Sunday, April 9, 2017

Hukum bayar fidyah puasa dengan nilai wang tunai makanan asasi.



Bolehkah fidyah puasa dibayar dengan nilai wang tunai makanan asasi.


Insha Allah tidak lama lagi umat islam akan menyambut bulan Ramadan yang mulia. Memandangkan Ramadan semakin menghampiri, maka eloklah kita bicarakan perihal qada puasa dan hukum berkaitan fidyah.

Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.

Kewajipan membayar fidyah puasa adalah seperti yang tersebut di dalam ayat 184 surah al-Baqarah yang bermaksud: 'Barangsiapa keberatan ke atas dirinya berpuasa maka hendaklah ia memberi fidyah dengan cara memberi makan seorang miskin (bagi tiap-tiap sehari yang ditinggalkannya)'.

Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin. .

Di sini saya paparkan sebab-sebab seseorang dikenakan fidyah yang saya petik dari laman sesawang majlis agama Islam wilayah persekutuan.

Uzur menunaikan puasa wajib

Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

2.    Perempuan hamil

Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

3.    Ibu yang menyusukan Anak

Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

4.    Orang yang telah meninggal dunia

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

5.    Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Isunya bolehkah fidyah puasa dibayar dengan nilai wang tunai makanan asasi. Untuk menjawab persoalan ini, saya paparkan sebahagian daripada penjelasan dari Fanpage JAKIM.

Hukum asal membayar fidyah berdasarkan ayat ini ialah dengan membayar daripada makanan asasi, di Malaysia ialah beras. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i.

Terdapat fatwa di Malaysia menjelaskan bahawa fidyah hanya sah dibayar dengan 1 cupak beras dan tidak boleh dibayar dengan duit sebagai ganti nilai beras tersebut. Sebagaimana fatwa Negeri Selangor bertarikh 19 Febuari 2002:

 “Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum (FATWA) Negeri Selangor telah sebulat suara memutuskan bahawa:

i- Maksud fidyah-denda yang dibayar dengan menggunakan beras (makanan asasi) mengikut kadar 1 cupak dan tidak boleh dibayar mengikut nilaian duit sebagai ganti kepada beras.”

Manakala menurut Imam Abu Hanifah dan pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanafi, pembayaran fidyah sama seperti zakat iaitu boleh digantikan makanan asasi itu dengan nilainya dalam wang ringgit, dengan hujah ia menepati keperluan semasa umat Islam.

Oleh itu sebahagian jawatankuasa fatwa Negeri di Malaysia membenarkan membayar fidyah dengan nilai duit 1 cupak beras. Antaranya jawatankuasa fatwa Negeri Sembilan. Melaka, dan Pulau Pinang.

Info Tambahan.

Kepada mana-mana sahabat yang belum menggantikan atau qada puasa yang ditinggalkan pada tahun lepas, eloklah disegerakan. Ini memandangkan Ramadan semakin hampir.

Mengenai bayaran fidyah, terserahlah kepada anda sama ada ingin membayar dengan secupak beras atau dengan wang dengan nilai secupak beras. Apapun hal ehwal berkaitan agama islam adalah dibawah kekuasaan kerajaan negeri, jadi akurlah dengan ketetapan jawatankuasa fatwa negeri masing-masing.

No comments: