Thursday, October 5, 2017

Hukum memutihkan kulit.



"Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan." (Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi). 

Berdasarkan hadis tersebut dapat kita  fahami  sesungguhnya islam  tidak menghalang umatnya daripada mengejar kecantikan, namun ada had dan batasnya. Had dan batas yang ditentukan dan ditetapkan oleh agama. 

Jangan kerana ingin kelihatan cantik dan menawan, kita sanggup lakukan apa sahaja termasuklah perkara- perkara yang menyalahi hukum hakam agama. 

Pada zaman dahulu, terdapat manusia, terutamanya wanita yang sanggup bersekongkol dengan syaitan dan jin untuk kelihatan cantik dan muda sentiasa. Ada juga yang memamai susuk. Di negara tertentu seperti Korea Selatan, pembedahan plastik amat popular dalam kalangan rakyatnya yang ghairah memburu kecantikan.

Bagaimana pula dengan rawatan memutihkan atau mencerahkan kulit?

Ulama tersohor Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam bukunya Halal Wal Haram Fil Islam mengelakkan

"Jika pada seseorang terdapat kecacatan yang menyakitinya sama ada dirasai secara fizikal dan mental(iaitu menimbulkan rasa rendah diri) setiap kali berada di dalam majlis atau ketika singgah di sesuatu tempat, maka diharuskan dia membaiki kecacatan tersebut selama mana niatnya ialah untuk menghilangkan kepayahan tersebut".

Kecacatan yang dimaksudkan oleh Al-Qardhawi ini termasuklah berbibir sumbing, mempunyai bonjolan besar pada badannya yang tidak hanya mencacatkan penampilan tapi turut menbebankan hidup dan kehidupan orang yang mengalaminya.

Perlu juga diketahui memutihkan kulit tidak sama sekali termasuk dalam keharusan yang diulas oleh Qardhawi, iaitu membuang kecacatan. Jika berkulit hitam itu kecacatan maka ramailah orang-orang kulit hitam dan India yang termasuk dalam kategori cacat.
Secara mudah, hukum memutihkan kulit terbahagi kepada dua, iaitu.

Haram, apabila pemutih kulit tadi mempunyai fungsi merubah warna kulit yang asli secara kekal. Ini kerana is termasuk dalam hukum merubah ciptaan Allah.

Tetapi harus hukumnya jika ia berfungsi untuk mengembalikan warna kulit yang mengalami perubahan karena masalah-masalah tertentu kepada warnanya yang asli. Itupun jika ia diperbuat daripada bahan yang halal dan  tidak memudaratkan wajah/kesihatan.

Contohnya apabila warna asli kulit seseorang adalah putih, kemudian disebabkan penyakit, terkena cairan tertentu, atau sebab terkena sinar matahari sehingga warna kulitnya berubah menjadi agak hitam, maka menggunakan produk yang mampu mengembalikan warna asli kulit tersebut dalam hal ini diperbolehkan.


Kesimpulannya, keharusan memutihkan kulit terikat kepada niat dan tujuan serta bahan yang digunakan serta perlu mengambil kira faktor kesihatan.

No comments: