Monday, February 13, 2017

Iktibar di sebalik perbuatan Mat Tere menghina Tengku Mahkota Johor.


Mat Tere


Iktibar di sebalik perbuatan Mat Tere menghina Tengku Mahkota Johor.

Di sebalik hakikat yang tersurat, pasti adanya hikmah yang tersirat. Hikmah ini kadang-kadang perlu diteliti dan dihayati agar kita lebih berhati-hati.

Nama Mat Tere tiba-tiba menjadi begitu popular gara-gara menghina Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Di laman sosial namanya sepopular Selva Kumar, perogol bersiri yang kini dibenarkan pulang ke Malaysia setelah menjalani hukuman penjara di Kanada.

Akibatnya Mat Tere ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi membantu siasatan, dan Alhamdulillah hari ini dengan jasa baik TMJ, beliau dibebaskan daripada tahanan reman dan dihantar pulang ke Kelantan.

SIAPAKAH MAT TERE.
Mat Tere atau nama sebenarnya Muhamad Zul Apis Baharom adalah seorang pemuda yang lurus bendul. Beliau termasuk dalam kategori golongan istimewa, atau Orang Kurang Upaya(OKU).

Melihat kepada keadaannya, kita semua sedia maklum Mat Tere tidak boleh dipersalahkan di atas kesalahan yang dia lakukan. Mat Tere telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk melunaskan kebencian terhadap TMJ.  

Pasti sahaja ada pihak tertentu atau tangan ghaib yang menjadi dalang di sebalik keceluparan Mat Tere. Siapakah individu atau tangan ghaib yang dimaksudkan. Adakah ia sekadar orang biasa-biasa atau penyokong pasukan bola sepak pasukan lain yang anti TMJ dan pasukan Johor Darul Takzim (JDT), atau tangan ghaib itu datangnya daripada 'insan luar biasa' yang menjadi pesaing TMJ dalam usaha menerajui takhta FAM.

Jika dirujuk kata-kata TMJ di Laman sosial Facebook (FB) Johor Southern Tigers (JST) didapati TMJ yakin dan percaya Mat Tere tidak bersalah dan digunakan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik.

Siapakah pihak tertentu yang mempunyai agenda politik sebagaimana yang dimaksudkan oleh TMJ.

 Adakah pihak tertentu itu merujuk kepada tokoh politik yang pernah terpalit dengan skandal penyelewengan wang PPRT dan kini berhadapan dengan dakwaan penyalahgunaan dana MARA.

Teka-teki ini hanya akan terjawab andainya dalang di sebalik keceluparan Mat Tere terbongkar. 


Sejarah Melayu


IKTIBAR DI SEBALIK PERISTIWA MAT TERE MENGHINA TMJ.

Jika dirujuk Teks Sejarah Melayu atau dikenali juga sebagai Sallatus Salatin, terdapat satu peristiwa di mana seorang anak muda bernama Tun Umar. Beliau seorang yang gila-gila bahasa telah bertindak berani, iaitu melanggar perahu-perahu orang Siam dengan menggunakan sebuah perahu kecil.  Tindakan itu sebenarnya mengundang bahaya dan tidak akan dilakukan oleh orang-orang yang waras. Namun, dari sudut yang lain, tindakanya itu telah menjentik rasa hairan di hati tentera Siam.

Pada waktu malam, Bendahara Paduka Raja mengarahkan segala pohon kayu bakau dipasang puntung api. Strategi tersebut telah melahirkan rasa takut dan gerun di hati tentera Siam, termasuklah Panglimanya yang bernama Awi Dicu. Ini kerana mereka menyangka tentera Melaka terlalu ramai dan sudah bersiap siaga di Pantai. Kata Awi Dicu, jika seorang tentera Melaka(merujuk kepada Tun Umar yang gila-gila bahasa) memiliki keberanian luar biasa, maka apatah lagi dengan jumlah yang ramai. Akhirnya Awi mengarahkan tentera Siam berundur.

Saya paparkan secebis kisah dari teks Sejarah Melayu tadi bukanlah untuk bercerita tentang Bendahara Tun Perak mahupun Panglima tentera Siam, Awi Dicu. Tapi tentang Tun Umar yang gila-gila bahasa. Tak dapat dipastikan sama ada beliau bertindak sedemikian kerana disuruh atau secara sukarela. Tidak dapat dipastikan juga dia dijadikan atau menjadi senjata pertama secara sukarela untuk menakutkan tentera Siam melalui rempuhan yang boleh dianggap sebagai tindakan berani mati.
 Tapi tidak mengapalah sekurang-kurangnya tindakan Tun Umar itu dalam konteks mempertahankan kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka, dan beliau tetap seorang pejuang.

Jujur dan ikhlas, sejak kanak-kanak hinggalah dewasa seringkali saya dengar, malah pernah juga terlihat betapa tidak terbelanya golongan lurus bendul dan OKU. Saya masih ingat waktu kanak-kanak dahulu, seorang lelaki yang kurang sihat mentalnya telah dipermainkan oleh orang ramai. Lelaki tersebut disuruh menyanyi dan menari, malah lebih dari itu disuruh menjilat hingus yang meleleh di wajahnya. Segelintir penonton termasuklah golongan tua hanya bergelak ketawa seakan-akan itu perbuatan itu adalah sebuah program hiburan. Lelaki kurang waras tersebut telah meninggal dunia pertengahan tahun lepas.

Saya ingat lagi kisah lelaki lurus bendul yang disuruh oleh beberapa penduduk kampung agar melaungkan azan subuh pada pukul 3 pagi. Tanpa membantah, lelaki yang lurus bendul tersebut melaksanakan tanggungjawab gila itu dengan jayanya.

Saya ingat lagi, kisah seorang lelaki dan perempuan gila yang dihasut dan disuruh bersetubuh di khalayak ramai. Maka bergelak ketawalah manusia-manusia durjana menyaksikan pasangan gila melakukan aksi gila secara terbuka di atas wakaf.

Begitulah nasib yang menimpa golongan lurus bendul dan mengalami masalah mental atau OKU. Ramai ibu bapa yang mempunyai anak sebegini sentiasa diburu resah dan dihambat gelisah. Resah memikirkan masa depan anaknya yang lurus bendul, gelisah apabila memikirkan keadaan anaknya itu apabila mereka dijemput Ilahi.

Apa yang berlaku terhadap Mat Tere bukanlah perkara baru. Ia adalah sebahagian daripada episod panjang kisah-kisah penganiayaan dan eksploitasi terhadap golongan lurus bendul, kurang cerdik dan masalah mental serta OKU.










2 comments:

Noor Azlan said...

Orang OKU otak tidak dihitung dosa pahalanya...

Jun Zie said...

Ju xda follow cerita mat tere ni tapi sekira nya benar ada pihak mgunakan beliau di atas kkurgn beliau ni, Allah swt xpernah tdur utk melihat. Cepat atau lambat, balasan Allah swt itu pasti ada.