Wednesday, January 4, 2017

Hukum menyambut Tahun Baru Masihi


HUKUM MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI

SOALAN: Apakah hukum menyambut Tahun Baru Masihi?

JAWAPAN:

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Hukumnya harus untuk menyambut tahun baru namun perlu mengikut dhawabit yang telah ditetapkan.

Saya tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:

 “Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah. Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian. B

Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-mushābahah tidak sama dengan al-tashabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja,”


 Justeru, dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik.

Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak.

Ingatlah juga firman Allah SWT: يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ

Maksudnya: "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Al-Syu’ara’: 88-89)


Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tahun baru ini dapat memberikan sinar bahagia dan menghilangkan kabus kesusahan dalam kehidupan kita dan seterusnya kita sentiasa berada rahmat, taufik, hidayah dan inayah-Nya.

Amin.

Akhukum fillah, S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

No comments: