Sunday, January 22, 2017

Protes mencemari upacara angkat sumpah Donald Trump.

DONALD TRUMP


Protes mencemari upacara angkat sumpah Donald Trump.

Sudah dijangka dan telah diduga, upacara angkat sumpah Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 akan berhadapan dengan bantahan dan protes.

Ribuan rakyat Amerika Syarikat bertindak melakukan protes dan bantahan.

Mungkin ini yang dikatakan sebagai 'Rakyat Adalah Hakim Negara'


Protes perlantikan Donald Trump


Semalam Donald Trump ditabalkan sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 di Capitol Hill, Washington DC.

Donald Trump mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat, John Roberts.

Bagaimanapun ribuan rakyat negara itu mengadakan tunjuk perasaan protes di seluruh Washington.

Sambil melaungkan slogan menolak Amerika Fasis, mereka menegaskan pelantikan Trump dan naib presidennya, Mike Pence sebagai tidak sah.

Mereka turut membawa sepanduk yang ditulis ‘Menentang Trump Setiap Hari’ dan ‘Keadilan dan Hak Asasi Untuk Semua’

Sejujurnya masih ramai rakyat Amerika Syarikat yang tidak dapat menerima kemenangan Donald Trump dengan senang dan tenang. Mereka tidak dapat menerima kenyataan apabila calon kesayangan mereka, Hillary Clinton tewas di tangan Donald Trump.

Namun, sehebat mana sekalipun bantahan, Donald Trump kini adalah Presiden Amerika Syarikat. Suka atau tidak, inilah realiti yang perlu dihadapi.

Beliau telah menjadi pemenang, dan rakyat teramai di Amerika Syarikat yang telah memilihnya sebagai pemenang.

Bukankah demokrasi itu menobatkan rakyat sebagai pemilih, sebagaimana yang dinyatakan oleh Abraham Lincoln, iaitu sistem demokrasi ialah sistem pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Friday, January 20, 2017

Antara Mira Filzah, Uqasha Senrose dan Siti Kasim

Mira Filzah

Siapa tidak kenal dengan Mira Filzah, artis jelita yang mencipta nama menerusi drama bersiri Cinta Si Wending Planner. Ketika namanya sedang mewangi, tersebarlah 'warkah cinta' daripada Sang Ustaz Selebriti.

Ustaz tersebut mengingatkannya agar sentiasa beringat dan berwaspada agar tidak tersasar dan tergelincir.

Begitu juga dengan Uqasha Senrose. Apabila beliau bertindak kembali ke era 'jahiliah' dengan menanggalkan tudung, maka datanglah seorang Sang Ustaz Selebriti yang menitipkan 'warkah cinta' kepadanya.

Sopannya kata dan santunnya bicara yang terluah di atas warkah tersebut menerbitkan rasa geli di hati kebanyakan netizen.

Niat ustaz tersebut memang murni, tapi pendekatannya agak sumbang.

Siti Kasim


Siti Kasim pula ialah seorang peguam yang dikaitkan dengan gerakan LGBT. Beliau tiba-tiba menjadi terkenal kerana perangai tak senonohnya yang menunjukkan isyarat lucah ketika forum berkaitan Pindaan RUU 355.

Tapi malangnya, tiada pula mana-mana Ustaz Selebriti yang mengutuskan warkah cinta kepadanya. Tiada bait-bait indah dan tiada puitis bahasa untuknya. Tiada nada-nada romantik dan tiada juga ayat-ayat menggoda.

Mengapa nasib Siti Kasim tidak bertuah seperti Mira Filzah dan Uqasha Senrose. Sedangkan kesilapan dan kesalahannya jauh mengatasi kesilapan Mira Filzah dan kesalahan Uqasha Senrose.

Adakah kerana dia tidak sejelita Mira Filzah dan tidak secantik Uqasha Senrose.

Mungkin itulah jawapannya, dan inilah yang dikatakan diskriminasi dalam berdakwah.


Tuesday, January 17, 2017

Tarikh pembayaran BR1M, 2017

Jadual pembayaran BR1M 2017


Tentu sahaja golongan yang layak menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) ternanti-nanti tarikh pembayaran BR1M 2017.

Walaupun sesetengah pihak menganggap BRIM sebagai umpan politik, malah Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir pernah menyindir pemberian BR1M sebagai salah satu bentuk rasuah, namun beliau juga berjanji akan meneruskan BRIM andainya pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.

Abaikan polemik politik, sebagai rakyat kita berhak menerima bantuan tersebut andainya kita benar-benar berkelayakan.

Kembali kepada tajuk, mengenai tarikh pembayaran BR1M 2017, untuk semua peringkat ia akan bermula pada bulan Februari 2017.

Untuk kategori isi rumah yang berpendapatan RM3000.00 ke bawah akan menerima bayaran sebanyak RM1200.00 secara berperingkat, iaitu sebanyak RM400.00 iaitu pada pada fasa pertama di bulan Februari, RM400.00 untuk fasa kedua pada Jun dan bakinya RM400.00 pada fasa ketiga pada bulan Ogos.

Manakala untuk golongan bujang akan menerimanya sekali gus sebanyak RM400.00 pada bulan Februari 2017.

Walau bagaimanapun, tarikh pembayaran ini akan tertakluk kepada perubahan yang akan dimaklumkan oleh Kerajaan.

Monday, January 16, 2017

10 pulau paling popular di Malaysia.

Peta Pulau Perhentian

10 Pulau paling popular di Malaysia.

Sesungguhnya Malaysia sememangnya kaya dengan lokasi-lokasi pelancongan. Antara lokasi pelancongan tersebut ialah pulau-pulau yang indah dan menawan.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh laman kembara touropia.com, sebagaimana disiarkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 15 Januari 2017, terdapat 10 buah pulau paling popular di Malaysia.

Kepada warga Terengganu, anda berhak berbangga, ini kerana empat buah pulau paling popular tersebut terletak di negeri anda.

Berikut adalah 10 Pulau paling popular di Malaysia.

1. Pulau Langkawi 
Ia merupakan pulau paling popular dan menjadi pilihan utama sebagai destinasi percutian. Pulau ini terletak di negeri Kedah.

2. Pulau Perhentian - Terengganu 
3. Pulau Tenggol.  - Terengganu 
4. Pulau Kapas.     - Terengganu 
5. Pulau Redang.  - Terengganu 
6.  Pulau Mabul.    - Sabah
7.  Pulau Sipadan. - Sabah 
8.  Pulau Tioman.  - Pahang
9.  Pulau Pangkor - Perak
10. Pulau Pinang.

Kepada warga Malaysia, jom kenali Malaysia. Banyak lagi lokasi menarik dan khazanah alam yang perlu kita terokai. Jom cuti-cuti Malaysia.

Sunday, January 15, 2017

Hukum membawa handphone ke Masjid.

.
Sesetengah orang terlalu ketat syarat dan pegangannya. Sesetengah orang gagal memahami situasi dan tidak bijak membaca realiti. Mereka sangat jumud dan terlalu ortodoks.

Amatlah malang jika masih ada AJK Masjid mensyaratkan atau mencadangkan sesiapa yang ingin ke masjid atau surau agar tidak membawa handphone.




Mereka ini benar-benar gagal membaca realiti.
Seuatu  yang  perlu  difahami. Tidak semua yang  datang ke  masjid  atau  surau  itu langsung  dari  rumah.  Ada  yang  dari  tempat kerja atau singgah ketika  dalam  perjalanan.

Jika  meninggalkan  handphone  dalam  kereta, ia mendatangkan  risiko. Antaranya ialah kecurian handphone atau  kerosakan  kereta kerana  pencuri  memecah cermin  kereta untuk dapatkan  handphoe.

Jadi,  tidak  salah  untuk  membawa handphone ke  masjid  atau  surau  malah ke Masjidil  haram  sekalipun,  cuma  off  atau silentkn  handphone tersebut  ketika  berada di dalam  institusi  yang  mulia  tersebut.

Islam  itu  mudah  dan jangan  cuba  untuk  menyusahkannya.

Pernah dahulu di kampung-kampung terutamanya, orang -orang yang memakai jeans dan  t-shirt serta  cap dipandang  serong apabila  memasuki  masjid atau  surau, terutamanya untuk bersolat Jumaat. Pihak tertentu  seakan-akan ingin  mewajibkan uniform  khas  untuk  bersolat Jumaat,  iaitu baju Melayu,  kain  pelikat,  jubah dan  Kopiah atau songkok.

Mereka terlupa, tidak semua yang datang ke masjid itu langsung dari rumah. Atau mereka lupa syarat-syarat sah solat, atau mungkin mereka tidak pernah mengerti jenis-jenis pakaian yang boleh dibawa bersolat.

Inilah mentaliti tersasar masyarakat kita yang perlu diubah.

Thursday, January 12, 2017

Pesanan kepada pengusaha produk yang beragama islam




Tidak kisahlah anda pengusaha produk apa sekalipun. Produk kecantikan, kesihatan atau apa jua.

Paling penting anda perlu tahu anda adalah seorang Muslim. Sebagai seorang Muslim, kita wajib yakin akan kekuasaan Allah.

Terlupa atau jahil.

Wahai pengusaha produk yang beragama Islam, adakah anda beranggapan produk anda itu Maha Berkuasa untuk memutihkan  dan menguruskan  serta mencantikkan seseorang.

Adakah anda beranggapan produk anda itu Maha Hebat dan  Maha Besar hingga mampu memakbulkan hajat dan matlamat serta keinginan pengguna.

Lupakah  anda sesungguhnya tanpa izin Allah, produk anda tidak akan memberi apa - apa kesan.

Lupakah anda betapa kerdilnya manusia berbanding kekuasaan Allah.

Tolonglah lazimkan diri dan ringankan lidah untuk melafazkan Insha Allah.

Adakah kolot, kekampungan dan ketinggalan zaman andainya anda menggunakan kalimah Insha Allah ketika mengiklankan produk anda.

Susah sangatkah untuk berkata atau menulis, jika anda menggunakan produk ini, Insha Allah anda akan putih dan gebu. Atau Insha Allah, produk ini boleh membantu anda menguruskan badan. Ia jauh lebih mulia daripada anda berjoget-joget mempromosikan produk anda itu.

Akhir sekali saya ingin berpesan, yakinlah Allah itu pemberi rezeki sesuai dengan salah satu Asmanya, Ar-Razzaq. Jadi dalam usaha untuk mencari rezeki janganlah kita meminggirkan Ar-Razzaq





Tuesday, January 10, 2017

Mohd Faiz Subri mangsa kerja gila Keyboard Warrior



Kemenangan Mohd Faiz Subri tidak hanya mewangikan namanya, tetapi ia turut mengharumkan nama negara. Tidak sekadar itu, malah beliau merupakan pemain dari Asia yang  pertama yang memenangi anugerah berprestij tersebut.

Gara-gara jaringan golnya diisytiharkan sebagai jaringan terbaik dan tercantik di dunia, namanya kini tercatat dalam sejarah bola sepak antarabangsa, dan terpahat kukuh dalam sejarah bola sepak negara.

Namun, ketika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama meraikan kejayaannya sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016. Terdapat juga suara-suara sumbang yang memperlekehkannya.

Sebenarnya sejak tahun lepas lagi, terdapat  keyboard Warrior yang mempertikaikan jaringan gol yang dijaringkan oleh Faiz Subri ketika menentang pasukan Pahang. Bagi mereka jaringan ajaib itu bukanlah berdasarkan kemahiran dan kecekapan, tetapi faktor nasib dan kebetulan semata-mata.

 Malah ketika Faiz Subri berhajat ingin memakai pakaian Melayu tradisional semasa di Majlis Anugerah Puskas, ada yang kata ia sangat lawak. Ada juga yang kata kolot. Ada juga yang kata macam nak bersanding dan macam-macam lagi.

Apabila Faiz Subri dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016, suara-suara  sumbang masih menyalak lantang. Kata mereka, Faiz Subri menang kerana nasib dan kebetulan, dan bukannya kerana bakat dan kemahiran. Mengapa tidak berprasangka baik, itu adalah rezekinya. Itu adalah ketetapan Tuhan yang memilih untuk mewangikan namanya dan mengharumkan nama negara dalam arena bolasepak.

Awal pagi tadi. Dalam group WhatsApps, ada beberapa orang rakan mempertikaikan tindakan Faiz Subri melafazkan kalimah Assalamualaikum dan Alhamdulillah ketika menyampaikan ucapan setelah dinobatkan sebagai pemenang Puskas 2016. Kononnya lafaz tersebut tidak kena pada lokasi dan tidak sesuai pada situasi. Saya tak tahu ulama mana yang ditanya dan kitab mana yang dirujuk. Tapi ghairahnya menjatuhkan hukum hanya berpandukan media sosial.

Terkini terdapat segelintir keyboard Warrior yang mempersendakan penguasaan bahasa Inggeris Faiz Subri. Gila dan memang gila. Perkara seremeh itupun dijadikan bahan untuk cercaan.

Malang sekali orang kita. Ketika dunia mengakui kehebatan jaringan Faiz Subri, orang kita masih mencari ruang untuk mempertikai dan memperlekehkannya.
Kepada Mohd Faiz Subri, semoga anda terus meraih kegemilangan dalam arena bola sepak dan dalam apa jua urusan. Moga Allah merahmati anda.

Pemenang Anugerah Puskas 2016, Tahniah Mohd Faiz Subri


Pemenang Anugerah Puskas 2016, Tahniah Mohd Faiz Subri.

Tahniah buat Faiz Subri. Anda benar-benar telah mengharumkan nama negara. Hari ini sejarah tercipta, buat julung kalinya rakyat Malaysia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas. Seantero dunia terpukau dengan jaringan golnya lantas ia diisytiharkan sebagai jaringan gol tercantik tahun 2016.




Paling mengagumkan, kalimah Assalammualaikum dan Alhamdulillah yang dilafazkan olehnya ketika memberi ucapan setelah memenangi anugerah berprestij tersebut. Moga kalimah suci dan agung tersebut tidak sekadar menyentuh gegendang telinga para hadirin yang majoritinya bukan Islam, tetapi memahamkan mereka betapa Islam bukanlah agama yang jumud, dan Islam tidak pernah memusuhi sukan.

 kelihatan sedikit gementar ketika memulakan ucapannya namun dia berjaya menghabiskan ucapan tersebut tanpa sebarang masalah.

Tahniah Mohd Faiz Sabri. Anda kini menjadi sebagai sebahagian daripada sejarah negara. Semoga masa depan anda sebagai pemain bolasepak akan terus cemerlang dan gemilang.



Sunday, January 8, 2017

Ceritera Orang Melayu yang taksub dengan Ustaz.



Semalam saya menonton sebuah filem Tamil bertajuk Saahasam. Saya tertarik dengan satu dialog yang berbunyi "jangan fikirkan logik tapi fikirkan magik. Di India magik lebih dipercayai berbanding logik sebab itu sami lebih dipercayai daripada saintis."

Apa kaitan filem Tamil tersebut dengan entry saya kali ini. Adakah saya ingin review filem tersebut. Tidak sama sekali. Saya sebenarnya ingin mengaitkan dialog tersebut dengan isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita, iaitu mengenai magik dangolongan agamawan. Kalau dalam filem Tamil tersebut, tentang sami  dan magik, manakala di negara kita pula tentang Ustaz dan magik atau ilmu luar biasa.

Suatu ketika dahulu, seringkali kedengaran dakwaan kononnya pemilik kedai makan,warung dan  restoran tertentu membela mahkluk halus sebagai pelaris.

Diceritakan ustaz-ustaz tertentu yang mempunyai ilmu luar biasa terlihat kelibat makhluk halus di restoran/warung/kedai makan tertentu.

Zaman berubah namun mentaliti segelintir orang-orang kita tetap tidak berubah malah semakin menjadi-jadi dengan bantuan media sosial.

Sekitar seminggu yang lepas, pengusaha Mak Wan Mee Sup Champa mengalami kerugian apabila Sang Ustaz yang terlihat kelibat makhluk halus sedang meniarap di atas meja di kedai makannya. Berita tersebut tersebar dengan begitu pantas di media sosial terutamanya Facebook.

Tidak cukup dengan itu, selain didakwa membela makhluk halus sebagai pelaris sebagai mana yang dibongkar menerusi ilmu magik Sang Ustaz, penguasaha restoran tersebut juga didakwa menggunakan babi, kura-kura dan aneka juadah haram dalam masakannya.  Perniagaannya terjejas gara-gara ilmu magik milik Sang Ustaz yang dianggap sebagai wahyu dan sabda oleh sesetengah orang Melayu.

Itu hanyalah sebahagian kisah, Ustaz-ustaz sakti yang mempunyai ilmu magik.

Sebenarnya masih  ramai orang-orang Melayu yang terpengaruh dengan kisah Ustaz-ustaz yang memiliki ilmu luar biasa. Luar biasa hingga mampu melihat jin dan syaitan yang sedang kencing , muntah dan berak di dalam makanan di restoran/kedai makan/warung. Akibatnya restoran/warung tersebut diboikot, dan perniagaan mereka terjejas teruk.


Beberapa bulan yang lepas, saya diingatkan agar tidak makan di restoran Selera Tepi Sungai Tanah Merah, kononnya ada seorang Ustaz yang menjadi ilmu perubatan Islam ternampak hantu dan jin muntah dalam makanan yang dihidangkan di restoran tersebut.  Pernah dahulu, pengusaha Sate terkenal di Kajang dituduh membela hantu raya, kononnya utaz tertentu ternampak hantu raya sedang kencing di atas sate tersebut.

Tapi amat hairan dan sangat pelik. Apa tidaknya, sebab di rangkaian KFC, Macdonald, Pizza Hut dan yang sewaktu dengannya tidak pula Sang Ustaz ini terampak kelibat hantu,iblis, dan jin. Oleh itu marilah kita berprasangka baik, mungkin di KFC dan Macdonald, pengusaha telah berdamping dengan malaikat dan bukannya hantu raya atau jin. Di situ malaikat telah merenjis-renjis hidangan ddengan haruman kasturi.

Ingat lagi ketika kes kehilangan MH370 tersebar. Punyalah ramai pakar-pakar berkaitan penerbangan mengeluarkan pandangan, tiba-tiba muncul seorang ustaz dengan mimpinya.  Habis, seantero rakyat Malaysia mula mempercayai mimpi tersebut dan  berjemaah menyebarkan mimpi ustaz tersebut. Tiba-tiba Ustaz Mimpi menjadi popular mengalahkan penyanyi yang baru mencipta nama ketika itu, Encik Mimpi.

Benarlah apa yang diperkatakan dalam filem Tamil, Saahasam. Iaitu logik sering kali ditewaskan oleh magik, sebab itu di India orang lebih mempercayai Sami berbanding Saintis. Di Malaysia pun lebih kurang sama keadaannya.


Thursday, January 5, 2017

Hukum solat jamak ketika musim banjir



Assalamualaikum. Di sebabkan beberapa tempat di Malaysia terutamanya beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu sedang dilanda banjir. Ramai juga mangsa-mangsa banjir dipindahkan dan ditempatkan di pusat pemindahan, selain ada yang menumpang berteduh di rumah sanak saudara. Jadi untuk entry kali ini elok benar jika kita ambil peduli tentang hukum berkaitan solat jamak padamusim banjir.

Entry ini sebenarnya merujuk kepada tulisan atau jawapan daripada Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman sebagaimana yang disiarkan menerusi fanpage Facebooknya.

SOALAN

Asalamualaikum ustaz, sahabat saya mintak tolong tanya pada ustaz.. Kes dia mcm ni, kalau badan perempuan tu kotor kena lumpur banjir lepas tu tempat solat pun kotor kira darurat ke? Boleh buat jamak ke? Kes lagi satu, kalau baju kotor kena lumpur. Bnjir lepas tu ada tempat solat tapi kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana tu? Mintak ustaz tolong jelaskan..syukran jazakallah "mntk maaf ggu *_*

JAWAPAN

Wa’alaikumussalam,

Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185)

Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)

Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas

عن ابن عباس أن رسول الله جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء بالمدينة في غير خوف ولا مطر. قيل لابن عباس : ما أراد إلى ذلك ؟ قال : أراد أن لا يحرج أمته

Ertinya: Rasululllah telah menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.

Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.

KESIMPULAN

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad.

Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua solat jama' itu, wudhu tetap WAJIB diambil.


Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu.

Cuma para ulama bersepakat jika solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah.

Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir

Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di tempat wudhu’, wudhu  masih mesti diambil. Bagi membolehkan ia diambil oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu :

1) Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum  berwudhu’.

2) Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk wanita berwudhu’.
3) Meminta saudara mara ambil kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli keluarga wanita masing-masing ingin mengambil wudhu.

Sekian, semoga dapat beramal dalam apa jua keadaan.


Wednesday, January 4, 2017

Hukum menyambut Tahun Baru Masihi


HUKUM MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI

SOALAN: Apakah hukum menyambut Tahun Baru Masihi?

JAWAPAN:

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Hukumnya harus untuk menyambut tahun baru namun perlu mengikut dhawabit yang telah ditetapkan.

Saya tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:

 “Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah. Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian. B

Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-mushābahah tidak sama dengan al-tashabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja,”


 Justeru, dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik.

Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak.

Ingatlah juga firman Allah SWT: يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ

Maksudnya: "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Al-Syu’ara’: 88-89)


Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tahun baru ini dapat memberikan sinar bahagia dan menghilangkan kabus kesusahan dalam kehidupan kita dan seterusnya kita sentiasa berada rahmat, taufik, hidayah dan inayah-Nya.

Amin.

Akhukum fillah, S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Tip keselamatan wanita apabila berada di tempat letak kereta


Tip keselamatan wanita apabila berada di tempat letak kereta. Tempat meletak kereta merupakan antara sasaran popular penjenayah melakukan kegiatan jenayah, terutamanya terhadap kaum wanita.

Banyak kes jenayah seperti kes culik, rompak, samun, rogol dan ragut berlaku di kawasan parkir kereta ini.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh dipraktikkan oleh wanita untuk menjaga keselamatan mereka di tempat letak kereta.

1. Pilih kawasan letak kereta yang terjamin selamat.

Jika anda mempunyai pilihan letaklah kenderaan di kawasan yang mempunyai sistem keselamatan seperti kamera litar , peronda, dan yang berpagar.

 2. Jalan terus dan jangan berlengah.

Sebaik sahaja keluar dari kereta, kunci dan terus beredar menggunakan laluan kecemasan ke destinasi anda. Jangan lalu di antara celah kenderaan di situ.

3. Letak di petak berlampu

Walaupun tiba waktu siang dan merancang pulang sebelum malam, namun kemungkinan untuk pulang lewat memang ada. Justeru, letak kereta di petak di bawah cahaya lampu terang.

 4. Pastikan kereta dikunci.

Pintu dan tingkap mesti sentiasa ditutup serta dikunci supaya penjenayah tidak boleh mencapai pemegang pintu daripada luar kereta. Sejurus masuk ke dalam kereta , kunci segera kereta menggunakan kekunci pusat atau automatik.

5. Masuk segera.

Buka pintu dan masuk ke dalam kereta dengan segera tanpa berlengah. Perbuatan menanggalkan kot atau menyusun barang yang dibawa masuk mendedahkan anda kepada bahaya untuk diserang.

6. Keluarkan barang sebelum meletakkan kereta.

Jika perlu untuk menghantar barang atau bungkusan, pinggan, dan turunkan dipintu masuk bangunan sebelum pergi meletakkan kereta.

7. Jangan letakkan kereta di tempat tersorok

Lori, van, dan kenderaan menjadi tempat untuk penjenayah bersembunyi. Justeru elakkan meletak kereta di sebelah kenderaan itu 

8. Kembali ke tempat selamat jika diekori.
 Jika merasa anda diekori ketika hendak ke kereta anda. Segera kembali ke tempat yang lebih selamat. Cuba minta bantuan kawan atau kenalan untuk menemani anda ke kereta.

 9. Pastikan kunci kereta sentiasa di tangan.

 Pegang kunci kereta hingga sampai ke destinasi. Begitu juga ketika hendak kembali semula ke kereta. Anda tentunya tidak mahu teraba-raba mencari kunci dan memberi peluang kepada penjenayah untuk menyerang anda dari belakang.

 10. Kunci dan terus beredar.

Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, kunci dan biarkan tingkap tertutup. Tingkap boleh diturunkan kemudian selepas anda memandu dan beredar daripada kawasan iti

 11. Lihat di dalam dan bawah kereta.

Sebelum membuka pintu kereta, imbas ke dalam dan ke bawah kereta untuk memastikan tiada penjenayah masuk atau bersembunyi di situ.

 12. Elak daripada menggunakan laluan tertutup.

 Jika meletakkan kenderaan di petak bertingkat, lebih selamat untuk berjalan di atas rampas daripada menggunakan tangga tertutup.

 13. Letak berhampiran pintu masuk

Pilih petak paling hampir dengan pintu masuk ke bangunan.

14. Sorok barangan berharga.

Jangan biarkan barang berharga seperti dompet, komputer, dan beg bimbit terbiar atas kerusi atau dapat dilihat daripada luar. Ini mengundang pencuri memecah cermin tingkap dan meragut barangan berharga. Sebaiknya sorok atau simpan dalam but atau di tempat yang selamat.

 15. Tunggu sebentar.

 Sebaik sahaja meletakkan kenderaan, jangan terus matikan enjin. Perhatikan persekitaran dulu. Jika anda rasa selesa, barulah matikan enjin dan keluar dengan cepat dan tidak berlengah-lengah.

 16. Tarik perhatian jika anda dihalang.

 Jika kenderaan anda dihalang, tariklah perhatian orang ramai dengan membunyikan hon, menghidupkan siren kecemasan dan menyalakan lampu hadapan.

 17. Imbas kawasan letak kereta.

 Apabila hendak pulang ke kereta, imbas persekitaran terlebih dahulu. Waspada terhadap individu yang mencurigakan terutama yang duduk di dalam kenderaan sambil memerhatikan anda kerana mereka mungkin penjenayah yang menanti peluang atau merancang untuk melakukan jenayah

18. Letak kereta berhampiran laluan pejalan kaki.

Pilih petak berhampiran laluan pejalan kaki kerana penyamun akan takut untuk melakukan jenayah di laluan yang sibuk.

 19. Pastikan anda boleh melihat kereta

 Jika berhenti sebentar untuk membuat pembayaran melalui mesin bayar automatik (autopay), cuba letakkan kenderaan anda paling hampir dengan mesin tersebut. Sediakan wang secukupnya supaya pembayaran dapat dilakukan dengan cepat. Perlu diingatkan, walaupun mesin tersebut dekat dengan kenderaan, jangan biarkan ia hidup walaupun sebentar.

20. Cergas dan Yakin

Anda mestilah sentiasa kelihatan cergas dan Yakin ketika berada di tempat letak kereta. Kenal pasti arah pintu masuk bangunan. Penjenayah sentiasa memerhati dan menunggu peluang untuk menyerang terutama mereka yang kelihatan lemah, sesat dan hilang arah.

 Rujukan : Artikel ini adalah sumbangan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian.