Saturday, May 27, 2017

Niat puasa, perlukah berniat setiap malam atau memadai diniatkan untuk sebulan Ramadan sekali gus.



Niat puasa, perlukah berniat setiap malam atau memadai diniatkan untuk sebulan Ramadan sekali gus.

Ibadah puasa mempunyai dua rukun, iaitu niat dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Rukun puasa ialah amalan yang wajib ditunaikan ketika menjalani ibadah puasa. Jika tidak, puasa tersebut menjadi tidak sah.

Timbul persoalan, adakah niat puasa perlu dilakukan pada setiap malam atau memadai diniatkan untuk dilakukan sekali sahaja iaitu pada malam pertama Ramadan.

Sebenarnya isu ini sering diperkatakan sejak sekian lama, dan ia adalah perkara khilaf. Tentang perbahasannya elok rasanya kita telesuri huraian yang dikemukakan oleh S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan

Adakah perlu memperbaharui niat pada setiap malam atau berpada dengan niat 30 hari sekaligus dipermulaan niat?

Ini merupakan antara permasalahan yang sering timbul dikalangan masyarakat Islam dan menurut pembacaan kami, para ulama’ telah terbahagi kepada dua pendapat di dalam permasalahan ini:

Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik.

 Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.[1] Ianya sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.

Kedua: Tidak berpada dengan niat sebulan sekaligus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam.

Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadith Hafsah R.Anha sebelum ini. Ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak. Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.



Tarjih

Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur dan ianya juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa.

Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.

INFO TAMBAHAN.

Jika dirujuk kepada hadis, jelas Nabi SAW telah menetapkan niat perlu dilakukan pada malam hari sebelum berpuasa pada siang keesokan harinya. Lagipun berniat itu amatlah mudah dan terlampau senang. Amatlah mustahil seseorang itu boleh terlupa untuk berniat, kerana niat adalah lintasan di hati sahaja. Cukup dan memadai jika seseorang itu berhasrat untuk berpuasa fardhu Ramadan keesokan harinya. Maka itu sudah dianggap berniat untuk berpuasa 

Wednesday, May 24, 2017

Wanita hamil atau menyusu adakah perlu qadha atau bayar fidyah sahaja.



Islam agama yang mudah dan Allah tidak pernah membebankan hambanya.

Walaupun ibadah puasa adalah satu kewajipan dan merupakan rukun islamyang ketiga, namun  tertentu seseorang Muslim dibenarkan untuk meninggalkan puasa.


Walaupun begitu, mereka diwajibka mengantikan atau qadha puasa tersebut dan sesetengah kes pula, individu yang meninggalkan puasa tersebut perlu membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang miskin.

Untuk entry ini saya tertarik dengan perihal wanita yang meninggalkan puasa kerana hamil dan menyusu anak. 


Para fuqaha telah bersepakat wanita yang hamil dan menyusu boleh berbuka puasa, andainya tidak mampu. Bahkan wajib untuk mereka berbuka jika membahayakan diri ataupun anak ataupun janin. 

Persoalannya adakah mereka hanya perlu qadha puasa, atau membayar fidyah atau kedua-duanya sekali.

Sebenarnya isu ini sering kali diperkatakan malah diperdebatkan saban tahun. 

Untuk merungkai permasalahan ini, saya tertarik dengan penjelasan daripada Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin.

Sebenarnya ulama berbeza pendapat mengenai hal ini atau dengan kata lain ia adalah perkara khilafiyyah.

Ada ulama yang mewajibkan qadha dan fidyah  seperti Mazhab Syafie dan Hanbali. Di samping mereka membezakan antara berbuka puasa kerana bimbang keselamatan diri dan keselamatan anak. 

Ada yang mewajibkan qada sahaja di mana mereka seperti keadaan orang yang sakit. Ini pandangan Sufyan al-Thauri, Mazhab Hanafi dan lain-lain.

Ada yang memberi pilihan antara qada dan fidyah seperti pandangan Ishaq bin Rahuyah (atau dibaca Rahawaih) seperti yang disebut oleh al-Imam al-Tirmizi dalam sunannya. 

Ada yang tidak mewajibkan qada dan tidak juga fidyah seperti Mazhab Ibn Hazm al-Andalusi dan ini dianggap ganjil oleh sesetengah ulama.

Sebenarnya dalam hal ini terdapat pandangan daripada dua tokoh ilmuwan islam yang henat. Beliau ialah sahabat Nabi iaitu 'Abdullah bin 'Abbas dan 'Abdullah bin 'Umar. Mereka telah berfatwa dengan fatwa yang meringan bebanan wanita yang mengandung dan menyusukan anak tanpa mengira samada wanita itu kerap mengandung ataupun tidak. 

Menurut mereka berdua wanita yang mengandung dan menyusu jika buka puasa kerana bimbang keadaan diri ataupun anak hanyalah perlu membayar fidyah tidak diwajibkan menggantikan puasa tersebut.




Jadi wanita- wanita yang menyusu atau hamil, andainya mampu berpuasa, maka wajib berpuasa. Namun, jika tidak mampu bolehlah berbuka dan diganti pada hari yang lain. Jika dia sekadar mengganti puasa sahaja, maka itu juga memadai. Ini pendapat yang dipilih oleh sebahagian para ulama.

Namun, jika keadaan yang sukar seperti  sentiasa mengandung dan menyusu saban tahun disebabkan kekerapan anak dan menggantikan puasa menjadi beban untuk dihimpunkan selepas itu, maka  jika dia sekadar membayar fidyah sahaja, maka itu merupakan salah satu pendapat fekah yang boleh diamalkan.

Sesungguhnya islam itu bersifat mudah dan memberikan kelonggaran kepada mereka yang kesusahan.

Sesungguhnya fatwa Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar itu lebih memudahkan kaum wanita yang mengandung yang biasanya memakan masa selama 9 bulan kemudian kemudian diikuti dengan kelahiran dan menyusukan anak pula selama 2 tahun. Jika mereka diwajibkan qadha tentu satu yang agak membebankan untuk menghimpunkan semua yang mereka tinggal dalam tempoh tersebut. Apatahlagi jika tahun berikutnya mereka mengandung lagi.

INFO TAMBAHAN.

Fatwa daripada Abdullah bin 'Abbas dan 'Abdullah bin 'Umar ini mungkin kurang popular dalam kalangan masyarakat kita.

Namun, ia adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan apabila berhadapan dengan situasi tersebut. Iaitu wanita yang hamil saban tahun atau kerap hamil, dan menyusu anak-anaknya dengan susu badan.






Sunday, May 21, 2017

Kadar bayaran zakat fitrah tahun 2017 seluruh negeri di Malaysia.

Gambar: Berita Harian.



Salah satu daripada rukun Islam ialah menunaikan zakat. Zakat sebenarnya tidak terhad kepada zakat fitrah sahaja, sebab terdapat zakat-zakat yang lain antaranya zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat emas dan perak.

Namun, sempena kedatangan Ramadan yang mulia ini, eloklah kita memahami perihal yang berkaitan dengan zakat fitrah.

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Orang islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah.


  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.


  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.


  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.


Kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan adalah satu gantang Baghdad iaitu lebih kurang 2.7 kg beras atau nilai yang sama dengannya.

Nilai ini berdasarkan ketentuan oleh pihak-pihak berkuasa agama negeri. Kadar bayaran zakat adalah berdasarkan nilai harga beras seberat 2.7 kg.

Untuk tahun 2017, ke harga untuk zakat fitrah di seluruh negara ditetapkan antara RM6.50 hingga RM7.00 seorang, dan kebanyakan negeri masih mengekalkan kadar tahun lepas.

Berikut adalah kadar zakat fitrah tahun 2017, untuk setiap negeri di Malaysia.


  • Perlis : RM7.00 
  • Kedah : RM 7.00
  • Perak. : RM 7.00
  • Selangor : RM7.00
  • Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Labuan) : RM7.00
  • Negeri Sembilan : RM6.50
  • Melaka :RM6.70
  • Pahang : RM7.00
  • Terengganu :RM7.00
  • Kelantan : RM7.00a
  • Sabah : RM7.00r
  • Sarawak :RM7.00


Pembayaran zakat fitrah boleh dibuat menerusi amil yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri.

Kepada rakan-rakan blogger dan pengunjung yang beragama islam, selamat menjalani ibadah puasa saya ucapkan. Dan jangan lupa menunaikan zakat fitrah, serta zakat-zakat yang lain.



Tuesday, May 16, 2017

Senarai tema-tema Hari Guru di Malaysia.



Senarai tema-tema Hari Guru di Malaysia.

Sebelum memulakan entry ini, saya terlebih dahulu ingin ucapkan selamat hari guru kepada guru-guru saya. Terima kasih guru di atas segala ilmu yang cikgu curahkan. Jasa dan pengorbanan cikgu-cikgu tidak akan saya lupakan.

Kepada semua rakan-rakan guru dan bakal-bakal guru, saya ucapkan selamat hari guru. Kita bukan hanya mengajar tentang huruf dan angka. Kita tidak sekadar mendidik untuk membaca dan mengira. Tapi, sebesar buana dan seluas samudera yang ingin kita titipkan kepada anak-anak didik kita.

Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun bermula tahun 1972.  Tarikh tersebut dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama pada tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Guru Pembina Negara Bangsa telah dipilih sebagai tema Hari Guru Tahun 2017. Ianya juga merupakan tema yang sama untuk tahun 2016.

Sambutan Hari Guru tahun 2017 adalah edisi ke 46 peringkat kebangsaan. Pelancaran Perayaan Hari Guru 2017 Peringkat Kebangsaan Ke-46 akan diadakan pada 16 Mei 2017 di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor.

Senarai tema-tema Hari Guru Malaysia.

  • Guru Pembina Negara Bangsa 2016 
  • Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak 2015
  • Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi 2014 
  • Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda 2013. 
  • Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara 2012
  • Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara 2011 
  • Guru Pembina Negara Bangsa 2010 
  • Guru Pembina Negara Bangsa 2009
  • Guru Cemerlang Negara Terbilang 2008 
  • Guru Penjana Modal Insan Gemilang 2007
  • Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan 2006
  • Guru Penjana Modal Insan Gemilang 2007.
  • Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan 2004.
  • Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan 2004
  • Guru Berkualiti Aspirasi Negara2003
  • Guru Berkualiti Aspirasi Negara 2002. 
  • Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama2001. 
  • Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan 2000
  • Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang1999
  • Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama1998
  • Guru Bestari Sekolah Bestari 1997
  • Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia1996
  • Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan1995
  • Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan1994
  • Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan1993. 
  • Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan1992.
  • Ke Arah Pendidikan Cemerlang1991
  • Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera1990
  • Guru Pembina Budaya Ilmu1989. 
  • Guru Pengasas Budaya Membaca1988. 
  • Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan1987
  • Pendidikan Teras Nasionalisme1986
  • Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan1985. 
  • Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan1984. 
  • Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan1983.
  • Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu1982.
  • Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat1981.
  • Pendidikan Teras Perpaduan Negara1980.
  • Murid Sejahtera Negara Jaya1979.
  • Guru Pembentuk Generasi Akan Datang1978
  • Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan1977
  • Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan1976
  • Guru dan Pembangunan Negara1975
  • Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi1974
  • Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan1973
  • Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara1972


Sunday, May 14, 2017

Hukum menyambut Hari Ibu


Apabila memperkatakan perihal hari ibu dari perspektif islam pasti sahaja kita akan ketemui beberapa pandangan yang agak ekstrem. Malah ada yang menghukum syirik dan murtad apabila seseorang islam menyambut hari ibu. Mereka menghukum berdasarkan sejarah atau asal usul hari ibu yang bertentangan dengan akidah islam.

Sesetengah pula menghukum berdasarkan dalil umat islam hanya mempunyai dua hari raya sahaja, iaitu Eidul Fitri dan Eidul Adha. Jadi mana-mana perayaan lain hatta sambutan hari jadi adalah haram.

Namun terdapat juga pandangan sederhana dari beberapa orang tokoh agama yang boleh kita jadikan panduan dan pegangan. Antaranya ialah Dr Asri Zainul Abidin, Dr. Izhar Ariff, Dr. Zahazan Mohamed dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Al-Bakri.

Mereka berpandangan harus dan dibolehkan menyambut hari ibu dengan hujah yang bernas dan menyakinkan.

Jadi, terserahlah kepada anda samada ingin menyambut atau tidak.

Wednesday, May 10, 2017

Anwar Ibrahim kritik Fattah Amin.





Anwar Ibrahim kritik Fattah Amin.

Fattah Amin adalah pelakon yang cukup terkenal akhir-akhir ini. Beliau mula meniti populariti apabila digandingkan dengan Neelofa dalam drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot.

Tidak sekadar seorang pelakon, Fattah Amin juga membuktikan dirinya juga mampu menjadi penyanyi dan terbaru sebagai penulis buku.





Dalam bidang lakonan  Fattah Amin telah membuktikan kehebatannya apabila beliau menyapu bersih 4 trofi pada Anugerah MeleTOP Era 2017 MeleTOP Era (AME) 2017.

Manakala dalam bidang penulisan pula, karya Fattah Amin mendapat sambutan yang luar biasa. Buku Fattah Amin, iaitu 99 Kata-Kata #QalifModen dinobatkan sebagai Buku Paling Popular di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.

Walaupun begitu, ramai juga yang tidak dapat menerima kejayaan Fattah Amin dengan senang dan tenang.

Mereka mencemburui, mempertikaikan dan tidak menyenangi kejayaan yang diraih oleh hero Suri Hati Mr. Pilot itu.  Sebenarnya banyak pihak yang mencemburui kejayaan Fattah Amin, antaranya ialah pelakon Sharnaaz Ahmad.

Terkini kejayaan Fattah Amin juga turut tidak disenangi oleh Anwar Ibrahim. Entah apa salah dan silapnya Fattah Amin terhadap Anwar Ibrahim, sehinggakan beliau dibenci sebegitu rupa.

Anwar Ibrahim mengutuk dan mengeji karya-karya Fattah Amin termasuklah novel terbaharu, Wanita Terakhir yang kini berada di pasaran. Tidak pula dapat dipastikan adakah Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution juga mempunyai pandangan yang sama.



Hahahaha jangan marah ya dan kepada peminat setia Fattah Amin, jangan pula melatah. Kepada penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) jangan pula melenting, sebab Anwar Ibrahim ( ejaan sebenarnya Anuar Ibrahim) yang dimaksudkan ini bukanlah Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tapi, beliau hanyalah seorang  keyboard Warrior yang gemar melontarkan kritikan, cacian dan makian.

Kepada Fattah Amin selamat maju jaya saya ucapkan. Teruskan usaha anda menyusun jejak dan mengatur langkah untuk meraih kejayaan.

Tuesday, May 9, 2017

Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Tadabbur Hikmah Hadis 40 Imam Al-Nawawi.




Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Tadabbur Hikmah Hadis 40 Imam Al-Nawawi.

Hadis 40 karya Imam Al-Nawawi adalah sebuah kitab yang tidak asing lagi dalam kalangan umat islam, termasuklah di Malaysia.

Kebanyakan hadis yang disusun oleh Imam Al-Nawawi ini berkisar tentang kaedah dan konsep penting dalam memahami hidup beragama. Untuk itu ia amat sesuai kepada semua golongan bermula daripada orang biasa sehinggalah kepada orang ternama.

Namun, buku ini bukanlah syarah kepada Hadis 40 Imam Al-Nawawi. Tetapi ia lebih bersifat intisari semasa, sesuai dengan keperluan dan kebenaran. Ia merupakan satu ulasan yang lebih 'deep' serta dipersembahkan dalam bentuk berbeza dengan buku Hadis 40 yang telah sedia ada.

Kesemua hadis di dalam buku ini ditadabburi dan dirungkai untuk difahami makna yang terkandung di sebaliknya. Ia disampaikan dengan penuh santai tetapi mendalam maksudnya.

Berminat dengan buku ini.

Harga : RM23.00(+RM7.00 Pos)
Sila WhatsApps : 011-10576730/ 019-5776730

Ingin membeli buku dengan mudah dan cepat, jom berkunjung ke--->Jom Beli Buku Online

Monday, May 8, 2017

Hukum Nikah Khitbah/Nikah Gantung.



Hukum Nikah Khitbah/Nikah Gantung.

Nikah gantung atau  nikah Khitbah Nikah adalah gelaran bagi ikatan perkahwinan di mana pasangan belum mengadakan walimatul urus atau kenduri kahwin dan belum bersatu atau tinggal bersama atas sebab-sebab tertentu.

Saya tertarik dengan penjelasan dan huraian daripada Ustaz Haslin Baharin (Ustaz Bollywood) mengenai persoalan nikah gantung. Ia sebenarnya bertujuan untuk menjaga pergaulan antara pasangan lelaki dan wanita.

Daripada bercinta atau sekadar bertunang, tapi asyik ke sana ke sini dengan pasangan kekasih atau tunang sudah tentu terdedah dengan dosa-dosa maksiat. Jadi melalui nikah gantung, perbuatan maksiat dan dosa ini dapat dihindari, malah jika berlaku persetubuhan sekalipun ia tidak membawa kepada haram.

Menurut Ustaz Haslin lagi, walaupun nikah gantung hanyalah adat Melayu tetapi Rasulullah SAW juga pernah menggantung nikahnya dengan Aisyah sewaktu ingin berhijrah ke Yathrib (Madinah).

Ketika itu, Rasulullah berpesan kepada Ummu Rumman( ibu Aisyah) bermaksud;

"Wahai Ummu Rumman, perlakukan lah Aisyah dengan baik. Jagalah ia untukku."(Hadis Riwayat Hakim).

Jika seseorang dinikahkan mengikut syarat nikah, maka terjalinlah ikatan suami isteri antara mereka dengan setiap pihak memikul tanggungjawab dan hak masing-masing termasuklah duduk serumah.

Namun tidak wajib nafkah selagi mana tidak bersama. Jika berlaku persetubuhan maka batallah nikah gantung tersebut dan suami wajib memberikan nafkah berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal serta layanan yang baik kepada isterinya.

Monday, May 1, 2017

Sejarah Hari Pekerja/Buruh (Labour Day)



Apakah keistimewaan 1 Mei?

Pastinya, sebagai seorang pekerja, sama ada di sektor kerajaan mahupun di sektor swasta pastinya sedia maklum bahawa pada hari tersebut adalah merupakan Hari Pekerja yang disambut serentak bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia. Pada hari tersebut juga telah diisytiharkan sebagai cuti umum.

Namun, mungkin ramai yang tertanya-tanya, mengapakah 1 Mei diisytiharkan sebagai hari pekerja. Tentu sahaja ada sejarah yang tersendiri yang perlu kita selongkari di sebalik tarikh bersejarah ini. Untuk entry ini saya paparkan sahaja info yang saya perolehi di laman, http://homefamilysite.com

Idea sambutan Hari Pekerja ini sebenarnya mula tercetus di Australia pada tahun 1856. Ia adalah merupakan salah satu cara para proletariat pada masa itu untuk mencapai hari bekerja lapan jam sehari. Pada asalnya, mereka menetapkan perayaan itu pada 21 April 1856 dengan mengadakan demonstrasi bagi mencapai tujuan mereka.

Perayaan pertama itu telah memberi kesan yang positif di kalangan proletariat Australia yang membawa kesedaran kepada mereka sehingga tercetusnya pemberontakan baru menyebabkan keputusan diambil untuk meraikan perayaan itu setiap tahun.

Idea perayaan Hari Pekerja ini diterima di seluruh Australia dengan cepat, malah mula tersebar ke negara-negara lain di seluruh dunia. Kejayaan para pekerja Australia mencapai matlamat bekerja lapan jam sehari mendorong para pekerja di negara lain tampil dengan berani untuk menuntut hak yang sama. Golongan pertama yang mencontohi langkah pekerja Australia ini adalah pekerja Amerika. Bermula pada tahun 1886, mereka mengambil keputusan bahawa setiap 1hb Mei patut menjadi hari pemberhentian bekerja antarabangsa. Pada hari tersebut, lebih 200,000 orang pekerja meninggalkan tempat bekerja mereka dan menuntut masa bekerja hanya lapan jam sehari.

Pengisytiharan 1 Mei sebagai Hari Pekerja di Malaysia hanya bermula pada tahun 1972. Pengisytiharan ini juga adalah hasil usaha gigih para proletariat negara pada masa lalu yang didorong oleh semangat perjuangan untuk mendapatkan waktu bekerja yang adil di samping menentang penindasan dan penekanan oleh pihak majikan.

Kini, ramai yang telah lupa mengenai sejarah Hari Pekerja ini. Malah cuti yang diisytiharkan pada hari berkenaan hanyalah dianggap sebagai satu daripada cuti umum yang biasa. Walau apapun, ia seharusnya tidak dipandang remeh kerana sejarah inilah yang telah mengiktiraf hak-hak para pekerja agar tidak lagi ditindas oleh pihak majikan. Pelbagai undang-undang atau dasar telah dibuat bagi memastikan hak pekerja lebih terjamin dari semasa ke semasa.

Info Tambahan.

Dalam Islam bekerja adalah satu ibadah. Jadi kita perlu mencari pekerjaan yang halal dan melaksanakan dengan penuh tanggungjawab
.