Sunday, August 31, 2014

10 negara yang pernah menyekat Facebook.


Facebook mula dianggap sebagai ancaman Malaysia, sebenarnya ia telah lama dianggap sedemikian oleh beberapa buah negara lain. Terdapat pelbagai alasan untuk negara-negara tertentu menyekat penggunaan facebook. 

Namun, di Malaysia, Facebook dikatakan mampu mengancam dan menggugat perpaduan kaum dan keharmonian masyarakat. 
Berikut adalah 10 buah negara yang pernah menyekat Facebook. 

1. Korea Utara. 

Semasa pemerintahan Kim Jong Un, Korea Utara mengamalkan dasar menutup maklumat dari dunia luar, dan segala maklumat hanya berkisar dalam lingkungan informasi domestik sahaja. Walaupun dikatakan Univesiti Sains dan Teknologi Pyongyang boleh mengaksesnya, ramai dalam kalangan rakyatnya tidak berbuat demikian kerana takut diambil tindakan. 

2. Iran.

Akses kepada laman sosial seperti Facebook hanya boleh dilakukan mengikut proksi internet tertentu sahaja. Facebook ditutup secara rasmi ketika pilihan raya 2009 berikutkan kemaraan pergerakkan berhaluan kiri ketika itu yang disusun melalui online. 

3. China. 

China telah membangunkan laman sosial sendiri dan menutup facebook. Meskipun ia dibuka semula di kawasan perindustrian seperti Shanghai, masih banyak kawasan yang tidak boleh mengaksesnya. Facebook pertama kali disekat pada Julai 2009 selepas demontrasi aktivis Xinjiang yang dikatakan menentang Kerajaan dengan menggunakan Facebook untuk berkomunikasi, merancang dan menyusun strategi. 

4. Cuba. 

Facebook tidak disekat secara rasmi, tetapi terlalu sukar untuk mengaksesnya di rumah sendiri. Ada yang mengatakan, jika mahu mengakses facebook, perlulah ke pusat siber yang dikawal selia. 

5. Bangladesh. 

Pertama kali facebook disekat selepas penyebaran gambar yang dikatakan Nabi Muhammad pada tahun 2010. 

6. Mesir. 

Pergolakan politik menyaksikan ia disekat sementara pada tahun 2011 dan pengguna terpaksa mencari proksi lain bagi membukanya. 

7.Syria. 

Sejak ‘Arab Spring’ bermula tahun 2007, Syria mengenakan sekatan ke atas facebook bagi mengelakkan rakyatnya berkongsi maklumat. 

8. Mauritius. 

Terdapat segelintir rakyatnya yang gemar memulakan akuan selebriti palsu, namun apabila ‘page’ palsu mengenai Perdana Menteri Dr Navin Ramgoolam, kerajaan terus menyekatnya untuk tempoh sehari.Tetapi kini, Dr Ramgoolam sendiri sudah membuka akaun facebooknya secara rasmi 

9. Pakistan 

Sama seperti Bangladesh, Pakistan menyekat facebook berikutan penyebaran gambar Nabi Muhammad. Sekatan terbabit berlaku selama dua minggu. 

10. Vietnam. 

Pada November 2009, pengguna facebook Vietnam tidak boleh mengakses laman terbabit untuk beberapa hari selepas dikatakan berlaku kebocoran data kerajaan.

Thursday, August 28, 2014

Hukum menyiar lagu atau filem artis yang telah meninggal dunia


Kecoh sekecohnya apabila TV3 menyiarkan satu dokumentari mengenai Allahyarham Dato’ Sharifah Aini dengan memaparkan gambar-gambar arwah yang tidak menutup aurat. 

Ramai penonton tidak berpuas hati dengan tindakan TV3 yang dikatakan tidak sensitif dengan permintaan terakhir arwah. Sebelum meninggal dunia, Allahyarham berpesan dan memohon supaya gambar-gambar lamanya yang tidak menutup aurat tidak disiarkan di televisyen. 

Apakah hukumnya menyiar lagu atau filem artis yang telah meninggal dunia. 

Adakah penyiaran filem atau lagu artis-artis yang sudah meninggal dunia akan memberi kesan atau dosa dan pahala kepada artis tersebut andainya.

Sebenarnya, jika filem atau lagu tersebut mempunyai mesej yang baik atau positif seperti menyeru manusia ke arah kebaikan, mengajak manusia agar lebih akrab dengan Tuhan, serta tidak menodai batas-batas agama, maka si pelakon tersebut akan berterusan memperolehi pahalanya walaupun sesudah kematiannya. 

Namun, jika lagu atau filem tersebut mempunyai unsur- unsur negatif seperti membuka aurat , lucah atau apa sahaja watak yang bertentangan dengan agama. Ia bergantung kepada keadaan. 

Pertama :Jika si pelakon memang menyukai dan berbangga dengan watak, filem atau lagu tersebut dan tidak pernah menyesal atau bertaubat di atas kesalahannya melakonkan watak tersebut, maka dia akan berterusan menanggung dosa walaupun sesudah kematiannya. 

Kedua : Seandainya dia menyesali atau bertaubat di atas segala watak,aksi, filem atau lagu yang berunsur negatif yang pernah dilakonkannya. Maka dia tidak lagi bersalah, walaupun filem dan lagu yang berunsur negatif itu terus diulang tayang. Artis yang meninggal tadi tidak lagi menanggung dosa, ini kerana kuasa penyiaran itu bukanlah berada di bawah kekuasaanya tetapi di bawah kuasa pihak lain seperti penerbit dan stesyen tv. Dalam hal ini, pihak yang menyiarkan sahaja yang menanggung dosa tersebut.

Info Tambahan: 

Begitu juga dengan isu mayat tersiksa atau diazab kerana ratapan ahli keluarga. Tentu tidak adil apabila si mayat menerima padah/seksaan sedangkan yang meratapAdakah adalah ahli keluarganya. Sebenarnya, masyarakat Arab Jahiliah mengajar/berpesan kepada ahli keluarganya agar menangis dan meratapi kematiannya. Meratap dengan cara menyebut segala kebaikannya semasa hidup. Jadi, perbuatan meratap tersebut adalah berpunca daripada suruhan atau dengan restu si mati, oleh sebab itu maka si mati akan menerima azab tangisan tersebut.

Monday, August 25, 2014

Hijrah Azwan Ali, jadi Muslimah yang solehah


Alhamdulillah, akhirnya Azwan Ali telah insaf dan berhijrah ke ‘jalan yang benar’. Setelah pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci baru-baru ini, Azwan telah berhijrah menjadi seorang Muslimah yang solehah.

Thursday, August 21, 2014

Pelampau Yahudi membantah perkahwinan antara Muslim - Yahudi


Hukum asalnya adalah halal, harus dan dibenarkan. Lelaki islam dibenarkan/dihalalkan mengahwini wanita Yahudi dan Nasrani, tanpa perlu mereka menukarkan agama asalnya. Ini kerana mereka tergolong dalam kategori Ahli Kitab. 

Namun hukumnya bergantung kepada situasi atau keadaan, malah pemerintah berhak mengetatkan syarat-syarat perkahwinan dengan wanita ahli kitab. 

Sayidina Umar al-Khattab pernah melarang Huzaifah Ibn Yaman daripada mengahwini wanita ahli kitab, namun dalam masa yang sama terdapat dalam kalangan sahabat-sahabat yang mengahwini wanita ahli kitab. Mengapa Umar melarangnya? 

Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ( sila rujuk Harakah1-15 Julai 2002),Larangan Umar bukanlah menaskhkan(memansuhkan) hukum mengahwini wanita ahli kitab, tetapi larangan tersebut termasuk dalam pendekatan Siasah Syar’iyyah. Ini kerana Huzaifah merupakan pegawai tinggi tentera atau panglima tentera ketika pemerintahan Umar al-Khattab. 

Jadi larangan Umar tentu sahaja mempunyai maslahah yang tersendiri dan ia perlu dilihat dari segi politik dan keselamatan negara ( sila rujuk Dr. Abd Monir Yacoob, Mantan Ketua Pengarah IKIM, buku Sejarah Perundangan Islam, M/S: 121). 

Dalam kes di atas pula (akhbar kosmo), wanita Yahudi tersebut telah memeluk islam dan ia menerima bantahan daripada puak pelampau Yahudi. Malah, mereka menyifatkan wanita tersebut sebagai pengkhianat Yahudi 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Hukum Mengahwini Wanita Ahli KItab

Friday, August 15, 2014

e-Fatwa: Hukum Perkahwinan Dengan Wanita Ahli Kitab

 
Ahli Kitab merujuk kepada penganut agama Yahudi dan Kristian. Persoalannya adakah masih wujud ahli kitab pada zaman ini, atau telah pupuskah mereka setelah pupusnya keaslian kitab Taurat dan Injil. Adakah penganut kedua-dua agama ini masih boleh ditakrifkan sebagai ahli kitab,sedangkan kitab pegangan mereka,iaitu Taurat dan Injil telah banyak diubahsuai. Dengan kata lain, pegangan mereka telah jauh tersasar dari ajaran Nabi Musa A.S dan Isa A.S. 

Ini menjadi perbahasan dalam kalangan ulama, namun Jumhur(Majoriti) Ulama mengatakan, ahli kitab masih lagi wujud,meskipun mereka tidak lagi berpegang kepada kitab yang asal. 

Di sini saya paparkan pencerahan/penjelasan dari e- fatwa selaku Portal Rasmi Fatwa Malaysia mengenai status Ahli Kitab dan Hukum Mengahwini Wanita Ahli Kitab.

 Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis Bil. 2/2010 yang bersidang pada 1 Jun 2010 / 18 Jamadilakhir 1431H telah membincangkan mengenai Hukum Perkahwinan Dengan Wanita Ahli Kitab. 

Mesyuarat telah memutuskan bahawa Hukum perkahwinan lelaki Muslim dengan wanita Ahli Kitab pada dasarnya adalah HARUS’. 

Keterangan/Hujah: 

PENJELASAN 

Walau bagaimanapun, hendaklah mengambil kira beberapa perkara berikut sebagai pertimbangan : 

1) Hendaklah wanita itu benar-benar seorang Ahli Kitab beragama Yahudi atau Nasrani, bukan Atheis yang tidak mempercayai Tuhan kerana golongan ini terkeluar daripada mafhum Ahli Kitab. 

2) Hendaklah wanita Ahli Kitab itu bukan dari golongan kafir harbi (yang wajib diperangi). Ini adalah kerana bimbang kehidupan anak di negara kafir harbi dan keadaan wanita itu sering berurusan dengan benda haram seperti arak dan babi. 

3) Hendaklah wanita itu seorang yang muhsanah (menjaga kehormatan diri) sebagaimana firman Allah SWT (maksudnya) :

 ‘Dan dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan daripada kalangan wanita beriman dan wanita yang menjaga kehormatan daripada golongan yang diberi Kitab sebelum kamu’.

4) Hendaklah wanita itu tunduk kepada konsep qiwamah ar-rijal (keketuaan lelaki) dalam rumah tangga. Syarat ini diambil daripada hikmah di sebalik pengharaman perkahwinan antara muslim dengan lelaki Ahli Kitab. Kerana keketuaan dalam keluarga adalah milik suami, justeru isteri perlu menghormati suami sebagai ketua keluarga;

dan Mesyuarat juga bersetuju bahawa maksud Ahli Kitab secara umum ialah ‘orang-orang yang masih berpegang kepada Kitab Taurat dan Injil walaupun kitab itu sudah diselewengkan sebelum Al-Quran diturunkan’. Tetapi Al-Quran masih menganggap mereka itu Ahli Kitab. 

Sumber: e-Fatwa 

Lebih lanjut tentang Hukum Mengahwini Wanita Ahli Kitab, sila klik -->SINI

Dr MAZA CADANG ANWAR IBRAHIM BERSARA DARI POLITIK.


Mantan Mufti Perlis, .Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin(Dr MAZA) mencadangkan agar Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim(DSAI) bersara dari politik. Ini kerana DSAI telah menghuru-harakan Selangor demi mencapai cita-cita peribadinya. 



Ini bukanlah kali pertama, Dr Maza mengemukakan cadangan sebegini. Malah sebelum PRU13 beliau pernah mengemukakan cadangan yang sama. 

Malah, ketika kempen Kajang Move, Dr MAZA juga turut mengkritik keras tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang untuk memberi laluan kepada DSAI, yang kemudiannya digantikan dengan Datin Seri Dr Wan Azizah.

Monday, August 11, 2014

SIMPTOM DEMAM DENGGI.


Demam denggi ialah sejenis penykit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa sejak beberapa lalu. Peningkatan mendadak jangkitan virus denggi bukan hanya berlaku di negara ini, tapi di seluruh dunia. 

Penyakit yang boleh membawa maut itu kini merupakan fenomena global. Kalau dahulu, serangan virus denggi ini hanya berlaku di negara beriklim tropika dan subtropika, tetapi sekarang ia merebak ke negara-negara yang bukan beriklim sebegitu.

Disebabkan demam denggi amat berbahaya, jadi kita perlu ketahui simptom atau tanda-tandanya. Berikut merupakan simptom demam denggi. 

SIMPTOM DEMAM DENGGI. 

  • Demam selama 4-5 hari berturut-turut
  • Sakit kepala 
  • Sakit lutut dan sendi 
  • Ruam di badan 
  • Loya dan muntah 
  • Hilang selera makan 
  • Cirit-birit. 

Dipetik dan diubahsuai dari Mingguan Malaysia( Pancawarna), 03.08.2014

Tuesday, August 5, 2014

ZAID IBRAHIM MENGHINA ISLAM


Friday, August 1, 2014

Haramkah Selfie di tanah perkuburan?


Hukum berselfie di tanah perkuburan tidaklah haram secara mutlak. Ia bergantung kepada beberapa keadaan termasuklah niat dan tujuan, Ia diharuskan selagi mana adab dan tata susila dijaga dan dipelihara. 

Jangan fokuskan kepada hukum selfie dan bergambar sahaja, tapi lebih penting untuk fokuskan kepada hukum menziarahi kubur pada hari raya. 

Masih ramai umat islam di Malaysia yang menganggapnya sebagai sunat dan menyandarkan amalan tersebut kepada Nabi Muhammad S.A.W. Malah masih terdapat umat islam di Malaysia yang memandang serong terhadap individu yang tidak menziarahi kubur pada hari raya. 

Perlu dihebohkan kepada semua, sesungguhnya amalan ziarahi kubur pada hari raya hanyalah adat budaya atau warisan tradisi semata-mata. Dalam islam, kita tidak disuruh menziarahi kubur pada hari raya, sebaliknya kita dituntut untuk menziarahi saudara mara serta sahabat handai yang masih hidup. 

Jadi, amalan menziarahi kubur pada hari raya bukanlah amalan sunat, malah ia mungkin menjadi haram apabila terlalu ramai lelaki dan perempuan yang bukan mahram bercampur gaul di tanah perkuburan. 

Lebih lanjut tentang ini, lihat sahaja -->Hukum Menziarahi Kubur Pada Hari Raya 


INFO TAMBAHAN:

Menziarahi Kubur adalah untuk diri sendiri dan bukannya untuk si mati. jIka sekadar untuk mendoakan si mati, ia boleh dilakukan di mana sahaja kita berada. Menziarah kubur sebenarnya untuk merawat hati agar sentiasa mengingati mati. Mengingati mati bermakna mengingati dosa dan pahala. Mengingati dosa dan pahala bermakna mengingati syurga dan neraka. Mudah –mudahan dengan ini kita menjadi lebih teliti dalam mengatur jejak dan menyusun langkah, agar tidak terbabas dari landasan agama.