Thursday, April 28, 2016

Kenali Muzium Islam Kelantan.


Sebagaimana Istana Jahar (Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan), Muzium Islam juga merupakan lokasi yang perlu dikunjungi andainya anda bertandang ke Kelantan, khususnya Kota Bharu. Untuk entry ini saya paparkan gambar-gambar yang sempat saya rakan ketika bertandang ke Muzium ini pada tahun lepas. 

Berkunjung kerana mengiringi pelajar-pelajar saya yang mengadakan program lawatan sambil belajar. Ketika kunjungan tempoh hari , pihak Muzium sedang mengadakan Pameran Tok Guru, iaitu pameran khas untuk mengenang pemergian Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. 

Tapi sayang seribu kali sayang sebab hanya beberapa keeping gambar sahaja yang masih tersimpan di dalam smartphone saya. 


Manakala untuk entry ini pula tulisan saya berasaskan maklumat yang saya perolehi di laman sesawang Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan info dari akhbar Harian Metro betarikh 9 Jun 2011. 

Saya paparkan sahaja di sini untuk manfaat bersama. 



Muzium Islam. 

Bangunan ini asalnya adalah rumah kediaman Menteri Besar Kelantan. Ia dibina pada tahun 1902 berasaskan gaya dan cirri-ciri rumah Melayu Kelantan model awal abad ke-20. 

Pada tahun 1917,bangunan ini dijadikan sebagai pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan(MAIK) 

Ini adalah antara gambar-gambar sebahagian daripada Ulama Silam Kelantan.

Muzium Islam ini dirasmikan oleh Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 11 November tahun 1991. Lokasinya ialah di Jalan Sultan Kota Bharu bersebelahan dengan Masjid Muhammadi, Padang Merdeka dan Memorial Perang Dunia Kedua (Bank Kerapu).

Pameran yang diadakan disini ialah koleksi artifak, gambar-gambar, rajah-rajah yang berkaitan dengan sejarah kedatangan Islam ke Kelantan dan juga Nusantara, tokoh-tokoh agama Islam, Jabatan Agama, Majlis Agama Islam Kelantan dan berbagai koleksi dari Negara-negara Islam.

Jadi sempena Tahun Melawat Kelantan 2016, eloklah andainya kita mencari ruang dan mengintai peluang untuk berkunjung ke Muzium Islam Kelantan. 

Muzium Islam ditenggelami banjir pada penghujung 2014. Gambar ini dipamerkan di pameran foto Kelantan yang diadakan di KBMALL Kota Bharu.


Tuesday, April 26, 2016

Sepuluh artis Malaysia paling popular di Instagram


Artis, apa sahaja yang mereka lakukan akan mendapat tumpuan. Setiap gerak geri mereka ingin diketahui oleh masyarakat. 

Instagram merupakan aplikasi yang kian popular dan digunakan oleh kebanyakan selebriti di dunia, termasuklah selebriti Malaysia. 

Berikut adalah senarai 10 artis Malaysia yang mempunyai jumlah pengikut (followers) teramai di Instagram. 

  •  1. Nora Danish : 3.3 juta orang followers 
  • 2. Datuk Siti Nurhaliza : 2.8 juta orang followers 
  • 3. Zizan Razak :2.8 juta orang followers 
  • 4. Scha Alyahya : 2.7 juta orang followers 
  • 5. Elfira Loy : 2.4 juta Orang followers 
  • 6. Lisa Surihani : 2.3 juta orang followers 
  • 7. Hanis Zalikha: 2.3 juta orang followers 
  • 8. Awal Ashari : 2.2 juta orang followers 
  • 9. Yana Samsudin: 2 juta orang followers
  • 10. Rozita Che Wan : 2 juta orang followers 

Jumlah pengikut atau followers ini saya petik dari akhbar Harian Metro bertarikh 24.4.2016. Saya amat yakin bilangan tersebut akan terus bertambah.

Thursday, April 21, 2016

75 peratus maklumat di media sosial adalah palsu.



Viral menjadi virus berbisa apabila media sosial disamatarafkan dengan Firman dan Sabda. Diterima dengan senang dan disebarkan dengan tenang segala cerita dan berita. Virus viral ini mampu membunuh kematangan berfikir dan bertindak. Ramai juga yang dijangkiti virus viral ini berakhir dengan gejala kemandulan minda. 

75% maklumat dari media sosial adalah tidak benar dan ditokok tambah, itulah yang dinyatakan oleh Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional(JPIN). 

Ini bukanlah bermakna segala maklumat daripada media arus perdana itu tepat dan benar secara mutlak. Tetapi kepalsuannnya lebih terhad dan terbatas, dan tidak melebar dan meluas sebagaimana kepalsuan di media sosial. 

Dahulu, penyebar berita dan cerita atau makumat hanyalah RTM(TV dan Radio) dan TV3 serta beberapa akhbar tempatan. Hari ini jutaan penduduk Malaysia memiliki akuan Facebook, dan jutaan juga yang menggunakan aplikasi WhatsApps. Maknanya jutaan warga Malaysia mampu mencipta berita dan cerita dan jutaan juga yang mampu melebar dan meluaskan berita dan cerita tersebut. 

Dahulu, di media arus perdana, cerita atau info palsu yang hanyalah berkaitan politik, tapi di media sosial segala-galanya berpotensi dipalsukan oleh penagih populariti. Yang penting bagi mereka ialah jumlah likes, jumlah perkongsian(share)dan jumlah komen. Terbaharu kecoh kisah kononnya pelajar yang meninggal kerana dipatuk ular di Kelantan kembali bernyawa. Agak ramai yang mempercayainya. Tidak kurang juga yang mempertikaikan kesahihan laporan doktor. Jelas terbukti, viral ini memandulkan akal golongan yang terliwat minda. 

Tajuk Lain Yang Berkaitan.

Tuesday, April 19, 2016

Istana Jahar, Muzium Adat Istiadat Di Raja Kelantan



Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke Kota Bharu Kelantan, tentu sahaja pernah melihat sebuah bangunan yang tersergam indah tidak jauh dari Dataran Al-Quran, bazar buluh kubu dan Masjid Muhammadi. 

Bangunan tersebut dikenali sebagai Istana Jahar yang juga merupakan Muzium Adat Istiadat Di Raja Kelantan. 


Untuk entry saya paparkan gambar-gambar yang saya rakam ketika berkunjung ke Istana Jahar bersama pelajar-pelajar saya pada tahun lepas. 

Manakala untuk penulisan entry ini, saya membuat rujukan ke beberapa sumber, antaranya ialah Muzium Kelantan, Wikipedia dan sebuah artikel dari akhbar Harian Metro bertarikh9.Jun.2011 yang bertajuk Istana Jahar hadiah perkahwinan. 




Istana Jahar ini pada asalnya adalah sebuah istana milik Raja Bendahara Kelantan, Tengku Long Kundur Sultan Ahmad. Istana Jahar dibina dengan menggunakan kayu pada zaman akhir pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886). 

Pembinaannya siap pada tahun 1887, setahun selepas kemangkatan Sultan Muhammad II. Istana ini dibina sebagai hadiah perkahwinan kepada cucunda baginda Long Kundur dengan Tengku Embong, puteri kepada Tengleu Puteh, Raja Patani III. 


Pemandangan Dataran Al-Quran dari Istana Jahar


Pada masa pemerintahan Sultan Muhamad IV, baginda telah menjadikan Istana Balai Besar sebagai tempat bersemayam baginda. Namun Istana Jahar masih juga digunakan. Istana ini tidak mempunyai nama sehinggalah pada tahun 1911 selepas Sultan Muhamad IV pulang daripada melawat Singapura dan membaiki Istana ini. 

Istana ini diberi nama Istana Jahar, mengambil sempena nama daripada sejenis pokok bunga yang menghiasi halaman Istana Jahar. Istana ini kemudiannya dikurniakan kepada puteranya Tengku Ismail yang bergelar Tengku Seri Indera Mahkota. 



Selepas kemangkatan Sultan Muhamad IV pada tahun 1920, puteranya Tengku Ismail menggantikan baginda menaiki takhta Kerajaan Kelantan bergelar Sultan Ismail. Sultan Ismail tidak bersemayam di Istana Balai Besar sebaliknya bersemayam di Istana Jahar iaitu istana yang dikurniakan oleh Almarhum ayahanda baginda. 

Sultan-sultan Kelantan yang kemudian seperti Sultan Ibrahim (1944-1960) dan Sultan Yahya Petra (1961-1979) tidak lagi bersemayam di Istana Jahar sebaliknya mempunyai istana sendiri.
mata wang yang pernah digunapakai di Kelantan suatu masa dahulu 
Bersesuaian dengan istana yang sudah menjadi tempat persemayaman beberapa orang Sultan yang memerintah, istana tersebut akhirnya dijadikan sebagai Muzium Adat Istiadat Di Raja Kelantan yang dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pada 27 Julai 1992. 

Muzium ini mempamerkan sejarah kesultanan Negeri Kelantan daripada zaman awal hinggalah kepada pemerintahan Sultan Kelantan pada masa sekarang. 

Ruang pameran yang terdapat di bangunan Muzium ini dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti peralatan senjata, pakaian tradisi, dan hal-hal lain yang berkaitan dengan kesultanan. 

Walaupun telah dijadikan Muzium tetapi reka bentuk asal bangunan ini tetap dipelihara. Seni binanya yang unik dengan ukiran-ukiran yang cantik telah menyerikan lagi bangunan istana yang dijadikan muzium itu. 

Jadi sempena tahun melawat Kelantan 2016, eloklah kita mencari sedikit ruang dan peluang untuk berkunjung ke Istana Jahar ini. 


senjata tradisional masyarakat Melayu Kelantan.

Monday, April 18, 2016

Masih relevenkah Program Matrikulasi.


Umum mengetahui program matrikulasi amat berkesan dan sangat berjaya untuk meningkatkan jumlah pelajar Bumiputera di Universiti. Sejak diperkenalkan sejak lebih 30 tahun yang lalu, terbukti ia telah berjaya melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai Bumiputera serta tenaga mahir dalam bidang professional dan teknikal. 

Namun, baru-baru ini isu kematangan pelajar matrikulasi mula berkumandang di Parlimen. Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud mencadangkan agar program matrikulasi dihapuskan dengan alasan pelajar daripada program tersebut tidak cukup matang untuk melanjutkan pengajian ke Universiti. Selain itu, beliau turut mencadangkan agar program matrikulasi digantikan sahaja dengan tingkatan enam. 

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia(UPM), Prof Dr Ab Rahim Bakar berpedapat masalah kematangan dapat diatasi jika pihak berwajib memanjangkan lagi tempoh pengajian program matrikulasi kepada setahun setengah atau dua tahun. Ini supaya pelajar tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata, tetapi dapat melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah. 

Secara peribadi sebagai seorang guru saya tidaklah bersetuju secara total dengan pandangan YB Dr Mariah, namun tidak pula saya menolaknya saya mutlak. Apa pula pandangan anda?.

Tuesday, April 12, 2016

Hukum menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan orang tua


Seorang ibu( termasuk juga bapa) dapat menjaga sepuluh orang anak, namun sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu(dan bapanya). 

Saya tertarik dengan artikel yang pernah disiarkan di dalam akhbar Harian Metro bertarikh 14.Mei.2014. Saya pernah memaparkannya di dalam blog saya suatu ketika dahulu, anda boleh melihatnya di SINI. Saya paparkan kembali sebahagian daripada tulisan tersebut. 

Beratus-ratus ibu bapa dibuang setiap tahun oleh zuriat mereka sendiri di hospital dan rumah kebajikan di seluruh negara. Fenomena menyedihkan ini menunjukkan semakin ramai anak zaman sekarang yang tidak tahu mengenang budi terhadap pengorbanan orang tua yang membesar dan memelihara mereka. Lebih menyedihkan ada warga tua yang tidak dijenguk waris atau anak hingga mereka meninggal dunia dan dikebumikan tanpa pengetahuna serta kehadiran anak. Dalam kebanyakkan kes, ibu bapa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun apabila sudah sembuh, anak tidak datang mengambil mereka. 

Sumber: Harian Metro, 14. Mei.2014. 

Tidak adil sebenarnya, jika kita memperkatakan sesuatu isu berdasarkan kebiasaan dan kelaziman. Kebiasaan dan kelaziman di sini bermaksud budaya dan tradisi. Menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan orang tua adalah bertentangan dengan budaya dan tradisi orang Melayu. Ia bercanggah dengan kebiasaan dan kelaziman yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat Melayu. Atau dengan kata lain ,ia bertentangan dengan budaya dan tradisi orang Melayu. 

Namun, bagaimana pula di sisi agama. Adakah dibenarkan atau diharamkan secara mutlak. Untuk entry ini saya tertarik dengan jawapan dan ulasan yang diberikan oleh Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd. Kashim dalam ruangan Fiqah Semasa, Majalah Al-Ustaz edisi 45. 

Saya paparkan sahaja jawapan dan ulasan beliau untuk manfaat bersama.

Menjaga ibu bapa merupakan kewajipan anak-anak dalam setiap keadaan. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah. 

“Dan berbuat baiklah(ihsan) kepada ibu bapa.”(Surah al-Nisa’:36)

Ayat di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya tanggungjawabanak-anak kepada ibu bapa setelah dewasa. Hukum menghantar ibu-bapa ke rumah kebajikan orang tua. 

Pertama: Dibenarkan sekiranya menepati syarat-syarat berikut. 

  • 1. Hanya bersifat sementara dan berjadual. Ia bermaksud ibu bapa dihantar pada waktu bekerja sahaja contohnya dari jam 8 pagi hingga 7 malam. Ia bertujuan memastikan kebajikan ibu bapa terjaga ketika ketiadaan anak-anak di rumah. 
  • 2. Rumah orang-orang tua yang dihantar mestilah selesa dan setaraf dengan kedudukan anak-anak dalam kerjaya masing-masing 
  • 3. Anak-anak tidak melepaskan 100% tanggungjawab kepada pihak penjaga. Mereka hanya membantu ketika anak-anak tiada di rumah, dan bukannya mengambil alih amanah anak-anak yang dijanjikan syurga. 
  • 4. Segala kos ditanggung sepenuhnya oleh anak-anak. 

Kedua : Haram. 

  • 1. Jika bertujuan untuk melepaskan tanggungjawab kepada penjaga rumah orang-orang tua 
  • 2. Selain itu, perbuatan tersebut juga dilarang jika syarat-syarat yang disebut tadi(rujuk hukum pertama, yang mengharuskan hantar ibu bapa ke rumah orang tua) tidak dapat dipenuhi oleh anak-anak. 


Ketiga: Pilihan Terbaik.

  • 1. Ialah ibu bapa dijaga sendiri oleh anak-anak jika mempunyai kelapangan masa untuk berbuat demikian. Walau bagaimanapun , ia lebih fokus kepada anak-anak yang tidak bekerja seperti anak perempuan yang menjadi suri rumah sepenuh masa. 
  • 2. Walaupun begitu, keputusan untuk menjaga ibu bapa di rumah anak perempuan wajib mendapat keizinan daripada suami terlebih dahulu. Ini kerana suami merupakan ketua keluarga. 

Semoga perkongsian ringkas ini memberi manfaat kepada semua. Kepada sahabat- sahabat yang masih mempunyai orang tua, hormatilah dan sayangilah mereka. Tanpa mereka siapalah kita.

Fakta-Fakta menarik mengenai Dr Zakir Naik


Dr Zakir Naik adalah tokoh yang dikenali ramai, termasuklah di Malaysia, terutamanya dalam kalangan peminat perbandingan agama. Secara peribadi saya adalah antara peminatnya, sebagaimana saya meminati Almarhum Ahmad Deedat. Sebenarnya Malaysia juga tidaklah ketandusan tokoh-tokoh dalam perbandingan agama, walaupun tidak sehebat Dr Zakir Naik. Antaranya ialah Lim Jooi Soon, Shah Kirit Kakulal Govindji, Firdaus Wong dan Ahmad Iqram Mohamed Nor. 

Disebabkan kehadiran Dr Zakir Naik ke Malaysia kali ini agak kontroversi disebabkan terdapat bantahan daripada pihak tertentu, hinggalah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar membuat keputusan agar ceramahnya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak diteruskan atas sebab ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia. Jadi, eloklah kita mengenali siapakah tokoh hebat ini. Kata orang, kalau tak kenal maka tak cinta. Untuk fakta-fakta menarik mengenai Dr Zakir Naik ini saya paparkan sahaja sebahagian daripada 
tulisan/rencana yang disiarkan di Astroawani . Tajuk asalnya ialah 8 fakta perlu anda tahu tentang Dr Zakir Naik. Saya paparkan sahaja di sini untuk manfaat bersama.

1. Dr Zakir Adbul Karim merupakan seorang ulama, penceramah dan pendakwah dari India yang sering menyampai ceramah mengenai Islam dan perbandingan agama di seluruh dunia. Beliau dilahirkan pada 18 Oktober, 1965 di Mumbai. 

2. Dr Zakir merupakan seorang doktor perubatan yang memperoleh ijazah Bachelor of Medicine and Surgery (MBBS) dari Mumbai. Pada tahun 1991, beliau mula bekerja dalam bidang dakwah, dan mengasaskan Islamic Research Foundation (IRF) . 3. Dr Zakir merupakan seorang yang popular dalam membuat penilaian kritis dan memberi jawapan strategik kepada soalan-soalan yang mencabar yang diajukan oleh penonton selepas ceramahnya. 

4.Menerusi ceramahnya, beliau menjelaskan sudut pandangan serta membetulkan pandangan salah terhadap ajaran Islam, dengan menggunakan al-Quran, hadis dan input relatif daripada kitab-kitab agama lain sebagai tambahan, bersama fakta saintifik. 

5. Menurut laman blog The Islamic Research Foundation (IRF), dalam tempoh 20 tahun (sehingga tahun 2014) Dr Zakir telah mengadakan lebih 2,000 sesi ceramah di seluruh dunia. Antaranya ialah Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Itali, Perancis, Arab Saudi, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Botswana, Nigeria, Ghana, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong, China, Mauritius, Sri Lanka dan Maldives. 

6. Pada bulan Mac 2012, sesi ceramah beliau di Kishanganj, Bihar, dihadiri lebih daripada sejuta orang, dan menjadi salah satu perhimpunan terbesar di dunia bagi ceramah agama yang hanya dikendalikan oleh seorang penceramah. 

7. Pada tahun 2012, Dr Zakir pernah mengadakan ceramah di Malaysia. Ceramah beliau berlangsung di Johor Bahru, Universiti Teknologi MARA, Kuantan dan Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur. 

8. Dr Zakir pernah menerima pelbagai anugerah dari pemimpin-pemimpin di seluruh dunia. Pada tahun 2013, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Dr Zakir dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2013M di Putrajaya.

Sunday, April 10, 2016

Buat Duit Dengan Facebook dan Instagram


Facebook dan Instagram tidak hanya untuk meluaskan wilayah persahabatan. 

Ia juga tidak sekadar untuk melebarkan empayar persaudaraan. 

Tapi, jika kena pendekatan dan kaedah, ia berupaya menjadi lubuk rezeki.

Ketahui tentang pendekatan dan kaedah tersebut melalui buku ini. 

  • Judul Buku : Buat Duit Dengan Facebook dan Instagram. 
  • Harga : RM9.90 (RM6.00 Pos) 
  • Berminat sila WhatApps saya :019-5776730

Wednesday, April 6, 2016

Menghormati azan dan salah faham mengenainya


Sejujurnya kempen ini sangat murni dan amat mulia. Setiap umat lslam perlu menghormati dan menyokongnya. 

Tetapi dalam hal ini terdapat beberapa salah faham yang berlegar sekitar isu menghormati azan. Sebenarnya salah faham ini telah lama berakar umbi dan tersebar luas dalam kalangan masyarakat. 


Masih ramai yang menganggap seseorang itu harus diam dan berhenti daripada melakukan apa sahaja aktiviti. sebaik sahaja azan berkumandang. Pandangan sebegini amat silap dan sangat tidak tepat. 

Sebenarnya tiada masalah dan tidaklah menjadi satu kesalahan untuk meneruskan aktiviti, termasuklah percakapan sewaktu azan dikumandangkan, terutamanya apabila melibatkan urusan-urusan yang penting seperti seorang guru yang sedang mengajar tiba-tiba azan berkumandang, maka sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) boleh diteruskan. Guru tersebut tidak dituntut untuk diam tanpa kata dan menundakan sesi PdP atas alasan menghormati azan. 

Selain itu, harus juga difahamai hukum menjawab azan adalah sunat. Dan, azan yang sunat dijawab ialah azan yang dikumandangkan oleh muazzin ketika masuknya waktu solat. 

Adapun azan yang disiarkan di dalam televisyen dan radio tidak termasuk dalam kategori ini. Maknanya tidak dihukumkan sunat untuk dijawab. Ini kerana ia adalah rakaman semata-mata,melainkan azan itu disiarkan secara langsung seperti azan solat Jumaat untuk yang disiarkan di kaca televisyen. 

Berminat dengan buku-buku ilmiah, termasuklah buku-buku agama, jom terjah ke -->SINI

Tuesday, April 5, 2016

Sirah 25 Rasul : Fakta vs Auta


Sesungguhnya diet itu perlu dalam pembacaan dan ketika proses penerimaan ilmu. Amat tidak wajar andainya kita terus menelan dan menghadam cerita-cerita yang diterima tanpa selidik dan tanpa periksa, apatah lagi jika berkaitan dengan kisah dan cerita para Rasul yang mulia. 

Buku ini menyajikan kisah para Rasul yang sahih dan memaparkan juga beberapa kisah yang palsu berdasarkan kajian ulama-ulama hadith. 

Buku ini amat bermakna untuk dijadikan panduan dan rujukan oleh para guru agama, pencinta sejarah islam, dan para pendidik serta setiap individu Muslim.

  • Judul buku : Sirah 25 Rasul, fakta vs Auta. 
  • Harga :RM24.00(+RM6.00 POS). 
  • Berminat sila WhatApps :019-5776730.