Sunday, June 28, 2015

Hukum Menderma Darah Ketika Berpuasa



Menderma darah merupakan amalan yang mulia. Persoalannya adakah ia boleh dilakukan ketika sedang berpuasa. Untuk entry ini, saya sekadar memaparkan ulasan atau penjelasan daripada seorang tokoh agama yang tidak asing lagi di Malaysia, : Dr Hayei Abdul Sukor 

Soalan: 

Apa hukum seseorang menderma darah pada bulan puasa, adakah batal puasanya kerana mengeluarkan darah itu. Bolehkah jika dia mengambil keputusan untuk berbuka pada hari itu?. - Ramli. 

Jawapan: 

Derma darah pada siang hari di bulan Ramadan ada dua pihak yang berkaitan hukum puasa, iaitu penderma dan pihak yang didermakan. Penderma boleh disamakan hukumnya dengan orang yang mengambil darah dengan cara berbekam, samada daripada kepala atau bukan kepala, yang disebut al-Fasd (berbekam pada bahagian bukan kepala) dan al-hijamah (berbekam pada kepala). 

Jumhur ulama berpendapat, berbekam tidak membatalkan puasa. Jadi, hukum menderma darah pada bulan puasa juga tidak membatalkan puasa. 

Pihak yang didermakan darah pula, hukumnya sama dengan hukum menyuntik ubat pada badan pesakit. Jika suntikan dilakukan kerana mengubat dan merawat sakit serta dilakukannya melalui urat, maka ia juga tidak membatalkan puasa, tetapi jika suntikan itu berupa makanan, maka ia membatalkan puasa.

Namun, saya(Dr Abdul Hayei) lebih cenderung untuk menyatakan pendapat, bahawa penderma darah, perlu berbuka untuk mengambil makanan yang menambahkan tenaganya, selepas darahnya diambil. Jika penderma ini mengambil keputusan untuk berbuka, hendaklah menggantikan puasanya apabila sembuh sakitnya nanti. Perselisihan pendapat ulama sekitar hukum, sama ada batal atau tidak batal puasa penderma darah, adalah antara masalah furu` dan suatu rahmat yang memungkinkan kita memilih mana yang lebih mudah dan terbaik bagi kita. Seringkali masalah-masalah khilafiah dan berupa furu` menjadi kecuh apabila dibincang, kadang-kadang ulama dan cendikiawan juga tidak terkecuali. 

INFO TAMBAHAN
Dr Abdul Hayei merupakan antara ulama/ilmuan hadis yang terkenal di Malaysia dan juga merupakan bekas pensyarah Usuluddin di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri, bekas pensyarah dan Dekan di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Merupakan seorang Panel Kajian Akidah Jakim, Ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli Majlis Perunding Hukum Syara‘ Wilayah Persekutuan dan Ahli Jawatankuasa Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam. Beliau juga merupakan penulis Tafsir Pedoman Muttaqin iaitu kitab tafsir al-Quran versi Melayu. 
Tajuk Lain Yang Berkaitan :Hukum Berbekam Semasa Puasa

Saturday, June 27, 2015

HUKUM BERBEKAM SEMASA PUASA


Apakah hukum berbekam pada masa puasa? 

JAWAPAN:

Berbekam pada siang hari pada bulan Ramadan menjadi khilaf. Yang masyhur dalam kalangan ramai sahabat dan tabiin bahawa ia tidak batal puasa berdasarkan kepada nas. Dikatakan Sa’d bin Abi Waqas R.A melakukan bekam. 

Begitu juga al-Zubair bin al-Awwam R.A, Ummu Alqamah dan lain-lain. Kecualai Imam Malik dan Abu Hanifah menganggap berbekam hukumnya batal puasa. 

Manakala Ata’ berpendapat, wajib kifarah. Pendapat yang masyhur adalah jumhur yang tidak makruh berbekam jika tidak membawa kelemahan kepada orang yang berpuasa. Lihat Su’alat al-So’imin, (hal. 65-66). 

Walaubagaimanapun, saya (Mufti W.Persekutuan, S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri) lebih cenderung kepada pendapat supaya tidak berbekam ketika berpuasa untuk keluar dari sebarang khilaf. 


Info Tambahan: 
Ketahui juga tentang Kebaikan dan Kelebihan Berbekam


Begitu jualah dengan proses pemindahan darah dan menderma darah. Ia dikiaskan dengan hukum berbekam.

Tajuk Lain Yang Berkaitan : Benarkah Roh Akan Pulang Pada Bulan Ramadan

Friday, June 26, 2015

HUKUM MENGGUNAKAN EYE MO KETIKA BERPUASA.


JAWAPAN Menggunakan titisan seperti eye-mo di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu juga dengan memakai celak tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi. Ini kerana ia tidak mengenyangkan dan menghilangkan dahaga sebaliknya ia adalah keperluan untuk kesihatan.¬ 

Sumber: href=" http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=328%3Ahukum-menggunakan-eye-mo&catid=68&Itemid=393">Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Info Tamabahan: 

Sekitar tahun 90-an Almarhum Tuan Guru Nik Aziz pernah mengatakan pengggunan Eye Mo tidak membatalkan puasa. Pandangan Almarhum sebenarya berkait rapat dengan fatwa Mufti Arab Saudi pada waktu itu, Almarhum Sheikh Bin Bazz. 

Pandangan Dr. Ahmad Al-Khalil mengenai iu-isu perubatan dan perkara yang membatalkan puasa: 

  • 1- Pendapat yang mengatakan “al-Jauf”, iaitu rongga yang membatalkan puasa apabila masuk makanan ke dalamnya adalah “Ma’idah” (perut) sahaja, tidak termasuk lubang-lubang lain di badan manusia. 

  • 2- Ulama' semasa berbeza pendapat tentang “Bakhkhah ar-Rabwu” (inhaler/penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal. 

  • 3- Pil yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung, yang dihisap secara terus dan tidak masuk ke dalam rongga adalah tidak membatalkan puasa. 

  • 4- Alat yang dimasukkan ke dalam ma’idah (usus) untuk mengesan penyakit juga tidak membatalkan puasa. Kecuali jika diletak ubat/minyak pada alat tersebut maka ia boleh membatalkan puasa. 
  • 5- Ulama' semasa juga berbeza pendapat tentang ubat titis ke dalam hidung. Ada yang mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang paling hampir dekat dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal. 
  • 6- Gas oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah angin/udara yang tidak terdapat anasir lain di dalamnya. 
  •  7- Begitu juga gas yang disedut melalui hidung, hukumnya sama dengan penyembur lelah (no. 2). 
  •  8- Bius setempat tidak membatalkan puasa. Manakala bius penuh sepanjang hari membatalkan puasa tetapi sekiranya pesakit tersedar dan masih berbaki waktu puasa hari tersebut tidak batal puasanya. 
  •  9- Ubat titis ke dalam telinga juga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak bersambung dengan “Jauf”. 
  •  10- Ubat titis mata, mengikut majoriti ulama' semasa, tidak membatalkan puasa. 
  •  11- Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot mengikut majoriti ulama' semasa tidak membatalkan puasa. 
  •  12- Memasukkan air dan benda yang boleh mengenyangkan seperti glukos ke dalam urat, mengikut majoriti ulama' semasa adalah membatalkan puasa. 
  • 13- Melumur minyak, losyen dan sebagainya pada kulit, tidak membatalkan puasa. 
  • 14- Memasukkan alat seperti kamera, untuk mengesan penyakit ke dalam urat/saluran jantung adalah tidak membatalkan puasa. 
  • 15- Begitu juga memasukkan alat ke dalam perut untuk mengesan penyakit, tidak membatalkan puasa. Tetapi sekiranya sampai kepada “Ma’idah” (usus), boleh membatalkan puasa. 

16- Dialisis (mencuci darah) yang mengandungi ubat-ubat yang boleh mengenyangkan atau memberi kekuatan boleh membatalkan puasa, sebaliknya kalau setakat membersihkan darah tanpa ubat-ubatan tidak membatalkan. 

17- Menggunakan cecair/sabun pencuci alat sulit wanita tidak membatalkan puasa. 

18- Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit buaasir atau mengurangkan kepanasan suhu badan tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak sampai kepada ma’idah. 

19- Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat melalui lubang zakar tidak membatalkan puasa. 

20- Menderma (mengambil) darah. Terdapat khilaf yang begitu besar dikalangan ulama', tetapi pendapat yang lebih kuatnya tidak batal kerana dikiaskan kepada berbekam. 

21- Begitu juga mengambil sedikit darah untuk ujian pemeriksaan tidak membatalkan puasa. Demikianlah beberapa masalah dan pandangan yang dipilih oleh beliau. Bagi para pembaca yang mempunyai keahlian dalam bidang agama bebas untuk menilai manakah pendapat yang kuat berdasarkan dalil dan ta’lil yang dikemukakan, wallahu a’lam.

Sumber : href=" http://abuanasmadani.blogspot.com/2013/07/hukum-penggunaan-inhaler-accuhaler-dan.html#more">Dr Abdul Basit Abdul Rahman

Tuesday, June 23, 2015

Benarkah roh akan kembali pada bulan Ramadhan.


Di Group WhatsApp tertentu ada seorang rakan menyampaikan tazkirah kononnya roh-roh akan kembali ke bumi pada bulan Ramadhan hinggalah Hari Raya Eidul Fitri. 

Pertama sekali, roh-roh ini akan menziarahi tanah perkuburan untuk melihat jasadnya. Kemudian roh tersebut akan menziarahi rumah anak-anak mereka dan beberapa perkara yang lain.

Tazkirah maya tersebut diakhiri yang disusuli pesanan agar disebar luaskan/share kepada rakan-rakan yang lain. 

Benarkah roh akan pulang ke bumi pada bulan puasa nanti. 

Selain cerita atau dakwaan kepulangan roh apabila Ramadan menjelma, terdapat juga beberapa kepercayaan lain terhadap roh orang mati dalam kalangan orang-orang Melayu. Ketika saya mendiami negeri tertentu(saya rahsiakan) suatu masa dahulu, terdapat kepercayaan masyarakat setempat yang agak tersasar mengenai roh. Apabila berlaku kematian, ahli keluarga si mati akan menghidangkan makanan dalam pinggan yang biasa digunakan oleh si mati semasa hayatnya. Dan, makanan tersebut akan diletakkan di sudut tertentu dalam rumah dengan kepercayaan roh si mati akan pulang.

Malah, sekitar tahun 2013, ketika pemergian ibu saudara saya, terdapat seseorang yang berpesan agar pakaian, bantal dan selimut yang sering digunakan oleh ibu saudara saya semasa hayatnya dan ketika beliau uzur hinggalah ke beliau menghembuskan nafas terakhir hendaklah diletakkan di atas katil/ tilamnya. Bukan itu sahaja, malah pakaian kesayangannya juga hendaklah diletakkan bersama. Pesanan tersebut berdasarkan kepercayaan rohnya akan pulang ke rumah untuk melihat anak-anaknya. 

Benarkah kepercayaan tersebut? 

Hayatilah firman Allah S.W.T ini Firman Allah ertinya : 

" Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" ( Al-Mu'minuun : 99-100). 

Berdasarkan ayat ini dapat kita fahami dengan mudah, andainya roh-roh dapat kembali ke dunia, mereka akan melakukan amal soleh semaksimum mungkin. Ini kerana mereka telah menyesali segala kesilapan dan kesalahan semasa hayatnya. 

Mereka juga akan menginsafi segala dosa dan nodanya. Percayalah mereka tidak ada masa untuk menziarahi anak cucunya. Jadi dakwaan kononnya roh akan kembali pada bulan Ramadhan atau hari-hari yang lain untuk menziarahi anak cucunya adalah tidak berasas. 



Alhamdulillah, saya ketemui jawapan dan ulasan yang menarik mengenai isu ini. Ia disiarkan di Kosmo. Berikut adalah sebahagian daripada penjelasan tersebut. 

Ulama tersohor Syeikh Dr. Yusuf al-Qardawi pernah menyebut, roh tidak akan mencampuri urusan dunia yang sudah tidak lagi berguna kepadanya.

Dalam erti kata lain, roh berada di suatu alam lain dinamakan alam barzakh yang kehidupannya jauh beza dengan kehidupan di dunia.

 Alam ini adalah jangka waktu antara kematian dengan hari kiamat. Roh orang yang beriman akan menerima balasan yang baik di alam barzakh manakala roh daripada golongan yang gemar membuat maksiat akan diazab.

 “Dalam satu hadis sahih sudah dinyatakan, hanya ada tiga perkara yang menghubungkan dunia dengan roh iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa-doa daripada anak-anak yang soleh.”

Pandangan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din

Menurut seorang tokoh agama yang terkenal, juga Mursiyul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din, roh tidak boleh kembali ke dunia dan manusia juga tidak boleh masuk ke alam barzakh tanpa sebab.

 “Kalau kita beranggapan roh orang yang telah mati boleh kembali ke dunia dan boleh ke sana ke mari, seolah-olahnya di alam barzakh itu tiada seksaan kubur, tiada balasan dan roh-roh ini hidup bebas keluar masuk ke alam dunia. Anggapan tersebut salah sama sekali."

“Disebabkan itu, kita harus yakin dan percaya bahawa roh si mati tidak boleh pulang ke dunia untuk menziarahi keluarga, rumah, kubur dan sebagainya,” jelasnya. Tambahnya, hanya pada hari kiamat nanti, jasad akan dijadikan semula dan roh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah. \

“Alam barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat. Roh yang memasukinya akan kekal di dalamnya. “Ibarat bayi yang hidup di alam rahim, apabila lahir ke dunia, bolehkah bayi tersebut kembali ke alam rahim? Sudah tentu tidak,” ujar Mursyidul Am PAS itu lagi.

 
 Pandangan Pengerusi MURSHID, Dr Zaharuddin Abdul Rahman

Tokoh agama, yang juga Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, roh tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia sama ada dalam keadaan baik ataupun sebaliknya. 

“Dakwaan roh pulang ke rumah sempena hari-hari tertentu tidak benar. Jika ada yang pernah melihat makhluk menyerupai si mati dan kedengaran suara menangis, menurut ulama ia bukanlah roh si mati sebaliknya angkara jelmaan jin dan syaitan yang menyerupai si mati. Tidak lebih daripada itu,” 
jelasnya. 

Hujahnya itu dirujuk kepada firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 99 dan 100 yang bermaksud: “Hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka (orang kafir) dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong). Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan.” 

Dr. Zaharuddin berkata, ayat ini jelas memberitahu bahawa barzakh adalah tembok yang menghalang roh orang yang telah mati daripada kembali ke dunia.

 “Begitupun, ada juga ulama yang berpendapat, roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur melalui mimpi,” katanya. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Waktu Membayar Zakat Fitrah

Monday, June 22, 2015

WAKTU MEMBAYAR ZAKAT FITRAH.


Selain ibadah puasa, di bulan Ramadan juga, umat islam yang berkemampuan diwajibkan menunaikan zakat fitrah. Mengenai pembayaran zakat fitrah ini, terdapat waktu-waktunya yang tersendiri. Ada waktu yang waktu yang harus, wajib, afdal, makruh dan juga haram. Sebagai umat islam, kita perlulah peka agar amalan puasa yang kita lakukan dan zakat fitrah yang kita bayar mendapat keberkatan daripada-Nya. 

Berikut merupakan waktu-waktu pembayaran zakat fitrah. Waktu Harus : Ia bermula pada awal Ramadan sehinggalah hari terakhir bulan Ramadan.

Waktu Wajib : Ialah terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadan. 

Waktu Afdal: Ialah selepas solat subuh pada hari raya sehingga sebelum didirikan solat sunat Aidfitri. 

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah daripada Ibn Abbas ra yang bermaksud “ Rasulullah SAW mewajibkan zakat kerana membersihkan dosa orang yang berpuasa dan memberi makan kepada orang miskin. Sesiapa yang menunaikan sebelum solat hari raya, diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, zakatnya adalah sedekah” 

Waktu Makruh : Iaitu selepas solat sunat hari raya tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya yang pertama. 

Waktu Haram : Iaitu selepas terbenamnya matahari pada hari raya( 1 Syawal) tanpa sebarang halangan dan keuzuran.

Gambar atau keratan akhbar dari JAKIM 

Kepada sahabat-sahabat yang beragama islam, selamat berpuasa dan selamat menunaikan zakat, saya ucapkan. Semoga kita semua sentiasa peka dan cakna mengenai waktu-waktu pembayaran zakat fitrah. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan:

Sunday, June 21, 2015

HUKUM MEMAKAI GINCU/ LIPSTIK KETIKA BERPUASA


Moga tulisan atau entry ini member manfaat kepada semua, terutamanya para wanita islam atau Muslimah,. Mudaha-mudahan ia menjadi sebuah peringatan dan panduan. 

Saya sekadar memetik daripada Ruangan An- Nur , iaitu ruangan khas untuk kemusykilan agama yang dikendalikan oleh Ustaz Haslin Baharin, di dalam akhbar Metro Ahad bertarikh 17.Mei .2015 halaman 56. Tajuk asalnya ialah Pakai Gincu ketika Ramadan dan Saya paparkannya dengan matlamat menyebarluaskan info yang berguna ini untuk manfaat bersama. 

Hukum bergincu untuk tabbarruj atau berhias adalah diharamkan, berdasarkan firman Allah kerana ia adalah amalan jahiliyah. 

Firman Allah yang bermaksud “… . dan hendaklah kamu menetap di rumahmu dan janganlah kamu bertabarruj ( yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang Jahiliyah yang dahulu …..”( Surah al-Ahzab, ayat 33).

Ia termasuklah perbuatan bersolek dengan solekan yang boleh menimbulkan ghairah lelaki. Ini termasuklah memakai gincu bibir, memakai pipi merah dan berwangi-wangian di luar rumah. Hukum bergincu dari segi orang berpuasa pula boleh dibahagikan kepada tiga. 

Pertama, jika sengaja bergincu adalah dimakruhkan tanpa sebarang tujuan. Jikalau tertelan sesuatu darinya, maka batalah puasanya. Wajiblah menqadanya atau mengantikannya pada bulan yang lain. 

Kedua, bergincu dengan tujuan untuk melembapkan bibir. Jikalau tiada rasa atau sesuatu benda sampai ke kerongkong, maka hukumnya harus. 

Ketiga, bergincu kerana tujuan perubatan dan terdesak, maka dibolehkan kerana tujuan mendesak itu. Jika tertelan secara tidak sengaja dalam jumlah yang sedikit, adalah dimaaafkan. Ia sebagaimana disandarkan kepada hukum merasa makanan ketika seseorang itu berpuasa. 

Kepada para wanita islam atau Muslimah,. Mudaha-mudahan ia menjadi sebuah peringatan dan panduan ketika melayari bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan : Cara Menunaikan Solat Terawih Secara Sendirian di Rumah

Saturday, June 20, 2015

Cara menunaikan Solat Terawih secara sendirian di rumah


Sebahagian daripada kita mungkin ada yang bekerja di waktu malam, atau pulang lewat, atau ada keuzuran hingga tidak dapat ke masjid. Timbul persoalan tentang bagaimana caranya untuk melakukan solat terawih sendirian di rumah.

  • 1- Solat terawih ialah solat sunat waktu malam
  •  2 rakaat. Tatacaranya sama seperti solat-solat sunat yang lain.Tiada beza tatacaranya.  Ia tidak mempunyai jumlah maksima rakaatnya. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ditanya: 



  • 3- Ia dilakukan selepas solat Isyak. Masanya berakhir apabila masuk waktu Subuh. Hanya sahaja, sewajarnya selepas solat Isyak dilakukan solat sunat rawatib selepas Isyak/ba'diyah Isyak, kemudian baru dilakukan solat terawih. 

  • 4- Boleh juga tidur dahulu, dan melakukannya di hujung malam pada waktu sahur. 

  • 5- Baca apa-apa sahaja surah yang dihafaz. Tiada surah yang khusus.

  • 6- Tiada apa-apa bacaan khusus antara rakaat-rakaat solat terawih. Bacaan-bacaan yang popular di baca di masjid-masjid adalah rekaan manusia. Ia bukan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Insya-Allah, solat terawih itu Rahmat Allah itu luas, Dia tahu keadaan setiap hambaNya. 


Info Tambahan: 

Islam itu mudah, dan Allah tidak pernah membebankan hamba-Nya. Jadi, rebutlah peluang untuk meraih redha Allah dengan memperbanyakkan amal ibadat di bulan yang suci ini, antaranya ialah dengan menunaikan Solat Terawih. 

Seeloknya secara berjemaah di Masjid atau surau, namun, jika tidak mampu lantaran kesibukan, kepenatan atau kerana halangan-halangan tertentu, boleh sahaja menunaikan ibadat tersebut di rumah, baik secara berjemaah mahupun bersendirian. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: 

KADAR BAYARAN ZAKAT FITRAH SELURUH NEGERI BAGI TAHUN 1436H/2015M.


Mengeluarkan Zakat adalah sebahagian daripada Rukun Islam. Zakat Fitrah pula ditunaikan pada bulan Ramadhan. Kadarnya berbeza dari semasa ke semasa dan juga berbeza antara negeri-negeri. 

Berikut adalah kadar bayaran zakat fitrah seluruh negeri bagi tahun 1436H/ 2015M. 

  • 1. Perlis : RM6.50 
  • 2. Kedah : RM7.00 
  • 3. Pulau Pinang : RM7.00 
  • 4. Perak : RM7.00 
  • 5. Selangor :RM7.00 
  • 6. Negeri Sembilan : RM9.50 
  • 7. Melaka : RM6.70 
  • 8. Johor : RM5.00/8.00* 
  •  9. Pahang : RM7.00 
  • 10. Terengganu : RM7.40/6.80/4.60* 
  • 11. Kelantan : RM7.00 
  • 12. Sarawak : RM7.00 
  • 13. Sabah : RM7.00 
  • 14. Wilayah Persekutuan : RM7.00 

Kredit Foto: FB Utusan Malaysia/Utusan Online.

Kepada seluruh umat islam, belum terlewat rasanya untuk saya ucapkan selamat berpuasa. Semoga Ramadhan kali ini semakin mendekatkan kita kepada-Nya.

Wednesday, June 17, 2015

PERKARA-PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA.



Sebelum Ramadhan menjelma, eloklah kita memantapkan pengetahuan tentang ibadah puasa termasuklah mengenai perkara-perkara yang membatalkan dan tidak membatalkan puasa. 

Pertama sekali, amat penting untuk umat islam mengetahui perkara-perkara asas yang membatalkan puasa, sebagaiamana disepakati oleh para ulama. Ia terdiri daripada empat perkara, iaitu: 
  • 1. Makan 
  • 2. Minum
  • 3. Bersetubuh(Jima’) 
  • 4. Haid dan Nifas. 

Adapun tentang perkara-perkara lain yang membatalkan puasa, ia tidaklah disepakati oleh para ulama, jadi umat islam perlulah bertolak ansur dan berlapang dada. Cuma, janganlah sampai membebankan atau memberatkan hingga menyukarkan kita melakukan ibadat puasa.

Ulama terbilang dunia ketika ini, iaitu Dr Yusoff Al-Qaradhawi yang juga Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja. 

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. 

Jadi, di ruangan yang terhad dan terbatas ini, saya akan memaparkan beberapa perkara yang tidak membatalkan puasa. Ia merupakan keputusan Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997. Artikel asal tersebut saya rujuk dari blog Abu Anas Madani 

Menurut ahli majlis/peserta seminar tersebut telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA. 

  • 1- Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga. 
  • 2- Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung). 
  • 3- Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin). 
  • 4- Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray. 
  •  5-Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
  •  6- Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukos yang mengenyangkan). 
  •  7- Penderma atau menerima pemindahan darah. 
  •  8- Oksigen dan Gas Bius. 
  • 9- Semua jenis bahan yang boleh menyerap kedalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat. 
  •  10- Mengambil sampel darah untuk ujian makmal. 
  •  11- Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain. 
  •  12- Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punca penyakit. 
  •  13- Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk kedalam perut.
  • 14- Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat kedalamnya (contoh; IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim). 
  •  15- Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain. 

Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA:

  • 1- Ubat titis hidung, semburan hidung (inhalers) dan ubat sedut. 
  • 2- Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur. 
  •  3- Pembedahan yeng melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya. 
  •   4- Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut.
  •   5- Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya kedalam perut. 


Alhamdulillah, dengan penjelasan ini semoga terjawab persoalan yang sering menjadi pertanyaan dan kemusykilan bagi para muslimin dan muslimat sekelian. Selamat menjalani ibadat puasa, semoga Allah menerima semua amalan baik kita dan memberi kekuatan dan hidayah untuk kita istiqamah melakukannya.

Monday, June 15, 2015

Isu Farah Ann Abdul Hadi: Pertembungan antara sukan dan agama.


Nama Farah Ann Abdul Hadi, tiba-tiba menjadi sebutan dan viral di media sosial. Ia bukanlah semata-mata kerana kejayaan atlet gymnastic itu memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA di Singapura. Tapi lebih dari itu ialah kerana pakaiannya yang terlampau sendat hingga menampakkan lurah kemaluannya. 

Sejujurnya saya tidak bersetuju dengan komen-komen yang berbentuk kutukan dan macian yang dihamburkan kepadanya. Begitu juga dengan kritikan yang berlebihan. Kita sepatutnya menerang dan bukannya menyerang. Kita juga sepatutnya menegur dan bukannya memaki hamun

Namun dalam masa yang sama, saya lagi tidak bersetuju dengan komen-komen yang membelanya. Malah, sesetengah komen atau pembelaan tersebut sangat melampaui batas dan terbabas jauh dari paksi agama hingga ke tahap menghakis akidah. Lihat sahaja komen yang dilontarkan oleh seorang wanita islam ini di laman facebook:

" dah mmg cara pakaian utk sukan gimnastik mcm tu..knp nk dipertikaikan.. ke nk suh atlet sukan gimnastik pakai baju kurung masa dorang ngah competition.. " 

Betapa parahnya pegangan agama seseorang muslim yang berpemikiran atau berpandangan seperti di atas. Komen yang dilontarkan itu telah mencerminkan betapa ceteknya pengetahuan agamanya. Dia langsung tidak memahami mana satu keutamaan yang perlu didahulukan. Dia gagal memahami betapa islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya ( al islaamu ya'lu wala yu'la 'alaihi.). Jika seseorang muslim memahami hakikat ini, tentu sekali dia tidak akan meletakkan kedudukan sukan mengatasi agamanya. 

Sejujurnya saya lebih menghormati segelintir kenalan bukan islam dalam isu ini. Walaupun mereka menyokong Farah Ann kerana mengharumkan nama negara, namun mereka bijak melontarkan komen. Mereka tidak sesekali melontarkan komen yang penuh kejahilan seperti sesetengah muslim. Sebaliknya, mereka menyalahkan ibu-bapa yang beragama islam yang membenarkan anak-anak mereka terlibat dalam sukan gimnastik yang sememangnya memerlukan berpakian sebegitu. 

Malah, terdapat juga golongan bukan islam yang mencadangkan agar Kerajaan tidak lagi membenarkan mana-mana perempuan islam menyertai acara gimnastik. Komen dan cadangan mereka ternyata lebih menepati kehendak dan tuntutan agama islam, walaupun mereka bukan beragama islam. Ternyata, kadang-kadang golongan bukan islam ini jauh lebih islamik berbanding dengan umat islam sendiri. Dalam isu sebegini, kita sudah dapat melihat kewujudannya. 

 INFO TAMBAHAN: 

Kerajaan sepatutnya menghalang dan mencegah mana-mana wanita islam terlibat dalam gimnastik, sebagaimana larangan ke atas umat islam daripada memasuki kasino, membeli nombor ekor, dan meminum minuman keras. Kerajaan sepatutnya sedar kontoversi sebeegini pasti akan timbul kerana ia melibatkan hukum hakam agama. 

Namun, jika Kerajaan menghalang atau mengharamkan sekalipun, setiap ibu-bapa yang beragama islam perlulah cakna dalam isu agama. Mereka tidak sepatutnya membenarkan anak-anak gadis mereka menyertai gimnastik dan mana-mana aktiviti sukan yang tidak selayaknya untuk wanita.

Dalam hal ini saya tertarik dengan ulasan Kapten Hafiz Firdaus Abdullah dalam akaun facebooknya, 

 “Sukan gymnastik bukanlah sesuatu yang boleh diceburi setahun dua yang lalu. Ia mesti bermula dari umur kanak-kanak. Semua aktiviti sukan gymnastik, baik untuk lelaki atau perempuan, akan menampakkan aurat. 

Ibubapa yang menghayati Islam sepenuhnya akan melarang anak-anak mereka daripada menceburi sukan gymnastik (atau apa-apa sukan lain yang mendedahkan aurat). Hanya ibubapa dayus yang akan membenarkannya. Firman Allah:

 "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (At Tahrim 66:6) "

Monday, June 8, 2015

Pemandu wanita lebih baik daripada pemandu lelaki.


Tentu sahaja, terdapat pembaca lelaki yang tidak berpuas hati dengan tajuk ini. Tapi, inilah realiti yang perlu kita akui. 

Tentang perkara ini, saya ada terbaca satu artikel yang ditulis oleh Farush Khan bertajuk di akhbar Sinar Harian ruangan Cetusan yang bertarikh 20 Mei 2015. 



Menurut artikel tersebut, berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh sebuah syarikat insurans antarabangsa baru-baru ini, pemandu perempuan diistiharkan lebih baik berbanding pemandu lelaki. 

Kajian yang dilakukan di Britain itu melibatkan 50 orang pemandu yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Mereka perlu menjalani ujian pemanduan yang telah ditetapkan. 

Ujian tersebut mengandungi 14 bahagian, termasuklah aspek kelajuan, tindak balas terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang lain, kemahiran pemerhatian dan pematuhan kepada peraturan lampu isyarat. Ujian tersebut diadakan di kawasan paling sibuk di Kota London, iaitu sekitar Hyde Park.

Dalam kajian tersebut, wanita didapati memperolehi 23.6 daripada 30 mata yang diperuntukan, manakala pemandu lelaki pula memperolehi 19.8 mata sahaja. Selain itu, wanita juga didapati memandu dengan lebih baik daripada kaum lelaki ketika berada di persimpangan jalan. Maknanya mereka mematuhi lampi isyarat dan tidak redah ketika lampu belum hijau. 

Kajian tersebut juga membuktikan kasahihan persepsi yang sering dikaitkan dengan cara pemanduan golongan lelaki dan wanita. Antaranya lelaki didapati lebih suka mengambil risiko, memandu terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan, memotong barisan, melanggar peraturan lampu isyarat, berbual di telefon serta menghanrat mesej melalui telefon ketika memandu. Wanita pula sebaliknya, iaitu lebih bersopan santun dan bertimbang rasa. 

Adakah situasi sebegini hanya berlaku di negara maju seperti Britain. Adakah wanita di sana lebih berhemah ketika memandu dan memiliki timbang rasa yang tinggi ketika berada di jalan raya. Bagaimana pula dengan pemadu wanita di tempat kita. Adakah sedemikian juga.

Friday, June 5, 2015

FAKTA MENARIK TENTANG KUCING YANG PERLU ANDA KETAHUI.



KUCING. Pasti sahaja ramai antara kita yang membela kucing. Tak kisahlah kucing jenis atau species apa sekalipun. Saya juga tidak terkecuali. Gambar di atas adalah gambar kucing belaan saya, yang saya rakam beberapa minggu yang lepas. 

Demi kucing, ada orang sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk membelanya. Ini termasuklah kos makanan, tempat tinggal dan juga rawatan. 



Paling dikagumi terdapat juga manusia berhati mulia yang sanggup mengambil kucing-kucing jalanan yang dibuang oleh pemilik asalnya. Lalu, mereka membela dan menyediakan tempat tinggal untuk kucing tersebut. Bukan seekor dua sahaja, malah puluhan ekor kucing yang diambil dari jalanan dan diberi kehidupan yang baru. Kepada insan yang berhati sebegini mulia, didoakan agar anda dimurahkan rezeki dan dirahmati Tuhan sepanjang masa. 

Kembali kepada tajuk, iaitu mengenai beberapa fakta yang menarik mengenai kucing yang perlu kita semua, terutamanya pembela dan peminat kucing ketahui. Info-info yang bermanfaat ini saya petik daripada akhbar Berita Harian yang bertarikh 14. Mac. 2015 dan juga 31.Mei.2015. Moga ia bermanfaat kepada kita semua. 




FAKTA MENARIK TENTANG KUCING. 

  • Kucing memiliki kira-kira 30 batang gigi 
  • Dalam tubuh seseekor Kucing terdapat 290 tulang dan 517 otot. 
  • Kucing biasanya tidur sekitar 16 jam sehari 
  • Kucing yang berumur 6 bulan adalah bersamaan dengan manusia yang berusia 10 tahun.
  • Rasa sayang kepada kucing dipanggil ‘ailurofobia’ 
  • Terdapat lebih 500 juta ekor kucing di seluruh dunia, membabitkan kira-kira 33 species. 
  • Mereka yang membela kucing dikatakan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang, selain kurang mengalami tekanan hidup serta dapat mengelakkan (mengurangkan lebih tepat)risiko serangan jantung. 
  • Jantung kucing berdegup dua kali lebih pantas berbanding jantung manusia, iaitu pada kadar 110ke 140 kali seminit. 
  • Kucing menggoyangkan ekornya untuk menunjukkan emosi dan rasa kasih sayang kepada pemiliknya. 
  • Berbanding tubuhnya, kucing mempunyai mata terbesar berbanding mamalia yang lain. 
  • Tempoh bunting bagi kucing ialah di antara 58 hari hingga 65 hari. 
  • Kucing juga boleh membezakan warna ungu, biru,hijau dan kuning. 

Begitulah rahsia yang tersirat di sebalik seekor kucing. Kenali dan sayanginya kerana kucing adalah mahkluk istimewa yang diciptakan oleh Allah, malah ia juga adalah haiwan kesayangan sahabat Rasulullah S.A.W, Abu Hurairah r.a. 

Sekiranya tiada sekelumit minat sekalipun untuk membela binatang istimewa ini, sekurang-kurangnya janganlah sesekali menyakiti dan menzaliminya.

Thursday, June 4, 2015

PESAWAT DIPERCAYAI TERHEMPAS DI GUA MUSANG.



Sama ada berita ini benar atau tidak, tidaklah dapat dipastikan lagi. Cuma ia sedang hangat diperkatakan. Sama-samalah kita berdoa, agar berita ini tidak benar. 

Namun yang pasti, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan telah menerima panggilan yang mendakwa melihat sebuah pesawat dipercayai terhempas di Rantau Manis, Gua Musang. Jurucakapnya berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.36 malam dan sepasukan pegawai serta anggota sudah bergegas ke lokasi kejadian. 

Difahamkan, hingga jam 10.30 malam tadi, bomba belum menemui sebarang objek dan operasi sedang giat dilakukan. Lebih lanjut, langsung sahaja ke, --> Berita Harian 

Harap-harap dakwaan tersebut tidak benar. Inilah doa dan inilah harapan. Cukuplah dengan tragedi MH370 dan MH17. Kita tidak sanggup lagi untuk mendengar perkhabaran duka yang menimpa industri penerbangan negara.

Tuesday, June 2, 2015

Rohingya, hentikanlah penyebaran maklumat palsu.


Matlamat memang suci dan mulia iaitu untuk meraih simpati masyarakat, terutamanya umat islam terhadap penderitaan yang dialami oleh umat islam di Rohingya. Tapi sayang, kaedah atau pendekatannya pula terlalu hina dan keji.

Matlamat tidak menghalalkan cara, itu yang perlu difahami. Maknanya, walaupun untuk mencapai tujuan dan matlamat yang baik, kita tidak boleh sesekali menggunakan kaedah yang tercela. 

Amat dikesali kerana ada pihak-pihak tertentu yang memuat naik gambar-gambar palsu di laman sosial untuk ‘melariskan’ kisah derita umat islam Rohingya. Memang ‘jualan’ mereka sangat laku dan amat laris. Ini kerana dalam beberapa hari hari sahaja, ia dikongsi oleh ribuan pengguna laman sosial terutamanya facebook dan WhatsApp. Ia tersebar luas tanpa sempadan, sekali gus menyebar luaskan simpati terhadap umat islam Rohingya. 

Tapi, malangnya, gambar-gambar dan maklumat palsu tersebut secara tidak langsung telah mencalar imej agama islam. Ini kerana ia mengambarkan betapa mudahnya umat islam ini termakan fitnah. Lagi teruk, ia seakan-akan mengambarkan umat islam hari ini berwahyukan media sosial hinggakan percaya bulat-bulat terhadap apa sahaja yang dipaparkan di laman sosial. 

Gambar seperti di atas tersebar luas sejak akhir-akhir ini. Tapi tahukah anda, gambar tersebut tiada kaitan langsung dengan isu Rohingya. Sebaliknya, ia adalah gambar pelajar-pelajar di sebuah sekolah di India yang sedang menjalani latihan lagak ngeri(stunt). 




Gambar ini juga tiada kaitan dengan isu Rohingya. Lansung tiada kaitan, tapi sebaliknya, ia adalah gambar para sami di Tibet yang bersiap sedia untuk upacara membakar mayat mangsa gempa bumi. Kebiasaannya di Tibet, mayat-mayat akan diberi makan kepada burung Ereng, tapi disebabkan terlalu banyak mayat yang menjadi korban gempa bumi, maka para sami terpaksa membakarnya.

Gambar di atas pula merupakan gambar umat islam di Selatan Thailand yang ditangkap dan dikumpul oleh tentera Thailand sekitar tahun 2004 dahulu. 

Tentu sahaja masih ramai yang mengingati tragedi Takbai, dan gambar tersebut merujuk kepada tragedi tersebut. Jadi ia langsung tiada kaitan dengan keganasan yang di Rohingya Myanmar. 

Jadi, waspadalah selalu sebelum upload mahupun berkongsi gambar-gambar sebegini. Pastikan kesahihahannya terlebih dahulu sebelum dikongsi. Jangan kerana kita, imej islam yang tercalar.

Monday, June 1, 2015

NAZMI FAIZ MANSOR LAYAK TERIMA ANUGERAH PELUDAH TERHEBAT.


“Bodoh......” 

Itulah yang dilontarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. 

“Bodoh dan tidak matang”

Itu pula kata-kata pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh. 

“Menyusahkan pasukan dan memalukan” 

Begitulah luahan kekecewaan Jurulatih skuad bola sepak Sukan SEA Negara, Datuk Ong Kim Swee. 

Itu semua adalah luahan kekecewaan gara-gara Nazmi Faiz Mansor meludah pemain Timor Leste, sewaktu menentang Timur Laste pada aksi pembukaan Kumpulan B Sukan SEA. 

Selain itu, di laman sosial juga, Nazmi telah menjadi mangsa cemuhan dan kutukan gara-gara tindakannya yang tidak bertamadun. 

Saya cuba berprasangka baik, mungkin Nazmi meludah kerana dia terlalu banyak kahak. Atau mungkin juga dia suka makan sireh. Atau mungkin juga ludah meludah itu adalah hobinya sejak kecil lagi.

Nazmi telahpun meminta maaf kepada Jurulatih dan rakan-rakan sepasukan kerana tindakannya yang tak bertamadun itu telah menjejaskan dan merosakkan peluang Pasukan Malaysia. Nazmi mendakwa dia meludah kerana pemain Timor Leste, Felipe Oliviera menyiku dan cuba menumbuknya. 

Alasan yang sangat lawak, dan tidak sepatutnya dijadikan hujah oleh seorang pemain bola sepak. Dikasari, malah tercedera sekalipun adalah lumrah dalam sukan bola sepak. Para pemain hendaklah bertindak secara professional dan bukannya bertindak bodoh. Kalau tak nak dikasari eloklah Nazmi main congkak atau main layang-layang selepas ini. 

Disebabkan tindakannya meludah pemain Timor Leste, yang sekali gus menambahkan beban Pasukan Negara, jadi eloklah jika dianugerahkan Peludah Terhebat kepada Nazmi Faiz.  Apa tidaknya, peluang utuk jadi Pemain Terbaik atau Penjaring Terbanyak memang mustahil dah.