Sunday, June 18, 2017

Hukum berbuka puasa lebih awal dari waktunya kerana kesilapan Muazzin.




Hukum berbuka puasa lebih awal dari waktunya kerana kesilapan Muazzin/Tukang Azan

Pada hari khamis minggu lepas(15.Jun.2017) saya dan keluarga nyaris-nyaris berbuka puasa lebih awal dari waktunya. 

Waktu berbuka di Kelantan pada hari tersebut ialah pada pukul  7.27 petang, tapi stesyen radio paling popular di Kelantan, THR Gegar Permata Pantai Timur telah menyiarkan azan maghrib lebih awal tiga minit , iaitu sekitar pukul 7.23 petang.

Alhamdulillah, saya bernasib baik kerana sentiasa merujuk takwim berbuka dan lebih mempercayai jam berbanding azan di radio atau masjid.

Walaupun begitu agak ramai warga Kelantan yang berbuka puasa lebih awal tiga minit dari waktunya pada hari tersebut gara-gara berpandukan azan dari stesyen radio tersebut. 

Oleh itu, timbullah persoalan adakah puasa tersebut batal atau tidak dan adakah ia perlu diganti/qadha atau sebaliknya.

Alhamdulillah, seorang tokoh agama Ustaz Kamilin Jamilin telah merungkai persoalan ini dilaman Facebooknya. Pembaca boleh rujuk laman tersebut, Kamilin Jamilin- Seni Hadith.

Di sini saya ingin berkongsi ilmu yang bermanfaat ini untuk dimanfaatkan oleh pembaca, terutamanya yang berhadapan dengan situasi tersebut.

Situasi ini termasuk dalam bab berbuka puasa kerana kesilapan yang tidak disengajakan baik buat tukang azan dan jemaah yang mengikuti “ijtihad” muazzin tersebut. Kedua-dua golongan ini tidak berdosa. Dalam Quran Allah berfirman:




Apapun waktu berbuka berbalik kepada asasnya iaitu terbenamnya matahari. Jika kita yakini sememangnya matahari telah terbenam, maka ia berbalik kepada hukum asal walaupun muazzin belum mengumandangkan azan.

Manakala jika kita yakin waktu di takwim sememangnya tepat dan muazzin terawal azan yang mengakibatkan kita berbuka sebelum waktunya, maka terdapat 2 pandangan para ulama dalam hal ini:

PANDANGAN PERTAMA:

Wajib menggantikan (qadha’) puasa pada hari tersebut walaupun tersilap, kerana puasanya tidak sempurna, sedangkan syarat sahih berpuasa ialah menahan dari sebarang perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.

Kejahilan boleh menggugurkan dosa, namun tidak menggugurkan qadha’ (Perincian tentang hukum tersilap dalam perbahasan Fiqh & Usulnya panjang untuk dihuraikan).
Begitu juga tidak warid dalam syarak tentang keringanan untuk tidak menggantikan puasa yang tidak cukup sifat tersebut, maka perlulah berpegang kepada asal iaitu menqadha’kan puasa yang tidak sah. Apatah lagi mereka yang berbuka tersebut yakin akan kesilapan mereka.


Pandangan ini dinisbahkan oleh Ibn Qudamah kepada jumhur ulama, antara mereka: ‘Umar bin al-Khattab RA sebagaimana yang diriwayatkan imam Malik dalam al-Muwatta’, imam al-Syaf’iy dalam kitabnya al-Umm dan lain-lain. Syeikh Ibn Baz antara yang pernah berfatwa dengan pandangan ini.

PANDANGAN KEDUA:

Puasanya sah dan tidak perlu qadha’ jika berbukanya di atas dasar yakin atau sangkaan yang tinggi dari sumber yang dipercayai seperti azan di masjid atau tenggelamnya matahari dek cuaca atau seumpamanya. Jika dia sedar akan kesilapannya setelah termakan atau minum, dia wajib menahannya kembali sehingga tiba waktu berbuka.
Ini berdasarkan umum ayat Quran di atas dan hadis riwayat al-Bukhariy berikut secara khusus.


Hadis tersebut menunjukkan para sahabat pernah tersilap berbuka awal sebelum waktunya kerana menyangka matahari telah terbenam dek cuaca yang kelam, kemudian setelah cuaca kembali pulih, Nabi SAW tidak pula dinukilkan menyuruh mereka menggantikan puasa mereka.

Jika wajib menqadha’kannya, nescaya pelbagai nas telah dinukilkan atau tersebar arahan qadha’ dari baginda SAW.

Sedangkan mereka yang terlupa berpuasa lalu termakan atau terminum pun diberi keuzuran dan puasanya dianggap sahih, berdasarkan hadis riwayat al-Bukhariy: “Siapa yang makan dalam keadaan terlupa sedangkan dia berpuasa, maka sempurnakanlah puasanya...”.


Apatah lagi mereka yang berbuka dalam keadaan yakin bahawa waktunya telah tiba.
Pandangan ini dinisbahkan kepada Mujahid, Hasan, Ishaq bin Rahawayh, riwayat dari Ahmad, Ibn Khuzaymah, Ibn Tamiyyah, dan merupakan tarjih syeikh Ibn al-‘Uthaymin, syeikh Mustafa al-‘Adawiy, syeikh al-Tarifiy & beberapa ilmuwan semasa.

Akhir coretan: Bagi yang mengambil pandangan kedua, ianya merupakan ijtihad kibar ulama yang wajar dihormati. Sementara pandangan pertama pula tidak dinafikan ia lebih selamat dan berjaga-jaga. Bak kata ‘Umar bin al-Khattab RA tatkala sedar akan kesilapannya berbuka awal: “الخطب يسير، وقد اجتهدنا” iaitu: “Kita telah berijtihad, dan mudah sahaja menqadha’kannya”.

Info Tambahan.

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Di harapkan juga THR Gegar jadikan kesilapan tersebut sebagai pengajaran.  Jangan kerana kelalaian anda, ribuan pendengar menanggung beban. Tidak hanya puasanya terbatal, malah terpaksa menggantikan semula puasa tersebut.




No comments: