Tuesday, February 7, 2017

Izrail atau Malaikat Maut



Bila Izrail datang memanggil.
Bila Izrail datang memanggil 
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
sebujur badan dan kedinginan 

Itu adalah sebahagian daripada lirik lagu Selimut Putih. Saya difahamkan penyanyi asal lagu ini ialah Orkes El Suraya dari Indonesia, kemudian turut dipopularkan oleh kumpulan nasyid dari Malaysia, Nada Murni.

Di sini saya bukanlah ingin memperkatakan perihal lagu Selimut Putih yang menginsafkan itu, tapi saya tertarik Izrail, nama Malaikat yang amat digeruni itu.

Baru-baru ini seorang ilmuwan hadis tempatan, Dr Rozaimi Ramlee, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) mendakwa nama Malaikat Maut bukanlah bukanlah Izrail.

Agak ramai juga yang melatah dan melenting kerana kenyataan Dr Rozaimi itu menyanggahi kebiasaan dan menyalahi kelaziman sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Umumnya, umat Islam di Malaysia sudah terdedah dan mengimani nama Malaikat Maut ialah Izrail.

Sebenarnya isu ini bukanlah isu baharu, ia sudah diperkatakan sejak sekian lama oleh beberapa orang ulama tersohor.

Malah di Malaysia, Dr Rozaimi bukanlah orang pertama yang memperkatakan isu ini. Sejujurnya saya pernah terbaca tulisan Ustaz Abdullah Al-Qari Haji Salleh(AQHAS) mengenai hal ini. Kata AQHAS penggunaan istilah Malaikat Maut adalah lebih tepat berbanding Izrail. Ini kerana nama Malaikat Maut disebut di dalam Al-Quran manakala nama Izrail adalah dipercayai berasaskan sumber Israiliyat.

Ulama hadis terkenal Almarhum Saikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (Al-Albani) dan Almarhum Syaikh Ibnu ‘Utsaimin juga lebih cenderung kepada penggunaan nama Malaikat Maut dan bukannya Izrail.

Secara peribadi, saya juga cenderung untuk memakai istilah Malaikat Maut dan bukannya Izrail. Ini memandangkan nama Malaikat Maut adalah nama atau gelaran yang diberikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan disebut oleh Rasulullah Shallallahu S.A.W dalam hadisnya.


2 comments:

Seorang Syed said...

perkongsian yang bagus ni. Sebab memang dah biasa dgn nama izrail dari kecik lagi kan. so sebab tu ramai yang melatah agaknya.

Noor Azlan said...

Masa kecik2 sekolah agama cikgu ajar Malaikat Izrail... Adeh camne tu....