Thursday, April 20, 2017

Wajarkah pelajar dibenarkan membawa peranti elektronik ke sekolah.

Dipetik dari  Sinar Harian


Wajarkah pelajar dibenarkan membawa peranti elektronik ke sekolah.

Umum mengetahui Kementerian Pendidikan bercadang membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik  seperti laptop, tablet dan telefon bimbit ke sekolah bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cadangan itu dikemukakan seiring pembangunan teknologi semasa dan ia meliputi semua sekolah rendah dan menengah.

Dipetik dari Astro Awani.


Walau bagaimanapun cadangan tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang bersetuju, malah ramai juga yang sebaliknya.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) atau NUTP telah bertegas menolak cadangan tersebut. Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya melihat impak negatif cadangan itu lebih banyak daripada positif.

"Kita risaukan adalah kes kecurian, kerosakan serta masalah lain yang tiada kaitan dengan pendidikan. Itu yang paling kita risaukan. Kelak, cikgu pula dipertanggungjawabkan apabila berlaku kecurian dan kita tiada hak untuk menyoal siasat, siasat beg pelajar, itu masalah yang akan timbul," Demikian penjelasan Setiausaha Agung NUTP.

Selain pertubuhan guru,  cadangan Kementerian Pendidikan yang ingin membenarkan pelajar menggunakan alat peranti seperti laptop, tablet dan telefon bimbit di sekolah untuk tujuan pembelajaran juga turut disanggah rata-rata ibu bapa.

Dipetik dari Ismaweb


Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh NGO ISMA mendapati, ibu bapa juga kebanyakkannya tidak bersetuju dengan cadangan sedemikian, dan mendakwa ia lebih membawa gangguan berbanding kebaikan kepada para pelajar.

Secara peribadi, sebagai seorang guru, saya juga tidak bersetuju dengan cadangan ini. Ini bukanlah bermakna saya membangkang hasrat kerajaan, tapi atas dasar bimbang dan risau yang dipandu oleh pemerhatian dan pengalaman sebagai seorang guru.

Benar ada baik dan buruknya perlaksanaan dasar-dasar ini. Tapi, kita perlu menimbang atas neraca waras dan wajar dengan menyukat kadar manfaat dan mudarat. Andainya manfaat yang diraih hanyalah sekelumit, dan mudarat yang dipungut pula melaut dan melangit, maka apalah gunanya manfaat tersebut.

Paling dibimbangi, perlaksanaan dasar ini nanti akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan peranti terutamanya telefon pintar.

Dipetik dari Sinar Harian


Tentu sahaja ramai yang masih ingat dengan tindakan biadap beberapa pelajar yang  merakam dan menyebarkan video bahagian dalam kain baju kurung seorang guru bahasa inggeris baru-baru ini.

Itu adalah sebahagian daripada episod penyalahgunaan gajet, atau lebih tepat lagi telefon pintar. Mungkin selepas ini, berlambak video sebegini dirakam dan disebarkan di media sosial.

Dan bagaimana pula penindasan sesama pelajar, atau buli siber. Takut dan risau ia semakin melarat dan melebar. Maklumlah zaman sekarang ini murid-murid sekolah rendah pun sudah memiliki akaun Facebook, Instagram, WeChat dan sebagainya.

Harap kerajaan mengkaji cadangan ini dengan lebih teliti. Jangan hanya kerana negara-negara maju melaksanakan, maka kita perlu ikut serta. Apa yang penting jangan pula nanti mudarat yang timbul mengatasi manfaat yang diraih


No comments: