434 orang 

 4. Tuvalu 
  • Terletak di Benua Oceania 
  • Keluasaan negara ini ialah 26 KM² 
  • Jumlah penduduk Tuvalu adalah seramai 1,698 orang 

 5. San Marino.

  • Negara ini terletak di Benua Eropah 
  • Keluasan negara ini ialah 61 KM² 
  • Jumlah penduduknya pula adalah seramai 32,448 orang 

 INFO TAMBAHAN.

Oceania ialah benua terkecil di dunia dan mempunyai populasi kedua terkecil di dunia selepas benua Antartika. 

Oceania ataupun Australasia merupakan sebuah benua yang terdiri daripada negara-negara seperti Australia, New Zealand, Papua New Guinea dan negara Kepulauan Pasifik seperti Fiji, Nauru, Kiribati, Tahiti, Samoa, Palau dan banyak lagi. Oceania sebenarnya merupakan kumpulan pulau-pulau di Lautan Pasifik. 


Tajuk Lain Yang Berkaitan:

Saturday, November 1, 2014

I Want To Touch A Dog, ramai umat islam Malaysia jadi murtad.


Kecoh sekecohnya apabila program I Want To Touch A Dog dianjurkan. Program tersebut umpama Tsunami yang melanda ketenangan dan kedamaian umat islam di Malaysia, terutamanya dalam kalangan bangsa Melayu yang berpegang kepada Mazhab Syafie. Ia juga umpama puting beliung yang mengganas lantas memusnahkan jati diri Melayu/Islam yang selama ini ‘alahan’ dengan anjing. 

Murtad! Agar lebih sopan saya tulis ‘murtad’. 

Iya, ramai yang ‘murtad’ gara-gara program ini. ‘Murtad’ bukan kerana menganjur atau menyertai program I Want To Touch A Dog, tapi ‘murtad’ kerana menentang dan membantah program tersebut. 



Program I Want To Touch A Dog menyaksikan betapa ramainya gologan cakna agama di Malaysia. Tapi malang, kerana agak ramai dalam kalangan mereka ini terdiri daripada mandul akal dan terliwat minda. Mereka hilang pertimbangan dan kewarasan kerana mereka hanya berbekalkan semangat kerohanian yang berkobar-kobar tapi sifar pengetahuan agama. Mereka selayaknya dilabel sebagai pelampau agama dan bukannya pencinta agama. 

Lihat sahaja di laman sosial terutamanya facebook dan WhatsApp. Dengan senang dan tenang mereka menuduh Ustaz Iqbal Parjin dan Syed Azmi sebagai penganut dan paderi Kristian yang menyamar sebagai umat islam sedang berusaha merosakkan islam secara halus. Malah, para pengunjung atau peserta juga dituduh sebagai Kristian Melayu. 

Cerita tak berasas ini tersebar luas di facebook dan WhatsApp. Penyebarannya menjadi rancak kerana ramai golongan cakna agama di alam maya ini terdiri daripada golongan mandul akal yang telah sekian lama terliwat minda. 

Kepada golongan pelampau agama dan golongan pencinta agama yang mandul akal, saya ingin berpesan, sesungguhnya. persoalan kafir dan sesat bukanlah persoalan kecil, ia membabitkan hukuman terhadap akidah seseorang. Walaupun sesat, bukan semestinya menjadi kafir, tetapi itu pun tetap berat di sisi Allah. Ingatlah sentiasa, perbuatan menuduh orang lain dengan tuduhan murtad, kafir atau sesat adalah dosa yang amat besar. Dan,Ketahuilah, jika tuduhan tersebut tidak benar, maka tuduhan itu kembali kepada yang menuduh.

Kepada pengguna facebook dan WhatsApp, berhentilah daripada menyebarkan cerita dan berita yang tidak sahih, terutamanya apabila melibatkan isu akidah. Memang kita perlu perihatin atau cakna terhadap isu-siu agama, tapi ia tidak boleh berpandukan semangat kerohanian semata-mata. Ia memerlukan ilmu yang dipandu oleh iman. Takut dan risau, jika disebabkan keghairahan kita menuduh orang lain sebagai murtad dan kufur, tanpa sedar murtad dan kufur itu menjadi milik kita. 

Saya tertarik dengan pesanan Dr. Fathul Bari dan ia amat sesuai untuk kita jadikan sebagai panduan dan pedoman. Pesannya, janganlah cepat menjatuhkan hukum. Beliau berpesan lagi kepada pengguna facebook dan WhatsApp agar tidak sesekali menjadi mufti jadi-jadian dan usah sesekali mengeluarkan fatwa mee segera di laman sosial.

Wednesday, October 29, 2014

SEJARAH PIALA MALAYSIA

Sebelum menyaksikan perlawanan akhir antara Johor Darul Takzim(JDT) dan Pahang Darul Makmur, eloklah kita mengetahui serba sedikit info dan sejarah Piala Malaysia. 

Sejarah Piala Malaysia bermula dengan Piala Malaya yang dipertandingkan pada awal tahun 1921. Kejohanan pada waktu itu disertai oleh negeri-negeri Tanah Melayu. 

Piala Malaya kemudiannya dikenali sebagai Piala HMS Malaya yang diambil sempena nama kapal perang HMS Malaya sebelum diberhentikan dari tahun 1942 hingga 1947, akibat Perang Dunia kedua. Piala HMS Malaya akhirnya dimulakan semula pada tahun 1948. 

Pada tahun 1967, Piala HMS Malaya digantikan dengan Piala yang baharu iaitu Piala Malaysia yang tidak lama kemudian, pasukan dari Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei mula menyertai Piala Malaysia. 

Pada tahun 1999, bilangan pasukan yang memasuki Piala Malaysia bertambah sebanyak 12 pasukan. Setahun selepas itu, bilangan pasukan meningkat kepada 16 pasukan. 

Piala Malaysia dipertandingkan pada setiap tahun mengikut format yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan perlawanan akhir Piala Malaysia akan menutup tirai musim tahunan bola sepak negara Kini setelah lebih 90 tahun, Piala Malaysia masih lagi menjadi rebutan hangat antara pasukan –pasukan bola sepak tanah air.

Sumber : Dipetik dan diubahsuai daripada Utusan Malaysia, 28.Oktober 2014.

Sunday, October 26, 2014

10 Kanak-Kanak Paling Genius di Dunia.


Amat terhad dan sangat terbatas, manusia-manusia yang mampu memiliki kecerdikan dan kebijaksanaan serta kepintaran yang luar biasa. 

Mereka adalah manusia yang genius dan kewujudan mereka amat bererti dan bermakna. Manusia yang genius kebiasaannya dapat dikesan sedari kanak-kanak lagi. 

Mereka memiliki bakat dan kebolehan yang amat luar biasa berbanding rakan-rakan sebayanya. 


Di sini saya paparkan 10 kanak-kanak genius sebagaimana disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 21 Oktober 2014. 

Sepuluh Kanak-Kanak Paling Genius di Dunia, ialah: 

1. Tanisho Matthew Abraham.

Beliau merupakan ahli termuda Mensa, sebuah organisasi yang dianggaotai oleh mereka yang mempunyai IQ yang tinggi selepas mendapat markah 99.9 peratus dalam ujian kecerdasan otak. Kanak-kanak ini akan memasuki kolej seawal usia enam tahun dan berjaya memperolehi gred purata 4.0 pada setiap semester. 

2. Ethan Bortnick. 

Kanak-kanak ini mempunyai bakat sebagai pemuzik, penulis lirik dan pelakon. Beliau mula bermain alat muzik ketika berusia tiga tahun dan pernah diiktiraf oleh Rekod Dunia Guiness sebagai ahli muzik termuda yang melakukan siri penjelajahan secara solo ketika berumur 10 tahun.

3. Akim Camara. 

Pemain biola termuda di Berlin ini mula menunjukkan bakatnya ketika berusia dua tahun. Dia dianggap sebagai kanak-kanak yang cepat belajar dan membuat persembahan pertama ketika berusia tiga tahun dalam konsert sempena Hari Natal pada tahun 2003. 

4. Priyanshi Somani 

Kanak-kanak ini mendapat jolokan sebagai ‘Kalkulator Manusia’ dari India. Beliau merupakan peserta termuda dan menjadi juara dalam Mental Calculation World Cup ketika berumur 12 tahun. Priyanshi pernah memegang rekod baharu dunia selepas menyelesaikan 10 soalan punca kuasa dua, nombor enam digit dalam tempoh 2 minit 43 saat. 

5. Cameron Thompson. 

Kanak-kanak ini mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang matematik di Open University ketika berusia 13 tahun. Siapa sangka budak genius ini sebenarnya mengalami kesukaran untuk meneruskan pembelajarannya kerana autisme yang berpunca daripada sindrom Asperger. 

6. March Tian Boedihardjo.

Anak kelahiran Hong Kong ini menjadi penuntut termuda memasuki Universiti tempatan ketika berumur Sembilan tahun. Dia berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Pengajian Matematik pada tahun 2011 dan seterusnya menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang yang sama di Amerika Syarikat. 

7. Jacob Bernett. 

Bekas penghidap autism ini digelar sebagai ahli matematik Amerika. Dia memasuki Indiana University -Purdue University Indiapolis ketika berusia 10 tahun dan menyambung pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Fizik Kuantum. 

8. Taylor Wilson. 

Pencipta sebatian nuklear ini menghasilkan bom ketika berusia 10 tahun. Dia pernah memenangi pertandingan yang dianjurkan Intel International Scince and Engineering Fair selepas berjaya mereka alat pengesan radiasi. 

9. Akrit Jaswal. 

Kanak-kanak berasal dari India ini melakukan pembedahan pertamanya ketika berusia tujuh tahun sebelum memasuki universiti perubatan kira-kira lima tahun kemudian. Pada usia 17 tahun, Akrit menyambung pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang kimia gunaan dan kini sedang melakukan penyelidikan bagi mencari penawar barah. 

10. Mikaela Fuldolig 

Dia memasuki universiti Filipina ketika berumur 11 tahun dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidng fizik kira-kira lima tahun kemudian. Beliau kini bergelar Profesor di university yang sama dan turut menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan:

Wednesday, October 22, 2014

Gara-gara I Want To Touch A Dog, sahabatku kini menjadi seekor anjing.

Majlis agama Islam Putrajaya.  Hahaha,nampak sangat nipunya. 
Putrajaya bukanlah negeri. 
Jadi Majlis Agama Islam Putrajaya 
 tak pernah wujud .

I Want To Touch A Dog telah mengemparkan negara, dan ia merupakan tamparan yang hebat kepada umat islam dari kalangan Bani Melayu yang rata ritinya bermazhab Syafie. 

Antaranya ialah sahabat saya, walaupun dia tidak menghadiri program tersebut, dan beliau amat membenci anjing, namun secara tiba-tiba dia kini ‘menjadi’ seekor anjing. Malah lebih anjing daripada segala anjing yang wujud di dunia ini. 

Jika kita imbas sejarah silam, isu anjing sebenarnya pernah mengemparkan negara. Pada tahun 1937, satu perbahasan terbuka telah diadakan di istana Kelantan. Ia dianjurkan oleh Sultan Kelantan, dan pebahasan itu melibatkan ulama dari kaum Kaum Tua dan Kaum Muda. Kaum Muda diwakili oleh Ulama Kelantan yang terkenal, iaitu Haji Wan Musa, dan turut disertai oleh Haji Abbas Taha dan Dr. Buhanuddin al-Hilmi, yang merupakan Yang Dipertua Agung PAS (skrg guna gelaran Presiden) ke-3. Mereka berpendapat anjing boleh dipelihara dan tidak perlu disamak. 

Perdebatan yang berlangsung itu berakhir dengan masing-masing kekal dengan hujah. Sultan Kelantan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan sendiri menurut pemerhatian dan kefahaman mereka. Itu sejarah silam dan jangan sesekali kita lupakan. 

Hari ini, program I Want To Touch A Dog ( Saya Mahu Sentuh Anjing) berjalan dengan jayanya. Agak ramai juga umat islam yang ghairah nak pegang anjing. Sebagai umat islam, kita berhak mengutuk program tersebut. 

Kembali kepada kisah sahabat saya tadi, entah mengapa sejak ‘I Want To Touch A Dog’ berlangsung, dia menjadi begitu islamik dan semangat jihadnya begitu berkobar-kobar. Wahyu dari facebook dia taati dan sabda dari WhatsApp dia junjung. Berjuanglah dia dengan menyebarkan hujah-hujah yang dipungut dari facebook dan WhatsApp. Kadang-kadang hujahnya berpandukan dalil dan fakta, namun banyak juga yang tersasar dan terpesong kerana hanya berpaksikan emosi dan sentimen semata-mata. 

Dan, paling terkini ialah dia telah menyebarkan cerita tak berasas kononnya Ustaz Iqbal Parjin merupakan seorang Kristian yang sedang berusaha merosakkan islam secara halus(lihat gambar). Kononnya status Ustaz tersebut di nyatakan oleh Majlis agama Islam Putrajaya. 

Hahaha, gila dan memang gila sebab Putrajaya tu bukanlah negeri, tapi sebahagian daripada Putrajaya sebagaimana Kuala Lumpur dan Labuan. Jadi Majlis Agama Islam Putrajaya tu tak pernah wujud, yang ada ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan . 

Pesan saya kepada sahabat semua cuma satu sahaja, Tolonglah jangan ghairah tak bertempat dan tak usahlah nak jadi pejuang agama jika tindak tanduk anda hanyalah mengaibkan agama. Lagi satu,tuduhan murtad ni amat besar kesannya dan jika tiada bukti tolonglah jangan disebarkan. Tuduhan murtad ini amat berat dan berdosa besar. 

INGATLAH JIKA DAKWAAN INI TIDAK BENAR, MAKA ORANG YANG MENYEBARKN FITNAH INI LEBIH JIJIK DAN LEBIH KEJI DARI ANJING. 

JUJUR DAN IKHLAS, TOLONGLAH JADI ANJING KERANA IA JAUH LEBIH MULIA DARIPADA MENUDUH ORANG MURTAD TANPA BUKTI YANG SAHIH.

Saturday, October 18, 2014

Pekerja rumah mayat mengaku rogol lebih 100 mayat




OHIO: Seorang lelaki mengaku mengadakan hubungan seks dengan lebih 100 mayat wanita. Lelaki berkenaan , Kenneth Douglas, yang bekerja di rumah mayat mendedahkan perkara berkenaan di mahkamah baru-baru ini. 

Perbuatan Douglas itu terbongkar pada 2008 setelah terdapat kesan air mani yang ditemui pada salah seorang wanita yang menjadi mangsa bunuh. WCPO melaporkan, isteri Douglas pernah membuat laporan terhadap perbuatan Douglas kepada pengurus rumah mayat tersebut, namun tiada sebarang tindakan diambil. Setakat ini, tiga keluarga telah memfailkan saman kepada rumah mayat itu.

 Kredit buat: Cananglahnie

MALAYSIA, NEGARA YANG PALING RAMAI HAKIM DI DUNIA.



TAHUKAH ANDA, 

MALAYSIA ADALAH NEGARA YANG MEMPUNYAI HAKIM PALING RAMAI DI DUNIA. 
LEBIH KURANG 30 JUTA WARGANYA ADALAH HAKIM. 

BUKAN HAKIM SEBARANG HAKIM. TAPI HAKIM NEGARA. 

HAHAHA, 

TAK PERLU BELAJAR UNDANG-UNDANG DAN TAK PERLU MEMPUNYAI PENGETAHUAN SERTA PENGALAMAN DALAM BIDANG GUAMAN. 

INILAH KEHEBATAN WARGA MALAYSIA..

PHUIIII. 

POLITIK PUNYA PASAL, RAKYAT JADI HAKIM DAN TAK LAMA LAGI RAKYAT JADI MUFTI NEGARA, LEPAS TU, RAKYAT JADI TUHAN NEGARA.








Monday, October 13, 2014

20 NOVEMBER 1979, TRAGEDI BERDARAH DI MASJIDIL HARAM



Kejadian luar duga yang mengemparkan seantero umat islam ini berlaku pada 20 November 1979. Peristiwa tersebut merupakan tragedi berdarah pertama yang berlaku dalam sejarah moden Kota Mekah. 

Tragedi berdarah ini berlaku apabila Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtani yang dibantu oleh adik iparnya, Juhaiman ibn Muhammad ibn Saif al-Utaibi dan disertai 500 orang penyokong kuatnya telah menyerang Masjidil Haram dan menawan ribuan jemaah haji sebagai tebusan. 

Ketika itu musim haji baru saja berakhir, namun masih ramai yang mengerjakan umrah di Tanah Suci tersebut. Ada yang bersolat, tawaf, sai, mengaji Al-Quran dan sebagainya. Sementara itu, Imam Masjidil Haram ketika itu, Syeikh Mohammed al- Subayil sedang bersiap sedia untuk memimpin para jemaah untuk menunaikan solat subuh. 



PUNCA PENAWANAN KOTA MEKAH. 

  • Juhaiman dipercayai seorang pelampau agama dan beliau percaya kebanyakan ketua kerajaan islam di dunia adalah korup dan proksi kepada kuasa barat, terutamanya Amerika Syarikat. 
  • Juhaiman juga mahukan keluarga diraja Al Saud yang memerintah Arab Saudi digulingkan.
  • Selain itu, Juhaiman juga menuntut agar eksport minyak Arab Saudi ke Amerika Syarikat dihentikan.
  • Juhaiman juga menuntut agar semua penasihat tentera yang bukan islam diusir dari tanah Arab. 

Penawanan Masjidil Haram bermula apabila pengikut-pengikut Juhaiman yang berjumlah sekitar 500 orang telah menerpa masuk ke Masjidil Haram dan kemudiannya mereka bertindak mengunci semua pintu masuk ke masjid yang mulia tersebut. Juhaiman kemudiannya mengambil alih sistem pembesar suara Masjidil Haram dan mengumumkan kemunculan Imam Mahdi di Kota Mekah. 

Pada awalnya, Angkatan Tentera Pegawai Kebangsaan(National Guard) dan Tentera Arab Saudi cuba merempuh masuk ke perkarangan Masjidil Haram dengan menggunakan kereta kebal, tetapi gagal. Ini disebabkan pintu tersebut yang sangat kukuh, selain mendapat tentangan hebat daripada Juhaiman dan para pengikutnya. Juhaiman juga telah menempatkan penembak curi di menara masjid. Ini menyebabkan beberapa orang tentera Arab Saudi telah terkorban. 

Pada awalnya juga ulama-ulama Arab Saudi tidak bersetuju dengan penggunaan senjata sebagai usaha mendapatkan kembali Majidil Haram. Ini kerana ia akan mencemarkan masjid yang mulia tersebut. Namun, atas desakan kerajaan, akhirnya ulama-ulama tersebut menyetujui dan mengeluarkan fatwa bagi membenarkan penggunaan senjata untuk menentang penceroboh. 

Menyedari ketidakupayaan menewaskan penceroboh dan membebaskan Majidil Haram, akhirnya kerajaan Arab Saudi terpaksa meminta bantuan daripada Pasukan Anti Keganasan Perancis (GIGN). Tiga orang anggota GIGN telah memeluk islam bagi membolehkan mereka memasuki Tanah Haram Mekah. Ini sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Ulama Arab Saudi. 

Insiden pengepungan Masjidil Haram berjaya ditamatkan pada 4 Disember 1979, iaitu selepas dua minggu masjid suci tersebut ditakluki Juhaiman dan pengikutnya.

Mengikut Laporan Rasmi, insiden tersebut telah mengorbankan 127 nyawa dan mencederakan seramai 451 orang. Jumlah ini merangkumi tebusan, pengikut Juhaiman dan tentera. 

Walaupun begitu, ramai yang percaya, angka sebenar kematian ialah seramai 255 orang, sementara 560 orang lagi tercedera. Juhaiman, Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtani , dan pengikutnya yang masih hidup telah menyerah diri, dan mereka kemudiannya dijatuhkan hukuman pancung. 

Wednesday, October 8, 2014

Enam Tip Untuk Membantu Mengurus Hutang.


Mengikut Jabatan Insolvensi Malaysia(Mdl), sebagaimana dilaporkan di dalam akhbar Kosmo bertarikh 1 November 2013, seramai 60 orang diisytiharkan muflis setiap hari di Malaysia. Pinjaman peribadi pula merupakan antara penyumbang utama peningkatan kes muflis, malah merupakan punca atau penyebab yang ketiga berlakunya kes muflis di negara kita, iaitu seramai 18,053 orang (15.50%). 

Sebelum berbicara dengan lebih lanjut perihal pinjaman peribadi, eloklah kita renung dan perhatikan perihal hutang. Dalam Al-Quran, ayat mengenai hutang merupakan ayat yang paling panjang, meskipun bukan berjela-jela. Ia merupakan ‘surat amaran’ dari Maha Pencipta untuk umat manusia. Ia dirakamkan menerusi surah Surah Al-Baqarah, ayat 282. Ayat-ayat ini sepatutnya menggetarkan hati dan jiwa. Namun, perlu kita akui hidup dan kehidupan hari ini amatlah mencabar dan memaksa kita untuk berhutang. 

Tidaklah menjadi kesalahan untuk berhutang, asalkan ia berpaksikan wajar dan waras. Berhutang kerana keperluan hidup seperti rumah, kereta dan melanjutkan pelajaran adalah wajar dan waras. Namun berhutang semata-mata untuk menjenamakan hidup, itu bukanlah satu tindakan yang bijak.


Apapun, di sini ingin berkongsi beberapa tip yang saya petik dan diubahsuai daripada Berita Harian 7 Oktober 2014. Tip mengenai kaedah untuk menguruskan hutang dengan bijak. iaitu: 

Pertama: Meminjam secara berhemat.

Apabila ingin meminjam atau berhutang, kita perlulah meminjam mengikut kemampuan pendapatan untuk membayarnya semula. Elakkan daripada membuat pinjaman yang melebihi pendapatan bagi mengelakkan daripada bebanan hutang yang melebihi pendapatan. 

Contohnya, apabila hendak membeli sesebuah kereta, semasa menentukan bayaran ansuran bulanan, kita perlulah mengambil kira sebarang kos tambahan yang akan ditanggung secara berkala iaitu perbelanjaan untuk minyak, tol, pembaikan dan kos penyelengaraan. 

Kedua: Menguruskan Kad Kredit dengan bijak. 

Pastikan membayar semua hutang kad kredit pada setiap bulan bagi megelakkan daripada dikenakan kadar fedah.Kadar faedah yang dikenakan ke atas baki kad kredit terkumpul biasanya lebih tinggi daripada pinjaman. 

Andainya tidak mampu untuk membayar semua baki tersebut, kita perlulah mensasarkan untuk membayar melebihi bayaran minimum kerana dengan ini kita dapat mengurangkan baki terkumpul dengan lebih cepat. 

Namun, andainya kita hanya mampu membayar dengan jumlah minimum, pastikan ia hanyalah untuk tempoh jangka masa pendek sahaja. 

Untuk membuat pembayaran bagi sesuatu barangan yang mahal, seeloknya kita memilih untuk membayar melalui skim bayaran mudah yang disediakan oleh kad kredit. Skim tersebut membantu kita untuk membahagikan kos belian dalam satu jangka masa, contohnya 6-12 bulan tanpa dikenakan sebarang kos kewangan jika kita membayar mengikut jadual. 

Penting juga untuk mengelakkan daripada mengambil wang tunai melalui kad kredit kecuali jika keadaan benar-benar terdesak. Hadkanjuga bilangan kad kredit yang kita miliki. 

Ketiga: Kurangkan hutang. 

Kita boleh mengurangkan baki pinjaman jika sekiranya kita mempunyai wang lebihan, contohnya daripada bayaran bonus. Ini bagi mengurangkan caj kewangan yang dikenakan ke atas baki kad kredit. 

Keempat: Gunakan kaedah pembayaran bil secara automatik. 

Kita boleh mempertimbangkan kaedah pembayaran automatik bagi bil-bil dan ansuran bulanan agar dibayar pada masa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, kita boleh membuat arahan tetap untuk pembayaran dengan institusi perbankan untuk mendebit daripada akaun deposit bagi membayar ansuran bulanan kita ( setiap bulan bayaran ansuran kita akan ditolak secara automatik). 

Amalan menangguhkan pembayaran bil bulanan akan menyebabkan hutang yang tertunggak. Membayar bil lewat juga akan menyebabkan kita akan dikenakan caj penalti dan sebagainya. Ini akan menambahkan lagi beban kewangan. 

Kelima: Buat Pelan Belanjawan. 

Sediakan satu pelan belanjawan dan berbelanjalah mengikut pelan tersebut. Dengan cara ini, kita boleh mengetahui perbelanjaan kita dan mengelakkan daripada terlebih berbelanja. Mulakan dengan menyenaraikan pendapatan kita daripada semua sumber. Kemudian, kita perlu senaraikan perbelanjaan tetap, termasuklah pembayaran balik pinjaman secara tetap seperti ansuran rumah dan bayaran kad kredit. Seterusnya, senaraikan perbelanjaan berubah seperti bil utiliti dan makanan. 

Akhirnya , kira kedudukan kewangan kita, iaitu pendapatan tolak perbelanjaan( tetap dan berubah). Kita juga perlu sentiasa merekodkan perbelanjaan bulanan supaya kita tahu ke mana perginya gaji kita setiap bulan. Merekod perbelanjaan boleh membantu kita mengawal perbelanjaan kita. 

Kedudukan kewangan boleh menunjukkan lebihan belanjawan( pendapatan melebihi perbelanjaan) atau defisit belanjawan( perbelanjaan melebihi pendapatan). Jika berlaku defisit belanjawan, kita perlu mengambil langkah pemulihan dengan kadar yang segera untuk menangani defisit tersebut. 

Keenam : Mulakan simpanan. 

Mulakan simpanan dengan mempunyai satu pelan simpanan kerana ini akan mengurangkan keperluan untuk meminjam bagi pembelian kecil. Kita juga perlu mengumpul dana kecemasan untuk membiayai perbelanjaan tetap kita( yang biasanya tidak berubah dari sebulan ke sebulan)bagi tempoh 3 hingga 6 bulan. Perbelanjaan tetap termasuklah pembayaran balik pinjaman secara tetap, seperti ansuran rumah, kenderaan bermotor dan juga bayaran kad kredit. Beringatlah sebelum berhutsng dan berbelanjalah mengikut kemampuan dan bukannya kemahuan. 


Tajuk Lain Yang Berkaitan: