Sunday, November 30, 2014

Hukum wanita bersolat dengan memakai Telekung Lycra


Sebelum membicarakan hukum memakai telekung lycra, eloklah kita ketahui hukum memakai telekung. 

Umum mengetahui, telekung amat sinonim dengan wanita-wanita islam di Nusantara. Ia menjadi lumrah dan kebiasaan para muslimah di rantau ini. 

Namun, sebenarnya ia hanyalah budaya tempatan dan telekung bukanlah uniform untuk bersolat. Malah tiada uniform khas untuk bersolat, sebab syarat pakaian yang ingin digunakan untuk bersolat ialah bersih daripada najis dan menutupi aurat. 

Jadi apa sahaja pakaian dan apa sahaja warnanya, baik baju kurung, seluar,jubah atau apa sahaja, yang penting menutup aurat dan bersih daripada najis. Mudah dan senang, itulah ajaran islam. Lebih lanjut, lihat sahaja di --> SINI 

Tudung Lycra dan apakah hukum memakainya ketika bersolat? 

Tudung Lycra adalah tudung yang agak sendat dan melekat pada tubuh, begitulah saya difahamkan. Melalui pembacaan, saya difahamkan, ia akan menyebabkan si pemakainya kelihatan agak seksi. 

Jadi, adakah sah bersolat dengan memakai tudung Lycra.? 

Hukumnya sah solat seseorang wanita yang memakai tudung Lycra. Begitu juga dengan memakai pakaian yang ketat dan sendat, hukumnya adalah sah selagi aurat ditutup.

Mengenai solat, sesuatu pakaian yang tidak menampakkan warna kulit sudah dianggap menutup aurat dan boleh digunakan untuk bersolat. 

Syeikh Daud Fatani( maaf saya lupa nama kitabnya)mensyaratkan seseorang yang tidak mempunyai pakaian agar melumurkan lumpur ke badan untuk menutup warna kulitnya bagi membolehkannya bersolat. 

Hukum wanita memakai pakaian yang sendat dan ketat adalah haram jika dihadapan lelaki yang bukan mahram,namun ia tetap sah untuk bersolat. Walaubagaimanapun, cubalah untuk mengelak daripada memakainya dan tutuplah aurat dengan sempurna (tidak ketat dan tidak nipis) baik semasa bersolat mahupun di luar waktu solat. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan : Hukum Wanita Bersolat Tanpa Memakai Telekung

Monday, November 24, 2014

Gempa Bumi di Malaysia.



Mungkin ramai yang beranggapan Malaysia terselamat dan bebas daripada ancaman gempa bumi. 

Tepat dan benarkah anggapan tersebut ? 

Menurut Pakar Geologis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan sebagaimana dilaporkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 2 November 2014, negara mungkin tidak terlepas daripada ancaman gempa bumi berikutssn kewujudan beberapa sesar aktif di dalam kerak bumi. Kewujudan beberapa sesar aktif di beberapa lokasi di negara ini menunjukkan ada kebarangkalian Malaysia akan mengalami gempa bumi berskala sederhana pada masa hadapan walaupun terketak di luar kawaan Lingkaran Api Pasifik.

Menurutnya lagi, Sabah adalah negeri yang berisiko menerima gempa bumi kerana kewujudan sesar aktif dengan trend Barat Laut-Tenggara mengunjur dari Kundasang-Ranau-Pitas ke LahadDatu- Kunak-Tawau. Walaupun begitu ,Sabah tidak mungkin mengalami gempa bumi besar kerana terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. 

Pakar Geologis itu juga berpendapat, kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan menghampiri Malaysia. Ini kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan 

 Kategori Gempa Bumi( Ukuran Skala Richter)
  •  Lemah : Kurang daripada 5.0 
  •  Sederhana : 5 – 5.9
  •  Kuat : Lebih dari 6.0 

Berikut merupakan kejadian gempa yang bumi yang pernah berlaku di Malaysia. 

1. Lahad Datu, Sabah ( tahun 1976) : 6.2 Skala Ritcher 

Ia merupakan gempa bumi paling kuat yang pernah direkodkan di Malaysia. Dengan  kekuatan 6.2 skala Ritcher, gempa bumi tersebut telah mengakibatkan kerosakan harta benda dan  meretakkan bangunan. 

2. Ranau, Sabah ( tahun 1991) :  5.1 Skala Ritcher 

3.Jerantut, Pahang (27. Mac. 1999) : 3.2 Skala Ritcher

4. Manjung, Perak (29. April. 1999) :  2.8 Skala Ritcher 

5. Ranau, Sabah (1. Febuari 2014) : 4.8 Skala Ritcher 

6. Pulau Banggi, Kudat (29 Oktober 2014) : 4.4 Skala Ritcher 

Sumber : Dipetik dan diubahsuai dari Berita Harian 2 November 2014, m/s :9 

Tajuk lain yang berkaitan: 6 Gempa Bumi Terburuk di Dunia

Wednesday, November 19, 2014

Caj Arak dalam tiket penerbangan, MAS menghina islam.


Pendedahan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi benar-benar menghiris hati umat islam di Malaysia. Pendedahan tersebut tidak hanya mendedahkan betapa MAS tidak mesra syariah, malah ia membongkar kekejaman dan kezaliman syarikat penerbangan tersebut terhadap pengguna islam. 

Pendedahan tersebut mendedahkan bahawasanya setiap tiket yang dibeli oleh penumpang MAS turut merangkumi kos atau bayaran untuk menghidangkan/menyediakan arak di dalam pesawat tersebut. Atau dengan istilah mudahnya, setiap penumpang MAS telah dipaksa membayar harga arak. 

Tindakan ini merupakan satu penghinaan terhadap pengguna/penumpang yang beragama islam, kerana MAS telah memaksa mereka bersubahat dengan indsutri arak. Ini kerana para pengguna/penumpang islam telah mensubsidi arak untuk penumpang lain.

Apakah motif MAS menghidangkan arak di pesawat? 

Jika bermotifkan keuntungan, itu alasan yang amat tolol. Sebab MAS sejak akhir-akhir sentiasa rugi, apatah lagi dengan tragedi MH370 dan MH17. 

Saya tertarik dengan pandangan Pakar Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia(UUM),Prof Datuk Dr AmirHusin Baharuddin sebagaimana yang dilaporkan di dalam Sinar Harian( 19.November. 2014). 

Menurutnya, MAS perlu mengikut jejak langkah Emirates Airlines dan Brunei Airlines yang masih menjadi pilihan penumpang serata dunia, walaupun tidak menghidangkan arak. 

Paling dibimbangi MAS akan terus ‘diajar’ oleh Allah kerana sikap kurang ajarnya itu. Cukuplah dengan tragedi MH370 dan MH17. Jadikanlah kedua-dua tragedi tersebut sebagai iktibar untuk berubah dan seterusnya mesra syariah. 

Sebagai umat islam, kita tidak boleh sama sekali meredhai kemungkaran ini. Kita perlu menentangnya sedaya yang mampu dan sekudrat yang boleh. Langkah terbaik untuk mengajar MAS yang kurang ajar ini ialah dengan memboikot MAS. Jadi jangan guna MAS, seandainya terdapat syarikat penerbangan yang lain.

Sunday, November 16, 2014

TAKWIM PERSEKOLAHAN TAHUN 2015

Takwim persekolahan amat penting bagi membolehkan guru, ibu-bapa dan pelajar membuat perancangan, terutamanya melibatkan urusan cuti, melancong ,kenduri kendara dan lain-lan lagi. 

Takwim persekolahan 2015 di atas adalah untuk negeri Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak , dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Wednesday, November 12, 2014

EMPAT TAPAK WARISAN DUNIA DI MALAYSIA

gambar dari google


Sebut sahaja Tapak Warisan Dunia, pasti ramai yang terbayangkan Angkor Wat, Vatican City, Candi Borobodur dan Tembok Besar China. 

Sebenarnya sebanyak 981 kawasaan yang telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ia membabitkan 759 tapak bagi kebudayaan, 162 tapak bagi kawasan semula jadi dan 29 tapak bagi ciri-ciri yang bercampur. 

Sebagai warga Malaysia, kita sepatutnya berbangga kerana terdapat empat kawasan yang turut disenaraikan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

Empat kawasan tersebut ialah, Tapak Arkeologi Lembah Lenggong Perak,Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak, Taman Kinabalu, Sabah, serta Bandar Bersejarah Melaka dan Georgetown






Tapak Arkeologi Lembah Lenggong, Perak. 

Lenggong terletak 100 kilometer dari utara Ipoh. Bandar ini juga berhampiran dengan Gerik, Empangan Temenggor, Lawin, Kota Tampan dan Banding. 

Tapak arkelogi ini menjadi bukti wujudnya manusia sejak zaman Paleolitik (kira-kira 50 ribu hingga 100 ribu tahun dahulu ). Tapak berkenaan termasuklah Kota Tampan, Bukit Jawa di Kampung Gelok dan Kampung Temelong. 

Penemuan arkeologi yang paling terkenal di Lenggong ialah Perak Man, iaitu rangka manusia yang berusia 11 ribu tahun yang ditemui pada tahun 1990. Turut ditemui ialah peralatan batu berusia 100 ribu tahun. 

Penemuan kapak genggam pada tahun 2009 membuktikan kawasan itu merupakan satu-satunya tapak manusia Paleolitik yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu. 

Di samping itu, terdapat beberapa bukti lain yang turut dijumpai di sekitar Kota Tampan dan Gua Teluk Kelawar seperti tembikar, peralatan gangsa dan sebagainya.




gambar dari google



 Taman Kinabalu, Sabah. 

Ia merupakan kawasan pintu masuk ke Gunung Kinabalu yang berada pada ketinggian 1,585 meter di atas permukaan laut dan titik awal jalur puncak menuju puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter.

Taman ini meliputi kawasan keluasan 745 kilometer persegi membabitkan Gunung Kinabalu , Gunung Tambayukon dan kaki bukit. Ia memiliki sejarah geologi yang menarik dan dipercayai terbentuk sejak satu juta tahun lalu. 


Kepelbagaian bio di taman ini menyebabkan ia diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1964.

Dianggarkan Taman Kinabalu mempunyai antara 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan berbunga, 621 spesies paku-pakis dan lebih 1,000 spesies orkid sekali gus menjadikan ia terkenal dalam kalangan penyelidik dari seluruh dunia. 

Keunikan dan kepelbagaian yang ditawarkan menyebabkan ia turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember tahun 2000.





gambar dari google



Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak. 

Ia terletak di hulu Sungai Tutuh dengan keluasan kira-kira 544 kilometer persegi. Lokasi ini diwartakan sebagai Taman Negara pada 3 Oktober 1974 dan kemudiannya diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada November 2000. 

Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu (2,376 meter), Gunung Api (1,750 meter) dan Gunung Benarat (1,585 meter), Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan. Kawasan hutannya terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna. 

Taman Negara Gunung Mulu mempunyai rangkaian gua terpanjang dengan jarak 300 km. Uniknya ialah, kawasan ini memiliki ruang bawah tanah terbesar di dunia dikenali sebagai ‘Sarawak Chamber’ yang mampu menampung 40 buah kapal terbang jenis Boeing 747 

Selain itu, pengunjung juga boleh melawat Gua Rusa yang mempunyai terowong terbesar di dunia. 

Di sini juga terdapat tiga buah gunung yang boleh diterokai oleh peminat aktiviti lasak. Gua Mulu juga merupakan contoh terbaik proses luluhawa batu kapur tropika dihiasi rabung kapur serta ngarai yang dikenali sebagai ‘The Pinanacles’


gambar dari google
 
Bandar Bersejarah Melaka dan George Town 

Terletak di perairan Selat Melaka, bandar raya Melaka dan George Town merupakan contoh bandar kolonial bersejarah yang cukup menarik untuk dilawati di negara ini. 

Menjadi laluan perdagangan terpenting di rantau ini satu ketika dahulu, kedua-dua bandar raya itu memaparkan warisan kepelbagaian budaya serta tradisi Asia dan Barat yang masih terpelihara, tempat pertembungan pelbagai agama dan budaya. Kehadiran pelbagai elemen melalui aktiviti perdagangan itu diterjemahkan melalui keunikan seni bina bangunan, masyarakat, bahasa, perayaan, tarian, busana, seni dan muzik, makanan serta cara hidup seharian.

Di Melaka misalnya, pengunjung berpeluang meneroka keunikan dan tradisi masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Chingay yang masih diamalkan sehingga kini. Di samping itu, bandar raya itu juga terkenal dengan warisan peninggalan penjajah daripada era kolonial Portugis, Belanda dan Inggeris. Antara bangunan yang terkenal di situ ialah A Famosa, kota yang dibina Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. 

Menjadi bandar raya kedua terbesar di Malaysia dengan bilangan penduduk melebihi 700,000 orang, George Town banyak dipengaruhi penjajahan Inggeris bermula pada tahun 1786. Dianggarkan terdapat lebih 4,000 bangunan bersejarah di bandar raya itu yang berunsurkan era kolonial, Islam, Cina, Anglo India dan sebagainya. 

Antara bangunan warisan yang menjadi tumpuan pelancong ialah Rumah Syed Al-Atas, Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Tokong Yap. Pada Julai 2008, Melaka dan George Town telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO bagi kategori tapak budaya. 

 Sumber :
  •  1. Dipetik dan diubahsuai daripada Metro Ahad, 29 September 2013. M/S 32 dan 33. 
  • 2. Dipetik dan diubahsuai daripada Kosmo

Saturday, November 8, 2014

6 GEMPA BUMI TERBURUK DI DUNIA


GEMPA bumi ialah gegaran bumi yang disebabkan oleh rekahan dan penganjakan sebahagian besar lapisan luar batuan bumi secara tiba-tiba.

Gempa bumi yang kuat mampu untuk membebaskan tenaga 10,000 kali ganda lebih banyak daripada tenaga yang dibebaskan oleh ledakan bom atom yang menghancurkan Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan Nagasaki pada 9 Ogos 1945 di Jepun.

Gempa bumi boleh mencetuskan tanah runtuh, menyebabkan kerosakan serta kehilangan nyawa dan sekiranya ia terjadi di dasar lautan ia boleh mencipta siri ombak besar pemusnah yang dikenali sebagai tsunami atau ombak laut seismos seperti yang melanda Acheh pada 26 Disember 2004. 

Kebanyakan gempa bumi terjadi di sepanjang sesar iaitu rekahan di dalam lapisan luar batuan bumi di mana bahagian batuan menggelongsor berulang kali melepasi antara satu sama lain. Sesar berlaku di kawasan batuan bumi yang lemah. Tekanan di dalam bumi menyebabkan bongkah batuan yang besar di sepanjang sesar menjadi terikan.Apabila terikan menjadi terlalu kuat, batuan akan merekah dan pecah hingga membentuk kedudukan baru yang menyebabkan berlaku nya gegaran gempa bumi. 

Kategori Gempa Bumi( Ukuran Skala Richter) 
  • Lemah : Kurang daripada 5.0 
  • Sederhana : 5 – 5.9  
  • Kuat : Lebih dari 6.0 

Berikut antara kejadian gempa yang bumi terburuk di dunia. 

1. Ningxia, China (1920) 

Kira-kira 200 ribu orang terbunuh dalam gempa ini. Gempa yang berukuran 7.8 magnitud ini mencapai penarafan kemusnahan tertinggi (XII) pada Skala Mercalli. Gempa bumi ini juga telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh yang telah memusnahkan kampung Sujiahe dalam Wilayah Xiji dan kerosakan di Bandar-bnadar Longde,Huining, Lanzhou,Taiyuan,Xian, Xining dan . Yinchuan 

 2. Kanto, Jepun (1923) 

Dipanggil sebagai “Gempa Bumi Besar Kanto” yang berlangsung selama 4 minit. Ia berpusat di Teluk Sagami dan gempa ini telah menyebabkan kerosakan besar-besaran di Tokyo dan Yokohama. Gempa bumi ini juga telah menyebabkan berlakunya kebakaran terbesar di Jepun yang mengorbankan seramai 142 ribu nyawa 

3. Tangshan, China (1976) 

Gegaran berukuran 7.5 magnitud ini menyebabkan kematian hampir 250 ribu orang, manakala 800 ribu orang lagi cedera.

 4. Indonesia (2004)

Gempa bumi yang disertai Tsunami yang melanda Asia Selatan dan Timur selepas gempa bumi dengan magnitud mencecah 9.1 skala Richer. Kerosakkan paling teruk berlaku di Sumatera, manakala angka kematian mencapai 230,210 orang dan beribu orang hilang serta cedera.

 5. Szechuan, China (2008)

Dianggarkan kira-kira lima juta bangunan musnah dan 21 juta lagi rosak di wilayah Szechuan dan beberapa bahagian di Chongqing, Gansu, Hubei, Shaanxi dan Yunnan. Kos ekonomi gempa berukuran 7.9 magnitud itu dianggarkan berjumlah AS$86 billion (RM271.2 billion), manakala angka kematian pula dicatatkan seramai 90 ribu orang. 

6. Haiti (2010) 

Gempa bumi berukuran 7.0 skala Rither ini berlaku pada bulan Januari 2010. Ia merupakan gempa bumi terburuk dalam sejarah moden dengan lebih 300 ribu kematian dan 300 ribu lagi cedera. 

Sumber :
  1. Dipetik dan diubahsuai dari Berita Harian 2 November 2014, m/s :9  
  2. Dewan Bahasa dan Pustaka 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: 6 Letusan Gunung Berapi Terbesar di Dunia

Sunday, November 2, 2014

5 NEGARA TERKECIL DI DUNIA.


Sebut sahaja negara terkecil pasti ramai yang terbayangkan Brunei dan Singapura. Benar! Brunei dan Singapura termasuk dalam kategori negara kecil, kecil dari segi saiz atau keluasan dan juga dari segi jumlah penduduknya. Walaubagaimanapun Brunei dan Singapura tidak tersenarai dalam kategori negara terkecil di dunia. 



Berikut merupakan lima buah negara terkecil di dunia sebagaimana yang dipaparkan dalam akhbar berita harian bertarikh 2 November 2014. Lima buah negara tersebut ialah:


1. Vatican. 

  • Terletak di Benua Eropah.  
  • Keluasan negara tersebut ialah 0.44 kilometer persegi (KM²)). 
  • Jumlah penduduknya hanyalah seramai 839 orang. 

 2. Monaco.

  • Terletak di Benua Eropah.  
  • Keluasannya ialah 2 KM²   
  • Jumlah penduduknya pula seramai 30,500 juta orang. 

 3.Nauru
  • Negara ini terletak di Benua Oceania 
  • Keluasaan negara ini ialah 21 KM² 
  • Jumlah penduduk Nauru pula adalah seramai 9,434 orang 

 4. Tuvalu 
  • Terletak di Benua Oceania 
  • Keluasaan negara ini ialah 26 KM² 
  • Jumlah penduduk Tuvalu adalah seramai 1,698 orang 

 5. San Marino.

  • Negara ini terletak di Benua Eropah 
  • Keluasan negara ini ialah 61 KM² 
  • Jumlah penduduknya pula adalah seramai 32,448 orang 

 INFO TAMBAHAN.

Oceania ialah benua terkecil di dunia dan mempunyai populasi kedua terkecil di dunia selepas benua Antartika. 

Oceania ataupun Australasia merupakan sebuah benua yang terdiri daripada negara-negara seperti Australia, New Zealand, Papua New Guinea dan negara Kepulauan Pasifik seperti Fiji, Nauru, Kiribati, Tahiti, Samoa, Palau dan banyak lagi. Oceania sebenarnya merupakan kumpulan pulau-pulau di Lautan Pasifik. 


Tajuk Lain Yang Berkaitan:

Saturday, November 1, 2014

I Want To Touch A Dog, ramai umat islam Malaysia jadi murtad.


Kecoh sekecohnya apabila program I Want To Touch A Dog dianjurkan. Program tersebut umpama Tsunami yang melanda ketenangan dan kedamaian umat islam di Malaysia, terutamanya dalam kalangan bangsa Melayu yang berpegang kepada Mazhab Syafie. Ia juga umpama puting beliung yang mengganas lantas memusnahkan jati diri Melayu/Islam yang selama ini ‘alahan’ dengan anjing. 

Murtad! Agar lebih sopan saya tulis ‘murtad’. 

Iya, ramai yang ‘murtad’ gara-gara program ini. ‘Murtad’ bukan kerana menganjur atau menyertai program I Want To Touch A Dog, tapi ‘murtad’ kerana menentang dan membantah program tersebut. 



Program I Want To Touch A Dog menyaksikan betapa ramainya gologan cakna agama di Malaysia. Tapi malang, kerana agak ramai dalam kalangan mereka ini terdiri daripada mandul akal dan terliwat minda. Mereka hilang pertimbangan dan kewarasan kerana mereka hanya berbekalkan semangat kerohanian yang berkobar-kobar tapi sifar pengetahuan agama. Mereka selayaknya dilabel sebagai pelampau agama dan bukannya pencinta agama. 

Lihat sahaja di laman sosial terutamanya facebook dan WhatsApp. Dengan senang dan tenang mereka menuduh Ustaz Iqbal Parjin dan Syed Azmi sebagai penganut dan paderi Kristian yang menyamar sebagai umat islam sedang berusaha merosakkan islam secara halus. Malah, para pengunjung atau peserta juga dituduh sebagai Kristian Melayu. 

Cerita tak berasas ini tersebar luas di facebook dan WhatsApp. Penyebarannya menjadi rancak kerana ramai golongan cakna agama di alam maya ini terdiri daripada golongan mandul akal yang telah sekian lama terliwat minda. 

Kepada golongan pelampau agama dan golongan pencinta agama yang mandul akal, saya ingin berpesan, sesungguhnya. persoalan kafir dan sesat bukanlah persoalan kecil, ia membabitkan hukuman terhadap akidah seseorang. Walaupun sesat, bukan semestinya menjadi kafir, tetapi itu pun tetap berat di sisi Allah. Ingatlah sentiasa, perbuatan menuduh orang lain dengan tuduhan murtad, kafir atau sesat adalah dosa yang amat besar. Dan,Ketahuilah, jika tuduhan tersebut tidak benar, maka tuduhan itu kembali kepada yang menuduh.

Kepada pengguna facebook dan WhatsApp, berhentilah daripada menyebarkan cerita dan berita yang tidak sahih, terutamanya apabila melibatkan isu akidah. Memang kita perlu perihatin atau cakna terhadap isu-siu agama, tapi ia tidak boleh berpandukan semangat kerohanian semata-mata. Ia memerlukan ilmu yang dipandu oleh iman. Takut dan risau, jika disebabkan keghairahan kita menuduh orang lain sebagai murtad dan kufur, tanpa sedar murtad dan kufur itu menjadi milik kita. 

Saya tertarik dengan pesanan Dr. Fathul Bari dan ia amat sesuai untuk kita jadikan sebagai panduan dan pedoman. Pesannya, janganlah cepat menjatuhkan hukum. Beliau berpesan lagi kepada pengguna facebook dan WhatsApp agar tidak sesekali menjadi mufti jadi-jadian dan usah sesekali mengeluarkan fatwa mee segera di laman sosial.