Wednesday, March 29, 2017

Kementerian Kesihatan didesak umumkan jenama stevia palsu.



Kementerian Kesihatan didesak umumkan jenama stevia palsu.

Sejak tersiarnya artikel mengenai lambakan produk stevia palsu di Malaysia di akhbar Berita Harian beberapa hari lepas, ramai pengguna diburu resah dan dihambat gelisah. Mereka diselubungi bimbang dan risau, disamping memendam rasa marah dan geram. Marah dan geram terhadap syarikat-syarikat yang terlibat dalam penipuan itu.

Mengikut artikel tersebut, hasil kajian makmal terhadap 10 sampel produk stevia yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati produk tersebut langsung tidak mengandungi ekstrak stevia, sebaliknya hanyalah kombinasi bahan kimia bahaya dan memudaratkan kesihatan.

Tapi malangnya, kerisauan mereka tidak mampu dinoktahkan, gara-gara tiadanya pengumuman mengenai jenama-jenama tersebut hingga ke hari ini. Akibatnya pengguna tertanya-tanya syarikat manakah yang terlibat dan jenama manakah yang dimaksudkan.

Hingga ke saat ini teka teki ini masih belum terjawab, dan pengguna terus lemas dalam lautan tanda tanya.

Di media sosial, ramai netizen yang menuntut agar pihak yang terbabit melakukan kajian ini, iaitu UTHM dan UPM mengumumkan senarai produk stevia palsu tersebut.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memaklumkan akan menjalankan siasatan berhubung penjualan stevia palsu itu.  Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam sebagai mana dilaporkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 29 Mac 2017, telah mengarahkan Bahagian Keselamatan Makanan Kementerian tersebut untuk menjalankan siasatan.

Ini bermakna, produk palsu tersebut akan terus berada di pasaran sehingga hasil kajian didedahkan oleh Kementerian Kesihatan. Kita berharap agar kajian tersebut tidak mengambil masa yang lama, lagipun kajian

Tidak hanya pengguna, malah beberapa badan profesional temasuklah Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendesak Kementerian Kesihatan mengumumkan jenama produk stevia palsu tersebut. Selain itu mereka juga mendesak Kementerian mengambil tindakan tegas dengan menyenaraihitamkan pengilang, pengedar dan peniaga selain segera menghubungi produk tersebut.

Info Tambahan.

Selaku pengguna kita benar-benar buntu dan keliru. Sebagai langkah terbaik, elok juga kita elakkan penggunaan produk stevia buat sementara waktu sehingga pengumuman dibuat oleh Kementerian Kesihatan.

Monday, March 27, 2017

Pengguna stevia tertipu terguna stevia palsu tanpa sedar.




Pengguna stevia tertipu terguna stevia palsu tanpa sedar.

Terkejut!  Saya benar-benar terkejut apabila terbaca berita mengenai Stevia palsu dalam Berita Harian hari ini. Saya terkejut kerana saya adalah antara ribuan pengguna produk Stevia di Malaysia.

Pada muka depan akhbar Berita Harian bertarikh 27.03.2017, terpapar tajuk, Awas Stevia Palsu. 

Ia memaparkan hasil ujian makmal yang dilakukan oleh dua buah universiti awam tempatan, iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kajian yang dilakukan terhadap 10 jenama produk Stevia yang dijual di pasaran Malaysia, dan hasil kajian tersebut mendapati produk tersebut langsung tidak mengandungi ekstrak Stevia, sebaliknya hanyalah kombinasi bahan kimia bahaya dan memudaratkan kesihatan.

Antara bahan kimia yang ditemui ialah Pyridazione, Piperazine dan Cycloproparecarboxamide.

Lebih memeranjatkan, kandungan lima daripada 10 sampel tersebut juga didapati sama walaupun dijual dengan jenama yang berbeza.

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPi) UTHM, Prof Madya Dr Mohd Fadzelly Abu Bakar, berkata pihaknya menggunakan dua instrumen berteknologi tinggi, iaitu High Perfomance Liquid Chromatoraphy (HPLC) dan Gas Chromatoraphy-Mass Spectdometry (GCMS) untuk melakukan kajian tersebut.

Malah, proses analisis bagi mengenal pasti kandungan sebenar dalam produk cecair Stevia itu juga dilakukan berulang kali bagi mendapatkan keputusan yang tepat, berikutan aduan pengguna yang meragui produk berkenaan.

Selain itu, sampel yang sama turut dihantar ke UPM bagi menjalani proses ujian makmal dan hasilnya juga sama.

Bahaya Stevia Palsu.

Menurut Prof Madya Dr Mohd Fadzelly menegaskan produk yang mengandungi banyak bahan kimia sintetik amat berbahaya kepada tubuh kerana ia tidak boleh disingkirkan oleh organ manusia, apatah lagi jika diambil dalam jangka masa panjang. Ia akan masuk ke organ perkumuhan, termasuk buah pinggang serta hati dan lama kelamaan ia akan mengakibatkan penyakit kronik tetmasuklah kegagalan buah pinggang dan hati.

Antara tiga bahan kimia yang ditemui dalam produk yang didakwa cecair stevia ialah Pyridazione, Piperazine dan Cycloproparecarboxamide.

Pyridazione contohnya, boleh menyebabkan keradangan kulit, mata dan alahan pernafasan.

Piperazine pula boleh menyebabkan muntah, cirit birit serta kemurungan, manakala Cycloproparecarboxamide pula boleh mengakibatkan keradangan.

Selain itu, hasil kajian di UTHM juga mendapati pemanis tiruan, Aspartame yang memberikan rasa manis pada produk tersebut. Sepatutnya rasa manis dalam produk berasaskan Stevia itu berpunca daripada komponen semulajadi tumbuhan tersebut iaitu steviosid atau rebaudiosd dan bukannya bahan tiruan seperti Aspartame.

INFO TAMBAHAN.
Harap selepas ini, syarikat-syarikat yang mengeluarkan produk Stevia segera tampil untuk menjernihkan keadaan.

Wednesday, March 22, 2017

Menyelongkar mesej tersirat dalam filem P. Ramlee



Tan Sri P.Ramlee

GOOGLE Malaysia hari ini,( 22.Mac.2017) telah memberi penghormatan kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan meletakkan doodle imej Allahyarham di laman enjin carian popular itu.

Doodle tersebut adalah sebagai satu penghormatan bagi memperingati ulang tahun kelahiran Allahyarham yang dilahirkan pada 22 Mac 1929.



Allahyarham P.Ramlee adalah seniman Agung. Beliau tidak sekadar pelakon, penyanyi, pelawak dan pengarah, malah lebih dari itu beliau adalah pendidik. Beliau mendidik menerusi filem dan lagu. Beliau menegur dan mengkritik dengan bersenjatakan hiburan dan jenaka. Itulah kehebatan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Ramai antara kita yang meminati Karya-Karya P.Ramlee. Namun, sangat ramai gagal menyelongkar mesej-mesej  tersembunyi di sebalik filem-filemnya. Ramai yang gagal mentafsir frasa-frasa maknawi di sebalik jenakanya.



Di sini saya hanya ingin paparkan sebuah filemnya untuk diteliti, dihayati dan direnungi. Filem tersebut ialah filem Tiga Abdul.

Filem Tiga Abdul mengisahkan kehidupan tiga adik beradik, iaitu Abdul Wahab, Abdul Wahid dan Abdul Wahid. Mereka bertiga adalah anak kepada seorang kaya bernama Ismet Ulam Raja. Dalam filem tersebut, P.Ramlee menyentuh mengenai diktator dan demokrasi terpimpin menerusi dialog. Menurut Amir Muhammad dalam bukunya 120 Malays Movies (Matahari Books, July 2010), sebagaimana yang dipaparkan oleh Daniyal Kadir dalam bukunya Membedah P.Ramlee, dialog ini merupakan sindiran terhadap Presiden Indonesia, Soekarno yang memperkenalkan istilah terpimpin, yang merujuk kepada gaya pemerintahannya. Tambahan pula , ketika filem tersebut diterbitkan isu konfrontasi Malaysia-Indonesia sedang hangat berlangsung. Malah, watak Abdul Wahab dan Abdul Wahib juga seolah-olah merujuk kepada Menteri Agama ketika di era Soekarno yang bernama Muhammad Wahib Wahab.

P.Ramlee telah meninggalkan kita. Beliau meninggal dunia lebih kurang 44 tahun dahulu(1973) pada usia 44 tahun. Namun karya-karyanya bukan sahaja masih hidup tapi ia menghidupkan kita. Filem-filemnya masih segar bugar mewarnai hidup kita.

Berminat dengan buku ini.

Tajuk : Membedah P. Ramlee.
Harga: RM25.00
Sila WhatsApps:  019-5776730

Thursday, March 16, 2017

Arak dan dadah punca model sambilan memandu melawan arus.




Arak dan dadah punca model sambilan memandu melawan arus.

Seantero Malaysia dikejutkan dengan tragedi berdarah yang sudah tidak dijangka. Gara-gara mabuk alkohol dan dadah, seorang remaja perempuan telah memandu secara gila dan meragut nyawa insan yang tidak berdosa.

Remaja berusia 19 tahun yang juga bekerja sebagai model sambilan itu ditahan polis di tempat kejadian berhampiran susur masuk ke Permatang Pauh semalam.      

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 7.50 pagi di Km134, Lebuhraya Utara-Selatan itu, remaja yang memandu kereta jenis Proton Gen-2 secara melawan arus dari Sungai Dua menghala Butterworth telah melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Kelisa yang dipandu Mohamad Fandi Rosli, 26.

Mohamad Fandi, juruteknik sebuah kilang di Perai yang ketika itu dalam perjalanan pulang selepas habis bekerja mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.      

Beliau yang baru tiga bulan berkahwin meninggalkan isteri yang sedang mengandung.

Info Tambahan.

Saya terkenang kembali seorang Ahli Parlimen Melayu yang membantah cadangan Kerajaan untuk menaikan cukai arak atas alasan ia membebankan orang-orang bukan Islam. Saya teringat ahli parlimen yang berbangsa Melayu yang juga dari parti yang sama yang begitu lantang mempertahankan pesta arak, Oktoberfest.

Arak adalah sesuatu yang memabukkan dan bila mabuk ia akan mengundang pelbagai keburukan. Ingat kembali kisah orang alim yang memilih arak setelah diberi pilihan samada arak, berzina atau membunuh. Tetapi gara-gara meminum arak, lelaki tersebut telah melakukan penzinaan dan pembunuhan. Ini gara-gara mabuk dan hilang kewarasan akal. Sebab itulah arak dianggap sebagai ibu segala maksiat.

 

Wednesday, March 15, 2017

Segmen : Awak Follow Saya, Saya Follow Awak By Shikin Razali

                             KLIK SINI
     



Segmen : Awak Follow Saya, Saya Follow Awak By Shikin Razali.

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia.

Hari ini saya ingin bercerita mengenai segmen menarik yang dianjurkan oleh blogger Shikin Razali .

Saya turut serta/join segmen ini dan ingin mempelawa blogger-blogger yang lain untuk join sama. Bukan sekadar untuk memeriahkan segmen tersebut, tapi lebih penting dari itu ialah untuk memperluaskan empayar persahabatan dan melebarkan wilayag persaudaraan. Bersahabat dan bersaudara sesama kita tapi kerana Tuhan.

Bagaimana ingin menyertainya, jom klik banner di atas.segmen awak follow saya follow awak

Tuesday, March 14, 2017

Melayu, Antara Hantu Raya dan Anjing.



Melayu, Antara Hantu Raya dan Anjing.

Terpulanglah mau jadi apa
Mau jadi hantu mau jadi buaya

Itu sebahagian daripada lirik lagu Hantu Atau Buaya yang dipopularkan oleh Nanasheme.

Tapi untuk entry kali ini saya tidak ingin berbicara pasal buaya, tapi pasal hantu sahaja. Hantu bukan sebarang hantu tapi Hantu Kebangsaan Negara, iaitu Hantu Raya.

Hahahaha, kalau Bunga Raya diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Negara, apa salahnya Hantu Raya pula kita istiharkan sebagai Hantu Kebangsaan Negara.

Tiba-tiba saya tertarik untuk menulis entry berkaitan Hantu Raya dan Anjing apabila terbaca komen atau ulasan kurang cerdik persis manusia mandul akal dan terliwat minda di laman Facebook seorang kenalan.

Ceritanya begini, kenalan Facebook saya itu kongsikan kisah atau berita tentang sekumpulan wanita bertudung yang bertindak menyelamatkan seekor ibu anjing yang sengaja dilanggar di tepi jalan. Cerita tersebut dikongsi oleh kenalan Facebook saya dari sebuah portal berita.

Akibatnya laman Facebooknya dibanjiri komentar dari rakan-rakan Facebooknya. Ada komentar yang bersifat ilmiah dan berpaksikan ilmu, namun malangnya agak banyak komentar yang bersandarkan emosi dan disulami kejahilan.

Sebenarnya tindakan wanita bertudung yang menyelamatkan anjing yang dilanggar atau tercedera itu amatlah mulia. Islam adalah agama yang bersifat Rahmatan Lil 'Alamiin (Rahmat ke atas sekalian alam) yang sifat rahmat itu turut meliputi haiwan termasuklah anjing.

Tentang mulianya perbuatan menolong anjing yang menderita ini, eloklah kita imbas kembali sebuah kisah yang dirakamkan di dalam Hadis Nabi.

Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda,


"Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Hadis tersebut menceritakan manusia yang hina yang membantu binatang yang hina. Pelacur sememangnya sentiasa hina dan keji pada nilaian mana-mana masyarakat. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat.

Saya terkenang kenangan ketika zaman kanak-kanak dahulu. Kenangan melastik anjing walaupun anjing tersebut bukanlah anjing liar, meskipun anjing tersebut dirantai oleh tuannya. Dahulu, saya 'difatwakan' melastik anjing adalah dibenarkan. Namun, 'fatwa' karut itu akhirnya terkikis dan terhakis apabila saya mengetahui betapa islam memuliakan binatang termasuklah anjing.

Tentang hukum memelihara anjing, ia dibenarkan untuk tujuan menjaga keselamatan rumah, kebun dan juga untuk berburu. Malah, binatang buruan yang mati dibunuh oleh anjing buruan yang terlatih juga tidak perlu disamak terlebih dahulu. Ini bermakna keharaman anjing bukanlah mutlak, sebab masih ada ruang lingkup yang tersediri. Cuma, umat islam dilarang membela anjing sebagai hobi sebagaimana memelihara kucing. Selain tidak didatangi malaikat rahmat ke dalam rumah, ia juga akan mengurangkan pahala sebesar bukit qirath sehari.

Bagaimana pula dengan Hantu Raya.?

Hantu Raya adalah hantu yang paling kerap didampingi oleh manusia. Siapakah yang menamakannya sebagai Hantu Raya, itu tidaklah saya tahu. Yang pasti ia dibela untuk menjaga keselamatan rumah, dan harta benda si pemiliknya. Selain Hantu Raya, makhluk halus atau iblis yang turut dibela untuk menjaga keselamatan rumah dan kebun ialah hantu Hala. Hala biasanya dapat menjelma sebagai Harimau.

Dalam masyarakat Melayu dahulu kala terdapat segelintir masyarakat yang membela Hantu Raya dan Hantu Hala adalah perkara yang  terutamanya masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman. Hidup di perkampungan terpencil dan jauh di pedalaman menyebabkan mereka perlu bekerjasama dengan Hantu Raya untuk menjaga keselamatan rumah dan harta benda. Persoalannya mengapa mereka lebih cenderung memelihara hantu raya yang syirik hukumnya berbanding memelihara anjing yang ternyata diizinkan syarak untuk menjaga keselamatan rumah dan harta benda. Malah, lagi teruk ramai antara orang Melayu yang geli geleman untuk berkunjung di rumah yang memiliki anjing, tapi tidak pula geli geleman untuk menziarahi rumah pembela hantu raya.

Benar hanya segelintir sahaja orang Melayu yang membela Hantu Raya, namun agak ramai dalam kalangan orang-orang Melayu terutamanya yang tinggal di kampung dan pedalaman. lterlibat dengan dengan aktiviti syirik yang lain.

Amalan jamu hantu atau bersemah, puja pantai, bomoh dan jampi serapah. Semua itu membatalkan akidah, namun ia berleluasa sejak zaman-berzaman. Seingat saya sehingga tahun 1990-an saki baki khurafat ini masih lagi bersisa. Tahniah malangnya, pelaku-pelaku tersebut tidak pula dipandang jijik sebagaimana jijiknya anjing dan pemelihara anjing.

Sebelum menoktahkan entry ini. Ingin saya tegaskan, bukanlah matlamat saya untuk mengalakkan orang Melayu membela anjing. Cuma, paling penting kita perlu berhenti memusuhi dan membenci apatah lagi menzalimi anjing.

INFO TAMBAHAN.

Apabila berlakunya pertembungan antara dua kemudaratan. Kita perlu memilih kemudaratan yang paling ringan.

Dalam kes menjaga keselamatan rumah dan harta benda, memilih anjing yang masih khilaf hukumnya adalah perlu diutamakan berbanding membela Hantu Raya atau bersahabat dengan iblis yang syirik hukumnya.

Sunday, March 5, 2017

Warkah cinta untuk Siti Kasim.

SITI KASIM.

Mencorak bintang
Menjadi kerongsang
Ku tak berdaya
Kerna nyata
Ku tak sehebat dia
Bermain kata

Memintal buih
Menjadi ranjang
Ku tak berdaya
Kerna aku tahu imaginasiku
Ada batasnya.

Kekasih...
Jangan pula engkau
Menolak warkah cintaku
Yang tak bermaya


Itu adalah sebahagian daripada lirik lagu Warkah untuk kekasih yang dipopularkan oleh Kumpulan Ways awal tahun 1990-an.

Apa kaitan lagu ini dengan Siti Kasim.

Ada tak sesiapa yang sudi mengutus warkah cinta untuk Siti Kasim?

Tentu ramai yang tak sanggup. Bukan sahaja kerana ia tak secantik Uqasha Senrose dan tak sejelita Mira Filzah. Tapi dia adalah seorang wanita yang keras hati dan sangat degil. Keras hati dan degil yang menyebabkan dia teguh dengan prinsip dan pendiriannya yang batil. Tambahan pula dia seorang yang celik undang-undang walaupun buta dan pekak dalam isu agama.

Opss, jangan salah faham. Surat cinta di sini bukannya bermaksud nak mengorat Siti Kasim, tapi untuk mengembalikannya ke pangkal jalan.

Siapakah insan yang paling layak untuk melayangkan warkah cinta kepada Siti Kasim?

Tentu sahaja insan-insan yang memiliki pengetahuan agama dan undang-undang serta bijak bersilat kata untuk memuntahkan fakta dan mematikan hujah yang layak melayangkan warkah cinta untuk Siti Kasim.

Perlu diingat Siti Kasim ini memiliki hati sekeras batu, jadi amat mustahil untuk dicairkan antartika kedegilannya itu dengan bahasa yang berbunga dan menggoda.


Siti Kasim

Hingga sekarang saya masih lagi terkejut apabila Siti Kasim mendakwa Tuan Guru Haji Hadi cuba memaksakan umat islam menerima pendapat tertentu sahaja dalam islam serta menidakkan pendapat dan pandangan yang berbeza. Dalam isu pemakaian tudung oleh wanita contohnya, Siti Kasim mendakwa arahan memakai tudung hanya pandangan sesetengah ulama dan ada ulama kata rambut bukannya aurat. Siti Kasim mendakwa Haji Hadi bersikap berat sebelah apabila hanya menerima pakai pandangan yang menaggap rambut adalah aurat wanita.

Namun, detik dan waktu yang melonjakkan namanya ialah ketika dia menunjukkan jari tengah ketika membantah RUU yang diusul PAS ketika forum Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi yang diadakan di Shah Alam.

Namanya juga harum mewangi dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan, terutamanya ahli dan penyokong Parti Amanah Negara apabila beliau menjalin hubungan istimewa dengan parti tersebut. Tahalluf Siyasi antara Siti Kasim dan AMANAH benar-benar menarik untuk dikaji kerana mereka bersatu dan berpadu untuk menumbangkan Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS. Habis orang asli di Gua Musang dihasut dan dipergunakan.

Selain itu, ketika ratusan ribu umat islam berhimpun di Himpunan RUU 355 untuk menyatakan sokongan terhadap Mahkamah Syariah, Siti Kasim dan orang-orangnya termasuklah politikus lapuk yang kini menyertai DAP, iaitu Zaid Ibrahim turut menganjurkan perhimpunan membantah Himpunan RUU. Mereka membantah Himpunan RUU dengan alasan untuk mengelakkan Malaysia daripada diislamkan.

Tidak cukup dengan episod-episod lepas, Siti Kasim terus mengharumkan namanya apabila dia dan sekumpulan aktivis yang diketuai oleh Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy telah memfailkan tuntutan mahkamah agar Dr. Zakir Naik ditangkap dan diusir dari Malaysia.

Walaupun berjuta kali kita mencemuh dan mengutuk, Siti Kasim tetap Siti Kasim. Kita amat berharap agar ada mana-mana individu atau pihak yang sudi membantunya mengemudi bahtera kehidupan agar dia tidak berterusan tersesat di belantara keliru dan berkekalan hanyut di samudera celaru.

Thursday, March 2, 2017

Aktivis diketuai Pengerusi Hindraf mahu Zakir Naik ditangkap dan diusir dari Malaysia.

Gambar Dr. Zakir Naik.
Kredit Facebook Zakir Naik.


Aktivis diketuai Pengerusi Hindraf mahu Zakir Naik ditangkap dan diusir dari Malaysia.

Hindraf sememangnya sejak awal-awal lagi amat tidak menyukai, dan memusuhi Dr. Zakir Naik. Namun, sebenarnya pertubuhan tersebut bukannya bersendirian dalam penentangan ini.

Hari ini sekumpulan aktivis dengan diketuai oleh Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy telah memfailkan tuntutan mahkamah. Antara tuntutannya ialah agar Dr. Zakir Naik ditangkap dan diusir dari Malaysia.

Saman itu difailkan oleh beliau bersama 18 lagi aktivis yang lain, termasuklah ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives, Lim Teck Ghee.

“(Kami memohon) satu perintah bagi ketua Polis Negara (IGP) untuk segera menangkap Zakir Naik.

“(Juga), satu perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, jika ada diberikan (dan) satu perintah untuk mengusirnya dengan segera dari Malaysia,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas memfailkan tuntutan mahkamah itu, hari ini.

Aktivis-aktivis tersebut mendakwa Dr. Zakir Naik mengancaam keselamatan, keharmonian dan perpaduan Malaysia, ini kerana mereka beranggapan ajaran atau pendekatan Dr. Zakir Naik menggalakkan keganasan dan akan merosakkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Selain itu, Waythamoorthy berkata, Zakir juga telah diharamkan di beberapa negara, termasuk Kanada dan United Kingdom.

Selain itu, defendan yang turut dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia.

Sementara itu Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin menerusi laman Facebooknya mempertahankan Dr. Zakir Naik, dan menyelar kumpulan aktivis berkenaan.

Di laman Facebooknya, Dr. Asri menulis,
"Tidaklah pelik jika mereka itu dari kumpulan bukan Muslim ataupun kafir yang tidak suka dengan dakwah.

Namun yang pelik jika ada yang mendakwa diri mereka Muslim tetapi meminta supaya tokoh pendakwah Muslim yang terkenal dengan hujahnya itu ditangkap,”.

Info Tambahan.
Hairan dan sungguh menghairankan apabila terdapat segelintir individu Muslim seperti Siti Kasim dan Aisah Abd Jalil yang turut bersekongkol menentang Dr. Zakir Naik. Apa sebenarnya yang mereka mahu. ?



Wednesday, March 1, 2017

Tan Sri Jins Shamsuddin meninggal dunia.


Tan Sri Jins Shamsuddin meninggal dunia.

Innalillahi wainna Ilahi rajiun. 

Allahumma firlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu. 

Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Dr Jins Shamsuddin.

Sesungguhnya negara kehilangan seorang insan yang banyak berjasa kepada industri filem tanah air. 

Pemergian Tan Sri Dr Jins Shamsuddin benar-benar memeranjatkan apatah lagi industri seni negara baharu sahaja kehilangan pengacara Ary Malik.

Anak Allahyarham, Putera Hang Jebat sebagaimana yang dipetik menerusi portal mstar.com berkata,  Allahyarham mula mengadu sesak nafas ketika sedang menikmati makanan di rumah mereka di Hulu Klang dekat sini dan kemudian dibawa ke klinik berdekatan oleh ibunya Puan Sri Halijah Abdullah dengan bantuan jiran.

Kata lagi, apabila tiba di klinik berkenaan, keadaan Allahyarham menjadi lemah sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir.

Kesihatan Jins, 82, semakin merosot sejak beberapa tahun lalu akibat penyakit Alzheimer yang dihidapinya.

Sedikit Info Mengenai Tan Sri Dr Jins Shamsuddin.

Jins Shamsuddin atau nama sebenarnya Mohamed Jins Shamsuddin dilahirkan di Taiping, Perak pada 5 November 1935 dan mula berlakon selepas berjaya dalam uji bakat yang dilakukan oleh P. Ramlee.

Beliau memegang watak utama dalam filem Pancha Delima pada tahun 1957 dan menjadi ejen perisik dengan watak Jefri Zain dalam Gerak Kilat.

Dalam bidang politik, Allahyarham pernah diangkat sebagai Senator dan seterusnya menerima ijazah kehormat Sarjana Persuratan dari Univesiti Sains Malaysia pada tahun 1999 serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti yang sama pada 2010.

Filem lakonan dan arahannya iaitu Bukit Kepong antara karya yang turut mengangkat nama Allahyarham. 

Info Tambahan.
Marilah kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, dan semoga Allah menempatkan rohnya bersama orang-orang yang Soleh.