Thursday, February 2, 2017

Kelebihan dan keunikan Pokok Benang Sutera



Sehari dua ini kecoh di media sosial perihal pokok Benang Sutera atau bahasa saintifiknya Ceiba Codetti.

Pokok yang dijadikan merdu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus ini menjadi tular di media sosial terutamanya Facebook kerana menelan kos yang besar iaitu RM500,000(lima ratus ribu ringgit) untuk membeli tiga pokok benang sutera.

Walaubagaimanapun pembeliannya dikatakan tidak membabitkan peruntukan kewangan kerajaan negeri sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh kontraktor utama yang bertanggungjawab melaksanakan Projek Bandar Baharu Kuala Nerus.

Sebenarnya banyak kelebihan dan keunikan Pokok Benang Sutera, tapi sayang sejuta kali sayang, hanya Terengganu yang berminat dengan pokok tersebut. Diharapkan agar selepas ini semua negeri mengutamakan penanaman pokok tersebut. Mungkin ia sangat sesuai untuk dijadikan alternatif kepada getah dan kelapa sawit.

Bagi negeri-negeri yang bergantung kepada pembalakan sebagai sumber pendapatan negeri, seperti Kelantan, eloklah menanam pokok Benang Sutera untuk menjana pendapatan negeri.


Berikut adalah kelebihan dan keunikan pokok Benang Sutera

1. Pokok ini akan menjadi tarikan pelancong asing

Sebagaimana didakwa oleh Jurucakap Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur Jabatan Pertanian Malaysia, sebagaimana disiarkan di dalam akhbar Harian Metro bertarikh 2.Febuari. 2017. Wah,  bayangkanlah pelancong dari seantero dunia akan berkunjung ke negara kita untuk meneliti dan memerhati pokok yang unik ini. Pasti sahaja berlaku pengaliran wang asing ke negara kita.

2. Dapat mengurangkan kunjungan rakyat Malaysia ke Brazil dan Afrika Barat.

Sebagaimana berhabitatnya anak Panda di Zoo Negara telah berjaya mengurangkan rakyat Malaysia melancong ke China. Saya difahamkan majoriti rakyat Malaysia yang melancong ke China adalah kerana ingin melihat panda dari jarak dekat. Maka, dengan penanaman pokok yang berasal dari Brazil dan Afrika Barat ini diharapkan dapat mengurangkan jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke Brazil dan Afrika Barat. Buat apa ingin ke sana jika di Malaysia pun ada pokok tersebut.

3. Dapat mengatasi masalah kekurangan air.

Seperti semua maklum, Malaysia sentiasa berhadapan dengan musim kemarau panjang sekitar bulan Mac hingga Julai. Perlu difahami, Pokok Benang Sutera dapat menyimpan air di kawasan batangnya yang membengkak. Jadi apabila musim kemarau panjang tiba, rakyat hanya perlu menoreh batang pokok tersebut untuk mendapatkan bekalan air.

4. Dapat mencegah kejadian banjir besar.

Pokok ini dikatakan boleh menyimpan air di kawasan batangnya yang membengkak. Jadi, ketika hujan turun dengan lebat, akar-akar pokok tersebut akan menyerap air secepat mungkin untuk dijadikan simpanan di bahagian batangnya yang membengkak. Ini akan menghalang daripada berlakunya banjir atau setidak-tidaknya menghalang daripada berlakunya banjir besar.

5. Dapat mengatasi masalah kekurangan minyak masak.

Biji pokok Benang Sutera selain boleh dimakan, ia juga boleh dijadikan minyak masak. Ini akan mengurangkan kebergantungan negara terhadap minyak sawit.

P/S: Ini adalah Sarcasme ( Sarcasm ). Secara peribadi saya hairan, kenapa tidak pokok atau tumbuhan tempatan yang dipilih sebagai mercu tanda. Kenapa tidak menampilkan jati diri sendiri.

1 comment:

Shahida Dzulkafli said...

Banyak kelebihan pokok nie ye..