Friday, April 6, 2018

Parlimen dibubar esok dan PRU-14 kini semakin hampir.



Parlimen dibubar esok dan PRU-14 kini semakin hampir.

Ramai yang menanti-nanti bilakah parlimen penggal ke -13 akan dibubarkan. Ramai yang tertunggu-tunggu bilakah Pilihan Raya Umum ke - 14 (PRU-14) akan berlangsung. 

Alhamdulillah kini teka teki tersebut mula terjawab. Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran parlimen berkuatkuasa esok, 7 April 2014 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mohamad V di Istana Negara pagi ini.  Ini bermakna PRU14 perlu diadakan dalam tempoh selewat-lewatnya 60 hari bermula tarikh pembubaran parlimen. 

Setelah pembubaran Parlimen, pasti sahaja seantero rakyat Malaysia kini diburu resah menunggu detik berlangsungnya PRU-14, dan dihambat gelisah menanti keputusan PRU-14 . Parti manakah yang bakal menjadi juara, dan sekali gus menguasai Putrajaya dan parti mana pula kekal sebagai pembangkang. Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

PRU-14 Bapa Segala Pilihan Raya.

Berdasarkan analis-analisis yang dibuat oleh pelbagai pihak, PRU-14 yang bakal berlangsung nanti diramalkan paling sengit. 

Tidak menghairankanlah apabila Perdana Menteri mengistiharkan PRU-14  sebagai Bapa Segala Pilihan Raya. Selain terpaksa berhadapan dengan parti pembangkang sedia ada yang telah melumpuhkan kekuatan BN sejak PRU-12, Datuk Seri Najib juga terpaksa berhadapan dengan tokoh-tokoh handalan yang pernah bersamanya selama ini dalam UMNO. Tun Mahathir, Datuk Seri Muhyidin Yassin, dan Shafie Afdal antaranya tentu sahaja mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak mampu dinafikan.

Mampukah Barisan Nasional( BN) mempertahankan Putrajaya dan mampukah  Pakatan Harapan (PH) merampas mercu kuasa. Bagaimana pula nasib dan kedudukan PAS setelah bercerai dengan DAP dan PKR.  Adakah rakyat akan kembali ke pangkuan Tun Mahathir yang pernah memimpin dan membawa Malaysia puncak jaya, atau mereka lebih selesa bersama Datuk Seri Najib.

Semua itu menjadi tanda tanya dan ia bakal terjawab sedikit masa lagi.




INFO TAMBAHAN.

Berdasarkan keputusan PRU-13, sokongan rakyat terhadap Pakatan Pembangkang, iaitu Pakatan Rakyat(PR) ternyata meningkat, manakala sokongan rakyat terhadap BN ketara merosot.

Malah, dari segi undi popular ternyata PR mengatasi BN. Ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia telah berpihak kepada Pakatan Pembangkang ketika PRU-13. Rakyat terutamanya di kawasan bandar-bandar besar ternyata menyokong PR, malah hampir semua ibu negeri di Malaysia dimenangi oleh PR

Adakah semua ini akan berulang dalam PRU-14. Adakah perpisahan dengan PAS bakal meranapkan kekuatan Pakatan Pembangkang yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan. Adakah parti serpihan PAS, iaitu Parti Amanah Negara(AMANAH) mampu mengambil alih kedudukan PAS dalam Pakatan Pembangkang.

Kita tunggu dan lihat sahaja detik dan tika itu berlaku.