Friday, September 7, 2018

Hinakah nama Muhammad Dhury Yan dan Nur Rambutt'an.

Petikan dari Sinar Harian


Hinakah nama Muhammad Dhury Yan dan Nur Rambutt'an.

Tidak sepatutnya dijadikan isu dan ia bukanlah satu kesalahan dari sudut agama.  Cuma netizen ramai yang sewel dan mandul akal sebab itulah mereka gemar menghukum. Disebabkan netizen yang sewel jualah maka ia ditularkan hinggakan ibu bapa tersebut dikecam dan dihina.

Untuk pengetahuan semua, dalam islam nama yang dilarang ialah nama-nama yang mengandungi makna yang tidak baik.  Jadi mana-mana nama yang mempunyai makna yang baik maka ia termasuk dalam  kalangan nama-nama islam.  Perlu diingat juga, nama-nama islam tidak semestinya nama-nama Arab.

Jadi tidak menjadi masalah andainya  ibu bapa ingin  mengguna pakai nama-nama yang berunsur Arab seperti kebanyakkan nama orang-orang Melayu di Malaysia kepada anak-anaknya.

Boleh juga menggunakan nama-nama India seperti Shah Kirit atau nama Cina seperti Lim Jooi Soon, terutamanya dalam kalangan Muallaf yang ingin mengekalkan nama asal dan identiti bangsa.

Tidak juga menjadi kesalahan untuk menggunakan nama-nama beridentitikan bangsa. Contohnya nama-nama beridentitikan Jawa seperti Sukarno, Suharto, Joko Widodo dan sebagainya.

Di negara kita suatu ketika dahulu juga, ramai  orang-orang Melayu  yang bernama Mawar, Tanjung, Melati dan sebagainya.

Selain itu perlu juga diketahui nama salah seorang anak Jutawan Internet,  Irfan Khairi pun agak unik iaitu Cinta Strawberry. Tapi disebabkan Irfan Khairi seorang jutawan ternama maka ramai yang puji nama anaknya. Malangnya Abi Amin Mahayadin, iaitu bapa kepada Muhammad Dhury Yan dan Nur Rambutt'an hanyalah insan tidak ternama dan berharta.

Info Tambahan.

Begitu juga bila ada yang bernama  Malaysia, pasti sahaja ada yang menganggapnya  jelik dan  lucu. Bayangkan jika ada ibu  bapa yang menamakan anaknya dengan nama Kelantan bin Malaysia atau Nur Ipoh binti Muhammad Kota Bharu, pasti riuh satu Malaysia.

Namun hairannya ramai pula orang-orang Melayu menamakan anak-anak mereka dengan Bukhari,Ghazali, dan Nawawi. Sedangkan itu semua adalah nama-nama tempat atau lokasi. Tapi disebabkan berbunyi Arab, maka ia diterima dengan senang dan tenang.

Bukhari  contohnya, ia merujuk kepada Bukhara. Imam Bukhari nama sebenarnya ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah dan dilahirkan di Bukhara. Atas sebab itu beliau memakai gelaran Bukhari.  Begitu juga dengan Imam al-Ghazali. Nama sebenarnya Muhamad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad. Beliau dilahirkan di Ghazalah, jadi gelaran al-Ghazali itu merujuk kepada tempat kelahirannya. Begitu juga dengan Imam Nawawi. Nama sebenarnya Yahya bin Syaraf bin Hasan bin Husain. Beliau dilahirkan di Nawa dan gelaran Nawawi berkait rapat dengan tempat kelahirannya.

No comments: