Thursday, June 15, 2017

Beberapa kesilapan berkaitan dengan Solat Tarawih.



Beberapa kesilapan berkaitan dengan solat tarawih.

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah. Antara Ibadah utamanya ialah berpuasa pada siang hari dan pada sebelah malam pula mendirikan solat tarawih. Manakala ibadah-ibadah lain ialah memperbanyakkan zikir, membaca Al-Quran, bersedekah dan memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa dan sebagainya.

Mengenai solat tarawih atau Qiam Ramadan pula hukumnya adalah sunat muakkad. Ia sangat dituntut, dan seboleh-bolehnya dilaksanakan secara berjemaah terutamanya di masjid, ataupun surau.

Antara dalil mengenai solat tarawih ialah sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya:

 “Barang siapa yang solat malam pada bulan Ra­madan kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan gan­jaran yang baik daripada-Nya, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)




Tarawih er­tinya beristirehat. Maka solat ini dilaksanakan berselang-seli dengan ‘berehat seketika’.

Tujuan berhenti rehat sekejap adalah bagi memperoleh keikhlasan dan memberi ketenangan kepada mereka yang bersolat, khususnya kepada warga emas di samping mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa.


Walaupun begitu, sama ada disedari atau tidak terdapat beberapa kesilapan yang berkaitan dengan solat tarawih. Di sini saya akan paparkan beberapa kesilapan tersebut untuk manfaat bersama.




Antara kesilapan paling utama ialah terdapat segelintir umat Islam yang menunaikan solat Isyak bersendirian di rumah.

Tapi anehnya sesudah itu mereka ke masjid atau surau untuk menunaikan solat tarawih berjemaah. Ini adalah kesilapan yang besar, sebab solat Isyak dan lain-lain solat fardhu yang lain lebih dituntut untuk didirikan secara berjemaah berbanding solat tarawih.


Kesilapan kedua ialah terdapat segelintir jemaah yang tidak bersama imam hingga ke akhir solat. Maksudnya di sini ialah hingga selesai solat witir berjemaah.

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud:

Sesiapa yang solat malam (tarawih) bersama imam sehingga dia bersurai (selesai solat), akan tertulis untuknya pahala qiam (bersolat) sepanjang satu malam.” (Riwayat Abu Daud)

Jika kita perhatikan di mana-mana masjid atau surau, pasti sahaja ada dalam kalangan masyarakat kita yang hanya solat tarawih separuh jalan walaupun rata-rata solat tarawih di negara kita hanya memakan masa sekitar empat puluh minit atau paling lama pun hanya hanya satu jam.

Sepatutnya kita bersama imam hinggalah selesai solat witir. Tak kisahlah lapan atau dua puluh rakaat tarawih, kita perlu bersama imam. Namun ramai yang tergesa-gesa keluar dari masjid dan pulang ke rumah, malah lagi malang ramai juhaberbual-bual kosong di beranda masjid.

Padahal masa tunaikan solat witir tiga rakaat itu tidak sampai 10 minit. Amat rugilah bagi mereka yang melepaskan peluang ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Kesilapan ketiga ialah meninggalkan solat tarawih apabila tidak berkesempatan menunaikannya secara berjemaah di Masjid atau surau.

Terdapat antara kita yang terpaksa bekerja pada sebelah malam di Bulan Ramadan, antaranya ialah pekerja kilang yang bekerja mengikut syif. Begitu juga dengan seseorang yang terpaksa meninggalkan solat tarawih di masjid kerana urusan tertentu yang perlu dilakukan.

Namun, itu bukanlah alasan untuk meninggalkan solat tarawih. Dalam islam, jika sesuatu itu tidak boleh kita lakukan semuanya, maka jangan pula ditinggalkan kesemuanya.

Jadi jika tidak berkesempatan untuk menunaikan solat tarawih berjemaah, kita bolehlah melaksanakannya secara bersendirian. Malah, jika tidak mampu melaksanakan lapan rakaat, maka memadailah dengan dua rakaat.

Bagaimana cara untuk menunaikan solat tarawih secara bersendirian bolehlah rujuk --> Tatacara melaksanakan solat tarawih bersendirian di rumah.

Kesilapan keempat ialah ialah mengenai amalan berselawat ketika bersolat tarawih.

Menjadi tradisi di kebanyakkan masjid dan surau di negara kita, akan diiadakan selawat antara rakaat tarawih.Sebenarnya ia tidaklah salah sebab selawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah amalan yang mulia. Lagipun istilah tarawih itu membawa maksud beristirehat. Maka solat ini dilaksanakan berselang-seli dengan ‘berehat seketika’.

Tujuan berhenti rehat sekejap adalah bagi memberikan ketenangan dan kelegaan kepada mereka yang bersolat, khususnya kepada warga emas.

Jadi tidaklah menjadi kesalahan untuk berselawat ketika bersolat tarawih. Namun, malangnya sesetengah orang kita tidak menganggap amalan berselawat antara rakaat tarawih itu satu kemestian dan tanpanya solat tarawih seakan-akan tidak sempurna. Salah faham sebegini berlaku kerana terdapat orang-orang kita yang bersolat jemaah tanpa ilmu dan kefahaman. Apatah lagi sedari kanak-kanak hingga ke usia emas begitulah kaedah atau tatacara solat tarawih yang dilakukannya. Sebenarnya selain berselawat, 'masa beristirehat' tersebut boleh juga diisi dengan zikir, tazkirah, dan apa sahaja aktiviti berfaedah.


Menunaikan solat tarawih kerana dengan ganjaran pahala.

Masih ada segelintir umat islam yang begitu bersemangat menunaikan solat tarawih kerana ingin memburu ganjaran pahala yang berlipat ganda. Ganjaran pahala yang saya maksudkan ialah ganjaran pahala yang disediakan untuk setiap malam Ramadan. Contohnya mengerjakan solat tarawih pada malam ke tujuh belas akan memperolehi pahala sebanyak pahala Nabi-nabi.

Ini adalah kesilapan terbesar memandangkan hadis mengenai kelebihan dan fadhilat tersebut adalah tidak sahih dan ia adalah bersumberkan hadis palsu atau setidak-tidaknya hadis yang terlampau daif. Ambil contoh fadhilat tarawih pada malam ke tujuh belas Ramadan yang kononnya akan memperolehi pahala sebanyak pahala Nabi-nabi. Ini amat keterlaluan sebab ganjaran pahala yang sedemikian untuk ibadah yang sebegitu kecil.

Kita sepatutnya ikhlaskan hati untuk menunaikan ibadah tersebut dengan mengharap redha-Nya. Urusan pahala, biarlah Allah yang tentukan.

Semoga perkongsian ini mampu merungkaikan salah faham yang melingkari segelintir masyarakat kita mengenai solat tarawih. Dan, semoga ibadah yang kita lakukan pada bulan Ramadan ini termasuklah solat tarawih diterima oleh Allah dan dianugerahkan ganjaran pahala oleh-Nya.


1 comment:

munirah mansor said...

Saya pernah juga baca pasal fadhilat solat terawih mengikut malam ke berapa. Saya hampir-hampir percaya dengan fadhilat tersebut.