Thursday, January 30, 2014

APABILA SI TOLOL ADA FACEBOOK


"Sekiranya ilmu sains dimiliki oleh seseorang yang tidak beragama, ia laksana senjata yang berada pada tangan orang yang gila.” Itu kata Albert Einstein. Ia jelas mengambarkan betapa berbahayanya golongan yang tidak menjadikan agama sebagai panduan dan pedoman. Membahayakan diri sendiri dan membahayakan orang lain. 

Begitu juga apabila si tolol memiliki akaun facebook. Lagi teruk apabila si tolol melacurkan agama dengan menulis status ‘bernada’ agama di facebooknya. Ia tidak lagi bahaya dan membahayakan, malah, lebih dari itu, ia sesat dan menyesatkan. Buktinya, lihatlah ajaran karut ‘bernada’ agama yang dicipta oleh si tolol yang saya paparkan di atas, ia mampu memperdaya dan memperbodohkan ribuan pengguna facebook yang lain.

Sejak disebarkan difacebook pada 27 Jan. 2014 hinggalah pukul 9.00 PM, 29.Jan.2014, Seramai 1,355 pengguna facebook yang like dan seramai 7,072 orang yang share di akaun facebook masing-masing. Dan, saya yakin ia semakin bertambah, dan akhirnya karut marut tersebut melebar tanpa sempadan dan meluas tanpa batasan. Hairan sungguh, mengapalah begitu mudah orang-orang kita diperbodohkan. Telah dicampakah kitab suci Al-Quran dan telah dibuangkah segala kitab-kitab hadis, hinggakan dakwaan karut marut ini diterima pakai tanpa bantahan dan bangkangan.  

Sebelum melanjutkan entry, saya memohon jutaan maaf jika ada mana-mana pembaca yang terasa atau tersinggung. Jujur! kritikan dan teguran ini adalah secara umum. Ikhlas! pendekatan saya ialah, siapa yang makan cili,dialah yang terasa pedasnya dan sesiapa yang makan nangka, dialah yang terkena getahnya. Di bawah ialah karut marut ciptaan si tolol yang saya maksudkan, saya paparkan tanpa sebarang ubah suai.

Malam ni pd pkl 12.30-3.30 pg sinaran cosmos akn memasuki bumi dr marikh. Sila matikan telefon pd waktu malam. Jangan letakkan telefon berdekatan anda dan pastikan tiada telefon diletakkan berdekatan anda semasa tidur kerana menurut NASA menerusi berita BBC sinaran tersebut sangat merbahaya. Sebarkan Dari P5 ATB 2 -maklumat di terima dari ESSCOM menyatakan tsunami kemungkinan akan melanda pantai timur sabah dalam masa 36 jam. Mereka terima dari Jabatan Kajicuaca Sabah. Maklumat lengkap akan menyusul. D Tv3 tadi disiarkan esok diramalkan ribut d Sabah dan Labuan. Brunei juga. Pahang diberi amaran banjir besar lagi kali kedua. 

TERKINI!!Jepun telah memberi amaranTsunami 6-7 S.R dalam masa 36 jam dan semua diarah berjaga-jaga. Amaran angin kencang, laut bergelora

 – ACEH pukul 5 pagi tadi mendengar suara anjing lagi mengaum sperti suara raksasa utk yg kedua kalinya dari bawah dasar laut Samudra Pasifik . Menurut para ulama, itu suara Dajjal yg berusaha naik ke dunia. Oleh krn itu kita diperintahkan : Sentiasa tidak berhenti mngumandangkan azan dan mendirikn solat. 

MESIR DILANDA SALJI , RIBUAN IKAN TERDAMPAR DI LAHAD DATU dan yang terbaru IKAN LUMBA-LUMBA , KETAM , DAN SEGALA JENIS HAIWAN LAUT LARI KE DARAT DI PELANTAR PERAIRAN TERENGGANU SEHINGGAKAN PEKERJA PELANTAR MELAUNGKAN AZAN ! 

Dan sekarang ni dikatakan PERALIHAN KUTUB sedang berlaku dan UMAT ISLAM perlu update BEARING KIBLAT masing-masing . Hanya Allah sahaja yg maha mengetahui . Jika ada perubahan kutub makna nya matahari akan berubah arah dan terbit dari sebelah barat .

 Siapa yg membaca ini, tlng sebarkan. Sila hantar kepada rakan anda agar dismpikan berita ini. Jgn dipermainkan, Lillahi Ta'ala . Demi Allah ini amanahmu. Kiriman dri kawan saya semoga menjadi peringatan. Wallahua’lam.... . 

INFO TAMBAHAN:

Saya yakin pengguna facebook yang like dan share gambar tersebut terdiri daripada golongan yang cakna agama, tapi sayang tindakan mereka itu telah mencemarkan imej agama dan menghodohkan wajah islam yang cantik. 

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat,ayat 6 sepatutnya dihayati dan dijadikan formula apabila berhadapan dengan situasi sebegini.

“Hai orang-orang yang beriman,jika dating kepadamu orang fasik membawa suatu berita,maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaanya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu.”

FACEOOK! Hari ini sebahagian besar manusia mempunyai akaun facebook. Sesetengahnya memanfaatkan facebook untuk menjalin persaudaraan dan persahabatan. Sesetengah pula untuk menyampaikan mesej dakwah dan menyeru manusia ke jalan Tuhan. Terdapat juga yang menjadikan facebook sebagai ‘lokasi’ memasarkan produk dan bermotifkan perniagaan. 

Jika anda ingin menjadikan facebook sebagai medan dakwah dan menyeru manusia ke jalan Tuhan, maka janganlah sesekali menulis atau share status atau gambar yang tidak benar. Pastikan kesahihannya terlebih dahulu. 

Tindakan sesetengah daripada kita yang terlampau rakus dan terlalu ghairah untuk sebar sesuatu info terutamanya yang ‘bernada’ agama tanpa usul periksa hanyalah menyebabkan agama islam kelihatan hodoh dan bodoh.

Wednesday, January 29, 2014

Kisah Tentera Jepun Yang 30 Tahun Sembunyi Dalam Hutan, Tak Percaya Tenteranya Kalah



Saya terbaca dalam akhbar(mungkin kosmo-maaf saya terlupa)perihal ini pada hari ahad lepas(26.jan.2014). 

Walau bagaimanapun untuk entry ini, saya sekadar copy and paste dari blog lain. Namun, saya yakin, blogger tersebut turut merujuk paparan dalam akhbar kosmo.Ini kerana, ayat dan perkataannya sama sahaja. 

SEORANG anggota tentera Jepun yang bersembunyi di hutan Filipina selama tiga dekad kerana tidak percaya yang Perang Dunia Kedua sudah berakhir meninggal dunia pada usia 91 tahun di Tokyo semalam.

Hiroo Onoda yang melancarkan perang gerila di Pulau Lubang dekat Luzon hanya mempercayai yang perang sudah berakhir pada 1974 selepas diarahkan bekas komandernya agar menyerah diri. 

Onoda meninggal dunia di Tokyo akibat sakit jantung. Dia ialah individu terakhir daripada puluhan anggota tentera yang bersembunyi di seluruhAsia yang setia berjuang untuk maharaja Jepun. 




GAMBAR yang dirakam pada Mac 1974 menunjukkan Onoda (tengah) memberi tabik selepas menyerahkan pedangnya di Pulau Lubang, barat daya Filipina. 

Dilatih sebagai pegawai risikan dan ketua gerila, Onoda dikerah ke Lubang pada 1944 dan diarahkan agar tidak menyerah diri, tidak membunuh diri dan tetap berjuang hingga pasukan bantuan tiba. Dia dan tiga lagi anggota tentera terus mematuhi arahan itu walaupun Jepun sudah tewas dalam Perang Dunia Kedua pada 1945. 

Tokyo mengisytiharkan mereka sudah mati selepas gagal mencari mereka selama sembilan tahun. Bagaimanapun, pada 1972, Onoda dan beberapa rakannya terbabit dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera Filipina. 

Rakan seperjuangannya maut tetapi Onoda berjaya melarikan diri. Onoda menjelaskan yang dia percaya percubaan memujuknya itu ialah angkara regim boneka di Tokyo yang didalangi Amerika Syarikat. – AFP 

Sumber: Awesomernews

Tuesday, January 28, 2014

Wan Muhammad Azri: Saya bukan pemilik 'Papa Gomo'



KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif dan Editor KL Pos Media & Production Sdn Bhd Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog 'Papa Gomo'. 

Beliau membuat penafian itu di Mahkamah Tinggi pada pendengaran kes saman Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung paparan video seks ketua pembangkang berkenaan dengan seorang lelaki. Wan Muhammad Azri, 31, juga menafikan beliau adalah penulis, penerbit dan penyebar artikel atau imej berunsur fitnah terhadap Anwar dalam blog www.papagomo.com. 

"Saya tiada pengetahuan mengenai artikel-artikel itu dan imej-imej tersebut. Blog saya adalah Malayrights.blogspot.com dan bukannya 'Papa Gomo'," katanya ketika disoal peguam N.Surendran, yang mewakili Anwar. Bekas anggota polis itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau pernah ditangkap, ditahan reman dan disoal siasat berhubung laporan polis terhadap blog 'Papa Gomo' sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. 

Terdahulu, Anwar memaklumkan mahkamah bahawa perkataan yang dikeluarkan Wan Muhammad Azri dalam artikel berkenaan adalah fitnah dan penyiaran imej serta artikel dalam blog itu memberi kesan buruk terhadapnya sebagai seorang pemimpin politik. "Ia memberi kesan buruk terhadap persepsi rakyat Malaysia, terutama orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini, terhadap saya dan perkara seperti ini dipandang hina oleh masyarakat di negara ini, terutama masyarakat Melayu," katanya. 

Beliau berkata, meskipun penyebaran artikel berkenaan menyaksikan majoriti undi kepadanya bertambah pada pilihan raya umum lepas, ia tetap memberi kesan negatif. Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013. Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan. 

Sumber Kedah Lanie

Monday, January 27, 2014

Guru yang memaksa pelajar makan rumput kena tukar ke sekolah lain



Kosmo Guru Bahasa Inggeris Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng, Sungkai, Perak yang didakwa memperlakukan dua orang muridnya bagaikan lembu dengan memaksa mereka memakan rumput kerana gagal menyiapkan kerja sekolah telah dikenakan tindakan tegas bertukar ke sekolah lain. 

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, guru tersebut juga turut diberikan surat amaran kerana bertindak secara keterlaluan mendenda murid yang tidak menyempurnakan kerja sekolah. Surat amaran tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan Perak, Muhamat Roli Hassan

Sumber:. Kosmo

Saturday, January 25, 2014

SALJI TURUN DI INDONESIA, KERJA TUHAN ATAU KERJA SI PENIPU.



Lepas ni,mari ramai-ramai kita upload gambar di atas atau tulislah kat status facebook, 

"Inilah kuasa Allah,sajli turun di Terengganu".

Kalau ada orang pertikaikan,terus bagi amaran, 

"jangan nafikan kekuasaan Allah nanti rosak akidah"

Disebabkan ramai orang kita yang suka menelan bulat-bulat sebarang cerita tanpa usul periksa, gerenti ramai yang akan mempercayainya.

Sebelum melanjutkan entry, ingin saya tegaskan,

“sesungguhnya tiada yang tidak mungkin dengan izin Allah dan tiada yang mustahil dengan kehendak Allah.” 

Allah Maha Berkuasa, dan apabila Allah berkehendakkan berlaku atau terciptanya sesuatu, cukup dan memadai dengan Allah berkata, jadi, maka akan terjadi atau terciptalah perkara tersebut- sila rujuk Surah Yaasin,ayat 82. 

Entry ini tidak sekali-kali bertujuan menafikan kekuasaan Allah, tetapi sekadar untuk membuka mata hati para pembaca agar dapat membezakan antara fakta dan auta, sekali gus tidak berterusan tertipu. Satu campur dua, jawapannya adalah tiga. Itu adalah fakta yang tidak boleh disangkal. Itu fakta dalam bidang atau ilmu matematik, dan sebenarnya dalam apa-apa bidang ilmu sekalipun, fakta tetap fakta dan auta tetap auta. Lihat perihal fakta dan auta dalam urusan agama atau lebh tepat lagi dalam ilmu hadis, klik SINI 

Beberapa tahun lepas, tersebar di youtube, video yang memaparkan gumpalan awan terjatuh ke bumi. Peristiwa yang kononnya berlaku di tanah Arab itu disebarluaskan pula di facebook dan blog. Ramai yang mempercayainya tanpa usul periksa dengan alasan itu tanda-tanda kekuasaan Allah. Malah, lagi hebat, terdapat juga si mandul akal yang menghukum kafir terhadap individu yang mempertikaikan persitwa tersebut, dengan alasan, orang yang mempertikaikannya telah menafikan kekuasaan Allah. 

Begitulah gelojoh dan rakusnya golongan mandul akal dalam menjatuhkan hukum. Sebenarnya tidak berbangkit isu menafikan atau mempertikaikan kekuasaan Allah. Cuma isu yang dibangkitkan ialah pertembungan antara fakta dan auta. Sesiapa sahaja yang pernah mempelajari ilmu sains, setakat tingkatan satu pun sudah cukup dan memadai untuk memahami hakikat awan. Dan, sesiapa sahaja yang pernah menaiki kapal terbang, walau sekali seumur hidupnya, pasti mengerti pembohongan video tersebut. 

Fakta ringkas; Awan terbentuk daripada wap air. Apabila awan telah terbentuk, titik-titik air dalam awan akan menjadi semakin besar dan awan itu akan menjadi semakin berat, dan dari situ berlakulah hujan. Tentu sahaja mustahil untuk awan jatuh ke bumi dalam bentuk gumpalan melainkan dalam bentuk air,iaitu hujan. 

Pembohongan dan auta video tersebut yang seterusnya ialah mengenai sifat awan yang boleh dipegang dan boleh melekat pada pagar. Jika ini sifatnya awan, tentu sahaja kapal terbang tidak lagi selamat untuk digunakan sebab pasti sahaja gumpalan awan itu akan melekat pada bahagian-bahagian tertentu kapal terbang termasuklah bahagian penting yang pasti sahaja membawa kecelakaan yang sangat teruk. 

HARI ini muncul pula kisah salji turun di Indonesia. Ramailah yang menyebarluaskan kisah ini di blog dan media sosial yang lain terutamanya facebook. Lagi menarik, ada yang mengaitkannnya dengan petanda kiamat. Malah, terdapat juga pengguna facebook, termasuk seorang kenalan saya yang menyelar dan menghentam individu yang mempertikaikan kesahihan persitiwa tersebut. Alasannya mudah sahaja, Allah Maha Berkuasa.

Sekali lagi ingin saya tegaskan, langsung tidak berbangkit isu menafikan atau mempertikaikan kekuasaan Allah. Cuma isu yang dibangkitkan ialah penguasaan auta ke atas fakta. Sesiapa sahaja yang memahami di manakah lokasinya Indonesia dan apakah iklim yang dialami oleh negara tersebut, pasti sahaja memahami penipuan tersebut. Sama seperti Malaysia, Indonesia juga mengalami iklim khatulistiwa yang amat mustahil untuk mengalami musim sejuk dan bersalji. Ini fakta dari sudut geografi. 

Cuma di kawasan Pegunungan Jayawijaya sahaja yang bersalji di Indonesia. Ini kerana ketinggian kawasan pergununungan yang terletak di Papua Barat tersebut.


Mungkin ada yang berhujah, bukankah Vietnam pun iklimnya sama dengan Indonesia dan Malaysia, tapi mengapa salji turun di sana baru-baru ini?
  
(JAWAPANNYA): Salji turun di Vietnam hanya di bahagian utara negara tersebut termasuklah Hanoi. Utara Vietnam bersempadan dengan China dan Utara Vietnam juga turut mengalami 4 musim, iaitu musim sejuk,bunga,panas dan luruh. Manakala bahagian Selatan Vietnam tiada setitis pun salji yang turun sebab iklimnya juga adalah sama dengan Malaysia dan Indonesia.Kepada sesiapa yang pernah sampai ke Ho Chi Minh/Saigon yang terletak di Selatan Vietnam dan Hanoi yang terletak di Utara Vietnam, pasti memahami perbezaan iklim antara kedua-dua kawasan ini,meskipun kedua-duanya berada dalam negara yang sama. 

Malah, para pakar Meteorologi yang berkhidmat di dalam Jabatan Meteorologi Malaysia(JMM) telah menafikan dakwaan turunnya salji di Indonesia. Penafian yang dibuat oleh JMM tentu sahaja atas dasar ilmu dan bersandarkan penyelidikan dan kajian. Umum mengetahui Meteorologi merupakan pengajian saintifik tentang keadaan atmosfera terutamanya berkenaan cuaca. Ahli meteorologilah yang mengkaji arah dan halaju angin, suhu, tekanan, wap air dan interaksi pemboleh ubah ini, dan bagaimana mereka berubah dengan masa. Meteorologi juga mengaji interaksi atmosfera bumi dengan lautan. 

Menurut JMM juga, cuaca sejuk yang melanda negara adalah tempias musim sejuk yang kini sedang melanda Negara-negara di Hemisfera Utara termasuklah tanah besar China. Malah, menurut JMM lagi, fenomena ini bukanlah kejadian luar biasa, memandangkan suhu masih lagi di tahap normal, iaitu tidak melebihi paras 15 darjah celcius ke bawah. Menurut JMM juga amat mustahil untuk salji turun di Malaysia dan Indonesia, ini kerana kedua-dua negara itu beriklim Khatulistiwa dan suhu purata yang dicatatkan adalah tinggi sepanjang tahun. Ini adalah fakta dari sudut sains.

Lihat pula fakta dari sudut agama. Rujuk sahaja surah Al-Anbiya ayat 7, 

“Fas alu ahla zikri in kuntum la ta’lamun ”(bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui).

Seruan dan anjuran supaya bertanya/merujuk kepada golongan yang berpengetahuan atau ahli/pakar seringkali kita abaikan. Jika amalan ini yang kita amalkan,nescaya budaya di facebook secara membabi buta dan membuta tuli tidak akan berlaku. 

Siapakah golongan pakar atau ahli dalam isu cuaca dan suhu? Tentu sahaja para pakar meteorologi sebab mereka terdiri daripada golongan professional yang melakukan penyelidikan dan kajian yang mendalam mengenai cuaca dan suhu serta apa sahaja yang berkaitan dengannya. Fakta dan data yang mereka kemukakan tentu sahaja bersandarkan kajian dan penyeldikan yang menggunakan peralatan atau teknologi yang canggih dan terkini. Jadi pandangan para pakar meteorologi perlu kita terima. 

Sebagaimana kita merujuk kepada JAKIM tetang status halal dan haram sesuatu produk, maka begitulah jugalah dengan merujuk JMM dalam urusan suhu dan cuaca kerana ini menepati kehendak Allah sebagaimana firman-Nya 

“Fas alu ahla zikri in kuntum la ta’lamun ”(bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui). 

Jadi,cukup-cukuplah menjadi manusia yang rakus dan gopoh. Sudah-sudahlah bersikap ghairah tak menentu, hingga pantang terbaca dan terdengar sesuatu cerita terus dikongsi di facebook.

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Salji turun di Mesir, dunia hampir kiamat

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib kembali ke rahmatullah



Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini. Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi. Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham. 

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum. “Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily. 

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum. “Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala,” ujarnya lagi. 

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut. 

Info Tambahan: 

Selamat Jalan Sang Murabbi. Moga damai engkau di sana wahai pejuang agama.

Selain itu, bekas Ketua Dewan PAS(sebelum Almarhum TG Harun Taib),iaitu Ustaz Muhammad Daud Iraqi juga dikhabarkan dalam keadaan agak tenat(mengikut sumber) dan Timbalan Mursyidul AM PAS,TG Harun Din juga masih terlantar di hospital. Bersamalah kita mendoakan kesejahteraanya

Friday, January 24, 2014

Faktor cuaca sejuk di Malaysia oleh Jabatan Meteorologi Malaysia



Jabatan Meteorologi Malaysia mengatakan punca suhu sejuk yang dialami di Malaysia,terutamanya di sekitar kawasan Pantai Timur dan utara semenanjung adalah disebabkan tiupan angin timur laut yang agak kencang yang berpunca dari tanah besar China yang pada ketika ini sedang mengalami musim sejuk. 
 
Selain itu,keadaan litupan awan yang kurang di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi. 
 
Keadaan ini akan berlarutan sehingga awal minggu hadapan. 

Tiada kesan penderaan seksual pada mayat kanak-kanak,Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah.



Laporan awal bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak berusia dua tahun yang ditemui mati dibunuh di sebuah rumah kosong di Taman Permint, Seberang Paka Dungun tidak menunjukkan kesan penderaan seksual pada mangsa. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K.Manoharan berkata, hasil laporan awal bedah siasat yang dijalankan tidak menunjukkan mangsa dirogol mahupun diliwat. Bagaimanapun laporan itu belum muktamad dan polis masih menunggu laporan lanjut daripada bahagian Toksikologi bagi mengetahui punca sebenar kematian kanak-kanak itu, katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Selasa lepas mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan perumahan baharu itu kira-kira 3.30 petang selepas terlihat pintu utama rumah berkenaan terbuka serta terhidu bau busuk. Curiga dengan bau itu pengawal keselamatan itu masuk ke dalam rumah berkenaan dan menemui mayat kanak-kanak itu dalam keadaan terbaring di bilik air. -

Sumber:kosmo

Info terkini produk Double Stemcell/Phytoscience

Kecoh sekecoh-kecohnya apabila Mazidul Akmal mendedahkan produk Double Stemcell tidak memiliki sijil halal dari JAKIM. Ramai golongan yang 'memperjuangkan' Double Stemcell atau bahasa mudahnya biz kaaching bangkit mempertahankan produk tersebut. 

Berdasarkan kenyataan dari PhytoScience Double Stem Cell, pihaknya telah berbincang dan berunding dengan pihak JAKIM, dan masalah telah selesai. Jadi, produk ini boleh digunakan. 

Apapun saya mengharapkan agar PhytoScience Double Stem Cell sudi menyahut cabaran daripada Mazidul Akmal,agar mempamerkan sijil halal sebagai bukti, lihat sini

Wednesday, January 22, 2014

KHASIAT DAN KEBAIKAN TEH HIJAU.


Teh hijau telah digunakan sebagai ubat sejak ratusan tahun lagi. Ia berasal dari China dan digunakan secara meluas di negara Asia. 

Teh hijau mengandungi bahan antioksida dan polifenol yang memberikan banyak kebaikan pada kesihatan manusia. 

Khasiat teh hijau amat banyak, antaranya ialah: 
  • Dapat merendahkan tekanan darah  
  • Membantu meningkatan metabolism, seterusnya mengurangkan berat badan 
  • Mengawal glukos dalam darah  
  • Melindungi salur darah  
  • Mengurangkan kolestrol tidak baik dalam tubuh  
  • Menjaga sel otak dari kerosakan 
  • Menjaga kesihatan gigi dan mengelakkanya dari mereput.  
  • Teh hijau juga mengandungi sejenis asid amino, theanine yang bermanfaat memberikan kesan menenagkan serta bersifat anti-bakteria. 

Sumber: Harian Metro,Isnin, 20 Jan.2014.

Monday, January 20, 2014

PRODUK DOUBLE STEMCELL TIDAK MEMILIKI SIJIL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA - JAKIM



Jutaan terima kasih perlu diucapkan kepada Mazidul Akmal atas pendedahan ini. Berikut saya copy & paste dari blognya. 

Tuan/puan 

JAKIM mengesahkan bahawa produk Double Stemcell dari syarikat Phytoscience merupakan BUKAN PEMEGANG SIJIL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA. 

Hasil siasatan JAKIM, syarikat tersebut didapati telah menggunakan logo halal secara salah dan perkara ini adalah bersalahan dengan Akta Perihal Dagangan 2011. Jika disabitkan kesalahan, syarikat berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM200,000.00 bagi kesalahan pertama. 

Sehubungan itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pegawai Perhubungan Awam Bahagian Hub Halal, Cik Nadia Zammil Md Nasir sebelum ini adalah BENAR,

Pengguna di luar khususnya dinasihatkan untuk berhati-hati memilih produk halal sebagai produk gunaan seharian dalam kehidupan. Sekian, terima kasih Seksyen Komunikasi Korporat Jabatan kemajuan Islam Malaysia 20 Januari 2014 Info lanjut, sila ke blog , Mazidulakmal 

Info Tambahan: 

Apapun kita janganlah cepat melatah mengharamkan produk tersebut, sebab tidak memiliki sijil halal JAKIM bukanlah bererti haram, cuma ia salah dari segi undang-undang.

Sunday, January 19, 2014

APABILA UPIN DAN IPIN DIKAFIRKAN


Jika dahulu, Psy pernah difitnah, kononnya lagu Gangnam Style telah menghina islam atau lebih tepat lagi mempersendakan persitiwa Israk dan Mikraj. Betapa ramai umat islam yang mandul akal dan terus mempercayai dakwaan tersebut tanpa usul periksa dan terus dikongsi(share) ke facebook masing-masing. 

Rakus sungguh! Kononnya cakna agama, hakikatnya tolol dan bahlul sebab tindakannya telah menyebabkan agama islam kelihatan amat hodoh dan sangat bodoh. Antara tukang share tersebut ialah sahabat saya, Apabila saya mempersoalkan tindakannya, lantas dia bertanya, Kau faham bahasa korea ke ? 

Itulah mentaliti seorang manusia yang rakus , lagi malang si rakus ini terdiri daripada umat islam. mungkin dia tidak tahu, di Korea juga terdapat umat islam walaupun sekadar minoriti. Mungkin dia tak tahu, betapa ramainya warga dunia termasuklah umat islam yang dapat memahami bahasa Korea.


   

Itu dahulu dan sekarang Upin dan Ipin mengalami nasib yang sama. Upin dan Ipin dituduh menghina islam. 

Upin didakwa berasal dari bahasa Amerika. Upin bermakna Aku Benci Rasul, manakala Ipin pula bermakna Aku Suka Israil. Tolol betul tukang fitnah dan bahlul sungguh tukang share. 

Tidakkah mereka tahu, bahasa yang digunakan di Amerika Syarikat ialah Bahasa Inggeris. Jadi hanya golongan buta huruf sahaja yang selayaknya percaya dengan dakwaan ini, sebab mereka tidak boleh membaca, apatah lagi untuk merujuk kamus.

Jadi, usahlah terpedaya dengan fitnah yang amat tidak cerdik ini. Jangan jadi tukang share yang buta mata dan pekak telinga. Perhati dan telitilah kebenaran terlebih dahulu sebelum dikongsi. 

p/s: Begitu juga dengan perihal haram yang tersebar di internet termasuklah terhadap produk-produk tertentu. Kebanyakkannya bukanlah bermotifkan agama tetapi berkiblatkan ekonomi. Jadi jangan jadi tukang share tanpa maklumat yang tepat.

[DASYAT] Ibu Sediakan Tempat Untuk Anak dan Teman Lelakinya Di Rumah



Nusajaya : Untuk mengelakkan anak perempuannya dicekup melakukan maksiat kali kedua, seorang ibu bukan saja bersubahat membenarkan anaknya itu membawa pulang teman lelaki, malah turut menyediakan tempat tidur di rumah mereka di Taman Nusantara di sini.

Beberapa bulan lalu pasangan berkenaan pernah ditangkap khalwat di pusat riadah kawasan perumahan itu, namun tidak insaf, sebaliknya meneruskan kegiatan sumbang dengan ibu si perempuan turut bersekongkol.

Bagaimanapun, kelakuan mengaibkan dua beranak itu terbongkar hasil intipan penguat kuasa Jabatan Agama Johor dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Biro Keselamatan dan Jawatankuasa Surau Taman Nusantara, baru-baru ini. Pengerusi Biro Keselamatan Taman Nusantara, Ismail Rejab, 46, berkata serbuan dijalankan ke rumah dua beranak itu kira-kira jam 5 pagi dan ketika diserbu teman lelaki gadis itu tidur di tingkat bawah manakala teman wanitanya di tingkat atas.

 “Pasangan berusia 20-an itu seolah-olah mendapat lesen daripada ibu gadis itu apabila kerap membawa balik teman lelaki pada siang mahupun malam. Kami juga difahamkan ibu itu membenarkan mereka berdua-duaan di rumah. 

 “Ibu gadis itu berusia 50-an mengakui kesilapan membiarkan anaknya bebas bergaul hingga membawa balik teman lelaki dan berjanji akan mengawasi kegiatan anak perempuannya,” katanya sambil memaklumkan anak wanita itu juga diberi kaunseling supaya tidak mengulangi perbuatannya. 

Sementara itu, Ismail berkata, terdahulu, pihaknya membuat serbuan ke sebuah kediaman seorang gadis, 20, yang tinggal bersama rakannya, kira-kira jam 3.30 pagi. 

Menurutnya, gadis itu mengambil masa setengah jam membuka pintu rumah. “Selepas diberi amaran, gadis itu memakai kemeja-T dan berseluar pendek membuka pintu sebelum pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 23 tahun berasal dari Kampung Melayu, Gelang Patah berada di dalam bilik tidurnya. 

Pasangan itu diserahkan kepada pegawai pencegah maksiat Jabatan Agama Johor manakala teman serumah wanita itu diambil keterangan kerana disyaki bersubahat,” katanya. Sementara itu, Imam 1 Taman Nusantara, Samsul Adha, 40, berkata pihaknya sentiasa berusaha membanteras kegiatan tidak bermoral di kalangan anak muda di kawasan perumahan itu. 

“Kami berharap supaya golongan anak muda tidak memandang ringan usaha membanteras maksiat yang dijalankan,”

 Sumber: GREENBOC

Monday, January 13, 2014

Trip ke Seoul, korea Selatan


Annyeong Haseyo? 

Agak lama saya tidak menulis sebarang entry untuk label/kategori Travelog. Kali ini entry saya berkisar sekitar kunjungan saya ke Seoul Korea Selatan pada 16 hingga 22 Disember 2013. 

Sebenarnya saya merancang untuk ke Korea Selatan pada penghujung tahun 2012, tapi tiba-tiba saya membatalkan hasrat kerana India, khasnya keindahan Kashmir lebih mengamit hati dan minat. Sekitar bulan Mei baru-baru ini, beberapa orang rakan mengajak saya untuk ke Korea, tapi saya terpaksa menolak pelawaan tersebut memandangkan saya sudah merancang untuk menunaikan umrah di Tanah Suci pada masa itu. 

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya berkesempatan berkunjung ke Korea Selatan pada penghujung 2013. Kunjungan pada musim sejuk atau winter dengan suhunya sekitar negatif tiga darjah celcius( -3ºC ), dan di sesetengah tempat suhunya mencapai negatiif tujuh darjah celcius ( -7ºC ). 
Rumah & jalan diselimuti salji. Putih mata memandang

Kunjungan saya ke Korea hanyalah sekitar enam hari sahaja. Sepanjang tempoh itu, saya sempat ke beberapa lokasi, antaranya, Nami Island, Namsan Tower, Gyeongbokgung Palace atau dikenali juga sebagai Kyungbok Palace, Namdaemun Market, Dongdaemun Market, Mountain Seoraksan National Park atau singkatannya Mt Sorak, Everland Theme Park, Pheonix Park Ski World, National Folk Museum, Pheonix Park Ski World, Seoul Central Mosque dan beberapa tempat lagi. 

Aku di Nami Island
  

Sebelum melanjutkan bicara, saya paparkan sedikit info penting: 
  • Penerbangan dari LCCT ke Incheon International mengambil masa lebih kurang 6 jam 30 minit. 
  • Beza waktu: Korea Selatan lebih awal satu jam. Jika di Malaysia 8.00 AM, maknanya di Korea Selatan adalah 9.00 AM 
  • Mata wang Korea ialah Won dan kadar tukaran asing ketika kunjungan saya tempoh hari ialah, 1.00 MYR bersamaan 321.279 KRW. 

Nami Island

Namsan Tower merupakan destinasi pertama yang saya dan rakan-rakan kunjungi. Namsan Tower berada di atas bukit dan ia menjadi kebanggaan rakyat Korea Selatan, terutamanya warga Seoul, sebagaimana rakyat Malaysia berbangga dengan Menara Kuala Lumpur dan rakyat Indonesia berbangga dengan Menara Monas. Namsan Tower menjadi tumpuan para pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong asing. 

Kereta-kereta yang diselimuti salji


Tapi sayang, ketika sampai di Namsan Tower, gelap malam sudah menguasai Seoul. Walaupun baru pukul 5.30 PM waktu Korea, tapi ketika musim sejuk, waktu malamnya lebih panjang berbanding waktu siang. Malah waktu maghrib juga sekitar pukul 5.16 PM. Disebabkan gelap malam dan ditambah pula dengan kepenatan, selera untuk merakam gambar menjadi luntur. Walaupun sempat merakam beberapa gambar, namun kualitinya agak teruk. Jadi, saya tidak upload gambar-gambar di sekitar Namsan Tower dalam entry ini.

Mt. Sorak

                                                                       
Sempat juga saya dan rakan-rakan ke kawasan yang digelar love pad lock. Kawasan ini dipenuhi dengan padlock yang menjadi simbolik cinta. 

Pada kunci-kunci yang tertera nama pasangan/couple dan mereka seakan-akan mengunci cinta mereka masing-masing. Atau dengan bahasa yang lebih mudah, pasangan couple tersebut akan setia selamanya dan tidak akan berpaling serta tidak sesekali berlaku curang. Perkara yang sama juga dapat kita lihat andainya berkunjung ke Tembok Besar China. 

Mt. Sorak
Mt. Sorak
   
Keesokkan harinya saya dan rakan-rakan ke Nami Island. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam dari hotel penginapan kami di Seoul. Sepanjang perjalanan dapat saya perhatikan, kebanyakkan tempat di Seoul telah diselimuti salji yang memutih.

Nami Island! Pasti sahaja lokasi ini amat dikenali oleh peminat drama popular Korea, Winter Sonata. Ini kerana pulau tersebut menjadi lokasi penggambaran drama Winter Sonata. Malah drama tersebutlah yang mempopularkan pulau ini. Lokasinya lebih kurang 63km dari Seoul. Berada di Pulau ini, anda berpeluang menjiwai babak-babak dalam drama Winter Sonata. 

Mt. Sorak

Setelah menjelajah Nami Island, kami meneruskan lagi kembara ke bumi Korea. Lokasi seterusnya ialah Mountain Seoraksan National Park atau singkatannya Mt Sorak. Ia merupakan sebuah kawasan pergunungan di bahagian utara Korea Selatan. 

Sebaik sahaja sampai di sini, mata langsung terpandang sebuah patung beruang yang terletak di hadapan pintu masuk ke pergunungan ini. Sebenarnya,ada sejarah dan metosnya yang tersendiri di sebalik patung beruang itu. Beberapa ketika kemudian salji mulai mencurah, sekali gus menambahkan kesejukkan yang telah tesedia.Tanpa berlengah kami menuju ke untuk ke Seorak's cable car untuk ke kawasan pergunungan tersebut. Perjalanan hanya memakan masa beberapa minit sahaja, maaf saya lupa secara tepat. Ketika sampai di pergunungan tersebut, kami ‘dihidang ‘ dengan hamparan salji yang memutih dan jauh lebih tebal berbanding di Nami Island 

Pheonix Park Ski World
Pheonix Park Ski World
 
Keesokan harinya destinasi yang dituju ialah Pheonix Park Ski World. Phoenix Park adalah antara beberapa tempat bermain ski yangsering dikunjungi, terutamanya oleh anak muda-anak muda. Lokasinya ialah di Pyeongchang-gun, Gangwon-do. Usah risau jika tidak berkemahiran untuk bermain ski, kerana kita akan diajar teknik dan kaedahnya. Tapi, saya lebih selesa memerhati orang-orang bermain ski sambil menikmati kopi panas. 

Pheonix Park Ski World


Everland Theme Park pula merupakan sebuah taman tema terletak di Yongin, sebuah bandar di wilayah Gyeonggi-do. Ia merupakan taman tema yang terbesar di Korea Selatan. Ia turut merangkumi safari yang memuatkan beberapa jenis binatang dan taman air yang dikenali sebagai Bay Caribbean. 
 
Pheonix Park Ski World

Gyeongbokgung Palace atau Gyeongbok Palace atau istana Kyungbok juga merupakan destinasi wajib dikunjungi andainya berkunjung ke Korea. Istana ini terletak di utara Seoul, Korea Selatan dan mula dibina pada 1395. Gyeongbok Palace merupakan salah satu landmark kota Seoul.

Abadikan kenangan tika menunggu shuttle bas yang akan membawa masuk ke Everland.
  
Gyeongbokgung merupakan kompleks istana yang sangat luas, namun ia kemudiannya dimusnahkan oleh pihak Jepun ketika menceroboh Korea sekitar tahun 1592. Kemudiannya ia dibangunkan kembali. 

Malangnya, ketika Jepun kembali menjajah Korea pada tahun 1900-an, hampir keseluruhan istana ini dimusnahkan. kerajaan Korea telah bertanggungjawab membinanya semula dan proses baikpulih siap sepenuhnya pada tahun 2010.

Pintu masuk ke Everland Theme Park.

Kunjungan saya ke Gyeongbokgung Palace tempoh hari bolehlah dianggap agak malang kerana tidak berkesempatan menonton upacara pertukaran pengawal(Royal Guard Changing Ceremony), kerana kesuntukkan masa. Upacara pertukaran pegawal yang memakai pakaian tradisional berwarna-warni beserta dengan replika pedang, memang dinanti-nantikan oleh para pengunjung Gyeongbokgung Palace


Pokok-pokok bunga yang diselimuti salji
    
     Aku di Everland Theme Park.

Seoul Central Mosque! masjid ini menjadi bukti penyebaran agama islam di bumi Korea Selatan. Saya dan rakan-rakan berkunjung ke masjid ini pada hari terakhir berada di Seoul. Kebetulan pula, kunjungan kami pada hari jumaat, jadi sempatlah saya dan rakan-rakan menunaikan solat jumaat bersama-sama saudara seakidah dari pelbagai warna kulit di masjid ini.  
 
Seoul Central Mosque terletak di Itaewon. Di sini makanan halal senang didapati, malah tidak jauh dari masjid banyak terdapat restoran makanan halal, baik dari Timur Tengah, Turki dan India. Jadi kepada pelancong yang beragama islam, berkunjung ke Itaewon terutamanya ke Seoul Cenral Mosque adalah sesuatu yang perlu. 

Menikmati salji yang turun renyai-renyai di Everland Theme Park

Malam terakhir di Seoul, saya dan rakan-rakan ke Nangdaemun market. Ia merupakan tempat yang menarik untuk membeli belah. Namun disebabkan keletihan, selera kami untuk membeli belah menjadi agak tumpul, lantas saya memutuskan untuk sekadar menjadi pemerhati. Memerhatikan kemeriahan jual beli Nangdaemun Market. 


Gyeongbokgung Palace
Aku di Gyeongbokgung Palace
Gyeongbokgung Palace
Gyeongbokgung Palace
Seoul Central Mosque
Di sekitar Seoul Central Mosque, 
 makanan halal mudah didapati.



Tajuk Lain Yang Berkaitan: