Monday, April 27, 2015

ENAM BANJIR PALING DAHSYAT DALAM SEJARAH DUNIA.


Banjir besar yang melanda negara pada penghujung tahun 2014 merupakan banjir yang terburuk dalam sejarah negara. Negeri Kelantan merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir tersebut, malah mungkin paling buruk dalam sejarah negeri Kelantan. Tentang sejarah banjir besar di Kelantan, langsung sahaja ke - -> SINI 

Selain Kelantan, beberapa negeri -negeri yang lain juga turut dilanda banjir besar, terutamanya Pahang dan Terengganu. Walaupun begitu, banjir pada penghujung 2014 itu tidaklah sedahsyat banjir-banjir yang pernah melanda negara tertentu yang mengorbankan jutaan nyawa. 

Berikut adalah enam banjir terdahsyat yang pernah direkodkan dalam sejarah dunia. Artikel asalnya disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 4 Januari 2015. Saya paparkan di sini untuk merakyatkan info atau maklumat tersebut dengan gaya bahasa dan pendekatan tersendiri. 



6 BANJIR PALING DAHSYAT DALAM SEJARAH DUNIA.


Banjir di China Tengah (1931)

Banjir besar yang berlaku pada tahun 1931 ini dianggap sebagai antara banjir terburuk yang pernah direkodkan dalam abad ke-20. Dianggarkan antara 3.7 juta hingga 4 juta orang yang terbunuh dalam tragedi banjir tersebut, ia termasuklah mereka yang meninggal dunia kerana wabak penyakit berjangkit yang berpunca daripada banjir tersebut. 

Banjir ini bermula dengan kemarau berpanjangan dari tahun 1930, kemudian keadaan cuaca yang tidak normal bermula pada pada musim sejuk di penghujung tahun 1930, diikuti pula dengan pencairan ais dan hujan lebat yang berterusan yang menyebabkan paras air Sungai Yangteze meningkat secara mendadak. 

Banjir ini mengorbankan lebih 145 ribu orang manakala berjuta nyawa lagi meninggal kerana penyakit bawaan banjir .Lebih 28.5 juta penduduk China dilaporkan terjejas akibat bencana tersebut. 


Banjir di Sungai Yangtze , China(1935) 

Banjir dahsyat yang berlaku pada tahun 1935 ini merupakan yang kelima terbesar yang direkodkan di dalam sejarah dengan angka kematian mencecah 145 ribu orang. Berjuta lagi penduduk yang terselamat terpaksa berhadapan dengan masalah lain termasuklah kehilangan tempat tinggal, kebuluran, cedera, kehilangan punca pendapatan dan harta benda. 

Sungai Yangtze merupakan sungai yang terpanjang di Asia dan ketiga terpanjang di dunia. Sungai sepanjang 6,300 kilometer, yang nadi kehidupan bagi sebahagian warga China ini telah berkali-kali menyaksikan tragedi banjir besar yang sangat dahsyat. 

Selain banjir besar yang berlaku pada tahun 1931 dan 1935, banjir besar yang berlaku pada tahun 1954 telah mengorbankan seramai 30 ribu nyawa, manakala banjir besar yang berlaku pada tahun 1998 pula telah menyebabkan kematian seramai 3,656 orang. 



Banjir Sungai Kuning, China( 1938)

Banjir ini bukanlah disebabkan oleh bencana alam, tapi ia berpunca daripada dasar kerajaan. Ia berlaku ketika Perang China-Jepun yang kedua. Kerajaan yang memerintah negara China pada waktu itu terpaksa ‘mencipta’ banjir tersebut untuk mengekang kemaraan tentera Jepun. 

Ketika bermulanya Perang China-Jepun Kedua pada tahun 1937, tentera Jepun telah mara dengan begitu pantas ke wilayah China. Pada Jun 1938, tentera Jepun telah menguasai seluruh wilayah Utara China. Bagi menyekat kemaraan tentera Jepun ke wilayah-wilayah Selatan China, Chiang Kai Shek, atas cadangan Chen Guafo telah bertindak membuka benteng di Sungai Kuning berdekatan Zhengzhou. 

Tindakan ini menyebabkan berlakunya limpahan air sungai dan banjir besar di Henan,Anhui dan Jiangsu. Ia meliputi kawasan seluas beribu kilometer persegi. Banjir ini menyebabkan kemusnahan yang besar. Beribu perkampungan telah musnah dan berjuta penduduk telah kehilangan tempat tinggal. Malah, dianggarkan sekitar 800 ribu penduduk mati lemas dalam kejadian tersebut. 



Banjir di Hanoi dan Kuala Sungai Merah, Vietnam ( 1971) 

Banjir dahsyat ini dianggarkan telah mengorbankan sekitar 100 ribu orang. Bilangan sebenar mungkin lebih dari itu. Sebenarnya amat sukar untuk memperolehi maklumat yang tepat mengenai angka korban tersebut, ini memandangkan banjir tersebut berlaku ketika Perang Vietnam. 



Kerosakan Empangan Banqiaq, China (1975)

Empangan ini terletak di Sungai Ru dalam bandar Zhumadian di wilayah Henan, China. Empangan tersebut dikatakan gagal menampung air yang terlampau banyak . Sebenarnya empangan ini merupakan antara 62 empangan yang gagal berfungsi secara tiba-tiba semasa serangan Taufan Nina pada tahun 1972. 

Kerosakan empangan ini dan empangan lain menyebabkan 15,738 billion millimeter padu air dilepaskan dalam tempoh 11 jam. Air yang dilepaskan itu telah membentuk ombak besar sehingga tujuh meter tinggi dan sepuluh kilometer lebar. Akibatnya, tujuh daerah telah dilanda banjir yang melibatkan kawasan seluas beribu kilometer persegi.

Mengikut laporan, sekitar 231 ribu penduduk telah menjadi mangsa korban banjir tersebut. Lebih 86 ribu mati akibat banjir, manakala 145 ribu orang lagi meninggal dunia akibat jangkitan wabak penyakit. 

Banjir Lumpur Vargas, Venezuela ( 1999) 

Vargas merupakan sebuah negeri kecil di Venezuela. Banjir lumpur yang berlaku antara 14 hingga 16 Disember 1999, telah meragut lebih 20 ribu nyawa penduduknya. Bilangan korban tersebut mewakili 10 peratus populasi Vargas. 

Banjir lumpur tersebut turut memusnahkan ribuan rumah dan meranapkan infrastruktur di Vargas. Seluruh bandar di negeri tersebut ditenggelami banjir lumpur. 


Tajuk Lain Yang Berkaitan.

Mangsa gempa bumi di Nepal mencecah 2,300 orang


KATHMANDU – Pasukan penyelamat di Nepal semalam meneruskan usaha mencari mangsa terselamat dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 7.9 kelmarin yang mengorbankan lebih 2,300 orang dengan menggali sisa runtuhan di ibu kota Kathmandu. Rata-rata penduduk masih terkejut dan ketakutan akibat bencana dahsyat yang melanda negara Himalaya itu sejak gempa bumi terkuat melanda Nepal pada 1934. Mereka yang terselamat terpaksa bermalam di jalanan dan membuat khemah di kawasan terbuka. 

Situasi di hospital pula begitu sesak sehingga pasukan perubatan terpaksa membina khemah di luar bangunan bagi merawat pesakit. Menara Dharahara setinggi lapan tingkat yang menjadi tarikan utama pelancong dan dibina pada 1832 turut musnah dengan sekurang-kurangnya 12 mayat berjaya dibawa keluar daripada runtuhan bangunan bersejarah tersebut. Kerajaan dari seluruh dunia turut menawarkan bantuan dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengumumkan akan menghantar pasukan respons bencana, manakala India akan membawa keluar rakyatnya yang terkandas menggunakan pesawat tentera.

 “Jumlah kematian telah mencecah 2,352 orang, manakala lebih 6,239 tercedera. Kami telah menggerakkan semua sumber yang ada untuk operasi mencari dan menyelamat,” kata jurucakap polis kebangsaan Nepal, Kamal Singh Bam kepada AFP. Tambahnya, helikopter telah dihantar ke kawasan pedalaman dan pasukan keselamatan masih mencari mangsa yang mungkin terselamat di sebalik runtuhan bangunan. 

Seorang pegawai berkata, seramai 18 mangsa disahkan terbunuh di Gunung Everest kerana berlakunya runtuhan salji akibat gempa tersebut dan menimbus sebahagian kem induk. Ketua biro agensi berita AFP di Nepal, Ammu Kannampilly yang terperangkap di kem induk kerana satu tugasan melaporkan, enam buah helikopter telah berjaya sampai di kawasan itu pagi semalam selepas cuaca kembali cerah. 

“Enam mangsa yang cedera diusung keluar apabila helikopter mendarat pagi ini (semalam). Cuaca kembali cerah dan bersalji,” kata Kannampilly melalui mesej teks. Nepal dan kawasan di Himalaya sa¬ngat terdedah kepada gempa bumi ke¬rana perlanggaran plat India dan Eurasia. Pada 1934 gempa bumi di Nepal membunuh lebih 10,700 orang. – AFP 

Sumber : Kosmo 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: 

GST: Mufti dan ahli akademik sindir Ahmad Maslan



Ahli akademik Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyindir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang membuat kenyataan memperkecilkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). 

Menerusi Facebook peribadinya, Dr Mohamad Agus meminta supaya debat di antara Dr Mahathir dan Ahmad diadakan untuk mencari siapa sebenarnya yang tidak faham dalam isu GST.

 "Apabila Datuk Ahmad Maslan cakap Tun Mahathir tidak faham GST, saya fikir ada baiknya kedua-dua pemimpin ini berdebat secara terbuka. "Saya ingin melihat siapa yang lebih faham. "Yang pastinya saya tidak rasa GST menyebabkan harga barang turun seperti mana dakwaan Datuk Ahmad Maslan. Jadi, siapa sebenarnya yang tidak faham?" tulis beliau. 
  Selain Dr Mohamad Agus, mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyindir Ahmad dalam isu yang sama. 

"Jika Tun M dikatakan tidak faham GST, apakah rakyat Malaysia yang hampir kesemua mereka tidak lebih berpengalaman tentang ekonomi negara dari Tun M akan lebih faham tentang GST? "Jika orang yang dianggap oleh majoriti rakyat Malaysia sebagai 'kurang cerdik' (mengelakkan perkataan bodoh) disebabkan kenyataan-kenyataannya tentang GST, dia menyatakan Tun M yang terkenal dengan kepintarannya itu tidak faham GST, apakah si pembuat kenyataan itu lebih bijak dibandingkan Tun M?" soal beliau menerusi laman Facebooknya hari ini. 



Dalam nada yang lebih sinis, Dr Mohd Asri berkata mereka yang dilihat oleh rakyat sebagai kurang cerdik tidak sepatutnya diberikan tugas penting.

 "Saya terfikir, dalam fekah orang yang safih (bodoh atau kurang cerdik), tidak boleh diserahkan pengurusan harta sekalipun miliknya sendiri. Persoalannya, apakah mereka dalam kategori ini boleh diserahkan urusan negara yang membabit rakyat yang ramai?

 "Patutkah golongan sufaha (kata banyak untuk safih iaitu bodoh ataupun kurang cerdik) diserahkan kepada mereka jawatan penting seperti menteri dan seumpamanya?" soal Dr Mohd Asri. 

Sumber : astroawani. 

Info Tambahan: 

Tidak keterlaluan jika ada yang mendakwa, Malaysia hari ini dipenuhi oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang kurang cerdik. Ahmad Maslan dan Hassan Malek adalah contoh yang paling tepat.

Saturday, April 25, 2015

Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan ke 58, lebih ilmiah dan bernilai ilmu


Kepada sesiapa yang pernah mengikuti Majlis Tilawah, baik peringkat Kebangsaan mahupun antarabangsa, pastinya dapat merasai perbezaan yang amat ketara pada tahun ini berbanding tahun-tahun yang lepas. Ini kerana Majlis Tilawah Al-Quran kali ke 58 ini jauh lebih ilmiah berbanding tahun-tahun terdahulu.

Lebih ilmiah kerana kini tazkirah agama telah mengambil alih peranan nasyid yang sering dijadikan acara selingan sebelum ini. Beberapa tokoh agama telah diundang untuk menyampaikan tazkirahnya ketika Majlis Tilawah kali ini. Antaranya ialah Mufti Negeri Terengganu, Mufti Wilayah Persekutuan, dan beberapa orang pensyarah pengajian islam dari universiti tempatan. 

Alhamdulillah, ini satu perkembangan yang baik dan terpuji dan ia pelru diteruskan dalam Majlis Tilawah Al-Quran yang akan datang baik peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa

SEJARAH MAJLIS TILAWAH AL- QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN


Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan yang pertama telah diadakan pada 8 Mac 1960 bersamaan dengan 20 Ramadan tahun 1379 Hijrah. Pertandingan yang bersejarah ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra. 

Kesemua 11 buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu telah menghantarkan wakil masing-masing ke pertandingan ini. Sebenarnya pertandingan membaca al-Quran merupakan satu tradisi dan peristiwa tahunan bagi kebanyakan negeri di Tanah Melayu. 

Menurut sumber dan catatan tertentu, pertandingan membaca al-Quran telah bermula di Negeri Kedah oleh Tunku Abdul Rahman Putra dalam tahun 1951. Kemudian pada tahun 1959 pula beliau telah mengambil daya utama menganjurkan pertandingan membaca al-Quran antara Johor dan Kedah. Tujuan diadakan pertandingan di peringkat Kebangsaan ini adalah untuk meletakkan asas keimanan yang kukuh dan pembangunan rohani umat Islam yang berpandukan kitab suci Al-Quran seterusnya melahirkan generasi qurani. Amalan ini pula adalah selaras dengan semangat yang terkandung di dalam perlembagaan yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Senarai johan Qari

 (1960) : En Abdul Hamid Desa (Kedah)
 (1961) : Tuan Haji Ahmad Maasom Pergau @ Mad Pergau (Kelantan)
 (1962) : Tuan Haji Ismail Hashim (Kedah) (1963) : Tuan Haji Ismail Hashim (Kedah)
 (1964) : Tuan Haji Mohd Amin Hj Shamsuddin (Kedah)
 (1965) : Tuan Haji Ismail Hashim (Kedah)
 (1966) : En Abd Majid Awang (Kelantan)
(1966) : Tuan Haji Ismail Hashim (Kedah) (untuk Tahun 1386 Hijrah)
 (1967) : Tuan Haji Saidin Abd Rahman (Pulau Pinang)
(1968) : Tuan Haji Saidin Abd Rahman (Pulau Pinang)
(1969) : Tuan Haji Ismail Hashim (Kedah)
(1970) : Tuan Haji Ismail Hashim (Kedah)
 (1971) : Tuan Haji Ismail Hashim (Kedah)
(1972) : En. Abd Hak @ Abdul Ghani Abdullah (Kedah)
 (1973) : En. Affandi Haji Siraj (Johor)
(1974) : Tuan Haji Ismail Hashim (Kedah)
(1975) : Tuan Haji Ismail Hashim (Kedah)
 (1976) : Tuan Haji Mokhtar Haji Ahmad (Kelantan)
(1977) : En. Abd Hak @ Abdul Ghani Abdullah (Kedah)
 (1978) : En. Abd Hak @ Abdul Ghani Abdullah (Kedah)
 (1979) : Tuan Haji Shafie Kati (Selangor)
 (1980) : Tuan Haji Abd Hak @ Abdul Ghani Abdullah (Kedah)
 (1981) : Tuan Haji Mohamad Hasri (Wilayah Persekutan)
 (1982) : Tuan Haji Abd Hak @ Abdul Ghani Abdullah (Kedah)
 (1983) : En. Ismawi Haji Duet (Sarawak)
  (1984) : En. Noor Din Idris (Kelantan)
  (1985) : En. Noor Din Idris (Kelantan)
 (1986) : Tuan Haji Mohamad Awang Teh (Terengganu)
 (1987) : Tuan Haji Shafie Kati @ Haji Sulaiman (Selangor)
 (1988) : En. Salleh Saidi (Johor)
 (1989) : En. Mohammad Haji Yusoff (Kelantan)
 (1990) : Tuan Haji Daud Che Man (Terengganu)
 (1991) : Tuan Haji Mohammad Haji Yusoff (Kelantan)
(1992) : Tuan Haji Mohamad Awang Teh (Terengganu)
(1993) : En. Abdul Rahim Haji Ahmad (Kelantan)
(1994) : Tuan Haji Abdul Rahim Haji Ahmad (Kelantan)
(1994) : Tuan Haji Abdul Rahim Haji Ahmad (Kelantan) (untuk Tahun 1415 Hijrah)
(1995) : Tuan Haji Mohammad Awang Teh (Terengganu)
(1996) : En. Mohamad Hussin Mohamad Yunus (Kelantan)
(1997) : En. Mohamad Hussin Mohamad Yunus (Kelantan)
(1998) : Tuan Haji Salleh Saidi (Johor)
(1999) : En. Che Yahaya Daud (Kelantan)
(2000) : Tuan Haji Radzi Kamarul Hailan (Perak)
(2001) : Tuan Haji Abd Ghani Hashim (Perak)
(2002) : Tuan Haji Abd Ghani Hashim (Perak)
(2003) : En. Ahmad Faizul Ghazali (Pahang)
(2004) : Tuan Haji Radzi Kamarul Hailan (Perak)
(2005) : En. Pisol Yusob (Perlis)
(2006) : Tuan Haji Shafie Lebai Hanafiah (Pahang)
(2007) : Tuan Haji Aziz Mustakim (Johor)
(2008) : En. Shamsul Ariffin Supian (Perak)
(2009) : En. Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan (Sarawak)
(2010) : En. Wan Ainuddin Hilmi Abdullah (Wilayah Persekutuan)
(2011) : En. Amirahman Abas (Negeri Sembilan)
(2012) : En. Muhammad Anuar Ghazali (Kelantan)
(2013) : En. Anuar Hasin (Perak) [1] (2014) : En. Ahmad Tarmizi Haji Ali (Terengganu) (2015) :

 Senarai Johan Qariah 

 (1960) : Cik Saodah Che Pi @ Hanafi (Perlis)
 (1961) : Cik Rogayah Sulong (Terengganu)
 (1962) : Cik Rahmah Abd. Rahman (Johor)
 (1963) : Cik Rogayah Sulong (Terengganu)
 (1964) : Cik Faridah Mat Saman (Kelantan)
 (1965) : Puan Hajjah Faridah Mat Saman (Kelantan)
 (1966) : Puan Hajjah Rogayah Sulong (Terengganu)
 (1966) : Cik Siti Noor Ismail (Kelantan) (untuk Tahun 1386 Hijrah)
 (1967) : Cik Rodziah Abd Rahman (Pulau Pinang)
 (1968) : Cik Rahmah Abd. Rahman (Johor)
 (1969) : Puan Hajjah Jamaliah Ahmad (Kedah)
 (1970) : Cik Rodziah Abd Rahman (Pulau Pinang)
 (1971) : Cik Rodziah Abd Rahman (Pulau Pinang)
 (1972) : Puan Hajjah Faridah Mat Saman (Kelantan)
 (1973) : Puan Hajjah Rogayah Sulong (Terengganu)
 (1974) : Puan Hajjah Rogayah Sulong (Terengganu)
 (1975) : Puan Hajjah Rahmah Abd. Rahman (Johor)
 (1976) : Puan Hajjah Faridah Mat Saman (Kelantan)
 (1977) : Puan Hajjah Faridah Mat Saman (Kelantan)
 (1978) : Puan Hajjah Rogayah Sulong (Terengganu)
 (1979) : Puan Hajjah Rogayah Sulong (Terengganu)
 (1980) : Puan Hajjah Sapinah Mamat (Kelantan)
 (1981) : Puan Hajjah Sapinah Mamat (Kelantan)
 (1982) : Cik Munirah Kassim (Kelantan)
 (1983) : Puan Hajjah Aminah Omar (Terengganu)
 (1984) : Puan Hajjah Rahmas Abdullah (Johor)
 (1985) : Puan Hajjah Rahmas Abdullah (Johor)
 (1986) : Puan Hajjah Embab @ Siah Mat Amin (Terengganu)
 (1987) : Puan Hajjah Sapinah Mamat (Kelantan)
 (1988) : Puan Pasiah Hashim (Selangor)
 (1989) : Puan Hajjah Faridah Mat Saman (Kelantan)
 (1990) : Puan Hajjah Faridah Mat Saman (Kelantan)
 (1991) : Puan Hajjah Faridah Mat Saman (Kelantan)
 (1992) : Puan Hajjah Rahmas Abdullah (Johor)
 (1993) : Puan Hajjah Umi Kalthom Mohd Zain (Johor)
 (1994) : Puan Hajjah Umi Kalthom Mohd Zain (Johor)
 (1994) : Puan Hajjah Rahmas Abdullah (Johor) (untuk Tahun 1415 Hijrah)
 (1995) : Puan Hajjah Rahmas Abdullah (Johor)
 (1996) : Puan Hasinah Abdullah (Johor)
 (1997) : Puan Hajjah Siti Aminah Awang (Pulau Pinang)
 (1998) : Puan Hajjah Sepiah Mohamad (Terengganu)
 (1999) : Puan Maznah Awang (Terengganu)
 (2000) : Puan Amnah Ayup (Sarawak)
 (2001) : Puan Hajjah Pasiah Hashim (Selangor)
 (2002) : Puan Hajjah Umi Kalthom Mohd Zain (Johor)
 (2003) : Puan Hajjah Hanisah Abdullah (Johor)
 (2004) : Puan Hajjah Hanisah Abdullah (Johor)
 (2005) : Puan Faizah Mohd Husain (Selangor
 (2006) : Puan Maslina Sinaga Abdul Rahman (Selangor)
 (2007) : Puan Hajjah Amnah Ayup (Sarawak)
 (2008) : Cik Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohammad Badiuzzaman (Perak)
 (2009) : Cik Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohammad Badiuzzaman (Perak)
 (2010) : Puan Nor Azrah Ayub (Johor)
 (2011) : Puan Hajjah Suraya Abu Hassan (Johor)
 (2012) : Puan Hajjah Che' Minah Che' Awang (Wilayah Persekutuan)
 (2013) : Puan Hanimzah Hj. Jalaludin (Pahang)
 (2014) : Puan Hanimzah Hj. Jalaludin (Johan Menunggu)
 (2015) :

Sumber: WIKIPEDIA

Wednesday, April 22, 2015

WANG SIMPANAN KWSP UNTUK KEGUNAAN DI AKHIRAT.


Apakah rasionalnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) mencadangkan untuk menaikkan had umur pengeluaran caruman kepada 60 tahun? 

Adakah wang simpanan tersebut untuk kegunaan di akhirat nanti.

Mungkinkah ada yang beranggapan, di akhirat nanti, para pencarum akan dapat membelanjakan wang tersebut termasuklah membeli belah dengan penuh kebahagiaan dan ketenangan. 



Tahukah anda, setiap tahun kira-kira 20 ribu rakyat Malaysia meninggal dunia dalam usia antara 50 hingga 60 tahun. Dan, andainya usia pengeluaran wang KWSP dinaikkan kepada 60 tahun, ia akan menyebabkan ribuan pencarum tidak dapat menikmati wang carumannya sebelum mati. 

Bayangkan, bertahun-tahun mereka berkerja, dari usia muda hinggalah ke hari tua. Tapi, duit yang mereka simpan sejak sekian lama, tidak pula mereka kecapi kerana mereka telah mati.

Sunday, April 19, 2015

PANDUAN PENJAGAAN JAM TANGAN.

Bagi sesetengah individu, jam tangan hanyalah untuk mengetahui waktu. Namun, bagi sesetengah individu, jam tangan adalah aksesori yang melambangkan status, gaya dan penampilan. Jadi, tidak menghairankanlah jika ada yang sanggup mengorbankan ratusan ribu ringgit demi seutas jam tangan. 

Dalam entry kali ini saya ingin berkongsi tips atau panduan untuk menjaga jam tangan. Panduan tersebut pernah disiarkan di dalam akhbar Berita Harian pada 31 Mac 2015. Jadi, saya sekadar menyebarluaskannya dengan (sedikit pengubahsuaian) untuk manfaat bersama. 


Panduan Penjagaan Jam Tangan. 

  •  Air adalah ancaman besar kepada jam tangan. jIka jam tangan anda kita bukan daripada jenis kalis air, perlulah berhati-hati. Perlu diketahui semakin tinggi tahap kalis air, semakin bertambahlah tahap ketahanan jam untuk beroperasi di persekitaran berair.
  • Jika air sudah masuk pada permukaan jam tangan, anda dapat lihat wap terhasil pada permukaan jam itu. Jangan terus membuangnya, sebab jam tangan tersebut mungkin masih boleh diselamatkan. Hantarlah jam tangan tersebut kepada tukang jam professional untuk dibaiki. 
  • Elakkan jam dari terjatuh atau menerima impak hentakan yang kuat. 
  • Elakkan meletakkan jam tangan di tempat yang sangat panas atau sejuk.Kepanasan yang melampau akan memendekkan umur bateri. Kesejukan melampau pula boleh menyebabkan spring di dalam jam tangan mekanikal cepat rosak.
  • Elakkan pendedahan kepada bahan pelarut, bahan kimia dan gas yang boleh menyebabkan kerosakan dan warna semakin pudar serta kurang menyerlah. 

Mudah-mudahan tips atau panduan ini bermanfaat untuk kita semua.

Thursday, April 16, 2015

Adakah Harian Metro ingin menyindir Rosmah Mansor


Sesiapa sahaja yang membaca Harian Metro hari ini, 15 April 2014, tentu sahaja menyedari terdapatnya satu kisah menarik berjudul, kesederhanaan isteri Jokowi. Ia disiarkan di ruangan Mesej Bergambar, iaitu mengenai isteri Presiden Indonesia, Iriana yang sedang membeli belah di Pasar Nongko, Solo sambil ditemani oleh anak perempuannya Kahiyang Ayu. Lebih menarik dari itu, Iriana dikatakan membawa sendiri barangan yang dibeli olehnya. Sejujurnya tingkah laku tersebut mengambarkan isteri Presiden Indonesia itu benar-benar berjiwa rakyat. 

Namun disebalik kisah tersebut, saya yakin ramai yang tertanya-tanya, apakah motifnya Harian Metro menyiarkan kisah tersebut. Adakah Harian Metro ingin menyindir Datin Seri Rosmah Mansor yang sering dikaitkan dengan kemewahan dan pembaziran. Umum mengetahui, Datin Rosmah Mansor sejak dahulu hingga kini tidak pernah susut dan surut kisah hidup mewahnya. Kisah cincin, beg tangan, rambut dan terbaru jam tangannya sentiasa mendapat tempat di media sosial. 

Saya bukannya ingin memperkatakan perihal Datin Seri Rosmah Mansor, tapi saya beranggapan ada makna tersirat di sebalik Mesej Bergambar yang bertajuk Kesederhanaan Isteri Jokowi tersebut. Jika dibaca dan diperhatikan dengan cermat dan teliti, dan kemudiannya dihayati, kita akan dapati ia semacam satu sindiran kepada Datin Seri Rosmah Mansor. Atau dengan istilah mudah, Harian Metro ingin ‘berpesan’ kepada isteri Perdana Menteri Malaysia agar mencontohi isteri Presiden Indonesia. 

Semua pihak sedia maklum, Harian Metro diterbitkan oleh The New Straits Times Press Berhad. Sebagaimana dengan Utusan Malaysia, Harian Metro( juga Berita Harian) merupakan akhbar yang wajib condong kepada Barisan Nasional. Ini kerana ia berkhidmat untuk menyokongkerajaan yang memerintah. Dan, jika ditakdirkan berlakunya pertukaran kerajaan satu masa nanti, maka sokongan akhbar tersebut akan beralih kepada kerajaan baru pula. Lebih lanjut sila rujuk buku berjudul Travelog Wartawan Islam yang ditulis oleh Roslan Ahmad, bekas wartawan yang berpengalaman di Berita Harian dan antara insan yang bertanggungjawab mengasaskan Harian Metro. 

Walaupun Harian Metro merupakan akhbar yang cenderung kepada Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ketidakpuasan hati terhadap Perdana Menteri, terutamanya terhadap Wanita Pertama Malaysia, Datin Seri Romsah Mansor dilontarkan dalam bentuk sindiran. Kaedah sebegini telah lama digunapakai oleh pengarang-pengarang silam. Lihat sahaja bagaimana penulis buku Sejarah Melayu(Sulalatus Salatin) mengkritik Sultan Melaka menerusi kisah-kisah yang dipaparkan di dalam buku tersebut. 

INFO TAMBAHAN: 

Saya mulakan tajuk entry saya ini dengan perkataan ADAKAH. Ini kerana ia sekadar satu pertanyaan dan bukannya tuduhan. Saya sekadar melontarkan pertanyaan yang mengasak benak pemikiran saya. Kemudiannya saya melontarkan pandangan saya, ia mungkin tepat dan benar, dan mungkin juga ia salah dan tersasar.

Namun apa pula pandangan anda?

Saturday, April 11, 2015

GAJAH DIJATUHI HUKUMAN GANTUNG SAMPAI MATI


Seekor gajah bernama Mary telah dijatuhi hukuman gantung kerana kesalahan membunuh pelatihnya. Kejadian tersebut berlaku di Erwin, Tennessee, Amerika Syarikat pada tahun 1916. Demikianlah yang di paparkan di dalam akhbar Berita Harian. Mohon maaf, sebab saya terlupa tarikh ia disiarkan dalam akhbar tersebut. 

Isunya siapakah yang zalim. Gajah tersebut kerana membunuh pelatihnya, atau hukuman tersebut yang langsung tak masuk akal. Saya tak pasti, adakah ia diadili di mahkamah atau tidak. Tapi, jika ia dibicarakan di mahkamah, tentu sahaja hakim tersebut benar-benar zalim dan kejam, malah mungkin juga seorang yang sakit jiwa. 

Saya pernah membaca mengenai hukuman bunuh yang dijalankan di China pada zaman pemerintahan dinasti tertentu. Maaf saya lupa Dinasti apa. Namun , antara bentuk hukuman tersebut ialah pesalah akan dicekik sehingga mati.

Tapi sejujurnya, hukuman mengantung gajah sehingga mati rasanya lebih tidak waras untuk diterima oleh akal berbanding mencekik sehingga mati.

Tahniah, Ahli Parlimen menerima kenaikan gaji


Tahniah kepada Ahli Parlimen Malaysia kerana menerima kenaikan gaji sekali lagi. Memang mereka layak menerima kenaikan gaji tersebut kerana mereka terseksa dan merana gara-gara GST. 

Lagipun mereka tidak bernasib baik seperti rakyat, sebab mereka tidak dapat bantuan BRIM. Sedangkan rakyat Malaysia pula rata ritinya mewah dan kaya raya kerana dapat bantuan BRIM. Malah, perlaksanaan GST telah membolehkan para rakyat hidup dalam kesenangan dan ketenangan .

Wednesday, April 8, 2015

Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam


Beberapa ketika dahulu, atau lebih tepatnya pada awal tahun 2015, beberapa orang kenalan facebook telah memuat naik (upload ) gambar Pemain Bolasepak Jerman, Danny Blum menunaikan solat di masjid setelah memeluk Islam. Walau bagaimanapun, tatu(tattoo) di lengan pemain bola sepak tersebut telah mengundang tanda tanya dan sekaligus mengundang respon atau komen yang amat laris sekali. 

Ada yang melontarkan komen berdasarkan kefahaman dalam beragama. Tapi ada juga yang berhujah persis orang yang mandul akal dan terliwat minda. Mereka berhujah seakan-akan merekalah yang memegang kunci syurga. Mereka menghukum seolah-olah mereka itu penjaga pintu neraka. 

Sesetengahnya mendakwa solat si pemain bola sepak tersebut tidak sah, malah lebih dari itu, ada juga yang membuat dakwaan melampau dengan mendakwa keislaman Danny Blum tidak sah kerana masih bertatu. 



Benar, bertatu haram hukumnya di sisi agama islam. Malah sesiapa yang pernah bertatu perlulah menghilangkan tatu tersebut dengan sebaik mungkin. Jika seseorang bukan islam memeluk islam dan dia mempunyai tatu, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut. Begitu juga, jika seseorang islam yang bertatu lantaran kejahilannya, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut apabila menginsafi kesalahannya itu. 

Namun, perlulah difahami, islam adalah agama yang mudah dan tidak pernah membebankan penganutnya. Jadi, dalam isu menghilangkan tatu, ia hendaklah dihilangkan setakat yang termampu dan sedaya yang boleh, selagi tidak memudaratkan. Jadi orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkan tatu tersebut dengan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka. 

Cuma, lebih elok dan sopan, andainya orang-orang yang tidak dapat menghilangkan tatunya bertindak menyembunyikan tatu tersebut daripada pandangan umum, seperti memakai baju berlengan panjang. Ini adalah untuk mengundang fitnah dan salah sangka. 



Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam. 

Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudharatan. 

Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudharatan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.

Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut. 

Keterangan/Hujah:  
  1. Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkankepada Hadith Rasululllah  s.a.w. yang bermaksud: Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda “ Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari) 
  2.  Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya bermaksud : Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya”. (Riwayat al-Thabrani) 
  3. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah S.A.W. menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis. 
  4.  Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudharat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut. 
  5.  Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka. 
  6.  Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain. 

 Sumber:--> e-fatwa

Sunday, April 5, 2015

BLOGGER TERKENAL MATI DITETAK


Kejadian ini berlaku di Bangladesh, tapi para blogger di Malaysia perlulah mengambil iktibar. Kita semua perlu faham, meskipun media sosial termasuklah blog memberikan kebebasan untuk kita menulis, namun jangan sampai terbabas. Kebebasan menulis atau melontarkan pandangan tetap ada had dan batasnya. Ada sempadan dan batasannya. Ini yang perlu kita fahami. 

Kembali kepada tajuk, blogger Bangladesh, Washiqur Rahman, 27 tahun ditetak hingga mati oleh dua orang bersenjatakan pisau di kediamannya. Washiqur menulis menggunakan nama pena Ktshit Hasher Channa atau itik hodoh. Dia dikenali kerana mengkritik islam di dalam penulisan di blognya. 

Sebenarnya ini bukanlah kejadian pertama yang melibatkan pembunuhan blogger di Bangladesh. Malah, sebelum ini, beberapa orang blogger di sana mengalami nasib yang sama. Namun, kebanyakkan mereka terdiri daripada blogger yang menghina serta mempertikaikan agama islam. 



INFO TAMBAHAN: 

Bagi sesetengah orang, dia ingin berbicara tanpa Sempadan dan bersuara tanpa batasan. Kononnya itulah kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Hak Asasi Manusia. Mereka lupa, bicara dan suara kita ada had dan batasannya. 

Isu agama dan perkauman antaranya, merupakan isu sensitif yang memerlukan kebijaksanaan dan ketelitian untuk memperkatakannya. 

Semoga para blogger di Malaysia dapat jadikan tragedi yang menimpa blogger Bangladesh tersebut sebagai pengajaran dan pedoman. 

Eratkan persahabatan, jom like page saya -->Bicara Tanpa Sempadan