Wednesday, March 1, 2017

Tan Sri Jins Shamsuddin meninggal dunia.


Tan Sri Jins Shamsuddin meninggal dunia.

Innalillahi wainna Ilahi rajiun. 

Allahumma firlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu. 

Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Dr Jins Shamsuddin.

Sesungguhnya negara kehilangan seorang insan yang banyak berjasa kepada industri filem tanah air. 

Pemergian Tan Sri Dr Jins Shamsuddin benar-benar memeranjatkan apatah lagi industri seni negara baharu sahaja kehilangan pengacara Ary Malik.

Anak Allahyarham, Putera Hang Jebat sebagaimana yang dipetik menerusi portal mstar.com berkata,  Allahyarham mula mengadu sesak nafas ketika sedang menikmati makanan di rumah mereka di Hulu Klang dekat sini dan kemudian dibawa ke klinik berdekatan oleh ibunya Puan Sri Halijah Abdullah dengan bantuan jiran.

Kata lagi, apabila tiba di klinik berkenaan, keadaan Allahyarham menjadi lemah sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir.

Kesihatan Jins, 82, semakin merosot sejak beberapa tahun lalu akibat penyakit Alzheimer yang dihidapinya.

Sedikit Info Mengenai Tan Sri Dr Jins Shamsuddin.

Jins Shamsuddin atau nama sebenarnya Mohamed Jins Shamsuddin dilahirkan di Taiping, Perak pada 5 November 1935 dan mula berlakon selepas berjaya dalam uji bakat yang dilakukan oleh P. Ramlee.

Beliau memegang watak utama dalam filem Pancha Delima pada tahun 1957 dan menjadi ejen perisik dengan watak Jefri Zain dalam Gerak Kilat.

Dalam bidang politik, Allahyarham pernah diangkat sebagai Senator dan seterusnya menerima ijazah kehormat Sarjana Persuratan dari Univesiti Sains Malaysia pada tahun 1999 serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti yang sama pada 2010.

Filem lakonan dan arahannya iaitu Bukit Kepong antara karya yang turut mengangkat nama Allahyarham. 

Info Tambahan.
Marilah kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, dan semoga Allah menempatkan rohnya bersama orang-orang yang Soleh. 

No comments: