Tuesday, January 10, 2017

Mohd Faiz Subri mangsa kerja gila Keyboard Warrior



Kemenangan Mohd Faiz Subri tidak hanya mewangikan namanya, tetapi ia turut mengharumkan nama negara. Tidak sekadar itu, malah beliau merupakan pemain dari Asia yang  pertama yang memenangi anugerah berprestij tersebut.

Gara-gara jaringan golnya diisytiharkan sebagai jaringan terbaik dan tercantik di dunia, namanya kini tercatat dalam sejarah bola sepak antarabangsa, dan terpahat kukuh dalam sejarah bola sepak negara.

Namun, ketika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama meraikan kejayaannya sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016. Terdapat juga suara-suara sumbang yang memperlekehkannya.

Sebenarnya sejak tahun lepas lagi, terdapat  keyboard Warrior yang mempertikaikan jaringan gol yang dijaringkan oleh Faiz Subri ketika menentang pasukan Pahang. Bagi mereka jaringan ajaib itu bukanlah berdasarkan kemahiran dan kecekapan, tetapi faktor nasib dan kebetulan semata-mata.

 Malah ketika Faiz Subri berhajat ingin memakai pakaian Melayu tradisional semasa di Majlis Anugerah Puskas, ada yang kata ia sangat lawak. Ada juga yang kata kolot. Ada juga yang kata macam nak bersanding dan macam-macam lagi.

Apabila Faiz Subri dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016, suara-suara  sumbang masih menyalak lantang. Kata mereka, Faiz Subri menang kerana nasib dan kebetulan, dan bukannya kerana bakat dan kemahiran. Mengapa tidak berprasangka baik, itu adalah rezekinya. Itu adalah ketetapan Tuhan yang memilih untuk mewangikan namanya dan mengharumkan nama negara dalam arena bolasepak.

Awal pagi tadi. Dalam group WhatsApps, ada beberapa orang rakan mempertikaikan tindakan Faiz Subri melafazkan kalimah Assalamualaikum dan Alhamdulillah ketika menyampaikan ucapan setelah dinobatkan sebagai pemenang Puskas 2016. Kononnya lafaz tersebut tidak kena pada lokasi dan tidak sesuai pada situasi. Saya tak tahu ulama mana yang ditanya dan kitab mana yang dirujuk. Tapi ghairahnya menjatuhkan hukum hanya berpandukan media sosial.

Terkini terdapat segelintir keyboard Warrior yang mempersendakan penguasaan bahasa Inggeris Faiz Subri. Gila dan memang gila. Perkara seremeh itupun dijadikan bahan untuk cercaan.

Malang sekali orang kita. Ketika dunia mengakui kehebatan jaringan Faiz Subri, orang kita masih mencari ruang untuk mempertikai dan memperlekehkannya.
Kepada Mohd Faiz Subri, semoga anda terus meraih kegemilangan dalam arena bola sepak dan dalam apa jua urusan. Moga Allah merahmati anda.

2 comments:

PeRdU cINta said...

Semuanya atas kehendak dan izinNYA juga...kena yakin semua itu dari Allah...

Cik Itah said...

tahniah FS..abaikan je apa orang kata hehe