Monday, August 29, 2016

Pneumonia, penyakit yang mengancam jemaah haji.


Ibadat haji merupakan rukun islam yang kelima. Ia wajib dilaksanakan oleh umat islam yang berkemampuan, baik dari segi harta benda mahupun kesihatan dan juga keselamatan untuk menunaikan ibadat tersebut. Walau bagaimanapun entry ini bukanlah ingin membicarakan perihal ibadat haji secara terperinci, tapi sebaliknya ia mengenai ancaman kesihatan yang menganggu gugat para jemaah haji. 

Entry ini adalah bersumberkan sebuah artikel kesihatan yang disiarkan di dalam akhbar Metro Ahad bertarikh 14. Ogos 2016. Saya kongsiakn di sini untuk manfaat bersama. 

Saban tahun, lebih dua juta jemaah haji yang datang dari lebih 180 buah negara berkumpul di Makkah untuk melaksanakan ibadat haji, dan lebih daripada 20 ribu daripada mereka ialah Jemaah dari Malaysia. Apabila berlaku percampuran manusia yang sebegitu ramai pada tempat dan masa yang sama, tentu sahaja boleh meningkatkan risiko gangguan kesihatan terhadap jemaah haji. 

Menurut Ketua Jabatan Respiratori Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Razul Md Nazri Md Kassim,sebagaimana yang dilaporkan di dalam akhbar Meto Ahad bertarikh 14. Ogos.2016, beberapa risiko yang perlu dihadapi oleh jemaah haji kerana mereka datang dari pelbagai negara yang berlainan budaya dan tingkah laku berbeza. 

Menurutnya lagi, jumlah jemaah haji yang begitu ramai menyebabkan kedudukan individu dengan individu menjadi begitu rapat sewaktu mereka melaksanakan ibadat tersebut. Kita tidak dapat menggelak daripada tersentuh jemaah haji negara lain yang kita tidak ketahui status kesihatan mereka. Malah di sana juga kemudahan untuk jemaah haji terhad dan perlu berkongsi tandas dengan ribuan jemaah lain. 

Katanya lagi, Antara risiko yang terdedah kepada Jemaah haji ialah strok haba dan akan mengalami gejala seperti pening,muntah dan loya. Memandangkan cuaca yang panas dan keadaan penuh sesak, jemaah haji juga terdedah kepada matahari dan dehidrasi. 

Walaubagaimanapun, pneumonia mencatatkan jumlah kemasukan ke hospital paling tinggi berbanding pesakit lain dalam kalangan jemaah haji. Malah berdasarkan data terbaharu yang diperolehi, masalah utama membabitkan kesihatan jemaah haji adalah pneumonia. 

Pneumonia merupakan radang atau inflamasi pada paru-paru. Ia biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria dan virus, tetapi boleh disebabkan juga oleh kulat dan parasit. Ia juga boleh terjadi akibat daripada tindak balas kimia atau fizikal. 

Menurut beliau lagi, sebanyak 338 kes kemasukan ke hospital disebabkan pneumonia berbanding kes-kes lain. Risiko untuk terjadinya pneumonia dalam kalangan jemaah haji jugalebih tinggi jika mereka sudah mempunyai penyakit lain dan telah berusia. 

Memandangkan umur purata jemaah haji dari Malaysia ialah 70 tahun, maka ia meningkatkan lagi kadar risiko untuk dijankiti pneumonia. 

Info Tambahan:

  • Buat masa sekarang, kerajaan hanya menyediakan suntikan vaksin meningococcal secara percuma dan wajib diambil oleh jemaah haji. 
  •  Bagaimanapun jemaah haji digalakkan mengambil vaksin pneumococcal untuk mencegah penyakit yang disebabkan streptococcus pneumonia serta suntikan vaksin influenza. 

Simptom Pneumonia.

  • Pesakit yang menghidap pneumonia mengadu sakit batuk berkahak warna kuning atau hijau. Pesakit juga akan mengalami demam panas dan menggigil. 
  • Kahak mereka yang dijangkiti streptococcus pnemoniae berwarna ‘karat’  
  • Sakit dada ketika menarik nafas atau ‘pleuritic chest pain’ adalah sakit yang dialami seperti ditusuk sesuatu yang tajam. 
  • Batuk berdarah
  • Berpeluh 
  • Sakit sendi dan otot 

Tanda serangan secara fizikal. 
  •  Tanda yang didapati apabila diperiksa oleh pengamal perubatan adalah demam dengan suhu badan lebih 37.8 darjah Celsius dan denyut nadi yang laju (100/minit) 
Tanda sistemik. 
  • Demam panas
  • Menggigil 
  • Sakit kepala 
  • Kurang selera makan.

Thursday, August 18, 2016

Apabila pengemis menggunakan facebook.




Jika ingin mengemis like dan menagih komen serta memungut jumlah perkongsian/share sekalipun biarlah berpada-pada. Fahamilah had dan batasnya. 

Jangan hanya kerana ingin popular di Facebook, agama pula diperdagangkan. Kenyataan/statement yang digunakan oleh mereka ini amat melampau. Ia bernada ugutan dan persis budaya kafir mengkafir. 



Kita tertanya-tanya adakah orang-orang yang tidak like pada foto yang dipostkan itu dikategorikan sebagai golongan yang tidak beriman atau rosak akidah. Ini kerana kepercayaan kepada hari kiamat termasuk dalam Rukun Iman. 

Kita juga tertanya-tanya adakah orang-orang yang tidak komen Aamiin pada foto yang dipostkan itu dikategorikan sebagai golongan yang tidak beriman dengan Qadak dan Qadar. 



Inilah taktik halus para pengemis populariti di Facebook. Mereka sebenarnya sengaja berbuat sebegini untuk mempopularkan akaun Facebooknya. Sebenarnya hanya sekitar10% hingga 20%(terkini rasanya sekitar 5% sahaja) daripada jumlah friends dan followers(F&F) kita yang nampak posting kita di facebook.

Namun, apabila ada orang yang share dan komen, maka posting tersebut akan dilihat oleh banyak orang. Jadi semakin banyak jumlah share dan komen, maka semakin melebar dan meluaslah posting tersebut di facebook. 

Masalahnya, amatlah tidak wajar jika agama dipertaruhkan untuk mengemis jumlah komen, share dan like dan meraih populariti.

Kaedah sebegini telah lama digunapakai oleh orang-orang yang terlibat dalam pengiklanan sesuatu produk di facebook. Mereka tidak pernah nyatakan harga pada iklan produk yang dipaparkan. 

Bila pengguna komen PM, iklan tersebut dan sekali gus akaun Facebooknya akan semakin terkenal dan popular sebab ia semakin mesra dengan robot Facebook. Bezanya, mereka tidak pernah pula memperdagangkan agama demi meraih keuntungan.

Wednesday, August 3, 2016

Hukum memukul binatang dengan tujuan mengajar.


Pernahkah anda melihat orang memukul binatang? 

Jika ya, janganlah cepat menghukum dan jangan tergesa-gesa untuk menganggapnya sebagai zalim dan kejam. Ini kerana ia tertakluk kepada tujuan dan kadar pukulan tersebut. 

Saya terbaca penjelasan menarik daripada Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim mengenai hukum mengasi haiwan yang disiarkan di dalam ruangan Agama, Berita Harian bertarikh 20 Disember 2014. Beliau merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. 



Saya rasa penjelasan tersebut amat perlu untuk dikongsikan demi manfaat bersama. Atas dasar itu, saya paparkannya di sini. 

Memukul haiwan peliharaan dan haiwan ternakan sebagai langkah untuk mendidiknya adalah dibenarkan. Namun pukulan tersebut ada had dan batasnya, iaitu tidak memudaratkan binatang tersebut seperti mendatangkan kecederaan dan kematian. 

Andainya pukulan tersebut menyebabkan haiwan tersebut tercedera dan mati, maka perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa. 

Mengenai hal ini, Nabi Muhammad S.A.W bersabda(mafhumnya:) 

"Sesungguhnya seorang perempuan telah dimasukkan ke dalam api neraka kerana seekor kucing yang telah diikatnya tanpa memberinya peluang untuk mencari makanan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tuesday, August 2, 2016

Hukum mengasi haiwan.


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya terbaca penjelasan menarik daripada Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim mengenai hukum mengasi haiwan yang disiarkan di dalam ruangan Agama, Berita Harian bertarikh 20 Disember 2014. 

Beliau merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Saya paparkan sahaja di sini untuk manfaat bersama. 

Secara dasarnya, memudaratkan semua jenis haiwan sama ada yang diternak atau dipelihara di rumah dengan perbuatan tertentu tanpa sebarang keperluan adalah haram. Namun, perlu diketahui perbuatan mengasi haiwan terbahagi kepada dua keadaan. 

Pertama, mengasi haiwan ternakan yang halal dimakan dagingnya. Kedua pula ialah mengasi haiwan peliharaan yang haram dimakan dagingnya. Kedua-dua keadaan mempunyai hukum yang berbeza. Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali telah bersepakat mengharuskan perbuatan mengasi haiwan ternakan yang boleh dimakan dagingnya seperti kambing, lembu, kerbau dan sebagainya. Hujah daripada pandangan ini ialah hadis yang diriwayatkan Ibn Majah bahawa Nabi Muhammad S.A.W pernah mengorbankan tiga ekor kibash besar yang telah dikasi (telah disahihkan oleh Al-Bani)

Namun fuqaha saling berbeza pendapat berhubung hukum mengasi haiwan peliharaan yang haram dimakan dagingnya . Mazhab Hanafi,Maliki dan Hanbali berpendapat mengasi haiwan peliharaan adalah makruh. Jika tiada keperluan untuk berbuat demikian, maka adalah lebih baik(afdal) perbuatan itu tidak dilakukan. 

Mazhab Syafie pula mengharamkan perbuatan mengasi semua jenis haiwan peliharaan. Hujah Mazhab Syafie ialah hadis daripada Ibn Umar yang mengatakan Nabi Muhammad S.A.W melarang daripada perbuatan mengasi kuda (hadis ini disahkan sanadnya sebagai daif)

Monday, August 1, 2016

Hari Raya, antara Jubah dan Baju Melayu.



Dahulu isu ini tidak pernah timbul. Ini kerana ‘unifrom’ khas untuk kaum lelaki pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha ialah Baju Melayu. Untuk Aidiladha, ia dipakai seketika cuma, iaitu ketika menunaikan solat sunat Aidiladha sebab selepas itu kaum lelaki kena tukar pakaian untuk aktiviti melapah daging. 

Mengenai Jubah pula, Beberapa tahun dahulu, pemakai jubah amatlah terhad dan terbatas. Kebiasaannya ia dipakai oleh Pak-pak haji dan juga golongan agama. Tapi hari ini, jubah semakin diminati oleh banyak pihak termasuklah para remaja. Jubah juga tidak lagi berimejkan timur tengah semata-mata, tetapi turut diberikan sentuhan moden. 

Umum mengetahui terdapat dua jenis baju Melayu , iaitu Baju Melayu cekak musang dan Baju Melayu Teluk Belanga. Baju Melayu ini dipakai lengap bersampin dan bersongkok. 

Tetapi di Kelantan, kebiasaanya baju Melayu hanya dipakai bersama kain pelikat dan kopiah. Di Kelantan sekitar tahun 1970-an dan 1980-an baju melayu juga dikenali sebagai Baju Gombang. Hari ini juga masih ada generasi tua yang memanggilnya sebagai baju gombang. Di negeri lain, saya tak pasti adakah terdapat gelaran lain untuk baju Melayu.


Sebenarnya entri ini bukanlah bermaksud untuk bercerita perihal baju Melayu secara panjang lebar. Sebab ada topik lain yang lebih penting untuk diceritakan dan dimurnikan, malah diperbahaskan andainya perlu. 

Topik yang saya maksudkan ialah polemik antara baju Melayu dan Jubah sebagai ‘uniform’ raya. 

Hairan sungguh, sebab isu sebegini remeh pun menjadi topik perbincangan hangat segelintir netizen. Malah ada yang peril memerli dan kutuk mengutuk di media sosoial.



Sesetengah pihak melihat budaya memakai Jubah dan kurta sebagai perbuatan menghakis budaya Melayu. Ia dianggap sebagai proses Arabisasi yang mengancam warisan Melayu. Mereka amat khuatir suatu masa nanti, orang-orang Melayu akan hilang jati dirinya sendiri kerana lebih mengagungkan budaya masyarakat asing. 

Namun, dalam masa yang sama sesetengah pihak pula cenderung memilih jubah atas alasan ia adalah pakaian sunnah kerana ia dipakai oleh Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat. Berbanding Baju Melayu yang berindentitikan bangsa, Jubah pula dilihat beridentitikan agama. Lalu mereka memilih jubah atas dasar memuliakan sunnah dan agama. 

Saya tertarik dengan isu pemakaian Jubah. Dua perkara yang perlu difahami dalam isu ini. 

1. Benarkan ia satu amalan sunnah yang dituntut? 

2. Adakah ia pakaian yang melambangkan agama atau sekadar identiti masyarakat Arab? 

Saya tertarik dengan pandangan yang dikemukakan oleh Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadawi. Beliau merupakan seorang Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia(USIM). Menurut beliau, sunah adalah apa yang lahir daripada Nabi Muhammad S.A.W yang bertujuan pensyariatan. 

Menurutnya lagi, sekiranya sesuatu perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W tetapi tiada kaitan dengan syariat, maka ia sekadar harus dan bukannya sunah. 

Secara mudahnya segala perbuatan Nabi Muhammad S.A.W yang dipengaruhi oleh faktor budaya dan persekitaran masyarakat Arab dikenali sebagai Sunnah Jibliyah. Manakala sunnah yang disyariatkan dikenali sebagai Sunnah Tasyri’iyah. 

Perlu kita fahami ada perbuatan Nabi Muhammad S.A.W yang lahir disebabkan oleh faktor latar belakang tempat dan masa. Mengenai pemakaian Jubah, ia merupakan pakaian masyarakat Arab pada masa itu dan sesuai dengan keadaan persekitaran seperti keadaan cuacanya 

Isu remeh temeh sebegini tidak perlu diperbesarkan sebenarnya. Sudah menjadi budaya orang Melayu berhari raya lebih dari sehari. Jadi apa salahnya jika hari raya pertama mengenakan Baju Melayu, manakala hari raya kedua mengenakan Jubah. Atau boleh juga Hari Raya pertama memakai Jubah, manakala Hari Raya kedua pula mengenakan Baju Melayu. 

Andai masih keberatan juga, bolehlah memakai Jubah pada waktu pagi 1 Syawal dan sebelah petang pula bolehlah mengenakan Baju Melayu.