Thursday, July 30, 2015

BEZA ANTARA RAYA DAHULU DAN RAYA SEKARANG.


Saya terkenang kembali detik-detik indah zaman kanak-kanak ketika menyambut satu syawal, sebaik sahaja terbaca sebuah artikel di akhbar harian metro yang bertarikh 25.Julai.2015. Tulisan tersebut bertajuk raya dulu raya sekarang. Jujur dan ikhlas, ia memang menepati realiti hari ini, di mana segala keindahan dan keriangan menyambut raya telah terhakis dan terkikis di telan arus permodenan. 

Sesiapa sahaja yang menempuhi alam kanak-kanak sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, pasti merindui kembali detik-detik yang telah pupus di telan waktu. Ternyata berbeza sekali antara raya dahulu dengan raya sekarang, dan entah bagaimana pula raya pada masa akan datang. 

KAD RAYA

Nostalgia kad raya yang begitu melekat di hati. Sebenarnya masih ada beberapa keping kad raya dalam simpanan saya. Sengaja saya simpan untuk kenang-kenangan. Dan, saya amat yakin, ramai juga antara kita yang mempunyai nostalgia kad raya. Tidak sekadar nostalgia menerima dan mengutus kad raya, tetapi lebih dari itu. 

Suatu ketika dahulu, kad raya begitu popular. Beraneka warna dan pelbagai bentuk serta saiz. Terdapat kad raya yang bersifat umum dan terdapat juga yang dikhaskan untuk insan atau golongan tertentu, seperti khas untuk guru, suami, isteri,kekasih,tuning, ayah dan ibu serta macam-macam lagi. Malah, terdapat juga kad raya yang berirama(muzik),biasanya dari lagu-lagu raya yang popular. Fungsi kad raya sebenarnya tidak sekadar untuk dibaca, tapi turut dijadikan perhiasan rumah ketika menjelang raya. Ia digantung pada sudut-sudut tertentu seperti tepi jendela atau pada bunga hiasan di ruang tamu. Ketika di alam persekolahan, menerima kad raya adalah satu kebanggaan. Lebih-lebih lagi dari kenalan yang jauh dari negeri berlainan.

Malah, ada beberapa orang sahabat saya yang sanggup membeli dan mengirm(pos) kad raya kepada diri sendiri semata-mata ingin meraih kebanggaan ini. Tapi sayang, itu adalah cerita dahulu kala. Sekarang situasi sebegini hanyalah sebuah nostalgia. Ledakan teknologi maklumat telah mengubah semua itu hingga kad raya hampir pupus. Benar, kad raya masih ada dan budaya mengirim kad raya masih berlangsung tapi ia semakin tersisih. Mungkin satu ketika nanti ia akan pupus sebagaimana pupusnya Dinosaur . Ia tidak mustahil sebab sebelum ini telegram dan poskad telah dipinggirkan dan hanya tinggal di dalam catatan sejarah. Email mengantikan surat dan poskad, handphone mengantikan telegram dan laman sosial pula telah memainkan peranan yang amat besar dalam hidup dan kehidupan manusia. 

Tentang kad raya pula, hari ini seseorang hanya perlu upload gambar(termasuklah gambar kad raya) di facebook dan tagging sahaja kepada mana-mana kenalan. Sejujurnya, kita tidak boleh menyalahkan perubahan-perubahan ini. Malah, dalam banyak-banyak keadaan, ternyata ia lebih baik untuk kita semua. Cuma, sesekali kita merindui kaedah dan pendekatan lama yang pernah akrab dengan kita seperti kad raya. Jadi, kepada sesiapa yang masih menyimpan kad-kad raya dan juga poskad. Simpanlah semua itu sebab suatu masa nanti mungkin ia hanya menjadi sejarah. Mana tahu, pada masa itu anak cucu kita tidak lagi mengenali semua itu. 

BISKUT DAN KUIH RAYA. 

Dahulu Mak dan Kakak yang membuat biskut dan kuih raya untuk dihidangkan kepada tetamu pada hari raya. Kita yang masih kanak-kanak sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk merasai kuih dan biskut tersebut. Kadang-kadang sampai larut malam ibu masih membakar/memasak kuih dan kek tersebut. Beraneka buku resepi menjadi rujukan ibu dan kakak. Tapi semua itu tersimpan rapi di arkib kenangan. Hari ini, kuih dan biskut dibeli di kedai-kedai, dengan rakan-rakan atau secara online. Tiada lagi harum semerbak biskut dan kuih raya dari dapur yang menerpa deria bau, kerana tiada lagi aktiviti membakar/memasak. Tidak sekadar kuih dan biskut raya, malah juadah tradisional seperti ketupat dan tapai juga turut dibeli. Tiada aktiviti bungkus membungkus dan anyam menganyam.

UKHWAH/PERSAUDARAAN

Raya pada masa dahulu amat meriah dengan amalan ziarah menziarahi. Sanak saudara baik yang juah mahupun dekat, jiran sekampung diziarahi sepanjang 1 syawal. Paling meriah, tentu sahaja kanak-kanak, kerana inilah masanya untuk mereka mengumpul duit raya. Saya masih ingat, waktu kanak-kanak dahulu, pada hari raya ketiga pun masih lagi bertandang dari rumah ke rumah di kampung. Hari ini, ziarah menziarahi masih diteruskan tapi tidak serancak dahulu kala. Hari ini, kanak-kanak lebih selesa menghadap televisyen (TV) untuk menonton pelbagai program yang disajikan sempena raya. 

Pada waktu saya kanak-kanak dahulu, tidak semua kelurga memiliki TV dan pada waktu itu juga, hanya TV1, TV2 sahaja yang ada, dan beberapa tahun kemudian TV3 diperkenalkan. Jadi masyarakat mempunyai ruang yang terhad untuk ‘bermesra’ dengan program TV. Jauh berbeza dengan suasana zaman sekarang, selain siaran berbayar ASTRO yang rata-riti dimiliki oleh setiap rumah, laman sosial juga telah merubah segalanya. Facebook, Youtube, WhatsApp antara juadah wajib di hari raya. Malah, ketika menziarahi sanak saudarapun, masing-masing menghadap smartphone dan kurang bersembang. 

Begitulah, bezanya hari raya dahulu dengan sekarang. Kepada sesiapa yang pernah mengalami suasana raya pada masa dahulu, pastinya akan merindui detik dan saat itu. Dan, bagaimana pula dengan suasana raya pada masa akan datang. 

Jika dipanjangkan umur, tentu sahaja kita akan dapat melihat perbezaan yang jauh lebih ketara berbanding dahulu dan kini.

Tuesday, July 14, 2015

WAKTU BERTAKBIR BAGI HARI RAYA AIDILFITRI.


Bagi hari raya Aidilfitri, waktu mula bertakbir adalah apabila terbenamnya matahari pada hari terakhir berpuasa dan ia berakhir apabila imam mula melakukan takbiratul ihram untuk memulakan solat hari raya.

Ia berbeza dengan takbir untuk hari raya Aidil Adha yang bermula selepas Subuh hari ke 9 Zulhijjah dan berakhir selepas Asar hari ke 13 Zulhijjah. Jadi, selepas solat lima waktu pada hari ke- 9 hinggalah ke asar 13 Zulhijjah, bolehlah berzikir.

Hukum membatalkan puasa untuk bersetubuh pada waktu siang Ramadan.


Puasa bermakna menahan diri daripada makan dan minum, serta perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai fajar sehinggalah matahari terbenam. Bersetubuh adalah antara perkara-perkara yang membatalkan puasa. 

Berbanding makan dan minum serta perkara-perkara yang lain, hanya bersetubuh sahaja yang dikenakan kaffarah, manakala yang lain hanya diwajibkan mengantikan puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. 

P/S : Namun seseorang dalam keadaan musafir atau sakit dengan sakit yang membolehkan baginya untuk berbuka, maka tidak ada kaffarah baginya dan tidak mengapa serta wajib baginya mengqadha puasa dari hari yang dia melakukan hubungan badan dengan istrinya tersebut. Karena musafir dan orang yang sakit diperkenankan bagi keduanya berbuka dan melakukan hubungan seks. 

Walaupun bersetubuh atau berjimak pada siang Ramadan merupakan perbuatan yang berdosa dan mewajibkan kaffarah, namun terdapat segelintir manusia yang agak licik. Mereka membuat helah dengan membatalkan puasa terlebih dahulu seperti makan atau minum, dan kemudiannya melakukan hubungan kelamin. Jadi mereka telah bersetubuh setelah puasanya terbatal. 

Perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa besar sebab ia seolah-olah menipu Tuhan. Orang yang melakukan perbuatan tersebut sebenarnya telah melakukan dua dosa; pertama, dosa berbuka puasa dengan sengaja di bulan Ramadhan dan kedua, dosa melakukan helah (tipu daya) untuk menghalalkan larangan Allah di bulan Ramadhan. 

Namun, persoalannya, adakah orang yang bertindak sedemikian turut dikenakan kaffarah? 

Dalam persoalan ini, ada beberapa pendapat atau pandangan ulama. Ada yang berpendapat tidak perlu kaffarah tetapi cukup sekadar mengantikan puasa yang ditinggalkan, namun ada juga ulama yang mewajibkan kaffarah. Saya tertarik dengan jawapan daripada Ustaz Adnan Fadzil, seorang tokoh agama yang giat berdakwah menerusi penulisan. Ia disiarkan menerusi blognya, Ilmu dan Ulama

Saya paparkan di sini jawapannya. 
  • 1.Jumhur ulamak (merangkumi Imam Abu Hanifah, Imam Malik , Imam Ahmad dan sebagainya) berpendapat; ia tetap dikenakan kaffarah kerana ia melakukan persetubuhan ketika kewajipan puasa Ramadhan masih terbelenggu atas dirinya. Orang yang berbuka puasa di bulan Ramadhan –tanpa sebarang keuzuran- walaupun puasanya batal, namun kewajipan puasa tetap tidak gugur darinya. Jadi, apabila ia bersetubuh, persetubuhan itu berlaku ketika kewajipan puasa atas dirinya masih berjalan dan kerana itu tetap dikenakan kaffarah ke atasnya mengikut pandangan teramai para ulamak.
  • 2. Mazhab Syafi’ie; menurut mazhab Syafi’ie; tidak dikenakan kaffarah ke atasnya kerana persetubuhan itu berlaku ketika ia tidak lagi berpuasa. Jadi, mazhab Syafi’ie tidak melihat kepada kewajipan puasa, akan tetapi melihat kepada wujud puasa atau tidak ketika persetubuhan itu berlaku. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; persetubuhan yang mewajibkan kaffarah ialah persetubuhan yang berlaku ketika masih berpuasa (yakni puasa masih ada dan kemudian dibatalkan dengan persetubuhan). Adapun persetubuhan yang berlaku setelah puasa batal, maka tidak wajib kaffarah. 

Pandangan yang rajih bagi masalah ini ialah pandangan jumhur ulamak kerana ia menutup pintu helah kepada orang-orang yang ingin melanggar hukum Syariat. Jika tidak dikenakan kaffarah, nescaya semua orang yang ingin bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan akan melakukan sedemikian; mereka akan makan terlebih dahulu, kemudian melakukan persetubuhan . Maka tidak ada makna Syariat mewajibkan kaffarah jika sedikit helah sahaja sudah dapat menidakkannya. 

Kerana itu para ulamak hari ini menegaskan; pandangan yang rajih ialah pandangan jumhur tadi. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan : Elak bersetubuh pada siang Ramadan


INFO TAMBAHAN.

Sila tonton kuliah Dr Abdul Basit Abdul Rahman(bermula minit ke 10.00) untuk memahami persoalan ini
                        

Monday, July 13, 2015

HUKUM SOLAT JUMAAT JIKA HARI RAYA AIDIL FITRI BERLAKU PADA HARI JUMAAT


Disebabkan Hari Raya tahun ini belaku pada hari Jumaat, maka isu ini amatlah penting untuk diperkatakan. Ia perlu difahami agar tidak tersilap kefahaman dan amalan. Untuk itu, saya berkongsi di sini sebuah rencana yang ditulis oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri. Artikel asalnya bolehlah baca di --> Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 


Hukum Solat Jumaat 

Sepertimana yang dimaklumi, solat Jumaat adalah wajib bagi mereka yang mencukupi segala syaratnya. 

Dalil disyariatkan dan diwajibkan solat Jumaat berdasarkan firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).[1] (Surah al-Jumu’ah: 9)

Antara dalil wajib solat daripada hadith pula ialah, daripada Toriq bin Syihab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ 

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim.” Riwayat Abu Daud (1067) 

Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah RA dan Ibn Umar R.Anhuma, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda berada di atas mimbarnya:

 لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ 

Maksudnya: “Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.” Riwayat Muslim (865) dan yang lainnya 

Hukum Solat Hari Raya 

Solat hari raya ialah sunat muakkad. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu. 

Berdasarkan hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri yang terdahulu, solat hari raya disyariatkan secara berjemaah namun sah dilakukan secara bersendirian. Begitu juga ia disyariatkan berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang bebas atau hamba kecuali perempuan yang berhias atau yang memungkinkan fitnah.Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja. 

Solat hari raya tidak wajib berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada seorang yang bertanya tentang solat yang difardhukan:

 خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. قَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهُا؟ قَالَ: لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ 

Maksudnya: “Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: Adakah wajib atasku selain daripada itu? Baginda menjawab: Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.” Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11) 

Begitu juga hadith:

 خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ 

Maksudnya: “Allah SWT mewajibkan lima solat atas hamba-Nya.Sesiapa yang melakukannya tanpa meninggalkan sedikit pun kerana meringan-ringankannya, Allah SWT menjanjikannya masuk syurga, manakala sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa kepadanya. Allah akan mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga menurut kehendak-Nya.” Riwayat Abu Daud (1420).

Hadith seterusnya, daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyah R.Anha:

 كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ، وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ. وَفِي رِوَايَةٍ قَالَتْ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِحْدَانَا لَيْسَ لَهَا جِلْبَابٌ؟ فَقَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا 


Maksudnya: “Kami disuruh keluar pada hari raya dan membawa gadis-gadis keluar dari bilik-bilik pingitan mereka bersama-sama yang haidh, kesemuanya berada di belakang jemaah lelaki. Mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama memohon keberkatan dan kesucian hari tersebut. 

Sementara dalam riwayat yang lain pula, seorang perempuan berkata: Wahai Rasulullah, seorang daripada kami tidak mempunyai baju labuh (jilbab). Baginda menjawab: Rakannya hendaklah meminjamkan kepadanya.” Riwayat al-Bukhari (928) dan Muslim (890) 

Hukum Solat Jumaat Jika Hari Raya Idil Fitri Berlaku Pada Hari Jumaat 

Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat. Mereka masing-masing mengemukakan hujah. 

Pertama: 

Solat Jumaat tetap wajib sekalipun telah dilakukan Solat Hari Raya. Ini kerana solat Jumaat asalnya adalah wajib berdasarkan nas di atas. Justeru, sekalipun sudah dilakukan solat Hari Raya, solat Jumaat tetap wajib. Inilah pendapa jumhur ulama termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan sebahagian daripada Hanabilah.Dalilnya seperti berikut: 

•Umum ayat yang memerintahkan supaya melaksanakan solat Jumaat dan banyak khabar atau hadith yang menunjukkan kewajipannya. Begitu juga dengan solat Jumaat adalah wajib yang tidak mungkin gugur salah satu dengan yang lain sama seperti Zohor bersama solat Hari Raya. Lihat al-Mughni oleh Ibn Qudamah (2/358).

 . Daripada Abu Hurairah R.A bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

 قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ 

Maksudnya: “Telah berhimpun pada hari ini dua hari raya, barangsiapa yang ingin maka ia (solat sunat hari raya) adalah cukup baginya daripada (solat) Jumaat, adapun kami, menghimpunkan (lakukan kedua-duanya).” Riwayat Abu Daud (1073) dan Ibn Majah.

Wajah dalalahnya adalah bahawa Nabi SAW tetap melakukan solat Jumaat. 

 • Daripada Abu ‘Ubaid maula Ibn Azhar menyatakan bahawa: “Aku menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan, hari itu ialah hari Jumaat, dia pun solat sebelum khutbah, kemudian dia berkhutbah, katanya: Hai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya, barangsiapa daripada penduduk kawasan tinggi (jauh) yang ingin menunggu Jumaat maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin balik maka aku izinkan.” Riwayat al-Bukhari 


Kedua:

Hukumnya sunat Solat Jumaat bagi mereka yang telah melaksanakan Solat Hari Raya. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanbali. Antara dalilnya ialah: 

• Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW

 قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ 

Maksudnya: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi.Al-Albani juga menyatakan sahih.

Hadith ini ditafsirkan dengan keharusan meninggalkan Jumaat bagi yang telah melakukan solat Hari Raya terutamanya bagi mereka yang ingin pulang ke pedalaman atau desa. Ini berdasarkan nas Rasulullah SAW yang menyebut (فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ) yang memberi maksud sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat.

 • Daripada Zaid bin Arqam RA katanya:

 صَلَّى النَّبِيُّ - صلى الله عليه وسلم - الْعِيدَ, ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ, فَقَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ 

Maksudnya: “Nabi SAW telah melakukan solat Hari Raya kemudian memberi keringanan kepada solat Jumaat seraya bersabda: ‘Siapa yang mahu solat maka solatlah.” Riwayat Ahmad (18831), Abu Daud (1070), al-Nasaie (1591), Ibn Majah (1310) dan Ibn Khuzaimah (2/359) dan beliau mensahihkannya. Hadith ini menunjukkan memadai bagi sesiapa yang solat Hari Raya untuk tidak solat Jumaat tetapi hanya solat Zohor. 

Antara alasan kenapa memadai salah satunya kerana kuatnya penyamaan antara dua solat iaitu solat Hari Raya dan solat Jumaat kerana kedua-dua dilakukan dua rakaat dengan bacaan yang jahar atau nyaring. Begitu juga terdapat dua khutbah. Disamping perhimpunan yang besar. 

Perkataan rukhsah menunjukkan hadir untuk solat Jumaat adalah sunat semata-mata.

 • Daripada Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, katanya:

 أن معاوية بن أبي سفيان رضي الله عنه سأله: هل شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: كيف صنع؟ قال: صلى العيد ثم رخص في الجمعة، فقال: (من شاء أن يصلي فليصل)ل 

Maksudnya: “Mu’awiyah bin Abi Sufiyan bertanya Zaid bin Arqam RA: ‘Adakah engkau menyaksikan bersama Nabi SAW dua perayaan yang berhimpun pada satu hari? Jawabnya: Ya. Dia bertanya lagi: Bagaimana Nabi SAW lakukan? Jawabnya: Baginda SAW solat hari raya kemudian memberikan kelonggaran dalam solat Jumaat, sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang mahu solat maka solatlah.”

Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’ie, Ibn Majah, al-Darimi dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan katanya: Hadith sahih sanadnya dan dia mengikut syarat Muslim serta dipersetujui oleh al-Zahabi. Imam Nawawi dalam al-Majmu’ berkata: “Sanadnya baik.” 

Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut: “Ini kerana telah tertahqiq maksud untuk mendengar khutbah Hari Raya justeru memadai daripada mendengarnya buat kali kedua. Ini keran waktunya satu pada pandangan mereka iaitu pada masa yang keenam. Justeru, gugurlah salah satu daripada dengan yang lain seperti solat Jumaat bersama solat Zohor.” Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 2/1420. 

• Daripada Ibn Umar R.Anhuma berkata:  اجتمع عيدان على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم فصلى بالناس ثم قال: (من شاء أن يأتي الجمعة فليأتها ، ومن شاء أن يتخلف فليتخلف 

Maksudnya: “Telah berhimpun dua hari raya (Jumaat dan Hari Raya) pada zaman Rasulullah SAW lantas Nabi sembahyang bersama orang ramai kemudian bersabda: ‘Siapa yang mahu datang berJumaat maka silalah, dan siapa yang mahu pulang maka silalah.” Riwayat Ibn Majah dan al- Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir 

• Daripada ‘Atha’ Rahimahullah katanya: “Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (Ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas R.Anhuma berada di Ta’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: dia menepati sunnah.” Riwayat Abu Daud 

• Daripada Wahab bin Kisan katanya: “Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Ibn al-Zubair, dia lewat keluar sehingga hari sudah tinggi, kemudian dia keluar dan berkhutbah, panjang khutbahnya, kemudian dia turun dan solat, dan dia tidak solat bersama orang ramai pada hari Jumaat.” Riwayat al-Nasaa’ie 

Tarjih

Kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mewajibkan solat Jumaat sekalipun terdapat dalil yang sebaliknya. Ini kerana 

1. Dalil yang menggugurkannya tidak kuat. Seperti hadith Zaid bin Arqam dianggap sebagai dhaif. Ini kerana pada sanadnya terdapat Iyas bin Abi Ramlah yang dianggap sebagai majhul. 

2. Rasulullah SAW sendiri melaksanakannya dengan menyebut (وإنا مجمّعون) dan sedangkan kami tetap melaksanakan solat Jumaat.

3. Rukhsah diberi kepada golongan yang jauh dan pedalaman. Hal ini perlu difahami realiti dan waqie ketika itu solat Jumaat hanya dilakukan di masjid utama sahaja seperti di Madinah. Justeru, bagi mereka yang jauh jarak perjalanan akan menyukarkan bagi mereka.

4. Sebaliknya, hampir disetiap kampung dan kawasan mempunyai masjid yang memungkinkan seseorang itu pergi dengan mudah dan senang. 

5. Solat Jumaat adalah salah satu daripada syiar Islam yang apabila ditegakkannya sudah barang tentu menampakkan gahnya Islam itu sendiri.

6. Berdasarkan kaedah "الخروج من الخلاف مستحب" (keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan). Kaedah seperti ini juga terdapat dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah: " والأفضل له حضورها خروجا من الخلاف" (Dan yang lebih afdal baginya adalah menghadiri Jumaat kerana keluar daripada khilaf). 

Cadangan dan Saranan 

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mencadangkan kepada imam yang bertugas pada hari Jumaat jika berbetulan pada Hari Raya hendaklah memendekkan khutbah Jumaat dan meringkaskannya dengan meraikan segala rukun. Ini kerana, khutbah fungsinya memberi nasihat dan peringatan sedangkan di waktu pagi ketika solat Hari Raya sudah dikhutbahkan dengan panjang lebar. Justeru, meringkaskan khutbah akan menenangkan jiwa para jemaah solat Jumaat sepertimana yang dimaklumi pada Hari Raya masing-masing mempunyai banyak agenda ziarah menziarahi dan menerima tetamu. Ini juga menandakan kefaqihan seseorang imam. 

Penutup

Suka dinyatakan di sini jika sekiranya masalah khilaf alangkah lebih baik kita bersifat terbuka dan berlapang dada. Kami tidak menafikan betapa terdapatnya pandangan Imam Syafie yang menyatakan gugur solat Jumaat kepada ahli bawadi dan awali iaitu golongan yang tinggal jauh di pedalaman dariapada kota Madinah sepertimana yang telah difatwakan oleh Saidina Uthaman dan dinyatakannya oleh Imam al-Bukhari. Kami telah huraikan asas tarjih kami berkenaan golongan awali dan bawadi yang berada nun jauh di pedalaman dan menyukarkan mereka untuk kembali semula melaksanakan solat Jumaat.

Tetapi pada saat yang sama hendaklah kita mencari pendapat yang lebih ahwat serta meraikan juga pendapat mazhab setempat seperti mazhab Imam Syafie di Malaysia ini. Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin oleh Syeikh Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain al-Masyhur yang juga dikenali degan Ba'alwi menyebut:

 فمذهبنا أنه إذا حضر أهل القرى والبوادي العيد وخرجوا من البلاد قبل الزوال لم تلزمهم الجمعة وأما أهل البلد فتلزمهم 

Maksudnya: “Maka mazhab kita, kalau bagi orang perdalaman yang jauh dari masjid Jami' maka mereka dapat keringanan untuk meninggalkan Jumaat, sedangkan bagi yg tinggal di bandar atau dekat dengan masjid Jami' maka solat Jumaat tetap diwajibkan kerana tidak susah baginya untuk melakukan perjalanan ke masjid untuk menunaikan kedua solat tersebut.” 

Seperti yang kami jelaskan sebelum ini kerana ‘illahnya kesukaran dan kejauhan untuk berulang-alik buat kali kedua ke masjid tatkala sudah menunaikan solat sunat Hari Raya.Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan syariat Islam dan ibadahnya benar-benar menepati kehendak Allah dan Rasul. 

Marilah sama-sama kita merayakan Hari Raya Idil Fitri ini dengan penuh kesyukuran dan ketaatan kepada Allah dengan meninggikan segala syiar di samping saling ziarah menziarahi dan bermaafan serta mempertautkan keampuhan ukhuwwah Islamiyyah sebagaimana yang telah ditaklifkan oleh agama kita. 

Akhukum fillah 

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

22 Ramadan 1436H Bersamaan 09 Julai 2015

TIPS MELATIH ANAK BERPUASA.


Kanak-kanak yang belum akil baligh tidak diwajibkan berpuasa. Namun ia perlu diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi supaya mereka terbiasa dengan puasa. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, itu pesan leluhur sejak zaman berzaman. 

 Pesanan itu amat bermakna dalam proses mendidik anak-anak. Pesanan ini juga amat selari dengan tuntutan agama, termasuklah dalam urusan ibadat. Ini terbukti melalui sabda Nabi Muhammad S.A.W “ Suruhlah anak-anak kamu bersolat semasa usia 7 tahun dan pukulah apabila mereka berusia 10 tahun.”( Riwayat Ahmad dan Abu Daud daripada Amir Ibn Al-As). 

Sebagaimana solat, berpuasa juga merupakan ibadat jadi ia perlu diterapkan atau dibiasakan sedari awal lagi. 

 Seterusnya untuk entry ini, saya sekadar memaparkan( dengan sedikit perubahan) artikel berjudul Tip Latih Anak Berpuasa yang disiarkan di dalam Majalah Harmoni, edisi 1 September 2010, halaman 75. 

TIPS LATIH ANAK BERPUASA.

Latih anak daripada kecil.

Bagaimanapun janganlah dipaksa anak-anak berpuasa. Sebaliknya latih mereka mengikut kemampuan. Lakukan secara perlahan-lahan , misalnya bermula dengan separuh hari, kemudian tambahlah sedikit demi sedikit sehingga mereka mampu berpuasa hingga sebulan. 

Had Masa Berpuasa.

Dalam pada terangkan kepada mereka bahawa seseorang yang berpuasa tidak boleh makan dan minum dari awal pagi hingga maghrib. Pada peringkat awal mereka mungkin mengadu penat atau lapar, tetapi lama kelamaan , anak-anak boleh menyesuaikan diri dengan keadaan. 

Kelebihan Berpuasa.

Terangkan kepada mereka tentang kelebihan berpuasa, sama ada di dunia dan di akhirat. Berpuasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi ia juga bertujuan untuk menyedarkan kita tentang nasib fakir miskin yang sering kelaparan dan tidak mampu membeli makanan dan minuman. Larangan Ketika Berpuasa Dalam pada itu, beritahu anak-anak secara lembut tentang perbuatan yang dilarang ketika berpuasa. Sekiranya anak-anak tidak berpuasa, nasihatkan dia supaya tidak makan di hadapan orang yang berpuasa. Dalam usia 4 atau 5 tahun, anak-anak sudah faham tentang larangan itu. 

Elakkan Letak Makanan Di Tempat Terbuka.

Jauhi makanan atau minuman di tempat terbuka di rumah seperti di meja makan atau cabinet dapur supaya anak tidak terdorong untuk berbuka lebih awal daripada waktunya. Bagi anak-anak yang berumur tujuh hingga sepuluh tahun, galakan mereka melakukan aktiviti berguna tetapi tidak meletihkan seperti membantu anda melipat kain, membasuh pinggan, membuat kad ucapan dan sebagainya. 

Biarkan Anak-Anak Rehat.

Nasihatkan mereka agar tidak terlalu aktif bermain. Biarkan mereka berehat supaya tidak kepenatan, tetapi jangan sampai berlebihan kerana ia membuatkan anak anda semakin melas, lemah dan kurang bersemangat. 

Wujudkan Suasana Islamik.

Ini termasuklah mengajak mereka menunaikan solat Tarawih sama ada di surau, masjid atau bersama keluarga di rumah. Selain mengerjakan ibadat, mereka juga mendapat kawan baru. Jika mereka ingin melihat telivisyen, dedahkan mereka dengan cerita yang berunsur islam. 

Berbuka Bersama Keluarga.

Jadikan bulan puasa untuk merapatkan jurang antara keluarga. Luangkan masa untuk pulang awal ke rumah untuk berbuka puasa bersama. 

Hadiah Sebagai Motivasi. 

Sebagai galakan berilah upah atau ganjaran lain sebagai motivasi sekiranya mereka berpuasa. Jangan hukum anak-anak yang enggan berpuasa, sebaliknya nasihatkanlah dengan lemah lembut dan penuh toleransi. 

Semoga tips atau panduan yangdipaparkan ini dapat dimanfaatkan untuk mendidik anak-anak agar mematuhi rukun islam yang ketiga ini. Biasakan mereka dengan ibadat puasa, namun dengan penuh hikmah, mudah-mudahan ia berbekas dan berkesan.

Thursday, July 9, 2015

ELAK BERSETUBUH PADA SIANG RAMADAN.


Puasa bermakna menahan diri daripada makan dan minum, serta perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai fajar sehinggalah matahari terbenam.

Bersetubuh adalah antara perkara-perkara yang membatalkan puasa. Berbanding makan dan minum serta perkara-perkara yang lain, hanya bersetubuh sahaja yang dikenakan kaffarah, manakala yang lain hanya diwajibkan mengantikan puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Bagi pasangan yang melangsungkan perkahwinan beberapa minggu atau beberapa hari sebelum Ramadan menjelma, mereka benar-benar diuji dan diduga. Sebagai pasangan baru, keinginan untuk ‘bersama’ sememangnya sentiasa membara. Namun, jika tersilap langlah, musibahlah yang bakal menjelma. Musibah yang dimaksudkan ialah Kaffarah. Bersetubuh atau berjimak pada waktu siang di bulan Ramadan, akan dikenakan kaffarah atau denda.

Kaffarah bagi kesalahan tersebut ialah memerdekakan hamba, berpuasa selama dua bulan berturut-turut dan member makan kepada 60 orang fakir miskin. Mengikut Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman, sebagaimana disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 September 2008, halaman 13, Hukuman atau kaffarah bukan boleh dipilih tetapi mestilah mengikut tertibnya. Orang yang terlibat, iaitu suami yang dikenakan kaffarah perlu berpuasa terlebih dahulu selama sebulan. Andainya tidak mampu, barulah boleh memilih hukuman yang lebih ringan.

Disebabkan tiada lagi hamba untuk dimerdekakan, jadi pilihan yang ada ialah berpuasa dan memberi makan kepada fakir miskin. Ustaz Ahmad Husni juga menyelar sikap pasangan yang berhelah untuk bersetubuh pada waktu siang di bulan Ramadan. Helah yang dimaksudkan ialah mereka berbuka puasa terlebih dahulu sebelum melakukan persetubuhan. Golongan sedemikian sebenarnya telah melakukan dua dosa, iaitu dosa berbuka puasa tanpa keuzuran dan juga dosa kerana berjimak pada siang hari. Golongan sebegini tetap dikenakan kaffarah yang sama.

Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W bersabda “ Sesiapa yang berbuka puasa satu hari daripada Ramadan tanpa rukhsah dan tanpa sakit, dia tidak mampu mengantikannya dengan puasa seumur hidup sekalipun dia melakukannya” (Hadis Riwayat Tirmizi).

Jadi kepada para suami dan isteri, anda perlu sentiasa beringat dan berwaspada. Jangan terbabas nanti menyesal.


Info Tambahan:

Menipu Tuhan?

Bagaimanakah manusia menipu Tuhan?

Antaranya ialah dengan mencipta helah untuk bersetubuh pada waktu siang di bulan Ramadan. Mereka berbuka puasa atau lebih tepat lagi membatalkan puasanya terlebih dahulu, dan kemudiannya berjimak dengan isteri.

Begitu juga dengan perbuatan individu tertentu yang bernazar. Apabila seseorang bernazar ingin menyembelih seekor lembu jika dia dianugerahakan kejayaan tertentu. Maka haramlah daging lembu tersebut ke atas dirinya dan keluarga. Tapi kerana kelicikannya, dia berpakat dengan rakan-rakanya. Daging lembu tersebut disedekahkan kepada rakannya, lalu rakannya menyedekahkan balik kepadanya.

Tajuk Lain Yang Berkaitan:  Benarkah Roh akan pulang pada bulan Ramadan

Tuesday, July 7, 2015

Hukum menjalani rawatan pergigian ketika berpuasa


Rencana asal ditulis oleh Dr. Anis Ezrina, seorang pakar pergigian.Lebih lanjut langsung sahaja ke laman sesawang --> Sumber The Malaysian Medical Gazette

Saya paparkan kembali di sini dengan tujuan menyebarluaskan maklumat tersebut untuk manfaat bersama. Pemeriksaan pergigian dan rawatan pergigian akibat gigi rosak atau sakit tidak terkecuali berlaku pada setiap individu yang sedang menjalani ibadah puasa. 

Setiap kali mengunjungi klinik gigi, persoalan yang selalu ditanya ialah “batal ke puasa kalau saya buat rawatan gigi”. Rawatan pergigian secara amnya, tidak dianggap sebagai pekara yang boleh membatalkan puasa. 

Pekara rutin yang selalu dilakukan di klinik pergigian dan tidak menyebabkan batal puasa ialah:

1. Pemeriksaan pergigian 

2. Tampalan gigi 3. Rawatan akar gigi 

4. Membuat gigi palsu termasuklah pengambilan acuan gigi 

5. Pengambilan x-ray mulut 

6. Pemberian ubat bius sebelum mencabut gigi 

7. Cabutan gigi

 8. Tertelan air liur semasa rawatan 

9. Berkumur 

10. Berus dan flos gigi 

11. Scaling (membuang karang gigi) 

12. Prosedur korona dan jambatan 

Mulut yang berbau akan menyebabkan orang sekeliling tidak selesa dengan kita. Ini selalunya terjadi jika kebersihan mulut tidak dijaga dengan baik. Tambahan pula jika pesakit mempunyai masalah gusi. Jika berpuasa, bau mulut akan lebih teruk kerana kekurangan air liur. 

Janganlah disebabkan puasa, kita membiarkan gigi kita tidak digosok sehingga menimbulkan bau mulut yang tidak menyenangkan orang sekeliling. Justeru itu pesakit yang mempunyai masalah gusi digalakkan mengamalkan tabiat kebersihan mulut yang optimum. 

Dalam Islam, galakan bersugi/memberus gigi setiap kali solat adalah asas dalam amalan Muslim tanpa mengira sama ada berpuasa atau tidak. 

Daripada sudut yang lain pula, jika rawatan pergigian memudaratkan pesakit yang berpuasa, contohnya pembedahan gigi bongsu atau peletakan implan pergigian, mereka dikategorikan orang yang sakit dan diharuskan untuk berbuka. Prosedur sedemikian memerlukan pesakit untuk mengambil ubat selepas rawatan seperti ubat antibiotik atau ubat tahan sakit.

Islam itu adalah agama yang mudah dan tidak membebankan pengikutnya. Islam juga agama yang sangat mementingkan kebersihan dan juga kesihatan. 

Justeru itu, diharapkan segala kekeliruan tentang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pergigian dalam bulan puasa dapat difahami. Janganlah disebabkan puasa, kita abaikan kebersihan mulu, dan meludah merata-rata. Janganlah disebabkan puasa kita sanggup menanggung sakit gigi. Datanglah ke klinik pergigian seperti biasa. 

Monday, July 6, 2015

TIPS BERSENAM KETIKA BERPUASA


Puasa bukanlah alasan untuk tidak bersenam. Bagi sesiapa yang ingin menurunkan berat badan, bulan Ramadhan adalah saat yang terbaik. Puasa yang disertakan dengan senaman amat membantu untuk mengurangkan berat badan. 

Di sini saya ingin berkongsi tips bersenam ketika berpuasa. Tip dan panduan ini saya petik daripada akhbar Berita Harian bertarikh 4 Julai 2015, pada ruangan Cergas Sihat pada halaman 19. 

  • 1. Pilih senaman yang disukai dan berintensiti rendah. 
  • 2. Cuba bersenam ketika hampir waktu berbuka. Disarankan satu jam sebelum waktu berbuka. 
  • 3. Lakukan tiga hingga empat kali seminggu . Adalah lebih baik jika dilakukan selama 30 minit dan kurang daripada 45 minit. 
  • 4. Pilih lokasi yang tepat dan bersesuaian. Lakukan secara berkala dan berterusan
  •   5. Jika boleh cuba lakukan beberapa jenis senaman setiap hari, seperti kombinasi aerobic,regangan dan senaman bebanan.
  •   6. Pastikan anda meminum air sebanyak lapan gelas daripada waktu berbuka puasa sehingga bersahur. 

Walaupun senaman ketika berpuasa amat amat membantu proses mengurangkan berat badan, namun ia tetap dipengaruhi oleh faktor pemakanan semasa berbuka dan bersahur serta pada sebelah malamnya.

Sunday, July 5, 2015

TIPS MENGATASI MASALAH MULUT BERBAU KETIKA BERPUASA.


Mulut berbau amatlah adalah lumrah kepada sesiapa yang berpuasa. Ia berlaku kerana masalah pencernaan serta penurunan kadar air liur. Berikut adalah tips untuk mengatasi masalah mulut berbau ketika berpuasa. 

Artikel asalnya bertajuk Nafas Segar Sewaktu Berpuasa yang disiarkan di dalam Majalah Harmoni, edisi 15 September 2010, halaman 57. 

Tips Mengatasi Masalah Mulut Berbau Ketika Berpuasa. 

  • Tingkatkan frekuensi memberus gigi. Gigi perlu diberus sebanyak empat kali sehari secara rutin. Jangan memberrus terlalu cepat untuk memastikan segala sisa makanan dapat dibersihkan secara sempurna. 
  • Gunakan ubat kumur selepas memberus gigi. Ini adalah untuk mnedapatkan nafas yang segar dan harum, sekali gus untuk membunuh bacteria yang bersemayam di dalam mulut. Selain itu, kita juga boleh berkumur dengan menggunakan air rebusan daun sirih yang bertindak sebagai antibakteria penyebab bau mulut. 
  •  Gunakan juga benang pembersih gigi atau dental floss yang efektif untuk membersihkan sisa makanan di celah-celah gigi, mencegah kerosakan gigi dan menghilangkan bau mulut. 
  • Amalkan meminum banyak air putih dan makanan berserat yang berfungsi sebagai pembersih mulut dan perut. Ini kerana kondisi perut yang tidak sihat boleh menjadi punca masalah bau mulut.
  • Hindari pengambilan makanan berbau seperti bawang, petai, durian dan jering yang boleh meninggalkan bau kurang enak pada mulut. Elakkan juga pengambilan makanan beprotein tinggi serta produk tenusu. 

Moga perkongsian ini memberikan manfaat kepada pembaca, terutamanya yang mengalami masalah bau mulut yang ketara. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Hukum Menderma Darah Ketika Berpuasa

Wednesday, July 1, 2015

PANDUAN BERPUASA UNTUK PESAKIT BUAH PINGGANG.


Allah tidak pernah membebankan hamba-Nya. Islam adalah agama yang mudah dan tidak pernah menyulitkan penganutnya, termasuklah dalam urusan ibadah puasa. 

Di sini, saya ingin berkogsi sebuah artikel yang menarik mengenai panduan berpuasa oleh pesakit buah pinggang. Artikel asalnya bertajuk, Penyakit Buah Pinggang Kronik & Ibadah Puasa. Ia ditulis oleh Dr. Nur Hidayati, iaitu seorang doktor pakar bahagian perubatan dalaman di sebuah universiti tempatan. 

Untuk melihat artikel asal, lamgsung sahaja ke: The Malaysian Medical Gazette 

Setiap kali bulan Ramadhan menjelang, seringkali para doktor menerima banyak soalan serta kemusykilan dari para pesakit samada mereka boleh menjalani ibadah puasa. Seperti yang kita tahu, Islam secara prinsipnya tidak memberatkan umatnya terhadap sesuatu perkara melainkan sekadar yang termampu. Bagi golongan yang berpenyakit kronik – terdapat kelonggaran atau rukhsah bagi mereka dalam menjalankan ibadah seperti berpuasa.

Namun, walaupun diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa, majoriti pesakit berpenyakit kronik cenderung untuk tetap menjalani ibadah berpuasa. Malah mengikut kajian EPIDIAR (Epidemiology of Diabetes and Ramadan) yang melibatkan 13 negara – didapati kebanyakan daripada 12,243 pesakit beragama Islam di dalam kajian ini tetap memilih untuk berpuasa semasa bulan Ramadhan. Malah dalam sebuah kajian yang dilakukan di salah satu institusi perubatan tertiari Malaysia, didapati bahawa kebanyakan pesakit buah pinggang kronik yang memerlukan rawatan dialisis berjaya menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan selamat. Oleh itu, pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis tidak perlu risau untuk berpuasa jika keadaan kesihatan mereka adalah stabil. 

Namun, adalah diingatkan bahawa pesakit buah pinggang kronik yang memilih untuk berpuasa supaya berbincang dengan doktor sebelum menjalani ibadah puasa. Ini adalah penting untuk memastikan tidak berlaku komplikasi buruk semasa pesakit menjalani ibadah puasa. 

Bagi pesakit yang menjalani hemodialisis atau dialisis peritoneal, kedua-dua rawatan berkenaan didapati tidak membatalkan puasa selagi tidak melibatkan pemberian glukos, penambahan darah ataupun bahan bernutrisi melalui darah. Amat ditekankan bahawa pesakit tidak sepatutnya menghentikan rawatan dialisis mereka semata-mata untuk menjalani ibadah puasa. 

Bagi sesetengah pesakit dialisis peritoneal – mereka juga boleh memilih untuk melakukan rawatan tersebut pada waktu malam menggunakan mesin Automated Peritonel Dialysis (APD). Bagi pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis, mereka boleh juga meneruskan ibadah puasa pada hari yang tidak melibatkan rawatan dialisis. 

Bagi pesakit buah pinggang kronik yang tidak mampu menjalani ibadah puasa, mereka diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa. Malah, jika pesakit mengalami komplikasi seperti masalah tekanan darah tinggi, kandungan darah gula yang rendah (hipoglisemia), kandungan gula terlalu tinggi hingga menyebabkan komplikasi seperti ‘diabetic ketoacidosis’ dan sebagainya – mereka seharusnya membatalkan puasa mereka atas sebab memudaratkan kesihatan.

Pesakit buah pinggang kronik juga dinasihatkan untuk menjaga pemakanan mereka dengan lebih rapi semasa menjalani ibadah puasa. Mereka perlu mengurangkan pengambilan garam, protein, kolesterol, masakan manis (bagi yang menghidap kencing manis) dan kurangkan makanan yang mengandungi fosfat yang tinggi. Pengambilan air pada jumlah yang tepat ketika bersahur dan berbuka adalah penting untuk mengelakkan komplikasi paru-paru berair yang boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas. 

Bagi pesakit yang menjalani rawatan dialisis atau mengambil ubatan diuretik, mereka perlu merujuk kepada doktor untuk mengetahui jumlah sebenar air yang diperlukan. Kebanyakan pesakit mengambil air dalam jumlah yang kurang dari biasa semasa berpuasa. Maka, bagi pesakit ini, jumlah dos ubat diuretik itu mungkin perlu dikurangkan atau perubahan masa mengambil ubat itu perlu dilakukan. Diharap penjelasan ini sedikit sebanyak dapat meringankan dilema pesakit buah pinggang kronik untuk menjalani ibadah puasa. 

Perlu diingatkan juga bahawa tahap kesihatan bagi setiap individu khususnya bagi pesakit buah pinggang kronik adalah berbeza. Oleh itu, untuk kepastian dan penjelasan lebih jelas, sila berjumpa dengan doktor anda untuk mengetahui jika tahap kesihatan anda membenarkan anda untuk menjalani ibadah puasa.