Wednesday, June 28, 2017

Hukum Memberikan Duit Raya.



Hukum Memberikan Duit Raya.

Jika diimbas kembali kenangan menyambut hari raya puasa atau Aidilfitri pada zaman kanak-kanak, pasti sahaja ramai yang terkenang kembali nostalgia duit raya.

Sedari dahulu budaya memberi duit raya tidak pernah menjadi isu, namun kebelakangan ini ia mula diperkatakan dari pelbagai sudut termasuk perihal hukumnya.

Ada yang mendakwa ia mewujudkan sikap materialistik dalam kalangan kanak-kanak. Malah lagi teruk ada yang mendakwa ia haram kerana bukan berasal dari ajaran islam, dan menyerupai amalan dan budaya pemberian Ang pau yang sebati dengan masyarakat cina.

Mengenai dakwaan kononnya budaya memberikan duit raya akan memupuk sifat materialistik dalam jiwa kanak-kanak, bagi saya ia kurang tepat dan tidak berasas. Sejak dahulu lagi budaya ini diamalkan, dan saya juga pernah mengalami zaman kanak-kanak dan pernah juga antara pemburu duit raya. Rasanya amat zalim dan sangat kejam untuk mendakwa generasi lampau yang pernah menerima duit raya sebagai golongan yang materialistik. 

Alhamdulillah persoalan ini turut diulas dan dijelaskan oleh Mufti Wilayah, Dr. Zulkifli Al-Bakri. Mari kita ikuti penjelasan beliau dari Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan




Hari Raya mempunyai rohnya yang tersendiri bagi masyarakat beragama Islam. Di antara roh paling utama bagi perayaan ini adalah menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah: "Menzahirkan perasaan bergembira pada hari-hari perayaan adalah di antara syiar Islam". Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/514).

Di dalam nas-nas syarak terdapat beberapa dalil yang menunjukkan kepada hal ini. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:




Imam Al-Nawawi Rahimahullah meletakkan hadis dengan lafaz yang hampir sama dengan hadis di atas, di bawah tajuk ; Bab Pada Menyatakan Kelonggaran Untuk Bermain Permainan Yang Tidak Ada Maksiat Padanya Pada Hari-Hari Perayaan.

Ini kerana, peristiwa tersebut berlaku pada hari raya yang merupakan hari kegembiraan dan keseronokan. Kerana itulah Rasulullah S.A.W mengarahkan kepada Abu Bakr Al-Siddiq R.A supaya membiarkan kedua perempuan tersebut untuk menyanyi pada hari tersebut. Kesimpulan fekah yang boleh kita ambil adalah, selama mana sesuatu perbuatan yang dapat menzahirkan kegembiraan pada hari perayaan itu tidak bercanggah dengan syariat, selain tidak terdapat dosa padanya maka perkara ini adalah dibolehkan.

Kami berpandangan, konsep memberi duit raya kepada ibubapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam. Bahkan perbuatan sedekah kepada ibubapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.

Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim. 

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa'd bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :






Isu Tasyabbuh

Berkaitan dengan isu tasyabbuh (penyerupaan) di antara duit raya dengan ang pow yang diberikan semasa perayaan kaum Cina, kami melihat bahawa tidak terdapat sebarang unsur tasyabbuh di antara keduanya. Ini kerana pemberian duit raya ada asasnya di sisi Islam iaitu termasuk dalam kategori sedekah yang sunat hukumnya.

Justeru, tidak timbul isu tasyabbuh di sini. Adapun berkenaan penggunaan sampul raya, maka ia kembali kepada hukum asal sesuatu sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah fekah ;



Kesimpulan

Setelah kami mengemukakan beberapa nas dan hujahan berkaitan isu ini, maka kami menyatakan bahawa pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah HARUS hukumnya.

Ini bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung mengunjung.

Begitu juga kami cadangkan beberapa dhawabit seperti berikut:

  • Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.


  • Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.


  • Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.


INFO TAMBAHAN

Di samping meringankan tangan untuk memberi duit/bersedekah pada hari raya, kita juga sewajarnya memurahkan hati untuk bersedekah pada bulan Ramadan yang mulia.

Ini kerana ganjaran pahala yang diperuntukkan pada bulan Ramadan adalah berlipat kali ganda.

Bersedekah juga tidak semestinya banyak, tetapi sekadar yang mampu dan sekudrat yang terdaya. Paling penting ialah ikhlas. Bebaskan diri dari neraka walaupun hanya dengan separuh daripada sebiji kurma, itu pesan junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW.



No comments: