Monday, February 27, 2017

Penggunaan VX Nerve Agent, bukti jelas penglibatan Korea Utara dalam pembunuhan Kim Jong-Nam.

Gambar Kim Jong-Nam


Penggunaan VX Nerve Agent, bukti jelas penglibatan Korea Utara dalam pembunuhan Kim Jong-Nam.

Hasil bedah siasat atau post mortem terhadap mayat mendiang Kim Jong-Nam mendapati abang tiri kepada Presiden Korea Utara itu mati dibunuh dengan menggunakan VX Nerve Agent(Agen Saraf VX).

Kim Jong-nam dibunuh oleh dua orang wanita ketika menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2),  pada 13 Februari 2017. Wanita tersebut ialah, Siti Aisyah seorang warga Indonesia dan Doan Thi Huong,  seorang warga Vietnam.

Siasatan kemudiannya mendapati terdapat beberapa orang lelaki Korea Utara yang menjadi dalang di sebalik pembunuhan tersebut.

Siapakah lelaki Korea Utara tersebut. Tentu sekali bukan orang awam, sebab mereka yang mengarahkan kedua-dua wanita warga asing itu membunuh Kim Jong-Nam. Mereka sebenarnya adalah perisik Korea Utara.

Apatah lagi suspek keempat yang ditangkap, iaitu seorang rakyat Korea Utara, Ri Jong-Chol mempunyai kepakaran dalam bidang kimia. Beliau pernah terlibat dalam penyelidikan di Kolkata, India, dan kemudiannya berkhidmat di sebuah syarikat IT yang berpangkalan di Malaysia.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan pula telah mendedahkan bahawasanya  Korea Utara telah mula mengeluarkan senjata kimia pada tahun 1980 dan dianggarkan mempunyai stok kira-kira 2,500 hingga 5,000 tan.

Sekumpulan pakar Korea Selatan juga mendakwa Korea Utara mempunyai hampir 5,000 tan senjata kimia termasuk bahan toksin yang membahaya.

Malah, sebuah institut bioteknologi Korea Utara didakwa terbabit dalam pembunuhan abang pemimpin Kim Jong-un, Jong-nam, di Malaysia, minggu lalu. Institut tersebut bertanggungjawab membangunkan bahan kimia pertanian.

Malah lebih dari itu, bekas pemimpin Komando Korea Utara, An Chan-Il pernah mendedahkan di dalam portal The Japan Times, mengenai ejen perisikan Korea Utara. Katanya, pemerintah Korea Utara lebih cenderung menggunakan ejen wanita untuk menjalankan tugasan berkaitan risikan.

Selain itu pihak Korea Selatan jua turut mendedahkan rancangan Korea Utara ntuk menyingkirkan Jong- Nam sejak Disember 2014 lagi.

Mengapa Kim Jong-Nam dibunuh.

Kim Jong-nam dibunuh kerana beliau merupakan ancaman terhadap pentadbiran adik tirinya, Presiden Kim Jong-un. Ini memandangkan China merancang untuk melantik Kim Jong-nam sebagai pemerintah baharu Korea Utara bagi menggantikan Kim Jong-un.


Monday, February 20, 2017

Alhamdulillah, Lindsay Lohan kini seorang Muallaf

Gambar Lindsay Lohan.


Alhamdulillah, Lindsay Lohan kini seorang Muallaf.

Lindsay Lohan adalah selebriti popular dan mempunyai peminat seantero dunia. Apa sahaja yang beliau lakukan akan menarik perhatian jutaan peminat seni di seluruh dunia. Apatah lagi jika tindakan baik berupa tindakan, ucapan mahupun tulisannya yang menyalahi kelaziman dan menyalahi kebiasaan.

Seantero dunia menjadi heboh apabila Lindsay Lohan mulai mesra dengan agama islam. Antara perbuatannya yang mesra islam ialah beliau pernah memegang Al-Quran, dan kemudiannya mengaku dirinya rasa tenang apabila menyentuh Al-Quran.

Lindsay Lohan mendakwa Al-Quran telah mengusir resah dan menghambat gelisahnya, sebagaimana pendedahannya dalam satu rancangan bual bicara di Kuwait.

Lebih dari itu, Lindsay Lohan turut mendedahkan dirinya telahpun membaca lima belas muka surat terjemahan al-Quran, dan beliau juga selalu mendengar bacaan ayat suci al-Quran melalui aplikasi yang dimuat turun di telefon bimbitnya.

Aktres terkenal itu juga memberitahu, dia pernah bersolat dan pernah berpuasa selama tiga hari, pada bulan Ramadan yang lalu.

Berdasarkan pengakuan dan tindakannya itu, terbukti Lindsay Lohan adalah seorang Muallaf. Benar beliau adalah seorang Muallaf, dan marilah kita doakan pendakian rohaninya diberkati Allah. 

Apa Maksud Muallaf.

Sebenarnya masih ramai orang-orang kita yang tidak memahami pengertian Muallaf dengan tepat. Mereka beranggapan Muallaf ialah golongan yang baru memeluk agama islam atau dikenali juga sebagai saudara baru.

Sebenarnya pengertian atau takrif Muallaf lebih dari itu. Ia merangkumi orang-orang bukan islam yang berminat serta berjinak jinak dengan agama islam. Ini termasuklah perbuatan mereka yang mencari, mengkaji atau cuba mengamal agama islam. Golongan bukan islam sebegini sebenarnya layak untuk menerima zakat walaupun mereka belum memeluk islam.

Mengenai Lindsay Lohan, marilah kita doakan agar Allah menganugerahkan hidayah kepadanya. 

Saturday, February 18, 2017

Iktibar di sebalik peristiwa lapan remaja berbasikal maut dirempuh kereta.



Tular di media sosial hari ini peristiwa sekumpulan remaja berbasikal dirempuh oleh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam menghala ke Dataran Bandaraya Johor Bahru.
Tragedi yang berlaku pada pukul 3 pagi itu telah meragut lapan nyawa daripada kumpulan remaja terbabit. Mangsa yang terkorban berusia dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun.





Kumpulan remaja berkenaan dikatakan sering berbasikal di lokasi itu hampir setiap minggu. Biasanya aktiviti mereka bermula pada kira-kira 12 tengah malam.

Akibat rempuhan itu, dipercayai enam maut ditempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA).




Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh ketika kejadian itu, kereta Nissan Almeera yang dipandu seorang wanita berusia 22 tahun itu tidak dapat mengelak lebih 20 hingga 30 kumpulan remaja berbasikal yang menghalang dan memenuhi jalan.


Sulaiman berkata, wanita tersebut kini disiasat dan siasatan awal mendapati wanita itu tidak mabuk semasa kejadian berlaku.


Netizen tak matang ini
menyalahkan pemandu



INFO TAMBAHAN DAN IKTIBAR.

Peristiwa berdarah ini memang amat memilukan. Pilu untuk kita yang mendengar, tapi lagi memilukan untuk ahli keluarga yang terpaksa berhadapan dengan realiti tersebut.
Siapa yang perlu dipersalahkan?

Di media sosial, netizen mula bertindak sebagai Hakim Negara menjatuhkan hukum ke atas beberapa pihak. Antara yang dipersalahkan ialah ibu-bapa kumpulan remaja tersebut, tidak kurang juga yang menyalahkan pemandu kereta Nissan Almeera terbabit.

Komen berbaur perkauman 


Ada juga yang melontarkan komen berbaur perkauman atau rasis iaitu menyalahkan orang Cina. Sejujurnya saya beranggapan komen tersebut amat bodoh dan tolol, dan apa yang pasti saya tidak pernah berminat untuk mengambil tahu perihal bangsa dan keturunan dalam isu sebegini. Kata netizen tersebut,  pemandu cina selalu memandu dalam keadaan mabuk. Tapi pihak polis telahpun mengesahkan pamandu tersebut tidak dalam keadaan mabuk.

Malah, difahamkan juga basikal kumpulan remaja tersebut telah banyak diubahsuai hingga tidak lagi selamat atau sesuai untuk digunakan.

Bagi menghormati keluarga remaja yang terkorban itu, usahlah kita bertindak sebagai Hakim Negara untuk menjatuhkan hukum. Tidak adil juga untuk kita menunding jari kepada pemandu wanita tersebut. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Paling penting kita ambil iktibar di sebalik tragedi berdarah ini. Jadikan ia sebagai pengajaran dan kutiplah iktibar daripada peristiwa tersebut. Percayalah, di sebalik hakikat yang tersurat pasti adanya hikmah yang tersirat.

Saya tertarik dengan pesanan  Sultan  Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagaimana disiarkan di dalam Astro Awani berpesan kepada ibu bapa agar bertegas dalam mendidik anak-anak.

Kata baginda, biar anak yang menangis dan bukannya ibu bapa yang menangis kemudian hari. yang perlu membuka mata dan hati di sebalik peristiwa ini tentulah ibu bapa.

Anak-anak remaja dalam lingkungan umur 13 hingga 17 tahun yang tentu sahaja masih di bangku persekolahan. Jadi, tidak sewajarnya mereka berada di luar rumah dan merayau-rayau hingga waktu lewat malam.Ibu bapa perlulah bertegas dalam isu ini. Kata orang-orang tua, sayangkan anak tangan-tangankan.

Selain itu, pergaulan anak-anak perlu dipantau. Jangan dibiarkan terlalu bebas. Zaman sekarang anak-anak remaja tidak boleh dibenarkan berkawan sesuka hati. Percayalah, ramai remaja hari ini yang musnah hidup dan binasa masa hadapan kerana pengaruh rakan sebaya. Ramai remaja yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan pelbagai salah laku kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Lebih baik anak-anak menjadi kera sumbang daripada rosak hidup dan musnah masa hadapan.

Sama-samalah kita jadikan peristiwa berdarah ini sebagai iktibar. Moga-moga tragedi ini mengetuk pintu sedar seantero rakyat Malaysia, terutamanya golongan ibu bapa.


Wednesday, February 15, 2017

Valet Doa kerja gila Penunggang Agama.

Valet Doa

Kata sahabat saya, benda yang paling laris untuk dijual pada hari ini ialah agama. Kata-kata tersebut memang ada benarnya.

Apa tidaknya lihat sahajalah apa yang berlaku di negara kita, pelbagai produk dan perkhidmatan yang menjadikan agama sebagai pelaris. Antaranya ialah air minuman dan minyak wangi yang disertai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran,  air dari sarang anai-anai yang  memakan daripada beberapa surah dari kitab suci Al-Quran. Ayam yang disentiasa diperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran dan macam-macam lagi

Pakej Valet Doa.


Golongan yang memperdagangkan agama ini adalah golongan penunggang agama. Mereka sangat keji dan amat hina.

 Penunggang Agama yang terbaru di Malaysia ialah Hasrin Harin. Beliau memperkenalkan yang dikenali sebagai Valet Doa.

Perkhidmatan ini khas kepada sesiapa yang berhajat ingin berdoa di hadapan Kaabah dan lain-lain tempat suci di Makkah, tetapi tidak mampu untuk ke sana, maka bolehlah bagi duit kepadanya. Nanti dia akan membacakan doa-doa tersebut di hadapan Kaabah.

Valet Doa kelolaan Hasrin Hasrin menyediakan perkhidmatan dengan tawaran harga antara RM250 sehingga RM5,000 kepada orang ramai melalui pakej tertentu seperti VVIP serta pakej King Salman.


Lagi gila, si celaka tersebut memberi jaminan doa tersebut akan dimakbulkan dalam tempoh terdekat. Melampau memang melampau, malah sudah sampai tahap merosakkan akidah.

Hasrin Harin memang penunggang agama yang paling jahat apabila dia melacurkan hadis Nabi tentang kelebihan berdoa di Makkah untuk menghalalkan tindakannya.

Alhamdulillah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengingatkan umat Islam supaya tidak terpedaya dengan khidmat Valet Doa itu.

Ketua Pengarah JAKIM,  Tan Sri Othman Mustapha berkata, doa adalah permohonan seorang hamba kepada Allah SWT.

Kata beliau lagi, “Sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian Islam. Hak termakbulnya doa adalah milik Allah SWT semata-semata, bukan terletak kepada manusia,"

Beliau berkata, pihaknya menyarankan umat Islam memberikan maklumat kepada JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap sesuatu isu demi menjaga kemaslahatan dan kesucian Islam.

Semalam, ramai pengguna di laman sosial melahirkan rasa kesal selepas menyaksikan kewujudan akaun Facebook menggunakan nama 'Valet Doa' diwujudkan bagi memperkenalkan perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Makkah.

Mufti Wilayah Persekutuan juga turut mengecam perbuatan Hasrin Harin yang memperdagangkan agama.

Mufti wilayah Persekutuan menjelaskan memang terdapat beberapa tempat yang mulia dan mustajab doa, tapi semuanya perlu didoakan dengan penuh keikhlasan daripada seseorang tanpa sebarang bentuk perniagaan doa. Ini kerana, Allah sahaja yang bersifat penerima doa yang yang memakbulkannya.


Tuesday, February 14, 2017

Hukum Menyambut Valentine's Day oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang.

Valentine Day



Hukum Menyambut Hari Kekasih.

Empat belas Febuari setiap tahun dianggap sebagai Hari Memperingati Kekasih atau Valentine Day. Pasanagn kekasih akan menyambutnya sebagai bukti cinta, kasih dan sayang. Namun, jika ditinjau dari sudut sejarah kewujudan hari tersebut ternyata ia bukanlah berasal dari budaya islam, tetapi berakar umbikan budaya dan tradisi barat dan Kristian. Mengapakah umat islam dilarang dari menyambut Hari Valentine. Berikut adalah keterangan atau hujah yang dikemukakan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang untuk menjawab persoalan tersbeut. 

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2012, pada14-15 Mac 2012 

Keputusan : Hukum menyambut hari kekasih adalah haram dan dilarang untuk menyambutnya kerana mempunyai kaitan dengan agama lain

Keterangan/Hujah 

1. Sejarah Valentine’s Day tidak ada dalam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam 

2. Valentine’s asal nama sebenarnya St.Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang yang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakan seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Spainyol 

3. Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang 

4. Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana-kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam 

5. Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day. 

6. Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang. 

7. Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi unutk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’. Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang menolong atau merangsang kepada yang dilarang dan maksiat. 


INFO TAMBAHAN. 

Umat islam sepatutnya membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran. Perayaan Hari Valentine ternyata bukan berasal dari agama serta budaya islam tetapi dari budaya Barat, dan lebih dari itu perayaan tersebut menodai tatacara islam.

Monday, February 13, 2017

Iktibar di sebalik perbuatan Mat Tere menghina Tengku Mahkota Johor.


Mat Tere


Iktibar di sebalik perbuatan Mat Tere menghina Tengku Mahkota Johor.

Di sebalik hakikat yang tersurat, pasti adanya hikmah yang tersirat. Hikmah ini kadang-kadang perlu diteliti dan dihayati agar kita lebih berhati-hati.

Nama Mat Tere tiba-tiba menjadi begitu popular gara-gara menghina Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Di laman sosial namanya sepopular Selva Kumar, perogol bersiri yang kini dibenarkan pulang ke Malaysia setelah menjalani hukuman penjara di Kanada.

Akibatnya Mat Tere ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi membantu siasatan, dan Alhamdulillah hari ini dengan jasa baik TMJ, beliau dibebaskan daripada tahanan reman dan dihantar pulang ke Kelantan.

SIAPAKAH MAT TERE.
Mat Tere atau nama sebenarnya Muhamad Zul Apis Baharom adalah seorang pemuda yang lurus bendul. Beliau termasuk dalam kategori golongan istimewa, atau Orang Kurang Upaya(OKU).

Melihat kepada keadaannya, kita semua sedia maklum Mat Tere tidak boleh dipersalahkan di atas kesalahan yang dia lakukan. Mat Tere telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk melunaskan kebencian terhadap TMJ.  

Pasti sahaja ada pihak tertentu atau tangan ghaib yang menjadi dalang di sebalik keceluparan Mat Tere. Siapakah individu atau tangan ghaib yang dimaksudkan. Adakah ia sekadar orang biasa-biasa atau penyokong pasukan bola sepak pasukan lain yang anti TMJ dan pasukan Johor Darul Takzim (JDT), atau tangan ghaib itu datangnya daripada 'insan luar biasa' yang menjadi pesaing TMJ dalam usaha menerajui takhta FAM.

Jika dirujuk kata-kata TMJ di Laman sosial Facebook (FB) Johor Southern Tigers (JST) didapati TMJ yakin dan percaya Mat Tere tidak bersalah dan digunakan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik.

Siapakah pihak tertentu yang mempunyai agenda politik sebagaimana yang dimaksudkan oleh TMJ.

 Adakah pihak tertentu itu merujuk kepada tokoh politik yang pernah terpalit dengan skandal penyelewengan wang PPRT dan kini berhadapan dengan dakwaan penyalahgunaan dana MARA.

Teka-teki ini hanya akan terjawab andainya dalang di sebalik keceluparan Mat Tere terbongkar. 


Sejarah Melayu


IKTIBAR DI SEBALIK PERISTIWA MAT TERE MENGHINA TMJ.

Jika dirujuk Teks Sejarah Melayu atau dikenali juga sebagai Sallatus Salatin, terdapat satu peristiwa di mana seorang anak muda bernama Tun Umar. Beliau seorang yang gila-gila bahasa telah bertindak berani, iaitu melanggar perahu-perahu orang Siam dengan menggunakan sebuah perahu kecil.  Tindakan itu sebenarnya mengundang bahaya dan tidak akan dilakukan oleh orang-orang yang waras. Namun, dari sudut yang lain, tindakanya itu telah menjentik rasa hairan di hati tentera Siam.

Pada waktu malam, Bendahara Paduka Raja mengarahkan segala pohon kayu bakau dipasang puntung api. Strategi tersebut telah melahirkan rasa takut dan gerun di hati tentera Siam, termasuklah Panglimanya yang bernama Awi Dicu. Ini kerana mereka menyangka tentera Melaka terlalu ramai dan sudah bersiap siaga di Pantai. Kata Awi Dicu, jika seorang tentera Melaka(merujuk kepada Tun Umar yang gila-gila bahasa) memiliki keberanian luar biasa, maka apatah lagi dengan jumlah yang ramai. Akhirnya Awi mengarahkan tentera Siam berundur.

Saya paparkan secebis kisah dari teks Sejarah Melayu tadi bukanlah untuk bercerita tentang Bendahara Tun Perak mahupun Panglima tentera Siam, Awi Dicu. Tapi tentang Tun Umar yang gila-gila bahasa. Tak dapat dipastikan sama ada beliau bertindak sedemikian kerana disuruh atau secara sukarela. Tidak dapat dipastikan juga dia dijadikan atau menjadi senjata pertama secara sukarela untuk menakutkan tentera Siam melalui rempuhan yang boleh dianggap sebagai tindakan berani mati.
 Tapi tidak mengapalah sekurang-kurangnya tindakan Tun Umar itu dalam konteks mempertahankan kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka, dan beliau tetap seorang pejuang.

Jujur dan ikhlas, sejak kanak-kanak hinggalah dewasa seringkali saya dengar, malah pernah juga terlihat betapa tidak terbelanya golongan lurus bendul dan OKU. Saya masih ingat waktu kanak-kanak dahulu, seorang lelaki yang kurang sihat mentalnya telah dipermainkan oleh orang ramai. Lelaki tersebut disuruh menyanyi dan menari, malah lebih dari itu disuruh menjilat hingus yang meleleh di wajahnya. Segelintir penonton termasuklah golongan tua hanya bergelak ketawa seakan-akan itu perbuatan itu adalah sebuah program hiburan. Lelaki kurang waras tersebut telah meninggal dunia pertengahan tahun lepas.

Saya ingat lagi kisah lelaki lurus bendul yang disuruh oleh beberapa penduduk kampung agar melaungkan azan subuh pada pukul 3 pagi. Tanpa membantah, lelaki yang lurus bendul tersebut melaksanakan tanggungjawab gila itu dengan jayanya.

Saya ingat lagi, kisah seorang lelaki dan perempuan gila yang dihasut dan disuruh bersetubuh di khalayak ramai. Maka bergelak ketawalah manusia-manusia durjana menyaksikan pasangan gila melakukan aksi gila secara terbuka di atas wakaf.

Begitulah nasib yang menimpa golongan lurus bendul dan mengalami masalah mental atau OKU. Ramai ibu bapa yang mempunyai anak sebegini sentiasa diburu resah dan dihambat gelisah. Resah memikirkan masa depan anaknya yang lurus bendul, gelisah apabila memikirkan keadaan anaknya itu apabila mereka dijemput Ilahi.

Apa yang berlaku terhadap Mat Tere bukanlah perkara baru. Ia adalah sebahagian daripada episod panjang kisah-kisah penganiayaan dan eksploitasi terhadap golongan lurus bendul, kurang cerdik dan masalah mental serta OKU.










Sunday, February 12, 2017

Selva Kumar vs Chin Peng.

Selva Kumar Subbiah


Selva Kumar vs Chin Peng.

Siapa yang tidak mengenali Selva Kumar Subbiah. Namanya kini menjadi sebutan. Disebut bukan kerana jasa dan sumbangan tetapi kerana kerakusan nafsunya sebagai perogol handalan.

Selva Kumar adalah perogol bersiri yang kini telah pulang ke Malaysia, setelah selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada  atas 30 pertuduhan jenayah seksual terhadap wanita.

Walaupun telah dihukum penjara dalam tempoh yang lama di Kanada, namun Selva Kumar tetap ditakuti dan digeruni.  Ia kerana media dan pihak berkuasa Kanada menyifatkannya penjenayah paling berbahaya, dan memberi amaran beliau masih belum berubah dan ada kemungkinan akan mengulangi jenayahnya.

Sekarang kita selongkar dan bongkar pula kisah atau ceritera Chin Peng.

Keratan akhbar mengenai Chin Peng.


Chin Peng. Nama itu kekal melekat dalam ingatan dan terpahat kukuh dalam catatan sejarah. sebutan. Dirinya . Dirinya dikenang bukanlah kerana jasa dan peranannya terhadap negara, tetapi kerana kekejaman dan kezaliman yang pernah dilakukannya suatu ketika dahulu.

Walaupun Chin Peng telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 16.September.2013, namun kekejaman dan kezaliman yang pernah dilakukannya tidak akan mati dan akan dalam catatan sejarah. 

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya(PKM) ketika berusia 23 tahun setelah membunuh Setiausaha Agung sebelumnya, iaitu  Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand.

Di bawah pimpinannya, PKM menjadi lebih agresif, ganas dan kejam. Secara umum, dianggarkan seramai 1,883 orang  anggota keselamatan terkorban manakala 2,560 orang lagi cedera. Dalam kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 orang terbunuh, manakala seramai 1,385 cedera pula dilaporkan cedera.

 PKM telah menamatkan pemberontakan setelah menandatangani Perjanjian Haadyai 1989. Perjanjian tersebut juga telah memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahli PKM yang berasal dari Tanah Melayu/Malaysia  untuk kembali dan menjadi warga Malaysia, namun ramai pemimpin PKM memutuskan untuk menetap di Thailand, antaranya ialah Rashid Maidin, Abdullah Cd dan beberapa orang lagi barisan pemimpin Rejimen ke 10 PKM.  Chin Peng pula dikatakan tidak pernah memohon untuk menjadi warganegara Malaysia.

Jika kita bandingkan 'jasa dan sumbangan' kedua-dua tokoh ini ternyata mereka berdua menganugerahkan jenayah dan kekejaman serta menghadiahkan ketakutan dan kerisauan.

Namun, seganas-ganas Selva Kumar, beliau tetap diberi ruang dan peluang untuk kembali ke Malaysia, dan beliau tetap diiktiraf sebagai warganegara Malaysia. Setakat ini hanya Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sahaja yang tidak membenarkan Selva Kumar bertandang ke negeri tersebut. Untuk pengetahuan semua, Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa dalam bidang Imigresen sebagai syarat penyertaan negeri tersebut ke dalam Persekutuan Malaysia.

Berbeza pula dengan Chin Peng. Ketika hayatnya, terutamanya ketika beliau tua dan uzur pernah beberapa kali dia menyuarakan hasratnya untuk pulang ke Malaysia. Namun, hingga ke akhir hayat, beliau tidak dibenarkan pulang ke Malaysia. Malah, abu mayatnya juga tidak dibenarkan dibawa balik ke Malaysia.

Selva Kumar pulang ke Malaysia dalam keadaan yang sihat. Kemungkinan untuk dia kembali merogol tetap ada, apatah lagi media dan pihak berkuasa Kanada turut memberi amaran tentang hal ini. Pengakuan mangsa-mangsa kerakusan nafsunya membuktikan sesungguhnya dia adalah binatang yang bertopengkan manusia.

Manakala Chin Peng pula ingin pulang sebagai abu mayat, namun ramai yang tidak sudi mengizinkan kepulangan abu mayatnya. Abu mayat Chin Peng tidak lagi bengis dan garang, jauh sekali untuk mengganas atau bertindak kejam. Namun, atas dasar sentimen dan sejarah, Chin Peng kekal dalam buangan hingga menjadi abu dan debu.

Saturday, February 11, 2017

Berus bulu babi dan ulasan Ustaz Wan Ji Wan Hussin

Berus dari bulu babi.


Berus bulu babi dan ulasan Ustaz Wan Ji Wan Hussin

Kebanjiran berus yang diperbuat daripada bulu babi telah menimbulkan keresahan pengguna dan masyarakat Islam. Beberapa NGO Islam telah tampil bersuara. Malah tokoh-tokoh agama juga turut bimbang dan kecewa dengan perkembangan ini.

Antara NGO yang lantang dalam isu ini ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mencadangkan agar pihak berkuasa meningkatkan pemantauan terhadap produk berasaskan kulit dan bulu binatang yang dijual di Malaysia.

NGO lain yang turut lantang ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pergerakan Masyarakat Prihatin.

Malah, Pergerakan Masyarakat Prihatin mencadangkan agar pengimportan dan penjualan berus daripada bulu babi dihentikan terus bagi mengelakkan masalah ini dari berlarutan.

Ulama atau ahli agama juga turut melahirkan pandangan dan cadangan untuk membanteras masalah ini.Prof Emeritus Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid mempersoalkan mengapa tidak produk yang diperbuat daripada sumber yang diharamkan Islam tidak boleh diasingkan sebagaimana pengasingan makanan halal dan tidak halal di pasar raya.

Sementara itu Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pula berkata pengasingan bukanlah sekadar tertumpu kepada berus bulu babi tetapi wajib membabitkan semua produk terutamanya makanan.

Ketika umat Islam di Malaysia diburu resah dan dihambat gelisah, tiba-tiba wakil Parti Keadilan Rakyat(PKR), atau lebih tepat lagi ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Angkatan Muda Keadilan, Ustaz Wan Ji Wan Hussin muncul menjernihkan keadaan.

Beliau tidak bersetuju isu ini dibangkitkan demi menjaga hati masyarakat bukan Islam. Katanya, nanti masyarakat bukan Islam marah dan memandang sinis kepada Islam.

Sumber dari Facebook Nurul Izzah Anwar

Di sini saya paparkan sahaja hujah Ustaz Wan Ji, sebagaimana disiarkan dalam Facebook Nurul Izzah Anwar Ibrahim.

Tadi, ada wartawan telefon, minta respon isu bulu babi yang sedang bising dalam media.

Komen saya(merujuk kepada Ustaz Wan Ji Wan Hussin.
  • Semua mazhab kecuali syafie menyatakan bahawa babi hanya haram pada makan sahaja. Adapun sentuh, tidak haram.
  • Perkara ini jadi sensitif, kerana kejumudan  fiqh. Ekoran itu, isu kasut kulit babi tidak berlaku isu sensitif dalam masyarakat yang ada keterbukaan fiqh. Yang berlaku sensitif, dalam masyarakat yang jumud fiqh.
  • Kalau ada pihak cakap, di Malaysia bermazhab syafie, macam mana pula?  Jawapannya, di Malaysia zakat fitrah tidak ikut mazhab syafie. Dalam mazhab syafie, zakat fitrah menggunakan duit, zakat tak sah. Tapi, tak ada seorang jadikan ia isu.
  • Pesanan saya, di Malaysia tidak perlu sentimenkan perkara2 sebegini. Sebaliknya, perlu ajar masyarakat keterbukaan fiqh, bukan kejumudan fiqh
  • Pihak yang bangkitkan perkara sebegini, saya pesan bahawa mereka kena ingat, tindakan mereka ini akan menyebabkan orang bukan Islam benci Islam, mereka akan sinis terhadap islam.

Wallahu 'Alam

Wan Ji Wan Hussin
Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Angkatan Muda Keadilan

Info Tambahan.

Alangkah bagusnya jika Ustaz Wan Ji memahami Fiqh Malizi sebelum bercakap tentang keterbukaan Fiqh.

Alangkah bagusnya jika Ustaz Wan Ji memahami konsep ketaatan kepada Ulil Amri sebelum memperkatakan tentang kejumudan fiqh.

Saya juga tertanya-tanya mengapa Ustaz Wan Ji bersungguh-sungguh dalam isu ini. Adakah atas dasar keterbukaan Fiqh atau sekadar ingin meraih sokongan bukan islam menjelang PRU 14.

Maaf, ini bukannya isu politik, tapi isu agama yang dipermudahkan sesuka hati demi mengambil hati.

Maaf, ini bukan isu politik, tapi isu agama yang dipermudahkan sesuka hati demi menambat hati.

Thursday, February 9, 2017

Lindsay Lohan rasa tenang apabila menyentuh Al-Quran.

Gambar Lindsay Lohan memegang Al-Quran.
Imej dari Tribunsumsel.com.

Lindsay Lohan rasa tenang apabila menyentuh Al-Quran.

Al-Quran telah mengusir resah dan gelisahnya. Itulah pendedahan yang Lindsay Lohan dalam satu temuramah sebuah rancangan bual bicara Swar Shoaib di Kuwait, sebagaimana dilaporkan oleh Astro Awani.

Pengakuan Lindsay Lohan
melalui Instagramnya.
 Imej dari Astro Awani.



Lebih memeranjatkan Lindsay Lohan turut mendedahkan beliau telahpun membaca lima belas muka surat terjemahan al-Quran, selain turut mendengar bacaan ayat suci al-Quran melalui aplikasi yang dimuat turun di telefon bimbitnya.

Selain itu, aktres terkenal itu juga memberitahu, dia pernah cuba solat dan pernah berpuasa selama tiga hari, pada bulan Ramadan yang lalu.

Alhamdulillah, semoga Lindsay Lohan beroleh hidayah suatu masa nanti. Semoga kembara rohaninya ini diberkati Allah dan beliau dipermudahkan dalam perjalanan dan pendakian mencari kebenaran dalam beragama.

Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Kadang-kadang hidayah itu mudah datang menyapa sebagaimana yang dialami oleh Yvonne Ridley, Cat Steven dan Peter Sander. Namun, kadang-kadang hidayah itu sukar malah gagal untuk bertapak dalam hati walaupun telah diterangkan berkali-kali dan dijelaskan berjela-jela sebagaimana yang berlaku terhadap bapa saudara Nabi Muhammad SAW, iaitu Abu Talib.

Info Tambahan.

Malcolm X, Cat Steven dan Yvonne Ridley adalah antara insan yang terdetik di hati untuk mengenali Islam setelah membaca terjemahan ayat-ayat suci Al-Quran. Perkara yang sama kini sedang dialami oleh Lindsay Lohan, moga Allah menganugerahkan hidayah kepadanya.

Tapi di Malaysia berlainan pula ceritanya, ini kerana terdapat segelintir pendakwah yang agak ortodoks dalam pendekatan dakwah. Kadang-kadang pendekatan dan pandangan mereka tidak mesra dakwah. Contohnya terdapat segelintir ustaz yang membantah tindakan menghadiahkan atau mengagihkan terjemahan tanpa disertakan teks Al-Quran kepada orang-orang bukan Islam.

Padahal pendekatan sebegini telah lama digunapakai oleh pendakwah Islam di beberapa negara Barat.  Ini kerana ia akan memudahkan masyarakat bukan Islam untuk memahami Islam.

Malah ketika berkunjung ke Kashmir, India beberapa tahun yang lalu, saya dapati beberapa peniaga turut menghadiahkan terjemahan Al-Quran tanpa teks Al-Quran kepada pengunjung kedainya, termasuklah kepada pengunjung bukan Islam.

Wednesday, February 8, 2017

Selva Kumar dan perogol-perogol tersohor

Keratan akhbar mengenai Selva Kumar


Selva Kumar Subbiah, namanya kini menjadi sebutan. Disebut bukan kerana jasa dan sumbangan tetapi kerana digeruni dan ditakuti.

Dia adalah perogol bersiri yang baru pulang ke Malaysia, setelah selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada  atas 30 pertuduhan jenayah seksual terhadap wanita.

Paling digeruni dan dibimbangi apabila media dan pihak berkuasa Kanada menyifatkannya penjenayah paling berbahaya, dan memberi amaran beliau masih belum berubah dan ada kemungkinan akan mengulangi jenayahnya.
Disebabkan itu Kerajaan Negeri Sabah telah mengharamkannya daripada memasuki negeri Sabah.


Berita tentang Mukesh Singh.

Tentang Selva Kumar, kita tunggu dan lihat perkembangannya. Mungkin dia sudah insaf atau mungkin juga dia akan kembali menjadi perogol bersiri.

Sekarang mari kita kenali perogol bersiri yang lain pula.

Di India, terdapat perogol bersiri terkenal iaitu Mukesh Singh. Dia perogol yang hebat dan sifar simpati. Dia bukan sahaja tidak diburu rasa bersalah dan tidak dijentik penyesalan, malah dengan penuh bangga dia mewajarkan tindakan para perogol, dan baginya yang bersalah bukanlah perogol tetapi manga rogol. Mungkin baginya, rogol merogol adalah salah satu aktiviti di masa lapang atau setaraf dengan sukan dan permainan.

Sebagai perogol tegar yang amat menyanyangi profesion rogol merogol, Mukesh turut membantah dan mempertikaikan hukuman mati yang dikenakan terhadap perogol.

Dia turut mendakwa, andainya hukuman mati tidak diperkenalkan, perogol akan merogol secara budiman, tapi oleh kerana perlaksanaan hukuman tersebut, perogol terpaksa bertindak ganas dan kejam.

"Sebelum ada hukuman mati, perogol akan tinggalkan mangsa selepas merogol. Sekarang (ada hukuman mati) perogol akan merogol dan membunuh mangsa rogol mereka," Begitulah dakwanya.

Keratan akhbar tentang Albert Muraki

Di Afrika Selatan pula seorang perogol bersiri, Albert Muraki dijatuhi hukuman penjara selama 1,535 tahun, itulah hukuman yang diterima oleh seorang perogol bersiri di Johanesberg, Afrika Selatan. 

Dia dijatuhi hukuman tersebut kerana kesalahannya merogol 29 orang wanita. Semua mangsa tersebut dirogol olehnya dalam tempoh enam tahun. 


Keratan akhbar mengenai Richard Thomas

Di London, terdapat pula seorang perogol yang malang.  Richard Thomas dianggap sebagai perogol paling malang kerana tersalah sasaran. Malang hingga pitam, kerana tidak pernah menyangka wanita yang menjadi mangsa kerakusan nafsunya itu merupakan seorang penghidap HIV.

Begitulah sedikit info tentang perogol yang ingin saya kongsikan. Kita doakan sahaja agar kes rogol akan berkurangan meskipun tidak dapat dinoktahkan. Dengan ini kita akan dapat dapat bernafas dengan tenang dan senang.

Tuesday, February 7, 2017

Izrail atau Malaikat Maut



Bila Izrail datang memanggil.
Bila Izrail datang memanggil 
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
sebujur badan dan kedinginan 

Itu adalah sebahagian daripada lirik lagu Selimut Putih. Saya difahamkan penyanyi asal lagu ini ialah Orkes El Suraya dari Indonesia, kemudian turut dipopularkan oleh kumpulan nasyid dari Malaysia, Nada Murni.

Di sini saya bukanlah ingin memperkatakan perihal lagu Selimut Putih yang menginsafkan itu, tapi saya tertarik Izrail, nama Malaikat yang amat digeruni itu.

Baru-baru ini seorang ilmuwan hadis tempatan, Dr Rozaimi Ramlee, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) mendakwa nama Malaikat Maut bukanlah bukanlah Izrail.

Agak ramai juga yang melatah dan melenting kerana kenyataan Dr Rozaimi itu menyanggahi kebiasaan dan menyalahi kelaziman sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Umumnya, umat Islam di Malaysia sudah terdedah dan mengimani nama Malaikat Maut ialah Izrail.

Sebenarnya isu ini bukanlah isu baharu, ia sudah diperkatakan sejak sekian lama oleh beberapa orang ulama tersohor.

Malah di Malaysia, Dr Rozaimi bukanlah orang pertama yang memperkatakan isu ini. Sejujurnya saya pernah terbaca tulisan Ustaz Abdullah Al-Qari Haji Salleh(AQHAS) mengenai hal ini. Kata AQHAS penggunaan istilah Malaikat Maut adalah lebih tepat berbanding Izrail. Ini kerana nama Malaikat Maut disebut di dalam Al-Quran manakala nama Izrail adalah dipercayai berasaskan sumber Israiliyat.

Ulama hadis terkenal Almarhum Saikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (Al-Albani) dan Almarhum Syaikh Ibnu ‘Utsaimin juga lebih cenderung kepada penggunaan nama Malaikat Maut dan bukannya Izrail.

Secara peribadi, saya juga cenderung untuk memakai istilah Malaikat Maut dan bukannya Izrail. Ini memandangkan nama Malaikat Maut adalah nama atau gelaran yang diberikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan disebut oleh Rasulullah Shallallahu S.A.W dalam hadisnya.


Sunday, February 5, 2017

Adakah Pulau Batu Puteh akan menjadi milik Malaysia.

Lokasi Pulau Batu Puteh.


Pulau Batu Puteh  atau dikenali juga sebagai Pedra Branca merupakan sebuah pulau yang menjadi rebutan antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Walaupun pulau tersebut amatlah kecil dari segi saiznya, namun ia mempunyai banyak faedah atau kepentingan terutamanya dari aspek politik.

Walaubagaimanapun pada 23.Mei. 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh milik Singapura.

Namun, isu pertindihan ini tidak berakhir di situ, ini kerana ia kembali diperkatakan apabila Malaysia mendakwa menemui beberapa fakta baharu mengenai pulau tersebut dan memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabansga (ICJ).

Fakta-fakta tersebut ditemui di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Jan 2017.

Sebagai warga Malaysia, tentu sahaja saya berharap agar Pulau Batu Puteh menjadi hak milik Malaysia. Namun, saya juga akur dengan keputusan ICJ.

INFO TAMBAHAN.

Saya teringat ceramah yang disampaikan oleh pegawai arkib negeri Sabah pada tahun 2003. Ceramah tersebut berkaitan tuntutan bertindih Malaysia dan Indonesia terhadap Pulau Sipadan.

Kata penceramah tersebut, satu-satunya dokumen yang memihak kepada Malaysia ialah surat kebenaran mengutip telur penyu di Pulau Sipadan. Dalam surat tersebut terdapat cop dan pengesahan daripada Syarikat Borneo Utara, dan bukannya dari kompeni atau kerajaan Belanda. Itu adalah bukti terkuat hingga ICJ mengiktiraf Pulau Sipadan sebagai hak milik Malaysia.

Kita mengharapkan tuntutan Pulau Batu Puteh juga akan  beroleh kejayaan, sebagaimana kejayaan terhadap tuntutan Pulau Sipadan. Semoga dokumen yang kerajaan Malaysia kemukakan nanti mampu meyakinkan hakim-hakim ICJ, sebagaimana surat kebenaran memungut telur penyu yang menyebabkan barisan hakim ICJ terpegun.

Friday, February 3, 2017

Senarai syarikat pengendali umrah yang digantung dan dibatalkan lesen.

Makkah Al-Mukarramah


Dari sudut bahasa Umrah bermaksud berkunjung atau menziarah. Umrah dari istilah syarak pula ialah mengunjungi Baitullah(Kaabah) untuk melakukan ibadah tertentu dengan niat dan syarat tertentu. Ibadah yang dimaksudkan ialah tawaf, sa'i dan tahallul.


Untuk mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah, seseorang memerlukan sejumlah wang yang agak banyak, setidak-tidaknya RM6000,00.

Tapi, malangnya terdapat pihak tertentu yang menjadi penunggang agama dengan menipu jemaah umrah. Mereka mengaut keuntungan dengan memperdaya dan menabur janji kepada umat Islam yang ingin menunaikan umrah.

Dalam akhbar Sinar harian bertarikh 31. Jan.2017, dilaporkan sebanyak12 syarikat pengendali umrah dibatalkan lesen pengembaraan ke luar negeri oleh kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kerana terbabit dalam kes penipuan pakej mrah.

Statistik terkini kementerian tersebut mencatatkan dari tahun 2012 hingga 2016 menunjukkan sebanyak 54 kes penipuan pakej umrah yang direkodkan dengan jumlah denda dan kompaun melebihi RM237,000

Berikut adalah senarai syarikat pengendali umrah yang dibatalkan lesen.

1. Warith NY Travel & Tours
2. Tijaratun Nur Travel & Tours
3. Qaisar Travel & Tours
4. Permata El-Nur Travel & Tours
5. Hijjaz Legend Travel & Tours
6. J & J Mesra Travel & Tours
7. Seven Seas Travel & Tours
8. Yadh Travel & Tours Sdn. Bhd.
9. ANF Holidays Sdn. Bhd.
10. Madain Al-Taqwa Travel & Tours SB
11. Irna Yakin Travel & Tours Sdn. Bhd.
12. Agensi Pengembaraan Asari Murni Sdn.Bhd.

Moga mereka diberikan hidayah oleh Allah agar kembali ke pangkal jalan. Semoga mereka menyedari dosa-dosa yang mereka lakukan. Sesungguhnya menjadi penunggang agama adalah lebih hina dan keji berbanding seorang bapa atau ini ayam.


Info Tambahan,

Berdasarkan pengalaman mengerjakan umrah, saya syorkan pembaca agar memilih syarikat Batuta Travel & Tours Sdn. Bhd. Saya pernah mengerjakan umrah bersama syarikat ini pada tahun 2013. Selain itu, syarikat Al Quds Travel Sdn Bhd juga boleh dijadikan pilihan untuk sesiapa yang ingin mengerjakan umrah.


Thursday, February 2, 2017

Kelebihan dan keunikan Pokok Benang Sutera



Sehari dua ini kecoh di media sosial perihal pokok Benang Sutera atau bahasa saintifiknya Ceiba Codetti.

Pokok yang dijadikan merdu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus ini menjadi tular di media sosial terutamanya Facebook kerana menelan kos yang besar iaitu RM500,000(lima ratus ribu ringgit) untuk membeli tiga pokok benang sutera.

Walaubagaimanapun pembeliannya dikatakan tidak membabitkan peruntukan kewangan kerajaan negeri sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh kontraktor utama yang bertanggungjawab melaksanakan Projek Bandar Baharu Kuala Nerus.

Sebenarnya banyak kelebihan dan keunikan Pokok Benang Sutera, tapi sayang sejuta kali sayang, hanya Terengganu yang berminat dengan pokok tersebut. Diharapkan agar selepas ini semua negeri mengutamakan penanaman pokok tersebut. Mungkin ia sangat sesuai untuk dijadikan alternatif kepada getah dan kelapa sawit.

Bagi negeri-negeri yang bergantung kepada pembalakan sebagai sumber pendapatan negeri, seperti Kelantan, eloklah menanam pokok Benang Sutera untuk menjana pendapatan negeri.


Berikut adalah kelebihan dan keunikan pokok Benang Sutera

1. Pokok ini akan menjadi tarikan pelancong asing

Sebagaimana didakwa oleh Jurucakap Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur Jabatan Pertanian Malaysia, sebagaimana disiarkan di dalam akhbar Harian Metro bertarikh 2.Febuari. 2017. Wah,  bayangkanlah pelancong dari seantero dunia akan berkunjung ke negara kita untuk meneliti dan memerhati pokok yang unik ini. Pasti sahaja berlaku pengaliran wang asing ke negara kita.

2. Dapat mengurangkan kunjungan rakyat Malaysia ke Brazil dan Afrika Barat.

Sebagaimana berhabitatnya anak Panda di Zoo Negara telah berjaya mengurangkan rakyat Malaysia melancong ke China. Saya difahamkan majoriti rakyat Malaysia yang melancong ke China adalah kerana ingin melihat panda dari jarak dekat. Maka, dengan penanaman pokok yang berasal dari Brazil dan Afrika Barat ini diharapkan dapat mengurangkan jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke Brazil dan Afrika Barat. Buat apa ingin ke sana jika di Malaysia pun ada pokok tersebut.

3. Dapat mengatasi masalah kekurangan air.

Seperti semua maklum, Malaysia sentiasa berhadapan dengan musim kemarau panjang sekitar bulan Mac hingga Julai. Perlu difahami, Pokok Benang Sutera dapat menyimpan air di kawasan batangnya yang membengkak. Jadi apabila musim kemarau panjang tiba, rakyat hanya perlu menoreh batang pokok tersebut untuk mendapatkan bekalan air.

4. Dapat mencegah kejadian banjir besar.

Pokok ini dikatakan boleh menyimpan air di kawasan batangnya yang membengkak. Jadi, ketika hujan turun dengan lebat, akar-akar pokok tersebut akan menyerap air secepat mungkin untuk dijadikan simpanan di bahagian batangnya yang membengkak. Ini akan menghalang daripada berlakunya banjir atau setidak-tidaknya menghalang daripada berlakunya banjir besar.

5. Dapat mengatasi masalah kekurangan minyak masak.

Biji pokok Benang Sutera selain boleh dimakan, ia juga boleh dijadikan minyak masak. Ini akan mengurangkan kebergantungan negara terhadap minyak sawit.

P/S: Ini adalah Sarcasme ( Sarcasm ). Secara peribadi saya hairan, kenapa tidak pokok atau tumbuhan tempatan yang dipilih sebagai mercu tanda. Kenapa tidak menampilkan jati diri sendiri.

Mungkinkah PAS akan bersatu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tuan Ibrahim Tuan Man dan Muhkriz Mahathir

Usahlah menganggapnya sebagai misteri. Jangan pula beranggapan ia hanyalah mimpi. Jika kita memahami formula politik, tentu sahaja perkara sebegini mudah untuk kita mengerti.

Formula politik mudah sahaja,  iaitu tiada sahabat yang kekal dan tiada musuh yang abadi. Sebab itulah kita dapati, terdapat sesebuah parti yang dahulunya berseteru, kini parti tersebut telah bersatu dan bersama. Namun, ada juga yang sebaliknya, iaitu rakan bertukar jadi lawan.


Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.


Semalam, PAS dan PPBM telah mencapai kata sepakat untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal bersama bagi memperhalusi draf rangka kerjasamapersefahaman politik kedua-dua parti.

Menerusi kenyataan bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kata sepakat itu adalah sebagai persediaan menghadapi PRU14.

Ini adalah satu petunjuk kemungkinan PAS tidak akan bergerak solo untuk bertarung dalam Pilihanraya Umum ke 14.


Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimana pula dengan DAP dan AMANAH.

PAS dan DAP kini saling bermusuhan. Bermusuh sejak zaman berzaman, cuma bersatu dan bersama seketika dalam Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat. Tapi kerjasama PAS dengan DAP akhirnya lebur dan berkubur, gara-gara ketidaksehaluan dalam merencanakan matlamat.

Dengan AMANAH pula PAS terpaksa bermusuhan kerana parti serpihan PAS itu dikatakan telah mengkhianati PAS.

Dengan PKR mungkin tiada masalah kerana PAS dan PKR masih lagi rakan tahalluf Siyasi. Cuma, budak-budak hingusan/macai dalam kedua-dua parti ini sahaja yang gemar melalak tak tentu arah.

Jadi, bagaimana pula hubungan antara PPBM dengan DAP dan AMANAH. Mungkin tindakan PPBM dilihat curang atau selingkuh. Mungkin bagi golongan yang buta politik akan gagal mentafsir kerjasama sebegini.

Jika diselak kembali helaian sejarah politik negara, kita akan dapati kebijaksanaan Pada Melayu Semangat 46 tahun pada era 1990-an. Parti pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah itu bekerjasama dengan  PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan pada masa sama Semangat 46 bekerjasama dengan DAP, Parti Bersatu Sabah dan Parti Rakyat Malaysia melalui Gagasan Rakyat.

Sejarah mungkin berulang. Cuma watak dan latar waktu sahaja yang berbeza. Mungkin PPBM akan menggunakan pendekatan yang sama seperti mana yang dilakukan oleh Parti Melayu Semangat 46.

Yakinlah tiada yang mustahil dalam politik, kerana matlamat setiap parti pembangkang di Malaysia ialah menuju puncak kekuasaan, iaitu Putrajaya.