Tuesday, March 14, 2017

Melayu, Antara Hantu Raya dan Anjing.



Melayu, Antara Hantu Raya dan Anjing.

Terpulanglah mau jadi apa
Mau jadi hantu mau jadi buaya

Itu sebahagian daripada lirik lagu Hantu Atau Buaya yang dipopularkan oleh Nanasheme.

Tapi untuk entry kali ini saya tidak ingin berbicara pasal buaya, tapi pasal hantu sahaja. Hantu bukan sebarang hantu tapi Hantu Kebangsaan Negara, iaitu Hantu Raya.

Hahahaha, kalau Bunga Raya diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Negara, apa salahnya Hantu Raya pula kita istiharkan sebagai Hantu Kebangsaan Negara.

Tiba-tiba saya tertarik untuk menulis entry berkaitan Hantu Raya dan Anjing apabila terbaca komen atau ulasan kurang cerdik persis manusia mandul akal dan terliwat minda di laman Facebook seorang kenalan.

Ceritanya begini, kenalan Facebook saya itu kongsikan kisah atau berita tentang sekumpulan wanita bertudung yang bertindak menyelamatkan seekor ibu anjing yang sengaja dilanggar di tepi jalan. Cerita tersebut dikongsi oleh kenalan Facebook saya dari sebuah portal berita.

Akibatnya laman Facebooknya dibanjiri komentar dari rakan-rakan Facebooknya. Ada komentar yang bersifat ilmiah dan berpaksikan ilmu, namun malangnya agak banyak komentar yang bersandarkan emosi dan disulami kejahilan.

Sebenarnya tindakan wanita bertudung yang menyelamatkan anjing yang dilanggar atau tercedera itu amatlah mulia. Islam adalah agama yang bersifat Rahmatan Lil 'Alamiin (Rahmat ke atas sekalian alam) yang sifat rahmat itu turut meliputi haiwan termasuklah anjing.

Tentang mulianya perbuatan menolong anjing yang menderita ini, eloklah kita imbas kembali sebuah kisah yang dirakamkan di dalam Hadis Nabi.

Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda,


"Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Hadis tersebut menceritakan manusia yang hina yang membantu binatang yang hina. Pelacur sememangnya sentiasa hina dan keji pada nilaian mana-mana masyarakat. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat.

Saya terkenang kenangan ketika zaman kanak-kanak dahulu. Kenangan melastik anjing walaupun anjing tersebut bukanlah anjing liar, meskipun anjing tersebut dirantai oleh tuannya. Dahulu, saya 'difatwakan' melastik anjing adalah dibenarkan. Namun, 'fatwa' karut itu akhirnya terkikis dan terhakis apabila saya mengetahui betapa islam memuliakan binatang termasuklah anjing.

Tentang hukum memelihara anjing, ia dibenarkan untuk tujuan menjaga keselamatan rumah, kebun dan juga untuk berburu. Malah, binatang buruan yang mati dibunuh oleh anjing buruan yang terlatih juga tidak perlu disamak terlebih dahulu. Ini bermakna keharaman anjing bukanlah mutlak, sebab masih ada ruang lingkup yang tersediri. Cuma, umat islam dilarang membela anjing sebagai hobi sebagaimana memelihara kucing. Selain tidak didatangi malaikat rahmat ke dalam rumah, ia juga akan mengurangkan pahala sebesar bukit qirath sehari.

Bagaimana pula dengan Hantu Raya.?

Hantu Raya adalah hantu yang paling kerap didampingi oleh manusia. Siapakah yang menamakannya sebagai Hantu Raya, itu tidaklah saya tahu. Yang pasti ia dibela untuk menjaga keselamatan rumah, dan harta benda si pemiliknya. Selain Hantu Raya, makhluk halus atau iblis yang turut dibela untuk menjaga keselamatan rumah dan kebun ialah hantu Hala. Hala biasanya dapat menjelma sebagai Harimau.

Dalam masyarakat Melayu dahulu kala terdapat segelintir masyarakat yang membela Hantu Raya dan Hantu Hala adalah perkara yang  terutamanya masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman. Hidup di perkampungan terpencil dan jauh di pedalaman menyebabkan mereka perlu bekerjasama dengan Hantu Raya untuk menjaga keselamatan rumah dan harta benda. Persoalannya mengapa mereka lebih cenderung memelihara hantu raya yang syirik hukumnya berbanding memelihara anjing yang ternyata diizinkan syarak untuk menjaga keselamatan rumah dan harta benda. Malah, lagi teruk ramai antara orang Melayu yang geli geleman untuk berkunjung di rumah yang memiliki anjing, tapi tidak pula geli geleman untuk menziarahi rumah pembela hantu raya.

Benar hanya segelintir sahaja orang Melayu yang membela Hantu Raya, namun agak ramai dalam kalangan orang-orang Melayu terutamanya yang tinggal di kampung dan pedalaman. lterlibat dengan dengan aktiviti syirik yang lain.

Amalan jamu hantu atau bersemah, puja pantai, bomoh dan jampi serapah. Semua itu membatalkan akidah, namun ia berleluasa sejak zaman-berzaman. Seingat saya sehingga tahun 1990-an saki baki khurafat ini masih lagi bersisa. Tahniah malangnya, pelaku-pelaku tersebut tidak pula dipandang jijik sebagaimana jijiknya anjing dan pemelihara anjing.

Sebelum menoktahkan entry ini. Ingin saya tegaskan, bukanlah matlamat saya untuk mengalakkan orang Melayu membela anjing. Cuma, paling penting kita perlu berhenti memusuhi dan membenci apatah lagi menzalimi anjing.

INFO TAMBAHAN.

Apabila berlakunya pertembungan antara dua kemudaratan. Kita perlu memilih kemudaratan yang paling ringan.

Dalam kes menjaga keselamatan rumah dan harta benda, memilih anjing yang masih khilaf hukumnya adalah perlu diutamakan berbanding membela Hantu Raya atau bersahabat dengan iblis yang syirik hukumnya.

No comments: