Sebahagian besar wanita islam yang didatangi haid dan nifas dalam bulan Ramadan merasa tidak gembira dan bimbang kerana kehilangan peluang untuk beramal dan beribadah dalam bulan Ramadan yang penuh barakah dan rahmat.
Mereka tida seharusnya berdukacita kerana apa yang mereka alami itu adalah suatu ketetapan Allah ke atas manusia dari kaum Hawa.
Untuk entry ini saya paparkan beberapa amal ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang datang haid dan nifas di bulan Ramadan. Untuk penulisan entry ini saya merujuk kepada penulisan Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang disiarkan dalam ruangan tazkirah Ramadan yang disiarkan dalam akhbar Harakah terbitan 15-18 Ramadan/15-18 Ogos 2011.
Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud “ Apabila seseorang hamba sakit atau musafir, maka Allah akan menulis baginya pahala sepertimana ianya beramal ketika sihat dan tidak bermusafir”
Oleh yang demikian, wanita yang kedatangan haid mempunyai simpanan tetap pahala ibadahnya. Ini merupakan pemberian Allah kepada wanita yang taat melakukan kewajipannya semasa dia sihat, melainkan terhalang dengan kedatangan haid dan nifas.
Ramai wanita yang datang haid dalam bulan Ramadhan khasnya(dan bulan-bulan yang lain), sering melalaikan diri dari mengingati Allah dan merasai nikmat kerohanian di bulan yang mulia ini. Ini termasuklah dengan menghabiskan masa menonton telivisyen dan sebagainya.
Sebenarnya terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh wanita yang didatangi haid dan nifas untuk meraih pahala di bulan yang mulia ini. Antaranya ialah :
1. Membaca Al-Quran tanpa musyaf seperti membaca ayat-ayat Al-Quran yang tertulis di dinding-dinding, di web site dan youtube
2. Mendengar bacaan al-Quran daripada cakera padat, televisyen, radio dan seumpamanya.
3. Membaca dan memahami ayat al-Quran dari kitab tafsir
4. Perbanyakkan berzikir, selawat dan doa-doa sepanjang waktu dan tempat.
5. Mendengar ceramah-ceramah serta tazkirah melalui kaset, CD dan seumpamanya.
6. Membaca doa selepas mendengar azan setiap waktu
7. Memberi nasihat kepada ahli keluarga supaya senantiasa mengingati Allah dan berzikir sepanjang hari di bulan Ramadhan.
8. Meningatkan ahli keluarga supaya menunaikan solat fardhu setiap kali masuk waktu
9. Mengalakkan ahli keluarga menunaikan solat-solat sunat seperti solat dhuha, tarawih, tahajud dan witir.
Di samping amal ibadah dan zikir, wanita dalam haid dan nifas juga boleh mendapat ganjaran pahala bulan Ramadhan al-Mubrak dengan melaksanakan tugas-tugas harian rumah tangga. Antaranya ialah:
1. Menyediakan juadah berbuka dan bersahur
2. Menghulurkan juadah kepada jiran-jiran atau ke surau-surau yang berdekatan
3. Membangunkan ahli keluarga untuk bersahur
4. Melibatkan diri dalam aktiviti dakwah dan kegiatan masyarakat pada waktu terluang dalam melkjsanakan amal makruf nahi mungkar.
Kesimpulannya, setiap wanita yang kedatangan haid dan nifas tidak kehilangan peluang untuk menikmati kelebihan bulan Ramadhan al-Mubark walaupun mereka tidak dapat menunaikan ibadah puasa.