Saturday, December 31, 2016

Membeli belah di Ho Chi Minh,Vietnam.


Walaupun kunjungan saya ke Ho Chi Minh Vietnam baru-baru ini adalah kunjungan kali ketiga, namun dalam kunjungan-kunjungan yang lepas, saya tidak begitu ambil tahu tentang perihal tudung, kain dan apa jua aktiviti membeli belah. Ketika berkunjung buat pertama kalinya ke Ho Chi Minh pada tahun 2010, saya hanya fokus untuk memerhati dan meneliti keunikan Vietnam. Apatah lagi beberapa bulan sebelum itu saya telah ke Medan, lndonesia dan setelah pulang dari Vietnam pula saya akan ke Beijing. Jadi saya kena berhati-hati berbelanja. 

Ketika berkunjung ke Ho Chi Minh untuk kali kedua sekitar bulan Mei 2012, saya sebenarnya ke Kemboja untuk mengenali Kemboja dengan lebih dekat termasuklah perkampungan Islam berketurunan Champa  di sana,  dan hanya seketika di Ho Chi Minh. Lagipun sesudah itu saya perlu ke India pada bulan November dan menunaikan umrah di Kota Suci Makkah. 

Tapi berbeza sekali dengan kunjungan pada pertengahan Disember 2016, ini kerana pada kunjungan kali ini saya mula berminat untuk membeli belah di Ho Chi Minh. Faktor utamanya ialah kerana kali ini saya ke Vietnam sebagai seorang suami, yang turut ditemani isteri. 


Berbicara mengenai membeli belah di Ho Chi Minh, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah mata wang apa yang perlu digunakan. Sebenarnya jika kita pergi ke mana-mana negara sekalipun, kecuali Kemboja sudah tentu mata wang negara tersebut yang diguna pakai secara meluas dalam urusan jual beli selain penggunaan Dollar Amerika (USD).

Di Vietnam mata wangnya ialah Vietnam Dong(VND), namun ringgit juga boleh digunakan disini. Banyak kedai menerima ringgit Malaysia. 



Tentang bahasa pertuturan, jika anda kurang menguasai bahasa Inggeris sekalipun usahlah bimbang. Ini kerana agak ramai peniaga di Ho Chi Minh yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu. Lagipun di sana berlambak orang-orang Melayu dari Malaysia yang berkunjung, baik sebagai pelancong mahupun sebagai pemborong pakaian. 

Ini sahabat saya yang bergambar dengan peniaga di Ben Thanth Market.

Mengenai makanan halal juga tak perlu dibimbangi. Ini kerana banyak restoran halal disekitar Ben Thanh Market. Sangat penting untuk kita memilih hotel penginapan yang berhampiran dengan restoran halal. Antaranya ialah hotel Saigon Pink 2. Tapi tempoh hari saya menginap di hotel Lan-Lan 2. Di situ terdapat Restoran Halal, iaitu Restoran Kg Pandan namanya. Antara restoran lain ialah Restoran Serai, tapi sangat mahal harga makanannya, dan restoran Haji Usman. 


Ben Thanth Market

Apabila memperkatakan perihal lokasi membeli-belah, terutamanya untuk membeli pakaian, Ben Thanh Market tentu sahaja menjadi lokasi wajib kunjung. Ben Thanh Market adalah sebuah pasar yang menawarkan pelbagai jenis barangan terutamanya pakaian. 

Di sini kain telekung, kain cotton dijual engan harga yang murah, namun kita memerlukan kebijaksanaan dalam tawar menawar. Jika diperhatikan, sangat ramai pengunjung malah pengusaha pakaian dari Malaysia yang berkunjung ke sini. 

Kopi-kopi di Ben Thanth Market. Tapi saya syorkan anda membelinya di restoran-restoran Muslim

Ben Thanh Market hanya beroperasi sehingga pukul 5.00 atau 6.00 petang sahaja. Ini kerana pada sebelah malam pula, kawasan sekitar Ben Thanh Market akan bertukar menjadi pasar malam. Pelbagai barangan dijual di sini termasuklah pakaian dan cenderahati.

Suasana pasar malam di sini agak meriah, ia dikunjungi pengunjung tempatan dan pelancong asing. Sekali pandang ia ersis Pasar Borong Wakaf Che Yeh di Kelantan atau Uptown di Bangi, Selangor. Namun percayalah ia ada keunikan tersendiri. 

Suasana pasar malam ini semakin meriah apabila malam semakin larut. Pelbagai jenis barangan dijual di pasar malam ini. Pendek kata, sebahagian besar barangan yang dijual di Ben Thanth Market turut dijual di pasar malam ini

.
Pakain di Pasar Malam luar Ben Thanth Market

Bagi kaum wanita pula, tudung Neelofa adalah antara tudung yang diminati dan digemari. Di pasar malam ini tudung-tudung Neelofa dijual dengan harga RM10.00 sehelai. Ramai pengunjung dan pemborong dari Malaysia yang membeli tudung tersebut di pasar malam ini. 

Penat meredah pasar malam, bolehlah singgah sebentar di beberapa buah restoran halal termasuk restoran Haji Usman untuk menjamu selera. Atau boleh juga menikmati kopi Vietnam halal yang dijual oleh peniaga bermotor. 


Jika anda tidak sempat membeli belah pakaian di Ben Thanth Market, usah risau kerana banyak deretan kedai sekitar Ben Thanth Market yang turut menjual kain dan tudung. Antaranya ialah di Rohani Collection. Di sini tudung Neelofa yang dijual agak berkualiti berbanding di pasar malam sekitar Ben Thanth Market. Namun, harganya agak tinggi sedikit iaitu RM16.00 sehelai. 

Selain Ben Thanth Market, Binh Tay Market atau dikenali juga sebagai Chinatown juga merupakan lokasi wajib kunjung jika anda ingin membeli kain di Ho Chi Minh. Tentang hargnaya, dikatakan lebih murah berbanding di Ben Thanh Market. Mohon maaf sebab gambarnya tidak saya paparkan kerana saya tidak merakamnya tempoh hari.

Kopi Vietnam yang enak dan menyegarkan

Rohani Collection. Di sini dijual Tudung Neelofa yang agak  berkualiti.


Antara pekerja di Rohani Collection yang ramah dan mesra pelanggan

Di Saigon Mai juga banyak menjual pakaian termasuklah kain pasang.

Setakat ini sahaja dahulu untuk kali ini. Insha Allah, entry ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa untuk manfaat bersama. Kepada sesiapa yang mempunyai pengalaman memborong pakain atau membeli belah di Ho Chi Minh bolehlah berkongsi pengalaman dan pandangan untuk manfaat bersama, teruatamnya kepaa pembaca yang belum pernah menjejakkan kaki ke Ho Chi Minh, Vietnam.

Tajuk Lain Yang Berkaitan:
War Remnants Museum, Bukti Kekejaman Tentera Amerika di Vietnam

Friday, December 30, 2016

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Hukum mengahwini wanita Ahli Kitab.

Ketika entry ini ditulis Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang masih lagi dihujani kritikan dan kecaman. Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunai(KUIS) dikritik hebat lantaran kunjungannya ke Iran menghadiri persidangan Taqrib Sunni-Syiah. 

Walaubagaimanapun entry ini tidak akan menyentuh isu tersebut. Kerana entry ini ingin memperkatakan persoalan perkahwinan dengan wanita Ahli Kitab. Isu tersebut diulas dan diperjelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam akhbar Harakah bertarikh 20 Rabiulakhir – 4 Jamadilawal 1423/1-15 Julai 2002. Dalam Ruangan Tafsir Al-Quran, Tuan Guru Haji Hadi telah mentafsir Surah Al-Maidah ayat ke lima, yang menyentuh persoalan ahli kitab. 
 Dalam entry ini saya paparkan sahaja tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk kita manfaatkan bersama. Setidak-tidaknya sebagai ilmu dan paling penting sebagai langkah untuk memantapkan lagi kefahaman dalam beragama. Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, lelaki -lelaki islam dihalalkan mengahwini perempuan-perempuan Yahudi dan Kristian yang bermaruah. Perkahwinan tersebut bersandarkan nas Al-Quran. 

Katanya lagi,usah rasa pelik atau kehairan kerana perkahwinan tersebut dibenarkan dengan nas Al-Quran dan Ulama tidak boleh berijtihad lgi dengan nas Al-Quran sedemikian. Rasa hairan atau aneh berlaku kerana selama ini kebanyakkan umat islam( di Malaysia- admin) tidak mempelajari persoalan ini, iaitu hukum hakam perkahwinan dengan wanita ahli kitab. 

Menurutnya lagi, selama ini mereka(umat islam) hanya belajar dalam bab sembahyang sahaja( lebih fokus kepada perkara fardhu ain- Admin), manakala bab perkahwinan dengan wanita Kristian dan Yahudi mereka abaikan. Lagipun ramai dalam kalangan orang islam yang tidak mengerti makna Al-Quran, jadi sudah tentu ada yang tidak mengetahui adanya nas yang membolehkan orang islam berkahwin dengan perempuan Yahudi dan Krisitian yang bermaruah. 

Apabila ada nas yang jelas maka ulama tidak boleh lagi berselisih pendapat dalam masalah ini. Cuma yang diperbahaskan secara panjang lebar ialah dari segi keturunan perempuan Yahudi dan Kristian berkenaan. 

Perbahasan tentang keturunan perempuan Yahudi dan Krisitian tersebut. Akan saya ulas  di dalam Info Tambahan nanti (Admin)

Tuan Guru Haji Hadi menjelaskan, yang dimaksudkan sebagai perempuan ahli kitab yang bermaruah ialah perempuan ahli kitab yang baik dari kalangan Yahudi dan Nasrani. 

Menurut Tuan Guru Haji Hadi lagi, sejarah mencatatkan terdapat dalam kalangan sahabat r.a yang berkahwin dengan perempuan-perempuan ahli kitab kecuali Huzaifah Ibnul Yaman yang merupakan pegawai tinggi atau panglima tentera dalam kerajaan islam di zaman Sayyidina Umar Ibn Khattab r.a. 

Apabila beliau mahu berkahwin Umar melarangnya. Kata Sayidina Umar Ibn Khattab r.a. “Kamu ,aku tidak benarkan berkahwin dengan mereka kerana kamu bukan sebarangan orang” 

Huzaifah berkata “Ini ada dalam ayat Al-Quran”, namun Kata Sayidina Umar Ibn Khattab r.a tetap bertegas melarang Huzaifah berkahwin dengan mereka kerana ia termasuk di dalam Siasah Syar’iyyah dan beliau(Huzaifah) merupakan seorang panglima tentera. Mungkin perempuan itu seorang pengintip dan seumpamanya. Justeru itu, Sayidina Umar melarangya kerana mahu menjaga keselamatan negara islam dan menjaga keselamatan umat islam. 

Walaubagaimanapun, Tuan Guru Haji Hadi menegaskan agar mengutamakan atau mendahulukan wanita-wanita yang beriman, kerana mereka lebih baik daripada wanita-wanita ahli kitab. 

Menurutnya lagi kebanyakkan sahabat mengahwini wanita ahli kitab ketika mereka berada di negara kufur yang tidak ada orang islam. Jadi mereka mengahwini wanita ahli kitab dengan tujuan untuk memelihara diri daripada melakukan penzinaan. 

Demikianlah penerangan dan penjelasan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengenai persoalan perkahwinan dengan wanita-wanita ahli kitab. Semoga ia memberikan manfaat kepada kita, iaitu manfaat ilmu dan manfaat kefahaman dalam beragama. 



INFO TAMBAHAN: 

Walaupun Jumhur Ulama menganggap penganut-penganut agama Yahudi dan Kristian sebagai ahli kitab, meskipun mereka tidak lagi beriman dengan kitab yang asal serta melakukan penyekutuan terhadap Allah, namun adakah semua penganut agama tersebut layak ditakrifkan sebagai ahli kitab? 

Dalam persoalan ini timbul pula perbahasan yang panjang lebar tentang keturunan perempuan Yahudi dan Krisitian tersebut. Sekurang-kurangya terdapat tiga pandangan ulama tentang hal ini. Meskipun berbeza, namun mereka menyetujui bahawasanya ahli kitab tetap wujud meskipun mereka tidak lagi berpegang dengan kitab asal yang diturunkan kepada Nabi Musa AS dan Isa AS. 

Pendapat dan pandangan tersebut ialah :

  • Pendapat pertama, terdapat ulama yang mensyaratkan hanya penganut Yahudi dan Kristian dari keturunan Nabi Yaakob A.S/ Bani Israil sahaja yang boleh dianggap sebagai ahli kitab. 
  • Pendapat kedua pula tidak mensyaratkan dari keturunan Nabi Yaakob A.S/Bani Israil sahaja. Wanita Yahudi yang halal dikahwini,disyaratkan keturunannya(nenek moyangnya) beragama Yahudi sebelum Nabi Isa AS diutuskan. Manakala Wanita Kristian yang dihalalkan untuk dikahwini pula, disyaratkan keturunannya (nenek moyangnya)memeluk agama tersebut sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan. 
  • Pendapat ketiga, sesiapa sahaja yang beragama ahli kitab(Yahudi dan Kristian)maka mereka adalah ahli kitab,walaupun bapa dan datuknya tidak beragama yahudi atau krsitian. Meskipun keturunanya memeluk agama tersebut sesudah agama tersebut dibatalkan. Apa yang pasti, pendapat ini agak longgar dan jika mengikut pandangan ini, semua penganut Yahudi dan Kristian dari pelbagai bangsa adalah ahli kitab dan wanitanya halal dikahwini. 

Lebih lanjut mengenai persoalan hukum mengahwini wanita ahli kitab, disarankan membaca entry saya yang lepas, lihat --->SINI 

Mengenai ahli kitab, buku berjudul Ahli Kitab Menurut Ibn Hazm dan Al-Shahrastani juga amat menarik untuk dibaca dan dihayati. Ia ditulis Mohd Faizal Abdul Khir dan Khadijah Mohd Khambali @Hambali. Dr Mohd Faizal Abdul Khir merupakan seorang pesnyarah di Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah. Buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan: Hukum Mengahwini Wanita Ahli Kitab

Thursday, December 29, 2016

Mana lebih tepat, sedekahkan Fatihah atau doakan pengampunan untuk orang mati.



DOAKAN PENGAMPUNAN UNTUK GEMULAH ATAU SEDEKAH FATIHAH?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Tawbah [9:113-114]) pada 24 Disember 2014. Antara isunya adalah keutamaan mendoakan pengampunan kepada si mati yang beriman kepada Allah:

“Kita baru mendapat berita kematian seorang kawan kita. Untuk itu, marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah untuknya. AL-FATIHAH!”

Itu antara dialog yang biasa didengar apabila berita kematian sampai kepada kita. Yang jarang atau mungkin tak pernah kita dengar pula (tetapi paling tepat dengan sunnah) adalah:

"Kita baru mendapat berita kematian saudara kita, marilah sama-sama kita DOAKAN PENGAMPUNAN untuknya."

Benarkah apabila mendengar berita kematian seseorang kita disarankan membaca al-Fatihah? Rasulullah pernah ditegur agar tidak MENDOAKAN PENGAMPUNAN untuk gemulah yang meninggal dalam kekufuran.  Firman Allah:

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آَمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ (113) وَمَا كَانَ اسْتِغْفَارُ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ إِلَّا عَنْ مَوْعِدَةٍ وَعَدَهَا إِيَّاهُ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنْهُ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَأَوَّاهٌ حَلِيمٌ (114)

Ertinya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, “MEMINTA AMPUN” bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. Dan bukanlah ISTIGHFAR (PERMOHONAN AMPUN) NABI IBRAHIM BAGI BAPANYA (DIBUAT) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar (al-Tawbah[9:113-114]).

Ayat di atas diturunkan menegur Rasulullah SAW yang berjanji dengan Abu Talib sebelum kematiannya, akan memohon pengampunan Allah terhadap bapa saudaranya itu selagi baginda tidak dilarang berbuat demikian (Sahih al-Bukhari).

Bacalah al-Fatihah, saya tak larang kerana ia adalah al-Quran, cuma dahulukan ajaran Rasulullah bersama iringan al-Fatihah. Jika itu tindakan kita maka “BERGANDA TIGA” lah pahala kita. Pahala mengikut Sunnah Rasulullah, pahala mendoakan si mati dan pahala membaca huruf al-Fatihah. Insya Allah!

Sejurus mendengar berita kematian seseorang, Baginda Rasulullah SAW akan “MENDOAKAN PENGAMPUNAN” untuk si gemulah. Lihat hadith ini:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى لَهُمْ النَّجَاشِيَّ صَاحِبَ الْحَبَشَةِ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ وَقَالَ اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ

Ertinya: Apabila Rasulullah SAW mendapat berita kematian al-Najasyi (Raja Habsyah yang memberi perlindungan kepada umat Islam Mekah dalam Hijrah pertama), baginda lalu bersabda: AYUHLAH KAMU SEMUA MEMOHON PENGAMPUNAN ALLAH KEPADA SAUDARA KAMU ITU (Sahih al- Bukhari & Muslim).

Begitu juga doa baginda kepada Ma’iz bin Malik RA yang menyesal atas dosanya berzina. Setelah Ma’iz mati direjam baginda bersabda:

اسْتَغْفِرُوا لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ فَقَالُوا غَفَرَ اللَّهُ لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَدْ تَابَ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ أُمَّةٍ لَوَسِعَتْهُمْ

Ertinya: MOHONLAH PENGAMPUNAN kepada Ma’iz bin Malik. Lalu para sahabat memohon semuanya: Semoga Allah mengampuni Ma’iz bin Malik. Rasulullah SAW menyambung: Ma’iz betul-betul telah bertaubat (dengan sempurna), yang jika taubatnya itu dibahagi antara satu kaum pasti mencukupi untuk mereka semua (Sahih Muslim).

Arahan ini juga terangkum dalam doa solat jenazah yang biasa kita lakukan:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ

Ya Allah, AMPUNILAH DIA, rahmatilah dia, maafkanlah dia,  ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburannya, cucilah kesalahannya dengan air, ais dan embun  sebagaimana Engkau mencuci pakaian putih dari kotoran, gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik, gantilah keluarganya dengan keluarga yang lebih baik, gantilah isterinya dengan isteri yang lebih baik, hindarkanlah dari fitnah kubur dan siksa neraka (Sahih Muslim).

Selepas ini, jika terdengar berita kematian seorang Muslim, ucaplah lafaz Istirja’ (INNA LILLAH…) diikuti dengan doa pengampunan untuknya seringkas اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ – bagi mencapai pahala Sunnah.

BETULKAN YANG KURANG TEPAT, BIASAKAN YANG BETUL, hidup anda akan bahagia di bawah lembayung al-Quran dan al-Sunnah.

Tragedi lemas di Pantai Irama, Bachok: Siapa yang perlu dipersalahkan


Pantai irama merupakan salah satu destinasi pelancongan di Kelantan. Ia terletak dalam Daerah Bachok, kira-kira 20 KM dari Kota Bharu. Dahulu, Pantai Irama yang menghadap Laut China Selatan ini hanya meriah pada hari Jumaat dan Sabtu dan ketika umum dan cuti-cuti persekolahan sahaja. Tapi kini semuanya telah berubah, pantai ini sentiasa dikunjungi oleh para pengunjung. 

Walaupun begitu, sejak dahulu hingga kini, pantai indah ini sentiasa dahagakan manusia. Saban tahun, pantai ini tidak akan sunyi dari menelan mangsa-mangsa yang lalai dan leka. Sejak zaman kanak-kanak hinggalah ke hari ini, episod tragedi pengunjung mati lemas di pantai ini tidak pernah tamat. 



Mengapa pantai ini sentiasa dahagakan manusia? 

Jika diajukan pertanyaan ini kepada segelintir golongan tua yang kurang mantap akidahnya, maka akan dijawab ia berlaku kerana hantu-hantu laut murka sebab tiada lagi amalan bersemah , jamu hantu atau puja pantai dilakukan. 

Untuk pengetahuan pembaca, suatu ketika dahulu sekitar tahun 1960-an, amalan menjamu hantu sememangnya amat popular dalam kalangan penduduk di perkampungan nelayan, termasuklah di sekitar Bachok. Masyarakat pada ketika itu amat peraya, andainya hantu laut murka, tidak sekadar hasil tangkapan mereka yang terjejas , malah keselamatan mereka juga bakal terancam. 

Mereka terbawa-bawa dengan ajaran khurafat yang diwarisi sejak zaman berzaman. Berkat kegigihan para pendakwah yang tidak pernah lelah dan mengalah dan kesedaran serta kefahaman beragama yang semakin meningkat, akhirnya amalan khurafat ini lebur dan berkubur. Walaupun begitu, masih terdapat segelintir warga tua yang masih mempercayai amalan tersebut. Mungkin kerana terkenangkan nostalgia silam atau mungkin kerana tembok kejahilannya belum terhakis. 


Kembali kepada tajuk, sejujurnya perlu diakui betapa perkembangan teknologi hanya mematangkan segelintir manusia sahaja. 

Dalam masa yang sama terdapat juga manusia-manusia yang semakin menjauh dari kecerdikan dan terhakis kematangan lantaran ledakan teknologi, termasuklah media sosial. Mereka gagal memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat, malah mereka hanyut dan lemas serta binasa bersama teknologi tersebut. 

Sebagai contoh, setiap kali berlaku tragedi atau peristiwa mangsa lemas di Pantai Irama, maka ramailah yang menuding jari kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia(JPAM), dan Majlis Daerah Bachok(MDB). Malah kadang-kadang Ahli Parlimen Bachok pun turut dipersalahkan. Inilah yang saya perhatikan di facebook, serangan dan kadang-kadang kutukan dan kecaman dihampurkan kepada mereka. 



Sebenarnya sesiapa sahaja yang berkunjung ke Pantai Irama, pasti sahaja akan terbaca amaran yang selayaknya dianggap sebagai larangan dan tegahan daripada melakukan mandi-manda dan bermain di tepian pantai, pada bulan November hingga Mac pada setiap tahun. Ini kerana pada tempoh tersebut laut sedang bergelora dan pelbagai musibah boleh menimpa. 

Tapi malangnya amaran tersebut tidak pernah dipedulikan. Sebagai contoh, pada 25 Disember 2015, seorang pelajar mati lemas di Pantai Irama, tetapi pada keesokan harinya sudah terdapat beberapa orang pengunjung yang mandi- manda di pantai tersebut. Ternyata walau dilarang berkali-kali dan ditegah berjela-jela, tetap masih ada pengujung yang leka dan tidak cakna. 

Jadi kepada pengunjung tolonglah akur dengan amaran yang diberi. Kepada pengguna media sosial terutamanya facebook, usahlah ghairah ingin menyalahkan JPAM, MDB atau pihak berkuasa. Kalian perlu faham sesungguhnya mereka kekurangan kakitangan. Kalian perlu faham, mereka sedari awal lagi sudah memberi amaran. Larangan dan tegahan telah diberi, tapi kedegilan tetap mengatasi. Jadilah pengguna facebook yang bijak dan matang. Berfikirlah sebelum melontarkan komen atau respons. 

Info Tambahan:

Walaupun entry ini khusus untuk insiden lemas di Pantai Irama, namun saya amat yakin kedegilan pengunjung merupakan punca utama berlakunya peristiwa lemas di mana-mana Pantai di negara kita. 

Tuesday, December 20, 2016

TESTIMONI YANG HARAM.


Masih ada yang salah faham terhadap konsep halal dan haram dalam perniagaan. Sesetengah pula sememangnya mengerti tapi sengaja tidak ingin ambil peduli. Mereka tidak cakna terhadap tuntuan agama. 

Bagi sesetengah peniaga, urus niaga yang haram hanyalah melibatkan jual beli barangan dan produk yang haram sahaja seperti jual beli babi dan arak. Tapi isu penipuan dalam urus niaga tidak pula mereka ambil peduli. 

Padahal islam amat melarang perbuatan menipu atau aktivit penipuan dalam perniagaan.

Pernah satu ketika Nabi Muhammad S.A.W hadir ke pasar dan baginda terpandang seorang peniaga kurma yang telah meletakkan buah-buah kurma yang segar di atas, manakala buah-buah kurma yang buruk dan rosak diletakkan di bahagian bawah. Ia mengambarkan kurma-kurma yang dijual itu semuanya baik dan segar. Baginda menegur peniaga kurma tersebut dengan bersabda 

“ Barang siapa yang menipu, maka dia bukanlah daripada golonganku,”( Riwayat Muslim)

Amalan penipuan dalam perniagaan sememangnya telah berluasa sejak dahulu hingga kini. Jika dahulu, ia sekadar menipu timbangandan menjual barangan yang rosak dan tidak berkualiti. Tapi hari ini atas nama strategi perniagaan, amalan penipuan ‘dihalalkan’ peniaga-peniaga yang rakus memburu keuntungan. 

Testimoni adalah satu bentuk pemasaran kerana ia amat berkesan untuk mempengaruhi pengguna atau menarik pelanggan. Semakin banyak testimoni berkualiti yang diterima maka sesuatu produk akan semakin diminati dan dicari. Dalam perniagaan online, testimoni terlalu penting dan sangat bermakna. Ia berupaya memperkenalkan sesuatu produk hingga tersebar dan meluas tanpa sempadan.  

Testomoni yang jujur memang diharuskan sebab ia bererti menyebarluaskan kebaikan dan manfaat sesuatu produk. 

Tapi malangnya, terdapat segelintir peniaga online dari group tertentu atau syarikat tertentu yang membentuk ‘Pakatan Harapan’ untuk melariskan produk yang mereka jual. Mereka menjual produk yang sama atau dari syarikat yang sama. Apabila salah seorang daripada mereka post di internet tentang produknya, maka ramailah yang datang memberi komen-komen yang baik dan kehebatan produk tersebut.

Mereka berpakat dan merancang testimoni dengan harapan dapat menarik ramai pelanggan. Malah terdapat dalam kalangan mereka yang mencipta testimony luar biasa untuk membuktikan keajaiban produknya. 

Kepada para peniaga terutamanya peniaga online tolong hentikan amalan kotor ini kerana ia dilaknat oleh Rasulullah S.A.W. Kepada para pengguna pula jadilah pengguna yang bijak. Jangan terpedaya dengan testimony, kerana ia mungkin hanya janji-janji manis yang telah dirancang oleh sekumpulan peniaga untuk memancing minat anda.

Sunday, December 18, 2016

Tiga sebab Mohd Faiz menghina Yang di- Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.


Mohd Faiz, Tiba-tiba namanya menjadi begitu popular, gara-gara kecuparan mulut dan kebiadapan jari jemarinya menjadi viral. Mohd Faiz kini menjadi sebutan, malah mungkin menjadi buruan sesetengah pihak. 

Sebelum membicarakan matlamat atau tujuan Mohd Faiz menghina Yang di-Pertuan Agong ke 15, eloklah kita renunglah dahulu tulisan dan ulasan serta pandangan daripada Saudara Azman Hussin yang dimuatkan di dalam bukunya berjudul Keldai dan Kitab. 

Untuk pengetahuan semua, Azman Hussin terkenal dengan cerpennya berjudul Tahun Depan di Jurusalem yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan -Exxon Mobil(HSKU) 2002, dan Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia(HSPM) tahun 2002. Malah sebelum itu, menerusi Antoligi Cerpennya Dongeng Pascamerdeka, beliau pernah meraih hadiah utama Kategori Kumpulan Cerpen Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 1998/99. 

Anarkis Papan Kekunci adalah sebahagian tajuk atau topik yang terkandung di dalam buku terbarunya Keldai dan Kitab. 

Azman Hussin menulis, 

 "..pada zaman internet ini telah muncul suatu generasi baru yang lantang mengkritik dan mempersoal siapa sahaja. Suara mereka bertebaran di alam maya. Mereka memutarbelitkan sesuatu fakta untuk mencapai keseronokan. Bahasa sebahagian besar mereka adalah kesat,biadap, memaki hamun, penuh retorik, dan kata-kata yang kosong makna. Antara ciri-ciri utama mereka adalah anti-establishment, iaitu menentang apa saja, termasuk kerajaan,badan agama,pihak penguasa ,badan kehakiman, atau institusi raja. Sikap melawan mereka itu adalah matlamat mereka, seolah-olah mereka menikmati perasaan katarsis(keseronokan) apabila melawan dan dipandang hero oleh masyarakat.."



Inilah realiti yang berlaku hari ini. Badan agama seperti JAKIM, para Mufti dicerca dan dimaki di laman sosial. 

Terbaru ada seorang anak muda yang begitu lantang mencadangkan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong. Hebat dia berteori tapi sayang teori itu kosong makna dan tidak kena dengan situasi dan lokasi. 

Kembali kepada tajuk, tentu ramai yang tertanya-tanya apakah motif sebenar Mohd Faiz ‘menyerang’ Sultan Muhammad V. 

Gila dan sungguh gila, ini kerana sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah hari ini, belum ada lagi mana-mana individu yang menjadi warga Malaysia yang sebegitu berani menyarankan agar seseorang Yang di-Pertuan Agong meletakkan jawatan. Mengapa dia sebegitu berani dan biadap. 



Mungkin ini antara punca serta matlamatnya. Sengaja saya menggunakan perkataan mungkin kerana ,apa yang saya lontarkan di sini mungkin sahaja betul dan mungkin sahaja sebaliknya. 

Ingin membuktikan dirinya seorang bijak pandai atau pemikir yang bijaksana.

Mungkin jauh di sudut hatinya dia ingin menjadi seperti Dr Ali Shariati yang lantang mengemukakan toeri-teori yang bernas dan matang. Tapi malagnya, dia hanya melontarkan teori yang kosong makna. 

Dia memetik pandangan seorang tokoh ulama dan pemikir dari Nahdatul Ulama Indonesia, iaitu KH. Mustofa Bisri atau lebih dikenali sebagai Gus Mus. Tokoh Ulama tersebut memperkenalkan istilah Soleh spiritual dan Soleh Sosial. Malangnya, Mohd Faiz, memjaja istilah tersebut secara membabi buta dan membuta tuli. Teks yang benar, tapi malangnya konteksnya tidak tepat. 

Selain itu dia juga sungguh ghairah istilah tanggungjawab Horizontal dan tanggungjawab vertical. Sebenarnya istilah ini telah lama digunapakai, termasuklah oleh Prof Dr Sidik Baba. Mohd Faiz mungkin lupa peranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Salah satu daripadanya ialah sebagai Ketua Agama Islam. Jadi amatlah wajar dan sangatlah elok apabila Sultan Muhammad V selaku Yang di-Pertuan Agong yang baru tampil sebagai seorang yang mentaati agama, baik dari segi imej mahupun perilaku. 

Sesungguhnya Sultan Muhammad V, mengingatkan kita kepada Maharaja Aurangzeb, pemerintah ke enam Empayar Islam Mughal. Baginda adalah Sultan yang berjiwa agama dan berusaha sedaya yang boleh untuk memartabatkan islam. Jauh di sudut hati, saya tertanya-tanya mungkin si Mohd Faiz ini lebih berbangga memiliki Yang di-Pertuan Agong yang setaraf dengan Maharaja Akbar, pemerintah Empayar Mughal yang juga moyang kepada Mahajara Aurangzeb. Umum mengetahui Maharaja Akbar adalah seorang pemerintah yang jauh tersasar dari landasan agama. Mungkin Sultan dan Yang di-Pertuan Agong sebegini yang diingini oleh Mohd Faiz. 

Amat biadap apabila Mohd Faiz menuduh Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ‘membutakan’ mata terhadap pembangunan sosial, atau istilah islah sosial mengikut pandangannya. Kenapa zalim sangat, hingga begitu ghairah menghukum. Belum genap seminggu Sultan Muhammad V menjadi Yang di-Pertuan Agong, tapi dia sudah menuduh dan memfitnah. Sepatunya Mod Faiz memberi ruang dan peluang untuk Sultan Muhammad V untuk berkhidmat dan berbakti. Jikalau Mohd Faiz ingin menyalahkan Sultan Muhammad V , kerana gagal mengislahkan sosial, itu bermakna dia berangapan kesemua Yang di-Pertuan Agong Malaysia sebelum ini adalah golongan yang membutakan mata terhadap islah sosial. 

Satu perkara lagi yang perlu Mohd Faiz fahami ialah Institusi Kesultanan di Malaysia pada hari ini tidak boleh disamakan dengan Institusi Kesultanan Melayu Melaka. Hari ini kuasa Sultan dan Yang di-Pertuan Agong tidak sehebat dan meluas seperti kuasa Sultan pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Jadi pembangunan sosial di negara kita jangan hanya diletakkan di atas bahu Yang di-Pertuan Agong. 

Jadi saya ingin berpesan kepada Mohd Faiz, usahlah melacurkan istilah dan teori tokoh-tokoh hebat sesuka hati. Pastikan ia menepati konteks, dan pastikan ia menepati situasi dan lokasi. 


Ingin Menjadi Terkenal. 

Mungkin jauh di sudut hatinya Mohd Faiz ingin menjadi terkenal seperi Hang Jebat yang mencabar Sultan Melaka. Atau tidak-tidaknya, dia ingin menjadi seperti Ali Abd Jalil yang lantang menghina Sultan Johor. Tapi malangnya, Mohd Faiz tidak seberani Hang Jebat dan tidak sekental Ali Abd Jalil. Sebab itulah dia memohon maaf. 

Atau mungkin juga Mohd Faiz ingin popular seperti Syed Azmi Alhabshi yang menjadi terkenal setelah menganjurkan kempen I Want Touch A Dog. Tapi malang, sebab Syed Azmi tetap popular kerana terlibat dalam pelbagai program kebajikan. Mohd Faiz pula hanya menjadi pendekar di alam maya. 

Untuk Popular dalam politik atau batu loncatan untuk meraih jawatan dalam Parti

Difahamkan Mohd Faiz merupakan seorang ahli dan penyokong Parti Amanah Negara(AMANAH). Dia sedar peluangnya untuk mencipta nama dalam parti serpihan PAS itu sangat cerah jikalau dia aktif dan lantang bersuara. Mungkin jauh di sudut hati dia ingin menjadi seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikenali sebagai pemimpin pemuda dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM). Mohd Faiz sedar akan kehebatan Syed Saddiq sebagai pendebat tersohor, dan bakat itulah antara faktor Syed Saddiq dapat menempatkan diri sebagai pimpinan pemuda PPBM. 

Malangnya, Mohd Faiz tidak sebegitu hebatnya. Taring tumpul atau tidak setajam Syed Saddiq, lalu dia menjadikan Facebook sebagai medan untuk membuktikan kehebatannya. 

Kepada Mohd Faiz, saya mohon berhati-hatilah ketika melontarkan apa jua pandangan anda. Jangan kerana mulut santan binasa. Anda masih muda dan jasa serta bakti anda amat ditagih oleh negara. Anda berhak berpolitik dan anda berhak menyertai dan menyokong apa jua parti yang anda ingini. Tapi jangan sesekali bersikap biadap.

Thursday, December 15, 2016

CUTI PERAYAAN PADA TAHUN 2017.


Monday, December 12, 2016

PANDUAN MEMILIH PEMIMPIN


Sebelum memulakan bicara, ingin saya tegaskan, saya bukanlah blogger politik. Saya menulis sekadar untuk merakyatkan pandangan saya. Dan lebih penting dari itu ialah untuk melebarkan wilayah persahabatan dan memperluaskan empayar persaudaraan. Bersahabat dan bersaudara sesama insan, tapi kerana TUHAN. Atas dasar yang sama, saya memaparkan pandangan dari seorang tokoh agama yang berada di luar lingkungan parti. Maksud saya, beliau bukannya PAS dan tidak juga UMNO. Jadi sila tonton klip video di bawah dengan cermat dan teliti.

 Intipati penjelasan Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam klip video di atas ialah:

  • Imam Bukhari menyebut kata-kata Umar al-Khattab “ Hendaklah kamu faqih mempelajari agama, memahami hukum hakam, mempelajari ilmu sebelum kamu dilantik menjadi pemerintah.” 
  • Orang jahil tidak boleh menjadi pemerintah atau pemimpin.
  • Sebagai umat islam, kita hendaklah bijak memilih pemimpin. 
  • Barang siapa yang selalu menghadirkan diri dalam pengajian di masjid dan mendenagar pengajian yang benar serta mendekatkan diri kepada Allah , maka dia layak untuk kita pilih sebagai pemimpin. Ini kerana dia telah menjadikan dirinya sebagai seorang yang memahami agama. 
  • Seseorang pemimpin mestilah memahami agama, memahami syariat Allah dan mesti memahami hukum hakam syarak dan tidak sesekali terlibat menghancurkan majlis agama. 
  •  Orang yang layak dipilih sebagai pemimpin tidak semestinya seorang ulama, atau ada PhD (dalam bidang agama) atau berkelulusan agama, tapi yang penting, dia mestilah faham agama dan zahir pada dirinya ciri-ciri kesolehahan. Penampilan dirinya pula membuktikan dirinya sebagai orang-orang yang tunduk dan rukuk kepada Allah. 
  • Begitu juga dengan pakaiannya, pakaian anak dan isterinya hendaklah menunjukkan dia faham hukum hakam agama. 
  • Umat islam perlu menggunakan akal dan iman dalam menentukan kepimpinan.

  
Perkataan yang saya bold itu akan saya lebarluaskan perinciannya. 

:Barang siapa yang selalu menghadirkan diri dalam pengajian di masjid dan mendengar pengajian yang benar serta mendekatkan diri kepada Allah , maka dia layak untuk kita pilih sebagai pemimpin. Ini kerana dia telah menjadikan dirinya sebagai seorang yang memahami agama: 

Ini selaras dan selari dengan sabda Junjungan Mulia, Nabi Muhammad S.A.W “Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama.”(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Kefahaman dalam agama, inilah formula dari Allah kepada hamba-Nya yang inginkan kebaikan dalam hidup. Hanya formula ini sahaja yang dapat memanusiakan manusia. Formula ini jugalah yang dapat mengembalikan jati diri kepimpinan kepada seseorang pemimpin. Tak kiralah pemimpin keluarga, negeri atau pemimpin negara. 

Oleh itu, carilah peluang dan intailah kesempatan untuk hadir dalam majlis-majlis ilmu. Ilmu agama sangatlah penting kerana agamalah yang menjadi panduan hidup kita semua. 

:Seseorang pemimpin mestilah memahami agama, memahami syariat Allah dan mesti memahami hukum hakam syarak dan tidak sesekali terlibat menghancurkan majlis agama: 

Saya ingin lebarluaskan perbincangan mengenai aktiviti menghancurkan majlis agama. Sebenarnya, perbuatan menghodohkan wajah islam adalah lebih kejam, keji dan jijik berbanding menghancurkan majlis agama. Siapakah yang bertanggungjawab menghodohkan wajah islam. Antaranya ialah media arus perdana. 

Jika akhbar arus perdana menjadi jahat dan kejam. Maka sangatlah jahat dan amatlah kejam orang-orang yang menguasai media tersebut. Merekalah yang menghodohkan wajah islam. Akibatnya agama islam kelihatan hodoh dan bodoh. Media arus perdana juga telah  menyebabkan orang-orang bukan takut untuk menghampiri dan mengenali islam. 

Imbas kembali kegilaan media arus perdana pada tahun 2004, atau lebih tepat lagi ketika menjelang pilihanraya umum ke-11. Tika itu, RTM berulang-ulangkali menyiarkan klip video tentera Taliban menembak mati seorang perempuan Afganistan. 

Tiap-tiap malam video klip ini disiarkan dengan matlamat agar rakyat Malaysia berhati-hati dan tidak memilih golongan dan gerakan agama sebagai pemimpin dan peneraju kerajaan. Amat menghairankan , kenapalah Menteri Penerangan pada waktu itu begitu banggang hingga sanggup mengarahkan RTM menyiarkan video klip yang diragui kebenarannya. Benarkah Taliban sekejam itu? Sahih ke video klip itu atau ia direka-reka oleh musuh-musuh islam seperti Amerika Syarikat dan sekutunya. Realiti menunjukkan Taliban tidak sekejam yang dimomokkan oleh media barat dan media arus perdana Malaysia. 

Lihat sahaja nasib Yvonne Ridley, seorang wartawan Sunday Express , yang ditangkap oleh tentera Taliban. Beliau dilayan dengan baik oleh pihak Taliban. Bukan beliau sahaja, malah tiga tawanan lain yang beragama Krsitian yang ditempatkan bersamanya turut dibenarkan menyanyi dan bermain gitar. Mereka dibenarkan berbuat demikian oleh Taliban. Dan tidak berapa lama setelah bebas dari tahanan Taliban, Yvonne Ridley telah bertindak memeluk agama islam. 

Beliau menyifatkan Talibanlah yang memperkenalkannya dengan islam. Jadi kepada bekas Menteri Penerangan tersebut. Tolonglah bertaubat. 

:Orang yang layak dipilih sebagai pemimpin tidak semestinya seorang ulama, atau ada PhD (dalam bidang agama) atau berkelulusan agama, tapi yang penting, dia mestilah faham agama dan zahir pada dirinya ciri-ciri kesolehahan. Penampilan dirinya pula membuktikan dirinya sebagai orang-orang yang tunduk dan rukuk kepada Allah: 

Ada perbezaan yang ketara antara orang agama dengan orang yang beragama. Orang agama, ialah golongan yang berkelulusan dalam bidang agama. Ada dalam kalangan mereka yang digelar ustaz dan ada juga yang digelar Kiai dan Tok Guru.

Manakala orang beragama pula ialah golongan yang tidak semestinya berkelulusan dalam bidang agama. Dia mungkin seorang saintis, namun dia sentiasa sedar akan kewujudan Tuhan yang sentiasa memerhatikan. 

Dia mungkin seorang peguam, namun dia sentiasa ingat akan dosa dan pahala. Mungkin juga dia seorang arkitek, namun dia faham hakikat syurga dan neraka. Atau mungkin juga seorang doktor, namun sentiasa sedar betapa denyut nadi dan degup jantung boleh terhenti bila-bila masa sahaja. 

Dengan kata lain, mereka mungkin sesiapa sahaja, termasuk buruh, nelayan dan petani, tapi mereka terikat dengan agama. Mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambahkan kefahaman dalam agama. Mereka tidak pernah lalai dan leka dari tuntuan agama dan sentiasa bercita-cita ingin memartabatkan agama. 

Antara contoh orang beragama ialah Almarhum Necmettin Erbakan, seorang jurutera yang pernah memimpin parti Refah di Turki dan Almarhum Dr Abdul Aziz al-Rantisi, seorang doktor gigi yang pernah memimpin pergerakan islam HAMAS. 

:umat islam perlu menggunakan akal dan iman dalam menentukan kepimpinan: 

Berpaksikan waras dan wajar yang dipandu oleh ilmu dan iman, umat islam mestilah berhati-hati dalam membuat pengundian. Jadilah pengundi yang bijak. Pelbagaikan bahan bacaan dan lihatlah sumber yang pelbagai untuk memperluaskan horizon pemikiran, dan seterusnya membolehkan kita ‘berijtihad’ untuk memilih pemimpin.

Sunday, December 11, 2016

Jadual dan tarikh pembayaran gaji penjawat awam bagi tahun 2017.


Tahun 2016 semakin menuju ke titik noktahnya,dan tahun baharu 2017 bakal muncul tiba. Khas kepada kakitangan awam, tarikh pembayaran gaji amatlah penting kerana ia akan membolehkan para kakitangan awam membuat perancangan awal. 

Bak kata bijak pandai, “sesiapa yang gagal untuk merancang, sebenarnya sedang merancang untuk gagal.” 

Berbanding tahun 2016, tarikh pembayaran gaji pada tahun hadapan juga didapati kurang mesra pengguna. Jika diperhatikan, tarikh pembayaran gaji untuk tahun 2016 adalah sekitar tarikh 20 hingga 25 haribulan sahaja. Jadi tiada jarak yang keterlaluan antara tarikh-tarikh tersebut. 

Tapi untuk tahun 2017, terdapat beberapa bulan tertentu yang mempunyai jarak pembayaran gaji yang agak jauh atau lama. Contohnya, untuk bulan Jun dan Oktober di mana gaji akan dibayar pada 15 Jun dan 11 Oktober. 

Ia mengingatkan kita dengan dengan derita yang terpaksa ditanggung oleh segelintir penjawat awam pada tahun 2015. Ini gara-gara tarikh pembayaran gaji pada bulan Julai pada tahun tersebut diawalkan kepada 09. Julai manakala tarikh pembayaran gaji pada bulan Ogos pula ialah pada 25 Ogos 2015. Ini menyebabkan ramai penjawat awam begitu terseksa, malah ada yang terpaksa bernafas di dalam lumpur. 

Moga-moga kakitangan awam akan lebih bijak membuat perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan. 

Semoga gaji yang diperolehi ini diberkati oleh Allah S.W.T dan dibelanjakan ke jalan yang diredhai-Nya.

Monday, December 5, 2016

ROHINGYA, HENTIKANLAH PENYEBARAN MAKLUMAT PALSU


Matlamat memang suci dan mulia iaitu untuk meraih simpati masyarakat, terutamanya umat islam terhadap penderitaan yang dialami oleh umat islam di Rohingya. Tapi sayang, kaedah atau pendekatannya pula terlalu hina dan keji. Matlamat tidak menghalalkan cara, itu yang perlu difahami. 

Maknanya, walaupun untuk mencapai tujuan dan matlamat yang baik, kita tidak boleh sesekali menggunakan kaedah yang tercela. Amat dikesali kerana ada pihak-pihak tertentu yang memuat naik gambar-gambar palsu di laman sosial untuk ‘melariskan’ kisah derita umat islam Rohingya. 

Memang ‘jualan’ mereka sangat laku dan amat laris. Ini kerana dalam beberapa hari hari sahaja, ia dikongsi oleh ribuan pengguna laman sosial terutamanya facebook dan WhatsApp. Ia tersebar luas tanpa sempadan, sekali gus menyebar luaskan simpati terhadap umat islam Rohingya. 

Tapi, malangnya, gambar-gambar dan maklumat palsu tersebut secara tidak langsung telah mencalar imej agama islam. Ini kerana ia mengambarkan betapa mudahnya umat islam ini termakan fitnah. Lagi teruk, ia seakan-akan mengambarkan umat islam hari ini berwahyukan media sosial hinggakan percaya bulat-bulat terhadap apa sahaja yang dipaparkan di laman sosial.

Gambar seperti di atas tersebar luas sejak akhir-akhir ini. Tapi tahukah anda, gambar tersebut tiada kaitan langsung dengan isu Rohingya. Sebaliknya, ia adalah gambar pelajar-pelajar di sebuah sekolah di India yang sedang menjalani latihan lagak ngeri(stunt). 


Gambar ini juga tiada kaitan dengan isu Rohingya. 

Lansung tiada kaitan, tapi sebaliknya, ia adalah gambar para sami di Tibet yang bersiap sedia untuk upacara membakar mayat mangsa gempa bumi. Kebiasaannya di Tibet, mayat-mayat akan diberi makan kepada burung Ereng, tapi disebabkan terlalu banyak mayat yang menjadi korban gempa bumi, maka para sami terpaksa membakarnya. 



Gambar di atas pula merupakan gambar umat islam di Selatan Thailand yang ditangkap dan dikumpul oleh tentera Thailand sekitar tahun 2004 dahulu. 

Tentu sahaja masih ramai yang mengingati tragedi Takbai, dan gambar tersebut merujuk kepada tragedi tersebut. Jadi ia langsung tiada kaitan dengan keganasan yang di Rohingya Myanmar. 

Jadi, waspadalah selalu sebelum upload mahupun berkongsi gambar-gambar sebegini. Pastikan kesahihahannya terlebih dahulu sebelum dikongsi. Jangan kerana kita, imej islam yang tercalar. 

Tuesday, November 29, 2016

Sejarah dan asal usul masyarakat Islam Rohingya.


Tidak hanya pemerintah Myanmar, malah agak ramai juga yang beranggapan umat islam Rohingya bukanlah warga asal Myanmar atau dahulunya dikenali sebagai Burma. Mereka dianggap sebagai kaum pendatang yang berasal dari Bangladesh. Benarkah dakwaan ini.? Atau adakah ia hanya satu alasan untuk mewajarkan penghapusan Untuk menyelongkar isu ini eloklah kita kembali ke akar punca dengan mengenali dan memahami sejarah dan asal usul masyarakat isam di Rohingya. 

Alhamdulillah, editor Sinar Harian, MUHAMAD MAT YAKIM ada mengulas isu ini di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 26 November 2016, anda boleh sahaja langsung ke sini untuk pembacaan yang lebih lengkap , - Sinar Harian 

Di sini saya paparkan sahaja sebahagian daripadanya untuk manfaat bersama. 

Rohingya bukan sahaja dihalau dari tanah air mereka sendiri malah dibunuh. Lebih dahsyat, mereka dibunuh dengan cara yang tidak ada dalam kamus kemanusiaan – dibakar hidup-hidup! Tidak kira lelaki, wanita, warga emas atau kanak-kanak, kesemuanya jadi sasaran keganasan yang tanpa batasan. Amat jelas bahawa apa yang dilakukan itu bermotif penghapusan etnik. Saya tidak mahu mengaitkannya dengan agama kerana ajaran Buddha diketahui mendidik penganutnya untuk sentiasa menjunjung tinggi nilai kemanusiaan malahan juga kepada makhluk tuhan yang lain.

Apa yang jelas dalam konteks di Myanmar, khususnya di wilayah Rakhine ialah motif perkauman dan politik. Lebih malang lagi apabila pemerintah Myanmar bukan sahaja tidak membela malah bersekongkol dengan kekejaman itu. Tentera turut sama dengan ekstremis melakukan pembantaian terhadap penduduk Rohingya. 

Ratu Demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi selaku penerima anugerah Nobel Keamaan pada 1991, juga sekadar membisu apabila diajukan persoalan mengenai tindakan tidak berperikemanusiaan kaumnya. Alasan mereka termasuk Suu Kyi ialah orang Rohingya bukan penduduk asal negara itu, sebaliknya imigran yang berhijrah masuk selepas 1823, dan mereka dianggap tidak ada kaitan dari aspek sejarah dengan Myanmar atau Burma. Benarkah begitu?

 Raja Islam

 Sebenarnya tidak. Rohingya yang merupakan kaum berdarah campuran Arab, Turki, Parsi (Iran), Moghul (India), Moor (dari Semenanjung Iberia), Pathan dan Mon (ada juga mengatakan bahawa asal keturunan mereka daripada darah campuran tentera penjajah Mongol dengan suku tempatan) pada suatu ketika adalah pemerintah wilayah Arakan (sebahagian daripada Myanmar sekarang) selama ratusan tahun. 

Asal nama Rohingya dikatakan adalah daripada 'Mrohaung' yang merujuk kepada Kerajaan Tua Arakan yang kemudian diubah kepada Rohang. Daripada Rohang atau Rakhine itulah lahirnya nama Rohingya atau Rakhine-ya. 

Malang nasib etnik Rohingya, meskipun pernah memerintah wilayah itu, mereka kini bukan sahaja kehilangan kuasa, malah hak untuk hidup sebagai rakyat biasa juga dinafikan oleh kaum majoriti. Rupa orang Rohingya, juga pegangan Islam mereka dijadikan alasan oleh warga majoriti Myanmar untuk mendakwa kaum itu sebagai imigran Benggali dari negara jiran, Bangladesh.

Berdasarkan sejarah, Islam telah datang ke Arakan sejak abad pertama Hijrah dibawa kumpulan pedagang tabiin diketuai Waqqash bin Malik. Kemudian datang pula gelombang kedua pada 172 Hijrah/ 788 Masihi ketika era Khalifah Harun al-Rasyid. Kumpulan pedagang Islam itu berlabuh di Pelabuhan Akyab (kini Sittwe) yang juga ibu kota Arakan. Sejak itu, Islam terus berkembang di wilayah berkenaan. 

Dalam aspek politik, pada 1406, pemerintah Arakan, Raja Narameikhla atau Min Saw Mon lari mendapatkan perlindungan daripada Sultan Bengal (Bangladesh sekarang), Nasiruddin Shah apabila kerajaannya diserang oleh Raja Burma. Selepas 24 tahun hidup dalam buangan, Narameikhla kembali ke Arakan diiringi 20,000 anggota tentera dihantar Sultan Bengal (pada masa itu Sultan Jalaluddin Khan) diketuai Wali Khan. Narameikhla berjaya mendapatkan semula pemerintahan. Ketika itu, baginda sudahpun memeluk Islam dan memakai gelaran Sultan Sulaiman. 

Kembalinya Narameikhla ke Arakan menandakan berdirinya kerajaan Islam yang pertama di wilayah itu yang kemudian dikenali sebagai Dinasti Mrauk-U. Setahun kemudian, Wali Khan melakukan kudeta menggulingkan Narameikhla. Sekali lagi Narameikhla lari ke Bengal. Atas hubungan rapat antara dua kerajaan, Nadir Shah, Sultan Bengal pada 1433 telah menghantar 30,000 anggota tentera diketuai Sindhi Khan ke Arakan.

Narameikhla berjaya kembali ke singgahsana. Sejak itu, Arakan bernaung di bawah kerajaan Bengal dan membayar ufti setiap tahun. Meskipun demikian, itu bukanlah bermakna Arakan jajahan Kesultanan Bengal.


Bohong 

Sepanjang tempoh pemerintahan dinasti Mrauk-U yang diasaskan oleh Narameikhla selama 354 tahun, wilayah jajahannya boleh dikatakan agak luas, menganjur hingga Chittagong, bandar raya pelabuhan terbesar di Bangladesh sekarang. 

Ini menunjukkan Arakan walaupun statusnya bukanlah sebuah kerajaan yang besar, hayat dinasti pemerintahannya yang menjangkau ratusan tahun, juga keluasan wilayahnya sama sekali tidak wajar untuk dipadam begitu sahaja dalam rekod sejarah. 

Dinasti Mrauk-U yang lahir pada 18 April 1429 kekal hingga 2 Januari 1785. Ia kemudian ditewaskan oleh Dinasti Konbaung yang bukan Islam. Selama tempoh 356 tahun, kerajaan Islam Arakan diperintah oleh 243 raja dengan yang terakhir bernama Thamada. Thamada cuba melarikan diri apabila Arakan diserang oleh angkatan Raja Bodawypaya dari Dinasti Konbaung tetapi ditangkap. 

Selepas penaklukan oleh Dinasti Konbaung, berlalu beberapa siri pemberontakan oleh pejuang Arakan tetapi berjaya dipatahkan. Burma menjajah Arakan selama 41 tahun, kemudian masuk pula British bermula 1825 hingga 1947, selama 122 tahun. Kemasukan British ke Burma juga ada kaitan dengan orang Arakan atau Rohingya. Kegagalan pemberontakan orang Arakan terhadap Kerajaan Burma menyebabkan mereka semakin teruk ditindas. Ini mendorong mereka lari ke wilayah jajahan British di India. Perkara itu menyebabkan tercetus konflik antara British dengan pihak Burma. 

Tidak cukup dengan menghantar tentera ke sempadan, British kemudian menempatkan seorang residen di Rangoon atas alasan mahu meredakan krisis orang Arakan dengan pemerintah Burma. Sebagai imbalan, British juga menyerahkan pelarian Arakan yang lari ke India kepada pihak Burma. Ini semata-mata helah dan percaturan British untuk masuk ke Burma. Pada 1948, Arakan kembali berada dalam jajahan Burma hingga sekarang. Burma atau Myanmar - nama negara itu hari ini – merdeka pada 4 Jun 1948. 

Penjajah Burma, juga British berusaha untuk memadamkan sejarah etnik Rakhine yang beragama Islam sebagai kaum yang pernah menguasai wilayah Arakan. Ini dilakukan dengan pelbagai cara termasuk propaganda yang tidak masuk akal, antaranya bahawa Arakan pernah dijajah oleh kerajaan Bengal, raja-raja Arakan tidak memeluk Islam, hanya memakai nama Islam dan mengamalkan adat budaya Islam, konon mereka kekal beragama Buddha sepanjang tempoh itu. 

Selain itu, dikatakan juga wujud etnik Rakhine yang bukan Islam lalu diberi nama etnik Rohingya bagi yang beragama Islam untuk dikatakan mereka itu adalah imigran Benggali dari Bangladesh yang tidak layak mendapat status kerakyatan Myanmar. 

Paling tidak masuk akal, Rohingya yang rata-ratanya hidup tertindas 24 jam dan hanya berkain pelikat, didakwa kumpulan pengganas yang mengancam penduduk Buddha Myanmar. Atas sebab itulah mereka diperangi! 

Naturalisasi

Sebelum Myanmar/ Burma mencapai kemerdekaan, diadakan Persidangan Paniong pada 1947. Ketika persidangan itu, diputuskan bahawa Arakan diletak terus di bawah pemerintahan Kerajaan Pusat Rangoon (Yangon), dan tidak diberi hak untuk mentadbir sendiri. Pada 1982 juga, digubal Akta Kewarganegaraan yang menolak mentah-mentah hak etnik Rohingya untuk mendapat taraf kerakyatan. 

Ada segelintir yang diberi taraf naturalisasi, atau dijadikan warganegara atas sebab-sebab yang tertentu namun mereka tetap tidak dibenarkan untuk menyertai politik dan juga beberapa sektor lain yang strategik. Secara umumnya, etnik Rohingya adalah kaum yang sedang diancam penghapusan, ditindas 24 jam setiap hari tanpa waktu senggang, dihalau dari tanah tumpah darah mereka sendiri tanpa arah tuju kerana dunia juga menyisihkan mereka. 

Jika dahulu, raja mereka dalam sejarah, Narameikhla lari ke Bengal setiap kali diancam, kini pada zaman moden, Bengal yang sudah bertukar nama kepada Bangladesh, bukan lagi tempat yang selamat bagi mereka. Ada laporan bahawa setiap kali etnik Rohingya cuba menyeberang Sungai Teknaf di sempadan dua negara itu, mereka dihalau balik ke wilayah Myanmar oleh tentera Bangladesh ke arah di mana tentera Myanmar pula menanti untuk membelasah malah mencabut nyawa mereka. 

Begitulah peritnya hidup berdarah Rohingya!

Wednesday, October 26, 2016

Kerap hamil dapat mengurangkan risiko kanser ovari


Ini adalah fakta dan bukannya auta.

Menurut Pakar Gynaeocology dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) Kota Bharu, Kelantan, Dr. Nor Anita Abdullah sebagaimana yang disiarkan di dalam akhbar Kosmo bertarikh 23 Mac 2014 , wanita yang tidak pernah mengandung ataupun mempunyai bilangan anak yang sedikit juga berisiko untuk menghidap kanser ovari berbanding dengan wanita yang mempunyai anak yang ramai. Ini kerana wanita yang mempunyai anak setiap kali mengandung ovarinya tidak ‘bergerak’, dan wanita tersebut dapat berehat panjang dan begitu juga dalam tempoh menyusukan anak. 

Menurutnya lagi, wanita yang melahirkan anak kali pertama dapat mengurangkan 45 peratus risiko menghidap kanser ovari. Katanya lagi, lebih 50 peratus daripada kanser ovari yang dirujuk ke HPRZ II pada tahun 2013 terdiri daripada pesakit yang tidak berkahwin, tidak pernah hamil dan mempunyai anak kurang dari dua orang. 

Info Tambahan: 

Dalam entry ini saya tidak membincangkan perihal kanser ovari secara panjang lebar, sebab fokus utama penulisan entry ini ialah untuk memaklumkan kepada pembaca mengenai hikmah atau kebaikan menjadi ibu.

Tuesday, October 25, 2016

7 sebab mengapa Uber dan GrabCar jadi pilihan

Imej dari Finance Malaysia blogspot

KEHADIRAN perkhidmatan aplikasi GrabCar dan Uber membuatkan pemandu teksi panas punggung kerana periuk nasi mereka diancam. Malah dalam tempoh sebulan pemandu teksi berpiket dua kali di ibu negara sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Persoalannya, apakah dosa pemandu teksi sehinggakan orang ramai kini beralih kepada perkhidmatan GrabCar dan Uber. Di sini disenaraikan tujuh sebab penumpang berpaling tadah kepada perkhidmatan pengangkutan alternatif. 

1. Harga berpatutan 

Wujud segelintir pemandu teksi tidak mahu menggunakan meter dengan alasan jalan sesak. Bahkan menetapkan harga tambang lebih RM10 daripada harga biasa jika menggunakan meter. Lebih teruk lagi, pemandu teksi menutup meter dengan menggunakan tuala bagi melindungi kiraan tambang. Berbanding GrabCar/Uber, caj tambang tidak boleh ditipu kerana menggunakan aplikasi yang wajib diakses pemandu dan pelanggan. 

2. Bersih dan selesa

Kenderaan digunakan GrabCar atau Uber lebih selesa dan bersih memandangkan syarikat aplikasi itu menetapkan tahun kenderaan tidak boleh melebihi lima tahun. Manakala teksi pula masih kekal dengan Proton Saga lama dan kereta berjenama import zaman dahulu kala. 3. Mudah Kini semua di hujung jari. Tempahan boleh dibuat bila-bila masa dengan hanya membuat tempahan di aplikasi. 

4. Promosi 

Kadang-kala GrabCar dan Uber akan menawarkan promosi menarik buat pelanggan. Sebagai contohnya GrabCar menawarkan tambah serendah RM1 bagi 5km pertama. 

5. Tidak pernah menolak

Pemandu GrabCar atau Uber tidak boleh memilih pelanggan. Mereka perlu hantar ke destinasi ditetapkan. Berlainan pula dengan teksi, mereka boleh ‘menolak’ permintaan anda dan boleh menurunkan pelanggan di simpang jalan masuk ke rumah kalau rasa malas meredah kesesakan lalu lintas. 

6. Tiada caj tambahan

Umum ketahui, teksi akan mengenakan caj tambahan sebanyak 50 peratus bermula 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Tetapi GrabCar/Uber tidak mengenakan caj tambahan untuk tempoh masa sama. 

7. Inisiatif 

Jika anda tidak tahu bagaimana hendak pergi ke tempat yang ditujui, kebiasaannya pemandu GrabCar dan Uber akan menggunakan aplikasi Waze atau Google Map. Tetapi, jarang sekali kita melihat pemandu teksi mempunyai inisiatif sebegitu. Kebanyakan mereka akan menolak dan menyuruh anda mengambil teksi lain. Atau jika tidak jumpa jalan/ sesat mereka akan caj tambang yang mahal sedangkan itu kesalahan mereka kerana tidak berusaha menggunakan kemudahan teknologi. 

Sumber: Sinar Harian 

Info Tambahan: 

Saya terbaca ulasan menarik di facebook. Uasan berbunyi. Ketika Revolusi Perindustrian melanda Eropah, permintaan terhadap kenderaan bermotor telah meningkat. Walaupun begitu kerajaan pasa masa itu tidak pernah menghalang kewujudan kenderaan bermotor walaupun sebelum itu rakyat sangat mesra dengan kereta kuda. Tetapi seperti kita sedia maklum, penggunaan kereta kuda semakin lama semakin pupus dan kenderaan bermotor mula digunapakai secara meluas ke seantero dunia. 

Mungkinkah perkhidmatan teksi akan mengalami nasib yang sama seperti kereta kuda.? 

Secara peribadi saya setuju dengan kemunculan uber ini. Cuma kerajaan membela nasib pemandu teksi. Biarlah wujud persaingan yang sihat antara pemandu teksi dan pemandu uber.