Di Group WhatsApp tertentu ada seorang rakan menyampaikan tazkirah kononnya roh-roh akan kembali ke bumi pada bulan Ramadhan hinggalah Hari Raya Eidul Fitri.
Pertama sekali, roh-roh ini akan menziarahi tanah perkuburan untuk melihat jasadnya. Kemudian roh tersebut akan menziarahi rumah anak-anak mereka dan beberapa perkara yang lain.
Tazkirah maya tersebut diakhiri yang disusuli pesanan agar disebar luaskan/share kepada rakan-rakan yang lain.
Benarkah roh akan pulang ke bumi pada bulan puasa nanti.
Selain cerita atau dakwaan kepulangan roh apabila Ramadan menjelma, terdapat juga beberapa kepercayaan lain terhadap roh orang mati dalam kalangan orang-orang Melayu.
Ketika saya mendiami negeri tertentu(saya rahsiakan) suatu masa dahulu, terdapat kepercayaan masyarakat setempat yang agak tersasar mengenai roh. Apabila berlaku kematian, ahli keluarga si mati akan menghidangkan makanan dalam pinggan yang biasa digunakan oleh si mati semasa hayatnya. Dan, makanan tersebut akan diletakkan di sudut tertentu dalam rumah dengan kepercayaan roh si mati akan pulang.
Malah, sekitar tahun 2013, ketika pemergian ibu saudara saya, terdapat seseorang yang berpesan agar pakaian, bantal dan selimut yang sering digunakan oleh ibu saudara saya semasa hayatnya dan ketika beliau uzur hinggalah ke beliau menghembuskan nafas terakhir hendaklah diletakkan di atas katil/ tilamnya. Bukan itu sahaja, malah pakaian kesayangannya juga hendaklah diletakkan bersama. Pesanan tersebut berdasarkan kepercayaan rohnya akan pulang ke rumah untuk melihat anak-anaknya.
Benarkah kepercayaan tersebut?
Hayatilah firman Allah S.W.T ini
Firman Allah ertinya :
" Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" ( Al-Mu'minuun : 99-100).
Berdasarkan ayat ini dapat kita fahami dengan mudah, andainya roh-roh dapat kembali ke dunia, mereka akan melakukan amal soleh semaksimum mungkin. Ini kerana mereka telah menyesali segala kesilapan dan kesalahan semasa hayatnya.
Mereka juga akan menginsafi segala dosa dan nodanya. Percayalah mereka tidak ada masa untuk menziarahi anak cucunya.
Jadi dakwaan kononnya roh akan kembali pada bulan Ramadhan atau hari-hari yang lain untuk menziarahi anak cucunya adalah tidak berasas.
Alhamdulillah, saya ketemui jawapan dan ulasan yang menarik mengenai isu ini. Ia disiarkan di Kosmo. Berikut adalah sebahagian daripada penjelasan tersebut.
Ulama tersohor Syeikh Dr. Yusuf al-Qardawi pernah menyebut, roh tidak akan mencampuri urusan dunia yang sudah tidak lagi berguna kepadanya.
Dalam erti kata lain, roh berada di suatu alam lain dinamakan alam barzakh yang kehidupannya jauh beza dengan kehidupan di dunia.
Alam ini adalah jangka waktu antara kematian dengan hari kiamat. Roh orang yang beriman akan menerima balasan yang baik di alam barzakh manakala roh daripada golongan yang gemar membuat maksiat akan diazab.
“Dalam satu hadis sahih sudah dinyatakan, hanya ada tiga perkara yang menghubungkan dunia dengan roh iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa-doa daripada anak-anak yang soleh.”
Pandangan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din
Menurut seorang tokoh agama yang terkenal, juga Mursiyul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din, roh tidak boleh kembali ke dunia dan manusia juga tidak boleh masuk ke alam barzakh tanpa sebab.
“Kalau kita beranggapan roh orang yang telah mati boleh kembali ke dunia dan boleh ke sana ke mari, seolah-olahnya di alam barzakh itu tiada seksaan kubur, tiada balasan dan roh-roh ini hidup bebas keluar masuk ke alam dunia. Anggapan tersebut salah sama sekali."
“Disebabkan itu, kita harus yakin dan percaya bahawa roh si mati tidak boleh pulang ke dunia untuk menziarahi keluarga, rumah, kubur dan sebagainya,” jelasnya.
Tambahnya, hanya pada hari kiamat nanti, jasad akan dijadikan semula dan roh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah.
\
“Alam barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat. Roh yang memasukinya akan kekal di dalamnya.
“Ibarat bayi yang hidup di alam rahim, apabila lahir ke dunia, bolehkah bayi tersebut kembali ke alam rahim? Sudah tentu tidak,” ujar Mursyidul Am PAS itu lagi.
Pandangan Pengerusi MURSHID, Dr Zaharuddin Abdul Rahman
Tokoh agama, yang juga Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, roh tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia sama ada dalam keadaan baik ataupun sebaliknya.
“Dakwaan roh pulang ke rumah sempena hari-hari tertentu tidak benar. Jika ada yang pernah melihat makhluk menyerupai si mati dan kedengaran suara menangis, menurut ulama ia bukanlah roh si mati sebaliknya angkara jelmaan jin dan syaitan yang menyerupai si mati. Tidak lebih daripada itu,”
jelasnya.
Hujahnya itu dirujuk kepada firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 99 dan 100 yang bermaksud:
“Hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka (orang kafir) dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong). Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan.”
Dr. Zaharuddin berkata, ayat ini jelas memberitahu bahawa barzakh adalah tembok yang menghalang roh orang yang telah mati daripada kembali ke dunia.
“Begitupun, ada juga ulama yang berpendapat, roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur melalui mimpi,” katanya.