Saturday, June 24, 2017

Amalan sunnah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.



Amalan sunnah pada Hari Raya Aidilfitri

Aidilfitri adalah hari kemenangan kepada umat islam setelah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Di sini saya ingin kongsikan beberapa amalan dan perkara sunat yang dituntut ketika menyambut hari raya, baik Aidilfitri mahupun Aidiladha

Amalan-amalan sunat pada hari raya.

Mandi sunat Aidilfitri.

Tatacara atau kaedahnya sama seperti mandi sunat yang lain, cuma ia dilakukan pada pagi Aidilfitri.

Berhias dan berwangi-wangian.
Seelok-eloknya kita pakailah pakaian yang paling baru untuk menyambut hari raya. Jika tiada pakaian yang paling baru, maka pilihlah yang paling elok.

Makan sebelum keluar solat.
Sebelum keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri, kita disunatkan untuk menikmati sedikit makanan.

Solat raya di tanah lapang.
Tanah lapang ini termasuklah kawasan padang. Tapi amalan ini agak terpinggir malah mungkin tiada di Malaysia, sebab di negara kita masjid yang menjadi pilihan. Tapi di negara jiran kita Indonesia, ahli-ahli Muhammadiyah selalunya akan menunaikan solat Aidilfitri di kawasan tanah lapang, berbeza dengan Nahdatul ulama yang biasanya menunaikan solat raya di masjid.

Wanita Juga dianjurkan menunaikan solat Aidilfitri.
Jika solat-solat yang lain, baik fardhu mahupun sunat wanita digalakkan untuk menunaikan di rumah. Tapi untuk solat hari raya wanita dianjurkan untuk turut sama menunaikan solat sunat di kawasan lapang, atau masjid.

Berjalan kaki ke tempat solat.
Namun, bagi yang tinggal jauh dari tempat solat terpaksalah menggunakan kenderaan.

Pergi dan pulang dari tempat solat dengan menggunakan jalan berlainan.
Antara hikmahnya di sini ialah kita dapat menemui lebih ramai saudara-mara saudara Muslim dan dapat bermaaf-maafan serta mengeratkan silaturrahim sesama kita.

Menguatkan suara ketika bertakbir.


Bagaimana Pula dengan Amalan Menziarahi Kubur pada Hari Raya?

Disebabkan Hari Raya adalah hari untuk bergembira, maka sepatutnya kita memanfaatkan hari tersebut untuk memakismumkan penzahiran kegembiraan.

Ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi sanak -saudara dan rakan- taulan adalah antara perkara yang amat dituntut. Begitu juga dengan mengembirkan anak-anak kecil dengan memberikan duit raya sekadar yang mampu dan sekudrat yang terdaya.

Atas dasar menghormati ‘zon gembira' dan 'wilayah bersuka ria’ maka menziarahi kubur pada Hari Raya adalah tidak digalakkan. Ini kerana ia akan mendatangkan kesedihan. Bimbang dan risau, takut-takut kesedihan dan dukacita akan megambil alih dan menganti perasaan gembira dan suka ria pada hari yang mulia.

Dan, andainya ingin juga menziarahi kubur pada hari raya, maka jangan sesekali menyandarkan amalan tersebut dengan perbuatan Nabi S.A.W. Maksudnya jangan beranggapan, itu adalah perbuatan sunat, ini kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi S.A.W dan para sahabat. Amat besar dosanya andainya kita berdusta atas nama Nabi.

Boleh juga jika ditangguhkan amalan menziarahi kubur itu kepada hari-hari lain seperti pada pada hari raya yang ketiga atau keempat, agar dengan ini kita dapat memanfaatkan hari raya pertama dan kedua untuk bergembira.

Huraian lanjut dan kupasan detail mengenai amalan menziarahi kubur pada hari raya, bolehlah rujuk di-->Hukum Ziarahi Kubur Pada Hari Raya


Thursday, June 22, 2017

Tarikh dan tanda-tanda Malam Lailatul Qadar.


Tarikh dan tanda-tanda Malam Lailatul Qadar.

Ramadan adalah bulan yang mulia. Ia adalah bulan untuk melipatgandakan amal ibadah. Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, tersembunyi satu malam yang sangat istimewa.

Ia amat ditunggu dan dan dinanti oleh setiap orang mukmin. Ia adalah malam yang penuh dengan keberkatan yang terselit di celah-celah bulan Ramadan yang berkat.  Ia adalah malam Lailatul Qadar, malam istimewa yang lebih baik dari 1000 bulan yang lain.

Tarikh Malam Lailatul Qadar.

Malam Lailatul Qadar tersembunyi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, sebagaimana
Sabda Nabi Muhammad SAW.




Selain tersembunyi pada sepuluh malam terakhir Ramadan, Malam Lailatul Qadar juga terselit pada malam-malam yang ganjil sebagaimana sabda junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW.


Ini bermakna malam penuh keberkatan itu tersembunyi pada malam ke-21, 23, 25, 27, dan 29 Ramadan.

Itu sahaja pembayang atau petunjuk yang Allah berikan. Jadi ia perlu dicari pada malam-malam. Pencarian yang dimaksudkan bukanlah melalui aktiviti meneropong dan meninjau seperti aktiviti memburu.

Sebaliknya melalui amal ibadah yang bermula dengan menunaikan Solat Isyak berjemaah dan diikuti dengan Qiyam Ramadan( Solat Tarawih), membaca Al-Quran, berzikir, dan membanyakkan doa.

Bagi yang berkemampuan dan berkesempatan maka beriktikaf di masjid amatlah digalakkan pada sepuluh malam terakhir Ramadan ini.

Perlu juga diketahui, ramai juga ulama yang berpendapat Lailatul Qadar akan berlaku pada malam 27 Ramadan. Namun, ia tidaklah berlaku secara tetap pada setiap tahun pada tarikh tersebut, jadi carilah ia pada malam-malam ganjil sepuluh Ramadan dan lebih bersungguh-sungguh pada malam ke 27 Ramadan.

Menurut Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani waktu bermulanya malam  Lailatul Qadar adalah selepas terbenamnya matahari dan berakhir apabila terbitnya fajar berdasarkan ayat terakhir di dalam surah al-Qadar.


Tanda- Tanda Malam Lailatul Qadar


  • 1. Keadaan matahari di pagi hari, terbit berwarna putih tanpa memancarkan sinar ke segala penjuru. Dari Ubay bin Ka’ab radhiyallahu ‘anhu, ia berkata,




  • 2. Keadaan malam tidak panas, tidak juga dingin, matahari di pagi harinya tidak begitu cerah nampak kemerah-merahan. Dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda



Walaupun begitu, tanda-tanda tersebut tak perlu dicari dan diteliti, dan ramai pemburu tanda-tanda tersebut berakhir dengan kekecewaan lantaran hanya menyedarinya pada keesokan harinya.

Jadi apa yang perlu kita lakukan

Tentu sahaja dengan mencontohi. Nabi Muhammad SAW.  Apa yang dilakukan oleh Baginda ialah memperbanyak ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadan.



Info Tambahan.

Dahulu dalam kalangan masyarakat Melayu terdapat kefahaman yang salah dan tersasar mengenai Malam Lailatul Qadar. Segelintir mereka beranggapan pada malam Lailatul Qadar  malaikat akan menjelma sebagai manusia tua dan kita perlu menangkapnya dan membuat permintaan agar dikabulkan. Alhamdulillah fahaman karut ini sudah tidak ada lagi.

Sunday, June 18, 2017

Hukum berbuka puasa lebih awal dari waktunya kerana kesilapan Muazzin.




Hukum berbuka puasa lebih awal dari waktunya kerana kesilapan Muazzin/Tukang Azan

Pada hari khamis minggu lepas(15.Jun.2017) saya dan keluarga nyaris-nyaris berbuka puasa lebih awal dari waktunya. 

Waktu berbuka di Kelantan pada hari tersebut ialah pada pukul  7.27 petang, tapi stesyen radio paling popular di Kelantan, THR Gegar Permata Pantai Timur telah menyiarkan azan maghrib lebih awal tiga minit , iaitu sekitar pukul 7.23 petang.

Alhamdulillah, saya bernasib baik kerana sentiasa merujuk takwim berbuka dan lebih mempercayai jam berbanding azan di radio atau masjid.

Walaupun begitu agak ramai warga Kelantan yang berbuka puasa lebih awal tiga minit dari waktunya pada hari tersebut gara-gara berpandukan azan dari stesyen radio tersebut. 

Oleh itu, timbullah persoalan adakah puasa tersebut batal atau tidak dan adakah ia perlu diganti/qadha atau sebaliknya.

Alhamdulillah, seorang tokoh agama Ustaz Kamilin Jamilin telah merungkai persoalan ini dilaman Facebooknya. Pembaca boleh rujuk laman tersebut, Kamilin Jamilin- Seni Hadith.

Di sini saya ingin berkongsi ilmu yang bermanfaat ini untuk dimanfaatkan oleh pembaca, terutamanya yang berhadapan dengan situasi tersebut.

Situasi ini termasuk dalam bab berbuka puasa kerana kesilapan yang tidak disengajakan baik buat tukang azan dan jemaah yang mengikuti “ijtihad” muazzin tersebut. Kedua-dua golongan ini tidak berdosa. Dalam Quran Allah berfirman:




Apapun waktu berbuka berbalik kepada asasnya iaitu terbenamnya matahari. Jika kita yakini sememangnya matahari telah terbenam, maka ia berbalik kepada hukum asal walaupun muazzin belum mengumandangkan azan.

Manakala jika kita yakin waktu di takwim sememangnya tepat dan muazzin terawal azan yang mengakibatkan kita berbuka sebelum waktunya, maka terdapat 2 pandangan para ulama dalam hal ini:

PANDANGAN PERTAMA:

Wajib menggantikan (qadha’) puasa pada hari tersebut walaupun tersilap, kerana puasanya tidak sempurna, sedangkan syarat sahih berpuasa ialah menahan dari sebarang perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.

Kejahilan boleh menggugurkan dosa, namun tidak menggugurkan qadha’ (Perincian tentang hukum tersilap dalam perbahasan Fiqh & Usulnya panjang untuk dihuraikan).
Begitu juga tidak warid dalam syarak tentang keringanan untuk tidak menggantikan puasa yang tidak cukup sifat tersebut, maka perlulah berpegang kepada asal iaitu menqadha’kan puasa yang tidak sah. Apatah lagi mereka yang berbuka tersebut yakin akan kesilapan mereka.


Pandangan ini dinisbahkan oleh Ibn Qudamah kepada jumhur ulama, antara mereka: ‘Umar bin al-Khattab RA sebagaimana yang diriwayatkan imam Malik dalam al-Muwatta’, imam al-Syaf’iy dalam kitabnya al-Umm dan lain-lain. Syeikh Ibn Baz antara yang pernah berfatwa dengan pandangan ini.

PANDANGAN KEDUA:

Puasanya sah dan tidak perlu qadha’ jika berbukanya di atas dasar yakin atau sangkaan yang tinggi dari sumber yang dipercayai seperti azan di masjid atau tenggelamnya matahari dek cuaca atau seumpamanya. Jika dia sedar akan kesilapannya setelah termakan atau minum, dia wajib menahannya kembali sehingga tiba waktu berbuka.
Ini berdasarkan umum ayat Quran di atas dan hadis riwayat al-Bukhariy berikut secara khusus.


Hadis tersebut menunjukkan para sahabat pernah tersilap berbuka awal sebelum waktunya kerana menyangka matahari telah terbenam dek cuaca yang kelam, kemudian setelah cuaca kembali pulih, Nabi SAW tidak pula dinukilkan menyuruh mereka menggantikan puasa mereka.

Jika wajib menqadha’kannya, nescaya pelbagai nas telah dinukilkan atau tersebar arahan qadha’ dari baginda SAW.

Sedangkan mereka yang terlupa berpuasa lalu termakan atau terminum pun diberi keuzuran dan puasanya dianggap sahih, berdasarkan hadis riwayat al-Bukhariy: “Siapa yang makan dalam keadaan terlupa sedangkan dia berpuasa, maka sempurnakanlah puasanya...”.


Apatah lagi mereka yang berbuka dalam keadaan yakin bahawa waktunya telah tiba.
Pandangan ini dinisbahkan kepada Mujahid, Hasan, Ishaq bin Rahawayh, riwayat dari Ahmad, Ibn Khuzaymah, Ibn Tamiyyah, dan merupakan tarjih syeikh Ibn al-‘Uthaymin, syeikh Mustafa al-‘Adawiy, syeikh al-Tarifiy & beberapa ilmuwan semasa.

Akhir coretan: Bagi yang mengambil pandangan kedua, ianya merupakan ijtihad kibar ulama yang wajar dihormati. Sementara pandangan pertama pula tidak dinafikan ia lebih selamat dan berjaga-jaga. Bak kata ‘Umar bin al-Khattab RA tatkala sedar akan kesilapannya berbuka awal: “الخطب يسير، وقد اجتهدنا” iaitu: “Kita telah berijtihad, dan mudah sahaja menqadha’kannya”.

Info Tambahan.

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Di harapkan juga THR Gegar jadikan kesilapan tersebut sebagai pengajaran.  Jangan kerana kelalaian anda, ribuan pendengar menanggung beban. Tidak hanya puasanya terbatal, malah terpaksa menggantikan semula puasa tersebut.




Thursday, June 15, 2017

Beberapa kesilapan berkaitan dengan Solat Tarawih.



Beberapa kesilapan berkaitan dengan solat tarawih.

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah. Antara Ibadah utamanya ialah berpuasa pada siang hari dan pada sebelah malam pula mendirikan solat tarawih. Manakala ibadah-ibadah lain ialah memperbanyakkan zikir, membaca Al-Quran, bersedekah dan memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa dan sebagainya.

Mengenai solat tarawih atau Qiam Ramadan pula hukumnya adalah sunat muakkad. Ia sangat dituntut, dan seboleh-bolehnya dilaksanakan secara berjemaah terutamanya di masjid, ataupun surau.

Antara dalil mengenai solat tarawih ialah sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya:

 “Barang siapa yang solat malam pada bulan Ra­madan kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan gan­jaran yang baik daripada-Nya, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)




Tarawih er­tinya beristirehat. Maka solat ini dilaksanakan berselang-seli dengan ‘berehat seketika’.

Tujuan berhenti rehat sekejap adalah bagi memperoleh keikhlasan dan memberi ketenangan kepada mereka yang bersolat, khususnya kepada warga emas di samping mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa.


Walaupun begitu, sama ada disedari atau tidak terdapat beberapa kesilapan yang berkaitan dengan solat tarawih. Di sini saya akan paparkan beberapa kesilapan tersebut untuk manfaat bersama.




Antara kesilapan paling utama ialah terdapat segelintir umat Islam yang menunaikan solat Isyak bersendirian di rumah.

Tapi anehnya sesudah itu mereka ke masjid atau surau untuk menunaikan solat tarawih berjemaah. Ini adalah kesilapan yang besar, sebab solat Isyak dan lain-lain solat fardhu yang lain lebih dituntut untuk didirikan secara berjemaah berbanding solat tarawih.


Kesilapan kedua ialah terdapat segelintir jemaah yang tidak bersama imam hingga ke akhir solat. Maksudnya di sini ialah hingga selesai solat witir berjemaah.

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud:

Sesiapa yang solat malam (tarawih) bersama imam sehingga dia bersurai (selesai solat), akan tertulis untuknya pahala qiam (bersolat) sepanjang satu malam.” (Riwayat Abu Daud)

Jika kita perhatikan di mana-mana masjid atau surau, pasti sahaja ada dalam kalangan masyarakat kita yang hanya solat tarawih separuh jalan walaupun rata-rata solat tarawih di negara kita hanya memakan masa sekitar empat puluh minit atau paling lama pun hanya hanya satu jam.

Sepatutnya kita bersama imam hinggalah selesai solat witir. Tak kisahlah lapan atau dua puluh rakaat tarawih, kita perlu bersama imam. Namun ramai yang tergesa-gesa keluar dari masjid dan pulang ke rumah, malah lagi malang ramai juhaberbual-bual kosong di beranda masjid.

Padahal masa tunaikan solat witir tiga rakaat itu tidak sampai 10 minit. Amat rugilah bagi mereka yang melepaskan peluang ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Kesilapan ketiga ialah meninggalkan solat tarawih apabila tidak berkesempatan menunaikannya secara berjemaah di Masjid atau surau.

Terdapat antara kita yang terpaksa bekerja pada sebelah malam di Bulan Ramadan, antaranya ialah pekerja kilang yang bekerja mengikut syif. Begitu juga dengan seseorang yang terpaksa meninggalkan solat tarawih di masjid kerana urusan tertentu yang perlu dilakukan.

Namun, itu bukanlah alasan untuk meninggalkan solat tarawih. Dalam islam, jika sesuatu itu tidak boleh kita lakukan semuanya, maka jangan pula ditinggalkan kesemuanya.

Jadi jika tidak berkesempatan untuk menunaikan solat tarawih berjemaah, kita bolehlah melaksanakannya secara bersendirian. Malah, jika tidak mampu melaksanakan lapan rakaat, maka memadailah dengan dua rakaat.

Bagaimana cara untuk menunaikan solat tarawih secara bersendirian bolehlah rujuk --> Tatacara melaksanakan solat tarawih bersendirian di rumah.

Kesilapan keempat ialah ialah mengenai amalan berselawat ketika bersolat tarawih.

Menjadi tradisi di kebanyakkan masjid dan surau di negara kita, akan diiadakan selawat antara rakaat tarawih.Sebenarnya ia tidaklah salah sebab selawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah amalan yang mulia. Lagipun istilah tarawih itu membawa maksud beristirehat. Maka solat ini dilaksanakan berselang-seli dengan ‘berehat seketika’.

Tujuan berhenti rehat sekejap adalah bagi memberikan ketenangan dan kelegaan kepada mereka yang bersolat, khususnya kepada warga emas.

Jadi tidaklah menjadi kesalahan untuk berselawat ketika bersolat tarawih. Namun, malangnya sesetengah orang kita tidak menganggap amalan berselawat antara rakaat tarawih itu satu kemestian dan tanpanya solat tarawih seakan-akan tidak sempurna. Salah faham sebegini berlaku kerana terdapat orang-orang kita yang bersolat jemaah tanpa ilmu dan kefahaman. Apatah lagi sedari kanak-kanak hingga ke usia emas begitulah kaedah atau tatacara solat tarawih yang dilakukannya. Sebenarnya selain berselawat, 'masa beristirehat' tersebut boleh juga diisi dengan zikir, tazkirah, dan apa sahaja aktiviti berfaedah.


Menunaikan solat tarawih kerana dengan ganjaran pahala.

Masih ada segelintir umat islam yang begitu bersemangat menunaikan solat tarawih kerana ingin memburu ganjaran pahala yang berlipat ganda. Ganjaran pahala yang saya maksudkan ialah ganjaran pahala yang disediakan untuk setiap malam Ramadan. Contohnya mengerjakan solat tarawih pada malam ke tujuh belas akan memperolehi pahala sebanyak pahala Nabi-nabi.

Ini adalah kesilapan terbesar memandangkan hadis mengenai kelebihan dan fadhilat tersebut adalah tidak sahih dan ia adalah bersumberkan hadis palsu atau setidak-tidaknya hadis yang terlampau daif. Ambil contoh fadhilat tarawih pada malam ke tujuh belas Ramadan yang kononnya akan memperolehi pahala sebanyak pahala Nabi-nabi. Ini amat keterlaluan sebab ganjaran pahala yang sedemikian untuk ibadah yang sebegitu kecil.

Kita sepatutnya ikhlaskan hati untuk menunaikan ibadah tersebut dengan mengharap redha-Nya. Urusan pahala, biarlah Allah yang tentukan.

Semoga perkongsian ini mampu merungkaikan salah faham yang melingkari segelintir masyarakat kita mengenai solat tarawih. Dan, semoga ibadah yang kita lakukan pada bulan Ramadan ini termasuklah solat tarawih diterima oleh Allah dan dianugerahkan ganjaran pahala oleh-Nya.


Tuesday, June 13, 2017

Adakah dengan bersahur sudah dianggap berniat puasa.




Adakah dengan bersahur sudah dianggap berniat puasa.

Niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib. Ia adalah rukun puasa dan tanpanya, maka tidak sah puasa seseorang itu.






Mengenai niat puasa, ia perlulah mengandungi ketiga-tiga perkara di bawah, iaitu.


  • Al-Jazm (الجزم): yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.


  • Al-Ta’yiin (التعيين): iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ianya puasa Ramadhan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dsb.). Tidak memadai dengan berniat secara mutlaq untuk berpuasa.


  • Al-Tabyiit (التبييت): menetapkan niat pada malam hari.


Telah menjadi tradisi di sesetengah masjid, imam dan makmum akan melafazkan niat puasa beramai-ramai sesudah usainya solat witir.

Dan, telah menjadi tradisi juga dalam kalangan masyarakat kita amalan mengARABkan lidah( melafazkan niat) dan meMELAYUkan hati( melalukan niat mengikut susunan ayat-ayat) ketika berniat puasa termasuklah ketika bersahur.

Isunya adalah kita dituntut melakukan semua ini apabila ingin berpuasa. Atau, tidak sahkah puasa seseorang yang tidak  mengARABkan lidah  dan  meMELAYUkan hati ketika berniat puasa?

Bagaimana pula dengan seseorang yang bangun untuk bersahur tetapi terlupa atau sengaja tidak  melafazkan niat ketika menjamah hidangan. Sah atau tidak puasa mereka?

Untuk memahami persoalan ini dengan lebih tuntas, mari kita ikuti penulisan Dr. Ustaz Rozaimi Ramle 

Menurut beliau, apabila seseorang itu bangun untuk bersahur, maka dia sudah dianggap berniat untuk berpuasa. Menurut al-Syarbini:





Pandangan yang muktamad (dalam mazhab syafie) jika dia bersahur untuk berpuasa, minum (waktu malam) supaya tidak dahaga esok hari  atau meninggalkan makan, minum dan jimak kerana bimbang terbitnya fajar (kerana bimbang puasanya akan terbatal) ITU SEMUA ADALAH NIAT jika terlintas di jiwanya puasa dengan sifat yang disyaratkan untuk dilintaskan kerana semua perbuatan itu menunjukkan tujuan berpuasa.

Jelas di sini bahawa niat puasa itu tidak susah mana. Bahkan pengarang kitab al-Ikhtiar yang bermazhab hanafi menjelaskan dengan lebih jelas:




Ketahuilah bahawa niat adalah syarat dalam puasa iaitu seseorang mengetahui dalam jiwanya bahawa dia akan berpuasa. Dan tidak ADA ORANG MUSLIM YANG JIWANYA KOSONG DARI NIAT INI di malam-malam bulan Ramadhan.

Info Tambahan.

Telah menjadi tradisi dalam kalangan masyarakat kita amalan mengARABkan lidah( melafazkan niat) dan  meMELAYUkan hati( melalukan niat mengikut susunan ayat-ayat) ketika berniat puasa termasuklah ketika bersahur.

Padahal hakikat niat ialah kita memahami tujuan dan azam yang terbuku di dalam hati yang membawa maksud kita mengetahui apa yang sedang dan akan dilakukan. 

Jadi jika seseorang itu memahami dan memang berhasrat untuk berpuasa pada keesokan hari dan dia memahami puasa tersebut adalah puasa fardhu Ramadan, maka itu sudah dikira berniat. Jika tidak apa motifnya diaktifkan alarm pada jam atau telefon bimbit untuk bangun sahur. Tentu sahaja kerana ingin berpuasa.

Jadi amatlah mustahil untuk seseorang itu terlupa berniat untuk berpuasa. Kecuali dia tidak tahu atau tidak sedar dirinya sedang berada di bulan Ramadhan atau dia tidak tahu Ramadhan itu bulan untuk berpuasa.











Monday, May 29, 2017

Hukum wanita menggunakan pil tahan haid untuk membolehkannya berpuasa penuh.



Hukum wanita menggunakan pil tahan haid untuk membolehkannya berpuasa penuh.

Isu ini sering kali diperkatakan apabila tibanya bulan Ramadan. Memandangkan kebanyakan perempuan tidak dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan, disebabkan kedatangan haid, maka terdapat usaha dan ikhtiar bagi membolehkan mereka dapat merebut dan menikmati ibadah berpuasa dan lain-lain ibadah di bulan yang mulia ini. Antara pendekatan yang sering digunakan ialah dengan mengambil pil tahan haid.

Melalui kaedah ini, wanita-wanita tersebut tidak didatangi haid sepanjang Ramadan dan dapatlah mereka melaksanakan ibadah puasa dengan lebih sempurna.

Adakah perbuatan ini dibenarkan oleh syarak. Sebab kaedah atau pendekatan ini sememangnya menyalahi fitrah dan menyanggahi lumrah.

Untuk entry ini saya tertarik dengan penjelasan Ustaz Abd Hakim Othman dalam ruangan Fiqh Puasa, Majalah Al-Ustaz edisi ke 62.  Begitu juga dengan penjelasan/ video daripada Dr. Abdul Basit Abdul Rahman

Ulama sepakat mengharuskan penggunaan pil tahan haid kerana tidak ada sebarang dalil yang menghalangnya.  Walaupun begitu, pengharusan ini ada syaratnya, iaitu.


  • 1.Meminta izin suami bagi wanita yang sudah berkahwin kerana pil ini dapat menganggu hormon kesuburan wanita.


  • 2. Memastikan penggunaan pil tahan haid ini tidak memudaratkan. Oleh itu pandangan daripada pakar perubatan Muslim perlu dirujuk.


Menurut Ustaz Abd. Hakim, setelah beliau meneliti pandangan pakar perubatan, beliau berpendapat lebih baik sekiranya seseorang wanita tidak mengambil pil penahan haid dan beliau berpesan agar setiap wanita Muslim perlu menyakini ada hikmahnya disebalik penciptaan fitrah(haid) ini.

Rasulullah S.A.W bersabda kepada Sayidatina Aisyah ketika beliau didatangi haid semasa sedang menunaikan haji: " Sesungguhnya haid itu suatu ketetapan Allah terhadap wanita." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pesan beliau lagi, sesungguhnya, terdapat pahala tersendiri dalam mentaati perintah dan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah ini.

Info Tambahan.

Ibadat tidak terhad kepada bersolat dan berpuasa sahaja. Jadi wanita-wanita yang kedatangan haid masih boleh melakukan ibadat-ibadat yang lain selain berpuasa dan bersolat, antaranya ialah mereka masih boleh berzikir, memberi makan kepada orang berpuasa, bersedekah kepada golongan miskin, membaca buku-buku agama dan sebagainya.

Saturday, May 27, 2017

Niat puasa, perlukah berniat setiap malam atau memadai diniatkan untuk sebulan Ramadan sekali gus.



Niat puasa, perlukah berniat setiap malam atau memadai diniatkan untuk sebulan Ramadan sekali gus.

Ibadah puasa mempunyai dua rukun, iaitu niat dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Rukun puasa ialah amalan yang wajib ditunaikan ketika menjalani ibadah puasa. Jika tidak, puasa tersebut menjadi tidak sah.

Timbul persoalan, adakah niat puasa perlu dilakukan pada setiap malam atau memadai diniatkan untuk dilakukan sekali sahaja iaitu pada malam pertama Ramadan.

Sebenarnya isu ini sering diperkatakan sejak sekian lama, dan ia adalah perkara khilaf. Tentang perbahasannya elok rasanya kita telesuri huraian yang dikemukakan oleh S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan

Adakah perlu memperbaharui niat pada setiap malam atau berpada dengan niat 30 hari sekaligus dipermulaan niat?

Ini merupakan antara permasalahan yang sering timbul dikalangan masyarakat Islam dan menurut pembacaan kami, para ulama’ telah terbahagi kepada dua pendapat di dalam permasalahan ini:

Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik.

 Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.[1] Ianya sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.

Kedua: Tidak berpada dengan niat sebulan sekaligus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam.

Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadith Hafsah R.Anha sebelum ini. Ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak. Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.



Tarjih

Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur dan ianya juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa.

Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.

INFO TAMBAHAN.

Jika dirujuk kepada hadis, jelas Nabi SAW telah menetapkan niat perlu dilakukan pada malam hari sebelum berpuasa pada siang keesokan harinya. Lagipun berniat itu amatlah mudah dan terlampau senang. Amatlah mustahil seseorang itu boleh terlupa untuk berniat, kerana niat adalah lintasan di hati sahaja. Cukup dan memadai jika seseorang itu berhasrat untuk berpuasa fardhu Ramadan keesokan harinya. Maka itu sudah dianggap berniat untuk berpuasa 

Wednesday, May 24, 2017

Wanita hamil atau menyusu adakah perlu qadha atau bayar fidyah sahaja.



Islam agama yang mudah dan Allah tidak pernah membebankan hambanya.

Walaupun ibadah puasa adalah satu kewajipan dan merupakan rukun islamyang ketiga, namun  tertentu seseorang Muslim dibenarkan untuk meninggalkan puasa.


Walaupun begitu, mereka diwajibka mengantikan atau qadha puasa tersebut dan sesetengah kes pula, individu yang meninggalkan puasa tersebut perlu membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang miskin.

Untuk entry ini saya tertarik dengan perihal wanita yang meninggalkan puasa kerana hamil dan menyusu anak. 


Para fuqaha telah bersepakat wanita yang hamil dan menyusu boleh berbuka puasa, andainya tidak mampu. Bahkan wajib untuk mereka berbuka jika membahayakan diri ataupun anak ataupun janin. 

Persoalannya adakah mereka hanya perlu qadha puasa, atau membayar fidyah atau kedua-duanya sekali.

Sebenarnya isu ini sering kali diperkatakan malah diperdebatkan saban tahun. 

Untuk merungkai permasalahan ini, saya tertarik dengan penjelasan daripada Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin.

Sebenarnya ulama berbeza pendapat mengenai hal ini atau dengan kata lain ia adalah perkara khilafiyyah.

Ada ulama yang mewajibkan qadha dan fidyah  seperti Mazhab Syafie dan Hanbali. Di samping mereka membezakan antara berbuka puasa kerana bimbang keselamatan diri dan keselamatan anak. 

Ada yang mewajibkan qada sahaja di mana mereka seperti keadaan orang yang sakit. Ini pandangan Sufyan al-Thauri, Mazhab Hanafi dan lain-lain.

Ada yang memberi pilihan antara qada dan fidyah seperti pandangan Ishaq bin Rahuyah (atau dibaca Rahawaih) seperti yang disebut oleh al-Imam al-Tirmizi dalam sunannya. 

Ada yang tidak mewajibkan qada dan tidak juga fidyah seperti Mazhab Ibn Hazm al-Andalusi dan ini dianggap ganjil oleh sesetengah ulama.

Sebenarnya dalam hal ini terdapat pandangan daripada dua tokoh ilmuwan islam yang henat. Beliau ialah sahabat Nabi iaitu 'Abdullah bin 'Abbas dan 'Abdullah bin 'Umar. Mereka telah berfatwa dengan fatwa yang meringan bebanan wanita yang mengandung dan menyusukan anak tanpa mengira samada wanita itu kerap mengandung ataupun tidak. 

Menurut mereka berdua wanita yang mengandung dan menyusu jika buka puasa kerana bimbang keadaan diri ataupun anak hanyalah perlu membayar fidyah tidak diwajibkan menggantikan puasa tersebut.




Jadi wanita- wanita yang menyusu atau hamil, andainya mampu berpuasa, maka wajib berpuasa. Namun, jika tidak mampu bolehlah berbuka dan diganti pada hari yang lain. Jika dia sekadar mengganti puasa sahaja, maka itu juga memadai. Ini pendapat yang dipilih oleh sebahagian para ulama.

Namun, jika keadaan yang sukar seperti  sentiasa mengandung dan menyusu saban tahun disebabkan kekerapan anak dan menggantikan puasa menjadi beban untuk dihimpunkan selepas itu, maka  jika dia sekadar membayar fidyah sahaja, maka itu merupakan salah satu pendapat fekah yang boleh diamalkan.

Sesungguhnya islam itu bersifat mudah dan memberikan kelonggaran kepada mereka yang kesusahan.

Sesungguhnya fatwa Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar itu lebih memudahkan kaum wanita yang mengandung yang biasanya memakan masa selama 9 bulan kemudian kemudian diikuti dengan kelahiran dan menyusukan anak pula selama 2 tahun. Jika mereka diwajibkan qadha tentu satu yang agak membebankan untuk menghimpunkan semua yang mereka tinggal dalam tempoh tersebut. Apatahlagi jika tahun berikutnya mereka mengandung lagi.

INFO TAMBAHAN.

Fatwa daripada Abdullah bin 'Abbas dan 'Abdullah bin 'Umar ini mungkin kurang popular dalam kalangan masyarakat kita.

Namun, ia adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan apabila berhadapan dengan situasi tersebut. Iaitu wanita yang hamil saban tahun atau kerap hamil, dan menyusu anak-anaknya dengan susu badan.






Sunday, May 21, 2017

Kadar bayaran zakat fitrah tahun 2017 seluruh negeri di Malaysia.

Gambar: Berita Harian.



Salah satu daripada rukun Islam ialah menunaikan zakat. Zakat sebenarnya tidak terhad kepada zakat fitrah sahaja, sebab terdapat zakat-zakat yang lain antaranya zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat emas dan perak.

Namun, sempena kedatangan Ramadan yang mulia ini, eloklah kita memahami perihal yang berkaitan dengan zakat fitrah.

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Orang islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah.


  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.


  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.


  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.


Kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan adalah satu gantang Baghdad iaitu lebih kurang 2.7 kg beras atau nilai yang sama dengannya.

Nilai ini berdasarkan ketentuan oleh pihak-pihak berkuasa agama negeri. Kadar bayaran zakat adalah berdasarkan nilai harga beras seberat 2.7 kg.

Untuk tahun 2017, ke harga untuk zakat fitrah di seluruh negara ditetapkan antara RM6.50 hingga RM7.00 seorang, dan kebanyakan negeri masih mengekalkan kadar tahun lepas.

Berikut adalah kadar zakat fitrah tahun 2017, untuk setiap negeri di Malaysia.


  • Perlis : RM7.00 
  • Kedah : RM 7.00
  • Perak. : RM 7.00
  • Selangor : RM7.00
  • Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Labuan) : RM7.00
  • Negeri Sembilan : RM6.50
  • Melaka :RM6.70
  • Pahang : RM7.00
  • Terengganu :RM7.00
  • Kelantan : RM7.00a
  • Sabah : RM7.00r
  • Sarawak :RM7.00


Pembayaran zakat fitrah boleh dibuat menerusi amil yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri.

Kepada rakan-rakan blogger dan pengunjung yang beragama islam, selamat menjalani ibadah puasa saya ucapkan. Dan jangan lupa menunaikan zakat fitrah, serta zakat-zakat yang lain.



Tuesday, May 16, 2017

Senarai tema-tema Hari Guru di Malaysia.



Senarai tema-tema Hari Guru di Malaysia.

Sebelum memulakan entry ini, saya terlebih dahulu ingin ucapkan selamat hari guru kepada guru-guru saya. Terima kasih guru di atas segala ilmu yang cikgu curahkan. Jasa dan pengorbanan cikgu-cikgu tidak akan saya lupakan.

Kepada semua rakan-rakan guru dan bakal-bakal guru, saya ucapkan selamat hari guru. Kita bukan hanya mengajar tentang huruf dan angka. Kita tidak sekadar mendidik untuk membaca dan mengira. Tapi, sebesar buana dan seluas samudera yang ingin kita titipkan kepada anak-anak didik kita.

Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun bermula tahun 1972.  Tarikh tersebut dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama pada tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Guru Pembina Negara Bangsa telah dipilih sebagai tema Hari Guru Tahun 2017. Ianya juga merupakan tema yang sama untuk tahun 2016.

Sambutan Hari Guru tahun 2017 adalah edisi ke 46 peringkat kebangsaan. Pelancaran Perayaan Hari Guru 2017 Peringkat Kebangsaan Ke-46 akan diadakan pada 16 Mei 2017 di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor.

Senarai tema-tema Hari Guru Malaysia.

  • Guru Pembina Negara Bangsa 2016 
  • Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak 2015
  • Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi 2014 
  • Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda 2013. 
  • Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara 2012
  • Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara 2011 
  • Guru Pembina Negara Bangsa 2010 
  • Guru Pembina Negara Bangsa 2009
  • Guru Cemerlang Negara Terbilang 2008 
  • Guru Penjana Modal Insan Gemilang 2007
  • Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan 2006
  • Guru Penjana Modal Insan Gemilang 2007.
  • Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan 2004.
  • Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan 2004
  • Guru Berkualiti Aspirasi Negara2003
  • Guru Berkualiti Aspirasi Negara 2002. 
  • Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama2001. 
  • Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan 2000
  • Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang1999
  • Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama1998
  • Guru Bestari Sekolah Bestari 1997
  • Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia1996
  • Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan1995
  • Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan1994
  • Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan1993. 
  • Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan1992.
  • Ke Arah Pendidikan Cemerlang1991
  • Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera1990
  • Guru Pembina Budaya Ilmu1989. 
  • Guru Pengasas Budaya Membaca1988. 
  • Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan1987
  • Pendidikan Teras Nasionalisme1986
  • Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan1985. 
  • Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan1984. 
  • Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan1983.
  • Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu1982.
  • Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat1981.
  • Pendidikan Teras Perpaduan Negara1980.
  • Murid Sejahtera Negara Jaya1979.
  • Guru Pembentuk Generasi Akan Datang1978
  • Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan1977
  • Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan1976
  • Guru dan Pembangunan Negara1975
  • Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi1974
  • Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan1973
  • Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara1972


Sunday, May 14, 2017

Hukum menyambut Hari Ibu


Apabila memperkatakan perihal hari ibu dari perspektif islam pasti sahaja kita akan ketemui beberapa pandangan yang agak ekstrem. Malah ada yang menghukum syirik dan murtad apabila seseorang islam menyambut hari ibu. Mereka menghukum berdasarkan sejarah atau asal usul hari ibu yang bertentangan dengan akidah islam.

Sesetengah pula menghukum berdasarkan dalil umat islam hanya mempunyai dua hari raya sahaja, iaitu Eidul Fitri dan Eidul Adha. Jadi mana-mana perayaan lain hatta sambutan hari jadi adalah haram.

Namun terdapat juga pandangan sederhana dari beberapa orang tokoh agama yang boleh kita jadikan panduan dan pegangan. Antaranya ialah Dr Asri Zainul Abidin, Dr. Izhar Ariff, Dr. Zahazan Mohamed dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Al-Bakri.

Mereka berpandangan harus dan dibolehkan menyambut hari ibu dengan hujah yang bernas dan menyakinkan.

Jadi, terserahlah kepada anda samada ingin menyambut atau tidak.

Wednesday, May 10, 2017

Anwar Ibrahim kritik Fattah Amin.





Anwar Ibrahim kritik Fattah Amin.

Fattah Amin adalah pelakon yang cukup terkenal akhir-akhir ini. Beliau mula meniti populariti apabila digandingkan dengan Neelofa dalam drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot.

Tidak sekadar seorang pelakon, Fattah Amin juga membuktikan dirinya juga mampu menjadi penyanyi dan terbaru sebagai penulis buku.





Dalam bidang lakonan  Fattah Amin telah membuktikan kehebatannya apabila beliau menyapu bersih 4 trofi pada Anugerah MeleTOP Era 2017 MeleTOP Era (AME) 2017.

Manakala dalam bidang penulisan pula, karya Fattah Amin mendapat sambutan yang luar biasa. Buku Fattah Amin, iaitu 99 Kata-Kata #QalifModen dinobatkan sebagai Buku Paling Popular di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.

Walaupun begitu, ramai juga yang tidak dapat menerima kejayaan Fattah Amin dengan senang dan tenang.

Mereka mencemburui, mempertikaikan dan tidak menyenangi kejayaan yang diraih oleh hero Suri Hati Mr. Pilot itu.  Sebenarnya banyak pihak yang mencemburui kejayaan Fattah Amin, antaranya ialah pelakon Sharnaaz Ahmad.

Terkini kejayaan Fattah Amin juga turut tidak disenangi oleh Anwar Ibrahim. Entah apa salah dan silapnya Fattah Amin terhadap Anwar Ibrahim, sehinggakan beliau dibenci sebegitu rupa.

Anwar Ibrahim mengutuk dan mengeji karya-karya Fattah Amin termasuklah novel terbaharu, Wanita Terakhir yang kini berada di pasaran. Tidak pula dapat dipastikan adakah Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution juga mempunyai pandangan yang sama.



Hahahaha jangan marah ya dan kepada peminat setia Fattah Amin, jangan pula melatah. Kepada penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) jangan pula melenting, sebab Anwar Ibrahim ( ejaan sebenarnya Anuar Ibrahim) yang dimaksudkan ini bukanlah Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tapi, beliau hanyalah seorang  keyboard Warrior yang gemar melontarkan kritikan, cacian dan makian.

Kepada Fattah Amin selamat maju jaya saya ucapkan. Teruskan usaha anda menyusun jejak dan mengatur langkah untuk meraih kejayaan.

Tuesday, May 9, 2017

Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Tadabbur Hikmah Hadis 40 Imam Al-Nawawi.




Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Tadabbur Hikmah Hadis 40 Imam Al-Nawawi.

Hadis 40 karya Imam Al-Nawawi adalah sebuah kitab yang tidak asing lagi dalam kalangan umat islam, termasuklah di Malaysia.

Kebanyakan hadis yang disusun oleh Imam Al-Nawawi ini berkisar tentang kaedah dan konsep penting dalam memahami hidup beragama. Untuk itu ia amat sesuai kepada semua golongan bermula daripada orang biasa sehinggalah kepada orang ternama.

Namun, buku ini bukanlah syarah kepada Hadis 40 Imam Al-Nawawi. Tetapi ia lebih bersifat intisari semasa, sesuai dengan keperluan dan kebenaran. Ia merupakan satu ulasan yang lebih 'deep' serta dipersembahkan dalam bentuk berbeza dengan buku Hadis 40 yang telah sedia ada.

Kesemua hadis di dalam buku ini ditadabburi dan dirungkai untuk difahami makna yang terkandung di sebaliknya. Ia disampaikan dengan penuh santai tetapi mendalam maksudnya.

Berminat dengan buku ini.

Harga : RM23.00(+RM7.00 Pos)
Sila WhatsApps : 011-10576730/ 019-5776730

Ingin membeli buku dengan mudah dan cepat, jom berkunjung ke--->Jom Beli Buku Online

Monday, May 8, 2017

Hukum Nikah Khitbah/Nikah Gantung.



Hukum Nikah Khitbah/Nikah Gantung.

Nikah gantung atau  nikah Khitbah Nikah adalah gelaran bagi ikatan perkahwinan di mana pasangan belum mengadakan walimatul urus atau kenduri kahwin dan belum bersatu atau tinggal bersama atas sebab-sebab tertentu.

Saya tertarik dengan penjelasan dan huraian daripada Ustaz Haslin Baharin (Ustaz Bollywood) mengenai persoalan nikah gantung. Ia sebenarnya bertujuan untuk menjaga pergaulan antara pasangan lelaki dan wanita.

Daripada bercinta atau sekadar bertunang, tapi asyik ke sana ke sini dengan pasangan kekasih atau tunang sudah tentu terdedah dengan dosa-dosa maksiat. Jadi melalui nikah gantung, perbuatan maksiat dan dosa ini dapat dihindari, malah jika berlaku persetubuhan sekalipun ia tidak membawa kepada haram.

Menurut Ustaz Haslin lagi, walaupun nikah gantung hanyalah adat Melayu tetapi Rasulullah SAW juga pernah menggantung nikahnya dengan Aisyah sewaktu ingin berhijrah ke Yathrib (Madinah).

Ketika itu, Rasulullah berpesan kepada Ummu Rumman( ibu Aisyah) bermaksud;

"Wahai Ummu Rumman, perlakukan lah Aisyah dengan baik. Jagalah ia untukku."(Hadis Riwayat Hakim).

Jika seseorang dinikahkan mengikut syarat nikah, maka terjalinlah ikatan suami isteri antara mereka dengan setiap pihak memikul tanggungjawab dan hak masing-masing termasuklah duduk serumah.

Namun tidak wajib nafkah selagi mana tidak bersama. Jika berlaku persetubuhan maka batallah nikah gantung tersebut dan suami wajib memberikan nafkah berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal serta layanan yang baik kepada isterinya.

Monday, May 1, 2017

Sejarah Hari Pekerja/Buruh (Labour Day)



Apakah keistimewaan 1 Mei?

Pastinya, sebagai seorang pekerja, sama ada di sektor kerajaan mahupun di sektor swasta pastinya sedia maklum bahawa pada hari tersebut adalah merupakan Hari Pekerja yang disambut serentak bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia. Pada hari tersebut juga telah diisytiharkan sebagai cuti umum.

Namun, mungkin ramai yang tertanya-tanya, mengapakah 1 Mei diisytiharkan sebagai hari pekerja. Tentu sahaja ada sejarah yang tersendiri yang perlu kita selongkari di sebalik tarikh bersejarah ini. Untuk entry ini saya paparkan sahaja info yang saya perolehi di laman, http://homefamilysite.com

Idea sambutan Hari Pekerja ini sebenarnya mula tercetus di Australia pada tahun 1856. Ia adalah merupakan salah satu cara para proletariat pada masa itu untuk mencapai hari bekerja lapan jam sehari. Pada asalnya, mereka menetapkan perayaan itu pada 21 April 1856 dengan mengadakan demonstrasi bagi mencapai tujuan mereka.

Perayaan pertama itu telah memberi kesan yang positif di kalangan proletariat Australia yang membawa kesedaran kepada mereka sehingga tercetusnya pemberontakan baru menyebabkan keputusan diambil untuk meraikan perayaan itu setiap tahun.

Idea perayaan Hari Pekerja ini diterima di seluruh Australia dengan cepat, malah mula tersebar ke negara-negara lain di seluruh dunia. Kejayaan para pekerja Australia mencapai matlamat bekerja lapan jam sehari mendorong para pekerja di negara lain tampil dengan berani untuk menuntut hak yang sama. Golongan pertama yang mencontohi langkah pekerja Australia ini adalah pekerja Amerika. Bermula pada tahun 1886, mereka mengambil keputusan bahawa setiap 1hb Mei patut menjadi hari pemberhentian bekerja antarabangsa. Pada hari tersebut, lebih 200,000 orang pekerja meninggalkan tempat bekerja mereka dan menuntut masa bekerja hanya lapan jam sehari.

Pengisytiharan 1 Mei sebagai Hari Pekerja di Malaysia hanya bermula pada tahun 1972. Pengisytiharan ini juga adalah hasil usaha gigih para proletariat negara pada masa lalu yang didorong oleh semangat perjuangan untuk mendapatkan waktu bekerja yang adil di samping menentang penindasan dan penekanan oleh pihak majikan.

Kini, ramai yang telah lupa mengenai sejarah Hari Pekerja ini. Malah cuti yang diisytiharkan pada hari berkenaan hanyalah dianggap sebagai satu daripada cuti umum yang biasa. Walau apapun, ia seharusnya tidak dipandang remeh kerana sejarah inilah yang telah mengiktiraf hak-hak para pekerja agar tidak lagi ditindas oleh pihak majikan. Pelbagai undang-undang atau dasar telah dibuat bagi memastikan hak pekerja lebih terjamin dari semasa ke semasa.

Info Tambahan.

Dalam Islam bekerja adalah satu ibadah. Jadi kita perlu mencari pekerjaan yang halal dan melaksanakan dengan penuh tanggungjawab
.

Thursday, April 27, 2017

ISLAM HINA WANITA?



Harga : RM22.00( termasuk pos)

WhatsApps: 011-10576730

Islam adalah agama rahmat. Rahmat yang memayungi sekalian alam, termasuklah terhadap golongan wanita. Hadirnya Islam, wanita dan kewanitaan dimuliakan.

Namun, terdapat suara-suara sumbang yang mendakwa islam berat sebelah dan lebih memihak kepada lelaki. Malah ada yang berhujah, tidak adil apabila semua Nabi dan Rasul dari kalangan lelaki. Tidak adil apabila Ulama-ulama muktabar termasuklah ulama Mazhab, dan sarjana islam dimonopoli oleh kaum lelaki.

Insha Allah buku ini mampu merungkaikan kedudukan sebenar wanita di dalam Islam.


Pure Stevia Sweetener disahkan sebagai Stevia palsu.


Pure Stevia  Stevia palsu.


Pure Stevia sweetener disahkan sebagai Stevia palsu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui  Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan ke atas produk stevia di pasaran. 

Hasil pemantauan mendapati satu sampel berjenama PURE STEVIA keluaran syarikat VJS Cosmo Ent. tidak mengandungi stevia.  




Sehubungan itu, KKM juga telah mengarahkan syarikat terlibat memanggil balik produk tersebut dari pasaran dan tindakan mahkamah akan di ambil ke atas syarikat berkenaan di bawah Akta Makanan 1983.

Info Tambahan.

Alhamdulillah akhirnya terbongkar salah satu jenama Stevia palsu. Semoga tindakan undang-undang dikenakan terhadap syarikat terbabit.

Namun, sebagai pengguna kita mengharapkan sembilan lagi jenama Stevia yang didakwa palsu oleh pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini dapat disahkan statusnya oleh pihak KKM secepat mungkin demi kebaikan para pengguna.

Wednesday, April 26, 2017

Pelajar tahfiz, Adik Mohamad Thaqif meninggal dunia




Pelajar tahfiz,  Adik Mohamad Thaqif meninggal dunia

Pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) kira-kira jam 2.05 petang tadi.

Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafie, 11, meninggal dunia sebelum sempat menjalani pembedahan untuk memotong tangannya  yang dijadual hari ini tidak dapat dijalankan berikutan keadaan jantungnya yang tidak stabil.

Sehingga jam 3.45 petang, jasad Mohamad Thaqif masih berada di wad hospital untuk menjalani proses bedah siasat.

 Kisah penderitaan Allahyarham Mohamad Thaqif mula mendapat perhatian warga Malaysia, dan tular di media sosial sejak Jumaat lalu, apabila kedua-dua kaki Mohamad Thaqif terpaksa dipotong sejak dimasukkan ke HSI dua minggu lalu kerana ada darah beku selepas didakwa disebat oleh seorang pembantu warden madrasah tahfiz di Kota Tinggi itu.



Info Tambahan.

Innalillahi wainna Ilahi rajiun.

Allahumma firlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu.

Semoga tragedi ini membuka mata kita semua dan kita mengharapkan Allahyarham mendapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya.

Kes ini juga perlu disiasat dengan teliti. Rakyat tidak perlu menjadi hakim negara dengan menjatuhkan cacian dan makian berlebihan terhadap pembantu warden tersebut. Biarlah siasatan diadakan oleh pihak yang arif lagi pakar agar punca kematian dapat dirungkai, sama ada berpunca daripada sebatan tersebut atau berpunca daripada masalah kesihatan yang selama ini tersembunyi daripada pengetahuan.

Monday, April 24, 2017

Penghinaan terhadap mendiang ayah Watson Nyambek, Ammar Titan perlu matang.


                   Kredit gambar: Info Kini


Penghinaan terhadap mendiang ayah Watson Nyambek,  Ammar Titan perlu matang.

Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek kecewa dan marah dengan tindakan stesen televisyen TV3 yang memperlekeh nama bapanya seperti yang di­siarkan dalam rancangan komedi, Sukan Tak Sentral malam kelmarin.

Rancangan yang bersiaran pada pukul 11.30 malam dihoskan oleh dua pengacara, iaitu Azizul Ammar Abu Hassan (Amar Titan) dan Marsha Milan Londoh

Bekas pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100 meter itu berkata, beliau kecewa dan marah dengan penerbit rancangan itu yang seperti sengaja menghina nama mendiang bapanya.

Ketika bersiaran, pengacara lelaki, Amar Titan menyebut; "Telah memadamkan rekod lama yang dipegang oleh Watson Nyambek....Bek"

Perbuatan Ammar tersebut seolah-olah mengembek seperti kambing selepas menyebut nama mendiang Nyambek itu dikecam netizen yang beranggapan tindakan Amar itu seolah-olah menyamakan mendiang Watson dengan binatang berkenaan.

INFO TAMBAHAN

Inilah yang berlaku apabila pelawak tidak faham situasi dan tidak cakna realiti. Mereka hanya ingin berjenaka dan membuatkan penonton ketawa sahaja. Saya tidak menyalahkan pelawak, malah saya adalah antara jutaan peminat Maharaja Lawak Mega, dan dahulunya adalah penggemar majalah lawak seperti Gila-Gila dan Ujang, Gelihati dan Lanun.

Tapi lawak ada had dan batasnya. Jangan keterlaluan dan perlu difahami tidak semua perkara boleh dijadikan bahan lawak. Benar Ammar sekadar ingin menghidupkan suasana atau program tapi lawaknya amat keterlaluan.

Para pelawak sepatutnya menjadikan seniman agong Almarhum Tan Sri P.Ramlee sebagai contoh tauladan. Almarhum mendidik masyarakat melalui lawaknya. Lawaknya bukan setakat untuk membuat penonton ketawa tetapi ada kritikan sosial dan mesej tersirat yang ingin Almarhum sampaikan.

Sunday, April 23, 2017

Semoga Julia Perez (Jupe) cepat sembuh.

Gambar Julia Perez (Jupe)


Semoga Julia Perez (Jupe) cepat sembuh.

Julia Perez (Jupe) adalah seorang model, pengacara, pelakon drama bersiri dan penyanyi dangdut  dari Indonesia. Sebagaimana artis-artis Indonesia yang lain, Jupe juga turut dikenali di Malaysia.

Secara peribadi saya adalah antara pelanggan chanel Pelangi dan Bintang yang cukup sinonim dengan filem-filem dan drama-drama dari negara jiran tersebut. Sememangnya Jupe adalah antara artis wanita Indonesia yang terkenal dengan imej seksinya.

Itu kisah silam Jupe, dan kini beliau sedang bertarung nyawa menanggung derita kanser serviks tahap empat.

Terkini beliau dilaporkan semakin kritikal dan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebagaimana yang dinyatakan oleh adiknya Nia Anggia di laman sosial Instagramnya.

Meskipun dari sudut ilmu perubatan, harapan untuk Jupe sembuh amatlah mustahil atau sangatlah tipis. Namun, kekuasaan Allah tetap mengatasi segalanya.

Moga Allah merahmatinya dan memberikannya peluang kedua untuk kembali ke paksi agama sebelum menemui-Nya.


Saturday, April 22, 2017

Apa motifnya Mufti Perlis, Dr. Asri menghina agama Hindu.





Apa motifnya Mufti Perlis, Dr. Asri menghina agama Hindu.

Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin(Dr. MAZA) telah bertindak melampau batas dan menyalakan isu perkauman apabila bertindak melulu dan mengikut nafsu dengan menghina dan mempersendakan agama Hindu. Tidak hanya menghina agama Hindu, Dr. MAZA juga menuduh India sebagai kerajaan yang zalim. Tindakan ini bisa meregangkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan India. 

Tindakan Dr. MAZA ini berkait rapat dengan tindakan kumpulan Hindraf yang tidak henti-henti menyerang Dr. Zakir Naik. Namun, Dr. MAZA telah memperluaskan skop kutukan dan kecaman dengan mengecam agama Hindu, malah turut menyerang negara India.

Penghinaan tersebut disiarkan melalui laman Fanpagenya. Pembaca boleh nilai sendiri wajarkah seorang Mufti yang mendiami negara berbilang kaum seperti Malaysia mengeluarkan kenyataan sebegini.

Berikut adalah tulisan Dr. MAZA yang penuh penghinaan terhadap agama Hindu.

....apabila yang mempertuhankan lembu bersatu.. 
lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu..

mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati..
pembakar wanita janda..di benua sana..
ajaran yang mengkastakan manusia..
sedih, sehingga ada yang dipanggil paria..

wajarkah manusia diperlakukan demikian rupa..
betapa menghina insan sesama..
di sini pula tidak pernah mereka berterima kasih kepada apa yang ada.. 

berpakat mereka membuat angkara..
kita tidak boleh berdiam bahasa..
toleransi dan kesabaran ada hadnya..

Sebagai Mufti, Dr. MAZA sepatutnya tidak bertindak sedemikian. Ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran islam, tapi bercanggah dengan prinsip ketamadunan. Sebagai seorang Mufti, yang juga seorang ilmuwan agama yang bertaraf pakar hadis, Dr. MAZA sepatutnya mendahulukan nas berbanding emosi. 







Jika dirujuk kitab suci Al-Quran, jelas terdapat panduan untuk umat islam yang hidup dalam ruang lingkup kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.


Islam melarang ummatnya mencerca,atau mencaci penyembahan orang lain. Ini jelas terkandung di dalam ayat suci  Al-Quran , surah Al An’am, ayat 108

Para ulama tafsir telah mengulas tafsiran ayat ini dengan panjang lebar, dan saya ingin paparkan penjelasan Prof. Wahbah Az-Zuhaili berkata dalam tafsirnya “Al-Munir (Jilid 7, m/s 327): “Ulama’ berkata bahawa hukum ayat ini kekal iaitu larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib, sembahan mereka, tempat ibadat mereka, dan jangan terdedah melakukan perbuatan tersebut kerana ianya seolah-olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada Allah dan Rasulnya”.

Walaupun kita tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan India itu, namun kita perlu matang dalam berfikir dan bertindak. Umpama menarik rambut di dalam tepung, perlu hati-hati dan perlu teliti.


Thursday, April 20, 2017

Wajarkah pelajar dibenarkan membawa peranti elektronik ke sekolah.

Dipetik dari  Sinar Harian


Wajarkah pelajar dibenarkan membawa peranti elektronik ke sekolah.

Umum mengetahui Kementerian Pendidikan bercadang membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik  seperti laptop, tablet dan telefon bimbit ke sekolah bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cadangan itu dikemukakan seiring pembangunan teknologi semasa dan ia meliputi semua sekolah rendah dan menengah.

Dipetik dari Astro Awani.


Walau bagaimanapun cadangan tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang bersetuju, malah ramai juga yang sebaliknya.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) atau NUTP telah bertegas menolak cadangan tersebut. Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya melihat impak negatif cadangan itu lebih banyak daripada positif.

"Kita risaukan adalah kes kecurian, kerosakan serta masalah lain yang tiada kaitan dengan pendidikan. Itu yang paling kita risaukan. Kelak, cikgu pula dipertanggungjawabkan apabila berlaku kecurian dan kita tiada hak untuk menyoal siasat, siasat beg pelajar, itu masalah yang akan timbul," Demikian penjelasan Setiausaha Agung NUTP.

Selain pertubuhan guru,  cadangan Kementerian Pendidikan yang ingin membenarkan pelajar menggunakan alat peranti seperti laptop, tablet dan telefon bimbit di sekolah untuk tujuan pembelajaran juga turut disanggah rata-rata ibu bapa.

Dipetik dari Ismaweb


Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh NGO ISMA mendapati, ibu bapa juga kebanyakkannya tidak bersetuju dengan cadangan sedemikian, dan mendakwa ia lebih membawa gangguan berbanding kebaikan kepada para pelajar.

Secara peribadi, sebagai seorang guru, saya juga tidak bersetuju dengan cadangan ini. Ini bukanlah bermakna saya membangkang hasrat kerajaan, tapi atas dasar bimbang dan risau yang dipandu oleh pemerhatian dan pengalaman sebagai seorang guru.

Benar ada baik dan buruknya perlaksanaan dasar-dasar ini. Tapi, kita perlu menimbang atas neraca waras dan wajar dengan menyukat kadar manfaat dan mudarat. Andainya manfaat yang diraih hanyalah sekelumit, dan mudarat yang dipungut pula melaut dan melangit, maka apalah gunanya manfaat tersebut.

Paling dibimbangi, perlaksanaan dasar ini nanti akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan peranti terutamanya telefon pintar.

Dipetik dari Sinar Harian


Tentu sahaja ramai yang masih ingat dengan tindakan biadap beberapa pelajar yang  merakam dan menyebarkan video bahagian dalam kain baju kurung seorang guru bahasa inggeris baru-baru ini.

Itu adalah sebahagian daripada episod penyalahgunaan gajet, atau lebih tepat lagi telefon pintar. Mungkin selepas ini, berlambak video sebegini dirakam dan disebarkan di media sosial.

Dan bagaimana pula penindasan sesama pelajar, atau buli siber. Takut dan risau ia semakin melarat dan melebar. Maklumlah zaman sekarang ini murid-murid sekolah rendah pun sudah memiliki akaun Facebook, Instagram, WeChat dan sebagainya.

Harap kerajaan mengkaji cadangan ini dengan lebih teliti. Jangan hanya kerana negara-negara maju melaksanakan, maka kita perlu ikut serta. Apa yang penting jangan pula nanti mudarat yang timbul mengatasi manfaat yang diraih