Monday, September 21, 2015

Tips mengelakkan stress ketika menjelang peperiksaan.




Diburu resah dan dikejar gelisah. Itulah yang menjelma tatkala peperiskaaan semakin menghampiri. Tekanan perasaan atau stress pasti sahaja menganggu gugat tenang hidup dan kesempurnaan belajar. 

Tekanan perasaan atau stress adalah lumrah kepada setiap manusia. Cuma, tahapnya berbeza selari dengan tanggungjawab dan bebanan yang dihadapi.

Bagi seseorang pelajar, tekanan atau stress biasanya akan menjelma ketika detik-detik peperiksaan semakin hampir. 

Terdapat beberapa faktor yang mendorong berlakunya stress, antaranya ialah kegagalan menguruskan masa dengan baik, pemakanan yang tidak seimbang, masalah kekurangan keyakinan diri dan juga harapan ibu- bapa yang terlalu tinggi terhadap si anak. 

Memandangkan peperiksaan penting seperti PT3, SPM dan STPM bakal menjelma dan demam peperiksaan mula melanda, eloklah untuk entry ini saya kongsikan panduan atau cara-cara mengelakkan stress ketika menjelang peperiksaan. 

Entry ini asalnya ialah panduan yang diberikan oleh Pakar Motivasi terkenal, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 7. Oktober. 2014. Saya paparkan kembali di blog ini (dengan sedikit pengubahsuaian) untuk manfaat bersama



Tips mengatasi stress menjelang peperiksaan: 

1. Pengurusan masa yang betul. 

Pelajar perlu mengelakkan diri daripada mengulangkaji pada saat akhir. Pelajar perlulah menyediakan jadual belajar dan mengatur masa dengan efisien. Pelajar juga perlu mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah dalam minggu peperiksaan, sebaliknya menyusun atur jadual agar lebih kepada aktiviti ulang kaji. 

2. Pengambilan makanan seimbang.

Ia sangat penting kerana pengambilan makanan yang berkahsiat mengikut aturan masa dapat mengelakkan daripada tekanan sewaktu belajar. Elakkan daripada mengambil makanan yang tinggi lemak, gula dan sodium. 

Pengambilan sarapan juga amat penting sebelum memasuki dewan peperiksaan . Kaedah ini akan membantu seseorang pelajar agar mempunyai tenaga dan tenang untuk menjawab soalan, dan seterusnya mengelak daripada tertekan akibat lapar. 

3. Berbincang dengan ibu bapa.

Harapan yang terlalu tinggi daripada kedua-dua ibu bapa juga merupakan antara faktor yang menyebabkan pelajar menghadapi stress. Oleh itu, ibu bapa perlu bertenang dan mengetahui tahap kemampuan anak masing-masing. Mereka seterusnya perlu menyokong dan bukannya mendesak untuk mendapatkan keputusan cemerlang. 

Sesungguhnya tidak ada ibu bapa yang mahukan anak mereka gagal dalam pelajaran. Namun demikian, ibu bapa tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga anak-anak mereka berasa tertekan kerana perlu memenuhi kehendak keluarga. 

4. Tidur secukupnya. 

Tidur adalah rehat yang paling sempurna. Jadi pelajar perlulah mempunyai waktu tidur yang mencukupi agar ia dapat menyegarkan fizikal dan emosi. Tidur yang mencukupi juga dapat menyusun ingatan dalam otak kita. 

5. Sentiasa bisikkan ayat positif pada diri sendiri. 
Contohnya, AKU PELAJAR CEMERLANG’. 

6. Bagi pelajar yang beragama Islam. 

Biasakanlah berwuduk setiap kali ingin membuat ulang kaji. Berwuduk akan menenangkan jiwa dan akan memudahkan kita mengingati apa yang dipelajari. Selain itu jangan sesekali melupakan solat dan jangan abaikan amalan membaca Al-Quran. 

7. Teknik menarik nafas. 

Tarik nafas dan hembus perlahan-lahan adalah antara cara paling mudah untuk mengatasi tekanan . Bernafas dengan cepat akan meningkatkan tindak balas tekanan. Jadi pelajar perlu bertenang dan bernafas secara perlahan bagi membekalkan oksigen yang secukupnya kepada otak. 

Info Tambahan: 

Sepanjang pengalaman saya sebagai seorang guru yang kerap kali bertugas sebagai pengawas SPM, seringkali saya melihat pelajar-pelajar berbincang sebaik sahaja tamatnya kertas peperiksaan tertentu. Sebagai contoh, sebaik sahaja selesai masa menjawab kertas peperiksaan sejarah, mereka akan berbincang dengan rakan-rakan, malah ada yang bertanyakan gurunya tentang jawapan yang telah dijawab/dipilih. 

Sepatutnya mereka lupakan mata pelajaran yang telah berlalu dan fokuskan perhatian kepada mata pelajaran yang bakal menjelma. 

Semoga tips ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar, dan setersunya dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan senang.

Monday, September 14, 2015

Kakitangan kesihatan tidak cukup rehat


Kakitangan kesihatan, terutamanya doktor dan jururawat yang bertugas di hospital merupakan antara penjawat awam yang paling ramai bertemu dengan pakar psikologi untuk mendapatkan khidmat kaunseling. Demikianlah pendedahan yang dibuat oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA), Dr Abdul Halim Mohd Hussin, sebagaimana dilaporkan menerusi akhbar Harian Metro bertarikh 10. Oktober.2014. 


Pelbagai faktor menyebabkan mereka mengalami tekanan, termasuklah kerana tidak memperolehi rehat yang mencukupi. Beberapa bulan yang lepas, negara dikejutkan dengan kematian Dr. Afifah Mohd Ghazi. Doktor yang berusia 27 tahun itu terbunuh dalam satu kemalangan di Sungai Buloh usai kembali bertugas selepas ‘on call’ di Hospital Sungai Buloh. 

Kematiannya mendapat perhatian banyak pihak, ini disebabkan ia berkaitkan dengan beban kerja doktor keterlaluan hingga menyebabkannya keletihan. Malah, pendakwah terkenal Dr. Zaharuddin Abd Rahman, yang juga Presiden Murshid turut terpanggil untuk membicarakan isu ini. Kematian Dr. Afifah: Waktu Kerja Doktor Mesti DiPerbaiki , itulah tajuk tulisannya di laman facebooknya. 

Tugas kakitangan kesihatan amat memenatkan dan sangat meletihkan. Mereka kekurangan masa rehat dan terpaksa bekerja dalam tempoh yang amat lama. Walaupun saya seorang guru, dan bukannya seorang doktor , jururawat atau kakitangan kesihatan, tapi saya akui hakikat ini. Saya ingat lagi, beberapa tahun dahulu, atau lebih tepat lagi pada penghujung tahun 2011 hinggalah Mac 2012. Ketika itu arwah saya dimasukkan ke wad 8 Selatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Krian. 

Sepanjang menemani ayah ketika ayah ‘mendiami’ wad 8 selatan HUSM, saya mengutip seribu erti dan sejuta makna. Erti sumbangan dan makna pengorbanan yang telah para doktor dan jururawat curahkan. Di wad tersebut saya menyaksikan pelbagai ragam dan karenah pesakit, yang pasti sahaja menuntut kebijaksanaan dan kesabaran para doktor dan jururawat yang bertugas. Jauh di sudut hati saya merumuskan, tentu sahaja kerjaya sebagai doktor dan jururawat ini amat melelahkan akal dan sangat memenatkan fizikal. Jauh lebih lelah dan penat berbanding saya, seorang guru.

Bukan itu sahaja, wad tersebut juga menjadi rumah kedua doktor dan jururawat yang bertugas. Bukan setakat makan dan minum, malah mereka turut bermalam di situ. Bermalam bukan bermakna lena melayari malam tapi berjaga melayani pesakit yang pelbagai ragam. Begitu juga ketika orang lain bercuti pada hujung minggu dan ketika cuti-cuti umum, namun mereka tetap setia untuk merawat pesakit. 

Sejujurnya, apabila seseorang ditimpa masalah kesihatan, terutamanya penyakit kronik, mereka akan mencari doktor dan Tuhan. Mereka akan menuju ke hospital dan rumah ibadat. Kepada doktor , untuk memperolehi rawatan sesempurna mungkin. Kepada Tuhan, untuk berdoa dengan penuh pengharapan agar penyakit disembuhkan. Begitulah penting dan besarnya peranan seseorang doktor. 

 Tajuk Lain Yang Berkaitan : Hargailah Jasa jururawat

Friday, September 11, 2015

Gendang tidak lagi dibenarkan di bawa ke Stadium.


Berkuat kuasa serta-merta, semua alat bunyi-bunyian termasuk gendang atau pemukul dram tidak dibenarkan dibawa masuk ke Stadium Shah Alam. 

Selain itu, peniaga makanan dan minuman yang sebelum ini mempunyai laluan mudah untuk masuk ke dalam stadium, selepas ini perlu melalui hanya satu pintu pagar saja serta melalui pemeriksaan pihak berkuasa sama seperti penyokong lain. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, persetujuan itu dicapai hasil pertemuan pihaknya bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pengurusan stadium, semalam. 

Shafien berkata, langkah itu diambil bagi mengelak insiden kekecohan yang berlaku ketika perlawanan antara Harimau Malaya dan Arab Saudi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, Selasa lalu berulang. “Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan antara kami, MBSA serta pengurusan stadium manakala wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak hadir.

Sumber: Metro.

Wednesday, September 9, 2015

WAKTU KERJA DOKTOR MESTI DIPERBAIKI , DR. ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN


Tulisan asalnya bertajuk Kematian Dr Afifah: Waktu Kerja Doktor Mesti DiPerbaiki. Ia ditulis oleh seorang tokoh agama terkenal Tanah Air, iatu Dr. Zaharuddin Abd Rahman(UZAR). Tulisan asalnya dimuatkan menerusi laman facebooknya, dan untuk membaca tulisan tersebut langsung sahaja ke --> SINI

Saya paparkan kembali di sini untuk manfaat bersama. Memang ia telah lama ditulis oleh Dr Zaharuddin, dan tragedi yang menimpa Allahyarham Dr. Afifah semakin dilupakan. Namun harus diingat, tragedi tersebut boleh berlaku kepada mana-mana doktor pada bila-bila masa sahaja selagi sistem sedia ada dikekalkan. 

Tanpa membuang masa, saya paparkan sahaja tulisan Dr Zaharuddin tersebut. 

Membaca berita perihal kemalangan Al-Marhumah Dr Afifah, doktor bius yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya pada 9 Julai 2015 membawa kerisauan terhadap kaedah, jadual bekerja para doktor dan kebajikan mereka serta pesakit. Ini penting kerana ia bukan sahaja melibatkan nyawa doktor sendiri malah juga pesakitnya. Kemalangan tersebut dikatakan berpunca di antaranya adalah kerana keletihan akibat tuntutan tugasannya di hospital. Takziah diucapkan kepada keluarga beliau atas pemergian itu. Semoga beliau tergolong dalam golongan solehat dan mendapat rahmat serta pengampunan Allah swt.

Di dalam displin hukum Islam, pekerja hanya patut bekerja dalam jumlah jam yang sesuai menurut kemampuan tubuh manusia. Atas sebab itu, Baginda nabi bersabda(maksudnya) : 

Ertinya: Tidak boleh seorang hakim memberi keputusan terhadap dua orang(yang dibicarakan) sedang dia dalam keadaan marah (terhadap salah seorang atau sebab lain).( Riwayat Al-Bukhari) 

Para ulama sepakat menyatakan hadis di atas bukan hanya TERHAD kepada ‘marah’ tapi merangkumi semua emosi-emosi dan keadaan fizikal luaran yang menganggu seperti letih, mengantuk, terlalu lapar, terlalu sedih, marah dan yang sepertinya. (Al-Mabsut, Al-Sarakahsi, 16/78 ; Al-Minhaj wa nihayatul Muhtaj, 8/94)

Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam turut bersabda(maksudnya): “Sesungguhnya untuk Tuhanmu, punyai hak atasmu, dirimu (tubuhmu) juga memiliki hak atasmu, demikian pula keluargamu (isteri-anak) pun ada hak atas dirimu. Tunaikanlah pada setiap pemilik hak akan haknya itu…” (Riwayat Al-Bukhari) 

Atas sebab itu juga, HARAM ke atas doktor-doktor senior menggunakan bahasa kesat (JIKA ADA) atau tindakan seolah membuli (JIKA ADA) terhadap doktor junior dengan sengaja lantaran ia boleh menambah beban emosi dan kestabilan mental berlebihan terhadap mereka. Pengalaman ‘buruk’ doktor senior yang diperlakukan sedemikian dahulunya, tidak boleh dijadikan justifikasi tindakan salah itu. Begitu juga hujjah untuk mendidik doktor junior agar kuat mental dan lain-lain justifikasi. Ia hanya bakal menambah beban emosi yang tak diperlukan (unnecessary burden) selain bebanan kerja yang lain. Wujudkanlah suasana dan hubungan baik antara para doktor tanpa mengira senioriti kerana ia MELIBATKAN KEMASLAHATAN AWAM dan PESAKIT. 

Selain itu, pemaksaan bekerja lebih dari kemampuan fizikal ke atas doktor perubatan bukan hanya TIDAK HALAL malah MEMBAHAYAKAN diri doktor itu sendiri dan PESAKITNYA. Atas sebab itu, saya menyeru pihak berwajib berunding secara telus dan terperinci bersama para doktor yang bertugas (senior dan junior) bagi mendengar dan berbincang cadangan praktikal lagi berkesan bagi menyediakan kaedah bekerja yang terbaik. Kaedah ‘Post Call Day Off’ yang dicadangkan juga baik dikaji jika mampu dilaksanakan di negara kita, khususnya di hospital-hospital awam yang tersibuk. 

Had limitasi waktu bekerja seorang doktor bertugas juga perlu dirangka agar prestasi doktor tidak terjejas dan mudarat tidak berlaku kepada mana-mana pihak. Saya turut bersetuju agar para Doktor mesti memanfaatkan waktu rehat dengan baik kerana kerehatannya dikira berkait dengan maslahat awam juga. Justeru, suasana RUANG REHAT bagi doktor di hospital mungkin boleh diwujudkan. 

Kita sedar, situasi doktor ‘on call’ memang perlu kerana pesakit sentiasa ada dan kecemasan itu kerap wujud, namun jika doktor tidak berada pada tahap fizikal dan mental yang baik, kehadirannya merawati pesakit adalah memudaratkan dirinya dan pesakitnya sahaja. Justeru, ketidakhadirannya mungkin lebih baik berbanding kehadirannya.

Selain itu, penambahan jawatan jururawat turut boleh dipertimbangkan bagi meringankan kerja-kerja teknikal seorang doktor. Khususnya dengan hasil kutipan GST yang agak lumayan, bahagian mendesak seperti ini layak mendapat peruntukan dari kerajaan. 

Sekian

Dr. Zaharuddin Abd Rahman 
PRESIDEN MURSHID

Tuesday, September 8, 2015

HUKUM MEMBERIKAN DAGING KORBAN SEBAGAI UPAH KEPADA PENYEMBELIH DAN TUKANG LAPAH


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Memandangkan Aidiladha bakal menjelma sedikit masa lagi, jadi eloklah kita memahami tatacara perlaksanaan ibadat korban. Untuk enty ini, saya sekadar menyebar luaskan kembali tulisan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin( DrMAZA). Untuk tulisan asal beliau, langsung sahaja ke Dr MAZA.

Di samping itu, untuk lebih memahami isu ini, elok juga dibaca entry bertajuk : Kaedah Pembahagian Daging Korban.

SOALAN:

Menjadi amalan sesetengah masyarakat memberikan sebahagian dari daging korban kepada pihak yang menguruskan terutama penyembelih dan pelapah. Ada yang kata tidak dibolehkan, betulkah begitu? Mengapa?

JAWAPAN:

Ya, menjelang musim hariraya korban, maka mungkin beberapa peringata patut diulangi agar amalan korban kita benar-benar memenuhi tuntutan syarak. Antaranya,
1. Daging korban tidak boleh dijual oleh pembuat korban, sama ada dengan cara tukaran wang atau tukaran tenaga kerja. Apa sahaja transaksi yang membawa erti ‘menjual binatang yang telah dikorbankan’ samada dengan tukaran duit atau tenaga atau selainnya, adalah dilarang. Para fuqaha (sarjana fekah) telah bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan korban (al-adhiyah) itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid: “Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging korban” (1/703, Beirut: Dar al-Khair)

 2. Secara umumnya menjual daging korban oleh pembuat korban itu dilarang ini telah diketahui oleh kebanyakan kita. Namun ada yang terlupa bahawa syarak juga menetapkan bahawa memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau sebagai sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja.

3. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim. Daripada `Ali bin Abi Talib r.a,

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku membahagikan kesemuanya; daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim). Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali: “Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

 4. Ya, walaupun hadis di atas berkaitan dengan sembelihan haji namun sama juga hukumnya dalam masalah korban. Apa yang penting ialah larangan menjadikan sembelihan yang disembelih bagi melaksanakan suatu tuntutan ibadat sebagai bahan jual beli, iaitu membeli tenaga kerja dengan bayaran daging sembelihan korban atau al-hadi (sembelihan haji).

5. Ini telah dijelaskan oleh al-Imam as-Son`ani dalam Subulus as-Salam, katanya: “Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (4/148. Beirut: Dar al-Ma’rifah)

 6. Dengan hadis di atas jelas bahawa dilarang sesiapa yang melakukan korban memberikan daging atau apa-apa bahagian yang boleh dimanfaatkan dari binatang korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah, seperti memberi daging atau kulit atau apa yang ada dibelakang binatang tersebut seperti pelana dan lain-lainnya. Sehingga al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengkritik pendapat Hasan al-Basri yang membenarkan diberikan kulit kepada penyembelih atau pelapah. Al-Imam an-Nawawi terus mengulas ringkas pendapat ini dengan katanya: “Pendapat ini telah memcampakkan (membelakangi) sunnah” (9/435 Beirut: Dar al-Khair)

7. Ketika mengulas Saidina Ali bin Abi Talib di atas, al-Imam al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan” (9/435). Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging korban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan.

8. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu’ sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`, katanya: “Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Samada ia korban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih ..”(8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)

 9. Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar: “Tidak boleh dijadikan bahagian dari korban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun korban itu adalah korban sunat.( m.s 149. Beirut: Dar So`ab)

10. Kata al-Syeikh Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam: “Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang melakukan korban memberi walaupun sedikit bahagian korban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan atau melapah.( m.s. 143. Jordan: Maktabah al-Manar)

11. Seperti yang ditegaskan tadi bahawa termasuk dalam larangan ini ialah memberikan bahagian korban kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengurusan korban atas dasar upah atau kerja yang dilakukannya

12. Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadis-hadis tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah. Larangan dalam hadis-hadis berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim yang disebutkan tadi, Saidina Ali menyebut: “Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian korban.

 13. Setelah melihat penjelasan ringkas ini maka perlulah kita sedari kalaulah amalan ini diteruskan iaitu mengambil mana-mana bahagian dari binatang korban yang disembelih samada daging, kulit atau sebagai upah bererti kita telah merosak pahala korban yang dijanji. Kata Mustafa al-Khin dan Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh korban di dalam mazhab al-Syafi`i: “Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan korban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikorbankan dan merosakkannya”.( 1/235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.)

14. Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan korban. Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (3/633. Damsyik: Dar al-Fikr)

Ertinya, ini seperti memberikan kepada penyembelih sebab kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian korban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.

15. Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian korban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian korban). ( 5/221. Beirut: Dar al-Jil)

16. Apa yang dikehendaki dari keterangan di atas, agar bahagian yang diperolehi oleh penyembelih atau pelapah atau petugas itu tidak disebabkan oleh kerja yang dilakukannya. Jika ini berlaku bererti telah melanggar larangan Rasulullah dan membatalkan korban.

17. Setelah kita melihat dalil yang sohih iaitu larangan baginda Nabi dalam hal ini serta ulasan yang jelas yang dibuat oleh para ulama, maka hendaklah kita menjaga agar tidak melanggarnya. Cara penyelesaiannya telah ditunjukkan oleh Saidina `Ali di dalam hadis yang yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim tadi iaitu kita memberikan upah dari duit kita sendiri bukan dari bahagian korban yang mengakibatkan rosaknya korban yang kita lakukan.

18. Sesungguhnya sikap bakhil atau mengambil kesempatan melepaskan diri dari upah wang ringgit kepada penyembelih atau pelapah dan seumpamanya dengan cara memberikan daging atau bahagian korban kepada mereka adalah lambang ketidaktulusan.

Tajuk Lain Yang Berkaitan : Kaedah Pembahagian Daging Korban

 
Hukum UPAH Tukang Sembelih/Tukang Lapah Dengan Daging Qurban - Ustaz Azhar Idrus

Sunday, September 6, 2015

Penggunaan makhluk halus punca Malaysia tewas teruk kepada UEA.


Telah menjadi satu fenomena di Malaysia hari ini, apa sahaja yang berlaku akan dikaitkan dengan Jin, sihir, ilmu hitam ataupun makhluk halus 

Hari ini, seorang pengamal perubatan islam mendakwa, penggunaan mahkluk halus mungkin menjadi punca kekalahan teruk Malaysia kepada Emeriyah Arab Bersatu(UEA). Rasanya inilah dakwaan yang paling unik dan aneh di sebalik kekalahan teruk skuad Malaysia sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2008 dan Piala Asia 2019. 

Wartawan pun satu hal, punyalah ramai orang-orang yang arif tentang bolasepak, antaranya ialah pemain bola sepak tempatan, jurulatih bola sepak tempatan, dan pengkritik sukan. 

Walaupun menggunakan perkataan ‘mungkin’ ,namun ia memberikan kesan yang amat buruk. Orang –orang yang taksub dengan pengamaI perubatan islam tersebut mungin akan beranggapan UEA menang kerana mengguna ilmu hitam atau sihir. 

Sebenarnya jika dikaji dan diteliti rekod pasukan Malaysia akhir-akhir ini, kita akan mendapati, betapa teruknya mutu pasukan kebangsaan negara. Asyik menjadi pasukan belasahan kepada pasukan lain. Jadi adakah semua itu kerana pasukan lawan menggunakan khidmat makhluk halus. 

Sebelum ini juga terdapat seorang pengamal perubatan islam mendakwa Jin pantang melihat wanita seksi dan Isteri dihamilkan oleh Jin. Sebenarnya saya tidaklah membantah atau menolak secara total dakwaan tersebut, dan saya juga tidak menerima atau mempercayai dakwaan tersebut secara mutlak. 

Benarkah jin berminat dengan gadis seksi? 

Tapi hairan juga kenapa artis-aris barat yang seksi seperti Jennifer Lopez(JLo),Angelina Jolie,Selena Gomez dan Lady Gaga ataupun bintang Bollywood seperti Priyanka Chopra dan Bipasha Basu tak pula diminati oleh Jin. Jujur! Tak pernah saya dengar mereka ini dirogol atau dicabul oleh Jin. Sedangkan mereka ini teramat seksi dan tersangat menghairahkan.

Atau mungkin para Jin hanya berminat dengan gadis-gadis Melayu sebab terpengaruh dengan lagu “ Siapa bilang gadis Melayu tak menawan..”(lagu Gadis Melayu- Othman Hamzah). 

Atau mungkin juga mereka pernah dirogol oleh Jin, tetapi tidak hamilkan zuriat Jin kerana Jin-jn di sana selalau memakai kondom setiap kali merogol. 

Mungkin ada yang mendakwa,Jin tidak akan menganggu orang-orang bukan islam. Ini hujah yang dangkal sebab dalam sistem kepercayaan masyarakat bukan islam terdapat juga kepercayaan terhadap Jin. Sebab itulah dalam filem-filem Barat, Korea dan Hindi,tema jin dan hantu seringkali diutarakan. Begitu juga dengan histeria yang seringkali juga merasuk orang-orang bukan islam. 

Malah, tidak lama dahulu, negara dikecohkan dengan berita kehilangan budak lelaki di Villa Nabila. Keadaan menjadi kecoh kerana terdapat juga pengamal perubatan islam yang mendakwa kehilangan tersebut disebabkan oleh jin, Akhirnya semuanya terbongkar dan terungkai, bukan jin yang salah tapi budak lelaki itu yang nakal. 

Amat merisaukan andainya sedikit masa lagi apa sahaja masalah akan dikaitkan dengan jin. Kejatuhan nilai ringgit, kemerosotan ekonomi,kekalahan dalam pilihnaraya dan apa sahaja akan dikaitkan dengan jin.

Saturday, September 5, 2015

Petua menurunkan paras gula dalam darah.


Petua menurunkan paras gula dalam darah. 

Terdapat beberapa petua yang boleh diamalkan, terutamanya oleh penghidap kencing manis untuk menurunkan paras gula di dalam darah. 

Antaranya ialah dengan menggunakan bendi. 



Cara-caranya ialah: 

  • Ambil dua batang bendi 
  • Kerat bahagian atas dan bawah 
  • Kelar bahagian tengah kedua-dua bendi tersebut 
  • Masukkannya ke dalam gelas berisi air 
  • Tutup gelas tersebut dan biarkan semalaman pada suhu bilik. 
  • Keesokan pagi, keluarkan bendi tersebut dan minum air tersebut sebelum bersarapan. 

Amalkan petua ini setiap hari dan Insya-Allah, hasil bacaan gula akan menurun dalam masa dua minggu. Moga petua ini bermanfaat untuk kepada semua, terutamanya penghidap diabetes.

Thursday, September 3, 2015

HUKUM TAWAF MENGGUNAKAN SEGWAY / MINI-SEGWAY




Video seorang lelaki menggunakan papa luncur elektronik yang dikenali dengan nama mini-segway ataupun hoverboard ketika sedang melakukan tawaf telah menjadi viral dan mengundang pelbagai pertanyaan. 

Alhamdulillah, Mufti Wilayah Persekutuan , Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri telah menjawab dan sekali gus merungkai segala tanda tanya tersebut. Di sini saya sebar luaskan jawapan daripada Mufti yang mulia tersebut. Moga Allah menganugerahkan keberkatan dan pahala yang berkekalan untuknya. 

Hukum Menggunakan Alat Tersebut 

Melihat kepada nas-nas yang Nabi SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang di atas unta, Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan:

 "Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah tawaf pada haji al-wada’ (haji perpisahan) di atas unta dan beristilam di rukun dengan tongkatnya”.  Riwayat Muslim (1272), Abu Daud (1877), Al-Nasa’i (173), Ibn Majah (2948) 

Begitu juga dengan hadis Umm Salamah R.Anha yang berkata:

"Maksudnya: Aku mengadu kepada Rasulullah SAW yang aku kurang sihat. Maka jawab Baginda SAW: “Tawaflah belakang orang ramai dan kamu sedang dalam menunggang.” Riwayat al-Bukhari (1633), Muslim (1276).

Di dalam hadis Jabir R.A:  Maksudnya: Nabi SAW telah tawaf di atas tunggangan di Ka’abah, sa’i di antara Safa dan Marwah, orang ramai melihatnya dan Baginda dapat menyelia untuk mereka bertanya kepada Baginda, maka sesungguhnya orang ramai mengerumuni Baginda. Riwayat al-Nasa’I (2975) 

Berdasarkan nas-nas, jelas menunjukkan kebolehan untuk melakukan tawaf dengan menggunakan kenderaan dan tunggangan (pada waktu itu), tetapi antara sebabnya ialah: 

• kerana untuk membimbing orang ramai. 
• kerana untuk orang ramai dapat mengikuti dan mempelajari.
• kerana uzur atau sakit. 

Justeru, hukum menggunakan alatan tersebut adalah harus. 





Pendapat Ulama Di dalam isu ini, terdapat tiga pendapat ulama’ yang utama membincangkannya: 

  •  Pendapat pertama: Sebahagian ulama’ seperti Al-Khiraqi mengatakan bahawa hukum tawaf menggunakan kenderaan atau di bawa tanpa uzur adalah tidak memadai. Ini juga merupakan satu pendapat dalam riwayat Ahmad dan alasannya kerana Nabi SAW bersabda:
           Maksudnya: Melakukan tawaf di Ka’bah adalah solat. Riwayat al-Nasa’i (2922) 

Oleh kerana tawaf merupakan ibadah yang berkaitan dengan ka’bah maka tidak harus dilakukannya dengan menaiki kenderaan tanpa uzur seperti solat. [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]

  •  Pendapat kedua: Yang masyhur adalah memadai dan dikenakan dam dan ini adalah pendapat Malik dan Abu Hanifah kecuali Abu Hanifah menambah sekiranya seseorang itu masih berada di Mekah perlu diulang tawafnya itu dan sekiranya sudah pulang, maka hendaklah membayar dam. [Al-Hawi al-Kabir. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 4/151], [Al-Majmu’. Dar al-Fikr, 8/27]. 
  •  Pendapat ketiga: hukumnya adalah memadai dan tidak dikenakan dam. Ini ialah pendapat Abu Bakar, mazhab Syaf’ie dan Ibn al-Munzir. Mereka beralasan dengan mengatakan Nabi SAW telah tawaf dalam keadaan menunggang.

Ibn al-Munzir berkata: “Tidak diterima pendapat seseorang setelah adanya perbuatan daripada Nabi SAW kerana Allah SWT telah perintahkan tawaf secara mutlak. Maka dengan cara mana sekalipun ianya memadai dan tidak harus taqyidkan yang mutlak tanpa dalil.” [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358] 



Tarjih Setelah melihat ketiga-tiga pandangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya selaras dengan mazhab Syafi’e, Ibn al-Munzir dan ramai lagi kerana nas yang sahih lagi sarih (jelas) menunjukkan kearah itu. 

Walaupun begitu, beberapa kriteria perlu difahami dan diraikan: 
  • Tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih afdhal (baik) dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para Sahabat.  
  • Raikan adab tawaf dengan sebaik mungkin.  
  • Penuhi syarat-syarat tawaf agar tidak terbatal. 
  • Jauhi dari riya’, ‘ujub dan niat bermegah ketika menggunakannya.  
  • Jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti mereka. 

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman sebaik mungkin mengenai hukum tawaf menggunakan segway / mini-segway Akhukum fillah, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan


INFO TAMBAHAN:

Di dalam akhbar sinar harian hari ini(3.9.15),Pembimbing Ibadah Haji Tabung Haji, Sapawi Che Mat menegaskan rukun tawaf tetap sah dengan menggunakan sebarang kenderaan. Tidak kira sama ada individu tersebut sihat atau mempunyai masalah kesihatan. 

Cuma, jika berjalan kaki akan dapat pahala sunat,dan rukun tawaf tetap sah walaupun menggunakan kenderaan. 
Jangan lupa baca tajuk ini :
: 20 NOVEMBER 1979, TRAGEDI BERDARAH DI MASJIDIL HARAM