Thursday, July 6, 2017

Anjing, Antara keluasan Fiqh dan Fiqh Malizi/Fiqh Malaysia.



Anjing: Antara keluasan Fiqh dan Fiqh Malizi/Fiqh Malaysia.

Cerita tentang anjing berulang lagi. Ia hangat diperkatakan di media sosial, terutamanya di facebook. Ramai yang ingin berbicara tentangnya. Ada yang berbicara dengan ilmu dengan bersenjatakan hujah dan dalil.

Namun tidak kurang juga yang berbicara persis orang mandul akal dan terliwat minda. Mereka bersilat kata dan bertikam lidah dengan berbekalkan semangat dan sentimen. Malah, ada yang menghukum murtad kepada individu Muslim yang memegang/memelihara anjing.





Bila bercerita tentang anjing, pasti sahaja terdapat individu/pihak tertentu yang melihat anjing dari aspek keluasan fiqh.

Dibentangkan pelbagai pendapat para ulama dan sarjana Islam. Di hidangkan pandangan pelbagai Mazhab.

Akhirnya mereka menyeru agar umat islam di Malaysia jangan kalut dan takut. Mereka meminta umat islam di Malaysia berfikiran terbuka dan berlapang dada. Mereka mengajak umat islam di Malaysia untuk memperluaskan horizon pemikiran seluas timur ke barat dan seluas utara ke selatan.

Dalam masa yang sama terdapat juga individu/pihak yang menjadikan 'uruf dan adat sebagai benteng dan kubu pertahanan untuk memelihara masyarakat daripada kecelaruan dan kekeliruan.

 'Uruf dan Adat juga dijadikan vaksin untuk menghalang merebaknya virus perpecahan dan perseteruan. Saya tertarik dengan istilah Fiqh Malizi/Fiqh Malaysia yang dipopularkan oleh Dr. Siddiq Fadzil.

Fiqh Malizi/Fiqh Malaysia ialah fiqh yang sesuai dengan keperibadian Malaysia, dan sesuai dengan tabiat dan watak Malaysia.

Dalam pendekatan ini segala ketetapan dalam urusan agama dan fatwa perlu mengambilkira realiti adat dan budaya lokal selagi tidak bercanggah dengan agama. Dalam konteks Malaysia, majoriti umat islam sudah sebati dengan Mazhab Syafie sejak zaman berzaman. Jadi Mazhab Syafie perlu menjadi kayu ukur dalam perjalanan kehidupan beragama.

Secara peribadi, saya berpihak kepada pandangan yang menjadikan Fiqh Malizi/Fiqh Malaysia('Uruf dan Adat) sebagai benteng untuk melindungi kecelaruan atau vaksin untuk menghalang virus perpecahan dalam masyarakat. Umat islam di Malaysia sejak zaman berzaman sudah sebati dengan Mazhab Syafie dan tidak menjadikan anjing sebagai binatang belaan.

Inilah realiti adat dan budaya lokal dalam kalangan masyarakat Melayu atau umat islam di Malaysia.

2 comments:

Noor Azlan said...

Babi dengan Anjing kan ujian untuk umat Islam... nanti kat syurga main lah puas2 dengan benda tu... x sabar betul lah... huhu

mamapp said...

Kalau utk tujuan menjaga ladang ok. Sekarang ni tgh wabak rabies takut juga