Monday, November 30, 2015

Putu halba makanan popular ketika musim tengkujuh.


Hujan lebat, langit hitam,awan mendung dan kesejukan, itulah musim tengkujuh. Suasana sebegini amat mudah mengundang rasa lapar. 

Tidak menghairankanlah, ketika musim tengkujuh orang ramai tidak memilih menu. Ubi kayu rebus cicah kelapa, ubi keledek atau dikenali sebagai ubi setelo di Kelantan, ikan pekasam, malah nasi berlaukkan ikan rebus turut membangkitkan selera. 




Putu halba adalah sebahagian daripada juadah yang menjadi perhatian ketika musim tengkujuh. Makanan yang diperbuat daripada ubi kayu dan didalamnya manisan(gula Melaka) dan dikukus serta diimakan bersama kelapa itu amat laris dan mendapat ambutan amatlah menggalakkan. 

Dari pasar malam hinggalah gerai-gerai di tepi jalan, ia tetap mendapat sambutan. Malah, kadang-kadang terpaksa berbaris panjang untuk membelinya. Dua hari lepas, saya terpaksa beratur agak panjang untuk membeli putu halba di sebuah gerai di Padang Melintang Beris Kubor Besar, Bachok, Kelantan. Memang berbaloi beratur panjang sebab amat enak menikmatinya bersama kopi O panas. 

Sempena musim tengkujuh, marilah kita doakan agar disember tahun ini tidak lagi menjadi disember kelabu seperti tahun 2014. Moga-moga banjir besar seperti 2014 tidak lagi menjelma di negara kita.

Thursday, November 26, 2015

Enaknya Roti Titab di Kopitiam Kita, Kota Bharu.


Walaupun saya orang Kelantan, namun inilah kali pertama saya menjejak kaki dan menjamu selera di Kopitiam Kita, Kota Bharu. Usai menghantar ibu,abang dan anak saudara saya ke Airport Pengkalan Chepa/Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, saya meninjau-ninjau lokasi untuk bersarapan. 

Pada mulanya, saya ingin bersarapan dengan nasi berlauk gulai serati, namun tiba-tiba terlintas di fikiran untuk mencuba roti titab, lagipun isteri saya tidak makan serati.  Jadi ke manakah lagi jika ingin menikmati roti titab jika tidak ke Kopitiam Kita. 




Lokasi Kopitiam Kita ialah sekitar pusat bandar Kota Bharu sahaja, namun ia agak terselindung.Tidak mengapa, berbekalkan teknologi hari ini, usaha menjejak mana-mana lokasi menjadi sangat mudah. 

Saya secara peribadinya lebih selesa menggunakan aplikasi waze untuk menjejak mana-mana lokasi yang belum pernah saya jejaki, termasuklah untuk mencari lokasi Kopitiam Kita. 

Saya difahamkan ia di buka pada setiap hari kecuali bulan puasa dan hari raya. Ia beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga 1.30 tengahari sahaja. Mohon pembetulan dan pemurnian andainya saya tersilap info. 





Antara pengunjung yang sedang menjmau selera di Kopitiam Kita

Antara gambar selebriti dan orang kenamaan yang pernah menjamu selera di Kopitiam Kita

Lebih kurang pukul 8.30 pagi saya sampai ke Kopitiam Kita. Alhamdulillah dengan menggunakan Waze, kerja mencari menjadi mudah walaupun kopitiam tersebut tersorok dan terlindung. Namun yang pasti, sekitar pukul 8.30 pagi, pengunjung sudah mula memenuhi Kopitiam Kita, malah tempat parking juga hampir penuh. . 

Ini saya punya bil. Roti Titab dua , nescafe tarik satu dan teh o ais limau satu

Menu Sarapan di Kopitiam Kita

Sebenarnya terdapat beberapa menu untuk bersarapan pagi Kopitiam kita. Antaranya ialah nasi berlauk Air Dingin. Namun, menu popular dan menjadi kegemaran para pengunjung ialah Roti Titab. Jadi, jika anda berkunjung ke sini, mencuba Roti Titab adalah satu kemestian. 

Apakah keistimewaan roti titab. Sebenarnya agak sukar untuk mengulas tentang hal ini. Sebabnya soal selera dan citarasa sememangnya berbeza dan tidak sama. 

Sejujurnya saya juga agak kesal dengan sikap sesetengah blogger yang bersikap zalim dan kejam ketika menulis tentang restoran atau kedai makan. Mereka menyerang menu dan restoran tersebut, dan seakan-akan ingin menyeru orang ramai yang membaca blognya agar menjauhi restoran tersebut. 

Sebenarnya, mungkin menu tertentu itu sedap dan istimewa pada selera kita, namun tidak kepada orang lain. Sebagai contoh,pernah upload gambar sup belut di facebook. Namun, terdapat segelintir sahabat facebook yang tidak menggemari belut lalu mereka membuat ulasan/komen yang macam-macam. Macam ularlah dan macam-macam lagi. Semuanya berpunca kerana belut itu tidak menepati seleranya. 

Kembali kepada tajuk, secara peribadi, roti titab sememangnya sedap dan istimewa serta menepati selera saya. Kaya yang digunakan juga tidak terlampau manis dan ditambah pula dengan telur separuh masaknya yang memukau selera. Saya difahamkan kaya yang digunakan untuk ini dibuat khas untuk roti titab. Malah, saya difahamkan juga Roti Titab ini adalah hasil cetusan resepi pemiliknya sendiri. 

Disebabkan ia terkenal di Kota Bharu, maka tidak menghairankanlah apabila Kopitiam Kita turut dikunjungi oleh beberapa selebriti terkenal negara, antaranya ialah Datuk Siti Nurhaliza dan orang-orang kenamaan. Kebanyakan foto-foto kunjungan mereka terpampang di barisan layan diri sebagai tatapan pengunjung pernah bertandang ke sini. 

Cukup di sini saya bercerita perihal Roti Titab dan Kopitiam Kita. Jadi kepada sesiapa yang belum berkunjung ke sana,atau andainya anda berkunjung ke Kelantan, eloklah meluangkan sedikit masa untuk menikmati roti titab di Kopitiam Kita. 

Alamat Kopitiam Kita : 4357-A, Taman Desa Jaya Jalan Pengkalan Chepa, 15400 Kota Bharu, Kelantan. Telefon:+60 19-981 0888

Tuesday, November 24, 2015

10 perkara mesti dibuat jika melancong ke Seoul, Korea.


Korea Selatan, terutamanya sekitar Seoul sememangnya destinasi pelancongan yang memukau persona. Sesiapa yang pernah berkunjung ke sana pasti sahaja dapat menikmati keindahan dan keunikan Korea. 

Secara peribadi, saya pernah berkunjung ke Seoul, Korea Selatan pada penghujung tahun 2013. Jujur dan ikhlas, kenikmatan hampir seminggu berada di sana masih lagi terbayang-bayang di ruang mata. 



Walaubagaimanapun, di sini saya bukanlah ingin bercerita tentang kunjungan saya ke sana tempoh hari. Ini kerana, semua itu telah saya paparkan dalam entry saya yang lepas, lihat sinis  --> SINI

Sebaliknya untuk kali ini, saya ingin kongsikan mengenai perkara-perkara yang perlu dibuat jika kita melancong ke Seoul Korea. Tulisan asalnya saya petik daripada akhbar Harian Metro bertarikh 04.Disember.2014. Saya paparkan di sini untuk manfaat bersama, terutamanya kepada rakan-rakan yang berhasrat ingin berkunjung atau melancong ke Korea.

 1. Melawat Nami Island.

 Pulau Nami adalah lokasi wajib dikunjungi andainya anda ke Korea. Ia terkenal kerana menjadi lokasi penggambaran drama popular Korea, Winter Sonata. Pemandangan yang cantik dengan pokok dan sungai menjadikan pulau ini sebagai salah satu tarikan utama. Menariknya Nami Island bukanlah terletak di tengah laut, tetapi terletak di tengah sungai. Anda perlu menaiki bot(namun admin menggunakan feri) untuk ke Pulau Nami dan menikmati pemandaangan pesisir sungai yang sukar digambarkan.

 2. Membeli belah di Pasar Namdaemon. 

Pasar Namdaemon adalah antara pasar terbesar dan tertua di Korea Selatan.Dahulunya, pasar ini merupakan pusat ekonomi rakyat di bandar Seoul. Pasar Namdaemun menawarkan hampir segala-galanya dengan harga yang murah. Pakaian,barang kemas, beg, permainan kanak-kanak,cenderamata dan makanan, semuanya ada dijual di sini. 

3. Padlock cinta di Menara Namsan.

‘Lock of Love’ di Menara Namsan menawarkan pemandangan unik dengan berjuta-juta padlock(mangga kunci) pelbagai warna dan bentuk. Korea sememangnya terkenal dengan tempat romantikterutamanya di Seoul. Salah satu daripadanya ialah Menara Namsan. 4. Merendam kaki di Cheongae Stream. Cheonge Stream sungai yang dahulunya kotor dan buruk, tapi dibersihkan dan dihias cantik untuk tujuan pelancongan. Rehatkan diri anda sambil merendam kaki di Cheong Stream yang jernih sambil berbual-bual dengan rakan. Suasana yang cantik dan tenang walaupun di tengah bandar raya Seoul sangat menenangkan jiwa. 

5. Menaiki Seoul Subway. 

Pengangkutan utama di bandar Seoul adalah subway, iaitu kereta api bawah tanah. Ia bukan sahaja memudahkan perjalanan tetapi selamat dan menjimatkan masa. Dalam stesyen Seoul Subway terdapat banyak kedai untuk membeli belah dengan harga yang berpatutan. Namun, risiko pengangkutan ini ialah anda mungkin tersesat kerana dunia bawah tanah di Korea sangat luas. 

6. Ikan bakar di Dongdaemon.

Antara masakan korea yang sedap dan menjadi menu paling dirindui pelancong ialah ikan bakar di Dongdaemun. Banyak ikan bakar yang sedap dan segar di Grilled Fish Street ini. Selain daripada ikan bakar, anda boleh rasa menu masakan laut lain seperti sambal sotong. 

 7. Makan Kimchi.

Kimchi adalah makanan tradisional Korea. Perapan sayur kubis yang digaul dengan cili ini adalah sajian sampingan utama masyarakat Korea. Kimchi mempunyai banyak zat dan mampu mencegah obesiti. Semakin lama kimchi diperap, maka semakin mahal harga dan semakin sedap rasanya. Kebanyakan restoran Korea akan menyediakan Kimchi secara percuma. 

 8. Lepak dan santai di kafe. 

Antara tempat yang menjadi tumpuan di Korea ialah kafe. Jika anda berjalan di bandar Seoul, anda akan menemui banyak kafe cantik dan mempunyai reka hias yang menarik. Kafe di Korea ibarat kedai mamak di Malaysia. Orang Korea memilih kafe untuk berjumpa rakan atau melepak minum kopi dan membaca majalah. 

 9. Berbasikal di persisiran Sungai Han. 

Sungai Han adalah sungai terbesar di bandar raya Seoul dan menjadi tumpuan masyarakat Korea. Mereka datang ke Sungai Han untuk beriadah dan menenangkan fikiran. Pelancong juga ramai datang ke Sungai Han kerana mempunyai taman yang sangat cantik, terutamanya ketika musim bunga dan musim panas. 

10. Syurga kosmetik di Myeongdong.

Korea terkenal dengan produk kosmetik dan kecantikan. Bagi anda yang mencari barangan kosmetik dan kecantikan berkualiti, popular dan harga berpatutan, Myeongdong adalah tempat yang wajib dilawati. Tidak seperti negara lain, hampir semua kedai kosmetik di Korea memberi anda sample produk mereka. Malah promoter kedai kosmetik di Korea juga akan memberi nasihat mengenai produk yang sesuai untuk kulit anda. 

Info Tambahan:

Moga info yang disajikan ini mampu dijadikan tips dan panduan kepada pembaca yang berhasrat untuk melancong ke Seoul Korea Selatan. Jujur dan ikhlas, anda akan teruja dengan Seoul sebaik sahaja anda menjejak kaki ke sana.

Monday, November 23, 2015

GANGGUAN SEKSUAL DI SEKOLAH.




Gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja, termasuklah di rumah, tempat awam atau di tempat kerja. Malah, di sekolah juga tidak terkecuali, baik terhadap kanak-kanak di sekolah rendah mahupun remaja di sekolah menengah. 

Untuk kali ini, saya akan bicarakanperihal gangguan seksual di sekolah. Entry ini adalah berdasarkan tulisan Lt.Kol.(Dr) Lofti Anuar di ruangan Doktor Menulis akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 20 Mei 2012. Beliau merupakan seorang Pakar Perunding Psikiatri Am dan Aviasi, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. 




Berikut adalah jenis-jenis gangguan seksual yang berlaku di sekolah. 
  • 1. Menulis, mempamer atau mengedar bahan bukan pengajaran yang berbentuk lucah 
  • 2. Bercerita atau membuat lawak jenaka berbau lucah 
  • 3. Membuat perlakuan atau isyarat lucah 
  • 4. Mengejek atau menggelar pelajar dengan panggilan lucah 
  • 5. Memaksa atau mempengaruhi pelajar membuat perlakuan lucah. 
  • 6. Menawar ganjaran tertentu atau upah atas perlakuan lucah.
  • 7. Melakukan sentuhan yang berunsur seksual 
  • 8. Memegang kemaluan sendiri di hadapan pelajar 
  • 9. Menyebar khabar angin berunsur seksual. 

Berdasarkan kajian, majoriti pemangsa merupakan rakan-rakan pelajar itu sendiri yang sama-sama belajar di sekolah. Namun, terdapat juga segelintir pemangsa yang terdiri daripada kakitangan sekolah atau pekerja khidmat kontrak. 

Jenis gangguan seksual yang paling popular adalah ejekan seksual ke atas pelajar perempuan. Manakala gangguan terhadap pelajar lelaki pula biasanya berlaku di asrama dan kebiasaanya bercorak perlakuan homoseksual atau onani. 

Panduan kepada ibu bapa dan guru. 

Pada peringkat awal, tekanan emosi akan menyebabkan mangsa merasa malu dan rendah diri. Di tambah pula dengan khabar angin yang cepat tersebar dalam kalangan pelajar lain. Ini menyebabkan mereka sering ponteng sekolah atau tidak menghadiri aktiviti kokurikulum. Jika mangsa belajar di sekolah asrama penuh, mereka akab meminta untuk ditukarkan ke sekolah harian. 

Di rumah mangsa akan kelihatan murung dan kerap menyendiri. Adakalanya mangsa cepat melenting dan membuli adik yang lebih kecil.  Malah ada yang lari dari rumah. 

Di sekolah pula, mangsa kelihatan cemas dan takut. Mereka selalu kelihatan termenung semasa sesi pembelajaran. Akibatnya prestasi akademik menurun secara mendadak. Kadang-kadang mangsa mengadu sakit kepala dan perut. Ada juga yang mengalami histeria. Ini berlaku di bawah sedar apabila mereka tidak mampu meluahkan masalah secara terbuka.Bagi pelajar remaja pula, mereka cenderung untuk menghisap rokok atau mengambil dadah. 

Dalam kes pencabulan seksual atau perkosaan, perubahan tingkahlaku yang ditunjukkan berbeza mengikut umur. 

Kanak-kanak biasanya tidak membenarkan ibu bapa menyentuh bahagian bawah semasa membersihkan diri. Mereka mengadu sakit di kawasan kemaluan atau anal. Apabila diperiksa tanda kecederaan seperti kemerahan dan pengeluaran cairan dari kemaluan boleh dilihat. 

Pelajar remaja pula biasanya gagal menyembunyikan tanda-tanda kehamilan sekiranya ia berlaku. Perubahan bentuk badan, penambahan berat badan dan muntah-muntah pastinya mengundang kecurigaan. Ibu bapa terutamanya dinasihatkan agar bertanya tarikh haid terakhir pelajar. Trauma yang dialami oleh remaja yang mengandung luar nikah ini boleh menyebabkan kemurungan yang teruk dan percubaan membunuh diri.

Sunday, November 15, 2015

Tips mengelakkan mengantuk semasa memandu.


Tips mengelakkan mengantuk semasa memandu. 

Gambar di atas adalah gambar kereta saya yang terbabas sewaktu pulang bercuti hari raya Aidilfitri. Peristiwa berlaku pada tahun 2010 dan lokasi kejadiannya ialah di Lenggong Perak, ketika saya dalam perjalanan dari Ipoh ,Perak menuju ke kampung halaman saya di Bachok,Kelantan. Mengantuk dan seterusnya terlelap, itulah puncanya. 

Walaupun, sekarang ini, saya bertugas di Kelantan, namun saya terpaksa berulang alik dengan jarak perjalanan 100KM sehala dan 200KM pergi dan balik. Saya menetap di Bachok dan bertugas di Jeli, tentu sahaja seringkali diserang oleh rasa mengantuk ketika dalam perjalanan. 

Jadi untuk entry ini, saya ingin berkongsi tips untuk menggelakkan rasa mengantuk ketika memandu. Tips atau panduan tersebut adalah berdasarkan pembacaan saya di beberapa akhbar dan majalah, dan juga pengalaman saya sendiri. 

Mula-mula sekali kita kenal dan mengerti. Tak kenal maka tak cinta. Memang kita perlu mencintai rasa mengantuk sebab terdapat segelintir manusia termasuk rakan saya yang langsung tidak boleh melelapkan mata untuk tempoh yang agak lama. Mereka mengalami masalah gangguan tidur. Jadi bersyukurlah sebab kita dianugerahkan rasa mengantuk. Cuma yang penting biarlah rasa mengantuk itu adalah rasa mengantuk yang bertempat. Tapi, seboleh-bolehnya biarlah rasa mengantuk itu datang pada situasi dan lokasi yang tepat dan betul , antaranya ketika kita ingin tidur. 

Jadi fokuslah sedaya yang boleh dan sekudrat yang mampu semasa memadu. Untuk mengusir rasa mengantuk dan seterusnya fokus ketika memandu kita perlulah mengetahui atau mengenali tanda-tanda rasa mengantuk. 

Untuk entry ini, saya ingin berkongsi tips menggelakkan rasa mengantuk ketika memandu. Ia adalah berdasarkan pembacaan saya di beberapa akhbar dan majalah, dan juga pengalaman saya sendiri. Tanda-tanda rasa mengantuk. Sekiranya anda mengalami tanda-tanda ini, kemungkinan anda akan mudah terdedah kepada kemalangan. 

Jadi, pastikan anda mengambil langkah-langkah yang wajar apabila anda merasai tanda-tanda di berikut, iaitu.

1. Pedih mata atau berat mata 
2. Berangan-angan 
3. Keletihan seluruh badan 
4. Penukaran gear lemah 
5. Bertambah kelajuan atau berkurang kelajuan 
6. Telinga berdesing atau berdengung. 

Berikut adalah tips menggelakkan mengantuk ketika memandu. 
  1. Rancang perjalanan anda. Yakinlah ia adalah usaha yang bijak dan berharga. 
  2. Mulakan perjalanan jauh pada waktu pagi, selepas anda mendapat tidur yang secukupnya.  
  3. Pastikan anda berada dalam keadaan cergas dan bertenaga. 
  4. Jangan minum minuman keras atau mengambil ubat yang mengakibatkan rasa mengantuk sebelum atau sewaktu dalam perjalanan. 
  5.  Mulakan perjalanan anda dalam suasana yang ceria. 
  6. Jangan memandu melebihi dua jam tanpa henti. Seeloknya tukar pemandu setiap dua jam walaupun anda tidak rasa mengantuk. 
  7. Langkah terbaik andainya rasa mengantuk sukar untuk diusir ialah tidur walau untuk seketika. Sebaik-baiknya tidurlah di tempat-tempat yang selamat seperti di masjid atau surau, namun jika terpaksa tidurlah walaupun di dalam kenderaan anda. Namun pastikan anda tidur di tempat yang selamat supaya tidak menjadi mangsa jenayah.

Semoga tips ini memberi manfaat kepada pembaca. Kita memandu dalam keadaan yang berhemah dan sihat serta segar bugar dan selebihnya kita serahkan kepada Allah. Moga-moga perjalanan kita semua diberkati-Nya. 

P/S: Jika anda mempunyai tips/panduan, baik melalui pembacaan mahupun pengalaman, harap sudi dikongsi di sini untuk manfaat bersama.

Tuesday, November 10, 2015

Negara-negara yang mengharamkan vape.


Negara-negara yang mengharamkan vape.

Vape masih lagi menjadi satu isu yang hangat di Malaysia. Dari Parlimen hinggalah ke kedai kopi, perihal vape masih hangat dan sensasi. Menteri, pakar perubatan, ulama hinggalah golongan buruh, nelayan dan petani turut memperkatakannya.

Hingga ke detik entry ini ditulis, status vape masih lagi misteri di negara ini. Walaupun begitu, terdapat beberapa buah negara yang telahpun mengharamkan penjualan dan penggunaan vape. 

Antara negara-negara yang mengharamkan vape ialah. 

  • 1.Australia 
  • 2. Brazil 
  • 3. Kanada
  • 4. Emeriah Arab Bersatu
  • 5. Mesir
  • 6. Hong Kong
  • 7. Lubnan 
  •  8. Mexico 
  •  9. Panama  
  • 10. Singapura  
  • 11. Thailand. 

Info Tambahan:

Perihal vape di Malaysia agak menarik untuk diperkatakan. Kementerian Kesihatan Malaysia cenderung untuk mengharamkannya atas dasar kesihatan, namun Kabinet telahpun meluluskannya baru-baru ini. Ramai juga ahli politik yang turut mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Tapi, ramai yang beranggapan pihak yang ingin mengharamkan vape adalah kerana faktor ekonomi. Ini disebabkan vape tidak dikenakan cukai seperti rokok. Malah, jika membahayakan kesihatan dijadikan faktor untuk mengharamkan vape, mengapa rokok masih dijual sewenang-wenangnya, sedangkan rokok sudah terbukti membahayakan kesihatan.

Sunday, November 8, 2015

HUKUM MENGHISAP VAPE.


Saya tertarik dengan pandangan Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Dr Zaharuddin Abdul Rahman, sebagaimana dipaparkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 1 November 2015, berkata mengikut hukum syarak, penggunaan vape dengan niat mahu berhenti merokok adalah harus, namun ia boleh diperhalusi mengikut beberapa aspek, selain mengurangkan kadar nikotin secara berperingkat. 

Tegasnya lagi, penghisap vape tidak boleh mengubahsuai cecair keandungan sesuka hati atau menggunakan bahan tiruan kerana mudaratnya mungkin lebih teruk.. Selain itu, penghisap vape juga tidak boleh menghembuskan asap vape di tempat awam atau kepada orang sekeliling. 

Begitu juga ketika memandu, kerana asapnya boleh menghalang pemandangan dan boleh menyebabkan kemalangan. Katanya lagi, kos bulanan yang digunakan untuk vape juga perlu dikurangkan berbanding belanja membeli rokok, selain menjaga hubungan dengan keluarga. 

Walaupun begitu, Dr Zaharuddin menegaskan, umat islam yang tidak pernah merokok dan bukan perokok tegar diharamkan sama sekali menghisap vape. 

Selain itu, Pengarah Institut Perubatan Respiratori(IPR) Hospital Kuala Lumpur(HKL), Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, sebagaiaman yang disiarkan menerisi akhbar Metro Ahad bertarikh 8. November. 2015,berkata, beliau tidak menafikan e-rokok(termasuk vape- pandangan admin) mampu mengurangkan kesan nikotin yang disebabkan oleh rokok konvensional, tetapi jika digunakan dengan cara yang betul dan sebaik-baiknya. 

Namun untuk jangka masa panjang, beliau berpendapat kaedah tampalan atau gula-gula getah bernikotin menerusi terapi gentian nikotin (NRT) atau terapi oral adalah lebih berkesan dan terbukti. Itupun disusuli dengan sesi kaunseling kepada perokok tegar tersebut. 

Info Tambahan:

Apabila penagih dadah bertukar kepada metadhone, Ia adalah langkah yang logik dan wajar untuk membasmi ketagihan terhadap dadah. Tetapi amat tidak waras dan sangat tidak wajar andainya orang-orang yang tak pernah menagih dadah tiba-tiba menggunakan metadhone. 

Begitu juga apabila perokok menggunakan vape sebagai penganti, maka ada logik dan wajarnya. Tapi, amat malang apabila orang-orang yang tidak pernah merokok tiba-tiba turut menghisap vape. Ini sangat pelik dan sungguh aneh.

Wednesday, November 4, 2015

Dua puluh negara paling aman di dunia.



Tahukah anda negara manakah yang disenaraikan sebagai negara paling aman di dunia? 

Setiap tahun sejak tahun 2007, Indeks Keamanan Global (GPI) yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan(IEP) menjadi kayu pengukur keamanan sesebuah negara. Ia diukur berdasarkan ciri dalaman dan luaran negara berkenaan.

Walaupun dunia hari ini dilihat semakin kejam, namun menurut GPI terdapat dua puluh negara yang disenaraikan paling aman di dunia. Di sini saya paparkan negara-negara tersebut yang saya petik(serta ubah suai) dari akhbar Harian Metro bertarikh 30 September 2014. 


20 negara paling aman di dunia. 

1. Denmark. 

Denmark mengungguli senarai memandangkan ia tempat paling selamat di dunia. Walaupun ibu negara Denmark, Copenhagen pernah ditakluk oleh Nazi pada Perang Dunia Kedua,namun mereka tidak melawan. 

Ini disebabkan rakyat Denmark lebih member fokus kepada ekonomi daripada terbabit dalam pelbagai konflik bersenjata. Rakyatnya juga terkenal kerana sangat ramah,terbuka dan gemar membantu. 



2. Norway.

 Mungkin ramai yang tidak menyangka Norway turut tersenarai sebagai negara paling aman di dunia. Ini kerana kes pembunuhan besar-besaran yang dilakukan oleh Anders Behring Breivik yang telah mencemarkan nama negara tersebut. 

Namun menurut GPI, Norway adalah salah satu daripada negara paling aman, peramah dan selamat untuk didiami. 

3. Singapura. 

Sebagai negara kecil yang aktif dalam komuniti antarabangsa, Singapura tidak pernah memandang remeh soal keselamatan. Sejak pembentukan republic tersebut pada tahun 1965,Singapura telah member fokus untuk meningkatkan kerjasama dengan negara serantau melalui pembinaan hubungan sosial, keamanan, ekonomi dan diplomatik dengan semua negara. 

Justeru tidak hairanlah ia tersenarai dalam dua puluh buah negara paling aman di dunia.

4. Slovenia. 

Slovenia merupakan sebuah negara Eropah yang indah dan ia turut tersenarai sebagai negara paling aman di dunia. Negara tersebut menjadi penyumbang teredah kepada dana keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB). Selain itu, Slovenia juga mempunyai anggota polis dan pasukan keselamatan yang sedikit, namun kadar jenayah dalam masyarakatnya sangat rendah. Begitu juga dengan tunjuk perasaan yang ganas yang jarang berlaku di negara ini. 

 5. Sweden.

 Ia merupakan antara negara Scandinavia yang indah dan terletak jauh di utara Eropah. Walaupun terkenal sebagai pengesksport senjata terbesar di Eropah, kadar jenayah yang berlaku di negara tersebut sangat rendah jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat. 



6. Iceland.

 Negara ini mengamalkan dasar tidak mahu masuk campur dalam sebarang konflik dunia, dan ini antara sebab yang menjadikannya tersenarai sebagai negara paling aman di dunia. Negara ini mengekalkan persekitaran semulajadinya yang menakjubkan. Kebanyakkan pelancong dari seluruh dunia yang datang Iceland adalah untuk melihat sendiri glasier besar dan gunung berapi di negara tersebut.

 7. Belgium. 

Belgium terletak di tengah Eropah dan mempunyai tarikan tersendiri untuk dilawati. Ibu negaranya, Brusslels menjadi ibu pejabat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara(NATO). Mereka yang melancong ke negara ini dapat melihat bandar zaman pertengahan yang tersergam indah, istana yang megah dan keindahan alam semulajadi yang mengasyikan. Walaupun Belgium pernah mengalami krisis pada tahun 2008 hingga 2011, namun kadar kes pembunuhan dan jenayahnya masih rendah. 

 8. Republik Czech. 

Republik Czech mencapai kemerdekannya dari blok Soviet pada tahun 1989 berikutan Revolusi Velvet dan pemisahannya dengan Slovakia. Selepas Czechoslovakia berpecah, Republik Czech member lebih fokus kepada pembangunan ekonomi kapitalis yang mapan dan membentuk persekitaran yang stabil untuk pelaburan. Negara tersebut juga disenaraikan sebagai sebuah negara dengan “pembangunan modal insan yang sangat tinggi” oleh Indeks Pembangunan Modal Insan(HDI) pada tahun 2009. Terkenal dengan ibu negaranya, Prague yang menakjubkan serta alam semulajadinya yang mendamaikan, Republik Czech menjadi antara tarikan pelancong dari seluruh dunia. 

 9. Switzerland 

Menurut IEP, Switzerland mengekalkan corak pentadbiran yang kukuh dan budaya politik terbuka di negaranya. Ketidakstabilan politik pada kadr yang rendah memberikan gambaran jelas kualiti kerajaan itu.Begitu juga dengan kadar jenayah yang sememangnya rendah turut menyumbang ke arah keamanan dan kedamaian Switzerland. 

Walaupun Switzerland sering mengambil pendekatan neutral dalam isu negara, antarabangsa dan politik dunia, namun ia tetap mengekalkan hubungan diplomatik yang erat dengan pelbagai negara di seluruh dunia. 

10. Japan 

Sebagai sebuah negara dengan budaya yang menakjubkan, Jepun menjadi kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia. Sejak Perang Dunia Kedua, Jepun mencorak suasana negara yang sangat aman dengan konflik dalaman dan kadar jenayah yang rendah.

Sesungguhnya Jepun adalah sebuah negara yang aman dan mempunyai keindahan yang mempersona untuk dilawati.


11. Ireland. 

Terkenal dengan pelbagai tempat yang bersejarah, dataran hijau yang mengagumkan serta rakyatnya yang peramah, jadi tidak menghairankanlah jika ia disenaraikan sebagai antara negara paling aman di dunia. Secara keseluruhannya, Ireland adalah sebuah negara yang hebat dengan pelbagai tarikan pelancongan. 

12. Findland. 

Findland dianggap sebagai negara paling aman dan jarang menghadapi sebarang konflik. Ia masih lagi mengekalkan khidmat awam dan tentera mandatori buat generasi muda. Pembabitannya dalam perang hanyalah melalui penyertaannya dalam pasukan tentera pengaman PBB. Findlad juga sangat menitikberatkan pendidikan dalam segala aspek dan sistem pendidikannya adalah adalah yang kelima terbaik di dunia. 

13. New Zealand 

Negara ini sering tersenarai sebagai antara negara paling aman di dunia sejak tahun 2007. Dengan populasi di penjara yang rendah, kemampuan tentera yang terhad, hubungan rapat dengan Australia serta layanan yang baik, New Zealand adalah sebuah negara yang hebat untuk didiami. New Zealand juga mempunyai keindahan tersendiri yang menjadikannya unik dan tidak tergambar dengan kata-kata sehinggalah kita nmerasainya sendiri.


14. Kanada

Walaupun dengan populasi kira-kira 33 juta penduduk, namun Kanada merupakan negara kedua terbesar di dunia. Bandar yang bersih dan cantik, pemandangan mengagumkan serta warganya yang sangat peramah menjadikan Kanada sebagai pilihan yang tepat untuk mereka yang gemarkan suasana tenang. 

 15. Austria.

Terletak di Eropah Tengah, Austria tersenarai sebagai negara paling aman di dunia berikutan pendiriannya berhubung isu politik antarabangsa. Sejak pemisaha Empayar Austria- Hungary, Perang Dunia Pertama dan Kedua, negara itu memilih untuk lebih mengutamakan kehidupan yang damai dan tenang. Ramai yang melabel ia sebagai negara yang hebat dengan resort terkenal di banjaran Alps serta pusat kebudayaan yang menakjubkan di Vienna. 

16. Bhutan. 

GPI 2013 turut menyaksikan Bhutan tersenarai sebagai antara negara paling aman di dunia. Ini berikutan peratusan yang tidak berubah berhubung berhubung konflik tempatan dan antarabangsa sejak 6 tahun lalu dengan markah yang diperoleh 1.6 daripada 5.1. Laporan berkenaan menggunakan 22 penanda aras untuk mengukur keamanan dalaman termasuk jumlah anggota polis setiap 100,000 rakyat dan kadar jenayah. Rakyat Bhutan disifatkan sebagai komuniti yang cintakan keamanan dan mempunyai budaya yang tertib. Ditambah lagi dengan pelbagai tempat untuk dilawati. Bhutan sememangnya destinasi pelancongan pilihan ramai. 

17. Australia. 

Australia adalah negara yang aman dan indah serta menawarkan budaya, pantai , alam semulajadi yang memukau dan rakyatnya yang peramah. Warga negara ini dikatakan mempunyai sentuhan humor yang bakal membuatkan anda tidak kering gusi sepanjang berada di Australia. Walaupun keluasan negaranya sama dengan Amerika Syarikat, namun populasi penduduknya hanya kira-kira 20 juta orang. Negara ini juga mempunyai kadar jenayah yang rendah,sistem politik yang stabil, standard kesihatan yang tinggi serta jaringan jalan raya yang baik 

18. Portugal

Portugal merupakan anggota Kesatuan Eropah(EU) dan merupakan negara ke 43 penyumbang ekonomi terbesar dunia. Berbekalkan pemandangan yang cantik dan kadar jenayah yang rendah, ia merupakan sebuah negara yang selamat untuk didiami. 

19. Qatar. 

Menurut GPI, Qatar adalah negara paling aman di Timur Tengah dan antara yang paling aman di dunia. Insiden keganasan sangat jarang berlaku di Qatar berbanding negara perindustrian yang lain. Malah, ia merupakan antara paling fleksibel dan liberal di Timur Tengah. Negara itu kini melalui fasa perubahan di bawah Visi Nasional 2030 untuk mencapai status ekonomi pelbagai, mampan dan maju. 

20. Mauritius

Dengan status negara paling aman di Afrika yang diberikan oleh GPI pada tahun 2013, Mauritius menampilkan kelainan tersendiri dari sudut ekonomi, pembangunana dan masyarakat. Ia sekali gus menjadikan Qatar sebagai platform kukuh untuk pengurusan kekayaan dan hartanah. 

Demikianlah 20 buah negara yang disenaraikan sebagai paling aman dan paling selamat untuk dikunjungi dan didiami. Namun, jika kita perhatikan senarai tersebut, ternyata kebanyakkan negara tersebut merupakan negara-negara yang bukan islam, kecuali Qatar. 

Semoga ini semua menjadi satu tamparan yang hebat kepada negara-negara islam. Amatlah memalukan jika imej bersih, aman, dan peramah menjadi hak milik masyarakat dan negara bukan islam, sedangkan keganasan, letupan, kemunduran, huru-hara dan penindasan terhadap wanita menjadi sinonim dengan negara dan umat islam. Padahal keamanan dan kedamaian amat sinonim dengan islam. Malah kalimah islam sendiri ada perkaitan dengan perkataan salam yang bermaksud selamat atau sejahtera. Sama-samalah kita muhasabah diri.

Monday, November 2, 2015

Sepuluh watak kartun yang paling digemari.


Jika imbas kembali zaman kanak-kanak anda. Pasti sahaja terdapat rancangan kartun tertentu yang anda minati. Kartun sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan kanak-kanak. 

Cuma, ketika kita masih di alam kanak-kanak dahulu, ruang dan peluang untuk menonton kartun hanya terhad kepada TV1, TV2 dan TV3 sahaja. Tapi, hari ini berlambak rancangan kartun dapat ditonton menerusi Astro. 

Di sini saya ingin berkongsi 10 watak kartun yang paling digemari oleh kanak-kanak. . Rencana asalnya disiarkan di akhbar Sinar Harian bertarikh 6 Oktober. 2015. Saya paparkan kembali untuk mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak. Mungkin ia mampu membuatkan kita tersenyum tatkala mengenangkan sesetengah watak yang pernah menjadi kegemaran kita suatu masa dahulu. 



10 watak kartun yang paling digemari. 

1. Tom ( rancangan Tom dan Jerry.) 

Dihasilkan pada tahun 1946, rancangan Tom & Jerry Kids telah disiarkan selama lebih 60 tahun. Ia mengenai watak kucing, iaitu Tom yang sentiasa gagal untuk menangkap tikus bernama Jerry, dan akhirnya mencederakan diri sendiri. Apa yang pasti rancangan ini amat menghiburkan kanak-kanak.

2. Bugs Bunny ( rancangan Looney Tunes.) 

“What’s up doc?” merupakan dialog paling diingati dalam rancangan ini. Bugs Bunny adalah arnab kelabu yang gemar makan lobak merah, dan suka menipu orang lain. 

3. Scooby Doo ( rancangan Scooby Doo Show.) 

Scooby Doo adalah seekor anjing yang sering membantu rakannya Shaggy, Fred, Daphne dan Velma menyelesaikan sesuatu misteri. Rancangan ini pernah diangkat ke layar perak kerana begitu diminati ramai.

4. Popoye (Popeye the Sailor Man) 

Popoye merupakan lelaki serba boleh yang cuba memenangi cinta Olive Oyl, tetapi sering dihalang oleh Bluto. Setiap kali berdepan dengan masalah dan jalan buntu, dia akan memakan bayam dan seterusnya menjadi lelaki yang kuat.

 5. Fred(The Flintstones) 

Yabadabadooo adalah antara ungkapan paling diingati dalam siri ini. The Flintstone memaparkan kisah pengembaraan dan cabaran sebuah keluarga pada zaman Batu, di mana Fred dan isterinya Wilma hidup berjiran dengan kawan baiknya Barney Rubble dan Betty Rubble.

6. Mickey Mouse(Rancangan Mickey Mouse)

Ia masih lagi menjadi watak kartun kegemaran ramai hinggalah ke hari ini. Watak dan rancangan ini dicipta oleh Walt Disney pada tahun 1928. Mickey Mouse adalah seekor tikus yang sentiasa gembira dan mempunyai teman wanita bernama Minie Mouse serta beberapa kawan baik iaitu Donald Duck, Pluto dan Goofy. 

 7. Swats Kats ( Rancangan Swa Kats)

T Bone dan Razor adalah dua watak dari Swats Kats yang mempunyai misi untuk mengakkan keadilan di sekitar bandar yang dicetuskan oleh penjenayah utama, Dark Kat

8. Goku (Dragon Ball Z)

Siri animasi Jepun ini berkisar tentang perjuangan untuk mendapatkan bola yang mempunyai kuasa ajaib. Goku mahir dalam seni mempertahankan diri dan dalam pengembaraannya mendapatkan bola ajaib, dia perlu melindungi planet bumi dari kejahatan. 

9. Dexter (Dexter’s Laboratory) 

Dexter adalah kanak-kanak yang gemarkan sains. Dia mempunyai makmal sendiri di rumah untuk menjalankan pelbagai eksperimen. 

10. Choota Bheem (Rancangan Choota Bheem)

Bheem adalah karekter dari mitos India, Mahabrata, dan terkenal dengan kekuatannya serta sebagai seorang anak yang licik. 

Demikianlah antara watak-watak kartun yang digemari oleh kanak-kanak di seantero dunia. Saya yakin, sebahagian daripada watak dan rancangan kartun tersebut amat bermakna buat anda. Mungkin ia adalah antara watak-watak kegemaran anda pada zaman kanak-kanak.

Sunday, November 1, 2015

Tips menghilangkan bau badan.


Badan berbau pasti sahaja menimbulkan rasa tidak selesa kepada seseorang. Tidak hanya merimaskan orang yang mengalami masalah tersebut, malah ia juga turut menganggu banyak pihak. 

Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya masalah bau badan, antaranya ialah faktor kebersihan, faktor pemakanan dan lain-lain punca lagi. Pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk menghilangkan masalah bau badan. Antaranya ialah dengan menggunakan pewangi ketiak. 

Namun, kadang-kadang penggunaan deodorant yang berlebihan mungkin boleh menyebabkan kulit ketiak berwarna hitam dan ia member kesan pada baju, terutamanya di sekitar kawasan ketiak. 



Di sini saya paparkan beberapa kaedah untuk mengatasi masalah bau badan. Tips asalnya disiarkan di akhbar Berita Harian yang bertarikh 29. September. 2015. Saya paparkan kembali (dengan sedikit ubah suai) untuk manfaat bersama. 

Tips menghilangkan bau badan. 

1. Mandi. 

Ini merupakan cara terbaik untuk menyingkirkan bakteria yang mengeluarkan bau kurang enak daripada ketiak. Penggunaan sabun yang sesuai ketika mandi juga amat membantu dalam proses menghilangkan bau badan. 

 2. Gunakan sabun 

Gunakanlah sabun yang mempunyai aroma dan wangian. Ia dapat menghilangkan bau badan, sekali gus memberikan haruman yang lama. Apabila menggosok sabun, fokuskan pada bahagian ketiak dan bairkan sabun itu seketika agar daki dan kotoran di bahagian ketiak tertanggal. 

 3. Sapukan ubat antipeluh. 

Ubat antipeluh merupakan satu campuran kimia yang boleh menghalang pengeluaran peluh dan ia boleh membantu mengurangkan bau badan. Kandungan bahan dalam ubat ini tidak seperti deodorant, kerana ia menghalang peluh, manakala deodoran pula menghalang bau. 

 4. Gunakan pewangi ketiak. 

Berpeluh adalah perkara yang biasa dialami semua orang. Berpeluh boleh mengeluarkan lebihan bahan yang tidak diperlukan badan. Bagaimanapun berpeluh boleh mengelaurkan bau tidak enak. Pemakaian pewangi ketiak mampu menghalang bau tidak enak tersebut. 

 5. Menggunakan sabun tangan. 

Jika dalam keadaan terdesak dan perlu menghilangkan bau badan secepat mungkin, bolehlah menggunakan pencuci tangan(seperti yang disediakan di dalam tandas). Caranya ialah dengan meletakkan sabun pencuci tangan(jumlah yang sesuai) di atas tangan anda. Kemudian sapu pada bahagian ketiak dan bersihkan.

6. Gunakan kertas kedap minyak.

Jika berpeluh dengan banyak dan bimbang ia akan mencetuskan bau badan, anda boleh menggunakan kertas minyak untuk menghilangkan peluh berkenaan. Kertas ini sangat berkesan untuk menyerap kelembapan. Sapukan kertas ini pada bahagian yang berpeluh. 

 7. Sapukan lumpur. 

Lumpur sering dikenali sebagai bahan peluntur daki yang paling berkesan. Jadi penggunaan produk berasaskan bahan ini dapat membantu menanggalkan kotoran degil pada ketiak, sekali gus dapat menyingkirkan bau tidak enak daripada berkekalan.

 8. Jus limau 

Jus limau mempunyai sifat antibakteria semula jadi. Ia boleh dijadikan satu kaedah untuk menghilangkan bau badan dengan cepat. Sapukan sahaja jus pada ketiak atau kaki. Namun, harus juga berhati-hati kerana js limau mempunyai kadar asid yang agak tinggi dan mungkin memberikan kesan kepada sesiapa yang mempunyai kulit sensitive 

9. Amalkan diet seimbang 

Apa yang kita makan boleh memberikan kesan kepada bau badan. Jika anda mengalami masalah bau badan, anda digalakkan mengubah gaya pemakanan. 

Semoga perkongsian ini mampu memberikan manfaat kepada semua, teruatamnya yang mengalami masalah bau badan.