Thursday, July 12, 2018

Nostalgia Ramadan Mengusik Jiwa.

Surau(Balaisoh ) yang semakin uzur dan tak berfungsi.
Dahulu di Balaisoh inilah tempat
penduduk Kampung solat jemaah dan tarawih
dan kanak-kanak belajar Al-Quran.



Nostalgia Ramadan Mengusik Jiwa.

Biarpun Ramadan tahun ini dah berlalu dan Syawal juga hampir menutup tirainya, namun entry yang tertangguh ini tetap saya gagahi dan siarkan jua.

Ramadan pasti sahaja menyimpan nostalgia tersendiri dalam hidup dan kehidupan kita. Nostalgia yang  tersimpan rapi dalam arkib kenangan, namun sesekali apabila diselak kembali helaian-helaian kenangan itu kita akan kembali merindu tika dan detik itu. Jujur, memori itu terpasak utuh di ingatan dan terpahat kukuh dalam kenangan.

Saya meniti usia kanak-kanak pada pertengahan dan akhir tahun lapan puluhan. Tentu sahaja warna dan corak yang melatari persekitaran pada masa itu amat berbeza dengan zaman sekarang, sekali gus menatijahkan hidup dan kehidupan yang berbeza antara kanak-kanak dua zaman tersebut.

Antara kenangan yang amat manis untuk dikenang ialah mengenai keterujaan untuk mengetahui tarikh permulaan puasa atau satu Ramadan.

Dahulu tarikh permulaan Ramadan dan juga hari raya tidaklah setepat yang tercatat dalam kalendar. Ia boleh berubah berdasarkan anak bulan, sama ada kelihatan atau tidak. Jadi pada malam pengistiharan puasa yang akan disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja amat dinanti-nantikan dengar sabar dan penuh semangat. 

Pada tahun lapan puluhan amat jarang warga Kampung saya yang memiliki telivisyen, jadi radiolah yang menjadi menjadi medium penyebaran maklumat tersebut. Fokus, masing-masing fokus menadah gegendang telinga tatkala Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mula bersuara. Malah, kalau ada yang turut bersuara pasti sahaja segenap mata akan menjeling ke arahnya, silap hari bulan akan disergah dan dimarah.

Disebabkan tarikh permulaan Ramadan tidak setepat yang tercatat dalam kalendar maka kanak-kanak pada waktu amat menaruh harapan agar awal Ramadan tidak jatuh keesokan hari tapi biarlah pada berikutnya, iaitu lusa. Ini kerana ingin makan sepuasnya sebelum berpuasa.

Selain keterujaan menanti detik pengistiharan bulan puasa, saat-saat Indah menunaikan solat tarawih di surau kampung juga menjadi sebahagian kenangan manis dalam hidup saya. Di Kampung saya dan mana-mana tempat di Kelantan surau dikenali sebagai Balaisoh. 

Di balaisoh yang terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan itulah tempat kami belajar Al-Quran dan di balaisahlah solat jemaah termasuklah solat tarawih dan solat sunat hari raya Aidilfitri dan Aidiladha dilaksanakan. Sekitar tahun 1980-an hinggalah akhir tahun 1990-an balaisoh itu amat sebati dengan hidup dan kehidupan kami. 

Selain solat tarawih  di balaisoh  ini jugalah akan diadakan majlis berbuka puasa. Meskipun hanya sekali sahaja diadakan dalam setiap Ramadan, namun kemeriahan amat terasa dan manisnya kenangan itu masih lagi segar di jiwa. 

Ketika Majlis berbuka puasa diadakan setiap keluarga akan membawa hidangan masing-masing. 
Kembali kepada solat tarawih, dahulu selawat antara rakaat kadang-kadang menjadi pengusir mengantuk. Ini kerana ia dilafazkan dengan kuat malah kadang-kadang hingga kedengaran ke balaisoh yang  lain. Kerana tercabar  maka jemaah  balaisoh yang lain juga akan melafazkan selawat dengan lebih kuat. Meriah  sekali apatah lagi pada waktu itu belum kedengaran lagi mana-mana suara yang membid'ahkan selawat antara rakaat solat tarawih.

Selain itu, detik yang paling dinanti-nanti oleh golongan kanak-kanak pada waktu itu ialah jamuan yang diadakan seusai solat  tarawih. Jujur dan ikhlas setelah sekian lama dan ssesudah dewasa barulah saya ketahui jamuan itu dikenali sebagai moreh di negeri-negeri lain. Inilah masa yang dinanti-nantikan oleh kanak-kanak. Paling disukai ialah kuih akok.

Namun sayang seribu kali sayang, balaisoh tempat kami bersolat tarawih dan berbuka puasa, serta solat jemaah dan belajar Al-Quran zaman kanak-kanak hingga hanya tinggal kenangan. Ia tidak lagi berfungsi dan terbiar reput. Setiap kali memandang ke arah balaisoh ini naluri dijentik rasa sendu yang menjalar ke kalbu.


Bulan puasa tahun 1980-an juga diserikan juga dengan acara perang mercun, termasuklah dengan kampung yang berjiran dengan kampung kami. Antara mercun yang popular pada masa itu ialah mercun das dan mercun roket. Serang menyerang dan 'tembak menembak' mewarnai malam-malam Ramadan di kampung kami. 

Kadang-kadang ada juga mercun yang tersasar ke balaisoh hingga gegak gempita jemaah wanita yang kebanyakkannya telah berusia.

No comments: