Saturday, July 30, 2016

Cream Cracker mengandungi plastik atau orang kita yang masih bodoh.


Entah dari mana datangnya si bodoh yang tiba-tiba membuat kerja bodoh. Tapi malangnya kerja bodoh itu berjaya memperbodohkan segelintir pengguna laman sosial. 

Kerja bodoh sebegini bukanlah episod pertama, tetapi ia adalah ulangan kisah-kisah bodoh yang lain, cuma berbeza pelaku dan bahan eksperimennya. 

Gila dan sungguh gila sebab sejak beberapa hari lepas tersebar di laman sosial terutamanya di facebook aksi si bodoh membakar biskut cream cracker dan mendakwa ia mengandungi plastik. 

Alasannya biskut itu terbakar setelah dibakar. 



Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia ini pernah menjelaskan isu ini secara ilmiah. Berdasarkan penjelasannya makanan yang diperbuat dari sumber karbohidrat merupakan sumber tenaga dan menghasilkan kalori. Produk makanan terebut juga dicampur sumber lemak(lemak sayuran) dan beberapa bahan lain yang akan  menghasilkan karbon apabila dibakar. 

Namun sayang seribu kali sayang ,kuasa viral telah menjadikan hujah di bodoh sebagai pemenang dan ia dsiebarkan secara meluas, 

Untuk pengetahuan semua. Kaedah keji dan tak bermaruah ini bukanlah kali pertama digunakan untuk mengaibkan dan memusanahkan sesuatu produk. Sebelum ini ada seorang makcik tolol yang buat kecoh dengan mendakwa keropok dari Kelantan mengandungi plastik dengan alasan ia terbakar dan hangus apabila dibakar. 

Selepas itu muncul pula versi lain yang lebih kurang sahaja jalan cerita dan eksprimennya. Mangsanya ialah biskut Baby Bites. Kini giliran bisktut Cream Crackers pula menjadi mangsa. Si bodoh amat beria-ia menjalankan eksprimen bodohnya. Ambil biskut dan bakar kemdudian mendakwa ia mengandungi plastik sebab terbakar dan hangus. 

Mungkin si bodoh ini tidak pernah tahu betapa ramai manusia yang menjadi mangsa kebakaran di seluruh negara. Ramai juga antara mangsa kebakaran yang meninggal dalam keadaan hangus dan rentung. Adakah itu bermakna manusia diperbuat daripada palstik? 



Pesanan kepada pengguna Media Sosial yang beragama islam. 

Sebagai seorang Muslim, saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kepada semua muslim, terutamanya pengguna media sosial. Saya ingin bercerita tentang dosa jariah, moga-moga apabila mengetahui dan memahaminya kita tidak lagi teruja dengan jumlah likes dan share yang ramai. 

Dosa jariah adalah dosa yang berterusan dan berpanjangan diterima oleh pelakunya. Walaupun sesudah meninggal dunia dan jasad sudah hancur lebur di dalam liang lahad, dosa itu tetap diterima oleh si pelaku. Antara puncanya ialah meviralkan sesuatu berita yang berunsur fitnah, tidak tepat dan mengaibkan seseorang. 

Maknanya selagi mana cerita atau berita tersebut tersebar dan berkembang subur, maka selagi itulah dosa tersebut mengalir menuju si pelakunya.

Monday, July 25, 2016

Char Kuey Teow sedap di Restoran Timur Char Kuey Teow dan Tea Ben Madu, Wakaf Stan


Kalau di Pulau Pinang memang tidaklah susah untuk mencari mana-mana restoran atau warung yang menyediakan char kuey teow yang sedap dan menyelerakan. 

Ini berdasarkan pengalaman saya ketika belajar di Universiti Sains Malaysia, Penang beberapa tahun dahulu. 


Sebenarnya perkongsian ini khas untuk warga Kelantan dan sesiapa sahaja yang berkunjung ke Kelantan terutamanya para penggemar char keoy teow. Jika anda mencari char keow teow yang enak,sedap dan menyelerakan, maka Restoran Timur Char Kuey Teow dan Tea Ben Madu adalah lokasinya. Sebenarnya terdapat beberapa restoran,warung atau kedai makan yang menyediakan char kuey teow yang mesra selera, namun restoran ini sememangnya amat menepati citarasa para penggemar char kuey teow. Sebab itulah kedai makan ini sentiasa dipenuhi para pengunjung hingga ke larut malam. 


Restoran ini terletak di Wakaf Stan, Kubang Kerian Kelantan dan ia dibuka setiap hari, kecuali pada hari rabu bermula jam 5.30 hinggalah lewat malam. Rasanya tidak perlu saya detailkan lokasinya, ini kerana ia amat mudah untuk dicari dan diketemui. 

Jadi kepada warga Kelantan, terutamanya yang tinggal di sekitar Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih serta para pelancong yang berkunjung ke Kelantan, saya syorkan anda berkunjung ke restoran ini untuk menjamu selera, terutamanya char kuey teow dan tea ben madu. 

Ingin saya tegaskan, entri ini adalah berdasarkan pengalaman pribadi saya dan juga rakan-rakan saya yang sering berkunjung ke restoran ini.Perlu diakui perihal citarasa adalah berbeza antara satu sama lain, namun tiada salahnya untuk anda mencuba. Ini kerana kalau tak kenal maka tak cinta. 

Thursday, July 21, 2016

Sejarah kudeta di Turki


Tanpa diduga dan tidak disangka episod rampasan kuasa atau kudeta berulang lagi di bumi Turki. Namun, kudeta ini menemui kegagalan berbanding beberapa siri kudeta yang lalu, dan kerajaan di bawah pimpinan Racep Tayyip Erdogan masih mampu bertahan. Insiden yang berlaku pada hari Jumaat lepas telah mengorbankan 265 orang. 

Syukur kepada Allah, kerana pihak yang telibat dalam cubaan merampas kuasa tempoh hari mula dikesan dan diambil tindakan. Setakat ini(18.07.2016), seramai 6,000 orang tentera dan 2,745 orang hakim dan pendakwa raya telahpun ditahan. 

Rampasan kuasa kali ini diketuai olejh bekas Komander tentera udara Turki, Jeneral Akin Ozturk. Beliau dipercayai mempunyai kaitan dengan Fethullah Gulen yang kini berpengkalan di Pennsylvania, Amerika Syarikat. Sempena insiden berdarah ini eloklah juga kita mengimbas kembali beberapa siri rampasan kuasa atau kudeta yang pernah berlaku di Turki. 


Adnan Manderes


 27 Mei 1960 

Rampasan kuasa ini berlaku kerana pihak tentera yang mendokong idealogi Kamalisme tidak menyenangi dasar-dasar Perdana Menteri Turki pada masa itu, Adnan Menderes yang cuba mengembalikan Turki ke pangkuan islam. Pihak tentera terpaksa melakukan rampasan kuasa atas nama perlembagaan, iaitu mempertahankan idelogi Kemalisme. 

Antara pembaharuan yang dilakukan oleh Adnan Manderes ialah mengembalikan azan dan doa di dalam bahasa Arab dan membuka ratusan membenarkan penerbitan buku-buku dan majalah islam dan mengaktifkan kembali masjid- masjid yang dijadikan gudang sebagai pusat ibadat. Ternyata dasar-dasar ini tidak dapat diterima dengan senang dan tenang oleh Pimpinan Tentera yang bertanggungjawab mempertahakan idealogi Kemalisme, iaitu dasar-dasar sekular yang diasaskan oleh Mustafa Kemal Attarturk yang mengasaskan Republik Turki. 

Selain itu dasar politiknya yang teramat dekat dengan dunia islam dan dingin dengan Israil turut menyumbang ke arah rampasan kuasa oleh pihak tentera. 

Akhirnya kerajaan pimpinan Adnan Manderes diguling oleh pihak tentera dan beliau telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati. 


Suleyman Demirel


12 Mac 1971 

Pada waktu itu Turki berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dan menyebakan keadaan menjadi huru hara. Pergolakan berlaku dan semakin meluas, dan akhirnya pihak tentera campur tnagan dengan melakukan rampasan kuasa. Perdana Menteri Turki pada masa itu, Suleyman Demirel terpaksa meletak jawatan dan berundur dari arena politik buat beberapa ketika. 

12 September 1980

Situasi sosial dan politik di Turki pada masa itu belum stabil sepenuhnya. Dalam masa yang sama berlakunya pertempuran antara golongan sayap kanan dan sayap kiri. Keadaan sedemikian menyebabkan pihak tentera melakukan rampasan kuasa. Dalam peristiwa kudeta tersebut, ribuan orang telah ditahan termasuklah beberapa tahun sesudah insiden kudeta tersebut, manakala puluhan lagi telah dibunuh.

Kenan Evren, salah seorang pempin tentera yang melakukan rampasan kuasa telah dilantik menjadi presiden Turki yang baharu. Setelah beberapa tahun mentadbir Turki, jawatan presiden Turki beralih kepada Turgut Oza. 

Necmettin Erbakan


28 Februari 1997 

Jika diamati dengan teliti, motif rampasan kuasa pada tahun 1997 adalah sama dengan rampasan kuasa pada tahun 1960. Iaitu demi mempertahankan Kemalisme dan menghalang mana-mana usaha yang ingin mengembalikan Turki ke pangkuan islam. 

Necmettin Erbakan yang merupakan Perdana Menteri pada masa itu mempunyai cita-cita yang sama dengan Bekas Perdana Menteri, Adnan Manderes yang digulingkan oleh tentera pada tahun 1960. Mereka berkongsi hasrat dan matlamat, iaitu mengembalikan Turki kepada islam. 

Akibatnya pihak tentera melakukan rampasan kuasa dan Necmettin Erbakan dilucutkan jawatan sebagai Perdana Menteri Turki dan dihalang meibatkan diri dalam arena politik Turki. 


Setelah empat kali menyaksikan peristiwa rampasan kuasa, adakah peristiwa yang menodai demokrasi ini akan berulang lagi di bumi Turki. Apa yang berlaku pada hari Jumaat lepas seakan-akan mengulang kembali sejarah rampasan kuasa di bumi Othmaniyah itu.

Saturday, July 16, 2016

Aidilfitri zaman teknologi dan Hari Raya era gajet.



Wednesday, July 13, 2016

Perkara yang perlu dielakkan ketika menganjur majlis rumah terbuka Aidilfitri


Selain kepelbagaian juadah dan amalan kunjung mengunjung, syawal juga agak sinonim dengan penganjuran Majlis rumah terbuka. Sebenarnya mengadakan majlis rumah terbuka ini merupakan salah satu bentuk kesyukuran pihak penganjur dengan memberi makan kepada para jemputan. 

Majlis rumah terbuka akan mendapat pahala dan diberkati Allah jikalau ia menepati piawaian agama. Di sini saya ingin berkongsi beberapa perkara yang perlu dielakkan ketika menganjur majlis rumah terbuka. Ini bagi memastikan majlis tersebut patuh syariah dan mengundang keberkatan daripada Allah. Entry ini berdasarkan artikel/tulisan Ustaz Zainudin Hashim yang disiarkan di dalam akhbar Harakah bertarikh 30 September- 2 oktober 2011(2-4 Zulkaedah 1432), dengan sedikit pengubahsuaian. 


Perkara yang perlu dielakkan ketika menganjur majlis rumah terbuka. 

1. Terdapat rumah terbuka yang hanya menjemput rakan-rakan sepejabat atau sanak saudara semata-mata. Manakala jiran tetangga pula diketepikan. Jiran tetangga sepatutnya diundang, sama ada mereka ingin datang atau sebaliknya, itu terpulang kepada mereka. 

2. Penganjuran rumah terbuka yang tidak mengasingkan tempat mengambil makanan antara tetamu lelaki dan perempuan. Cadangan terbaik ialah andainya tetamu perempuan mengambil makanan di dalam rumah, tetamu lelaki pula makanannya disediakan di luar rumah. Atau boleh juga dengan mendahulukan tetamu perempuan untuk mengambil makanan dan kemudiannya disusuli tetamu lelaki. 

3. Andainya rumah terbuka itu berhampiran masjid, maka tuan rumah dan para tetamu khususnya lelaki seeloknya menunaikan solat berjemaah di masjid tersebut apabila masuk waktu solat. Penganjur tidak seharusnya leka melayan tetamu dan para tetamu tidak seharusnya leka menjamu selera hingga tidak mempedulikan azan yang berkumandang di masjid atau surau yang berhampiran. 

4. Tidak menutup aurat dengan sempurna. Pihak penganjur perlulah memastikan ahli keluarganya , terutamanya isteri dan anak perempuan, malah pembantu rumah jika ada telah berada dalam keadaan menutup aurat dengan sempurna sebelum menerima kunjungan tetamu. Pakaian yang ketat dan nipis atau yang menampakkan bentuk tubuh perlulah dijauhi. Ini kerana tubuh mereka akan menjadi tatapan dan santapan mata para tetamu yang akan berkunjung. 

5. Jika mampu, penganjur majlis rumah terbuka perlulah menjadikan majlis tersebut sebagai medan dakwah untuk menyeru tetamu ke jalan Tuhan. Tazkirah ringkas atau apa jua pengisian agama boleh dilakukan dalam tempoh tersebut. Tidak perlu memakan masa yang lama, nanti tetamu menjadi bosan dan jemu. Biarlah hanya beberapa minit Cuma, sebab yang penting ialah mesejnya mampu meresap ke dalam jiwa. 

Mudah-mudahan perkongsian ini mampu dimanfaatkan oleh semua. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri.

Tuesday, July 12, 2016

David Teo, P. Ramlee dan Nasionalis Sakit Jiwa.


Kenyataan David Teo tentang Allahyarham Tan Sri P.Ramlee memang agak biadap, meskipun mesej yang ingin dia sampaikan ada kebenarannya. Beliau sepatutnya bijak menyusun kata dan cerdik mengatur bicara. Tidak wajar sama sekali Allahyarham P. Ramlee dijadikan contoh kegagalan pelakon Melayu. Adalah lebih professional andainya kenyataannya ini ditujukan secara umum tanpa merujuk kepada mana-mana individu. 

Berikut adalah sebahagian daripada kenyataannya tentang Allahyarham P. Ramlee. 

“Kalau tak jadi jutawan, jangan jadi pelakon. Gila glamor buat apa? Kita kena kaya raya. Jangan seperti P Ramlee tinggal pun di tepi Bukit Bintang. Anak dia kena kerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Perbelanjaan kenalah dikawal secara berhemat” 

Ramai yang tidak senang dan tenang dengan kenyataan David Teo ini. Di laman sosial, terutamanya di Facebook, beliau mendapat kecaman hebat daripada Netizen. Walau bagaimanapun beliau menafikan pernah mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Tan Sri P Ramlee dan beliau mendakwa semua ini berpunca daripada salah faham dan salah tafsir penulis artikel. 

Saya tidak berminat untuk mengulas isu ini dengan panjang lebar. Cuma saya tertarik dengan segelintir kritikan dan kecaman yang dilontarkan oleh sesetengah netizen terhadap David Teo. 

Kritik mengkritik tiada masalahnya, sekurang-kurangnya ia dapat menyedarkan seseorang daripada keterlanjuran kata dan perbuatan. Namun biarlah berpada-pada. Kritikan dan kecaman yang berbaur perkauman perlu dielakkan. Paling malang terdapat kecaman yang sangat gila yang boleh menyebabkan tergelincirnya dari paksi akidah. Kecaman Maha Gila ini saya anggap datangnya dari seorang nasionalis yang sakit jiwa. 

Sila lihat screenshots di bawah. 



"Ko ingat ckp mcm ni david teo nk ambik ko belakon ke? Kesian.. bangsa sendiri xnk dipertahankan…esok lusa cina hina bangsa melayu bangsat..miskin..pun ko kata betol la org cina ckp.. bak ko kuar dari agama islam kalau x bleh pertahankan seniman agung p.ramlee…bangsa melayu."

Tulisannya di atas adalah sebagai respons terhadap seorang netizen Melayu yang menyokong pandangan dan kenyataan David Teo. Gila dan sangat gila hingga mencadangkan mana-mana orang Melayu yang tidak mempertahankan Allahyarham P.Ramlee agar keluar dari agama islam atau murtad. 

Dalam islam, andainya seseorang peminum arak bersolat, kita perlu galakkan dia agar kekal bersolat. Dan, tidak boleh sama sekali kita menyarankan agar dia jangan bersolat selagi mana dia tidak meninggalkan tabiat meminum arak. Jauh sekali daripada menyaran agar di keluar islam gara-gara meminum arak. Begitu juga dalam kes orang yang berpuasa tetapi tidak bersolat.

Kita tidak boleh menyarankan kepadanya agar jangan berpuasa atau sila murtad kerana tidak bersolat. Inilah masalahnya apabila semangat mengatasi ilmu dan bangsa mengatasi agama. 



Info Tambahan: 

Allahyarham P.Ramlee seniman hebat. Filemnya ada seribu makna tersembunyi yang perlu dirungkai. Lawaknya bukanlah lawak bodoh tetapi ada sejuta erti yang perlu diselongkar.

Monday, July 11, 2016

10 perlawanan terakhir Portugal dan Perancis


Euro 2016 baru sahaja melabuhkan tirainya. Pagi tadi, seantero dunia menyaksikan Portugal muncul sebagai juara apabila berjaya mengalahkan Perancis. Gol kemenangan Portugal pada pertandingan ini diciptakan oleh penyerang pengganti, Eder, pada babak tambahan, atau tepatnya menit ke-109. 

Apa yang pasti kemenangan tersebut merupakan detik yang amat bersejarah dan sangat manis buat penyokong Portugal. Ini kerana ia adalah kali pertama Portugal menjuarai Piala Euro atau kejohanan Eropah sejak ia diperkenalkan pada tahun 1960. Piala Euro merupakan kedua terbesar dalam sukan bola sepak global selepas Piala Dunia. 

Sejarah kedua pula ialah ini merupakan kemenangan kali kedua Portugal ke atas Perancis. Kemenangan pertama ke atas Perancis ialah pada tahun 1975. Jadi kemenangan pagi tadi seakan-akan mengulangi peristiwa bersejarah tahun 1975, di mana Portugal membelasah Perancis dengan jaringan 2-0. 

Berikut adalah 10 perlawanan terakhir antara Portugal dan Perancis sebelum final 2016 yang saya petik dari akhbar Berita Harian bertarikh 10 Julai 2016.

1. 8 Mac 1978.

 Perancis vs Portugal ( Persahabatan)
 Keputusan : 2-0 

2. 16 Mac 1983 

Portugal vs Perancis(Persahabatan) 
Keputusan: 0-3 

3. 23 Jun 1984  

Perancis vs Portugal (Euro) 
Keputusan: 3-2 

4. 24 January 1996

Perancis vs Portugal (Persahabatan)
Keputusan: 3-2 

5. 24 January 1997 

Portugal vs Perancis (Persahabatan) 
Keputusan: 0-2 

6. 28 Jun 2000

Perancis vs Portugal (Euro) 
Keputusan : 2-0 

7. 25 April 2001 

Perancis vs Portugal (Persahabatan) 
Keputusan : 4-0 

8. 5 Julai 2006. 

Perancis vs Portugal(Piala Dunia) 
Keputusan : 1-0 

9. 11 Oktober 2014 

Perancis vs Portugal (Persahabatan) 
Keputusan : 2-1 

10. 4 September 2015

Portugal vs Perancis(Persahabatan) 
Keputusan : 0-1 

Berdasarkan rekod-rekod lepas tentu sahaja ramai yang meramalkan Perancis yang menjuarai Piala Euro 2016. Secara peribadi saya juga demikian. Apatah lagi Perancis baru sahaja mengalahkan Juara Piala Dunia 2014, German. Tambahan pula Perancis merupakan tuan rumah Euro 2016. Namun, ternyata ramalan tersebut akhirnya lerai dan berderai. Ternyata Portugal adalah pasukan terhebat di benua Eropah pada masa ini.

Sunday, July 10, 2016

Amalan Sunat pada Hari Raya


Terdapat beberapa amalan sunat yang sangat dituntut ketika menyambut hari raya, baik hari raya Aidil Fitri mahupun Hari Raya Korban. Namun untuk entry ini , saya fokuskan kepada Hari Raya Aidil Fitri sebab beberapa amalan sunat tertentu yang disenaraikan ini adalah khusus untuk Aidil Fitri. Berikut adalah antara amalan sunat di hari raya untuk kita amalkan bersama. 

  • 1. Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri. 
  • 2. Menjamah makanan sebelum keluar 
  • 3. Memperbanyakkan takbir sama ada di rumah atau di masjid. 
  • 4. Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain.
  • 5. Memakai pakaian yang terbaik 
  •  6. Menukar jalan ke tempat solat(balik dan pergi) 
  • 7. Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesame Muslim
  • 8. Bergembira dengan melakukan perkara yang dibenarkan
  • 9. Melakukan amalan sedekah 
  • 10. Melakukan puasa enam. 

Bagaimana Pula dengan Amalan Menziarahi Kubur pada Hari Raya. 

Disebabkan Hari Raya adalah hari untuk bergembira, maka sepatutnya kita memanfaatkan hari tersebut untuk memakismumkan penzahiran kegembiraan. Ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi sanak -saudara dan rakan- taulan adalah antara perkara yang amat dituntut. Begitu juga dengan mengembirkan anak-anak kecil dengan memberikan duit raya sekadar yang mampu dan sekudrat yang terdaya. 

Atas dasar menghormati ‘zon gembira' dan 'wilayah bersuka ria’ maka menziarahi kubur pada Hari Raya adalah tidak digalakkan. Ini kerana ia akan mendatangkan kesedihan. Bimbang dan risau, takut-takut kesedihan dan dukacita akan megambil alih dan menganti perasaan gembira dan suka ria pada hari yang mulia. 

Dan, andainya ingin juga menziarahi kubur pada hari raya, maka jangan sesekali menyandarkan amalan tersebut dengan perbuatan Nabi S.A.W. Maksudnya jangan beranggapan, itu adalah perbuatan sunat, ini kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi S.A.W dan para sahabat. Amat besar dosanya andainya kita berdusta atas nama Nabi. 

Boleh juga jika ditangguhkan amalan menziarahi kubur itu kepada hari-hari lain seperti pada pada hari raya yang ketiga atau keempat, agar dengan ini kita dapat memanfaatkan hari raya pertama dan kedua untuk bergembira. 

Huraian lanjut dan kupasan detail mengenai amalan menziarahi kubur pada hari raya, bolehlah rujuk di --> SINI

Wednesday, July 6, 2016

Adab menyambut Hari Raya Aidilfitri mengikut Sunnah Nabi S.A.W


Sumber : Fanpage Abu Anas Madani

Tuesday, July 5, 2016

Tips Aidilfitri: Periksa kenderaan sebelum pulang beraya.

Ini gambar kereta saya yang terbabas di Lenggong Perak ketika pulang berhari raya tahun 2010



Hari ini adalah hari terakhir Ramadan 1437H/2016M. Tentu sahaja masih ada yang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut 1 Syawal esok hari. 

Balik kampung merupakan satu tradisi setiap kali syawal menjelma. Sesiapa sahaja yang mempunyai kampung halaman, sudah pasti tidak mahu melepaskan pelaung untuk pulang berhari raya bertemu kelaurga dan sanak saudara.Tidak sanggup rasanya untuk para perantau beraya di perantauan, sedangkan ayah dan ibu jauh di mata. 

Bagi yang merancang untuk memandu dalam jarak yang jauh, lebih baik melakukan pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini selain dapat menjimatkan kos pembaikan yang tinggi semasa musim perayaan. 

Untuk entry kali ini, saya kongsikan tips memeriksa kenderaan sebelum pulang beraya. Entry ini bersumberkan artikel yang disiarkan di dalam Akhbar Kosmo bertarikh 5 Julai 2016. 



Panduan Pemeriksaan Kenderaan Sebelum Pulang Beraya. 

1. Minyak Enjin.

Periksa tahap minyak dan tarikh terakhir anda menukar minyak. Jika hampir dengan tarikh penukaran minyak , maka lakukanlah terlebih dahulu. Pastikan anda menggunakan jenama dan gred yang sesuai untuk melindungi hayat enjin selain mengekalkan tahap penjimatan bahan api yang optimum. 

2. Bendaalir transmisi dan stereng.

Kotak gear dan stereng mempunyai bekalan pelincir tersendiri. Periksa manual pemilik untuk jangka masa penukarannya. Jika kereta anda merekodkan jarak melebihi 100,000 kilometer, inilah masanya untuk menukar cecair berkenaan. 

3. Lampu. 

Lampu utama, lampu isyarat bertukar lorongdan lampu brek haruslah dititikberatkan terutamanya jika anda memandu pad waktu malam atau dalam keadaan hujan. Pastikan ia bergfungsi dengan baik dan terang.

4. Bahan penyejuk Enjin.

Kenderaan baharu kini dilengkapi dengan bahan penyejuk enjin yang mampu tahan hingga 300,000 kilometer. Jika kereta berusia kurang dari empat tahun, periksa sama ada tahap penyejuk dalam takungan plastik adalah mencukupi. Bahan penyejuk adalah tidak sama dan bukan amalan yang baik untuk mencmpurkannya dengan jenama lain. 

5. Tekanan dan bunga tayar. 

Periksa keadaan tayar kenderaan bagi memastikan bunga tayar sama rata, tiada rekahan atau gelembung dan rodanya tidka bergoyang. Jika tayar kenderaan telah hais atau botak, anda disarankan menukarnya pada yang baharu. Jangan lupa untuk membuat penjajaran dan imbangan tayar kenderaan anda. Pastikan juga tayar diisi dengan angin secukupnya.

6. Sistem brek.

Periksa pelapik brek atau cakera dan gantikan jika mulai menipis, haus atau tidak rata. Periksa takungan brek untuk melihat warna cecair dan pastikan ia sentiasa penuh. Kebocoran brek pada bahagian roda sukar dikesan jika membabitkan kebocoran kecil tetapi boleh dikesan jika terdapat buih selepas menyembur air deras pada bahagian berkenaan. 

7. Bateri.

Sistem elektrik perlu diperiksa untuk memastikan ia mengesas pada kadar yang betul. Jika bateri berumur lebih daripada empat tahun, ia mungkin masa terbaik untuk mengantikannya. Periksa keadaan bateri secara visual. Jika melihat sebarang kebocoran, keretakan aau kebocoran lain, gantikanlah bateri itu. Pastikan terminal bateri adalah ketat dan tidka berkarat. 

8. Pandu Uji kereta anda.

Anda perlu melakukan pemanduan singkat untuk mendengar bunyi, gegaran dan memerhati jika kenderaan anda mempunyai sebarang masalah. Jangan menganggap ia dalam keadaan yang baik biarpun memandunya setiap hari. 

Semoga panduan yang dikongsi ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Mudah-mudahan perjalan pulang beraya di kampung berjalan dengan lancar dan semoga hari raya dapat disambut dengan penuh kemeriahan dan keinsafan.